gaji minimum – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Tue, 11 Mar 2025 03:25:10 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png gaji minimum – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Majikan Malaysia Berdepan ‘Perfect Storm’ Kenaikan Kos Operasi https://sabahmedia.com/2025/03/11/majikan-malaysia-berdepan-perfect-storm-kenaikan-kos-operasi/ https://sabahmedia.com/2025/03/11/majikan-malaysia-berdepan-perfect-storm-kenaikan-kos-operasi/#respond Tue, 11 Mar 2025 03:24:22 +0000 https://sabahmedia.com/?p=70167
Read Time:7 Minute, 5 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

KUALA LUMPURR — Walaupun Kadar Gaji Minimum RM 1,700 yang baru telah mula berkuat-kuasa pada 1 Februari 2025, cakap-cakap serta rungutan yang di suarakan sebelum pelaksanaan masih kedengaran di seluruh negara. Kenaikan Kadar Gaji Minimum sebanyak RM 200 (13%) telah mencetuskan reaksi bertentangan, kegembiraan dan keresahan.  

Rata-rata golongan pekerja gembira kenaikan Kadar Gaji Minimum telah dapat membuka ruang untuk menikmati pendapatan yang lebih bermaruah, bagi menjalani kehidupan yang lebih berkualiti tatkala berdepan dengan kos sara hidup yang terus meningkat tinggi. Sedikit sebanyak, kenaikan berkenaan memberi kelegaan kepada pekerja terbabit, meskipun masih belum mencapai tahap yang benar-benar mencukupi.      

Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pada bulan September 2024, Median Upah Bulanan bagi pekerja formal warganegara adalah RM2,745. Median Upah Bulanan ini hanya tinggi sedikit sahaja (RM 156) dari kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional iaitu RM 2,589 sebulan.

Ini jelas menunjukkan begitu ramai rakyat masih di belenggu kemiskinan.

Gaji Minimum: Antara Kelegaan dan Beban

Sementara itu, di dalam laporan Indikator Kos Sara Hidup Malaysia 2023, DOSM menyatakan bahawa satu isirumah (3.8 orang) memerlukan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) sebanyak RM 4,729 sebulan, bagi menjalani kehidupan wajar yang memenuhi keperluan dan kehendak hidup.

Antara lain, ini merangkumi perkara asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal, serta keperluan sosial seperti akses kepada pendidikan dan kesihatan.

Sebagai contoh. Daerah Petaling (Selangor) telah merekodkan PAKW tertinggi negara pada tahap RM 6,660. Dengan jumlah ini, barulah isirumah berkenaan boleh menjalani kehidupan wajar.

Tetapi, sekiranya kedua-dua ibubapa bekerja dan menetap di daerah Petaling, dan setiap seorang memperolehi upah median RM 2,745, jumlah upah ibubapa sebanyak RM 5,490 masih jauh lebih rendah dari PAKW RM 6,660.

Manakala, daerah Kinabatangan (Sabah) telah merekodkan PAKW Makanan tertinggi negara pada tahap RM 2,004. Ini bermakna satu isirumah di Kinabatangan memerlukan sekurang-kurangnya RM 2,004 bagi membeli makanan secukupnya untuk menjalani kehidupan wajar.

Ketika pekerja gembira dengan kenaikan Kadar Gaji Minimum, majikan pula menghadapi keresahan kerana berdepan dengan peningkatan kos pekerja. Peningkatan kos operasi sudah pasti boleh menjejaskan kelangsungan dan daya saing perniagaan.  

Majikan Tertekan, PMKS Paling Terjejas

Ramai majikan, terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), berpendapat Kerajaan Malaysia seolah-seolah tidak peka kepada cabaran yang di hadapi oleh majikan ketika ini, termasuklah kenaikan kos bahan mentah serta suasana pasaran yang meruncing.  

Justeru itu, pelaksanaan Kadar Gaji Minimum yang baru menambah cabaran sediada dan beban kewangan yang di tanggung oleh majikan.

Akibatnya, banyak PMKS mungkin terpaksa gulung tikar menutup operasi kerana tidak lagi dapat menanggung kos operasi yang terus meningkat tinggi. Malangnya, sekiranya ini berlaku, pekerja juga yang rugi kerana hilang pekerjaan dan pendapatan. Negara pula akan menyaksikan peningkatan kadar pengangguran. Ini mewujudkan situasi lose-lose kepada pekerja, majikan dan negara. 

Sebarang kesan yang di alami oleh PMKS boleh memberi impak yang besar memandangkan PMKS menyediakan hampir 50% jumlah pekerjaan di Malaysia.

Malah, Presiden Small and Medium Enterprise Association of Sabah (SME Sabah) telah menyatakan bahawa majikan memahami tujuan Kerajaan Malaysia menaikkan Kadar Gaji Minimum bagi meningkatkan pendapatan pekerja dan melonjakkan ekonomi. Namun begitu, berdasarkan situasi ekonomi masakini yang mencabar, SME Sabah telah mencadangkan agar Kadar Gaji Minimum yang baru di laksanakan secara berperingkat di Sabah bagi membolehkan majikan menampung impak kenaikan berkenaan.

Antara lain, ahli-ahli SME Sabah merangkumi syarikat-syarikat peruncitan, pembinaan, perladangan, pembuatan, perkhidmatan, hospitaliti, dan makanan & minuman/ F&B.

Tambahan lagi, beliau menyatakan bahawa kenaikan Kadar Gaji Minimum akan menyebabkan inflasi kerana majikan akan memindahkan peningkatkan kos pekerja kepada pengguna dengan meningkatkan harga barangan dan perkhidmatan.

Menurut beliau, pemindahan peningkatan kos dari perniagaan kepada pengguna semestinya akan berlaku kerana perniagaan di Sabah tidak memiliki pasaran yang besar berbanding dengan perniagaan di Semenanjung Malaysia.

Pada masa yang sama, ada juga majikan yang telah menyuarakan sokongan kepada kenaikan Kadar Gaji Minimum. Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kedah (DPMM Kedah) di laporkan telah menyambut baik kenaikan Kadar Gaji Minimum, dan melihatnya sebagai langkah signifikan bagi menambah-baik standard kehidupan pekerja dan memperkasa pertumbuhan ekonomi negara.

Caruman KWSP Wajib untuk Pekerja Migran

Selain itu, ketika majikan masih lagi bergelut untuk menyesuaikan perniagaan dengan Kadar Gaji Minimum yang baru, banyak majikan akan turut berdepan dengan peningkatan kos pekerja dengan pelaksanaan pambayaran mandatori caruman KWSP bagi pekerja asing migran.

Beberapa hari lepas, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (Pindaan) 2025 yang bertujuan meningkatkan perlindungan sosial yang setara antara pekerja warganegara dan pekerja bukan warganegara/ pekerja migran. Pindaan berkenaan melibatkan peruntukan pembayaran caruman dan kadar caruman KWSP yang kena dibayar bagi pekerja migran.

Kadar caruman mandatori KWSP bagi pekerja migran telah di tetapkan pada tahap: pekerja (2%) dan majikan (2%).

Menurut Menteri Kewangan II Malaysia, pelaksanaan pembayaran caruman KWSP bagi pekerja migran di jangka bermula pada Suku Ke-4 2025.

Beliau turut memaklumkan bahawa pelaksanaan pembayaran caruman KWSP bagi pekerja migran secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja migran dalam jangka masa panjang, serta membantu usaha kerajaan untuk mengurangkan pekerja bukan warganegara tanpa dokumen kerana hanya pekerja yang sah berdaftar dengan majikan layak mencarum ke dalam KWSP.

Seterusnya, ini dapat meningkatkan daya saing perniagaan tempatan dengan mendorong ke arah automasi.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP pula di laporkan berkata caruman KWSP bagi pekerja migran bertujuan menyamakan syarat atau peraturan buruh antara pekerja warganegara dan pekerja migran, serta memastikan semua pekerja mendapat layanan adil, selari dengan sudut pandang Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

Beliau menyatakan anggaran awal menjangkakan sekitar 2 – 2.5 juta pekerja migran bakal masuk ke dalam platform KWSP, dengan nilai caruman sebanyak RM 5 bilion pada tahun 2025. Butiran lanjut pelaksanaan skim caruman pekerja migran akan di umumkan dalam masa beberapa bulan.

Dalam bahasa mudah, pelaksanaan skim caruman KWSP pekerja migran akan meningkatkan kos keseluruhan mengaji pekerja migran, termasuklah levi tahunan dan kos pemeriksaan kesihatan. Akan tiba satu tahap di mana kos pekerja migran berkenaan menjadi sangat mahal sehinggakan majikan terpaksa mengurangkan pengambilan pekerja migran.  

Selama ini, untuk sekian masa, banyak majikan memilih untuk mengaji pekerja migran kerana melibatkan kos yang rendah, berbanding dengan mengaji pekerja tempatan. Dengan membayar gaji yang rendah kepada pekerja migran, majikan dapat menjimatkan kos operasi.

Kos Operasi Dijangka Terus Meningkat

Pada awal bulan Mac 2025, Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Malaysia (ACCCIM) telah menyatakan bahawa kos operasi yang tinggi adalah antara faktor utama yang di hadapi oleh pemilik perniagaan pada Separuh ke-2 tahun 2024.

Ini berdasarkan survei yang di laksanakan di antara 18 Nov 2024 hingga 15 Jan 2025, melibatkan 630 responden terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Survei ini di laksana oleh ACCCIM meliputi prestasi perniagaan pada Separuh ke-2 tahun 2024 dan prospek bagi Separuh Pertama tahun 2025.

Secara umumnya, pemilik perniagaan mempunyai pandangan optimistik berjaga-jaga/ cautiously optimistic mengenai prospek ekonomi dan perniagaan.

Oleh kerana itu, ramai memegang pandangan ‘nuetral’ terhadap situasi ekonomi dan perniagaan negara, serta mengeluh mengenai kenaikan kos operasi perniagaan.

Menurut ACCCIM, pelaksanaan beberapa inisiatif oleh Kerajaan Malaysia pada tahun 2025 akan meningkatkan kos operasi, yang kekal sebagai kebimbangan paling kritikal. Antara inisiatif berkenaan adalah: kenaikan Kadar Gaji Minimum negara, pembayaran mandatori caruman KWSP bagi pekerja migran, rasionalisasi subsidi RON 95 dan kenaikan tarif elektrik.

Sementara itu, Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) turut menyatakan lebih 90% pengeluar/ manufacturer menjangka kenaikan kos gaji pekerja akan memberi kesan kepada kos operasi, berikutan pelaksanaan inisiatif berkaitan gaji pekerja oleh Kerajaan Malaysia. Hampir 50% pengeluar menjangkakan kenaikan kos 5 – 10% pada tahun 2025, manakala 26% menjangka kenaikan kos melebihi 10%.

Selari dengan ACCCIM, FMM menyatakan bahawa secara umumnya pengeluar memiliki pandangan positif stabil and optimistik mengenai keadaan dan pertumbuhan perniagaan pada tahun 2025, tatkala keresahan mengenai cabaran kenaikan kos yang berpanjangan.

FMM juga mendapati pandangan majikan terhadap pekerjaan/ workforce kekal stabil, di mana 62% responden menjangkakan tiada perubahan kepada jumlah tenaga kerja mereka. Sebaliknya, hanya 16% menjangkakan pengurangan tenaga kerja. Manakala, 22% menjangka peningkatan tenaga kerja.

Masa Depan Majikan dan Pekerja

Sebelum itu, Malaysian Employers Federation (MEF) di laporkan berkata Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) mungkin terpaksa menutup operasi akibat kesan kewangan berpunca dari pembayaran mandatori caruman KWSP pekerja migran.

Majikan di Malaysia jelas sedang mengharungi suasana yang amat mencabar dengan peningkatan kos yang datang serentak, seumpama ‘the perfect storm’. Kos operasi perniagaan yang meninggi sudah pasti akan menghasilkan kesan kepada ekonomi dan negara. Samada pemilik perniagaan mampu menanggung dan menyerap tambahan kos operasi, ataupun akan memindahkan tambahan kos tersebut kepada pengguna.

Akhirnya, tujuan asal untuk memberi kesejahteraan kepada pekerja boleh merugikan pekerja dan rakyat dengan kenaikan inflasi dan juga peningkatan pengangguran.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/03/11/majikan-malaysia-berdepan-perfect-storm-kenaikan-kos-operasi/feed/ 0 70167
Pelaksanaan Perintah Gaji Minimum Baharu disambut baik https://sabahmedia.com/2025/02/03/pelaksanaan-perintah-gaji-minimum-baharu-disambut-baik/ https://sabahmedia.com/2025/02/03/pelaksanaan-perintah-gaji-minimum-baharu-disambut-baik/#respond Mon, 03 Feb 2025 14:20:39 +0000 https://sabahmedia.com/?p=67943
Read Time:3 Minute, 27 Second

Oleh FLORIETA DIET

KOTA KINABALU: Rata-rata mereka yang ditemui Sabah Media di sini menyambut baik pelaksanaan Perintah Gaji Minimum Baharu RM1,700 sebulan, berbanding RM1,500 sebelum ini.

Mereka juga berharap Kerajaan Sabah akan mempertimbangkan agar perintah itu turut dilaksanakan di Sabah.

Perintah yang berkuatkuasa pada 1 Februari lepas itu diumumkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Galfinand

Galfinand Gilbert, 26, berasal dari Keningau bekerja sebagai pengawal keselamatan di sini turut menyambut baik pelaksanaan perintah gaji minima itu.

Beliau berharap Kerajaan Negeri turut mengikut langkah berkenaan untuk kesamarataan pendapatan isi rumah antara pekerja di semenanjung dan di Sabah.

“Bagi saya, gaji lama memang tidak cukup untuk menampung keluarga. Hanya saya seorang yang bekerja menanggung keluarga … untuk memenuhi keperluan kami dan anak yang masih kecil,” katanya.

Tambahnya lagi, jika Kerajaan Negeri turut melaksanakan perintah itu, ramai ketua keluarga akan merasa senang dan menarik nafas lega.

Galfinand turut menjelaskan kadar pemberian gaji di Sabah masih terlalu rendah berbanding dengan di Semenanjung Malaysia.

“Sebelum bekerja di Kota Kinabalu, saya pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di semenanjung dengan gaji yang ditawarkan RM2,500 dan ada yang dapat lebih dari itu,” katanya menambah berbezaan perberian gaji di Sabah dan Semenanjung Malaysia sangat ketara.

Beliau berharap Kerajaan Negeri turut mengkaji pemberian gaji di Sabah agar sama rata dengan pekerja di semenanjung.

Hambug

Manakala Hambug Sakong, 49, yang berasal dari Semporna, turut menyambut baik penetapan gaji baharu itu. Katanya, walaupun kenaikan itu tidaklah terlalu tinggi daripada gaji sebelum ini tetapi ia memberi kesan besar dalam perubahan ekonomi keluarga.

Dia yang sudah bekerja sebagai pengawal keselamatan selama enam tahun merasakan nilai gaji yang diterima setiap bulan adalah tidak mencukupi.

“Saya perlu membayar sewa rumah, menanggung isteri dan dua orang anak yang bersekolah serta seorang kakak berumur 60 tahun yang memerlukan perhatian kesihatan…gaji saya dapat setiap bulan memang tidak cukup untuk semua ini,” katanya.

Beliau juga berharap, kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk menurunkan harga barang keperluan di Sabah.

“Harga barangan keperluan di Sabah adalah mahal, saya berharap kerajaan buatlah sesuatu untuk menurunkan harga barangan di Sabah. Sebab kalau gaji naikpun..harga barang naik, keadaannya tetap sama,” katanya.

Felly

Felly Floreans Jedau, 25, dari Pitas berasa gembira apabila penetapan gaji itu diumumkan baru-baru ini. Dia kini bekerja di sebuah kedai serbaneka di Kota Kinabalu tetapi beribu pejabat di Semenanjung itu berharap dapat merasa kenaikan gaji baharu itu.

“Buat masa ini, kami belum menerima apa-apa pengumuman daripada majikan, tapi berharap ia benar-benar jadi kenyataan,” katanya.

Penetapan gaji baharu berkenaan sudah pasti dapat meringankan beban bagi mereka yang sudah berkeluarga,” katanya dan berterima kasih di atas keprihatinan pada Kerajaan Persekutuan menjaga rakyatnya.

Telcadora

Manakala Telcadora James,45, dari Tenghilan, amat menyokong penetapan gaji minimum RM1,700 sebulan kerana ia boleh membantu rakyat untuk mengatasi kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Walau bagaimanapun, kos barangan dan perkhidmatan di Sabah secara amnya lebih tinggi berbanding di Semenanjung Malaysia. Ini bermakna walaupun gaji minimum dinaikkan kepada RM1,700, ia mungkin masih tidak mencukupi di Sabah kerana kos seperti makanan, perumahan, dan pengangkutan lebih mahal di sini.

“Akibatnya, pekerja di Sabah mungkin tidak merasai sepenuhnya manfaat daripada kenaikan gaji tersebut,” katanya.

Telcadora yang bekerja sebagai Pengurus Pemasaran dan Promosi di sebuah syarikat swasta menambah, secara keseluruhannya, ia adalah langkah yang baik, tetapi impaknya perlu dipantau dengan teliti.

“Saya berharap kerajaan dapat melakukan lebih banyak kajian dan analisis mengenai gaji minimum yang sesuai untuk rakyat Sabah, mengikut kos kehidupan di sini,” katanya.

Pada 1 Februari lepas, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengumumkan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu itu.

Perintah itu terpakai kepada majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih dan majikan yang menjalankan suatu aktiviti profesional, tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan oleh majikan berkenaan.

Bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja, tarikh kuat kuasa akan bermula pada 1 Ogos depan, bagi memastikan majikan diberi tempoh mencukupi untuk melakukan penyesuaian dalam struktur gaji dan operasi syarikat masing-masing.

Semua majikan diwajibkan untuk mematuhi perintah itu dan memastikan pekerja mereka menerima gaji pokok tidak kurang daripada RM1,700 sebulan, dan kegagalan mematuhi perintah itu menjadi satu kesalahan yang boleh didenda di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

]]>
https://sabahmedia.com/2025/02/03/pelaksanaan-perintah-gaji-minimum-baharu-disambut-baik/feed/ 0 67943