KOTA MARUDU: Program Ziarah merupakan platform terbaik bagi mendekati dan membantu golongan yang memerlukan.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Redonah Bahanda berkata, program ziarah salah satu cara untuk mendekati rakyat di akar umbi.
Katanya, program ini merupakan langkah proaktif yang diambil bagi mendekati dan menyelami kesukaran golongan yang memerlukan dengan lebih dekat.
Sementara itu, beliau berharap
sumbangan yang disampaikan dapat meringankan bebanan semua penerima.
“Tujuan utama ziarah diadakan adalah untuk membantu golongan yang memerlukan di samping mengeratkan hubungan antara ahli dan masyarakat,” katanya.
Sebanyak lapan keluarga yang kurang sihat menerima sumbangan peribadi dan beras daripada Redonah di Kampung Tagaroh DUN Bandau kelmarin.
]]>TUARAN: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang komited terhadap agenda pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat akan meneruskan beberapa bantuan khas pendidikan kepada golongan yang memerlukannya di Sabah tahun hadapan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bantuan khas yang diperkenalkan oleh Kerajaan GRS itu bertujuan untuk memastikan setiap anak Sabah mempunyai akses dan tidak dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan.

Beliau berkata,dalam Belanjawan Sabah Tahun 2022, Program Bantuan Sosial Sekolah seperti pakaian seragam, kasut dan alat tulis akan diteruskan tahun hadapan yang melibatkan 289,204 murid dengan peruntukan sejumlah RM13.9 juta.
“Kerajaan Negeri GRS juga akan meneruskan dua lagi bentuk bantuan khas pendidikan yang diperkenalkan tahun lalu iaitu Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) dan Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) yang melibatkan peruntukan masing-masing sebanyak RM10 juta dan RM7.5 juta.
“Pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan dan melaksanakan satu inisiatif baharu iaitu Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI) dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.
“Melalui BISTARI, setiap anak Sabah yang dilahirkan bermula tahun 2022 akan ditawarkan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan bantuan sejumlah RM100 yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri”, katanya.



Hajiji berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan Program Ceria Ke Sekolah (CKS) Tenaga Nasional Berhad (TNB)/Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB) Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) N.12 Sulaman, Sumbangan Program Sekolah Angkat SESB, Sumbangan Kepada Asnaf, lima Buah Masjid dan empat Buah Pusat Maahad Tahfiz Daerah Tuaran.
Penyerahan sumbangan tersebut diadakan di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau SAMA Sabah, Kampung Lok Batik, dekat sini, hari ini.
Selepas mengambil alih tampuk pemerintahan Sabah, Kerajaan GRS telah perkenalkan pelbagai Bantuan Khas Pendidikan tahun lalu iaitu BUDI dan BAKTI, bagi meringankan beban rakyat di negeri ini.
Selain itu katanya, pemberian komputer riba membabitkan peruntukan RM15 juta turut diberi khusus untuk pelajar menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada tahun ini. Menurutnya, pengagihan 10,000 komputer riba ini adalah menerusi Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) yang bermula pada Julai hingga Oktober lalu.
“Ini adalah kaedah yang kita ambil untuk membantu pelajar yang tidak berkemampuan agar tidak tercicir dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR)”, tambahnya.
Mengulas program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh TNB/SESB untuk DUN Sulaman dan daerah Tuaran, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri memberi sokongan penuh penglibatan syarikat swasta, individu berkepentingan dan badan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan tanggungjawab sosial korporat di negeri ini.
Katanya, komitmen itu diperlukan bagi membantu golongan asnaf, fakir miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal serta golongan yang memerlukan di seluruh negeri.
“Oleh itu, saya berharap lebih banyak lagi syarikat swasta, NGO dan orang persendirian akan turut melaksanakan program CSR di negeri ini”, katanya.
Beliau yakin usaha murni TNB dan SESB ‘memberi semula kepada masyarakat’ akan memberi kesan yang mendalam kepada anak-anak untuk mempersiapkan diri dalam pembelajaran di sekolah.
Menurutnya, tanggungjawab sosial korporat ini tidak sepatutnya satu konsep bermusim kerana masih ada lagi rakyat yang hidup dalam kesusahan dan memerlukan bantuan, terutama selepas pandemik COVID-19 melanda negara lebih setahun
lalu.
Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sedia menimbang cadangan mewujudkan dana start-up usahawan untuk belia termasuk usahawan wanita muda.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dana itu bukan sahaja untuk start-up perniagaan, malah turut membantu dalam pemulihan perniagaan bagi golongan usahawan/peniaga muda yang terkesan secara langsung dengan pandemik COVID-19.
“Peruntukan seumpama ini wajar dan akan dipertimbangkan dalam Belanjawan Negeri Sabah tahun 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sesi Libat Urus Sabah Maju Jaya (SMJ) Bersama Ahli Parlimen Wanita Muda Sabah secara dalam talian di pejabatnya di Menara Kinabalu, hari ini.
Sesi ini diadakan bagi mendapatkan pandangan golongan wanita muda di Sabah berkenaan dasar kerajaan khususnya yang berkaitan dengan wanita.
Seramai 16 orang Ahli Parlimen Wanita Muda Sabah telah mengikuti sesi tersebut dengan membawa beberapa aspirasi dan pandangan untuk memperkasa kedudukan wanita di negeri ini.
“Saya sentiasa mengalu-alukan dan menghargai pandangan dan respon daripada orang-orang muda termasuk Ahli Parlimen Wanita Muda.
“Syor daripada Ahli-Ahli Parlimen Wanita Muda hari ini akan dijadikan panduan dalam pelaksanaan dasar dan program, termasuk dalam penggubalan Belanjawan Negeri 2022”, kata Hajiji.
Katanya, Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat bersama Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah akan terus melaksanakan inisiatif bagi mengangkat agenda memperkasa wanita di negeri ini, agar kebajikan, keselamatan dan peluang mereka akan sentiasa dijaga dan ditambahbaik dari semasa ke semasa.
Hajiji turut mengarahkan Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) untuk menggerakkan lebih banyak sesi libat urus yang melibatkan para pemimpin kerajaan dengan pelbagai segmen dan NGO masyarakat.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya, Pengarah IKRAR, Azrul Ibrahim, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah, Rusnah Kuyung dan Timbalannya, Haslina Ismail, serta Perwakilan Parlimen Wanita Muda Sabah, Farrah Ain Madzlan.
]]>KUALA LUMPUR: Isu kemiskinan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menunding jari, apalagi sekadar meraih sokongan untuk kepentingan politik.
Sebaliknya, para pemimpin perlu menunjukkan komitmen dengan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk keluar dari kepompong kemiskinan.
“Sebenarnya, masalah kemiskinan bukan sahaja berlaku di kawasan pedalaman, tetapi juga di bandar. Realitinya, golongan miskin bandar juga wujud di Kota Kinabalu. Adakah anda berani menyatakan bahawa di kawasan Parlimen Kota Kinabalu tiada berlakunya kemiskinan?” soal Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Jonnybone Kurum, hari ini.
Merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, Jonnybone menambah bahawa kadar kemiskinan bandar di Kota Kinabalu mungkin lebih teruk daripada kawasan luar bandar.
Chan, dalam kenyataannya baru-baru ini, menyatakan bahawa terdapat lapan daerah di Sabah tersenarai sebagai daerah termiskin walaupun mempunyai wakil rakyat yang terdiri daripada Menteri dan Timbalan Menteri di peringkat persekutuan mahupun kerajaan negeri.
“Kebanyakan penduduk kampung di kawasan luar bandar mungkin kurang berkemampuan tetapi mereka tidak pernah kehabisan sumber makanan atau tidak mempunyai rumah kediaman.
“Penduduk kampung boleh mengusahakan tanah mereka bila-bila masa. Selain itu, mereka juga mempunyai sumber makanan yang mencukupi walaupun tidak mempunyai wang yang banyak.
“Oleh itu, janganlah sesekali menghina keadaan mereka yang susah. Kita seharusnya membantu dan bukannya mengejek penderitaan mereka,” kata Jonnybone, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Telupid.
Jonnybone turut menggesa pemimpin politik berganding bahu dan mencari jalan keluar terbaik bagi mengatasi situasi yang dihadapi masyarakat yang kurang bernasib baik dan juga golongan miskin bandar seperti di bandar Kota Kinabalu.
Jonnybone juga turut menegaskan bahawa di kawasan pendalaman, tidak wujud masalah pengemis, seperti yang berlaku di kawasan bandar.
“Oleh itu, YB Chan perlu turun padang lebih kerap untuk melihat permasalahan (pengemis) yang wujud di kawasan beliau. Ini juga menunjukkan masalah kemiskinan yang berat sememangnya berlaku di kawasan bandar,” ujar Jonnybone, yang juga Penolong Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah.
]]>KOTA KINABALU: Jumlah 1,166 kes COVID-19 yang direkodkan di Sabah pada hari ini, menyaksikan 18.2 peratus 213 kes jangkitan berlaku ke atas golongan yang telah divaksinasi iaitu 92 individu lengkap vaksin dan 121 individu Dos 1.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, peningkatan jumlah kes hari ini menunjukkan kelalaian masyarakat dan tahap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang masih lemah.
Berbanding jumlah keseluruhan, 26.1 peratus 304 kes merupakan jangkitan dalam golongan yang tidak layak vaksin, manakala 55.7 peratus 649 kes adalah golongan yang masih menunggu giliran untuk vaksinasi.
Berikutan pecahan angka mengikut umur turut memperlihatkan golongan aktif berumur 18 hingga 59 tahun sebagai kumpulan yang mencatat kes paling tinggi dengan 793 kes. Ia diikuti golongan berusia 6 hingga 71 tahun dengan 215 kes.
Katanya, penularan jangkitan COVID-19 hari ini, turut menjangkiti golongan yang seharusnya diberi perhatian yang lebih oleh ahli keluarga.
Ia merangkumi 19 kes bayi berusia setahun ke bawah, 70 kes kanak-kanak dalam lingkungan umur setahun hingga 5 tahun dan 69 kes bagi golongan warga emas.
]]>12 Jun 2021
KINARUT: ‘Sumbang Jika Mampu, Ambil Jika Perlu’ itu la slogan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Sabah sempena melancarkan program ‘Food Bank’ atau Tabung Makanan anjuran bersama YADIM dan Ahli Jawatankuasa Masjid Puncak Taqwa (MPT) Pekan Kinarut, baru-baru ini.
Program Tabung Makanan yang dilancarkan pada 8 Jun lalu, mendapat sambutan daripada orang ramai yang turut memberi sumbangan berupa makanan keperluan seharian ataupun sumbangan kewangan untuk disalurkan ke dalam rak-rak tabung makanan yang diletakkan di ruang legar Masjid Puncak Taqwa bagi golongan yang memerlukan.
Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Sabah, Samin Ongki berkata dalam satu kenyataan medianya semasa melancarkan program Tabung Makanan itu, ia dilancarkan bagi membantu golongan yang terkesan berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan penuh 3.0 yang dilanjutkan sehingga 28 Jun ini.
“Ramai individu yang terjejas semasa pandemik Covid-19 melanda negara ini, kita berharap ramai yang tampil untuk turut sama menyumbang jika berkemampuan dan dapat membantu meringankan beban mereka yang memerlukan.
“Jesteru, ia sekaligus menyerlahkan peranan institusi masjid di komuniti ini,” tambahnya.
Antara barangan keperluan yang
disumbangkan seperti beras, gula, kopi, susu, air mineral dan roti.
Sementara itu, Setiausaha MPT merangkap Penyelaras Food Bank YADIM MPT, Ustaz Nor Azhar Alimin berkata ketika dihubungi pemberita Sabah Media hari ini, sehingga kini ramai pemberi sumbangan yang hadir turut menyumbang barangan keperluan lain dan penerima-penerima juga hadir dengan mengikut Standard Operasi Prosedur (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ustaz Azhar Berkata, sesiapa sahaja yang memerlukan tanpa mengira kaum, bangsa dan agama boleh mengambil empat jenis dari barangan yang telah disediakan dalam rak-rak Tabung Makanan tersebut.
” kita berharap Tabung Makanan ini bukan sahaja dilaksanakan semasa tempoh perlaksanaan PKP 3.0 ini tetapi juga di masa-masa akan datang kerana memberikan impak positif dikalangan masyarakat, ia dapat menyemai sikap saling membantu dan berkongsi rezeki kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.
]]>