gusti lengan – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sat, 20 Jun 2026 12:46:27 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png gusti lengan – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Gusti lengan mampu bentuk belia berdaya saing, bina komuniti sihat – Devon Larratt https://sabahmedia.com/2026/06/20/gusti-lengan-mampu-bentuk-belia-berdaya-saing-bina-komuniti-sihat-devon-larratt/ https://sabahmedia.com/2026/06/20/gusti-lengan-mampu-bentuk-belia-berdaya-saing-bina-komuniti-sihat-devon-larratt/#respond Sat, 20 Jun 2026 12:45:33 +0000 https://sabahmedia.com/?p=98531
Read Time:3 Minute, 10 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Legenda gusti lengan dunia, Devon Larratt percaya golongan belia memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan sukan itu, sekali gus menyeru lebih ramai anak muda Malaysia khususnya di Sabah untuk menjadikan gusti lengan sebagai platform membina disiplin, kekuatan mental serta hubungan komuniti yang positif.

Bekas anggota tentera Kanada yang masih aktif bersaing di peringkat tertinggi dunia pada usia 51 tahun itu berkata, perkembangan pesat gusti lengan di seluruh dunia menunjukkan sukan tersebut mempunyai potensi besar untuk menarik minat generasi muda.

Menurutnya, penglibatan belia dalam sukan itu bukan sekadar melahirkan atlet berprestasi tinggi, malah mampu membentuk individu yang lebih berkeyakinan, sihat dan berdaya tahan.

“Saya melihat semakin ramai golongan muda menyertai gusti lengan dan pertumbuhannya sangat pesat. Lebih ramai belia perlu diberikan peluang untuk mengenali sukan ini melalui sekolah, kelab dan pertandingan yang dianjurkan secara konsisten.

“Semakin ramai anak muda terlibat, semakin kuat komuniti yang dapat dibina. Sukan ini bukan sahaja mengajar teknik dan kekuatan fizikal, tetapi juga nilai persahabatan, hormat dan semangat kekeluargaan,” katanya ketika ditemui Sabah Media semasa Kejohanan Gusti Lengan Antarabangsa East vs West di Palm Square, Center Point, pada Sabtu.

Devon ditemani isterinya Jodi Larratt yang pertama kali berkunjung ke negeri ini turut memuji sambutan hangat masyarakat Sabah serta semangat yang ditunjukkan atlet gusti lengan tempatan.

Beliau berkata, pembangunan sukan itu perlu bermula di peringkat akar umbi dengan mewujudkan lebih banyak kelab, pusat latihan dan program pembangunan belia yang tersusun.

“Perkara paling penting ialah menjaga komuniti dalam kelab. Wujudkan lebih banyak aktiviti, lebih banyak pertandingan dan galakkan penyertaan pelajar sekolah.

“Apabila lebih ramai anak muda berkumpul dan berlatih bersama, mereka bukan sahaja menjadi atlet yang lebih baik tetapi juga membina jaringan persahabatan yang berkekalan,” katanya.

Mengimbas perjalanan kariernya, Devon berkata beliau mula berjinak-jinak dengan gusti lengan sejak berusia empat tahun sebelum mula bertanding secara kompetitif pada usia 18 tahun.

Katanya, salah satu rahsia kekal relevan dalam sukan itu selama lebih tiga dekad ialah sentiasa menikmati proses pembelajaran dan penambahbaikan diri.

“Saya sentiasa percaya bahawa saya masih boleh menjadi lebih baik. Itulah motivasi terbesar saya sehingga hari ini.

“Kepada anak-anak muda, nikmatilah sukan ini dan jangan terlalu tergesa-gesa mengejar kejayaan. Tetapkan matlamat, bersabar dan lihat gusti lengan sebagai sebahagian daripada kehidupan yang boleh membawa banyak manfaat,” katanya.

Dalam pada itu, Devon turut mengakui beliau masih menyimpan hasrat untuk sekali lagi berdepan juara dunia dari Georgia, Levan Saginashvili, yang dianggap ramai sebagai atlet gusti lengan terbaik dunia ketika ini.

Menurutnya, Levan bukan sahaja pencabar paling sukar pernah dihadapinya, malah menjadi sumber inspirasi yang mendorong beliau untuk terus meningkatkan prestasi walaupun sudah berada di penghujung karier.

“Levan telah mengubah hidup saya. Dia menaikkan standard sukan ini ke tahap yang lebih tinggi. Saya sentiasa menghormatinya dan akan terus mengejar tahap yang telah ditetapkannya.

“Jika suatu hari nanti saya berjaya menewaskannya, ia pasti menjadi detik yang cukup bermakna kerana dia banyak memberi inspirasi kepada perjalanan karier saya,” katanya.

Menurut beliau, persaingan sihat antara atlet elit dunia seperti dirinya dan Levan juga membuktikan bahawa gusti lengan bukan sekadar pertandingan kekuatan, tetapi medan untuk terus memperbaiki diri dan mencabar had kemampuan masing-masing.

“Sukan membina komuniti. Ia menyatukan orang ramai dalam suasana aman dan sihat. Melalui gusti lengan, seseorang boleh memperoleh kekuatan, kesihatan, persahabatan dan rasa kekitaan.

“Jika sukan ini dapat memberikan semua perkara itu kepada golongan muda, maka mereka berada di landasan yang betul untuk membina masa depan yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Devon turut optimis bahawa gusti lengan akan terus berkembang dalam tempoh 10 tahun akan datang dengan penyertaan belia menjadi pemacu utama pertumbuhan sukan tersebut di seluruh dunia.

Justeru, beliau percaya lebih banyak negara akan memberi perhatian kepada pembangunan gusti lengan di peringkat sekolah dan komuniti, sekali gus membuka peluang kepada generasi muda untuk mengangkat sukan itu ke tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/20/gusti-lengan-mampu-bentuk-belia-berdaya-saing-bina-komuniti-sihat-devon-larratt/feed/ 0 98531
Sabah angkat gusti lengan tradisi ke pentas antarabangsa https://sabahmedia.com/2026/06/20/sabah-angkat-gusti-lengan-tradisi-ke-pentas-antarabangsa/ https://sabahmedia.com/2026/06/20/sabah-angkat-gusti-lengan-tradisi-ke-pentas-antarabangsa/#respond Sat, 20 Jun 2026 12:39:51 +0000 https://sabahmedia.com/?p=98528
Read Time:3 Minute, 11 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Sukan gusti lengan yang sekian lama menjadi sebahagian daripada tradisi masyarakat Sabah, khususnya ketika sambutan Pesta Kaamatan, kini melakar sejarah baharu apabila berjaya menembusi pentas antarabangsa menerusi penganjuran kejohanan bertaraf dunia buat julung kalinya di Malaysia.

Kejohanan selama dua hari bermula hari ini hingga 21 Jun yang berlangsung di Palm Square, Center Point itu menghimpunkan dua jenama terbesar gusti lengan dunia, King of the Table dan East vs West, menyaksikan Sabah dipilih sebagai lokasi pertama di negara ini untuk menganjurkan acara berprestij tersebut.

Penganjur kejohanan, Michael Ford berkata, penganjuran itu membuktikan bahawa gusti lengan bukan lagi sekadar permainan tradisional yang sinonim dengan acara kebudayaan dan perayaan masyarakat tempatan, tetapi telah berkembang menjadi sukan profesional yang mendapat perhatian global.

Menurut beliau, kejohanan berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Sabah Tourism sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sektor pelancongan sukan serta memperkenalkan Sabah kepada komuniti gusti lengan antarabangsa.

“Ramai mengenali gusti lengan sebagai sukan tradisi yang sering dimainkan ketika Pesta Kaamatan, tetapi hari ini kita berjaya membawa atlet terbaik dunia ke Sabah.

“Ini bukan sekadar pertandingan, tetapi platform untuk menunjukkan bahawa Sabah mampu menjadi tuan rumah acara sukan bertaraf antarabangsa,” katanya ketika ditemui Sabah Media semasa kejohanan itu pada Sabtu.

Kejohanan itu menarik penyertaan atlet dari Taiwan, Thailand, Indonesia, Filipina, Brunei, Korea Selatan, China, Sweden, Rusia dan Semenanjung Malaysia.

Malah, terdapat peserta yang sanggup memandu dari Kuching untuk menyertai pertandingan tersebut, sekali gus menggambarkan tarikan luar biasa acara berkenaan.

Menurut Michael, sambutan yang diterima jauh melebihi jangkaan dengan lebih 200 atlet menyertai pelbagai kategori sepanjang kejohanan berlangsung.

Selain kategori amatur, pertandingan turut melibatkan kategori wanita, Masters dan profesional, manakala acara kemuncak menyaksikan 24 atlet terbaik dari rantau Asia serta antarabangsa berentap dalam format super match satu lawan satu.

“Apa yang menarik, kebanyakan atlet antarabangsa yang hadir merupakan juara atau antara atlet terbaik negara masing-masing. Mereka datang ke Sabah untuk bersaing dengan atlet terbaik rantau ini,” katanya.

Di sebalik kejayaan menganjurkan kejohanan tersebut, Michael sendiri merupakan antara atlet gusti lengan Sabah yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Atlet berusia 37 tahun itu telah berkecimpung dalam sukan gusti lengan selama lebih 15 tahun dan mula memberi tumpuan secara serius kepada pertandingan antarabangsa dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Antara pencapaian terbesar beliau ialah menjuarai kejohanan berprestij Arnold Classic 2025 di Amerika Syarikat dalam kategori super heavyweight, selain turut meraih kemenangan dalam kejohanan di Kanada.

Dalam usaha mempromosikan gusti lengan Sabah ke peringkat dunia, Michael turut aktif menyertai pertandingan antarabangsa di Amerika Syarikat, Kanada, Taiwan, Filipina, Indonesia dan Turkiye.

Beliau berkata, perkembangan pesat gusti lengan sejak beberapa tahun kebelakangan ini banyak dibantu oleh media sosial yang membuka ruang kepada jutaan penonton di seluruh dunia untuk mengenali sukan tersebut.

Katanya, jika sebelum pandemik COVID-19 gusti lengan hanya diminati kelompok tertentu, kini sukan itu berkembang dengan lebih pesat menerusi penganjuran kejohanan profesional berskala besar di pelbagai negara.

Kehadiran legenda gusti lengan dunia dari Kanada, Devon Larratt, turut menjadi tarikan utama kejohanan tersebut.

Michael berkata, kehadiran ikon sukan berkenaan memberi impak besar kepada ekonomi tempatan apabila ramai peminat dan peserta dari luar negara datang ke Kota Kinabalu semata-mata untuk menyaksikan acara tersebut.

“Kita dapat melihat hotel-hotel menerima tempahan, perniagaan tempatan mendapat manfaat dan ramai pelancong hadir kerana acara ini.

“Inilah kekuatan pelancongan sukan. Apabila acara bertaraf dunia dianjurkan di Sabah, manfaatnya bukan sahaja kepada sukan tetapi juga ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berharap kejohanan tersebut dapat dijadikan acara tahunan dengan sasaran antara 300 hingga 400 peserta pada tahun depan.

Menurutnya, penganjuran yang lebih besar pada masa hadapan mampu mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai hab gusti lengan utama di Asia Tenggara.

“Kami mahu melihat Sabah dikenali bukan sahaja kerana keindahan alam semula jadinya, tetapi juga sebagai destinasi utama bagi kejohanan gusti lengan antarabangsa.

“Ini adalah langkah penting untuk membawa sukan tradisi yang diwarisi sejak sekian lama ke pentas dunia,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/20/sabah-angkat-gusti-lengan-tradisi-ke-pentas-antarabangsa/feed/ 0 98528
Sukan Gusti Lengan Angkat Nama Sabah Diperingkat Kebangsaan https://sabahmedia.com/2022/01/09/sukan-gusti-lengan-angkat-nama-sabah-diperingkat-kebangsaan/ https://sabahmedia.com/2022/01/09/sukan-gusti-lengan-angkat-nama-sabah-diperingkat-kebangsaan/#respond Sun, 09 Jan 2022 02:09:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=10916
Read Time:1 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU: Kejayaan Kelab Sukan Gusti Lengan Kota Kinabalu (Arm Wrestling Sport Club KK) dalam kejohanan kebangsaan di Kuala Lumpur baru-baru ini mendapat pujian pemimpin negeri.

Beberapa atlet dari kelab tersebut menerima pujian Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim.

“Syabas kerana mereka telah berjaya menjadi juara sekaligus mengangkat nama Sabah,” katanya.

Menurutnya, kelab tersebut wajar diberi pujian walaupun namanya mungkin tidak segah atau sebesar nama kelab lain yang terdapat di Malaysia, tetapi mampu untuk mengeluarkan atlet hebat bertaraf antarabangsa.

“Mereka boleh menjadi contoh atau ‘role model’, kerana secara diam-diam rupanya telah mengeluarkan seorang juara dunia yang telah mewakili Malaysia, dan khususnya mewakili Sabah.

“Mereka berjaya kerana ada kesungguhan dan disiplin, berbanding segelintir persatuan yang mempunyai nama besar tetapi tidak pernah melakar kejayaan,” katanya.

Jahid turut menghargai kesungguhan yang ditunjukkan oleh kelab tersebut, dan gembira atas kejayaan mereka membantu pasukan Sabah menjadi Pasukan Terbaik Kejohanan, di samping berharap kejayaan berterusan akan terus dicapai mereka.

Joffey Jolly, 29 tahun yang sebelum ini berjaya menjuarai kejohanan International Federation Of Arm Wrestling (IFA) World Championship, di Poland, sekali lagi mencipta kemenangan bagi Kategori Senior 78kg Right Hand dan Left Hand.

Manakala ayahnya yang juga Presiden Kelab Sukan Gusti Lengan Kota Kinabalu (Arm Wrestling Sport Club KK), Jolly Johnson, mengungguli kategori Kategori Master +86kg Right Hand.

Dalam pada itu, Jolly, menghargai sumbangan peribadi Jahid kepada mereka bagi menampung keperluan Joffey sepanjang berada di Poland, baru-baru ini.

“Kunjungan ini adalah sebagai tanda terima kasih kami kepada beliau (Jahid) atas kesudian membantu kami menghantar wakil kelab ini ke Kuala Lumpur, syukurlah kita telah mencapai kejayaan yang sangat manis,” katanya.

Turut hadir pada kunjungan itu ialah Timbalan Presiden Arm Wrestling Sport Club KK, Kennedy Romero Wong.

]]>
https://sabahmedia.com/2022/01/09/sukan-gusti-lengan-angkat-nama-sabah-diperingkat-kebangsaan/feed/ 0 10916