Hab – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sat, 23 May 2026 07:32:44 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Hab – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Kundasang berpotensi jadi hab pengeluaran bawang merah negara https://sabahmedia.com/2026/05/23/kundasang-berpotensi-jadi-hab-pengeluaran-bawang-merah-negara/ https://sabahmedia.com/2026/05/23/kundasang-berpotensi-jadi-hab-pengeluaran-bawang-merah-negara/#respond Sat, 23 May 2026 07:31:49 +0000 https://sabahmedia.com/?p=97192
Read Time:1 Minute, 54 Second

KUNDASANG: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) terus memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara menerusi pembangunan Projek Pengeluaran Benih Bawang Merah MARDI di Kundasang yang berpotensi menjadi antara hab pengeluaran bawang merah strategik negara menjelang 2030.

Komitmen itu dizahirkan menerusi lawatan kerja Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin ke projek berkenaan di Kampung Mesilou bagi meninjau perkembangan pelaksanaan pengeluaran benih bawang merah bersama usahawan tani bimbingan MARDI.

Lawatan itu sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan memperkasa industri bawang merah tempatan melalui penghasilan benih berkualiti tinggi, peningkatan produktiviti serta pengurangan kebergantungan terhadap import bawang.

Dalam kenyataan media hari ini, Chan berkata beliau turut diberikan taklimat mengenai kemajuan projek termasuk penggunaan varieti bawang merah MARDI iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 yang dibangunkan khusus untuk menyokong pengeluaran bawang tempatan secara lebih mampan dan kompetitif.

Beliau turut melawat kawasan tanaman bawang serta Rumah Pengeringan dan Penyimpanan Benih Bawang Merah yang dibangunkan MARDI sebagai infrastruktur sokongan bagi memastikan pengeluaran benih dapat dilaksanakan secara konsisten dan memenuhi standard kualiti ditetapkan.

Kemudahan bernilai RM523,000 itu berfungsi sebagai pusat pengendalian, pengeringan dan penyimpanan benih sebelum diedarkan ke Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.

Inisiatif itu selaras dengan sasaran kerajaan untuk mengurangkan import bawang sebanyak 30 peratus menjelang 2030 selain memastikan industri bawang negara terus relevan, mampan dan berdaya saing.

Projek pengeluaran benih bawang merah itu dilaksanakan bersama usahawan bimbingan MARDI, Shahrizal Denci yang mula terlibat dalam program berkenaan pada 2024.

Sepanjang dua musim penanaman terdahulu, beliau berjaya menghasilkan 20 metrik tan bawang merah di kawasan seluas lima ekar.

Seiring perkembangan projek, kawasan penanaman kini diperluaskan secara berperingkat sehingga mencapai 40 ekar menjelang 2030 dengan sasaran pengeluaran keseluruhan sehingga 200 metrik tan.

Pembangunan berskala besar itu dijangka mampu meningkatkan bekalan bawang merah tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bawang.

Selain memperkukuh pengeluaran benih tempatan, projek berkenaan turut menjadi model kerjasama strategik antara kerajaan, institusi penyelidikan dan komuniti tani dalam membangunkan ekosistem industri bawang merah yang lebih moden, berdaya tahan dan bernilai tinggi.

MARDI akan terus komited memperkasa pembangunan teknologi pertanian, pemindahan inovasi serta sokongan teknikal kepada komuniti tani bagi memastikan industri bawang merah tempatan terus berkembang secara mampan dan menyumbang kepada agenda sekuriti makanan negara.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Ketua Pengarah MARDI, Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/23/kundasang-berpotensi-jadi-hab-pengeluaran-bawang-merah-negara/feed/ 0 97192
Firefly tubuh hab sepenuhnya di Sabah bulan depan https://sabahmedia.com/2023/04/06/firefly-tubuh-hab-sepenuhnya-di-sabah-bulan-depan/ https://sabahmedia.com/2023/04/06/firefly-tubuh-hab-sepenuhnya-di-sabah-bulan-depan/#respond Thu, 06 Apr 2023 09:16:07 +0000 https://sabahmedia.com/?p=32267
Read Time:3 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Firefly (FY) bersedia untuk menubuhkan hab sepenuhnya di Sabah bulan depan, ini memberi petanda baik untuk sektor pelancongan, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew.

Beliau diberi taklimat mengenai operasi FY ke Malaysia Timur (Hab BKI) oleh Ketua Pegawai Eksekutif (Airline Business) Malaysia Aviation Group (MAG) Ahmad Luqman Mohd Azmi, baru-baru ini.

“Saya dimaklumkan bahawa Firefly akan mewujudkan habnya di sini menjelang 15 Mei tahun ini, di mana kapasiti pesawat B738 ialah 189 orang. Rancangan akan datang FY adalah mengendalikan tiga laluan yang mengambil alih daripada Malaysia Airlines (MAS), iaitu Kota Kinabalu-Sandakan, Kota Kinabalu-Tawau dan Kota Kinabalu-Kuching.

“Lebih penting lagi, kehadiran Hab FY akan memudahkan penerbangan terus China ke Sabah,” kata Christina, yang menantikan penerbangan terus MAS dari Xiamen dan bandar pedalaman seperti Nanning dan Chongqing, antara lain.

Menurut Ahmad Luqman, hanya pada suku kedua dan seterusnya 2023 akan ada penerbangan terus FY dari China ke Sabah.

“Sebagai permulaan, kami mempunyai penerbangan sewa khas dari China ke Kuala Lumpur sahaja (menggunakan perkhidmatan MAS), tetapi tidak ke Kota Kinabalu. Sebagai contoh, kami memulakan penerbangan sewa mingguan dari Xiamen ke KL dahulu, pada Januari tahun ini. Berdasarkan perbincangan kami dengan penyewa, penerbangan sewa dari Xiamen ke KK akan bermula dengan Firefly.

“Penerbangan terus China ke Sabah hanya akan dimulakan sebaik sahaja kami mempunyai Hab Firefly di Kota Kinabalu. Kami kemudian akan mempunyai lebih banyak penerbangan terus dengan China dan Asia Pasifik Utara,” jelasnya.

Beliau memberi pencerahan kepada Christina mengenai prestasi keseluruhan MAG dan tahun lepas mengenai perkembangan operasi MAG dalam dan keluar dari Sabah mengenai Malaysia Airlines (MAS) dan Firefly, serta mengenai operasi MASwings di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Firefly dan MASwings ialah anak syarikat penerbangan MAS.

Pada ketika ini, Liew memuji MAS atas penambahbaikan perkhidmatan dalam penerbangan seperti perkhidmatan makanan.

Menjawab soalan Christina mengenai operasi semasa MAS ke Sabah dan kekerapan penerbangan, Ahmad Luqman berkata terdapat 70 penerbangan mingguan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, 14 penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tawau dan sepuluh penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sandakan.

Ditanya sama ada penerbangan dua kali seminggu dari Kota Kinabalu ke Narita (Jepun) akan dinaikkan, Ketua Pegawai Eksekutif MAG itu berkata adalah mungkin jika ada permintaan.

Ahmad Luqman memberi maklumat terkini mengenai struktur baharu MAG dan barisan kepimpinan di mana beliau memperkenalkan Suresh Singam sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) baharu untuk MASwings dan Kapten Hamdan Che Ismail (Ketua Pegawai Operasi, Firefly).

Sementara itu, Christina menyuarakan kebimbangan mengenai tahap kebersihan tandas awam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) yang tidak memuaskan.

Beliau berkata perhentian pertama penumpang sebaik mendarat di KKIA jelas sekali adalah tandas, sambil menyatakan harapan bahawa standardnya akan setanding dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Sabah memang cantik tetapi boleh dicemari dengan isu kebersihan tandas. Justeru, keutamaan adalah memastikan tandas awam berada dalam keadaan tip-top lengkap dengan tisu tandas dan bekalan air.

“Memang mengecewakan. Saya menerima banyak aduan daripada penumpang melalui whatsapp mengenai bau busuk dan lantai basah akibat pengguna sebelum ini.

“Sebaik-baiknya, kita harus mempunyai tandas kering dan tandas basah di kedua-dua balai ketibaan dan berlepas untuk memenuhi pelbagai keperluan pengguna,” katanya.

Beliau menegaskan situasi yang tidak menyenangkan yang dialami di tandas lapangan terbang kita akan memalukan Sabah dan Kerajaan.

Ahmad Luqman, turut memaklumkan kepada Christina mengenai isu dan cabaran semasa syarikat penerbangan tempatan dan memberi jaminan bahawa beliau akan membawa isu itu dengan pihak berkuasa yang berkaitan.

Di samping itu, Christina mahu Malaysia Airports Berhad (MAB) mempertimbangkan untuk mengurangkan penyewaan kedai komersil di KKIA, dengan berkata perniagaan penyewa tidak berapa baik untuk mereka sejak dua setengah tahun lalu.

Beliau juga berharap lebih banyak kaunter imigresen dapat disediakan, memandangkan penumpang yang beratur panjang menunggu pelepasan di lapangan terbang.

Delegasi turut dihadiri Nita Malek (Pengurus Kanan, Perhubungan Kerajaan), Tuan Chali Awang (Ketua Jualan Malaysia Timur – Perniagaan Syarikat Penerbangan) dan Rozanah Robert (Pemasaran, Komunikasi & Penjenamaan – Perniagaan Syarikat Penerbangan).

Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Mohd Yusrie Abdullah, Timbalan Setiausaha Tetap I Mary Malangking dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Noredah Othman.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/04/06/firefly-tubuh-hab-sepenuhnya-di-sabah-bulan-depan/feed/ 0 32267
Pelabuhan POIC LD Hab ‘Trans-Shipment’ Sektor Perkapalan https://sabahmedia.com/2022/09/05/pelabuhan-poic-ld-hab-trans-shipment-sektor-perkapalan/ https://sabahmedia.com/2022/09/05/pelabuhan-poic-ld-hab-trans-shipment-sektor-perkapalan/#respond Mon, 05 Sep 2022 08:18:52 +0000 https://sabahmedia.com/?p=21089
Read Time:3 Minute, 50 Second

LAHAD DATU: Pelabuhan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu mampu menjadi salah satu hab ‘trans- shipment’ yang utama bagi sektor perkapalan di rantau ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kedudukan strategik Pelabuhan POIC di pertengahan Asia Timur mempunyai kelebihan besar dalam aspek pengendalian kargo pukal yang mana pemprosesan boleh dilakukan di sini, sebelum dieksport ke beberapa negara maju seperti China, Jepun, Korea, Taiwan dan Hong Kong.

“Sudah pasti infrastruktur baharu itu akan menjana pertumbuhan sosio ekonomi tempatan termasuk peluang pekerjaan.

“Pelabuhan ini juga akan membantu menjayakan lagi sektor perindustrian di Sabah
iaitu antara tiga sektor utama dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menjadi sektor tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi negeri”, katanya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pelaburan di antara POIC Sabah Sdn Bhd bersama Gamalux Oils Sdn Bhd dan Bumi Teraju Borneo Sdn Bhd serta perjanjian penyewaan fasiliti tangki pukal di antara POIC Sabah Sdn Bhd dan KL-Kepong (Sabah) Sdn Bhd sempena Majlis Pelancaran Rasmi Pelabuhan POIC Lahad Datu dan Pengoperasian Fasiliti Tangki Pukal POIC, Lahad Datu, hari ini. – Foto ihsan JKM

Hajiji berkata demikian pada Majlis Pelancaran Rasmi Pelabuhan POIC Lahad Datu dan Pengoperasian Fasiliti Tangki Pukal POIC di sini, hari ini.

Menurutnya, sektor industri pelabuhan adalah salah satu daripada pemangkin utama dan tulang belakang kepada pembangunan negeri Sabah, khususnya melibatkan penghantaran barang atau kargo.

Katanya, kemudahan-kemudahan infrastruktur yang baik dan berkualiti akan dapat menyokong setiap usaha pembangunan ekonomi yang akan dilaksanakan terutamanya di negeri Sabah.

“Kerajaan Negeri Sabah sentiasa berusaha untuk memacu pembangunan negeri ke tahap yang lebih tinggi. Justeru kita yakin dengan kerjasama yang jitu dan erat di antara Kerajaan Negeri dengan sokongan padu daripada Syarikat Berkepentingan Kerajaan (GIC) negeri, termasuk menubuhkan POIC Lahad Datu pada tahun 2005, dengan objektif untuk menerajui pembangunan dalam sektor industri pemprosesan hiliran minyak sawit untuk menambah nilai kepada 1.4 juta hektar ladang kelapa sawit di Sabah, disamping mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan”, katanya.

Hajiji berkata, POIC juga membangunkan kelompok-kelompok industri tambahan selain industri berasaskan kelapa sawit sebagai respon kepada kehendak dan minat para pelabur terhadap prospek yang semakin meningkat seperti sektor pelabuhan dan logistik, biojisim (biomass), kilang penapisan bio, minyak dan gas serta perusahaan kecil dan sederhana.

Beliau berkata, dengan siapnya pelabuhan POIC Lahad Datu pada tahun 2018 sebagai hab logistik perkapalan global dengan memanfaatkan laluan perkapalan utama Selat Lombok-Makassar yang melalui Lahad Datu.

“Saya yakin dan percaya dengan kekuatan dan peluang yang ada, Pelabuhan POIC Lahad Datu boleh berkembang dengan lebih maju dan mempunyai daya saing yang tinggi pada masa hadapan. Secara umumnya, saya pasti Pelabuhan POIC tidak mempunyai kekangan besar yang boleh menghalang pertumbuhannya.

“Kedudukannya di lokasi strategik dan dipertengahan laluan utama kapal dagang adalah faktor utama yang dapat menarik lebih banyak syarikat perkapalan untuk menggunakan pelabuhan ini”, tegasnya.

Hajiji optimis pelabuhan POIC Lahad Datu akan merancakkan lagi kegiatan ekonomi negeri khususnya dalam sektor pembuatan, perkhidmatan logistik dan sokongan kepada operasi eksport dan import.

Katanya, POIC Sabah Sdn.Bhd melalui anak syarikatnya POIC Logistics Sdn. Bhd bertanggungjawab penuh dalam mengendalikan operasi pelabuhan yang terdapat di POIC Lahad Datu, yang menyediakan kemudahan pelabuhan paling komprehensif, canggih dan serba lengkap di perairan Selat Lombok-Makassar.

Menurutnya, pelabuhan-pelabuhan ini terdiri daripada Terminal Kontena, Terminal Pukal Kering, Terminal Pukal Cecair dan Dermaga Pendaratan Baj/Tongkang.

Beliau berkata, dengan kemudahan prasarana itu, Pelabuhan POIC Lahad Datu merupakan diantara pelabuhan yang mempunyai kemudahan komprehensif yang terbaik di rantau ini.

Malahan katanya, pelabuhan-pelabuhan yang terdapat di POIC mempunyai kedalaman semula jadi sehingga 20 meter, setanding dengan pelabuhan terbaik di dunia seperti Pelabuhan Rotterdam.

“Oleh itu, adalah diharapkan pemain-pemain industri tempatan dapat memanfaatkan kemudahan pelabuhan tempatan khususnya Pelabuhan POIC Lahad Datu. Justeru, pelabuhan ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negeri khususnya bagi kawasan pantai timur Sabah dan akan menjadi salah satu pintu masuk utama perdagangan dan pelaburan ke negeri ini.

Sementara itu, Hajiji berkata Kerajaan Negeri menyokong dan bersetuju pada dasarnya beberapa cadangan dan inisiatif baharu yang boleh memacu perkembangan serta meningkatkan keupayaan POIC dalam merancakkan lagi aktiviti perindustrian di Wilayah Pantai Timur Sabah.

Katanya, 5 inisiatif itu ialah pewujudan Zon Bebas (Free Zone) di Taman Perindustrian Lahad Datu, mewujudkan Pusat Pengumpulan Satekit Biojisim (Satelite Biomass Collection Centre), Lapangan Terbang Antarabangsa di Lahad Datu, menubuhkan Akademi Maritim dan Pembinaan Pusat Rawatan Kesihatan di kawasan tanah komersil di POIC Lahad Datu.

Beliau berkata, beberapa inisiatif yang akan dilaksanakan di POIC akan memberi manfaat besar kepada rakyat, selain membantu merancakkan ekonomi di wilayah pantai timur Sabah.

“Pelabuhan ini secara langsung dan tidak langsung adalah milik rakyat Sabah dan kitalah yang akan mendapat nikmat dan manfaat darinya”, tegasnya.

]]>
https://sabahmedia.com/2022/09/05/pelabuhan-poic-ld-hab-trans-shipment-sektor-perkapalan/feed/ 0 21089