PITAS: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mula mengatur persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) bermula dengan pelancaran Gagasan Rakyat Bahagian Pitas, hari ini.
Ketua Menteri yang juga Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, semua 73 bahagian parti itu perlu bersiap sedia dari sekarang untuk memastikan kemenangan Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau berkata, semua bahagian dan cawangan, termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat perlu bergerak awal mengukuhkan jentera parti dan
menambah keahlian di semua bahagian.
“Inilah yang kita akan lakukan bermula di Bahagian Pitas ini kerana tidak lama lagi Pilihan Raya Umum (PRN), iaitu kira-kira dua tahun lagi.
“Kalau GRS dan 73 bahagian Gagasan Rakyat sudah sedia, kuatkan bahagian, banyakkan ahli di cawangan, kuatkan jentera sayap kita, Wanita, Pemuda dan Beliawanis, insyaAllah kita boleh fikirkan untuk pastikan kita mendapat mandat rakyat sekali lagi pada PRN akan datang,” katanya ketika melancarkan Gagasan Rakyat
Bahagian Pitas di Dataran Pitas, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Pitas, Datuk Seri Ruddy Awah; Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohd Razali Razi, Ketua Pemuda GRS, Datuk Fairuz Renddan dan Ketua Beliawanis, Emmie M. Idang.
Gagasan Rakyat Bahagian Pitas adalah yang pertama dilancarkan oleh Hajiji di peringkat bahagian selepas pelancaran Gagasan Rakyat di peringkat negeri pada 2 Mac lalu.
Hajiji berkata, berdasarkan sambutan rakyat terhadap parti itu yang semakin memberangsangkan, beliau yakin Gagasan Rakyat mempunyai masa depan yang
cerah di negeri ini.
“Rakyat kita mahu sebuah parti tempatan untuk menjadi platform kita berjuang membela nasib rakyat kita di Sabah. Kita tubuh parti ini bukan mudah, semua tahu perjalanan politik kita di Sabah ini berliku dan penuh cabaran hebat.
“Tapi saya yakin dengan Gagasan Rakyat ini insyaAllah perjuangan parti tempatan ini kita dapat angkat bersama GRS untuk Sabah ini. Inilah gabungan besar yang akan kita pakai dalam PRN akan datang.
“Kita mahu menyatupadukan rakyat kerana kita telah mengalami pelbagai gelombang cabaran politik Sabah. Bukan mudah untuk kita sampai ke kedudukan kita hari ini sehingga kita berjaya menggunakan parti tempatan,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinannya bahawa Gagasan Rakyat yang berkonsepkan parti berbilang kaum diterima rakyat Sabah.
Katanya, perjuangan parti itu akan memberi isyarat jelas kepada parti pembangkang di Sabah bahawa Gagasan Rakyat dan GRS akan menjadi platform politik yang kuat pada masa akan datang di Sabah.
Hajiji turut mengulangi keyakinannya terhadap keupayaan GRS yang kini dianggotai tujuh parti dalam menghadapi apa saja cabaran ke arah membangunkan Sabah seperti aspirasi rakyat negeri ini.
“Inilah perjuangan kita dalam Gagasan Rakyat, kita pilih parti lokal, cukuplah kita ikut parti nasional. Sekarang tiba masa untuk kita pakai parti lokal, tapi kita tidak boleh gaduh dengan parti nasional. Kita mesti juga kawan dan kerjasama dengan parti nasional tapi keutamaan kita ialah parti tempatan.
“Kita juga mesti kuatkan GRS dan kerjasama dengan rakan komponen kerana kalau kita bersatu padu kita akan lebih kuat dan maju. Kita perlu belajar dari kesilapan lalu, kita banyak bergaduh menyebabkan orang lain mengambil kesempatan,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji memberi jaminan pembangunan daerah termasuk di Pitas akan diberi keutamaan sejajar komitmen kerajaan GRS untuk membawa pembangunan menyeluruh dan membela nasib rakyat negeri ini.
Katanya, setiap projek yang diumumkan kerajaan pasti akan dilaksanakan demi pembangunan negeri dan kepentingan rakyat terutama di luar bandar.
]]>BERNAMA
TAWAU: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Tawau siap siaga dari segi logistik dan anggota sekiranya berlaku banjir luar jangka berikutan luruan monsun dan cuaca tidak menentu.
Pegawai APM Tawau Kapten Hussain Mohd Nor berkata, sebanyak 33 anggota serta beberapa logistik menyelamat termasuk tujuh bot, dua ambulans serta dua lori lima tan bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa.
“Kita juga mengenal pasti empat kawasan tumpuan berlaku banjir iaitu Merotai, Kampung Saddani, Kampung Rawa Rawa serta sepanjang pantai Batu 4 sehingga Batu Payung,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata Pengerusi Pengurusan Bencana Negeri Sabah Datuk Safar Untong mengarahkan semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Sabah diaktifkan sejak dua minggu lepas bagi berdepan sebarang bencana.
Pada Khamis lepas (23 Disember) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan luruan monsun pada 27 hingga 30 Disember, antara lain menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan, selain hujan berterusan antaranya di kawasan utara dan pantai timur Sabah.
Dalam pada itu, Pengerusi PKOB Tawau Joseph Pang menasihatkan penduduk Tawau yang tinggal di kawasan tanah rendah serta sering dilanda banjir kilat agar berwaspada.
“Simpan dokumen penting di satu tempat (supaya) senang dibawa keluar apabila berlaku banjir, juga segera keluar rumah dan pergi ke tempat tinggi dan selamat apabila air naik,” katanya.
Selain itu, penduduk Kampung Saddani Salleh Sallabi, 83, berasa bimbang dengan luruan monsun kerana pada kebiasaannya, setiap kali berlaku hujan lebat berterusan, kawasan rumah akan banjir.
“Tepi rumah saya ini ada sungai dan jika bertembung lagi hujan lebat yang berterusan boleh menyebabkan banjir, khuatir juga dengan cuaca tidak menentu sekarang ini.
“Air tidak pernah masuk ke rumah kerana tiang rumah tinggi, namun pernah sekali banjir dan kereta tenggelam kerana lupa pindah kereta ke kawasan tinggi,” katanya turut menambah bersedia untuk mengosongkan rumah jika banjir besar berlaku.
Senada perkara itu, Rusydy Ridha Marzuki, 56, yang tinggal di kampung sama berkata penduduk kampung saling mengingatkan agar berwaspada setiap kali musim hujan.
“Setakat ini, di kawasan rumah saya kalau banjir hanya hingga paras lutut dan kereta saya akan letak di kawasan tinggi,” katanya.
Sementara itu di Lahad Datu, Pegawai APM Asby Mohd Anwar berkata pihaknya giat mengadakan pemantauan kawasan berisiko dan berkongsi maklumat dengan ketua-ketua komuniti terlibat dari semasa ke semasa.
Katanya, kawasan dikenal pasti berisiko dilanda banjir adalah Kampung Sapagaya, Segama, Jalan Pancuran, Taman Khazanah Indah serta Kampung Teburi dan susulan itu, 90 anggota dengan lapan bot sedia diaturgerak.– BERNAMA
]]>12 Jun 2021
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PKKP) meningkatkan kawalan keselamatan pekerja bagi menghadapi cabaran COVID-19 dengan memperkenalkan Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Semasa dan Pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 UMS PKKP melalui Pekeliling Pendaftar Bil.4 Tahun 2020.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, garis panduan tersebut adalah sebagai panduan kepada semua kakitangan, warga UMS dan juga pekerja luar berhubung langkah-langkah kawalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi pencegahan jangkitan COVID-19 di UMS.
“Selain itu, beberapa Garis Panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) juga telah dibangunkan bagi mengadaptasi norma baharu dalam aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan mana-mana operasi UMS,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) Sedunia Peringkat UMS yang disiarkan secara dalam talian di laman Facebook rasmi UMS.Official dan platform Cisco Webex pada Jumaat (11 Jun).
Menurut Taufiq, bagi mencapai satu sistem Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) yang berdaya tahan, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan COVID-19 UMS juga telah menjalankan pelbagai aktiviti.
“Ini meliputi roadshow pencegahan COVID-19 di UMS, statistik harian dan pemantauan kes positif COVID-19, Person Under Investigation (PUI) dan Person Under Surveillance (PUS) dalam kalangan pekerja, pelajar dan pekerja luar yang dipantau secara harian, pemantauan harian Pusat Kuarantin UMS.
“Pemantauan harian penggunaan PPE, gejala dan beban kerja barisan hadapan UMS, Aktiviti Pendidikan dan Promosi Kesihatan secara harian di media sosial rasmi UMS, Hotline COVID-19, pemantauan status perakuan kesihatan harian kakitangan dan pelajar yang menjalani pengasingan di UMS melalui sistem UMS Shield, dan program promosi vaksinasi COVID-19 dan permohonan sebagai Pusat Pemberian Vaksin,” kata Taufiq.
Taufiq dalam masa sama berkata pelajar merupakan kumpulan yang tergolong sebagai individu yang mungkin terkesan dengan risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan di UMS terutamanya di kolej kediaman.
“Untuk itu, Pusat Pengurusan NR dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF), dengan kerjasama PKKP telah mewujudkan Anugerah Penarafan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Kolej Kediaman yang julung kali diadakan bertepatan dengan falsafah kolej kediaman yang memelihara kesejahteraan dan keharmonian warganya.
“Program tahunan bagi memberikan penarafan bintang kepada semua kolej kediaman ini akan menggalakkan penglibatan warga kolej kediaman dalam aktiviti keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi menyokong kolej kediaman untuk memperoleh Persijilan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ISO 45001:2018) bermula tahun 2021,” katanya.
Ujar Taufiq, dengan iltizam yang tinggi bagi mendapatkan persijilan tersebut akan meningkatkan lagi standard amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang efektif sesuai dengan situasi pandemik masa kini, dan seterusnya membina keyakinan dan kepercayaan pemegang taruh, masyarakat dan kerajaan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan di UMS.
Selain pelancaran Anugerah Penarafan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Kolej Kediaman, beberapa siri perkongsian ilmu dan bual bicara berkaitan dengan isu dan cabaran dalam pembudayaan norma baharu di tempat kerja bersama wakil dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sabah, pakar ergonomik dari Universiti Malaysia Perlis dan ahli akademik UMS menjadi pengisian sambutan Hari OSH Sedunia Peringkat UMS yang berlangsung sehari secara atas talian melalui platform Cisco Webex.
]]>