Hidupan liar – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Tue, 21 Jul 2026 04:14:31 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Hidupan liar – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 DUN Sabah: Kerajaan perkukuh mitigasi menyeluruh tangani konflik manusia dan hidupan liar https://sabahmedia.com/2026/07/21/dun-sabah-kerajaan-perkukuh-mitigasi-menyeluruh-tangani-konflik-manusia-dan-hidupan-liar/ https://sabahmedia.com/2026/07/21/dun-sabah-kerajaan-perkukuh-mitigasi-menyeluruh-tangani-konflik-manusia-dan-hidupan-liar/#respond Tue, 21 Jul 2026 04:12:10 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100258
Read Time:2 Minute, 9 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri kini memperkukuhkan pendekatan mitigasi secara menyeluruh bagi menangani konflik antara manusia dan hidupan liar, termasuk serangan gajah liar, babi hutan, monyet serta spesies lain yang menjejaskan hasil pertanian dan pendapatan petani.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr. Andi Md. Shamsulreezal Mohd Sainal, berkata pelbagai langkah segera dan jangka panjang dilaksanakan menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta Jabatan Hidupan Liar Sabah bagi mengurangkan risiko konflik di lapangan dan memastikan pengurusan yang lebih mampan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Arunarnsin Taib (Gum-Gum) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Menurutnya, pendekatan yang diambil adalah berdasarkan sifat, ekologi dan punca konflik bagi setiap spesies serta keadaan sesuatu kawasan.

Katanya, kerajaan juga menyedari kaedah menangkap dan memindahkan hidupan liar bukan penyelesaian jangka panjang kerana hanya memindahkan masalah ke kawasan lain tanpa menangani punca sebenar konflik.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri sedang memperkukuhkan pendekatan mitigasi secara menyeluruh melalui peningkatan kesedaran masyarakat, penglibatan komuniti serta penggunaan kaedah pencegahan yang lebih berkesan.

“Jabatan Hidupan Liar Sabah juga sentiasa menambah baik prosedur operasi dan berkongsi kepakaran dengan pasukan mitigasi yang ditubuhkan bersama komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata, antara inisiatif yang telah dilaksanakan bagi menangani konflik gajah ialah penubuhan Pasukan Renjer Pengiring Gajah di kawasan panas (hotspot) yang sering berlaku konflik.

Menurutnya, pasukan yang disertai komuniti tempatan itu diberikan latihan mengenai tingkah laku gajah, kaedah mengendalikan konflik secara selamat serta teknik menghalau haiwan berkenaan tanpa mencederakannya.

“Pendekatan ini membolehkan tindakan lebih pantas di lapangan di samping meningkatkan keupayaan komuniti dalam mengurus konflik,” katanya.

Mengulas langkah khusus mengikut spesies, beliau berkata Jabatan Hidupan Liar Sabah melaksanakan aktiviti pengurangan populasi monyet secara terkawal di kawasan tertentu, khususnya bagi mengurangkan risiko penyakit zoonotik dan menjaga keselamatan awam, bukannya sebagai penyelesaian utama konflik manusia dan hidupan liar.

Bagi konflik melibatkan gajah liar pula, katanya, jabatan memasang kolar satelit pada individu tertentu bagi memantau pergerakan dan corak penggunaan habitat.

“Data pemantauan ini membantu jabatan memahami laluan pergerakan gajah serta merancang tindakan mitigasi yang lebih berkesan, termasuk memberi amaran awal kepada komuniti yang berisiko,” katanya.

Beliau berkata, bagi konflik melibatkan babi hutan, Jabatan Hidupan Liar Sabah turut melaksanakan tindakan kawalan mengikut peruntukan undang-undang berdasarkan penilaian risiko dan aduan di kawasan terjejas.

Katanya, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuhkan pendekatan berasaskan sains menerusi pemantauan berterusan, penyelidikan, penggunaan teknologi, penglibatan komuniti serta kerjasama strategik bagi memastikan keseimbangan antara pemuliharaan hidupan liar dan kesejahteraan masyarakat.

“Kerajaan komited memastikan konflik manusia dan hidupan liar dapat diurus secara mampan dengan mengambil kira keselamatan rakyat, kelangsungan sektor pertanian serta pemuliharaan biodiversiti Sabah,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/21/dun-sabah-kerajaan-perkukuh-mitigasi-menyeluruh-tangani-konflik-manusia-dan-hidupan-liar/feed/ 0 100258
Lelaki ditahan miliki pelbagai hidupan liar tanpa dokumen sah https://sabahmedia.com/2026/06/11/lelaki-ditahan-miliki-pelbagai-hidupan-liar-tanpa-dokumen-sah/ https://sabahmedia.com/2026/06/11/lelaki-ditahan-miliki-pelbagai-hidupan-liar-tanpa-dokumen-sah/#respond Thu, 11 Jun 2026 09:31:15 +0000 https://sabahmedia.com/?p=98064
Read Time:1 Minute, 20 Second

PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun ditahan selepas dipercayai memiliki pelbagai spesies hidupan liar tanpa dokumen yang sah dalam satu operasi penguatkuasaan bersepadu di Kampung Nambazan, di sini, pada Rabu.

Operasi itu dijalankan oleh Unit Risikan Marin Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dan Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL).

Dalam serbuan berkenaan, pasukan penguat kuasa merampas beberapa spesies hidupan liar yang disyaki dimiliki tanpa permit atau dokumen sah, termasuk seekor rusa sambar, seekor kijang, seekor burung Bornean Crested Fireback Pheasant, tiga ekor burung Silver Pheasant, dua ekor landak nibung, seekor landak raya serta seekor ular sawa batik.

Menurut JHL dalam satu kenyataan media hari ini, kes berkenaan disiasat mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 kerana disyaki memiliki hidupan liar tanpa permit atau dokumen yang sah.

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM30,000 dan tidak melebihi RM150,000, atau dipenjarakan antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

JHL menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli hidupan liar atau hasilannya daripada sumber haram kerana perbuatan itu boleh menggalakkan aktiviti pemburuan serta perdagangan hidupan liar secara tidak sah.

Menurut jabatan itu, sesetengah spesies hidupan liar boleh diburu atau dimiliki secara sah tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Sehubungan itu, orang ramai disaran memastikan penjual mempunyai permit dan dokumen yang sah sebelum melakukan sebarang urusan pembelian.

JHL turut mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pemburuan, pemilikan atau perdagangan hidupan liar yang menyalahi undang-undang bagi memastikan kelestarian sumber hidupan liar di negeri ini terus terpelihara.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/11/lelaki-ditahan-miliki-pelbagai-hidupan-liar-tanpa-dokumen-sah/feed/ 0 98064
Jabatan Hidupan Liar dan Rakan NGO sumbang 125 bakul makanan di daerah Nabawan dan Kinabatangan https://sabahmedia.com/2021/08/07/jabatan-hidupan-liar-dan-rakan-ngo-sumbang-125-bakul-makanan-di-daerah-nabawan-dan-kinabatangan/ https://sabahmedia.com/2021/08/07/jabatan-hidupan-liar-dan-rakan-ngo-sumbang-125-bakul-makanan-di-daerah-nabawan-dan-kinabatangan/#respond Sat, 07 Aug 2021 07:02:16 +0000 https://sabahmedia.com/?p=4213
Read Time:1 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar turut sama membantu dengan memberikan bakul makanan kepada golongan yang terjejas dan memerlukan ketika pandemik COVID-19 melanda negara ini.

Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Jabatan Hidupan Liar berjaya mengumpul wang sebanyak RM12,855.00 hasil sumbangan kakitangan jabatan bersama rakan kongsi NGO seperti Orangutan UK Appeal, Oregon Zoo, HUTAN, Eco Health Alliance, Danau Girang Field Centre, 1Stop Borneo Wildlife dan WWF Malaysia (Sabah).

Dengan jumlah wang yang terkumpul, 125 bakul makanan berjaya disediakan untuk diedarkan kepada golongan terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.

Penyerahan bakul makanan tersebut dijalankan serentak di dua lokasi yang berlainan. Sumbangan sebanyak 100 bakul makanan telah diserahkan oleh Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga kepada Wakil Penerima di Dewan Kg Simatuoh, Nabawan.

Manakala 25 bakul makanan pula diedarkan kepada golongan ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU) di Daerah Kinabatangan yang diwakili oleh Sylvia Alsisto dan Hussien Muin.

Usaha ini merupakan inisiatif dan kerjasama semua kakitangan Jabatan Hidupan Liar untuk membantu meringankan beban golongan sasar sekaligus merapatkan hubungan antara jabatan dengan masyarakat di daerah Nabawan dan Kinabatangan amnya.

Justeru itu, pihak Jabatan Hidupan Liar mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pejabat Daerah Nabawan dan Pejabat Daerah Kinabatangan yang telah memberikan kerjasama bagi menjayakan program penyerahan bakul makanan tersebut.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/08/07/jabatan-hidupan-liar-dan-rakan-ngo-sumbang-125-bakul-makanan-di-daerah-nabawan-dan-kinabatangan/feed/ 0 4213