KUALA LUMPUR — Perkhidmatan kesihatan awam negara terus berdepan tekanan serius bukan sahaja dari segi infrastruktur dan fasiliti kesihatan yang tidak mencukupi terutamanya di kawasan luar bandar, tetapi lebih meruncing lagi ialah isu kekurangan petugas kesihatan.
Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor memaklumkan bahawa pembukaan Hospital Pasir Gudang (HPG) yang dijadual beroperasi secara berperingkat mulai 1 Ogos 2025 terpaksa ditangguhkan ke tahun hadapan, antara lain disebabkan kekurangan doktor dan jururawat.
Pengumuman itu mengejutkan memandangkan pada 29 Jun lalu, Menteri Kesihatan menyatakan HPG akan memulakan operasi fasa pertama pada tarikh tersebut melibatkan kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan perkhidmatannya, termasuk Kemalangan dan Kecemasan (A&E), Obstetrik dan Ginekologi (O&G), serta Pediatrik.
Menteri Kesihatan sebelum ini berkata HPG akan beroperasi sepenuhnya menjelang Julai 2026 dengan 1,845 petugas, namun setakat ini hanya 274 jawatan (15 peratus) telah diisi.
Dibina dengan kos RM500 juta, hospital 304 katil dan 14 perkhidmatan pakar itu merupakan hospital awam ketiga di Johor Bahru selepas Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail, dan dijangka mengurangkan kadar penggunaan katil serta masa menunggu pembedahan elektif di negeri itu sehingga 30 peratus dalam tempoh dua tahun operasi penuh.
Penangguhan operasi itu menimbulkan persoalan mengenai perancangan dan koordinasi antara pembinaan hospital serta pengisian perjawatan, memandangkan situasi sama pernah berlaku pada Jun 2023 apabila dua wad dengan lebih 100 katil di Hospital Sultan Ismail tidak dapat digunakan akibat kekurangan tenaga kerja.
Minggu lalu, Menteri Kesihatan turut mendedahkan purata masa menunggu pembedahan elektif di hospital kerajaan mencecah sehingga 21 bulan, manakala pembedahan kes kecemasan dijalankan segera.
Setakat 31 Mac 2025, terdapat 157,285 petugas kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk 8,635 pakar perubatan, 38,955 pegawai perubatan dan 69,890 jururawat. Nisbah doktor berdaftar kepada penduduk pada Disember 2023 adalah 1:406, berbanding 1:758 pada 2012, manakala nisbah jururawat ialah 1:282.
Walaupun nisbah tersebut menunjukkan peningkatan, negeri seperti Sabah masih mencatat nisbah tertinggi iaitu 1:697 bagi doktor dan 1:417 bagi jururawat. Antara 2020 hingga 2024, lebih 9,000 petugas kesihatan meletak jawatan, termasuk 1,217 pakar, 5,702 pegawai perubatan dan 2,141 jururawat, menyebabkan ribuan kekosongan jawatan.
Bagi mengatasi kekurangan itu, KKM pada Februari lalu melonggarkan syarat kemasukan Diploma Kejururawatan daripada lima kredit kepada tiga kredit termasuk Bahasa Melayu, Matematik dan Sains. Namun, langkah itu menimbulkan kebimbangan berhubung kualiti perkhidmatan.
Selain itu, KKM melaksanakan inisiatif Rakan KKM yang membolehkan hospital awam menawarkan perkhidmatan kesihatan ‘ekonomi premium’ untuk menjana pendapatan tambahan petugas, namun ia turut mengundang kebimbangan akan mewujudkan “sistem dua darjat” dalam perkhidmatan awam.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, kerajaan membelanjakan jumlah besar bagi menaik taraf 2,215 klinik daif dan 255 projek hospital. Namun, pemerhati memberi amaran bahawa pembangunan fizikal tanpa pengisian tenaga kerja mencukupi hanya akan menjadikan fasiliti kesihatan sebagai “gajah putih”.
Amat malang sekali apabila aset bangunan dan kelengkapan sudah tersedia, tetapi aset modal insan pula tiada. Pesakit pun tiada.
]]>Kota Kinabalu: Sebanyak 500 pek makanan diagihkan pada Program Malam Sahur Ramadan Persatuan Kadayan Sabah (PAADIAN) di Hospital Queen Elizabeth (QEH) 1, QEH 2 dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di sini, semalam.
Ahli Majlis Tertinggi PAADIAN diketuai Presidennya Datuk Dr Yusof Yacob mengagihkan pek makanan tersebut kepada petugas kesihatan, ahli keluarga pesakit, pengawal keselamatan dan pekerja penyelenggaraan SEDAFIAT.
Dr Yusof berkata, program tahunan PAADIAN ini bagi menghargai petugas kesihatan dan meringankan beban ahli keluarga pesakit untuk mencari makanan pada lewat malam.

Beliau yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad berharap program ini akan diteruskan pada masa hadapan sebagai program tanggungjawab sosial PAADIAN kepada masyarakat.
Hadir sama, timbalan presiden Ramlee Kariah dan tiga naib presiden Sani Gapar, Rafie Isa dan Dr Ferro Firdaus Ibrahim.
Program ini bermula jam 11 malam hingga 1.30 pagi. – SABAH MEDIA
]]>Kota Kinabalu: Sabah hanya mempunyai seramai 28 orang Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) berkhidmat di sebanyak 24 buah hospital seluruh negeri merangkumi hospital negeri, hospital pakar major dan minor, hospital tanpa pakar serta hospital institusi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jumlah itu tidak mencukupi untuk menangani permasalahan pesakit yang memerlukan intervensi lanjut ke arah mencapai kefungsian sosial yang optimum.
Katanya, Sabah merupakan sebuah negeri yang besar dan kebolehcapaian kepada perkhidmatan kesihatan bagi mereka yang tinggal di pedalaman akan menghadapi beberapa halangan disebabkan faktor geografi dan kemudahan pengangkutan serta keadaan sosio ekonomi keluarga.
“Hanya terdapat 28 orang PKSP yang ada bagi mengendalikan kes-kes yang dirujuk untuk bantuan psikososial dan kewangan bagi pembelian peralatan dalam memenuhi keperluan rawatan, sudah tentu jumlah ini tidak mencukupi”, katanya.
Beliau berkata ketika merasmikan Persidangan Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) Malaysia ke-27 di Ballroom Hotel 7 Suria di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.
Hajiji berkata, kos perubatan semakin meningkat pada masa ini secara langsung memberikan kesan besar kepada kemampuan rakyat mendapatkan rawatan kesihatan.
Menurutnya ekoran terkesan dari segi ekonomi, didapati jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan mengalami peningkatan dan menambah lagi cabaran kepada warga kesihatan untuk menyediakan perkhidmatan yang berkesan dan menyeluruh.
Sehubungan ini katanya, perkhidmatan kerja sosial perubatan menjadi amat signifikan bagi memenuhi keperluan pesakit yang semakin kompleks dan dinamik, sejajar dengan aspirasi reformasi kesihatan negara iaitu sistem kesihatan yang saksama dan berpaksikan rakyat.
“Justeru, PKSP memainkan peranan membina jaringan kerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta yang menyediakan sumber bantuan bagi membantu pesakit miskin dan tidak berkemampuan semasa menerima rawatan atau pemulihan. Mereka juga dapat membantu pesakit (klien) untuk mencapai kesihatan yang lebih baik melalui sistem penyampaian perkhidmatan yang berkualiti tinggi.
“Pesakit di negeri ini mempunyai cabaran tambahan apabila mendapatkan rawatan di hospital, institusi dan klinik kesihatan berikutan isu demografi negeri dan jarak rumah mereka di pedalaman. Oleh itu, PKSP perlu menggunakan teknologi terkini selaras dengan perkembangan semasa dalam memberikan perkhidmatan kepada pesakit.
“Iktibar perlu diambil seperti semasa berlakunya wabak COVID-19. Walaupun tidak dapat berinteraksi secara bersemuka dengan pesakit, namun perkhidmatan diteruskan melalui kaedah teknologi terkini seperti konsultasi secara maya agar kesihatan dan kebajikan pesakit terus terpelihara, terutama pesakit yang tidak dapat hadir untuk sesi konsultasi susulan di fasiliti rawatan,”katanya.
Hajiji berharap PKSP sentiasa komited meneroka sumber-sumber baharu bagi memenuhi keperluan pesakit secara holistik dari segenap segi dalam proses mentransformasikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada semua peringkat rakyat.
Beliau juga berharap Persidangan PKSP Malaysia ke-27 yang bertemakan ‘Keharmonian Hidup: Transformasi Masa Depan Bersama’ akan membuahkan hasil yang memberi manfaat bukan saja kepada PKSP, juga kepada rakyat Sabah keseluruhannya.
“Kepada semua PKSP, teruskan momentum dan usaha profesional dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua pesakit terutamanya pesakit yang kurang berkemampuan,” katanya. –SABAH MEDIA
Oleh NORMIMIE DIUN
TUARAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memohon kepada kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf Hospital Tuaran sebagai hospital pakar.
Hajiji berkata, kedudukan Hospital Tuaran di jalan utama bagi pembinaan jalan Pan Borneo dan laluan utama yang menghubungkan Bandaraya Kota Kinabalu, pantai barat utara dan pantai timur Sabah, amat sesuai untuk dinaik taraf sebagai hospital pakar.
“Selain itu, hospital ini masih mempunyai kawasan tapak pembinaan yang mencukupi. Justeru, usaha menaiktaraf ke hospital pakar amat penting.
“Ini juga adalah permintaan tinggi daripada rakyat untuk mempunyai satu hospital pakar yang dilengkapi dengan kemudahan perubatan.
“Terutama ketika pandemik COVID-19 ini, usaha menaiktaraf Hospital Tuaran ini amat perlu dan kita berharap ia dapat direalisasikan,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Sri Sulaman di sini pada Sabtu.
Menurut Hajiji lagi, dengan menaiktaraf Hospital Tuaran menjadi hospital pakar ini akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kepakaran kawalan infeksi (jangkitan) kerana belum ada hospital di Sabah yang memfokuskan kepakaran dalam bidang ini dan juga menjadi surgical base.
Selain hospital pakar, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata kerajaan negeri juga berharap kerajaan Persekutuan dapat membantu membina klinik kesihatan di dua kawasan di Tuaran iaitu Sulaman dan Pantai Dalit.
“Dengan adanya kemudahan kesihatan ini, ia membolehkan penduduk setempat mendapat rawatan awal selain di hospital kerajaan,” katanya.
Terdahulu dalam lawatan kerja sehari ke Tuaran, Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman turut melakukan lawatan ke Hospital Tuaran dan menerima bakul makanan daripada Persatuan Jurutera Malaysia Cawangan Sabah ( ACEM) dan Syarikat Forever Living, untuk diserahkan kepada penduduk yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Beliau turut menerima taklimat berkaitan Hospital Tuaran yang disampaikan oleh Pengarahnya, Dr G Mohan Gopal Naidoo.
Hajiji juga melawat pusat ternakan udang galah di Kampung Shabandar, di sini.
Turut hadir semasa lawatan itu ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim; Pembantu Menteri Kewangan negeri, Jasnih Daya dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai serta Pegawai Daerah Tuaran, Sadan Hussain.
]]>KOTA KINABALU: Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda Universiti Malaysia Sabah (UMS 4WDVC) hari ini menyalurkan bekalan makanan dan keperluan kepada staf Hospital Labuan yang sedang bertugas mengawal pandemik Covid-19 yang membimbangkan di wilayah tersebut.
Bantuan tersebut dihantar menggunakan tujuh kenderaan pacuan empat roda melibatkan 14 ahli UMS 4WDVC ke jeti feri di Menumbok.
Acara pelepasan misi bantuan tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin di perkarangan tempat letak kereta Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), pagi tadi. (26 Jun)
Taufiq pada acara tersebut memuji usaha bersama Kelab 4WDVC dengan FPSK dan Hospital UMS atas inisiatif dalam meringankan beban golongan yang memerlukan.
“Selain membawa nama baik universiti, usaha ini sememangnya mampu membantu mereka yang benar-benar terkesan dan berada dalam kesusahan.
“Semoga misi ini akan berjalan dengan baik sekali gus dapat membantu melancarkan lagi usaha kakitangan di Hospital Labuan khususnya yang sedang bertungkus-lumus memerangi pandemik Covid-19 di sana,”katanya.
Terdahulu, Presiden UMS 4WDVC, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, situasi Covid-19 di Labuan yang agak meruncing pada ketika ini mencetuskan idea ahli kelab untuk mengumpul barang makanan dan peralatan yang sesuai untuk disumbangkan kepada staf Hospital Labuan yang bertugas.
Bantuan ini bagi menghargai penat-lelah mereka dalam melaksanakan tugas murni mereka dan berharap dengan sumbangan ini dapat meningkatkan moral staf di sana satu pernyataan kuat yang mereka sentiasa di hati kami dan kami sentiasa mendoakan keselamatan mereka.
Bantuan akan dihantar menggunakan feri Menumbok-Labuan, dan setibanya di Labuan, barangan bantuan tersebut akan diterima oleh wakil UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dan terus dihantar ke Hospital Labuan, katanya.
Tambah beliau, secara tersirat, bantuan ini memberikan pernyataan kuat yang staf Hospital Labuan sentiasa di hati dan mendoakan keselamatan dan kesihatan mereka.
Antara bantuan yang disumbangkan ialah campbed, khemah mudah alih, kerusi, bantal, meja lipat, makanan dan minuman ringan.
D Kamarudin turut berterima kasih dengan sokongan FPSK, Hospital UMS, UMSKAL dan Polis Daerah Kota Kinabalu yang melancarkan segala urusan penghantaran bantuan tersebut, serta pengurusan 99 Speed Mart yang turut menyumbang bekalan makanan.
Hadir sama pada acara tersebut Pengarah HUMS, Prof. Dr. Helen Benedict Lasimbang.
]]>
KOTA KINABALU: Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) telah membuat persiapan rapi untuk dijadikan sebagai salah satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi negeri Sabah khususnya warga sekitar Kota Kinabalu.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, ini adalah sebagai usaha UMS membantu petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menurut beliau, persiapan yang dilakukan termasuklah membentuk satu jawatankuasa PPV bagi memastikan pelaksanaan proses pemberian vaksin berjalan lancar, selain pihak HUMS sendiri telah mengadakan perbincangan berterusan dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bagi mengadakan kerjasama terhadap sebarang program berkaitan pemberian vaksin.
“Di samping itu, beberapa petugas HUMS yang akan terlibat dalam proses pemberian vaksin juga telah mengadakan lawatan ke PPV di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah bagi melihat sendiri proses perjalanan pemberian vaksin, dan lawatan ini secara tidak langsung memberi latihan kepada mereka berkaitan proses pengendalian pemberian vaksin kelak.
“Perbincangan juga giat dijalankan dengan rakan Universiti Awam yang turut terlibat sebagai PPV,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu wawancara khas di radio Sabah fm bersama penyampai rancangan Christine Kakachi.
Taufiq menambah, UMS juga amat berbesar hati untuk terlibat sebagai salah satu PPV di negeri ini serta menjayakan PICK di negeri Sabah berdasarkan kemudahan dan kepakaran yang dimiliki.
“Ini membolehkan UMS membantu mempercepatkan pemberian vaksin khusus untuk warga sekitar Kota Kinabalu sekali gus membantu mencapai sasaran 80% rakyat diberi vaksin bagi mewujudkan imuniti berkelompok dalam kalangan masyarakat.
“Kita sedia tahu bahawa jumlah atau kadar pemvaksinan di negeri Sabah adalah yang terendah di Malaysia, justeru peranan UMS sebagai PPV mampu menyumbang kepada peningkatan kadar pemvaksinan yang lebih tinggi.
“Penyediaan PICK tidak memerlukan kepakaran yang mengkhusus atau mendalam sebaliknya pemberian vaksin hanya memerlukan bilangan petugas kesihatan yang mencukupi serta kepakaran dalam aspek kecemasan dan perubatan keluarga bagi membuat penilaian pra dan pasca vaksin, dan untuk ini HUMS mempunyai bilangan kakitangan yang mencukupi dalam membantu KKM menjayakan program vaksinasi,” katanya.
Taufiq turut memaklumkan, HUMS merupakan PPV Kategori Ke-5, iaitu PPV yang boleh memberikan suntikan dos vaksin mencecah sehingga 1,000 dos sehari.
“Sebagai permulaan, kita menyasarkan untuk memberikan sekurang-kurangnya 500 dos vaksin sehari, dan akan terus meningkat sehingga mencecah jumlah maksimum 1,000 dos bergantung kepada jumlah stok vaksin yang diperuntukkan.
“UMS juga dalam perancangan untuk menyediakan kemudahan pemberian vaksin secara pandu lalu,” kata Taufiq.
Beliau turut menyeru masyarakat agar tidak ragu-ragu untuk menerima vaksin dan mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin kerana pelaksanaan program vaksinasi di negara yang telah mencapai peratusan tinggi dalam pemberian vaksin telah menunjukkan kesan yang sangat signifikan dalam mengurangkan kes-kes positif dan kadar keberjangkitan dalam kalangan rakyat mereka.
“Yang lebih utama adalah kes atau kadar kematian di negara tersebut menunjukkan trend menurun, dan ini membuktikan keberkesanan program vaksinasi bagi mengawal penularan pandemik COVID-19.
“Kita perlu sedar bahawa suntikan vaksin tidak menjadikan seseorang kebal, tetapi sekurang-kurangnya vaksin boleh mengurangkan keberangkalian seseorang individu untuk dijangkiti COVID-19 dan mengurangkan keberangkalian untuk mengalami kesan yang lebih serius sekiranya individu tersebut dijangkiti.
“Ini terbukti berlaku di negara yang mempunyai kadar vaksinasi tinggi yang menunjukkan pengurangan berlakunya kes-kes berat serta penggunaan oksigen bagi pesakit COVID-19,” katanya.
Taufiq menegaskan program vaksinasi adalah peluang kepada masyarakat untuk memulihkan semula kehidupan kepada amalan kebiasaan sebelum ini.
“Sekiranya PICK tidak diadakan secara besar-besaran, risikonya adalah terhadap rakyat yang perlu mengharungi pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ini bukanlah penyelesaian terbaik untuk mengawal penularan pandemik COVID-19 secara holistik dan menyeluruh.
“Jika ini berlaku masyarakat tidak dapat untuk menjalani kehidupan dengan lebih aman dan akan menghadapi kesukaran untuk bergerak akibat pelbagai sekatan rentas daerah dan negeri, serta sukar untuk menjalankan aktiviti sosial dan ekonomi,” ujar beliau.
Dalam perkembangan lain, Taufiq memberitahu HUMS pada ketika ini sedang rancak dalam pembinaan, dan dijangka siap pada penghujung tahun 2022 serta dijangka akan mula beroperasi menjelang awal tahun 2023.
HUMS juga katanya telah memainkan peranan penting dalam mengekang penularan wabak COVID-19 dalam kampus sejak Januari 2020 lagi melalui penubukan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan COVID-19 yang turut melibatkan staf Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) sebagai persiapan berikutan UMS mempunyai ramai pelajar antarabangsa dari China.
“UMS juga turut membantu JKNS dalam membuat ujian saringan COVID-19 dan sehingga 7 Jun 2021 sejumlah 38,945 sampel ujian telah dijalankan.
“Selain menyediakan kemudahan ujian calitan kepada warga UMS dan juga orang awam, UMS turut menyediakan kemudahan makmal untuk membantu makmal kesihatan awam di Kota Kinabalu memproses jumlah sampel yang tinggi, dan hasil bantuan ini membolehkan pengesahan keputusan yang lebih cepat,” kata Taufiq.
HUMS juga katanya telah menyediakan sukarelawan doktor pakar dan jururawat untuk bertugas di hospital KKM bagi mengurangkan beban ‘burnout’ dalam kalangan petugas barisan hadapan KKM.
6 Jun 2021
Erdie Ab Wahid
[email protected]
KOTA KINABALU : Vaksinasi COVID-19 kini boleh didapati di Hospital Gleneagles bermula Isnin ini selepas hospital itu menjadi hospital swasta pertama di Sabah membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles Dr Tan Bee Hwai berkata, PPV itu adalah bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempercepatkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini.
“Pihak kami sudah bersedia untuk memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada kira-kira 500 individu seminggu bermula Isnin ini.
“Kami gembira dapat membantu KKM bagi melaksanakan program ini kepada orang ramai dan akan mengerahkan sumber yang ada dalam pemberian vaksin secara besar-besaran bagi melindungi kesihatan serta keselamatan komuniti setempat,”katanya dalam kenyataan disini kelmarin.
Dr Tan berkata, PPV Hospital Gleneagles Kota Kinabalu beroperasi dari Isnin hingga Jumaat, bermula 9 pagi hingga 5 petang.

Katanya, janji temu bagi pemberian vaksin di hospital itu juga ditentukan melalui aplikasi MySejahtera.
Pertanyaan lanjut mengenai perkara itu boleh diperoleh dengan menghubungi talian 088-518888 atau Whatsapp di talian 012-9239442 ketika waktu pejabat, selain melalui emel [email protected].
Terdahulu sebelum ini, Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin, mengumumkan sebanyak 1,000 klinik perubatan am swasta dan hospital swasta di seluruh negara dijadikan sebagai PPV sebelum 30 Jun ini.
Kerajaan Sabah sebelum ini mengumumkan sebanyak 20 hospital dan klinik swasta disenaraikan sebagai PPV bagi membantu mempercepatkan pelaksanaan PICK di negeri ini.
]]>