Hotel lima bintang Papar – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sun, 27 Sep 2026 20:38:01 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Hotel lima bintang Papar – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Hotel lima bintang pertama Papar disasar beroperasi Disember 2027 https://sabahmedia.com/2026/09/28/hotel-lima-bintang-pertama-papar-disasar-beroperasi-disember-2027/ https://sabahmedia.com/2026/09/28/hotel-lima-bintang-pertama-papar-disasar-beroperasi-disember-2027/#respond Sun, 27 Sep 2026 20:37:55 +0000 https://sabahmedia.com/?p=104318
Read Time:1 Minute, 35 Second

PAPAR: Hotel bertaraf lima bintang pertama di Papar, InterContinental Sabah Kota Kinabalu Resort di Melinsung, disasarkan mula beroperasi pada Disember 2027.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, projek pusat peranginan bertaraf antarabangsa itu kini mencatat kemajuan keseluruhan pembinaan sekitar 34.1 peratus setakat September 2026.

Katanya, pembinaan hotel utama pula mencapai sekitar 47.7 peratus, manakala keseluruhan pusat peranginan dijangka beroperasi pada 2028.

“Projek ini melibatkan pelaburan sekitar RM1 bilion oleh Sinyi Group dari Taiwan, dengan IHG Hotels & Resorts sebagai rakan pengendali.

“Ia dibangunkan di kawasan seluas lebih 80 ekar dan dirancang mempunyai 418 bilik serta unit penginapan. Apabila siap, projek ini dijangka membuka kira-kira 700 peluang pekerjaan baharu,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Armizan berkata, beliau meninjau kemajuan projek berkenaan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar serta pemimpin setempat, selain menerima taklimat daripada pihak pemaju, Sinyi Group.

Menurutnya, pemilihan Melinsung sebagai lokasi projek itu bermula pada Oktober 2021 ketika pihak Sinyi Group meninjau beberapa lokasi yang berpotensi untuk pembangunan.

“Ketika itu, saya bersama pegawai daerah cuba meyakinkan mereka bahawa Kampung Melinsung merupakan lokasi yang paling sesuai dan menarik, dengan hamparan pantai serta suasana pesisir yang indah.

“Alhamdulillah, Sinyi Group akhirnya memilih Papar untuk pelaburan membangunkan destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa ini,” katanya.

Beliau berkata, selepas melalui proses perancangan dan penyediaan pelan pembangunan, majlis pecah tanah projek berkenaan disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada 20 November 2023.

Armizan berkata, sejak awal beliau berharap pelaburan itu memberi manfaat yang lebih luas kepada masyarakat setempat, bukan sekadar pembangunan sebuah pusat peranginan.

“Projek ini perlu membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan dan membawa limpahan ekonomi kepada pengusaha makanan, pengangkutan, pembekalan serta perkhidmatan pelancongan di Papar.

“Saya akan terus mengikuti kemajuan projek ini dan menyuarakan kepentingan masyarakat setempat dalam pelaksanaannya,” katanya.

Beliau turut berharap projek berkenaan dapat disiapkan mengikut perancangan dan memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi daerah Papar.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/09/28/hotel-lima-bintang-pertama-papar-disasar-beroperasi-disember-2027/feed/ 0 104318