Ibu tunggal – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sun, 16 Aug 2026 08:01:42 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Ibu tunggal – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 KasihnITa perkasa ibu tunggal, bantu tuntutan nafkah dan ekonomi https://sabahmedia.com/2026/08/16/kasihnita-perkasa-ibu-tunggal-bantu-tuntutan-nafkah-dan-ekonomi/ https://sabahmedia.com/2026/08/16/kasihnita-perkasa-ibu-tunggal-bantu-tuntutan-nafkah-dan-ekonomi/#respond Sun, 16 Aug 2026 07:50:16 +0000 https://sabahmedia.com/?p=101712
Read Time:2 Minute, 31 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Program Kasih Ibu Tunggal (KasihnITa) 2026 Negeri Sabah terus diperkasa bagi membantu wanita, khususnya ibu tunggal, mendapatkan sokongan dari aspek perundangan, kewangan dan pemerkasaan ekonomi.

Nancy (tiga, kiri) merakamkan gambar kenangan bersama peserta dan tetamu jemputan selepas acara perasmian program itu. – Foto Sabah Media/ Mimie

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata program itu menunjukkan perkembangan positif dalam membantu wanita memahami hak mereka serta mendapatkan akses kepada bantuan yang diperlukan.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaannya masih berdepan batasan dari segi jumlah peserta dan peruntukan yang tersedia.

Beliau berkata, antara cabaran yang dihadapi ibu tunggal adalah apabila bekas suami gagal membayar nafkah anak walaupun mahkamah telah mengeluarkan perintah.

“Kadang-kadang mahkamah sudah membuat keputusan bekas suami perlu membayar nafkah anak, tetapi masih tidak membayar. Bekas isteri pula tidak mempunyai wang untuk meneruskan tuntutan.

“Jadi, kita cuba membantu mereka dari segi perundangan supaya mereka mengetahui hak serta saluran yang boleh digunakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program KasihnITa 2026 Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Nancy berkata, kementeriannya turut bekerjasama dengan peguam syarie dan sivil serta Badan Peguam Malaysia bagi memberi panduan kepada peserta mengenai tindakan yang boleh diambil.

Menurutnya, sesetengah kes sivil mengambil masa kira-kira enam bulan untuk diselesaikan, manakala kes tertentu boleh berlarutan sehingga setahun.

Beliau berkata, kementerian akan menyimpan data kes yang masih tertangguh bagi membolehkan usaha membantu peserta diteruskan, tertakluk kepada peruntukan yang diterima pada tahun depan.

Dalam pada itu, Nancy berkata isu keganasan rumah tangga kekal sebagai perkara yang memerlukan perhatian berterusan, dengan kementerian mempergiatkan program advokasi bagi memastikan mangsa mengetahui hak serta prosedur mendapatkan bantuan.

“Jangan biarkan diri menjadi mangsa. Kita mahu mereka menjadi survivor dan mempunyai semangat untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa keganasan rumah tangga disaran membuat laporan kepada polis dan mendapatkan rawatan di hospital yang menyediakan One Stop Crisis Center (OSCC).

Katanya, Talian Kasih 15999 serta perkhidmatan kaunseling turut disediakan bagi membantu mangsa.

Nancy berkata, peningkatan atau penurunan statistik keganasan rumah tangga juga tidak boleh dijadikan ukuran mutlak terhadap keadaan sebenar.

“Kalau angka meningkat, mungkin kerana kesedaran semakin tinggi dan lebih ramai tahu prosedur untuk membuat laporan. Jika angka menurun pula, ia tidak semestinya bermakna kes berkurangan kerana mungkin ada yang masih tidak mahu melaporkan,” katanya.

Mengenai situasi di Sabah, Nancy berkata isu utama yang dihadapi wanita adalah kekurangan pekerjaan dan sumber kewangan, terutama dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai sokongan kewangan mencukupi.

Justeru, katanya, kementerian memberi penekanan kepada pemerkasaan ekonomi dan pengetahuan perundangan supaya wanita dapat mencari sumber pendapatan serta membina kehidupan yang lebih berdikari.

Nancy berkata, Sabah bukan negeri yang mencatatkan jumlah kes tertinggi dalam program berkenaan, sebaliknya Perak merekodkan jumlah lebih tinggi.

Beliau berkata, program KasihnITa dilaksanakan di seluruh negara dengan penyertaan terhad kepada 150 peserta bagi setiap sesi, bergantung kepada peruntukan yang tersedia.

Katanya, kesinambungan program itu pada tahun depan juga bergantung kepada jumlah peruntukan yang diluluskan, termasuk bagi menampung kos perjalanan peserta, bantuan guaman serta urusan berkaitan tuntutan di mahkamah.

“Selagi kita mempunyai dana, kita akan terus membantu wanita,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/16/kasihnita-perkasa-ibu-tunggal-bantu-tuntutan-nafkah-dan-ekonomi/feed/ 0 101712
Curi barangan penjagaan diri, ibu tunggal dipenjara 1 bulan https://sabahmedia.com/2025/10/01/curi-barangan-penjagaan-diri-ibu-tunggal-dipenjara-1-bulan/ https://sabahmedia.com/2025/10/01/curi-barangan-penjagaan-diri-ibu-tunggal-dipenjara-1-bulan/#respond Wed, 01 Oct 2025 12:58:41 +0000 https://sabahmedia.com/?p=82328
Read Time:1 Minute, 0 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara sebulan kerana mencuri barangan penjagaan diri bernilai RM166.

Majistret Marilyn Kelvin menjatuhkan hukuman itu terhadap Hamisah Parman, 38, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Hamisah mencuri barangan penjagaan diri tersebut pada 26 Julai, jam 11.55 pagi, di Watsons cawangan 1 Borneo.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, seorang staf yang sedang bertugas melihat kelibat dua individu yang bertingkah laku mencurigakan. Staf itu kemudian memeriksa rakaman CCTV dan mendapati individu tersebut mencuri barangan berkenaan. Staf berkenaan seterusnya menjejaki wanita itu sebelum dia ditahan.

Semasa rayuan, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Lim Ming Zoong @ Lawrence, memohon hukuman ringan dengan alasan tertuduh adalah seorang ibu tunggal yang mempunyai tiga anak untuk dijaga.

Katanya, tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan mencadangkan bon berkelakuan baik (BOGB) memandangkan semua barangan curi telah dikembalikan dalam keadaan sempurna.

Inspektor Yusdi Basri bagaimanapun meminta hukuman berat, dengan menyatakan perbuatan mencuri adalah kesalahan jenayah dan perlu menjadi pengajaran kepada orang ramai.

Mahkamah memerintahkan tertuduh untuk menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap, 26 Julai 2025.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/10/01/curi-barangan-penjagaan-diri-ibu-tunggal-dipenjara-1-bulan/feed/ 0 82328
Ibu tunggal dipenjara 3 tahun guna anak jual buah di jalanan https://sabahmedia.com/2025/07/23/ibu-tunggal-dipenjara-3-tahun-guna-anak-jual-buah-di-jalanan/ https://sabahmedia.com/2025/07/23/ibu-tunggal-dipenjara-3-tahun-guna-anak-jual-buah-di-jalanan/#respond Wed, 23 Jul 2025 09:48:43 +0000 https://sabahmedia.com/?p=77802
Read Time:1 Minute, 58 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang ibu tunggal warga Filipina dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas mengaku bersalah membenarkan anak lelakinya yang berusia sembilan tahun berada di jalanan bagi tujuan menjual buah-buahan.

Tertuduh, Awala Antualang, 47, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Noor Hafizah Mohd Salim.

Pada 26 Mac lalu, wanita yang menggunakan Kad Burung-Burung sebagai dokumen pengenalan diri, pernah dijatuhi hukuman penjara dan denda kerana membenarkan tiga kanak-kanak di bawah jagaannya menjual buah di jalanan hampir 12 jam sehari.

LINK BERITA TERDAHALU:https://sabahmedia.com/2025/03/26/ibu-tunggal-dipenjara-9-tahun-kerana-benarkan-kanak-kanak-jalan-jual-buah-di-jalanan/

Bagi kes kali ini, tertuduh mengaku membenarkan anak lelakinya berada di kawasan sekitar Kedai Sup Ikan Kepayan bagi maksud menawarkan buah-buahan untuk jualan antara Januari dan Februari tahun ini, dari jam 12.30 tengah hari hingga 10 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 32(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(1) Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas Awala bermula dari tarikh tangkapan iaitu 27 Februari 2025, serta merujuknya kepada Jabatan Imigresen sebaik tamat menjalani hukuman.

Sejak awal tahun 2025 hingga kanak-kanak itu diselamatkan pada 27 Februari lalu, mangsa yang tidak pernah bersekolah itu bekerja untuk ibunya dengan menjual buah-buahan di sekitar kawasan Kedai Sup Ikan Kepayan, Kota Kinabalu, bermula jam 12.30 tengah hari hingga 10 malam.

Kanak-kanak tersebut akan diberi rehat dua jam pada sekitar jam 3 petang dan menyambung semula aktiviti menjual pada jam 5 petang hingga 10 malam.

Buah-buahan yang dijual dibekalkan oleh tertuduh. Hasil jualan harian dianggarkan RM210 hingga RM300 sehari dan semua duit hasil jualan akan diserahkan kepada tertuduh.

Mangsa hanya diberi cuti sehari dalam seminggu dan diberi upah oleh tertuduh dengan jumlah yang tidak menentu.

Dalam rayuannya, Awala yang sedang menjalani hukuman penjara memohon hukuman diringankan dengan alasan dia merupakan ibu tunggal kepada sembilan anak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus memohon mahkamah mengenakan hukuman berat sebagai pengajaran kepada masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan serupa.

Beliau menegaskan bahawa masyarakat perlu memahami Akta Kanak-Kanak 2001 mengiktiraf hak setiap kanak-kanak untuk dilindungi dalam apa jua keadaan, tanpa mengira bangsa, asal-usul sosial atau status.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/07/23/ibu-tunggal-dipenjara-3-tahun-guna-anak-jual-buah-di-jalanan/feed/ 0 77802
Ibu tunggal, OKU diberi keutamaan mohon, miliki Rumah Mesra SMJ – Masiung https://sabahmedia.com/2024/03/16/ibu-tunggal-oku-diberi-keutamaan-mohon-miliki-rumah-smj-masiung/ https://sabahmedia.com/2024/03/16/ibu-tunggal-oku-diberi-keutamaan-mohon-miliki-rumah-smj-masiung/#respond Sat, 16 Mar 2024 06:59:57 +0000 https://sabahmedia.com/?p=51145
Read Time:1 Minute, 18 Second

TONGOD: Golongan ibu tunggal dan Orang Kelainan Upaya (OKU) di daerah Tongod yang tidak berdaftar e-Kasih akan diberi keutamaan memohon dan memiliki bantuan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, pemilik rumah yang ditimpa bencana seperti kebakaran atau dihanyutkan banjir juga layak diberi pertimbangan.

Menurutnya, walaupun daftar e-Kasih menjadi syarat utama memohon bantuan itu, namun ibu tunggal, OKU dan keluarga yang ditimpa bencana tidak boleh diketepikan.

” Saya dapati ramai ibu tunggal dan OKU di Tongod tidak berdaftar dengan data e-Kasih, namun mereka wajar diberi layanan sama rata.

” Wujud kepincangan dalam pangkalan data e-Kasih dan ia perlu dikemaskini setiap tahun mengikut syarat ditetapkan, ” katanya kepada pemberita sejurus menyampaikan kunci kepada 20 penerima bantuan rumah SMJ di Kampung Alitang, semalam.

Menurut Masiung, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan Kerajaan Sabah yang pertama memperkenalkan bantuan rumah mesra SMJ sejak beberapa siri kerajaan negeri yang lalu.

Menurutnya, sebanyak 60 buah rumah SMJ telah dan sedang dibina di daerah Tongod sejak 2021 sehingga kini yang melibatkan perbelanjaan RM480,000.

Masiung berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM80,000 setiap sebuah rumah di bawah program pembangunan Sabah Maju Jaya.

Tahun ini sahaja katanya, kerajaan negeri telah membelanjakan RM5,840,000 juta untuk mendirikan rumah SMJ di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri.

Selain berpeluang memiliki bantuan rumah SMJ, golongan e-Kasih di Sabah turut perpeluang memohon bantuan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di bawah peruntukan kerajaan Persekutuan.

Pegawai Daerah Tongod, Nelson Domil Ulok dan Pegawai Pembangunan Masyarakat, Tokyo Hashim Omar turut hadir di majlis berkenaan.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/03/16/ibu-tunggal-oku-diberi-keutamaan-mohon-miliki-rumah-smj-masiung/feed/ 0 51145