idea – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Wed, 17 Jan 2024 12:43:38 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png idea – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 SYBIL platform kongsi idea inovatif bantu kerajaan memperkasa ekonomi Sabah https://sabahmedia.com/2024/01/17/sybil-platform-kongsi-idea-inovatif-bantu-kerajaan-memperkasa-ekonomi-sabah/ https://sabahmedia.com/2024/01/17/sybil-platform-kongsi-idea-inovatif-bantu-kerajaan-memperkasa-ekonomi-sabah/#respond Wed, 17 Jan 2024 12:28:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=48114
Read Time:2 Minute, 24 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Lebih 100 Pemimpin Muda Perniagaan dan Industri Sabah (SYBIL) hadir ke Sesi Dialog Meet & Greet antara Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC) dengan ahli SYBIL di Menara Kinabalu di sini, hari ini.

Sesi dialog ini adalah yang pertama sejak SEAC ditubuhkan pada pada tahun 2022.

Antara yang hadir termasuk golongan usahawan dan profesional dari pelbagai sektor seperti seni bina, pembinaan, pertanian, pembuatan, produk halal, makanan sejuk beku, pelancongan, tenaga boleh diperbaharui, perlombongan, pembangunan, Teknologi Maklumat (IT), reka bentuk, penjenamaan, perundingan, penjagaan kesihatan, perubatan, Food & Beverage (F&B), undang-undang, dan banyak lagi.

Pengerusi SYBIL, Ar. James Wong berkata, kepentingan membina pertubuhan seperti ini adalah platform untuk membolehkan pemimpin muda perniagaan dan industri yang telah berjaya menjalankan organisasi mereka, menyuarakan dan berkongsi idea inovatif mereka sekali gus meningkatkan pembangunan ekonomi di negeri ini.

Ar. James Wong

‘Kita perlu membina pasukan Kapten Industri muda yang bersedia menyumbang kembali, memimpin kita untuk membangunkan pelbagai industri mereka khususnya membantu kerajaan hari ini membina pemikiran Ekonomi Masa Hadapan yang lebih kukuh pada masa 5-10-20 tahun akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sesi Dialog itu.

James turut menekankan bahawa keperluan untuk merekrut ‘Penyelesai Masalah yang Bijak’ (intelligent problem solvers) berkebolehan membangunkan pelan tindakan dengan lebih efisien untuk menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi dalam industri kita pada masa kini.

“Kita perlu merekrut ‘intelligent problem solvers’ yang boleh membangunkan pelan tindakan langkah demi langkah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi industri kita, ia adalah orang yang benar-benar boleh melaksanakannya dan bukan hanya tahu merungut sahaja. Seperti kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor ‘Do More, Talk Less’ iaitu bertindak lebih banyak daripada hanya berkata-kata.

“Selain itu, pertubuhan ini juga menyediakan platform kepada semua untuk memperkasakan rakan usahawan serta profesional yang lain untuk membangunkan negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Datuk John Lo mewakili SEAC dalam sesi dialog pada hari ini telah memberi taklimat terperinci mengenai pelan semasa dan masa depan yang sedang dilaksanakan kerajaan untuk membangunkan ekonomi masa depan Sabah yang teguh termasuk penstrukturan semula industri seperti Minyak dan Gas, Tenaga, Pelaburan, Pelancongan, Pertanian, Logistik , Pembuatan Hilir, dan banyak lagi.

Datuk John Lo

John turut menerangkan mengenai Dasar Pertama Sabahan dan Pembangunan Kepimpinan Perniagaan/ekonomi Sabahan Muda.

Antaranya, Kepimpinan muda yang berkualiti diperlukan untuk masa depan ekonomi Sabah, Melindungi hak Sabah, Usahawan, profesional (termasuk hi-tec), Asertif, Inovatif, Berdikari, Berdikari, Berwawasan, Fokus kepada pembangunan ekonomi dan perniagaan Sabah serta Tiada politik.

“Sabah adalah negeri kita, rumah kita. Rakyat Sabah tidak boleh menjadi pelarian ekonomi di negeri kita sendiri atau di Semenanjung Malaysia lagi.

“Adalah penting, demi masa depan ekonomi Sabah dan generasi masa depan Sabah, Sabah mesti melatih ramai pemimpin perniagaan/ekonomi Sabahan muda untuk meneruskan trend pertumbuhan dan penstrukturan semula ekonomi masa kini.

“Justeru itu, dasar ini juga adalah penting untuk membentuk Pemimpin Ekonomi Muda Sabah jika kita ingin melaksanakan rancangan ekonomi jangka panjang kerajaan dengan jayanya,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/01/17/sybil-platform-kongsi-idea-inovatif-bantu-kerajaan-memperkasa-ekonomi-sabah/feed/ 0 48114
Perdagangan Karbon, idea yang tepat pada masanya – Dr James https://sabahmedia.com/2023/10/14/perdagangan-karbon-idea-yang-tepat-pada-masanya-dr-james/ https://sabahmedia.com/2023/10/14/perdagangan-karbon-idea-yang-tepat-pada-masanya-dr-james/#respond Sat, 14 Oct 2023 09:23:41 +0000 https://sabahmedia.com/?p=43618
Read Time:4 Minute, 2 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Idea Perdagangan Karbon adalah tepat pada masanya kerana ia merupakan satu konsep perniagaan yang dapat meningkatkan ekonomi sesebuah negara jika ia dapat dilaksanakan dengan baik, kata Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Universiti Malaysia Sabah, Dr James Alin.

Beliau berkata, sudah tiba masanya khususnya negeri Sabah dan berpendapat sekiranya ingin melaksanakan Projek Perdagangan Karbon, ia adalah satu idea yang baik sekali gus dapat memperkasa pembangunan ekonomi di negeri ini.

Dr James turut berkongsi mengenai keperluan karbon kepada manusia dan alam sekitar selain bermanfaat kepada sektor ekonomi.

Katanya, karbon tujuan utamanya adalah mengurangkan pelepasan karbon, Malaysia mempunyai pengeluaran karbon yang paling tinggi di antara negara Asia Tenggara.

“Itu dari segi udara, manakala dari segi gas kalau kita sebut karbon dioksida ini, ia bukan sahaja CO2 tetapi ia juga meliputi karbon-karbon beracun lain contohnya sulfur, monoksida dan gas lain-lain yang membahayakan kesihatan dan memudaratkan alam sekitar.

“Selain itu, ia juga menyumbang kepada masalah dunia yang kita panggil pemanasan global, perubahan cuaca yang ekstrim yang mana kita alami sebahagian fenomena elnino sekarang ini iaitu sentiasa hujan dan panas, ini semua ada hubung kait dengan apabila seluruh dunia melepaskan gas ke udara,” kongsinya kepada Sabah Media baru-baru ini.

Menurutnya, di Malaysia, khasnya Sabah mempunyai banyak hutan simpan, hutan simpan ini tidak boleh ditebang dan di dalamnya terdapat tiga kelas hutan yang dijangka boleh dimasukkan dalam projek jual beli karbon.

Katanya, jenis-jenis kelas hutan tersebut ialah Hutan Dara, Hutan Terlindung Kelas 1, Hutan Hidupan Liar, ada juga kelas hutan yang menjalankan aktiviti ekonomi yang didiami oleh orang asal dan juga terdapat aktiviti pembalakan di sekelilingnya, itu juga boleh dijadikan hutan simpan.

“Idea jual beli karbon ini, faktanya dari sudut sains apabila kita ada hutan simpan yang kita jaga, di bawah tanah yang ada pokok-pokok berusia berjuta tahun dan tidak pernah diusik ia akan menjadi gas CO2 dan gas-gas yang lain tersimpan di hutan itu sehinggalah pokok-pokok itu ditebang, jumlah karbon yang tersimpan itu boleh diukur dan kita boleh anggar dengan teknologi yang kita ada, itu dipanggil takungan karbon (carbon sink or carbon reservoir).

“Manakala setiap pokok di situ, ia menyedut gas-gas yang ada di situ, ini dipanggil sebagai penyerapan karbon (carbon sequestration) di dalam pokok itu ia ada juga terdapat gas-gas lain di dalamnya. Malah manusia juga ada karbon. Jadi jumlah karbon yang kita simpan itulah yang kita boleh jual beli, ideanya begitu,” jelasnya.

Berikutan dengan Perjanjian Konservasi Alam Semulajadi (NCA) yang ditandatangani Kerajaan Negeri Sabah pada Oktober 2021.

Dr James berkata, terdapat banyak pihak dari kalangan kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik tidak bersetuju dengan perjanjian berkenaan.

“Perjanjian NCA itu ada ramai yang tidak bersetuju tetapi mereka bukan membantah idea penglibatan Sabah untuk memperdagangkan karbon, jual beli karbon tu konsep perniagaan yang bagus sebenarnya cuma melalui NCA itu ada beberapa sudut yang menjadi kontroversi malah menimbulkan tanda tanya dan curiga.

“Kalau ditanya sama ada jual beli karbon memberi manfaat ekonomi atau tidak, memang bolehlah sebab kita bukan negara pertama yang memperkenalkan dan memang mahu menceburi perdagangan yang begini, tapi dalam Malaysia, Sabah yang pertama berani mahu memperkenalkan konsep itu,” katanya.

Menurutnya, perdagangan karbon bermula dari Protokol Kyoto, sebuah perjanjian pertubuhan bangsa bangsa bersatu (PBB) yang menetapkan tujuan pengurangan emisi karbon global dan mitigasi perubahan iklim pada tahun 2005.

Justeru, sekiranya kerajaan Sabah berhasrat mahu menceburkan diri dalam perdagangan karbon, Dr James menasihatkan pihak-pihak yang terlibat supaya urus niaga karbon itu dilakukan dengan cara yang betul dan telus.

“Dan jika perjanjian terdahulu itu ada masalah mungkin kerajaan negeri boleh buat usaha lain atau perjanjian yang lain, bagaimanapun ia mestilah dilakukan dengan cara yang betul dan telus, maksudnya sekiranya kerajaan negeri merancang untuk meneruskan pelaksanaan projek perdagangan karbon maka ia adalah idea yang tepat pada masanya dan memang boleh memberi manfaat kepada ekonomi di negeri ini,” tambah beliau.

Menurut Dr James lagi, fakta yang menguatkan lagi potensi perdagangan karbon boleh direalisasikan di negeri ini, iaitu pada Mac 2023, kredit karbon tersenarai dalam Bursa Saham Malaysia.

“Bursa Carbon Exchange (BCX), iaitu anak syarikat Bursa Malaysia Bhd berjaya melaksanakan lelongan kredit karbon sulung negara.

“Acara lelongan yang diadakan dijalankan secara elektronik itu menyaksikan penyertaan menggalakkan dengan 15 pembeli daripada pelbagai industri membeli sejumlah 150,000 kredit berdaftar standard karbon (Verra) yang disahkan. Verra ialah standard yang diiktiraf dalam pasaran karbon sukarela.

“Kredit karbon GNC+ daripada Projek Southern Cardamom, iaitu merupakan pengurangan pelepasan daripada penebangan hutan dan projek degradasi hutan dari Kemboja yang disertakan dengan piawaian iklim, komuniti dan biodiversiti serta menyediakan faedah tambahan bersama, menyumbang kepada pemuliharaan biodiversiti di kawasan masyarakat tempatan kehidupan panas biodiversiti Indo-Burma,” katanya yang memetik dari sumber laporan berita Bernama.

“Kenyataan itu menguatkan lagi dan menambah keyakinan kepada bakal pemilik projek tempatan untuk membangunkan projek perdagangan karbon, selain meningkatkan ekonomi ia juga boleh memberi impak sebenar dalam memerangi perubahan iklim global,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/10/14/perdagangan-karbon-idea-yang-tepat-pada-masanya-dr-james/feed/ 0 43618