INDUSTRI KREATIF – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Tue, 22 Jul 2025 22:56:13 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png INDUSTRI KREATIF – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Sabah fokus bangunkan industri kreatif beridentiti tempatan https://sabahmedia.com/2025/07/23/sabah-fokus-bangunkan-industri-kreatif-beridentiti-tempatan/ https://sabahmedia.com/2025/07/23/sabah-fokus-bangunkan-industri-kreatif-beridentiti-tempatan/#respond Tue, 22 Jul 2025 22:56:11 +0000 https://sabahmedia.com/?p=77765
Read Time:2 Minute, 16 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited memperkasakan sektor industri kreatif sebagai pemacu ekonomi baharu dan pemangkin pembangunan naratif budaya Borneo ke peringkat nasional dan antarabangsa, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Tumpuan itu selaras dengan Pelan Induk Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi perhatian kepada pembangunan ekonomi digital dan industri berasaskan pengetahuan, termasuk kandungan kreatif,” katanya pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Dana Kandungan Kreatif (DKK) Sabah di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang hadir mewakili beliau dalam majlis itu.

Tambahnya lagi, antara inisiatif utama ialah menaik taraf fasiliti kreatif serta menyokong penubuhan pusat latihan dan inkubator kandungan di Kota Kinabalu, Keningau dan Sandakan, melalui kerjasama dengan agensi Persekutuan seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

“Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang disediakan FINAS penting untuk membantu penggiat seni menghasilkan kandungan beridentitikan Sabah, sekali gus mengangkat cerita rakyat, sejarah dan kepelbagaian bahasa sukuan kepada khalayak lebih luas,” katanya.

Hajiji berkata, inisiatif DKK yang diperkenalkan oleh Kementerian Komunikasi dan FINAS membuka ruang kepada rakyat Sabah mengetengahkan kisah dan warisan mereka melalui pelbagai medium termasuk filem, dokumentari dan program televisyen.

“Sabah mempunyai kepelbagaian sosiobudaya luar biasa dengan lebih 30 etnik dan lebih 200 sub etnik. Ini menjadikan Sabah sebagai antara wilayah terkaya dari segi budaya lisan, visual dan naratif yang wajar dijadikan sumber kandungan autentik.

“Keindahan semula jadi Sabah sama ada darat, laut mahupun pergunungan turut memberi kelebihan besar untuk diterjemahkan dalam kandungan kreatif yang mampu menarik minat penonton tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta warga kementerian dan FINAS atas pemilihan Sabah sebagai lokasi program berimpak tinggi itu, yang disifatkan sebagai bukti kesungguhan Kerajaan Persekutuan memperluas ekosistem kreatif negara di luar Lembah Klang.

Katanya, usaha ini bukan sahaja mengiktiraf potensi Sabah dan Sarawak sebagai lokasi penggambaran, malah sebagai pusat penciptaan kandungan berkualiti tinggi.

“Inisiatif seperti Dana Program TV (Borneo) dan Dana Dokumentari bersama BORNEO TV merupakan langkah strategik yang meletakkan Borneo sebagai jantung kandungan segar dan asli. Kita mahu melihat lebih banyak karya kreatif lahir dari bumi Borneo bukan sahaja untuk Malaysia, malah untuk dunia,” katanya.

Hajiji turut memuji pencapaian anak muda Sabah dalam menghasilkan karya berkualiti menerusi platform seperti Sabah Film Lab, Mini Film Fest dan Festival Filem Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIFF) yang berjaya menarik perhatian juri dalam dan luar negara.

“Saya menyeru lebih ramai anak muda, khususnya dari luar bandar, supaya berani mencuba dan memanfaatkan peluang dana ini. Kisah kampung halaman, sejarah keluarga dan budaya tempatan boleh menjadi karya besar jika diterjemahkan dengan baik,” katanya.

Beliau turut menegaskan pentingnya kandungan kreatif dimanfaatkan sebagai jambatan perpaduan, inspirasi pembangunan dan cerminan budaya Sabah dalam kerangka Malaysia MADANI.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/07/23/sabah-fokus-bangunkan-industri-kreatif-beridentiti-tempatan/feed/ 0 77765
DUN Sabah: Industri kreatif di Sabah perlu ditingkatkan – Amisah https://sabahmedia.com/2024/11/18/dun-sabah-industri-kreatif-di-sabah-perlu-ditingkatkan-amisah/ https://sabahmedia.com/2024/11/18/dun-sabah-industri-kreatif-di-sabah-perlu-ditingkatkan-amisah/#respond Mon, 18 Nov 2024 08:28:36 +0000 https://sabahmedia.com/?p=63967
Read Time:2 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU: Industri kreatif di Sabah memang terkenal dengan kekayaan budaya dan bakat kreatif yang luar biasa. Namun begitu, industri kreatif di Sabah masih belum mencapai potensi sepenuhnya.

Ahli Dewan Undangan Dilantik, Datuk Amisah Yassin berkata Sabah mempunyai mempunyai sumber daya manusia yang berbakat, industri ini masih kekurangan dasar dan ekosistem sokongan yang tersusun.

Beliau berkata tidak dinafikan bahawa Sabah memerlukan satu badan sebagai payung yang khusus, untuk menguruskan dan menyokong pembangunan industri kreatif, seperti yang dilakukan oleh Lembaga Pelancongan Sabah untuk sektor pelancongan.

“Rakyat Sabah, khususnya golongan muda yang berbakat dalam seni persembahan, media kreatif, dan warisan budaya, memerlukan platform yang lebih baik untuk mempamerkan bakat mereka.

“Kekurangan peluang untuk mempamerkan bakat ini menyebabkan berlaku aliran keluar bakat ke Semenanjung Malaysia dan negara- negara lain, katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahas Ucapan Belanjawan 2025 di Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Amisah turut menyarankan kepada Kerajaan negeri, perlu mengambil langkah proaktif untuk membangunkan dasar, yang menyokong industri kreatif di Sabah.

Jelasnya, ini termasuk memperkenalkan program pendidikan, latihan kursus dalam bidang kreatif, menyediakan dana, insentif kepada usahawan kreatif, serta memastikan perlindungan hak harta intelek untuk produk kreatif.

“Saya ingin menyeru agar kerajaan negeri, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta agensi-agensi di bawah kementerian ini, memberi perhatian serius terhadap pembangunan industri kreatif di Sabah,” ujar Amisah.

Beliau turut menyentuh perumahan rakyat merupakan satu isu besar, dalam kalangan rakyat khususnya, generasi muda yang pada masa kini, terbeban dengan sara hidup yang tinggi, menyebabkan kemampuan untuk membeli rumah semakin terhad.

“Saya menyeru dan menggesa Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, agar 5,000 unit rumah mampu milik di bawah Skim Program Perumahan Rakyat (PPR) di Sabah yang diumumkan oleh YAB Ketua Menteri baru-baru in, mampu memenuhi keperluan rumah dalam kalangan masyarakat kita, khususnya mereka dari kumpulan B40/kumpulan berpendapatan rendah.

“Saya ingin menyentuh mengenai isu agihan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang kini telah ditukar dan dikenali sebagai Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS). Suatu perkara yang perlu dikaji semula, ialah mengenai kaedah agihan rumah berkenaan, yang tidak sewajarnya bersandarkan kepada nama yang tersenarai di dalam sistem e-Kasih” tegas beliau.

Menurut Amisah hal ini berbangkit apabila didapati, sebilangan rakyat yang tersenarai dalam sistem berkenaan, bukan merupakan golongan yang benar-benar memerlukan unit rumah kediaman.

Katanya mereka ini telah pun memiliki rumah dan tempat tinggal sendiri, cuma masih tersenarai sebagai golongan miskin, yang masih perlu diberi bantuan dan sokongan.

Amisah juga menyuarakan isu perumahan Kampung Sembulan supaya apa yang diharap kerajaan dapat mewujudkan Kampung Sembulan akan berwajah baharu dan paling penting, hak memiliki tanah itu perlu diberi perhatian, dan diberi keutamaan.

“Kita tidak mahu Kampung Sembulan ini hilang daripada peta Kota Kinabalu.  Projek Pembangunan Kampung Melayu Bumiputera Sembulan, dan amat mengharapkan agar projek ini mampu menjadi Kampung Melayu/Bumiputera Moden pertama di Sabah,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/11/18/dun-sabah-industri-kreatif-di-sabah-perlu-ditingkatkan-amisah/feed/ 0 63967
RENCANA : Penubuhan ASTiF Perkukuh Industri Kreatif Sabah https://sabahmedia.com/2021/10/24/rencana-penubuhan-astif-perkukuh-industri-kreatif-sabah/ https://sabahmedia.com/2021/10/24/rencana-penubuhan-astif-perkukuh-industri-kreatif-sabah/#respond Sun, 24 Oct 2021 05:01:03 +0000 https://sabahmedia.com/?p=7865
Read Time:4 Minute, 19 Second

Industri kreatif mampu menjadi salah satu bidang terpenting yang berpotensi memacu pembangunan ekonomi negara.

Menyedari potensi ini,  Universiti Malaysia Sabah (UMS) tampil menubuhkan sebuah akademi seni yang dinamakan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) bagi memainkan peranan lebih aktif membantu memacu perkembangan industri kreatif di Sabah khasnya dan Malaysia umumnya.

Akademi ini menyasarkan penyediaan tenaga pakar yang mahir  dalam pelbagai bidang industri kreatif meliputi karyawan, usahawan seni yang inovatif dan kreatif, pemikir serta pengurus  industri yang dapat memahami pelbagai bidang ilmu rentas disiplin yang melibatkan bidang kreatif dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, ASTiF menyediakan peluang dalam industri kreatif melalui penawaran program akademik dan kursus-kursus profesional sesuai dengan keperluan pasaran semasa tanpa mengetepikan nilai moral dan etika bagi melahirkan masyarakat yang inovatif dan berakal budi.

Katanya, kelebihan ASTiF untuk meneroka pelbagai bidang industri kreatif sangat tinggi kerana potensi sumber idea dan bahan di Sabah sangat unik dan boleh direalisasikan melalui penawaran kursus-kursus yang berbentuk teori dan praktikal di akademi tersebut.

“ASTiF menawarkan kuliah bersifat teori, simulasi, praktikal berasaskan teknologi kreatif dan gunaan berdasarkan keperluan semasa, dengan pengajaran dan pembelajaran secara bersepadu berpandukan modul atau kursus-kursus yang disusun oleh para pensyarah dan pakar industri berpengalaman.

“Dari aspek pengajaran dan pembelajaran, pihak UMS berharap untuk menjadikan akademi seni ini sebagai pusat pendidikan terulung di peringkat prasiswazah dan juga pascasiswazah yang mampu menatar, memasar dan memasyarakatkan seni.

“Ia merupakan satu usaha UMS bagi memastikan pemantapan ekosistem industri kreatif di Sabah melalui kewujudan tenaga mahir dan pakar,” jelas Taufiq.

Ujarnya, UMS juga menyasarkan untuk menjadikan ASTiF sebagai sebuah akademi seni yang inovatif dan kreatif dalam bidang pendidikan, aktiviti penyelidikan dan pengkomersialan.

“Yang mana ia akan melibatkan pembangunan produk-produk kreatif yang dapat menyumbang kepada pembangunan industri kreatif di Sabah,” katanya.

Sementara itu Dekan ASTiF, Prof. Madya Dr. Zairul Anuar Md. Dawam berkata, akademi itu menawarkan pelbagai kursus yang menjurus kepada teknologi kreatif melibatkan aspek aplikasi dan praktikal.

Katanya, ia termasuklah proses penciptaan produk seperti animasi, pembikinan filem pendek, rakaman digital dan teknologi audio visual, untuk disesuaikan dengan keperluan media terkini yang menyediakan medium penyiaran baharu kepada produk-produk kreatif berkenaan.

“Kami berharap untuk mengguna dan menggabungkan teknologi terkini dalam penciptaan dan pameran produk seperti teknologi projection mapping, Virtual Reality (AR) dan Augmented Reality (AR) dalam mempamerkan hasil produk seperti karya catan, seni persembahan pentas dan lain-lain pameran berkaitan,” ujarnya.

ASTiF menawarkan tiga program iaitu Program Seni Kreatif, Program Seni Muzik, dan Program Teknologi Seni Visual, selain bakal menawarkan program baharu berkaitan perfileman iaitu Program Sinematik Digital.

Menurut Zairul, pencapaian dan sumbangan ASTiF kepada industri kreatif di Sabah amat jelas apabila ramai graduan seni yang sebelum ini bernaung di bawah Sekolah Pengajian Seni dan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan telah bekerja dalam pelbagai bidang industri kreatif.

“Antaranya dalam industri filem, penyiaran televisyen, guru di Sekolah Seni, bekerja di jabatan kebudayaan negeri serta menjadi usahawan dan karyawan seni sepenuh masa. 

“Demikian juga pelajar dan graduan ASTiF yang telah mencatat kejayaan dalam pelbagai pertandingan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Pelajar program muzik kita telah memenangi hadiah utama  (Vocal Solo)  di Asian University Friendship Games 2021, pingat perak (Kategori Vokal) di World Championships of Performing Art (WCOPA) in California, USA; dan pingat emas (Kategori Vokal) di  Malaysia Championships of Performing Art (WCOPA) in Kuala Lumpur.

“Tidak lupa juga pelajar yang meraih Diploma Vokal Emas di Malaysia Choral Eisteddfod Virtual Choir & Virtual Vocal Festival, serta pemenang tempat pertama di pertandingan Pentas Alunan Patriotisme Semarak, Tugu Budaya Antarabangsa 2021 untuk kategori Anugerah Muzik Terbaik dan pemenang keseluruhan untuk kategori terbuka,” katanya.

Pelajar dan alumni ASTiF juga memenangi Yamaha Revstar Challenge dan menjadi duta kepada Yamaha Music Malaysia, serta memenangi dua pingat emas untuk pertandingan Male Choir, 7th Bali International Choir Festival sebagai konduktor koir.

Dalam bidang penerbitan filem, pelajar-pelajar ASTiF memenangi hadiah pertama lakon layar terbaik dalam pertandingan filem Lim Kok Wing Youth International Film Festival; Dokumentari Terbaik pada Flicks Fiesta SEA di KDU Penang University College; skrip terbaik, pelakon terbaik, grafik terbaik dan kesan khas terbaik di Festival Filem Pelajar anjuran FINAS, serta pelbagai lagi pertandingan lain.

Seiring dengan perkembangan terbaru industri penerbitan buku dan komunikasi digital, Zairul memaklumkan bahawa ada pelajarnya yang telah menjadi penulis, menerbit dan menjual hasil karya mereka serta menjadi penyedia kandungan kreatif melalui aplikasi media sosial.

“Manakala dalam bidang seni halus, ramai pelajar kita yang aktif dan memenangi pertandingan dan terlibat dalam pameran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Justeru, saya yakin bahawa penubuhan ASTiF mempunyai kelebihan daya saing tersendiri apatah lagi ia berada dalam lingkungan kepelbagaian masyarakat di Sabah yang terdiri daripada lebih 30 kumpulan etnik.

“Ini memberikan pelbagai peluang penyelidikan kepada para pelajar untuk mengkaji budaya etnik peribumi di Borneo dan seterusnya melestarikan budaya tersebut melalui pelbagai bidang industri kreatif seperti seni catan, seramik, seni persembahan teater, muzik, tari dan bidang penulisan kreatif dan produksi filem,” ujar Zairul.

Ditubuhkan selepas penstrukturan semula FKSW pada 7 Mei 2021, ASTiF bertekad mengangkat keunikan kepelbagaian budaya masyarakat Sabah sekali gus merealisasikan matlamat membangunkan industri kreatif sebagai salah sebuah sumber ekonomi terpenting di Malaysia khususnya di bumi Negeri Di Bawah Bayu.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/10/24/rencana-penubuhan-astif-perkukuh-industri-kreatif-sabah/feed/ 0 7865