KOTA KINABALU: Pihak Lembaga Pelancongan Sabah memuji usaha pembikin filem tempatan mempromosikan negeri dan destinasi luar bandar dalam karya mereka.
Pada Rabu, rombongan yang diketuai penerbit filem Chester Pang bertemu dengan pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, untuk membincangkan potensi pelancongan filem di negeri itu.
Rombongan itu juga membincangkan perancangan mereka untuk mempamerkan daya tarikan Sabah melalui filem dan pembikinan video promosi yang mampu menarik minat orang ramai melawat Sabah.
Antara karya tersebut ialah video pendek ‘Discover Kiulu’ dan filem komedi dalam bahasa Mandarin ‘Craze Below The Wind’.
“Ini adalah usaha yang baik untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pelbagai tarikan yang ada di Sabah, dan merangsang rasa ingin tahu mereka terhadap negeri ini,” kata Joniston, yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.
“Kiulu, sebagai contoh, telah dipilih oleh Kerajaan Negeri sebagai model pelancongan luar bandar. Tidak lama lagi Kiulu akan mempunyai pusat informasi pelancongan, di mana klip video seperti ini boleh dipaparkan.
“Kita juga berharap agar destinasi-destinasi lain menjadi inspirasi para pembikin filem untuk dipaparkan dalam karya produksi filem. Kebanyakan produk luar bandar adalah hampir sama. Oleh itu, pembikin filem juga harus mencari tarikan baharu untuk ditonjolkan,” tambahnya.
Sebagai sebahagian daripada Borneo, Joniston berkata Sabah perlu membezakan dirinya daripada Sarawak dan Kalimantan, di mana pembangunan ibu negara baru Nusantara sedang dilaksanakan.
Tambah beliau, Lembaga Pelancongan Sabah sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan penerbit filem tempatan untuk mempromosikan elemen and aspek pelancongan Sabah tersendiri.
Turut hadir pada pertemuan itu adalah penerbit dan pengarah Froggy Planet, Katak Chua, timbalan presiden Persatuan Pelancongan Kiulu Lasmen Lopuk, wakil Pro-Merge Vision, dan pengarah filem tempatan Ramli Carlo.
Penggambaran untuk ‘Discover Kiulu’ dijangka siap pada penghujung bulan ini, kata Chester, yang merupakan penerbit dari Can Bah Production.
Katanya, video promosi berdurasi 90 saat itu juga bakal dipaparkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.
Bagi filem ‘Craze Below The Wind’ yang berdurasi 90 minit, ia bakal ditayangkan pada bulan Mei.
Diterbitkan oleh Can Bah Production, ‘Craze Below The Wind’ mengisahkan tentang dua beradik yang berdepan dengan masalah dan terpaksa mengembara ke seluruh Sabah dengan membawa beg pakaian misteri.
Chester berkata bahawa filem itu, yang ditangguh sejak 2020 akibat pandemik, akan ditayangkan di 53 pawagam, termasuk di Brunei.
Sementara itu, Katak berkata filem tersebut telah mendapat sambutan positif semasa ujian tayangan, dengan tujuh daripada 10 responden menyatakan minat untuk melawat Sabah.
“Pembikinan filem itu melibatkan seramai 52 krew, dan 80 peratus daripada mereka adalah rakyat Sabah. Kami mahu mempromosikan pelancongan melalui industri perfileman kerana ia boleh memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
“Kami berharap Lembaga Pelancongan Sabah dapat bekerjasama dengan pembikin filem untuk menjayakan industri pelancongan filem di negeri ini,” kata pengarah filem itu.
]]>Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Sebaik sahaja kerajaan mengumumkan Sabah beralih ke fasa 4 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), banyak aktiviti sosial telah dibuka dan kembali beroperasi termasuklah sektor pelancongan.
Presiden Persatuan Pemandu Pelancong Sabah Grace Leong berkata, lebih kurang 1,200 pemandu pelancong Sabah kehilangan punca mata pencarian akibat pandemik COVID-19 melanda negara. Dan menjadi harapan beliau bersama penggiat-penggiat industri pelancongan lain Bajet 2022 Sabah yang akan dibentangkan nanti memberi banyak peluang dan manfaat kepada usaha mereka untuk kembali beroperasi dengan lebih aktif agar dapat menarik ramai pelancong ke negeri ini seterusnya dapat memulih ekonomi dalam sektor ini.
“Pada masa yang sukar semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ramai pekerja kami (pemandu pelancong) tiada pendapatan sebab kekangan penularan COVID-19, mereka terpaksa mencari alternatif lain seperti ada yang menjadi penghantar makanan ‘GrabFood’ dan lain-lain lagi.
“Kami bersyukur baru-baru ini, kerajaan turut mengambil perhatian terhadap nasib kami iaitu mendapat bantuan kewangan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC). Ia serba sedikit dapat meringankan beban yang kami tanggung,” katanya.
Menurut Grace cabaran bagi menarik pengunjung secara norma baharu ini adalah cara meyakinkan para pengunjung dari segi jaminan keselamatan dan kesihatan memandangkan kita masih berada dalam pandemik COVID-19.
Dengan inisiatif Grace bersama beberapa rakannya telah mempromosikan tempat-tempat menarik di negeri ini secara maya bagi menarik lebih ramai pelancong -pelancong yang rindukan Sabah.
“Kaedah memuatnaik destinasi pelancongan di dalam laman sosial seperti Facebook adalah sangat berkesan, kami dapat meyakinkan para pelancong yang bakal berkunjung ke negeri Sabah dan membawa penonton (pelancong) melakukan lawatan berjalan kaki secara maya sebelum mengadakan lawatan sebenar, melihat tempat-tempat menarik di Sabah seterusnya dibawa melihat pelbagai kemudahan yang telah disediakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” jelas Grace.
Grace berharap dalam Bajet 2022 yang akan dibentangkan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor pada 3 Disember ini, kerajaan turut sama mempromosi dan terus menyokong usaha penggiat-penggiat industri pelancongan di Sabah yang juga turut memainkan peranan penting dalam memacu meningkatkan ekonomi negara.
]]>KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini menerima kunjungan hormat empat syarikat usahawan tempatan bagi membincangkan jalinan kerjasama strategik.
Kunjungan tersebut terdiri daripada Pengarah Urusan Perfect Group, Dato Derek Phang; Pengarah Pemasaran Perfect Group, Datin Selina Shim; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) First-Art Creative, Sindiy Fam; Pengarah Urusan Fook Soon Seafood Products Sdn Bhd, Chiang Bath Sing; Pengarah Pemasaran Fook Soon Seafood, Tracy Chiang; dan CEO KPLUS Global Ventures, Jacky Tang.
Pengarah Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan (PPIP) UMS, Prof. Madya Dr. Jidon @ Adrian Janaun berkata, kesemua usahawan yang hadir menyuarakan hasrat meneroka peluang mengkomersialkan produk dan harta intelek UMS.
“Para usahawan tertarik dengan produk dan Harta Intelek UMS dan menyatakan hasrat untuk berkolaborasi terutamanya dalam bidang Sains Pemakanan.
“Kita sama-sama telah bersetuju untuk mengadakan perbincangan yang lebih lanjut berkenaan kerjasama ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Jidon memaklumkan bahawa perbincangan tersebut turut membincangkan peluang-peluang kerjasama lain yang boleh memberi manfaat kepada kedua belah pihak.
“Antaranya dari segi bentuk penyelidikan, latihan parktikal pelajar dan pertukaran kepakaran UMS dengan mereka selaku pihak industri.
“Untuk makluman, UMS melalui PPIP sentiasa mengalu-alukan kerjasama seumpama ini kepada mana-mana usahawan atau syarikat.
“Jika ada yang ingin berkolaborasi termasuk dalam memasarkan produk atau Harta Intelek UMS boleh berhubung terus dengan kami melalui emel [email protected],” katanya.
Turut hadir Pengarah Kumpulan merangkap Pemangku Pengarah Syarikat UMS Investment Holdings Sdn Bhd (UiNVEST), Francis Vincent Ariffin; Pengarah Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan UiNVEST, Nerwani Shereen Haji Halik; Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Kejuruteaan UMS, Prof. Madya Dr. Kenneth Teo Tze Kin; Pensyarah Kanan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan, Dr. Siti Faridah Mohd Amin; dan Ketua Pentadbiran PPIP, Alvin Azril Mahat
]]>KOTA KINABALU: Projek Bekalan Air Graviti Bersih dan Terawat Mudah Alih di Kampung Rungus Nahaba, Kiulu, Tuaran hasil sinergi inovasi penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan rakan industri dari Syarikat Pembinaan Kiawayan Sdn. Bhd. (PKSB) membantu penduduk di kampung itu menikmati bekalan air bersih yang boleh terus diminum.
Projek hasil dana dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui geran Malaysia Social Innovation (MySI) itu dilaksanakan selama tujuh bulan dengan penglibatan gotong-royong bersama penduduk kampung, dan telah mula beroperasi sejak Julai lalu.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul berkata, projek di kawasan tersebut yang melibatkan inovasi teknologi kejuruteraan dan inovasi sosial membolehkan bekalan air disalurkan ke 30 buah rumah di kampung tersebut.
“Dari aspek kejuruteraan, teknologi membran dan graviti diaplikasikan agar bekalan air dikumpulkan dan ditapis sehingga boleh diminum terus dari paip air, dan kualiti inovasi sebeginilah yang UMS giat usahakan untuk dibawa kepada masyarakat di negeri ini.
“Selain aspek teknikal, inovasi kedua yang penyelidik UMS ketengahkan adalah dengan mewujudkan satu sistem untuk penduduk tempatan melalui pengwujudan jawatankuasa pengurusan dalam kalangan penduduk kampung.
“Ini bagi memperkasakan mereka dari segi kemahiran untuk mengendalikan peralatan yang mesra pengguna agar teknologi yang dihasilkan lebih lestari dan komuniti terlibat boleh menerima teknologi tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Program Pemindahan Ilmu Projek Bekalan Air Graviti Bersih Kg. Rungus Nahaba baru-baru ini.
Ramzah turut memaklumkan UMS sememangnya sedang giat melaksanakan aktiviti pemindahan ilmu dan teknologi kepada masyarakat seperti projek di Kampung Rungus Nahaba, dan perkara tersebut turut menjadi keutamaan dalam agenda penyelidikan di UMS dalam tempoh dua tahun ini.
“Sains, Teknologi dan Inovasi merupakan pemacu sosioekonomi dan penyelesaian terhadap pelbagai masalah komuniti di negeri Sabah, selain turut merupakan game changer dalam pelbagai aspek di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya dan Rancangan Malaysia Ke-12.
“Justeru, projek inovasi sebegini yang UMS banyak berkolaborasi dengan pelbagai pihak demi manfaat masyarakat, dan UMS juga melaksanakan projek seumpama di daerah Pitas tetapi dengan teknologi yang berbeza,” kata Ramzah.
Dalam pada itu, Ketua Projek, Profesor Madya Ts. Dr. Gaim James Lunkapis memberitahu, terdapat tiga inovasi utama yang diperkenalkan dalam projek tersebut, iaitu inovasi pengambilan sumber bekalan air, inovasi aliran graviti, dan rumah tapisan teknologi hijau.
“Inovasi ini tidak langsung menggunakan kuasa elektrik, sebaliknya hanya bergantung kepada kuasa aliran graviti secara semula jadi.
“Teknologi ini boleh digunakan di mana-mana kawasan luar bandar yang tidak memiliki bekalan tenaga elektrik, dan tenaga solar juga boleh digunakan untuk mengambil air di bawah tanah,” katanya.
Ujar Gaim, projek itu merupakan sumbangan UMS untuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih khususnya di luar bandar yang tidak menerima bekalan air atas faktor kekangan sumber kewangan dan lokasi kawasan agak jauh yang secara konvensional akan menelan kos tinggi bagi melaksanakan sistem perpaipan biasa.
Perasmian projek tersebut disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim.
Hadir sama Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai dan Pengarah Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersilan UMS, Prof. Madya Dr. Jidon Janaun.
]]>Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KEPKAS) kini memberi tumpuan khususnya dalam membantu pengusaha industri pelancongan, memulihkan keyakinan pelancong sekaligus memastikan sektor pelancongan di Sabah mampu menjana semula pendapatan secara berterusan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, susulan pengumuman oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memberi kebenaran untuk rentas daerah dan negeri, kementeriannya kini giat melaksanakan pelbagai pendekatan baharu termasuk kempen promosi yang lebih agresif dan strategik bagi memulihkan semula industri pelancongan serta mampu merancakkan kembali sektor pelancongan di negeri Sabah.
“Antaranya termasuk sesi libat urus secara maya untuk pameran pelancongan Sabah yang turut melibatkan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Sabah (SATTA), Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) dan bekerjasama dengan perdagangan luar negara dalam kempen media sosial,” kata Jafry.
Dalam pada itu, bagi menjamin kelangsungan hidup pekerja-pekerja dalam rantaian sektor ini, kerajaan negeri juga telah memberi bantuan khas termasuk para pengusaha penginapan.
Menurut Jafry, bantuan secara one off RM2,000 diberikan kepada pengusaha pelancongan seterusnya RM300 kepada pemandu pelancongan, penggiat seni, divemaster, malim gunung dan porter.
Katanya, untuk pengusaha hotel dan penginapan, masing masing menerima RM5,000 kepada hotel bertaraf 5 dan 4 bintang. Manakala hotel bertaraf 3, 2, dan 1 bintang menerima RM2,000. Turut menerima manfaat sama , hotel yang belum mendapat pengiktirafan, persatuan Homestay dan juga Persatuan Pelancongan Luar Bandar masing-masing mendapat bantuan one off sebanyak RM1,000.
Selain itu, kementerian juga menawarkan insentif untuk menggalakkan aktiviti Pelancongan Domestik serta penganjuran aktiviti perniagaan termasuk mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).
“Semua pihak perlu sedar untuk mengembalikan sektor ini kepada keadaan sebelum berlakunya wabak COVID-19 bukan satu perkara mudah,” tambahnya.
Walau bagaimanapun, pengusaha pelancongan kini mampu menarik nafas lega susulan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan yang membolehkan mereka beroperasi semula.
Menurut kajian yang dijalankan oleh Lembaga Pelancongan Sabah ke atas pengusaha industri pelancongan baru baru ini menunjukkan 1 peratus yang telah menutup terus perniagaan mereka.
Manakala 48% hanya menutup sementara operasi ekoran pelaksanaan perintah kawalan Pergerakan PKP. Seterusnya, pengusaha pelancongan yang masih menjalankan operasi sepenuhnya sehingga kini adalah sebanyak 45.5%.
Dalam pada itu, Jafry turut memberi jaminan bahawa kementerian akan sentiasa mendengar keluhan dan cabaran yang dihadapi pemain industri di semua peringkat seterusnya bersama-sama untuk mengatasinya secara komprehensif.
“Justeru, KEPKAS akan terus membuat pendekatan yang baharu, terkini dan relevan dengan perkembangan semasa dalam usaha memulihkan sektor pelancongan, seterusnya kembali menjadi antara penyumbang ekonomi terbesar di negeri Sabah,” katanya.
]]>KOTA KINABALU: Pelancaran Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah Malaysia Timur (FEPO) oleh Bursa Malaysia Derivatives Bhd (BMD) hari ini, adalah baik sejajar dengan perkembangan industri kelapa sawit Sabah pada masa hadapan.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bahawa beliau meramalkan FEPO akan memainkan peranan penting untuk kemajuan industri kelapa sawit di Sabah pada masa hadapan, dengan pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) sebanyak 4.65 juta metrik tan pada tahun 2020, Sabah kini adalah negeri pengeluar minyak sawit terbesar yang menguasai 24 peratus pengeluaran untuk pasaran nasional.
Katanya, dengan adanya FEPO, perniagaan minyak sawit domestik dapat meneroka harga alternatif melalui pertukaran ini, setelah tamat kontrak, perniagaan dapat menghantar CPO ke salah satu dari tiga pusat penghantaran yang ditentukan, mana yang paling berdekatan dengan pusat operasi mereka.
FEPO juga diharapkan dapat menciptakan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan di setiap rantaian bekalan industri kelapa sawit, seperti pengangkutan, kemudahan penyimpanan, kualiti penyelidikan dan aktiviti hiliran yang lain, katanya.
“Di pentas global, FEPO yang akan diperdagangkan oleh peserta antarabangsa, akan berfungsi sebagai platform pemasaran untuk mempromosikan produk berkaitan sawit Sabah dan untuk menarik pelaburan langsung asing.
“Saya berasa bangga apabila mengetahui bahawa BMD telah menetapkan Lahad Datu dan Sandakan sebagai pusat penghantaran untuk FEPO,” kata Ketua Menteri.
Pelancaran FEFO secara maya telah disempurnakan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin; Hajiji dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, pada Isnin.
“Kerajaan Sabah mengiktiraf industri minyak sawit sebagai bahagian utama ekonomi negeri dan ingin memperluaskan sumbangannya.
“Oleh itu, dua Kawasan Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC) iaitu POIC Lahad Datu dan POIC Sawit, dibangunkan untuk menyediakan infrastruktur yang diperlukan untuk mengekalkan pertumbuhan jangka panjang industri kelapa sawit di Sabah,” katanya.
Hajiji berkata POIC Lahad Datu yang juga syarikat milik penuh kerajaan negeri, meliputi 4,400 ekar untuk industri ringan, sederhana dan berat serta dilengkapi dengan kemudahan set pelabuhan yang komprehensif – masing-masing pelabuhan dilengkapi kargo pukal, kargo cecair dan kontena – di pelabuhan yang dalam secara semula jadi dengan kedalaman yang dapat menampung kapal kargo yang besar.
POIC Sawit pula, yang dikendalikan oleh cabang pelaburan minyak sawit kerajaan negeri iaitu Sawit Kinabalu Sdn Bhd terletak di kawasan seluas 2.810 ekar di Sandakan dan telah dibangunkan untuk memacu pelaburan dalam industri hiliran minyak sawit.
Kedua-dua POIC itu dikelilingi oleh ladang kelapa sawit dan juga berhampiran dengan wilayah yang kaya sumber di Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP- EAGA).
“Mereka adalah aset penting bagi Negeri Sabah kerana ia adalah satu pautan penting dalam teka-teki infrastruktur untuk projek industri utama yang sedang dipertimbangkan untuk mempercepatkan pembangunan di pantai timur Sabah.
“Saya yakin, dengan ekosistem FEPO disatukan ke dalam dua POIC ini, ia akan meningkatkan potensi sinergi antara pasaran derivatif dan industri minyak sawit tempatan, sekali gus membawa pertumbuhan baharu kepada ekonomi Sabah,” katanya.
Turut hadir ialah Pengerusi Bursa Malaysia Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar, Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Muhamad Umar Swift dan Ketua Pegawai Eksekutif BMD, Samuel Ho.
]]>SANDAKAN: Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID) terus komited dalam memperkasakan industri dan usahawan kecil di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke sebuah kilang pemprosesan minuman terkemuka di negeri ni, K2, pada Sabtu.
K2 mempunyai dua kilang di negeri ini iaitu di sini (Sandakan) dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP). Manakala sebuah Kilang baharu di Keningau dijangka akan mulai beroperasi dalam tahun ini.
Dalam pada itu, K2 mempunyai lima pusat edaran di seluruh Sabah iaitu di Sandakan, Kota Kinabalu, Lahad Datu, Tawau dan Kudat.
Dr. Joachim memuji K2 kerana pada masa pandemik ini, ia terus menjaga kebajikan pekerja dan menunaikan tanggungjawab korporat sosial, menjadikan K2 sebagai contoh korporat yang bertanggungjawab.
“K2 bukan sahaja menghasilkan air minum yang berkualiti tinggi, tetapi juga menyumbangkan air minum kepada barisan hadapan, hospital dan kawasan yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” kata Dr, Joachim.
“Bahagian logistik K2 bukan sahaja membawa air minum yang disumbangkan kepada barisan hadapan, malah pasukan pengangkutannya bekerjasama sepenuhnya untuk menyampaikan air minum dengan selamat kepada orang-orang yang memerlukannya.
“Ini untuk memastikan setiap individu masyarakat dapat menikmati air minuman yang bersih dan selamat digunakan,” katanya lagi.
Dr. Joachim juga kagum pencapaian kilang ini yang telah mendapat pensijilan antarabangsa iaitu ISO 22000 dan Food Safety System Certification (FSSC).
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kerana syarikat ni sudah tiga kali berjaya memenangi Anugerah dalam Sabah Industry Excellence Award pada Tahun 2011, 2015 dan 2017,” katanya.
Dr. Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian berkata K2 juga akan terus mengedar produk mereka kepada pelanggan kedai dan pasaraya di seluruh Sabah, Labuan dan Sarawak.
Katanya, antara produk yang dikeluarkan ialah air minuman K2 dan Sasa, minuman berperisa buah-buahan, 2More dan minuman Isotonik, Tritonic.
Dr. Joachim mengucapkan tahniah kepada K2 kerana menjadi pengilang air pertama yang menggunakan bahan kitar semula plastik untuk dijadikan botol minuman yang dikitar semula.
“Botol plastik bukanlah punca pencemaran dinegara ini kalau di kitar semula. Namun, individu yang membuang plastik merata-rata tempat ini adalah golongan yang mecemarkan alam sekitar kita. Tahniah kepada K2 kerana mengambil inisiatif untuk kitar semula.
Turut bersama Dr. Joachim semasa lawatan ke kilang tersebut ialah Pengurus Besar dan Pengurus Eksekutif K2, Liaw Hen Kong dan Chin Lee Ling, serta Presiden Persekutuan Industri Sabah (FSI), Richard Lim.
Dalam program yang berlainan dibawah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), Dr. Joachim juga melawat beberapa industri kecil di sini.
Beliau berharap pengusaha kecil akan terus berusaha meningkatkan kualiti produk masing-masing dan akan berkembang serta menembusi pasaran tempatan dan juga di peringkat antarabangsa.
“Secara tidak langsung, lawatan ini memberikan motivasi dan galakan kepada para usahawan.
“Saya juga mengalakkan usahawan untuk membuat permohonan BAIKS yang disediakan oleh DIDR,” kata Dr. Joachim.
Dr. Joachim turut diiringi Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, YB Mohd Tamin Zainal, Setiausaha Tetap Kementerian, Thomas Logijin, Pengarah DIDR, Tseu Kei Yue dan Pegawai Protokol Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Suffian Ag. Basrih.
Beliau juga turut dibawa meninjau premis perniagaan di Bangunan Sedco Light Industri yang menghimpunkan perusahaan kecil produk tempatan termasuk Arkab Enterprise, Sarina Enterprise dan Premier Food.
]]>KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri telah mempertimbangkan dan memberi kebenaran kepada semua syarikat dan industri di Sabah untuk membeli bekalan vaksin secara terus.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pembelian vaksin itu membabitkan tiga jenis vaksin yang sedang digunakan kini disemua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara.
“Antara vaksin itu adalah vaksin jenis Pfizer; Sinovac dan Astrazeneca. Syarikat dan industri terlibat akan menjalankan program imunisasi kepada pekerja di premis mereka yang dijadikan PPV Sementara.
“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan membantu menguruskan klinik swasta untuk melaksanakan program imunisasi di premis atau ladang masing-masing,” katanya dalam kenyataan disini malam ini.
Dalam perkembangan lain, Masidi berkata, Sabah melepasi empat angka kes positif COVID-19 di Sabah iaitu sebanyak 1,066 kes iaitu mencatat peningkatan sebanyak 290 kes berbanding 776 kes yang dicatatkan semalam.
Katanya, jumlah itu merupakan angka tertinggi yang direkodkan tahun ini di Sabah.
“Sarıngan kontak rapat masih lagi merupakan penyumbang paling tinggi iaitu sebanyak 640 kes atau 60.04 peratus daripada kumulatif kes COVID-19 hari ini di mana daerah Kota Kinabalu mencatatkan jumlah saringan kontak rapat paling tinggi iaitu 125 kes.
“Saringan bergejala pula mencatatkan sejumlah 157 kes atau 14.73 peratus daripada kumulatif harian negeri Sabah dan saringan kluster merekodkan 157 kes atau 14.73 peratus, manakala sarıngan bersasar merekodkan 51 kes atau 4.78 peratus,” katanya.
Menurutnya, Sabah turut merekodkan dua kluster baharu dengan jumlah sebanyak 16 kes iaitu Kluster Batu 2, Tawau dan Kluster Jalan Gunsapau, Ranau.
Sementara itu, Masidi berkata, Sabah turut merekodkan sebanyak enam kes kematian akibat jangkitan COVID-19 membabitkan tiga di daerah Beaufort dan masing-masing satu di Sandakan; Kudat dan Penampang.
]]>KENINGAU: Industri lembu tenusu Sabah dijangka akan terus berkembang pesat menerusi Pusat Ternakan Bersepadu Keningau (KILC), di bawah Desa Keningau Livestock Industries Sdn Bhd (DKLI) yang baharu ditubuhkan.
DKLI ditubuhkan apabila Desa Cattle (Sabah) Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh negeri, mengambil alih KILC daripada Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) pada 1 Julai.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau mengharapkan ambil alih projek oleh Desa, industri lembu tenusu negeri akan terus berkembang.
“Ini akan melengkapkan projek ternakan tenusu Desa yang sedia ada di Kundasang, yang kini berjalan lancar,” katanya selepas melawat KILC di Sook, di sini pada Selasa.
Desa kini akan memainkan peranan utama untuk pengembangan industri tenusu dan lembu di Sabah.
Jumlah awal pelaburan modal yang diperlukan untuk pembangunan projek itu dianggarkan berjumlah RM118 juta dan dibahagikan kepada dua fasa.
Fasa pertama projek di bawah SEDIA berjumlah RM57.3 juta telah siap pada 19 Ogos 2013 melalui pembiayaan Persekutuan.
Menerusi usaha baharu ini, DKLI akan melakukan kerja pengembangan dengan kos RM87.83 juta untuk meningkatkan keupayaannya menampung 2,000 ekor lembu tenusu dan daging lembu.
Dengan memiliki kemampuan untuk menempatkan sebanyak 2,000 lembu tenusu, LDKIL menyasarkan pengeluaran susu tahunan sebanyak 8.5 juta liter dan 1,000 ekor lembu yang bersamaan dengan 500 tan metrik daging lembu setahun.
]]>PUTRAJAYA : Dua pelan strategik pembangunan industri pedaging dan tenusu negara yang akan menumpukan kepada pelbagai inisiatif dan insentif bagi membangunkan industri ruminan negara dilancarkan hari ini.
Pelan itu adalah Pelan Strategik Pembangunan Industri Pedaging Negara (BIF PLAN 2021-2025) dan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara 2021-2025 (DAIRY PLAN 2021-2025).
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pelan-pelan itu adalah manifestasi komitmen kerajaan untuk membangunkan industri pedaging dan tenusu melalui pendekatan sistem penternakan yang efisien.
Katanya, ia termasuk peningkatan kapasiti pengeluaran, pengekalan kos pengeluaran yang optimum serta memperkukuh pengurusan di sepanjang rantaian nilai.
“Melalui pelan-pelan ini juga, sasaran pengeluaran daging dan susu segar tempatan dapat ditingkatkan dengan penambahan pengeluaran sebanyak 111,000 tan metrik daging dan 20 juta liter susu segar dapat dicapai dalam tempoh lima tahun Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12)
“Ia juga adalah bagi mencapai sasaran 50 peratus tahap sara diri (SSL) untuk pengeluaran daging dan 100 peratus SSL untuk susu segar menjelang tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Ruminan 2021 anjuran Jabatan Perkhdimatan Veterinar (DVS) secara maya, hari ini.
Dr Ronald berkata, pembangunan lembah tenusu juga akan diteruskan dalam tempoh RMKe-12 di beberapa kawasan baharu termasuk di Lembah Tenusu Selatan di Melaka dan Johor, Lembah Tenusu Borneo di Sabah dan Sarawak, dan Lembah Tenusu Pantai Timur iaitu di Kelantan dan Terengganu.
Katanya, program transformasi usahawan skala besar dan transformasi penternak kecil melalui kaedah bayaran balik (reimbursement) dan geran padanan (matching grant) juga akan dilaksanakan bagi meningkatkan bilangan populasi induk lembu susu tempatan.
“Bagi industri pedaging pula, program-program seperti Skim Rezeki Ternak bagi penternak kecil, Program Peningkatan Ruminan untuk penternakan integrasi dan pembangunan 67 buah ladang-ladang satelit di Kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPR) serta Projek Pertanian Moden (PPM).
“Program itu dijangka dapat menjadi pemangkin kepada pengusaha-pengusaha penternakan ruminan meliputi skala kecil, semi komersil dan komersil dalam mencapai sasaran pengeluaran 111,000 tan metrik menjelang tahun 2025,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Ronald berkata, kementeriannya juga akan memberikan insentif bagi pengukuhan model aktiviti pengeluaran daging di zon-zon khusus bagi projek fidlot ruminan melalui skim pengukuhan rangkaian fidlot dari integrasi dan tenusu (Skim FIT) seperti mana yang digariskan dalam Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.
Katanya, Lembaga Ruminan Negara yang telah dipersetujui dalam Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) akan ditubuhkan dan dijangka akan beroperasi secara berfasa bermula pada tahun 2022, yang juga selari dengan hala tuju MAFI dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0 2021-2030 (DAN 2.0).
“Ia adalah bagi meningkatkan kemampanan dan pertumbuhan industri ternakan serta tahap sekuriti makanan negara untuk hasilan ruminan secara keseluruhannya,
“Kesemua strategi yang dirangka oleh kerajaan memerlukan kerjasama yang erat dan komitmen berterusan semua pihak bersama-sama dengan MAFI dan DVS serta pemain-pemain industri terutama para penternak sebagai pemegang taruh penting,’’ katanya.
Dalam perkembangan sama, Dr Ronald berkata, industri ternakan ruminan di Malaysia merupakan satu industri yang penting sebagai sumber protein negara dan menjadi salah satu industri utama agromakanan negara dengan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2019 bernilai RM15 billion.
Katanya, ia juga menyediakan sumber pendapatan yang menguntungkan kepada semua pihak yang terlibat di sepanjang rantaian nilai termasuk penternak, khususnya menerusi pengeluaran daging, telur, susu dan produk hasilannya.
“Berdasarkan kepada keperluan semasa, industri ini sangat berpotensi untuk dikembangkan bagi menjamin bekalan makanan dalam negara dan mengurangkan import memandangkan Malaysia amat bergantung kepada pengimportan daging, susu dan produk tenusu bagi memenuhi permintaan dalam negara,” katanya.
Terdahulu, pada Simposium Ruminan 2021 itu, sebanyak lima kertas kerja dibentangkan yang menyentuh halatuju industri ruminan negara serta program yang dilaksanakan sejak 2020-2021 ketika negara berdepan krisis wabak COVID-19.
Penganjuran simposium ini juga bermatlamat ke arah perkongsian program-program yang telah dijalankan oleh Jabatan dalam pembangunan industri ruminan sepanjang 2020-2021, serta penjelasan mengenai penyakit-penyakit ternakan yang boleh menjejaskan ekonomi serta langkah kawalannya selain penjelasan isu berkaitan haiwan peliharaan.
Pembangunan industri ruminan negara akan terus diperkasakan dalam tempoh RMKe-12 dan MAFI sentiasa meletakkan komitmen yang tinggi dalam perkembangan industri ruminan negara agar bekalan daging segar dan susu segar dapat menampung keperluan tempatan dalam apa jua keadaan.
]]>