inkues – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Tue, 25 Nov 2025 01:54:33 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png inkues – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Inkues Zara diteruskan walaupun NGO failkan semakan kehakiman https://sabahmedia.com/2025/11/25/inkues-zara-diteruskan-walaupun-ngo-failkan-semakan-kehakiman/ https://sabahmedia.com/2025/11/25/inkues-zara-diteruskan-walaupun-ngo-failkan-semakan-kehakiman/#respond Tue, 25 Nov 2025 01:54:27 +0000 https://sabahmedia.com/?p=86930
Read Time:2 Minute, 23 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir diteruskan, walaupun sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) dilaporkan telah memfailkan permohonan semakan kehakiman (Judicial Review) untuk menghentikannya.

Dalam satu kenyataan, pasukan guaman ibu Zara berkata mereka belum menerima sebarang dokumen rasmi berhubung permohonan NGO tersebut dan menegaskan bahawa prosiding inkues akan berjalan seperti biasa di Mahkamah Koroner mengikut undang-undang sedia ada.

“Pasukan guaman mengambil maklum mengenai tindakan satu NGO luar yang difahamkan telah memfailkan permohonan Judicial Review (JR) untuk menghentikan prosiding inkues.

“Setakat ini, pihak kami belum menerima salinan rasmi permohonan tersebut, dan prosiding inkues diteruskan seperti biasa mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada di Mahkamah Koroner,” kata pasukan guaman pada Isnin.

Pasukan guaman itu turut menegaskan bahawa keluarga tidak pernah memberi kebenaran atau arahan kepada mana-mana pihak untuk memfailkan permohonan bagi menghentikan prosiding berkenaan.

Pasukan guaman juga menegaskan bahawa anak guam mereka tidak pernah memberikan kebenaran atau arahan kepada mana-mana pihak untuk memfailkan sebarang permohonan berkaitan prosiding ini.

“Oleh itu, apa-apa tindakan atau permohonan yang dibuat tanpa mandat daripada anak guam atau Pasukan Peguam adalah tidak selari dengan kepentingan anak guam kami dan tidak mencerminkan pendirian keluarga.”

Pasukan peguam memaklumkan kepada orang awam bahawa prosiding inkues tidak melambatkan keadilan untuk Zara. Sebaliknya, inkues telah membantu merakam dan menjelaskan beberapa fakta penting sebelum bermulanya prosiding jenayah di Mahkamah Kanak-Kanak.

“Antaranya, peristiwa pada malam 15 Julai, termasuk keadaan emosi Zara semasa dan selepas dipanggil oleh pelajar senior; fakta berhubung diari Zara, termasuk isu diari dibaca, disalin, diimbas dan dikongsi, serta ketiadaan warden bertugas pada malam kejadian; dan almari Zara yang diselongkar bagi tujuan “spot check” tanpa kehadiran Zara.”

“Pasukan Peguam akan terus memantau semua perkembangan ini dan memastikan proses inkues dijalankan secara teratur, profesional, dan bebas daripada sebarang cubaan campur tangan pihak luar.”

Pasukan guaman itu berkata mereka akan terus memantau segala perkembangan dan memastikan inkues berlangsung secara teratur, profesional dan bebas daripada campur tangan pihak luar.

Pada 21 November lalu, media melaporkan bahawa Pertubuhan Kebajikan Ekonomi Semangat Bersatu Malaysia (Pembela) memfailkan permohonan untuk menghentikan inkues Zara yang sedang berjalan kerana mereka mendakwa bahawa inkues itu diadakan mengikut Kanun Tatacara Jenayah dan bukannya Ordinan Inkues negeri 1959.

Dalam satu kenyataan, presiden NGO Sabah itu, Dr Mohammad Jeffry Rosman, berkata prosiding itu, memandangkan ia tidak dijalankan mengikut Ordinan negeri, telah melanggar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Susulan itu, mereka memohon perintah Mahkamah Tinggi untuk membatalkan keseluruhan prosiding inkues, mengisytiharkan inkues mesti dijalankan di bawah Ordinan Inkues negeri dan menegakkan hak perundangan dan perlembagaan Sabah di bawah MA63.

Tambahnya, permohonan itu difailkan untuk melindungi integriti sistem perundangan negeri dan untuk memastikan inkues ke atas kematian Zara dijalankan secara sah, telus dan mengikut undang-undang Sabah.

Pasukan guaman ibu Zara terdiri daripada Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan Mohd, Syarulnizam  Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/11/25/inkues-zara-diteruskan-walaupun-ngo-failkan-semakan-kehakiman/feed/ 0 86930
Inkues Zara: ‘Saya tidak berniat untuk membuka aib sesiapa’ – Saksi https://sabahmedia.com/2025/11/21/inkues-zara-saya-tidak-berniat-untuk-membuka-aib-sesiapa-saksi/ https://sabahmedia.com/2025/11/21/inkues-zara-saya-tidak-berniat-untuk-membuka-aib-sesiapa-saksi/#respond Fri, 21 Nov 2025 06:00:16 +0000 https://sabahmedia.com/?p=86597
Read Time:3 Minute, 25 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang guru menjelaskan bahawa beliau mengimbas dan berkongsi salinan diari Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir kepada empat individu lain bagi membantu siasatan dan bukannya untuk membuka aib sesiapa.

Yuslina Badrum, saksi ke-49 dalam inkues kematian Zara, berkata demikian ketika ditanya oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan sama ada beliau mempertimbangkan kesan perkongsian itu terhadap arwah yang sudah tidak dapat menjawab apa-apa.

Menjawab soalan lain, Yuslina berkata beliau juga tidak suka sekiranya barang privasinya diganggu, namun dalam kes ini tindakan tersebut diambil kerana mereka perlu melihat situasi daripada semua sudut bagi mencari penyelesaian terbaik.

Terdahulu, Koroner mengemukakan beberapa soalan selepas sesi soal jawab antara saksi, pegawai pengendali dan pihak-pihak berkepentingan selesai.

Koroner: Semalam cikgu ada mengatakan cikgu scan dan hantar isi kandungan diari. Saya cuma minta pengesahan untuk rekod mahkamah diari yang mana satu yang cikgu scan dan hantar kepada cikgu yang satu lagi?
Saksi: Diari berwarna ungu, hijau, coklat, dan helaian diari 15 helai.

Koroner: Maksudnya semua yang dijumpai.
Saksi: Betul.

Koroner: Kepada siapa cikgu serahkan?
Saksi: Cikgu Norasimah, Cikgu Azhari.

Koroner: Kesemua isi kandungan?
Saksi: Kesemua sekali.

Koroner: Dalam bentuk apa? PDF atau apa?
Saksi: Dalam bentuk PDF.

Koroner: Maknanya selain daripada cikgu yang scan keseluruhan isi kandungan diari dan juga helaian-helaian kertas, ada dua orang lagi yang cikgu tahu ada milikan ke atas salinan-salinan diari itu?
Saksi: Betul, dan saya ingin tambah, saya ada bagi juga kepada pentadbir sekolah.

Koroner: Siapa pentadbir itu?
Saksi: Pengetua dan juga Penolong Kanan HEM (Penolong Kanan Hal Ehwal Murid)

Koroner: Maksudnya, asalnya cikgu yang scan, semua isi kandungan, kemudian cikgu serahkan kepada empat lagi yang lain iaitu  Ustaz Azhari, Cikgu Norasimah, pengetua dan PK HEM
Saksi: Iya.

Koroner: Semasa cikgu mengimbas, dan juga sebelum share kepada pihak-pihak yang cikgu sebutkan, cikgu ada membaca semuanya?
Saksi: Ada.

Koroner:  Boleh mahkamah tahu persepsi cikgu tentang kesemua isi kandungan itu secara general?
Saksi: Secara general, sebab setiap buku itu ada dia punya main point lah saya rasa. Tapi secara umumnya, Zara merupakan seorang yang agak sukakan hidup. Contohnya dia sukakan persahabatan. Dia ada dua orang kawan baik setahu saya. Dia mahu berubah ke arah kebaikan dengan mencontohi seorang pengawas badar. Dia sangat mengkagumi pelajar ini. Dia ada juga sisi negatif lah yang dari pembacaan saya.

Koroner:  Maksudnya, apa yang ditulis semua hal-hal pribadi?
Saksi: Hal peribadi

Koroner:  Cikgu ada fikirkan kesan ke atas arwah yang tidak boleh jawab apa-apa, sebelum cikgu berkongsi kepada pihak-pihak yang lain tadi.
Saksi: Tindakan saya itu hanya untuk membantu kepada siasatan. Saya tidak berniat untuk membuka aib sesiapa.

Koroner:  Tetapi cikgu mesti bersetuju kan, empat pihak yang cikgu bagi itu bukan pihak autoriti?
Saksi: Saya rasa pentadbir adalah pihak yang patut tahu, yang perlu bertanggungjawab terhadap apa maklumat yang kami ada.

Koroner:  Betul, tetapi mereka cuma boleh tahu kewujudan diari dan bukan kontennya. Betul?
Saksi: Betul…

Koroner: Okaylah, akhir sekali, kalaulah, katalah barang yang dikongsi sebegini, cikgu punya, dan dikongsikan kepada pihak lain. Apa perasaan cikgu?
Saksi: Perasaan saya, memang saya tidak suka lah, bila barang privasi saya diganggu. Tetapi, dalam kes ini kita perlu tahu dari semua sudut lah, dan untuk mencari penyelesaian yang terbaik.

Sementara itu, Yuslina tidak bersetuju dengan peguam ibu Zara, Rizwandean M Borhan bahawa pihak guru sekolah mempunyai mindset untuk membuat kesimpulan bahawa Zara adalah seorang pelajar yang bermasalah.

Yuslina berkata tidak semua guru yang tahu mengenai perkara isi kandungan diari Zara dan semua guru terlibat ada berbincang bersama.

Yuslina bersetuju ada beberapa mukasurat diairi Zara telah dibocorkan kepada media sosial seperti TikTok, yang cuma menunjukkan bahan kandungan yang negatif saja. Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju ada seseorang dari pihak sekolah yang membocorkan diairi Zara untuk menjawab spekulasi warganet (netizen) di media sosial.

Saksi juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia tidak mengetahui siapa pemilik akaun TikTok @PlotTwistZara.

Yuslina merupakan Guru Bahasa Inggeris Lepas Menengah (Tingkatan 6) dan berkhidmat di SMKA Tun Datu Mustapha sejak 2 Februari 2015 dan juga merupakan warden asrama di sekolah tersebut. Kini, Yuslina bukan lagi warden asrama.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/11/21/inkues-zara-saya-tidak-berniat-untuk-membuka-aib-sesiapa-saksi/feed/ 0 86597
Inkues Zara bersambung Oktober 7 https://sabahmedia.com/2025/10/01/inkues-zara-bersambung-oktober-7/ https://sabahmedia.com/2025/10/01/inkues-zara-bersambung-oktober-7/#respond Wed, 01 Oct 2025 01:04:55 +0000 https://sabahmedia.com/?p=82278
Read Time:1 Minute, 24 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir akan bersambung semula pada 7 Oktober dan dijangka berlanjutan hingga selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17).

Jangkaan itu timbul berikutan jumlah saksi yang masih ramai belum memberi keterangan, selain kemungkinan ada saksi tambahan yang akan dipanggil oleh peguam pihak berkepentingan.

Sebelum ini, Mahkamah Koroner menetapkan 17 hari pendengaran antara 3 hingga 30 September, membabitkan 68 saksi, tidak termasuk saksi tambahan. Namun, setakat ini baru 16 saksi dipanggil.

Ketika ini, prosiding tertumpu kepada saksi kanak-kanak, hanya lapan daripada lebih 30 saksi kanak-kanak telah memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Menurut peguam yang mewakili ibu Zara, Rizwandean M Borhan, saksi kanak-kanak kelapan yang juga saksi ke-16 baru mula memberi keterangan dan belum selesai.

Selain Rizwandean, barisan peguam yang mewakili ibu Zara termasuk Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James. Mereka menjadi pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.

Pihak berkepentingan lain ialah peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan yang mewakili pelajar A; serta Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Fareez Salleh dan Sylvester Kuan yang mewakili pelajar B, C, D dan E.

Pegawai pengendali terdiri daripada Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badiuszaman Ahmad; Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah; serta Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S. Sawayan dan Dacia Jane Romanus.

Sabah Law Society (SLS) dan Peguam Kanan Persekutuan, Dr Norahimah Fitri mewakili Kementerian Pendidikan hadir sebagai peguam pemerhati.

Zara, pelajar Tingkatan 1, ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asramanya sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth (QEH).

]]>
https://sabahmedia.com/2025/10/01/inkues-zara-bersambung-oktober-7/feed/ 0 82278
Kebocoran maklumat ganggu emosi saksi kanak-kanak, prosiding inkues ditunda https://sabahmedia.com/2025/09/19/kebocoran-maklumat-ganggu-emosi-saksi-kanak-kanak-prosiding-inkues-ditunda/ https://sabahmedia.com/2025/09/19/kebocoran-maklumat-ganggu-emosi-saksi-kanak-kanak-prosiding-inkues-ditunda/#respond Fri, 19 Sep 2025 06:31:35 +0000 https://sabahmedia.com/?p=81622
Read Time:1 Minute, 54 Second

Oleh J. Evachel John

((KEMASKINI)) KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir ditangguhkan susulan kebocoran maklumat melibatkan saksi kanak-kanak.

Koroner Amir Shah Amir Hassan meluahkan kekecewaannya terhadap insiden itu kerana ia menjejaskan perjalanan prosiding yang telah memasuki hari ke-10.

“Saya amat kecewa tetapi tiada pilihan. Jadi, kita akan sambung pada Isnin,” katanya.

Tegasnya, setiap kebocoran atau gangguan pasti akan menjejaskan prosiding inkues.

“Saya rasa ini juga satu peringatan yang perlu saya berikan kepada orang awam, apabila berlaku kebocoran atau gangguan, ia pasti menjejaskan prosiding inkues.

“Inilah yang berlaku hari ini. Sekarang, saksi-saksi berasa terintimidasi akibat tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu. Saya tidak tahu siapa…,” katanya.

Prosiding pada Isnin nanti akan dijalankan secara tertutup dengan saksi kanak-kanak berada di bilik saksi.

Bagi prosiding in camera, selaras dengan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak, saksi akan ditempatkan di bilik saksi bersama seorang jurubahasa dan seorang pendamping pilihan mereka.
“Namun pendamping itu tidak boleh terdiri daripada mana-mana saksi berpotensi. Jika dia merupakan saksi, maka orang lain perlu dilantik, sebaik-baiknya ahli keluarga terdekat. Kedudukan tempat duduk akan menempatkan kanak-kanak di hadapan kamera manakala pendamping berada di belakang tetapi masih kelihatan dalam kamera,” kata Koroner.

Inkues Zara sepatutnya diteruskan pada petang ini dengan saksi kanak-kanak selepas ketua warden Azhari Abd Sagap selesai memberi keterangan.

Bagaimanapun Datuk Ram Singh yang mewakili saksi kanak-kanak dikenali sebagai Pelajar A, memaklumkan maklumat melibatkan saksi kanak-kanak telah tular sebelum dibentangkan di Mahkamah Koroner.

Dalam sidang media, Ram berkata pihaknya kecewa kerana selepas segala persiapan dibuat namun insiden itu telah menyebabkan emosi saksi kanak-kanak terganggu dan saksi berkenaan juga menangis.

Menurut Ram terdapat keterangan saksi kanak-kanak yang tular di WhatsApp. Mereka juga menerima maklumat mengenai butiran pelajar yang dimuat naik di TikTok.

“Itu tidak sepatutnya berlaku. Bagi saya, itu adalah satu bentuk intimidasi. Pegawai pengendali prosiding juga telah dimaklumkan mengenai perkara ini.

“Saya simpati dengan ibu bapa kanak-kanak itu kerana mereka terpaksa melalui pengalaman ini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai Kesan kebocoran maklumat itu, Ram berkata pihaknya menggunakan kenyataan saksi sedia ada dan menegaskan pegawai pengendali berpengalaman luas dan tahu apa yang perlu dilakukan.

“Kami akan cuba sedaya upaya mematuhi Akta Keterangan Kanak-Kanak,” katanya.

Ditanya mengenai bagaimana dokumen itu boleh bocor, Ram berkata beliau tidak mengetahui puncanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/19/kebocoran-maklumat-ganggu-emosi-saksi-kanak-kanak-prosiding-inkues-ditunda/feed/ 0 81622
Pihak berkuasa wajar ambil tindakan terhadap ‘kebocoran’ barang kes – koroner https://sabahmedia.com/2025/09/08/pihak-berkuasa-wajar-ambil-tindakan-terhadap-kebocoran-barang-kes-koroner/ https://sabahmedia.com/2025/09/08/pihak-berkuasa-wajar-ambil-tindakan-terhadap-kebocoran-barang-kes-koroner/#respond Mon, 08 Sep 2025 05:32:42 +0000 https://sabahmedia.com/?p=80811
Read Time:1 Minute, 0 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner mengingatkan semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya berkongsi atau mendedahkan barang kes berhubung inkues Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, yang bersidang sebagai koroner berkata beliau menerima aduan mengenai barang kes yang dikongsi di media sosial.

“Saya ingin mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati dan bertangungjawab dengan barang kes yang berada dalam simpanan masing-masing.

“Tindakan memuat naik barang kes semasa prosiding mahkamah masih berlangsung boleh dianggap sebagai menghina mahkamah (contempt of court).

“Pihak berkuasa wajar mengambil tindakan, walaupun kita tidak mampu menghalang semua orang,” katanya.

Mahkamah berhenti rehat untuk makan tengah hari sekitar jam 12.30 tengah hari tadi.

Difahamkan sekitar jam 9 pagi tadi, satu akaun Facebook telah memuat naik dan mendakwa sekeping nota tulisan tangan mempunyai kaitan dengan Zara.

Prosiding inkues Zara kini memasuki hari ketiga dengan Pemeriksa Dokumen dari Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh, memberi keterangan sebagai saksi kedua.

Sehingga berita ini ditulis, prosiding hanya mendengar keterangan saksi kedua yang membaca tujuh muka surat laporannya.

Sebanyak 21 barang kes berupa helaian kertas dan buku bertulisan tangan telah dikemukakan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, dokumen tersebut belum dinyatakan sebagai diari Zara dalam prosiding mahkamah terbuka.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/08/pihak-berkuasa-wajar-ambil-tindakan-terhadap-kebocoran-barang-kes-koroner/feed/ 0 80811
Pakar forensik serah kepada mahkamah tentukan punca jatuh Zara https://sabahmedia.com/2025/09/04/pakar-forensik-serah-kepada-mahkamah-tentukan-punca-jatuh-zara/ https://sabahmedia.com/2025/09/04/pakar-forensik-serah-kepada-mahkamah-tentukan-punca-jatuh-zara/#respond Thu, 04 Sep 2025 10:36:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=80628
Read Time:1 Minute, 10 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu menyerahkan kepada pertimbangan Mahkamah Koroner untuk memutuskan sama ada Zara Qairina Mahathir jatuh atas kehendaknya sendiri atau sebaliknya.

Dr Jessie, yang merupakan saksi pertama dalam inkues kematian Zara, berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili salah seorang remaja yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak.

Ram mengajukan pertanyaan itu susulan keterangan Dr Jessie kelmarin dan hari ini yang menyatakan bahawa adalah tidak mungkin Zara jatuh secara tidak sengaja atau ditolak.

Ram Singh: Sekiranya ia bukan disebabkan kemalangan atau ditolak, ketika berdiri atau duduk di penghadang, adakah kemungkinan dia jatuh atas kerelaan sendiri?

Dr Jessie: Itu terpulang kepada mahkamah menentukan.

Ram Singh: Pendek kata, apa apa sekalipun definisi yang digunakan, adakah situasi yang melibatkan si mati itu boleh dianggap bunuh diri?

Dr Jessie: Sama, itu tepulang kepada mahkamah menentukannya.

Terdahulu sebuah patung digunakan untuk menunjukkan kecederaan yang dialami Zara  terutamanya pada kaki kiri, pergelangan tangan, bahagian sisi dan belakang badan, adalah konsisten dengan kes jatuh. 

Inkues ini diadakan susulan kematian Zara yang ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.

Koroner Amir Shah Amir Hassan dijangka akan mendengar keterangan daripada 68 saksi, termasuk 35 kanak-kanak.

Inkues itu turut dijadualkan melibatkan lawatan ke lokasi kejadian di Papar pada Khamis depan.

Prosiding inkues akan bersambung Isnin.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/04/pakar-forensik-serah-kepada-mahkamah-tentukan-punca-jatuh-zara/feed/ 0 80628
Inkues Zara bermula bulan hadapan di hadapan koroner baharu https://sabahmedia.com/2025/08/28/inkues-zara-bermula-bulan-hadapan-di-hadapan-koroner-baharu/ https://sabahmedia.com/2025/08/28/inkues-zara-bermula-bulan-hadapan-di-hadapan-koroner-baharu/#respond Thu, 28 Aug 2025 09:15:49 +0000 https://sabahmedia.com/?p=80235
Read Time:2 Minute, 30 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Prosiding inkues berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, akan diteruskan mengikut jadual, namun ia akan didengar di hadapan seorang koroner baharu.

Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz, yang bersidang sebagai koroner, memaklumkan bahawa prosiding tersebut akan didengar oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan.

Azreena berkata beliau tidak akan mendengar inkues tersebut selepas mempertimbangkan faktor bahawa beliau menetap di daerah Papar walaupun tidak mengenali ‘nama-nama’ yang disebutkan.

Dalam prosiding hari ini, Mahkamah Koroner membenarkan permohonan pasukan guaman keluarga Zara agar ibu arwah, Noraidah Lamat, dideklarasikan sebagai orang yang berkepentingan di dalam prosiding inkues berkenaan kematian Zara.

Dalam permohonan tersebut pasukan guaman memohon agar anak guam mereka, melalui pasukan guaman, dibenarkan terlibat dalam prosiding inkues tersebut untuk memeriksa dan menyoal balas para deponen (saksi-saksi), melihat dokumen-dokumen dan mencadangkan dan membawa saksi-saksi dan dokumen-dokumen tambahan untuk membantu koroner.

Permohonan itu turut meliputi agar Noraidah, melalui peguamnya, diberikan salinan dokumen-dokumen relevan daripada Jabatan Peguam Negara sebelum permulaan prosiding inkues.

Mahkamah membenarkan permohonan tersebut tertakluk kepada beberapa syarat. Antaranya, pegawai pengendali inkues atau Timbalan Pendakwa Raya tidak membantah peguam pemerhati menyoal deponen dalam prosiding, namun soalan itu hanya terhad kepada pemeriksaan sahaja dan tidak meliputi soal balas, memandangkan ini ialah prosiding inkues dan bukannya perbicaraan jenayah.

Pegawai pengendali juga tidak membantah untuk menyerahkan dokumen dan barang kes berkaitan kepada peguam pemerhati, namun tertakluk kepada arahan dan budi bicara mahkamah serta undang-undang berkaitan.

Bagi mengelakkan kekeliruan dan pengulangan, hanya seorang peguam pemerhati dibenarkan menyoal setiap deponen pada satu-satu masa.

Dalam pada itu, permohonan peguam yang mewakili lima remaja bawah umur yang berdepan pertuduhan berkait Zara di Mahkamah Kanak-Kanak, untuk diterima sebagai ‘Pihak Berkepentingan’ dalam inkues, juga dibenarkan dengan syarat yang sama.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan penggantungan prosiding inkues oleh peguam remaja tersebut, dan mengekalkan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan iaitu pada 3–4 September, 8–12 September, 17–19 September, dan 22–30 September.

Ibu Zara yang hadir dalam prosiding itu kelihatan tenang ketika duduk di galeri awam.

Sementara itu, permohonan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) untuk menjadi pemerhati dalam inkues tidak dibenarkan.

Pegawai yang mengendalikan inkues terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya Dana Arabi Wazani, Sofia Sawayan, Afiq Agoes dan Dacia Jane Romanus.

Pasukan guaman keluarga Zara terdiri daripada Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.

Sementara itu, empat remaja bawah umur yang didakwa berkait kes Zara diwakili oleh Azhier Farhan Arisin dan Abdul Fikry Jaafar Abdullah, manakala seorang lagi diwakili oleh Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan.

Andrian Chan dari Persatuan Peguam Sabah hadir sebagai peguam pemerhati.

Zara, seorang pelajar di sekolah agama di Papar, Sabah, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu, dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (QEH) pada jam 1.07 tengah hari keesokannya.

Kematian beliau mencetuskan solidariti orang ramai, dengan gesaan daripada pemimpin negeri, aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan supaya siasatan dijalankan secara menyeluruh demi keadilan.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/28/inkues-zara-bermula-bulan-hadapan-di-hadapan-koroner-baharu/feed/ 0 80235
Inkues Zara: Permohonan peguam keluarga didengar 28 Ogos https://sabahmedia.com/2025/08/22/inkues-zara-permohonan-peguam-keluarga-didengar-28-ogos/ https://sabahmedia.com/2025/08/22/inkues-zara-permohonan-peguam-keluarga-didengar-28-ogos/#respond Fri, 22 Aug 2025 06:47:19 +0000 https://sabahmedia.com/?p=79809
Read Time:56 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Pendengaran berhubung permohonan pasukan peguam keluarga Zara Qairina Mahathir untuk menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues serta mendapatkan akses kepada semua dokumen berkaitan akan didengar pada 28 Ogos ini.

Pasukan guaman yang diketuai oleh Hamid Ismail memaklumkan permohonan secara bertulis telah difailkan pada 19 Ogos lalu dan akan didengar di hadapan Pengarah Mahkamah Negeri Sabah merangkap Koroner, Azreena Aziz bersidang sebagai Koroner.

Dalam prosiding terdahulu, Hamid sebagai peguam pemerhati memohon secara lisan agar pasukan mereka dibenarkan terlibat secara langsung dalam inkues untuk menyoal balas saksi.

Beliau turut memohon agar semua dokumen berkaitan diserahkan kepada mereka secepat mungkin supaya pasukan guaman dapat menyediakan soalan relevan bagi membantu Koroner membuat keputusan.

Hamid turut meminta Koroner menggunakan budi bicara untuk memutuskan permohonan itu hari ini, tanpa perlu menunggu permohonan rasmi.

Peguam pemerhati lain termasuklah Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser, turut mewakili ibu Zara, Noraidah Lamat.

Tarikh perbicaraan inkues akan berlangsung bulan hadapan bermula 3 September.

LINK BERITA TERDAHULU:
https://sabahmedia.com/2025/08/18/prosiding-inkues-kematian-zara-bermula-bulan-hadapan/

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/22/inkues-zara-permohonan-peguam-keluarga-didengar-28-ogos/feed/ 0 79809
Sebutan inkues kes kematian Zara esok https://sabahmedia.com/2025/08/17/sebutan-inkues-kes-kematian-zara-esok/ https://sabahmedia.com/2025/08/17/sebutan-inkues-kes-kematian-zara-esok/#respond Sun, 17 Aug 2025 11:29:04 +0000 https://sabahmedia.com/?p=79482
Read Time:1 Minute, 0 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Sebutan inkues berhubung kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, dijangka berlangsung esok di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.

Peguam keluarga, Hamid Ismail, berkata prosiding itu dijadualkan pada jam 9 pagi, namun Koroner yang akan mendengar prosiding itu masih belum dipastikan.

Hamid mengesahkan perkembangan itu selepas dimaklumkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) cawangan Sabah, hari ini.

Sebelum ini, AGC memaklumkan prosiding inkues akan dijalankan bagi menyiasat kematian Zara yang mendapat perhatian seluruh negara.

Keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan penuh siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 12 Ogos lalu.

Menurut kenyataan AGC, inkues tersebut akan dijalankan selaras dengan subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593], bagi menentukan punca dan sebab kematian, termasuk mengenal pasti sama ada wujud unsur jenayah.

Zara, pelajar Tingkatan 1 di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (QEH) pada jam 1.07 petang keesokan harinya.

Kes Zara telah mencetuskan gelombang solidariti masyarakat, dengan pelbagai pihak termasuk pemimpin negeri, aktivis, dan badan bukan kerajaan mendesak siasatan menyeluruh demi keadilan.

LINK BERITA TERDAHULU:
https://sabahmedia.com/2025/08/13/inkues-kematian-zara-qairina-akan-dijalankan-jabatan-peguam-negara/

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/17/sebutan-inkues-kes-kematian-zara-esok/feed/ 0 79482
Peguam cadang AGC dakwa individu terlibat membuli Zara https://sabahmedia.com/2025/08/14/peguam-cadang-agc-dakwa-individu-terlibat-membuli-zara/ https://sabahmedia.com/2025/08/14/peguam-cadang-agc-dakwa-individu-terlibat-membuli-zara/#respond Wed, 13 Aug 2025 23:55:42 +0000 https://sabahmedia.com/?p=79194
Read Time:4 Minute, 33 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Pasukan peguam yang mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya individu yang terlibat dalam perbuatan buli terhadap remaja itu didakwa.

Cadangan itu dibuat susulan pendedahan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, yang memaklumkan hasil siasatan Pasukan Petugas Khas bahawa wujud keterangan-keterangan yang menjurus ke arah buli sebelum kejadian menimpa Zara.

“Jika keterangan-keterangan (tersebut) boleh dipercayai di mahkamah, kami mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara agar mendakwa individu atau individu-individu di dalam keterangan-keterangan tersebut yang melakukan buli di bawah seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.

“Di bawah seksyen ini, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Apabila langkah ini diambil, inkues tidak perlu lagi diadakan.

“Namun, sekiranya keterangan-keterangan di atas tidak kuat atau tidak mencukupi bagi membentuk satu kesalahan di bawah seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, siasatan lanjut perlu diteruskan bagi memperkuatkan keterangan-keterangan tersebut. Dalam keadaan ini, inkues perlu diadakan serentak dengan penyiasatan lanjut tadi. Pendakwaan boleh dilakukan kemudian,” menurut kenyataan bersama pasukan guaman.

Pasukan guaman terdiri daripada Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, dan Farrah Nasser.

Peguam turut menegaskan bahawa ‘plot twist’ yang tular di media sosial sebelum ini, kononnya anak guam mereka menjadi punca kematian Zara, adalah tidak benar dan merupakan naratif jahat untuk memfitnah.

“Sidang media (tersebut) juga membuktikan bahawa ‘plot twist’ yang ditularkan beberapa minggu lalu di platform-platform media massa kononnya anak guam kami menjadi punca kematian Zara adalah tidak benar. ‘Plot twist’ itu adalah satu naratif jahat dan jijik yang direka untuk memfitnah anak guam kami dan Zara.”

Pasukan guaman merakamkan penghargaan kepada Datuk M Kumar, JSJ Bukit Aman, serta Pasukan Petugas Khas atas tindakan pantas menyiasat kes berkenaan, di samping menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.

“Kepada mana-mana individu yang mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan polis di atas, kami merayu agar anda tampil ke hadapan. Salurkan maklumat anda kepada polis. Jika anda takut atau memerlukan bantuan untuk berbuat demikian, anda boleh berjumpa dengan kami.

“Akhir sekali, kami berterima kasih dan menghargai seluruh rakyat Malaysia yang menyokong dan berdoa mencari keadilan untuk Zara. Dalam pada yang sama, elakkan membuat spekulasi yang tidak benar tentang kes kematian Zara,” kata mereka.

Zara yang ditemukan tidak sedarkan diri di bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), di sini, 17 Julai lalu.

Kejadian itu tular di media sosial, mengundang pelbagai reaksi netizen selepas ia dikaitkan dengan dakwaan kejadian buli di sekolah berkenaan.

Insiden tersebut turut mencetuskan gelombang solidariti masyarakat, dengan pelbagai pihak termasuk pemimpin negeri, aktivis, dan badan bukan kerajaan mendesak siasatan menyeluruh demi keadilan.

Tamat.

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Pasukan peguam yang mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya individu yang terlibat dalam perbuatan buli terhadap remaja itu didakwa.

Cadangan itu dibuat susulan pendedahan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, yang memaklumkan hasil siasatan Pasukan Petugas Khas bahawa wujud keterangan-keterangan yang menjurus ke arah buli sebelum kejadian menimpa Zara.

“Jika keterangan-keterangan (tersebut) boleh dipercayai di mahkamah, kami mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara agar mendakwa individu atau individu-individu di dalam keterangan-keterangan tersebut yang melakukan buli di bawah seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.

“Di bawah seksyen ini, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Apabila langkah ini diambil, inkues tidak perlu lagi diadakan.

“Namun, sekiranya keterangan-keterangan di atas tidak kuat atau tidak mencukupi bagi membentuk satu kesalahan di bawah seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, siasatan lanjut perlu diteruskan bagi memperkuatkan keterangan-keterangan tersebut. Dalam keadaan ini, inkues perlu diadakan serentak dengan penyiasatan lanjut tadi. Pendakwaan boleh dilakukan kemudian,” menurut kenyataan bersama pasukan guaman.

Pasukan guaman terdiri daripada Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, dan Farrah Nasser.

Peguam turut menegaskan bahawa ‘plot twist’ yang tular di media sosial sebelum ini, kononnya anak guam mereka menjadi punca kematian Zara, adalah tidak benar dan merupakan naratif jahat untuk memfitnah.

“Sidang media (tersebut) juga membuktikan bahawa ‘plot twist’ yang ditularkan beberapa minggu lalu di platform-platform media massa kononnya anak guam kami menjadi punca kematian Zara adalah tidak benar. ‘Plot twist’ itu adalah satu naratif jahat dan jijik yang direka untuk memfitnah anak guam kami dan Zara.”

Pasukan guaman merakamkan penghargaan kepada Datuk M Kumar, JSJ Bukit Aman, serta Pasukan Petugas Khas atas tindakan pantas menyiasat kes berkenaan, di samping menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.

“Kepada mana-mana individu yang mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan polis di atas, kami merayu agar anda tampil ke hadapan. Salurkan maklumat anda kepada polis. Jika anda takut atau memerlukan bantuan untuk berbuat demikian, anda boleh berjumpa dengan kami.

“Akhir sekali, kami berterima kasih dan menghargai seluruh rakyat Malaysia yang menyokong dan berdoa mencari keadilan untuk Zara. Dalam pada yang sama, elakkan membuat spekulasi yang tidak benar tentang kes kematian Zara,” kata mereka.

Zara yang ditemukan tidak sedarkan diri di bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), di sini, 17 Julai lalu.

Kejadian itu tular di media sosial, mengundang pelbagai reaksi netizen selepas ia dikaitkan dengan dakwaan kejadian buli di sekolah berkenaan.

Insiden tersebut turut mencetuskan gelombang solidariti masyarakat, dengan pelbagai pihak termasuk pemimpin negeri, aktivis, dan badan bukan kerajaan mendesak siasatan menyeluruh demi keadilan.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/14/peguam-cadang-agc-dakwa-individu-terlibat-membuli-zara/feed/ 0 79194