Israel Houghton – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Mon, 28 Sep 2026 04:10:56 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Israel Houghton – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Israel Houghton: Belum ada permohonan rasmi adakan konsert di Sabah https://sabahmedia.com/2026/09/28/israel-houghton-belum-ada-permohonan-rasmi-adakan-konsert-di-sabah/ https://sabahmedia.com/2026/09/28/israel-houghton-belum-ada-permohonan-rasmi-adakan-konsert-di-sabah/#respond Mon, 28 Sep 2026 04:10:50 +0000 https://sabahmedia.com/?p=104341
Read Time:1 Minute, 33 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Setakat ini, belum ada permohonan rasmi diterima Kerajaan Negeri Sabah bagi penganjuran konsert Israel Houghton yang dikatakan dijadualkan berlangsung di Kota Kinabalu pada Oktober ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata PDRM juga belum menerima permintaan daripada Kerajaan Negeri untuk memberikan pandangan berhubung penganjuran konsert berkenaan.

Beliau berkata, isu itu mendapat perhatian susulan penyebaran maklumat di media sosial mengenai tarikh, lokasi dan harga tiket, selain dua laporan polis diterima setakat ini.

“Berdasarkan siaran dalam media sosial, kita mendapati banyak reaksi daripada masyarakat, termasuk laporan polis kerana penganjuran ini dilihat tidak sesuai dengan keadaan semasa dan menimbulkan sensitiviti dalam kalangan masyarakat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, hari ini.

Jauteh berkata, berdasarkan maklumat yang tersebar, konsert berkenaan dikatakan berlangsung antara 22 hingga 25 Oktober di beberapa lokasi di Kota Kinabalu sebagai sebahagian daripada konsert jelajah antarabangsa.

Katanya, keadaan itu menimbulkan kekeliruan kerana penganjuran berkenaan sudah diwar-warkan kepada umum sedangkan sebarang permohonan rasmi belum diterima Kerajaan Negeri.

“Pihak PDRM mengambil perhatian terhadap perkara ini dan akan terus membuat pemantauan serta mengambil keterangan daripada pihak tertentu berkaitan konsert ini.

“Kita juga menasihatkan pihak berkaitan supaya mengambil kira sensitiviti masyarakat dalam keadaan semasa,” katanya.

Menurut Jauteh, sekiranya permohonan rasmi dikemukakan kepada Kerajaan Negeri dan pandangan PDRM diminta, pihaknya akan memberikan nasihat berdasarkan keadaan serta reaksi masyarakat ketika itu.

“Berdasarkan kadar sensitiviti sekarang, kita akan menasihatkan supaya konsert ini tidak diadakan dahulu,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini tiada tindakan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang diambil berkaitan konsert berkenaan.

Jauteh berkata, PDRM akan terus memantau perkembangan isu itu bagi memastikan sebarang perkara yang boleh menjejaskan ketenteraman masyarakat dapat ditangani dengan sewajarnya.

“Yang penting, kita melihat kepada sensitiviti dan ketenteraman masyarakat. Kita akan mengambil tindakan bersesuaian bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat keadilan dan rasa selamat,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/09/28/israel-houghton-belum-ada-permohonan-rasmi-adakan-konsert-di-sabah/feed/ 0 104341