Jafry – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Thu, 17 Sep 2026 03:57:32 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Jafry – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Hari Malaysia perkukuh semangat kebersamaan rakyat Sabah https://sabahmedia.com/2026/09/17/hari-malaysia-perkukuh-semangat-kebersamaan-rakyat-sabah/ https://sabahmedia.com/2026/09/17/hari-malaysia-perkukuh-semangat-kebersamaan-rakyat-sabah/#respond Thu, 17 Sep 2026 03:56:45 +0000 https://sabahmedia.com/?p=103585
Read Time:2 Minute, 3 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia perlu terus menjadi wadah untuk memperkukuh semangat kebersamaan, patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat di negeri ini, khususnya selepas 63 tahun pembentukan Malaysia.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin, berkata Hari Malaysia bukan sekadar memperingati satu tarikh penting dalam sejarah negara, sebaliknya menjadi ruang untuk rakyat memperbaharui rasa kebersamaan sebagai sebuah masyarakat yang dibina atas kepelbagaian.

Katanya, semangat berkenaan perlu terus dipelihara agar keharmonian yang dinikmati hari ini dapat dikekalkan untuk generasi akan datang.

“63 tahun selepas pembentukan Malaysia, kita kembali berhimpun di sini bukan sekadar untuk memperingati satu tarikh, tetapi untuk memperbaharui rasa kebersamaan sebagai rakyat sebuah negara yang dibina daripada kepelbagaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam tadi.

Menurut Jafry, kehadiran rakyat dalam sambutan berkenaan membuktikan semangat patriotisme masih hidup dan Hari Malaysia mempunyai tempat istimewa dalam hati rakyat Sabah.

Katanya, sambutan itu juga menjadi kesempatan untuk menghargai nilai perpaduan serta hubungan erat antara masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Menurutnya, tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’, turut membawa mesej bahawa pembangunan negara perlu dilihat daripada perspektif manusia dan kesejahteraan rakyat.

Tambahnya lagi, kesejahteraan bukan hanya berkaitan pembangunan fizikal, tetapi turut merangkumi peluang ekonomi, keharmonian masyarakat, keselamatan, akses kepada kemudahan, persekitaran yang sihat serta keyakinan terhadap masa depan generasi akan datang.

Beliau berkata, dalam konteks Sabah, kepelbagaian budaya masyarakat merupakan antara kekuatan penting yang mampu menyatukan rakyat.

Katanya, tarian, muzik, bahasa, adat, kraftangan, makanan dan cara hidup masyarakat Sabah bukan sekadar warisan untuk dipersembahkan, tetapi turut menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat antara satu sama lain.

“Apabila kita mengenali budaya satu sama lain, kita membina rasa hormat; apabila rasa hormat tumbuh, perpaduan menjadi lebih kukuh,” katanya.

Dalam pada itu, Jafry berkata, penghayatan terhadap sejarah juga penting bagi memastikan generasi muda memahami perjalanan pembentukan Malaysia serta menghargai keamanan dan perpaduan yang dinikmati pada hari ini.

Katanya, program-program yang dianjurkan sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini turut dirangka bagi membawa masyarakat lebih dekat dengan sejarah dan nilai patriotisme.

Antaranya termasuk Majlis Tahlil dan Doa Selamat, pameran sejarah oleh Arkib Negeri Sabah serta Konvoi Kembara Merdeka yang bertujuan menyemarakkan semangat cintakan negara merentas komuniti.

“Penghayatan sejarah sangat penting, khususnya kepada generasi muda.

“Kita mahu mereka memahami bahawa Malaysia yang ada hari ini dibina melalui keputusan besar, rundingan, pengorbanan dan keberanian generasi terdahulu,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/09/17/hari-malaysia-perkukuh-semangat-kebersamaan-rakyat-sabah/feed/ 0 103585
Hanya 46 daripada 190 operator pelancongan berlesen di Semporna – Jafry https://sabahmedia.com/2026/04/18/hanya-46-daripada-190-operator-pelancongan-berlesen-di-semporna-jafry/ https://sabahmedia.com/2026/04/18/hanya-46-daripada-190-operator-pelancongan-berlesen-di-semporna-jafry/#respond Sat, 18 Apr 2026 09:51:16 +0000 https://sabahmedia.com/?p=95096
Read Time:1 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengambil pendekatan pemutihan terhadap pengusaha pelancongan di Semporna selepas mendapati sebahagian besar operator masih belum memiliki lesen sah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata daripada 190 operator dikenal pasti beroperasi di kawasan itu, hanya 46 mempunyai lesen sah.

Menurutnya, senarai operator berlesen itu telah dipaparkan di laman sesawang kementerian bagi memudahkan pelancong membuat rujukan dan pilihan yang selamat.

“Bakinya bukan tidak mahu memohon lesen, tetapi berdepan kekangan tertentu seperti isu kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan status pemilikan tapak, termasuk masalah Lesen Pendudukan Sementara (TOL),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan MATTA FAIR Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Sabtu.

Jafry menjelaskan, Pasukan Khas (Task Force) yang dianggotai pelbagai agensi kerajaan itu bersetuju memberikan tempoh masa kepada operator terlibat untuk menyelesaikan isu berkaitan lesen.

Katanya, kerajaan turut komited membantu pengusaha tempatan yang sah dan berpotensi untuk memuktamadkan status operasi mereka.

“Matlamat kita adalah untuk membantu operator tempatan yang ‘genuine’ supaya mereka dapat menghalalkan operasi dan terus menyumbang kepada industri pelancongan,” katanya.

Mengulas penglibatan warga asing, beliau berkata setakat ini semua operator yang dikenal pasti adalah milik tempatan dari segi perundangan.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan wujud kerjasama tertentu, namun tiada aduan rasmi diterima berhubung penguasaan asing dalam industri tersebut.

Dalam pada itu, Jafry menegaskan isu kebersihan dan infrastruktur merupakan cabaran utama yang perlu ditangani secara seimbang bagi memastikan kelestarian pelancongan di Semporna.

Katanya, kerajaan memandang serius aspek kebersihan terutama di kawasan resort dan penempatan atas air.

“Selain penguatkuasaan oleh PBT, usaha mendidik masyarakat juga penting kerana sebahagian komuniti tinggal di kawasan perairan.

“Kita mahu pastikan tahap kebersihan dipertingkatkan secara berterusan demi imej pelancongan Sabah,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/04/18/hanya-46-daripada-190-operator-pelancongan-berlesen-di-semporna-jafry/feed/ 0 95096
Kenaikan harga minyak global dijangka jejas sektor pelancongan Sabah https://sabahmedia.com/2026/03/28/kenaikan-harga-minyak-global-dijangka-jejas-sektor-pelancongan-sabah/ https://sabahmedia.com/2026/03/28/kenaikan-harga-minyak-global-dijangka-jejas-sektor-pelancongan-sabah/#respond Sat, 28 Mar 2026 09:20:52 +0000 https://sabahmedia.com/?p=93953
Read Time:1 Minute, 27 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Sektor pelancongan di Sabah dijangka berdepan kesan ketara susulan kenaikan harga minyak global yang dipengaruhi konflik di Asia Barat.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, situasi itu secara langsung memberi kesan kepada ketibaan pelancong antarabangsa ke Sabah memandangkan kos perjalanan semakin meningkat.

Beliau berkata, kenaikan harga minyak memberi implikasi besar terhadap sektor pengangkutan termasuk bot, bas pelancongan dan perkhidmatan persiaran yang menjadi tulang belakang industri pelancongan negeri.

“Memang kita jangkakan kesan ketara apabila harga minyak meningkat kerana ia melibatkan kos pengangkutan dan perhubungan. 

“Ini memberi kesan kepada pengusaha pelancongan yang masih dalam fasa pemulihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Kerajaan negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.

Jafry berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan kesan global terhadap ketibaan pelancong ke Sabah.

Beliau berkata, setakat ini kesan awal sudah mula dirasai apabila pengusaha pelancongan termasuk operator bot dan pengangkutan terpaksa menaikkan harga selaras dengan penetapan oleh Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, keadaan itu turut memberi kesan kepada tempahan pelancongan apabila terdapat pembatalan daripada pasaran yang terlibat dengan konflik.

“Memang sudah nampak kesan terhadap tempahan pelancongan. Namun ini bukan sahaja berlaku di Sabah, malah seluruh dunia turut berdepan situasi sama,” katanya.

Mengulas kebimbangan situasi itu boleh berulang seperti pandemik COVID-19, beliau berharap ia tidak sampai ke tahap tersebut, namun menggesa pengusaha industri supaya mengambil langkah berjimat cermat dalam menghadapi cabaran semasa.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan dijangka akan mengadakan perbincangan bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri dalam masa terdekat bagi menentukan langkah intervensi susulan perkembangan berkenaan.

Katanya, sektor pelancongan dijangka menjadi antara fokus utama dalam perbincangan tersebut memandangkan kepentingannya sebagai penyumbang besar kepada ekonomi Sabah. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/03/28/kenaikan-harga-minyak-global-dijangka-jejas-sektor-pelancongan-sabah/feed/ 0 93953