jalur gemiloang – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sat, 01 Aug 2026 04:08:20 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png jalur gemiloang – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Kerajaan Sabah terus perkukuh agenda pembangunan menerusi SMJ 2.0 https://sabahmedia.com/2026/08/01/kerajaan-sabah-terus-perkukuh-agenda-pembangunan-menerusi-smj-2-0/ https://sabahmedia.com/2026/08/01/kerajaan-sabah-terus-perkukuh-agenda-pembangunan-menerusi-smj-2-0/#respond Sat, 01 Aug 2026 04:08:15 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100863
Read Time:2 Minute, 20 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh agenda pembangunan melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 sebagai kesinambungan usaha membina sebuah negeri yang lebih maju, berdaya saing dan Sejahtera.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia selaras dengan aspirasi yang terkandung dalam tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’.

“Hala tuju ini memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi yang mampan, pemerkasaan modal insan, peningkatan produktiviti, pengukuhan daya saing, penerapan inovasi dan teknologi serta pembangunan yang inklusif agar manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh rakyat Sabah,” katanya.

Masidi ketika melakukan gimik pelepasan konvoi kembara Jalur Gemilang

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Bulan Kebangsaan Sabah dan Kempen Kibar Bendera di Menara Kinabalu di sini pada Sabtu.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun.

Hajiji berkata, kerajaan negeri juga akan terus memperkukuh pelbagai inisiatif yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat, termasuk dalam bidang pendidikan, kebajikan, perumahan, kesihatan, pembangunan luar bandar, pemerkasaan wanita dan belia serta penyediaan kemudahan asas yang lebih berkualiti.

“Saya yakin bahawa dengan semangat kebersamaan, tadbir urus yang berintegriti, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan serta sokongan padu seluruh rakyat, kita mampu membawa Sabah melangkah lebih jauh sebagai sebuah negeri yang lebih maju dan sejahtera.

“Kerana pada akhirnya, ukuran sebenar kejayaan sesebuah kerajaan bukanlah pada apa yang berjaya dibina, tetapi pada sejauh mana rakyat menikmati hasil pembangunan tersebut,” katanya.

Mengulas sambutan Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera, Hajiji berkata program itu bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya perlu dihayati dengan semangat patriotisme dan cinta akan negara.

Beliau berkata kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi turut membawa makna kebebasan daripada kemiskinan, perpecahan dan pelbagai cabaran yang menghalang kemajuan rakyat.

“Marilah kita bersama-sama menghayati erti kemerdekaan yang sebenar. Kemerdekaan bukan hanya sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi juga bebas daripada belenggu kemiskinan dan perpecahan. Kemerdekaan adalah anugerah yang perlu kita hargai dan pertahankan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat supaya memanfaatkan platform digital secara bertanggungjawab dengan menyebarkan maklumat yang tepat serta mengelakkan penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan perpaduan.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa menghargai pandangan dan teguran rakyat sebagai sebahagian daripada usaha bersama membangunkan Sabah, namun setiap pandangan perlu disampaikan secara berhemah, berasaskan fakta dan bertujuan membina.

“Manfaatkanlah kemudahan teknologi dengan bijaksana untuk menyebarkan maklumat yang tepat, memupuk persefahaman dan memperkukuh perpaduan,” katanya.

Sehubungan itu, Hajiji mengajak seluruh rakyat mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, premis perniagaan dan pejabat masing-masing sebagai tanda semangat patriotisme serta cintakan negara.

Beliau turut menyeru rakyat Sabah agar terus mengekalkan perpaduan, memperkukuh kerjasama dan saling membantu demi memastikan negeri ini terus melakar kemajuan yang dapat dinikmati oleh semua.

“Marilah kita menjadikan sambutan pada tahun ini sebagai titik tolak untuk memperbaharui iltizam dalam membina sebuah Sabah yang lebih maju dan sejahtera,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/01/kerajaan-sabah-terus-perkukuh-agenda-pembangunan-menerusi-smj-2-0/feed/ 0 100863