Jamawi – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sat, 08 Aug 2026 10:56:14 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Jamawi – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Tanaman organik bantu jamin keterjaminan makanan, kesihatan masyarakat – Jamawi https://sabahmedia.com/2026/08/08/tanaman-organik-bantu-jamin-keterjaminan-makanan-kesihatan-masyarakat-jamawi/ https://sabahmedia.com/2026/08/08/tanaman-organik-bantu-jamin-keterjaminan-makanan-kesihatan-masyarakat-jamawi/#respond Sat, 08 Aug 2026 10:46:43 +0000 https://sabahmedia.com/?p=101264
Read Time:1 Minute, 51 Second

TENOM: Penggunaan teknologi penanaman secara organik perlu diperkasakan bagi menjamin keterjaminan makanan serta meningkatkan tahap kesihatan masyarakat, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar.

Beliau berkata, kesedaran masyarakat terhadap kesihatan dan sumber makanan yang diambil semakin meningkat, sekali gus menjadikan pengeluaran hasil pertanian organik semakin penting.

“Sekiranya lebih banyak perladangan organik kita giatkan, ia bukan sahaja menjamin keterjaminan makanan, malah kesihatan yang lebih baik serta memberi keyakinan kepada masyarakat terhadap sumber makanan harian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Kursus Transformasi Teknologi Perladangan Organik 2.0 di Dewan SJK (C) Chung Hwa, di sini, hari ini.

Jamawi berkata, kursus berkenaan bukan sahaja disertai peserta dari Tenom, malah turut menarik penyertaan dari Keningau, Nabawan, Kudat dan kawasan lain bagi meningkatkan pengetahuan berkaitan kaedah penanaman organik.

“Ini merupakan antara langkah Jabatan Pertanian untuk memperkasakan tanaman organik. Kita juga sedang menyusun beberapa ladang di Tenom untuk melaksanakan tanaman organik supaya hasilnya dapat menjadi sumber makanan kepada masyarakat,” katanya.

Menurutnya, pensijilan myGAP turut memberi penekanan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan, termasuk mengurangkan penggunaan racun serta baja kimia.

Beliau berkata, enam lagi ladang menerima pensijilan myGAP, menunjukkan pengusaha berkenaan memenuhi standard ditetapkan bagi memastikan hasil pertanian selamat untuk dimakan.

“Kalau kita dapat lagi myOrganic, ia menjadi bonus kepada ladang berkenaan untuk memasarkan hasil. Bagaimanapun, terdapat pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi untuk mendapatkan pensijilan myOrganic.

“Sebab itu kita adakan kursus ini supaya pengusaha dan mereka yang terlibat lebih memahami kaedah melaksanakan myOrganic dengan sebaik-baiknya di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Jamawi menyeru pengguna supaya menghargai hasil pertanian yang disahkan organik, termasuk bersedia membayar harga sedikit lebih tinggi berbanding produk konvensional.

Katanya, harga produk organik yang lebih tinggi antara lain disebabkan proses pensijilan serta kos tambahan yang perlu ditanggung pengusaha bagi memenuhi standard ditetapkan.

“Kalau kita mementingkan kesihatan, tidak salah membelanjakan sedikit lebih untuk mendapatkan produk daripada ladang yang disijilkan sebagai myOrganic,” katanya.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Tetap, Maria David Edick; Pengarah Jabatan Pertanian, Jackson R. Raimi; Pegawai Pertanian Daerah Tenom, Ts. Mohammad Fauzi Ab Gulam; Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah, Dr. Teddy Marshall Denis; Ketua Daerah OKK Tusip Tulas; Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Melalap, Denesly Justin serta pegawai jabatan dan agensi MAFFI.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/08/tanaman-organik-bantu-jamin-keterjaminan-makanan-kesihatan-masyarakat-jamawi/feed/ 0 101264
Jamawi puas hati kemajuan projek agensi MAFFI di Tuaran https://sabahmedia.com/2026/07/30/jamawi-puas-hati-kemajuan-projek-agensi-maffi-di-tuaran/ https://sabahmedia.com/2026/07/30/jamawi-puas-hati-kemajuan-projek-agensi-maffi-di-tuaran/#respond Thu, 30 Jul 2026 09:07:56 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100817
Read Time:1 Minute, 59 Second

TUARAN: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berpuas hati dengan kemajuan pelaksanaan pelbagai projek dan aktiviti jabatan serta agensi di bawah kementeriannya selepas mengadakan lawatan kerja ke beberapa lokasi di daerah itu pada Khamis.

Lawatan itu melibatkan projek Jabatan Perikanan, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan Ko-Nelayan sebelum beliau menghadiri Majlis Sanjungan Budi bagi meraikan mantan Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Datuk Jumain Abdul Ghani yang kini bertukar ke Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP).

Jamawi memulakan lawatan di Pusat Semaian Anak Benih LIGS yang menawarkan pelbagai jenis benih buah-buahan pada harga kompetitif. Beliau kemudian melawat Pusat Latihan, Pusat Ternakan dan Kolam Pancing Ko-Nelayan di Kampung Laya-Laya, diikuti Pusat Pembenihan Ikan Marin Jabatan Perikanan di kampung sama serta Pusat Ternakan Ikan Dalam Sangkar milik Ko-Nelayan di Kampung Terayong.

Beliau berkata, usaha yang dilaksanakan jabatan dan agensi di bawah MAFFI menunjukkan kementerian berada pada landasan tepat untuk memacu ekonomi negeri, terutama ketika berdepan cabaran global yang semakin mencabar.

“Situasi di Asia Barat yang masih tidak menentu mengingatkan kita tentang pentingnya memperkukuhkan keselamatan makanan serta meningkatkan pengeluaran hasil perikanan dan sumber laut yang mampu diusahakan oleh nelayan tempatan,” katanya.

Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga jabatan dan agensi atas komitmen mereka dalam memperkasakan sektor pertanian, perikanan, ternakan dan industri makanan.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri kini sedang memuktamadkan Dasar Pertanian Negeri Sabah 2026-2030 yang dijadual dilancarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sempena Hari Penternak, Peladang dan Nelayan di Tenom pada Oktober depan.

Menurutnya, dasar itu akan menjadi hala tuju pembangunan sektor pertanian, ternakan, perikanan, industri makanan serta industri getah di Sabah bagi tempoh lima tahun akan datang.

Menyentuh isu BUDI Diesel, Jamawi berkata, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Khas telah mengemukakan secara rasmi semua maklum balas dan cadangan penambahbaikan yang diterima daripada kementerian, agensi, pemain industri serta masyarakat kepada Kementerian Kewangan.

Katanya, perkara itu telah dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet Negeri baru-baru ini dan Kementerian Kewangan memohon tempoh kira-kira dua hingga tiga minggu bagi meneliti semua rayuan serta cadangan penambahbaikan BUDI Diesel khusus untuk Sabah sebelum keputusan dimuktamadkan.

Selepas lawatan kerja itu, Jamawi menghadiri Majlis Sanjungan Budi bagi meraikan Jumain yang akan meneruskan perkhidmatannya di KKTP.

Turut hadir Pembantu Menteri I dan II, Datuk Ruslan Muharam dan Datuk Hendrus Anding; Setiausaha Tetap MAFFI, Datuk Ts. Jifrin Mohamad; timbalan setiausaha tetap, ketua jabatan serta pegawai kementerian.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/30/jamawi-puas-hati-kemajuan-projek-agensi-maffi-di-tuaran/feed/ 0 100817
Sokong petani Sabah: Jamawi agih buah tempatan di DUN https://sabahmedia.com/2026/07/23/sokong-petani-sabah-jamawi-agih-buah-tempatan-di-dun/ https://sabahmedia.com/2026/07/23/sokong-petani-sabah-jamawi-agih-buah-tempatan-di-dun/#respond Thu, 23 Jul 2026 06:56:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100416
Read Time:2 Minute, 12 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar menggesa semua wakil rakyat dan ketua jabatan di negeri ini menjadi duta kepada buah-buahan tempatan dengan mengutamakan hasil keluaran petani Sabah berbanding buah import dalam majlis rasmi dan pemberian cenderamata.

Beliau berkata, sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, kementeriannya mengagihkan buah-buahan tempatan seperti nanas jenis MD2 kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ketua jabatan sebagai usaha mempromosikan hasil pertanian tempatan serta menggalakkan sokongan berterusan terhadap industri buah-buahan negeri.

“Kita berharap mereka menjadi peneraju dalam memajukan dan membantu mempromosikan buah-buahan tempatan.

“Jika melawat orang sakit di hospital, menghadiri majlis perkahwinan atau memberi cenderamata, elakkan menggunakan buah-buahan import seperti epal dan anggur. Gunakanlah buah-buahan tempatan supaya petani kita mendapat sokongan dan dapat memasarkan hasil mereka dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Media DUN Sabah, di sini, pada Khamis.

Jamawi berkata, kementeriannya juga akan membantu membangunkan pembungkusan buah-buahan tempatan agar lebih menarik dan sesuai dijadikan hadiah atau cenderamata.

Beliau berkata, agensi di bawah kementerian seperti Jabatan Pertanian Sabah boleh memainkan peranan dalam menghasilkan pembungkusan yang berkualiti bagi meningkatkan nilai komersial produk tempatan.

Mengulas perkembangan program Kebun Dapur Sabah, Jamawi berkata, sambutan masyarakat amat memberangsangkan dengan kira-kira 3,000 pengusaha kecil direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanaannya.

Katanya, jumlah itu menghampiri sasaran 5,000 pengusaha yang ditetapkan dalam tempoh lima tahun.

“Saya menerima maklum balas yang sangat positif daripada ketua-ketua jabatan apabila mereka turun padang. Ini menunjukkan masyarakat dahagakan bantuan dan bimbingan daripada kementerian.

“Kita melihat semakin ramai rakyat mula bercucuk tanam di sekitar rumah, menternak ayam, itik dan puyuh serta mengusahakan ternakan ikan secara kecil-kecilan bagi meningkatkan sara diri dan menjana pendapatan tambahan,” katanya.

Menurutnya, sempena Sambutan Hari Peladang tahun ini, kementerian bercadang memperkenalkan skim insentif serta memberi pengiktirafan kepada peserta Kebun Dapur yang berjaya sebagai galakan kepada lebih ramai masyarakat menyertai program itu.

Beliau turut memaklumkan perbincangan telah diadakan dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Majlis Perbandaran Sandakan dan Majlis Perbandaran Tawau bagi mengenal pasti kawasan tanah bersesuaian di bandar untuk dijadikan lokasi Kebun Dapur komuniti, khususnya bagi penduduk flat dan kondominium.

Dalam perkembangan berkaitan, Jamawi berkata, program Kebun Dapur akan diperluaskan ke institusi pendidikan mulai tahun depan.

Katanya, pelaksanaan akan dimulakan di sekolah yang menawarkan silibus pertanian selepas kementerian berkaitan menyediakan peruntukan.

“Walaupun tahun ini belum ada peruntukan khusus, mana-mana sekolah yang ingin memulakan Kebun Dapur akan tetap dibantu melalui khidmat nasihat teknikal daripada Jabatan Pertanian dan agensi di bawah kementerian.

“Kita mahu memupuk kesedaran mengenai keterjaminan makanan, keselamatan makanan dan kepentingan pertanian sejak di bangku sekolah lagi,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/23/sokong-petani-sabah-jamawi-agih-buah-tempatan-di-dun/feed/ 0 100416
BUDI Diesel Sabah dijangka ditambah baik tempoh 2-3 minggu – Jamawi https://sabahmedia.com/2026/07/15/budi-diesel-sabah-dijangka-ditambah-baik-tempoh-2-3-minggu-jamawi/ https://sabahmedia.com/2026/07/15/budi-diesel-sabah-dijangka-ditambah-baik-tempoh-2-3-minggu-jamawi/#respond Tue, 14 Jul 2026 23:24:55 +0000 https://sabahmedia.com/?p=99880
Read Time:3 Minute, 5 Second

RANAU: Kerajaan Negeri menjangkakan penambahbaikan terhadap pelaksanaan subsidi bersasar BUDI Diesel di Sabah dapat dilaksanakan dalam tempoh dua hingga tiga minggu susulan sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di peringkat Persekutuan.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, berkata perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet Negeri selepas kementeriannya membentangkan hasil libat urus bersama kedua-dua kementerian berhubung kesan pelaksanaan subsidi bersasar diesel terhadap rakyat Sabah.

Beliau berkata, laporan itu merangkumi pelbagai isu yang dihadapi golongan petani, nelayan, pengusaha industri makanan serta pemilik kenderaan pikap dan pacuan empat roda yang digunakan bagi tujuan pekerjaan dan perniagaan.

“Saya telah melaporkan secara menyeluruh bagaimana petani kita terjejas, bagaimana jentera ladang terkesan, termasuk penggunaan kenderaan pikap dan pacuan empat roda oleh golongan belia untuk tujuan pekerjaan serta perniagaan.

“Ketua Menteri mengambil perhatian serius terhadap perkara ini dan mengarahkan Kabinet Negeri menjemput Kementerian Kewangan serta KPDN mengadakan sesi taklimat dan libat urus bersama penjawat awam serta wakil rakyat kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Padang Ragut, Pelancaran Kebun Dapur dan Kempen Vaksinasi Haiwan Kesayangan di Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar Ranau, pada Selasa.

Menurut Jamawi, sesi pertama libat urus akan diadakan bersama ketua-ketua jabatan negeri di Menara Kinabalu pada Jumaat ini, manakala sesi kedua bersama wakil rakyat kerajaan dijadual berlangsung pada Ahad.

Katanya, sesi itu penting bagi memberi gambaran sebenar kepada Kerajaan Persekutuan mengenai cabaran yang dihadapi rakyat Sabah sejak pelaksanaan BUDI Diesel.

Beliau menegaskan Sabah mempunyai keperluan berbeza berbanding Semenanjung Malaysia berikutan faktor geografi serta jarak perjalanan yang lebih jauh, sekali gus memerlukan pendekatan pelaksanaan subsidi bahan api yang lebih bersesuaian.

“Kita tidak sama seperti di Semenanjung. Kalau di sana memandu tiga jam boleh merentasi beberapa negeri, tetapi di Sabah memandu tiga jam pun mungkin belum sampai ke satu daerah.

“Kita faham isu ketirisan perlu ditangani, namun jangan kerana kegagalan mengawal ketirisan, beban itu dipindahkan kepada petani, nelayan, pengusaha industri makanan dan golongan muda yang berniaga. Itu tidak adil kepada mereka,” katanya.

Dalam majlis sama, kementeriannya turut menyerahkan bantuan kepada dua padang ragut di Ranau yang merangkumi peralatan seperti tiang pagar, dawai pagar, makanan ternakan dan mesin pemproses rumput bagi meningkatkan pengeluaran makanan ternakan berkualiti.

Jamawi berkata, Kerajaan Negeri sedang mempergiat usaha memulihkan padang ragut yang kurang dimanfaatkan sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh industri penternakan ruminan dan unggas di Sabah.

“Sejak enam bulan lalu saya telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar mempergiatkan program berkaitan serta memperkasakan penternakan ruminan, unggas dan sektor berkaitan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan sambutan terhadap inisiatif Kebun Dapur amat menggalakkan apabila lebih 3,000 individu dan kumpulan di seluruh Sabah kini terbabit berdasarkan rekod Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Menurutnya, kerajaan menyasarkan seramai 5,000 pengusaha Kebun Dapur dalam tempoh lima tahun, namun perkembangan semasa menunjukkan sasaran itu berpotensi dicapai lebih awal.

“Kita menjangkakan pertambahan kira-kira 1,000 pengusaha baharu setiap tahun, namun melihat semangat rakyat Sabah hari ini, saya amat berterima kasih atas sokongan terhadap usaha kementerian,” katanya.

Beliau berkata, kementerian juga sedang membangunkan platform digital kebundapur.com yang dijangka dilancarkan dalam tempoh satu hingga dua bulan bagi membolehkan pengusaha memasarkan hasil pertanian, perikanan dan penternakan secara terus kepada pengguna tanpa orang tengah.

Katanya, platform itu tidak memerlukan lesen khas, namun semua produk akan dipantau oleh agensi berkaitan bagi memastikan kualiti dan keselamatan makanan memenuhi piawaian sebelum dipasarkan.

“Kita mahu memudahkan urusan pemasaran, tetapi pada masa sama memastikan hasil yang dijual memenuhi standard yang ditetapkan melalui pemantauan pegawai di lapangan,” katanya.

Turut hadir, ADUN Paginatan, Datuk Rusdin Riman; Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jumain Abdul Ghani; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Dr Zul Bahar Abdul Rashid, serta pegawai kanan kementerian.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/15/budi-diesel-sabah-dijangka-ditambah-baik-tempoh-2-3-minggu-jamawi/feed/ 0 99880
Jamawi bawa cadangan tambah baik BUDI Diesel Sabah ke Kabinet Negeri https://sabahmedia.com/2026/07/09/jamawi-bawa-cadangan-tambah-baik-budi-diesel-sabah-ke-kabinet-negeri/ https://sabahmedia.com/2026/07/09/jamawi-bawa-cadangan-tambah-baik-budi-diesel-sabah-ke-kabinet-negeri/#respond Thu, 09 Jul 2026 09:23:11 +0000 https://sabahmedia.com/?p=99587
Read Time:2 Minute, 22 Second

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar akan membawa hasil sesi libat urus mengenai pelaksanaan program BUDI Diesel di Sabah ke Mesyuarat Kabinet Negeri bagi mendapatkan sokongan terhadap cadangan penambahbaikan yang dikemukakan.

Beliau berkata, sesi libat urus itu diadakan di pejabatnya semalam membabitkan semua ketua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah serta ketua jabatan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang beroperasi di Sabah.

Perbincangan itu turut disertai Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Johan Mahmood Merican, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Sabah, Shahril Nizam, serta pegawai kementerian berkaitan.

Jamawi berkata, pelbagai isu yang dihadapi rakyat Sabah berkaitan pelaksanaan BUDI Diesel dibangkitkan secara langsung kepada Kementerian Kewangan.

“Semalam kami mengadakan dialog secara terbuka bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan pegawai Kementerian Kewangan. Kami memberikan gambaran sebenar keadaan di lapangan, khususnya di luar bandar, kampung, dalam kalangan penggiat industri makanan dan pengusaha pengangkutan yang terkesan dengan pelaksanaan BUDI Diesel.

“Kami menyampaikan suara rakyat Sabah dan menjelaskan cabaran yang dihadapi masyarakat, termasuk isu membabitkan bas sekolah di kawasan luar bandar yang memainkan peranan penting membawa murid ke sekolah tetapi berdepan kekangan berkaitan kelayakan subsidi diesel,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Menurutnya, keadaan di Sabah berbeza dengan Semenanjung kerana banyak kawasan luar bandar tidak mempunyai perkhidmatan bas sekolah konvensional yang mencukupi, sekali gus menyebabkan pengusaha pengangkutan tempatan memainkan peranan penting dalam sistem pendidikan dan mobiliti masyarakat.

Jamawi berkata, beliau telah mendapat kebenaran Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, untuk mengadakan sesi libat urus berkenaan dan hasil perbincangan itu akan dibentangkan kepada Kabinet Negeri pada mesyuarat akan datang.

“Saya akan membawa perkara ini ke Mesyuarat Kabinet Negeri bagi mendapatkan sokongan Kabinet supaya Kerajaan Negeri turut menyokong isu, maklumat dan cadangan yang telah dikumpulkan oleh MAFFI.

“Kita berharap akan ada penambahbaikan dari segi tatakelola dan tatacara pelaksanaan BUDI Diesel yang lebih sesuai dengan keadaan serta keperluan rakyat Sabah,” katanya.

Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook, Jamawi berkata antara cadangan utama yang dikemukakan ialah menyelaraskan pelaksanaan BUDI Diesel dengan tatacara BUDI RON95.

Beliau turut mencadangkan supaya proses kelulusan dan permohonan dipermudahkan bagi pemilik kenderaan yang masih menggunakan kaedah pembiayaan sambung bayar.

Selain itu, beliau mengesyorkan kuota diesel ditambah kepada petani, penternak, penoreh getah dan pengusaha industri makanan di kawasan bandar serta luar bandar yang banyak menggunakan kenderaan pacuan empat roda, dengan mengambil kira jarak perjalanan bulanan.

Cadangan lain termasuk pemberian bantuan tunai bulanan menerusi inisiatif BUDI Agri-Komoditi kepada pengusaha pertanian, penternakan, penoreh getah dan penggiat industri makanan berskala kecil.

Jamawi berkata, beliau menghargai kesediaan Johan bersama pegawai Kementerian Kewangan mendengar pandangan dan cadangan yang dikemukakan.

“Diharapkan segala pandangan, cadangan dan idea penambahbaikan yang dibangkitkan dapat diberikan perhatian serius demi memastikan pelaksanaan BUDI Diesel benar-benar memenuhi keperluan rakyat Sabah,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/09/jamawi-bawa-cadangan-tambah-baik-budi-diesel-sabah-ke-kabinet-negeri/feed/ 0 99587
Jamawi harap dana interim RM1.5 bilion perkukuh industri padi Sabah https://sabahmedia.com/2026/05/30/jamawi-harap-dana-interim-rm1-5-bilion-perkukuh-industri-padi-sabah/ https://sabahmedia.com/2026/05/30/jamawi-harap-dana-interim-rm1-5-bilion-perkukuh-industri-padi-sabah/#respond Sat, 30 May 2026 10:45:42 +0000 https://sabahmedia.com/?p=97534
Read Time:1 Minute, 38 Second

PENAMPANG: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berharap sebahagian daripada bayaran interim tambahan RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat disalurkan bagi memperkukuh pembangunan industri padi di negeri ini.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi meningkatkan tahap sara diri pengeluaran beras Sabah yang ketika ini hanya mampu memenuhi kira-kira 20 peratus daripada keperluan rakyat negeri ini.

Menurutnya, walaupun mengalu-alukan pengumuman tambahan bayaran interim berkenaan, masih banyak usaha perlu dilakukan untuk membangunkan sektor padi di Sabah.

“Sebagai Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, saya mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri mengenai tambahan bayaran interim RM1.5 bilion tahun ini sementara menunggu pemuktamadan dan penentuan jumlah sebenar pemberian khas 40 peratus kepada Sabah.

“Namun, kita perlu sedar bahawa Pesta Kaamatan diraikan sebagai simbol penghargaan terhadap hasil padi, sedangkan Sabah ketika ini hanya mengeluarkan kira-kira 20 peratus daripada keperluan beras negeri. Masih banyak yang perlu dilakukan untuk membangunkan dan memperkasakan industri padi,” katanya.

Jamawi (tengah) merakamkan gambar dengan semua komuniti Murut yang turut serta dalam program selama dua hari di Rumah Tradisi itu sempena Sambutan Pesta Menuai pada kali ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Pameran Peralatan Tradisi dan Makanan Tradisi Murut di Rumah Tradisi Murut Tenom, Hongkod Koisaan KDCA, di sini, hari ini.

Jamawi berkata, sambutan Pesta Kaamatan yang diraikan setiap tahun mempunyai hubungan rapat dengan industri padi yang menjadi asas kepada perayaan itu sejak turun-temurun.

Katanya, usaha memperkukuh sektor padi perlu diberi perhatian serius agar warisan budaya yang berkait rapat dengan penanaman padi dapat terus dipelihara.

“Peningkatan pengeluaran padi tempatan bukan sahaja penting bagi menjamin keselamatan makanan negeri, malah mampu mengurangkan kebergantungan Sabah terhadap bekalan beras dari luar.

“Saya berharap sebahagian daripada peruntukan tambahan itu dapat digunakan untuk pembangunan industri padi di Sabah,” katanya.

Beliau turut berharap pembangunan industri padi terus diberi keutamaan dalam agenda pembangunan negeri selaras dengan usaha memperkukuh sektor pertanian dan menjamin bekalan makanan yang mampan untuk rakyat Sabah.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/30/jamawi-harap-dana-interim-rm1-5-bilion-perkukuh-industri-padi-sabah/feed/ 0 97534
Sokong pertanian berkualiti, lindungi petani tempatan – Jamawi https://sabahmedia.com/2026/05/05/sokong-pertanian-berkualiti-lindungi-petani-tempatan-jamawi/ https://sabahmedia.com/2026/05/05/sokong-pertanian-berkualiti-lindungi-petani-tempatan-jamawi/#respond Tue, 05 May 2026 06:29:29 +0000 https://sabahmedia.com/?p=96151
Read Time:1 Minute, 39 Second

PAPAR: Usaha memperkasa amalan pertanian berkualiti melalui pensijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) perlu diperluaskan bagi menjamin keselamatan makanan serta meningkatkan nilai hasil tempatan.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, kejayaan pengusaha tanaman fertigasi dan hidroponik, Owan’s Farm di Kampung Buang Sayang di sini yang memperoleh pensijilan MyGAP wajar dijadikan contoh kepada pengusaha lain.

Menurutnya, pensijilan itu membuktikan hasil pertanian yang dihasilkan mematuhi syarat ketat termasuk penggunaan bahan kimia minimum serta kaedah mesra alam.

“Ini bermaksud hasil daripada ladang ini mematuhi amalan pertanian yang baik, termasuk penggunaan racun kimia yang terkawal, lebih mesra alam dan selamat untuk dimakan,” katanya ketika mengadakan lawatan ke ladang berkenaan, pada Isnin.

Beliau berkata, pendekatan itu perlu diperluaskan dan dijadikan penanda aras kepada pengusaha lain di Sabah.

“Kita juga perlu mendidik masyarakat supaya memilih sumber makanan yang telah disahkan oleh Jabatan Pertanian atau kementerian,” katanya.

Jamawi berkata, langkah itu penting dalam membina kesedaran pengguna terhadap kepentingan kualiti dan keselamatan makanan.

“Ia merupakan proses berterusan untuk mendidik masyarakat agar lebih menghargai kualiti serta hasil pertanian premium,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya akan terus menyokong usaha pengusaha tempatan termasuk dalam sektor hidroponik dan fertigasi.

“Saya bercadang untuk menghimpunkan lebih ramai penggiat serta pengusaha hidroponik dan fertigasi di Sabah bagi mengadakan sesi libat urus,” katanya.

Menurutnya, pendekatan itu mampu membantu memasarkan hasil pertanian pada harga lebih baik berbanding kaedah tradisional.

Mengulas lanjut, beliau berkata aspek biosekuriti turut diperkukuh bagi melindungi industri pertanian tempatan.

“Kita telah memperketatkan penguatkuasaan biosekuriti, khususnya terhadap hasil pertanian yang diimport,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih berlaku aktiviti penyeludupan produk pertanian yang menjejaskan pasaran tempatan.

“Terdapat lambakan hasil pertanian import pada harga murah yang memberi kesan kepada pendapatan petani tempatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan kerjasama lebih erat antara agensi penguat kuasa termasuk Kastam, Pasukan Gerakan Am, Polis Marin serta Polis Diraja Malaysia bagi membendung kegiatan berkenaan.

Katanya, usaha bersepadu itu penting bagi memastikan kualiti makanan terus terjamin di samping melindungi pendapatan petani tempatan di Sabah.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/05/sokong-pertanian-berkualiti-lindungi-petani-tempatan-jamawi/feed/ 0 96151
Kurangkan kos makanan ternakan, kunci stabil harga ayam, telur di Sabah – Jamawi https://sabahmedia.com/2026/04/17/kurangkan-kos-makanan-ternakan-kunci-stabil-harga-ayam-telur-di-sabah-jamawi/ https://sabahmedia.com/2026/04/17/kurangkan-kos-makanan-ternakan-kunci-stabil-harga-ayam-telur-di-sabah-jamawi/#respond Fri, 17 Apr 2026 11:08:11 +0000 https://sabahmedia.com/?p=95049
Read Time:1 Minute, 39 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Usaha mengurangkan kebergantungan import makanan ternakan dikenal pasti sebagai langkah utama dalam menangani isu harga telur dan ayam yang tinggi di Sabah.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, ketika ini negeri itu masih bergantung sehingga 98 peratus kepada import makanan haiwan, sekali gus menyebabkan kos pengeluaran meningkat apabila harga logistik dan pengangkutan naik.

Menurutnya, pendekatan menyeluruh sedang dilaksanakan termasuk pembangunan ladang jagung berskala besar bagi menghasilkan makanan ternakan tempatan.

“Kita tidak boleh sekadar minta harga ayam atau telur diturunkan, tetapi pada masa sama kos makanan ternakan terus meningkat.

“Sebab itu tahun ini kita sasarkan pembukaan sekurang-kurangnya 1,000 ekar ladang jagung dengan peruntukan RM25 juta bagi mengurangkan kebergantungan import,” katanya dalam sidang media selepas program Santai Bersama Media di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut menggalakkan penggunaan alternatif makanan ternakan melalui program mentor-menti yang memanfaatkan sisa makanan dapur sebagai sumber protein bagi ayam.

Katanya, pendekatan itu bukan sahaja membantu mengurangkan kos penternakan, malah berpotensi meningkatkan pengeluaran telur secara lebih mampan.

Dalam masa sama, Jamawi turut mencontohkan pelaksanaan penternakan kecil di peringkat isi rumah sebagai antara langkah meningkatkan keterjaminan makanan.

“Saya sendiri menternak ayam sebagai contoh kepada masyarakat bahawa inisiatif ini boleh dilaksanakan di peringkat rumah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan pendekatan jangka panjang melalui pengeluaran makanan ternakan tempatan diyakini mampu menstabilkan harga ayam dan telur di Sabah secara berperingkat.

Jamawi semasa program Santai Bersama Media di sini, hari ini.

Sementara itu, sempena program Santai Bersama Media itu turut mempromosikan hasil pertanian tempatan termasuk durian premium dan avokado Sabah.

Program tersebut bukan sahaja menjadi platform interaksi, malah turut diserikan dengan hidangan buah-buahan premium seperti durian Musang King, IOI dan Black Thorn, selain memperkenalkan avokado tempatan varieti Q-AV1 atau Avocado Quoin Sabah yang semakin mendapat tempat di pasaran.

Dalam masa sama, sesi berkenaan dimanfaatkan untuk berkongsi perkembangan terkini sektor agromakanan negeri, termasuk inisiatif kerajaan dalam memperkukuh keterjaminan makanan serta meningkatkan pendapatan petani tempatan.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/04/17/kurangkan-kos-makanan-ternakan-kunci-stabil-harga-ayam-telur-di-sabah-jamawi/feed/ 0 95049
Kita bekerja untuk rakyat – Jamawi https://sabahmedia.com/2026/04/02/kita-bekerja-untuk-rakyat-jamawi/ https://sabahmedia.com/2026/04/02/kita-bekerja-untuk-rakyat-jamawi/#respond Thu, 02 Apr 2026 01:26:05 +0000 https://sabahmedia.com/?p=94128
Read Time:1 Minute, 47 Second

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar menegaskan setiap amanah yang dipikul oleh penjawat awam dan agensi kerajaan adalah untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan sekadar memegang jawatan.

Beliau berkata, tanggungjawab itu menuntut semua pihak memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, khususnya golongan pekebun kecil dan komuniti luar bandar.

“Jangan kita berbangga dengan jawatan, tetapi di peringkat bawahan kita gagal memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. Amanah kita bukan sekadar menjawat jawatan, tetapi memastikan rakyat dilayani dengan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan kepada Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah baharu Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) di Ibu Pejabat LIGS, Wisma Pertanian, di sini, kelmarin.

Menurutnya, beliau sentiasa memberi perhatian terhadap aduan rakyat termasuk melalui media sosial, dan akan segera menyalurkan perkara tersebut kepada pihak pengurusan untuk tindakan lanjut.

“Saya layan semua aduan, termasuk di Facebook. Kalau ada yang mengadu jalan pertanian rosak atau tanah tidak diusahakan, saya akan ambil tangkap layar dan hantar kepada pengurusan. Keesokannya, tindakan terus diambil.

“Itu yang saya mahu, kita bekerja untuk rakyat,” katanya.

Jamawi turut berkongsi pengalaman peribadinya yang pernah berkhidmat dalam bidang penyelidikan pertanian serta menghargai tunjuk ajar pegawai kanan yang membentuk perjalanan kerjayanya hingga ke hari ini.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Pengerusi dan Ahli Lembaga LIGS baharu atas pelantikan masing-masing, sambil berharap mereka dapat memperkukuh peranan organisasi dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau berkata, pelantikan tersebut perlu dilihat sebagai satu amanah besar yang memerlukan komitmen tinggi serta keikhlasan dalam membantu masyarakat.

“Kita perlu pastikan setiap usaha yang dilaksanakan mampu memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, walaupun kecil, ia tetap bermakna,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kebanyakan rakyat di luar bandar tidak mengharapkan sesuatu yang besar, sebaliknya hanya memerlukan kemudahan asas yang baik untuk menjalani kehidupan seharian.

“Mereka hanya mahu jalan yang baik, kemudahan asas yang sempurna. Bila kita bantu, mereka sangat menghargainya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar terus melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri.

“Ini adalah amanah besar yang perlu kita pikul bersama. Laksanakanlah sebaik mungkin agar kita mendapat keberkatan dan dipermudahkan dalam setiap urusan,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/04/02/kita-bekerja-untuk-rakyat-jamawi/feed/ 0 94128
Jamawi hargai sokongan, komitmen masyarakat Cina di DUN Melalap https://sabahmedia.com/2026/02/14/jamawi-hargai-sokongan-komitmen-masyarakat-cina-di-dun-melalap/ https://sabahmedia.com/2026/02/14/jamawi-hargai-sokongan-komitmen-masyarakat-cina-di-dun-melalap/#respond Sat, 14 Feb 2026 07:13:01 +0000 https://sabahmedia.com/?p=91648
Read Time:1 Minute, 11 Second

TENOM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar mengadakan program walkabout sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sekitar pekan Tenom, bermula dari Dewan Datuk Seri Panglima Antanom hingga ke Malleh Square, di sini, hari ini.

Ketika ditemui media, Jamawi berkata, Program Walkabout Tahun Baharu Cina 2026 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap adalah platform terbaik dalam memperkukuh perpaduan serta keharmonian antara komuniti masyarakat Tionghua dengan etnik lain seperti Murut, Dusun, Lundayeh dan lain-lain.

Menurutnya, program tersebut bukan sahaja bertujuan meraikan perayaan berkenaan bersama komuniti setempat, malah menjadi medium bagi wakil rakyat turun padang mendekati serta memahami keperluan rakyat.

Dalam program itu, limau mandarin turut diagihkan kepada komuniti masyarakat Cina dan orang ramai sebagai simbol kemeriahan dan semangat perayaan.

Jamawi bersama isteri juga berpeluang menyantuni masyarakat Tenom yang menyertai walkabout berkenaan.

“Saya menghargai sokongan dan komitmen masyarakat Cina di DUN Melalap serta segenap lapisan masyarakat. Seterusnya kita akan bersiap sedia meraikan perayaan-perayaan lain yang disambut setiap tahun.

“Orang ramai dijemput menghadiri Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 DUN Melalap di Malleh Square pada 15 Feb (Ahad).

“Pelbagai pengisian program menarik diadakan bagi sambutan Tahun Baharu Cina kali ini,” katanya yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan.

Turut hadir Pengerusi Persatuan Hakka Tenom, Datuk Yong Oi Kiang; Pengerusi Lembaga Pengelola SM Chung Hwa, Datuk Eng Tet Hau; Ketua Daerah, OKK Tusib Tulas, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Melalap, Denesly Justin serta kapitan-kapitan Cina.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/02/14/jamawi-hargai-sokongan-komitmen-masyarakat-cina-di-dun-melalap/feed/ 0 91648