jans – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Thu, 13 Aug 2026 08:09:39 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png jans – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 JANS digesa lebih proaktif tangani gangguan air di Kota Kinabalu https://sabahmedia.com/2026/08/13/jans-digesa-lebih-proaktif-tangani-gangguan-air-di-kota-kinabalu/ https://sabahmedia.com/2026/08/13/jans-digesa-lebih-proaktif-tangani-gangguan-air-di-kota-kinabalu/#respond Thu, 13 Aug 2026 08:09:33 +0000 https://sabahmedia.com/?p=101497
Read Time:2 Minute, 54 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) digesa mengambil pendekatan lebih proaktif dan tersusun dalam menangani gangguan bekalan air yang berlarutan di beberapa kawasan di Kota Kinabalu, terutama dari aspek penyampaian maklumat serta penghantaran lori tangki ke kawasan terjejas.

Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) merangkap Pengerusi LDP N.20 Api Api, Sim Fui, berkata gangguan bekalan air kini bukan lagi sekadar menjejaskan keselesaan penduduk, malah turut memberi kesan serius kepada operasi perniagaan, hotel dan industri pelancongan di ibu negeri Sabah.

Beliau berkata, isu gangguan bekalan air dan keperluan memperbaiki komunikasi dengan orang ramai sudah beberapa kali dibangkitkan, namun masalah sama masih berulang.

“Saya pernah menyuarakan perkara ini sebelum ini. Kita tidak boleh hanya mengeluarkan notis apabila berlaku gangguan, kemudian membiarkan penduduk dan peniaga tertanya-tanya bila bekalan air akan pulih.

“Jika kerja pembaikan mengambil masa lebih lama daripada jangkaan, maklumkan kepada rakyat. Jika berlaku masalah teknikal baharu, maklumkan. Jika bekalan dijangka pulih secara berperingkat, nyatakan kawasan yang akan menerima bekalan terlebih dahulu.

“Rakyat boleh memahami cabaran teknikal, tetapi mereka memerlukan maklumat yang tepat dan terkini untuk membuat persediaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sim, keadaan itu semakin membimbangkan apabila sekurang-kurangnya 14 hotel utama di Kota Kinabalu dilaporkan berdepan gangguan bekalan air berpanjangan sehingga menyebabkan pembatalan tempahan, pemendekan tempoh penginapan dan penyusutan simpanan air.

Katanya, perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana Kota Kinabalu merupakan antara pintu masuk utama pelancongan Sabah.

“Jangan sampai masalah bekalan air menjejaskan perniagaan dan merosakkan imej Kota Kinabalu sebagai destinasi pelancongan.

“Hotel, restoran, kedai makan dan pelbagai perniagaan bergantung kepada bekalan air setiap hari. Setiap hari gangguan berterusan bermakna kos tambahan dan potensi kehilangan pendapatan kepada peniaga,” katanya.

Sim berkata, selain mempercepatkan kerja pembaikan, JANS perlu mempunyai pelan tindak balas kecemasan yang lebih proaktif bagi kawasan yang mengalami gangguan bekalan air berpanjangan.

Antara langkah yang dicadangkan ialah mengumumkan secara berkala perkembangan kerja pembaikan dan jangkaan masa siap, mengenal pasti kawasan paling kritikal serta mengatur penghantaran lori tangki dengan segera ke hotel, kawasan perniagaan, restoran, kawasan kediaman berkepadatan tinggi dan premis lain yang memerlukan bekalan air.

Katanya, jadual penghantaran lori tangki juga perlu diumumkan lebih awal, termasuk lokasi dan anggaran waktu ketibaan.

“Jangan tunggu sehingga penduduk atau peniaga berkali-kali membuat panggilan untuk meminta air. Apabila JANS mengetahui sesuatu kawasan akan mengalami gangguan berpanjangan, penghantaran air sepatutnya dirancang secara proaktif.

“Jika jadual penghantaran diumumkan lebih awal, sekurang-kurangnya penduduk boleh menyediakan tong dan baldi, manakala peniaga boleh mengatur operasi mereka. Ini perkara asas tetapi sangat membantu rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Sim merakamkan penghargaan kepada kakitangan JANS, kontraktor dan petugas lapangan yang bekerja siang dan malam menjalankan kerja pembaikan.

Beliau menegaskan teguran itu bukan bertujuan menyalahkan petugas di lapangan, sebaliknya mahu sistem pengurusan gangguan serta komunikasi awam dipertingkatkan dengan segera.

“Kita adalah sebahagian daripada kerajaan. Sebab itu apabila terdapat kelemahan dalam penyampaian perkhidmatan, kita perlu berani mengenal pasti masalah dan membantu memperbaikinya.

“Kerajaan yang bertanggungjawab bukan kerajaan yang tidak menerima teguran, tetapi kerajaan yang mendengar, bertindak dan memperbaiki perkhidmatannya,” katanya.

Sim berkata, LDP N.20 Api Api bersama UPPM N.19 Likas turut turun padang membantu pengagihan air kepada masyarakat terjejas serta mengikuti perkembangan kerja pembaikan di sekitar Segama.

“Pasukan kami akan terus membantu di lapangan, tetapi usaha komuniti tidak boleh menggantikan tanggungjawab sistem bekalan air. Kita memerlukan penyelesaian yang lebih tersusun daripada pihak berkuasa.

“Air adalah keperluan asas. Kota Kinabalu ialah ibu negeri dan nadi utama perniagaan serta pelancongan Sabah. Kita tidak boleh membiarkan gangguan bekalan air berpanjangan menjadi sesuatu yang dianggap biasa,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/13/jans-digesa-lebih-proaktif-tangani-gangguan-air-di-kota-kinabalu/feed/ 0 101497
DUN Sabah : JANS laksana penggantian paip usang, tangani isu kebocoran di Likas https://sabahmedia.com/2026/04/28/dun-sabah-jans-laksana-penggantian-paip-usang-tangani-isu-kebocoran-di-likas/ https://sabahmedia.com/2026/04/28/dun-sabah-jans-laksana-penggantian-paip-usang-tangani-isu-kebocoran-di-likas/#respond Tue, 28 Apr 2026 03:16:40 +0000 https://sabahmedia.com/?p=95684
Read Time:1 Minute, 31 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) melaksanakan beberapa langkah penyelesaian bagi menangani isu kebocoran paip yang kerap berlaku di kawasan Likas.

Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Limus Jury berkata, keadaan paip jenis Asbestos Cement (AC) yang usang menjadi antara punca utama kejadian kebocoran kerap berlaku di kawasan berkenaan.

“Antara langkah penyelesaian termasuklah pelaksanaan kontrak penyelenggaraan paip Kota Kinabalu selama tiga tahun, yang bertujuan melaksanakan kerja-kerja pembaikan segera ke atas paip yang bocor dan rosak, seterusnya mengurangkan kadar aduan gangguan bekalan air di sekitar Kota Kinabalu termasuk kawasan Likas;

“Selain itu, program menaiktaraf dan penggantian paip jenis AC pelbagai saiz di daerah Kota Kinabalu, yang kini berada dalam fasa pelaksanaan dengan kemajuan fizikal sebanyak 7.03 peratus.

“Projek yang dianggarkan bernilai RM 28 juta ini dijadualkan siap pada 4 Februari 2027 dan bertujuan menaiktaraf serta menggantikan paip-paip lama di sekitar Kota Kinabalu termasuk kawasan Likas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Tham Yun Fook (Warisan-Likas) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Selasa.

Limus berkata, kerja-kerja penggantian paip usang serta menaiktaraf paip transmisi dan agihan di daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan, Sabah, yang melibatkan kos sebanyak RM200 Juta Turut dilaksanakan.

Beliau berkata, projek ini telah diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1), Tahun 2026, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) melalui peruntukan pinjaman Persekutuan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Menurutnya, pelaksanaan projek ini akan melibatkan penggantian dan penaiktarafan paip-paip kritikal yang telah usang, termasuk di kawasan Likas. Projek ini dijangka mula dilaksanakan pada suku keempat tahun 2027 selepas melalui peringkat makmal pengurusan nilai.

“Pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini dijangka dapat meningkatkan kebolehpercayaan sistem agihan bekalan air serta mengurangkan kekerapan gangguan bekalan air di kawasan terlibat dalam jangka masa sederhana dan panjang,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/04/28/dun-sabah-jans-laksana-penggantian-paip-usang-tangani-isu-kebocoran-di-likas/feed/ 0 95684
Bekas timbalan pengarah JANS nafi terima jutaan ringgit rasuah https://sabahmedia.com/2025/10/24/bekas-timbalan-pengarah-jans-nafi-terima-jutaan-ringgit-rasuah/ https://sabahmedia.com/2025/10/24/bekas-timbalan-pengarah-jans-nafi-terima-jutaan-ringgit-rasuah/#respond Fri, 24 Oct 2025 13:56:17 +0000 https://sabahmedia.com/?p=84084
Read Time:2 Minute, 55 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Lim Lam menafikan dakwaan bahawa beliau menerima jutaan ringgit rasuah, sebaliknya menegaskan memperoleh wang melalui sumber yang sah termasuk pelaburan di Singapura.

Ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat, Lim menafikan menerima wang rasuah berjumlah RM29,578,843.60 seperti yang didakwa oleh saksi pendakwaan ke-29, Teo Chee Kong.

Lim juga menafikan menerima rasuah berjumlah RM31,025,495.11 seperti yang didakwa oleh saksi pendakwaan ke-45, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Yussof Awang Osman.

Lim berkata demikian ketika menjawab soalan peguamnya, Datuk Tan Hock Chuan, pada sesi pembelaan hari ini.

Untuk rekod, pada 12 Januari 2023, Teo, yang merupakan Timbalan Pengarah selepas Lim, memberi keterangan bahawa beliau telah menyerahkan sejumlah RM29,578,843.60 kepada Lim antara April 2005 hingga Februari 2015 berdasarkan sistem ‘centralised collection’.

Sementara itu, Mohd Yussof pada 22 Januari 2024 memberi keterangan bahawa Lim menerima rasuah berjumlah RM31,025,495.11 selama 10 tahun, dari 2005 hingga 2015.

Menjawab soalan lain, Lim berkata beliau menyerahkan wang tunai RM200,000 kepada SPRM pada 22 Oktober 2016; RM1.9 juta pada 7 November 2016; dan RM280,000 lagi pada 8 November 2016 mengikut arahan Mohd Yussof.

Lim mendakwa beliau mematuhi arahan itu kerana Mohd Yussof berjanji bahawa tiada tindakan akan diambil terhadapnya oleh SPRM sekiranya beliau menyerahkan wang tersebut.

Lim menambah bahawa beliau tidak akan menyerahkan wang berkenaan sekiranya janji itu tidak dibuat tidak dibuat oleh pegawai tersebut.

Datuk Tan: Penyerahan wang tunai pada tiga tarikh tersebut merupakan subjek bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat terhadap anda. Berdasarkan keterangan anda, anda diarahkan oleh Mohd Yussof untuk mengeluarkan wang daripada akaun bank, menjual saham dan menyerahkan wang tunai itu kepada SPRM. Apa pandangan anda terhadap tiga pertuduhan ini? Adakah anda terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram melibatkan tiga jumlah tersebut?

Lim: Saya boleh mengesahkan bahawa jumlah RM200,000, RM1.9 juta dan RM280,000 itu adalah daripada akaun bank peribadi saya, akaun ASB isteri saya serta pelaburan saham saya di Singapura. Wang tersebut adalah sah dan tidak ada kena-mengena dengan tuduhan palsu yang dibuat serta direka oleh Teo Chee Kong dan Mohd Yussof.

Menjawab soalan lain, Lim berkata Mohd Yussof tidak pernah merujuk kepada sebarang dokumen berkaitan pelaburannya di Singapura dalam siasatannya terhadap beliau.

Lim dibicarakan bersama Ag Mohd Tahir Mohd Talib dan Fauziah Hj Piut atas pertuduhan pengubahan wang haram. Ag Mohd Tahir isterinya telah selesai memberi keterangan masing-masing.

Lim berdepan empat pertuduhan memiliki wang tunai dan kenderaan hasil daripada aktiviti haram antara Oktober 13 dan November 8, 2016 di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Jalan UMS dan di sebuah rumah di sini.

Sementara itu, Ag Mohd Tahir menghadapi 11 pertuduhan, manakala Fauziah mempunyai 19 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Fauziah turut berdepan dua pertuduhan bersama dengan Ag Mohd Tahir di bawah seksyen yang sama, manakala Ag Mohd Tahir mempunyai satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) akta tersebut.

Pasangan itu didakwa melakukan kesalahan itu di pelbahai lokasi antara 4 Oktober dan 4 November 2016.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim.

Lim turut diwakili oleh peguam Baldev Singh, Karpaljit Singh dan Kelvin Wong.

Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili oleh peguam Datuk Hj Ansari Abdullah dan Erveana Ansari.

Perbicaraan akan disambung pada 11 hingga 13 November ini.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/10/24/bekas-timbalan-pengarah-jans-nafi-terima-jutaan-ringgit-rasuah/feed/ 0 84084
Bekas timbalan pengarah JANS nafi sogok bekas menteri https://sabahmedia.com/2025/10/23/bekas-timbalan-pengarah-jans-nafi-sogok-bekas-menteri/ https://sabahmedia.com/2025/10/23/bekas-timbalan-pengarah-jans-nafi-sogok-bekas-menteri/#respond Thu, 23 Oct 2025 12:40:48 +0000 https://sabahmedia.com/?p=84006
Read Time:2 Minute, 9 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Lim Lam Beng, menafikan dakwaan bahawa beliau menawarkan rasuah kepada bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Raymond Tan.

Lim menyifatkan tuduhan itu sebagai “senseless” (tak masuk akal), ketika menjawab soalan peguamnya, Datuk Tan Hock Chuan, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat, semasa sambungan perbicaraan pembelaan beliau hari ini.

Lim ditanya mengenai dakwaan Teo Chee Kong, yang juga merupakan saksi pendakwaan ke-29. Teo merupakan timbalan pengarah jabatan itu selepas Lim bersara.

Datuk Tan: Teo Chee Kong turut mendakwa bahawa anda mencadangkan rasuah diberikan kepada YB Datuk Raymond Tan. Apa komen anda, adakah ini benar?
Lim: Ini tidak benar, saya tidak pernah mencadangkan supaya rasuah diberikan kepada YB Datuk Raymond Tan.

Datuk Tan: Teo Chee Kong juga mendakwa bahawa anda dan beliau bertemu YB Datuk Raymond Tan serta menawarkan rasuah kepadanya. Adakah ini benar?
Lim: Tidak, ini tuduhan yang tidak masuk akal.

Datuk Tan: Mengapa anda kata tuduhan itu tidak masuk akal?
Lim: Kerana bagaimana seorang penjawat awam seperti saya boleh mengusulkan rasuah kepada seorang menteri, sedangkan ia bertentangan dengan prosedur kerajaan.

Datuk Tan: Pada masa itu, siapa YB Datuk Raymond Tan?
Lim: Beliau ialah Menteri Pembangunan Infrastruktur yang bertanggungjawab ke atas JANS dan JKR (Jabatan Kerja Raya), kereta api dan pelabuhan.

Menjawab soalan lain, Lim berkata beliau hanya mengenali Raymond Tan apabila bertemu dalam mesyuarat.

Lim berkata dia memperkenalkan Teo kepada Raymond Tan kerana Teo merupakan Jurutera Air Bahagian Kota Kinabalu, bagi memudahkan urusan komunikasi antara kedua-dua pihak.

Lim turut menafikan dakwaan bahawa beliau memperkenalkan Teo kepada beberapa individu berprofil tinggi lain.

Datuk Tan: Teo Chee Kong turut membuat tuduhan bahawa anda memperkenalkannya kepada Datuk Pengiran Hassanel, Felix Madan, Michael Emban, Datuk Maznah Ghani, Datuk Ahmad Hashim, Datuk Yusof Kassim dan Datuk Peter Thien berkaitan dengan skema kutipan tersebut. Adakah ini benar?
Lim: Ini tidak benar. Tuduhan ini sama sekali palsu terhadap saya.

Pada 29 Disember 2016, Lim mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan memiliki wang tunai dan kenderaan hasil daripada aktiviti haram antara Oktober dan November 2016.

Beliau dibicarakan bersama bekas Pengarah JANS, Ag Mohd Tahir Mohd Talib, dan isterinya Fauziah Ag Piut, yang turut mengaku tidak bersalah terhadap pelbagai pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM61.57 juta serta pemilikan barangan mewah yang diperoleh secara tidak sah.

Lim diwakili oleh Datuk Tan Hock Chuan, bersama peguam Baldev Singh, Karpaljit Singh dan Calvin Wong, manakala Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili oleh Datuk Ansari Abdullah dan Erveana Ansari.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat dan Haresh Prakash Somiah.

Perbicaraan bersambung.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/10/23/bekas-timbalan-pengarah-jans-nafi-sogok-bekas-menteri/feed/ 0 84006
Bekas timbalan pengarah JANS nafi ada kuasa lulus kontrak https://sabahmedia.com/2025/10/22/bekas-timbalan-pengarah-jans-nafi-ada-kuasa-lulus-kontrak/ https://sabahmedia.com/2025/10/22/bekas-timbalan-pengarah-jans-nafi-ada-kuasa-lulus-kontrak/#respond Wed, 22 Oct 2025 14:02:01 +0000 https://sabahmedia.com/?p=83929
Read Time:1 Minute, 43 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Lim Lam Beng, menafikan bahawa beliau mempunyai kuasa untuk meluluskan atau memberikan kontrak kepada kontraktor luar semasa berkhidmat di jabatan itu.

Lim juga berkata beliau tidak pernah berurusan secara peribadi dengan mana-mana kontraktor luar berhubung pemberian kontrak oleh JANS sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Beliau menyatakan demikian ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat, semasa menjawab soalan daripada peguamnya Datuk Tan Hock Chuan, semasa prosiding pembelaan hari ini.

Menurut Lim, beliau berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah JANS dari tahun 2004 hingga bersara wajib pada 16 Februari 2014.

“Selepas itu, saya dilantik semula secara kontrak sebagai Timbalan Pengarah JANS selama setahun, bermula 17 Februari 2014 hingga 16 Februari 2015,” katanya.

Lim turut memaklumkan bahawa beliau berkhidmat dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dari tahun 1976 hingga 1987, sebelum menyertai JANS yang ditubuhkan pada 1 Januari 1998.

Menjawab soalan lain, Lim berkata isterinya Lee Shuk Lan memiliki 25 peratus saham dalam Jebamilek Sdn Bhd dan merupakan salah seorang daripada empat pemegang saham syarikat tersebut.

Lim menjelaskan bahawa isterinya menerima RM1,125,000 sebagai bahagiannya daripada hasil jualan sebidang tanah di Penampang bernilai RM6 juta, berdasarkan perjanjian jual beli pada tahun 2004, di mana Jebamilek bertindak sebagai penjual dalam sebuah urus niaga dengan sebuah syarikat lain.

Lim berkata beliau telah mengisytiharkan hasil jualan yang diterima isterinya itu dalam ‘borang perisytiharan harta’.

Pada 29 Disember 2016, Lim mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan memiliki wang tunai dan kenderaan hasil daripada aktiviti haram antara Oktober dan November 2016.

Beliau dibicarakan bersama bekas Pengarah JANS, Ag Mohd Tahir Mohd Talib, dan isterinya Fauziah Ag Piut, yang turut mengaku tidak bersalah terhadap pelbagai pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM61.57 juta serta pemilikan barangan mewah yang diperoleh secara tidak sah.

Lim diwakili oleh Datuk Tan Hock Chuan, bersama peguam Baldev Singh, Karpaljit Singh dan Calvin Wong, manakala Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili oleh Datuk Ansari Abdullah dan Erveana Ansari.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat dan Haresh Prakash Somiah.

Perbicaraan bersambung.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/10/22/bekas-timbalan-pengarah-jans-nafi-ada-kuasa-lulus-kontrak/feed/ 0 83929
Isteri bekas pengarah JANS: Saya hanya terima nafkah suami, tidak pernah soal asal usul wang https://sabahmedia.com/2025/09/27/isteri-bekas-pengarah-jans-saya-hanya-terima-nafkah-suami-tidak-pernah-soal-asal-usul-wang/ https://sabahmedia.com/2025/09/27/isteri-bekas-pengarah-jans-saya-hanya-terima-nafkah-suami-tidak-pernah-soal-asal-usul-wang/#respond Fri, 26 Sep 2025 21:06:33 +0000 https://sabahmedia.com/?p=82064
Read Time:3 Minute, 33 Second

Oleh J.Evachel John

KOTA KINABALU: Isteri kepada bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Fauziah Piut, memaklumkan kepada Mahkamah Khas Rasuah bahawa semua wang dalam akaun bank, barangan kemas serta barangan mewah yang dikaitkan dengannya adalah pemberian suami, hadiah, atau warisan keluarga.

Fauziah, 58, yang berkahwin dengan Ag Mohd Tahir Mohd Talib sejak 1987, berkata sebagai isteri beliau tidak pernah mempertikaikan dari mana datangnya wang yang diberi, sebaliknya menerima dengan penuh percaya bahawa ia daripada sumber halal.

“Sebagai isteri saya hanya menerima wang pemberian suami tanpa saya persoalkan berapa jumlahnya kerana saya sentiasa merasa cukup dengan pemberian suami. Lagipun, saya rasa tidak sopan sekiranya saya bertanya berapa yang suami saya hendak berikan atau yang sedang diberikan kerana wang itu pemberian suami saya.

“Saya juga tidak pernah mempersoalkan wang yang diberikan oleh suami saya, dan saya sangat percaya beliau memberikan hasil wang daripada sumber yang halal,” katanya ketika membaca kenyataan saksinya di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Menurut Fauziah, pendapatan suaminya bermula ketika bekerja di JKR pada 1985 sebelum berpindah ke JANS sekitar 1990-an. Pada masa sama, suaminya turut menceburi perniagaan pembinaan dan kejuruteraan bermula dengan Haris seterusnya Michael Wong dan adiknya, Fauzi, dengan hasil yang memberangsangkan.

Dalam kenyataan saksinya, Fauziah menyatakan wang dalam akaun bank diberikan oleh Ag Tahir dan pemindahan wang dari satu akaun ke akaun lain dibuat berdasarkan nasihat pegawai bank untuk tujuan mendapat pulangan lebih baik.

Mengenai beg tangan berjenama, Fauziah berkata ada yang dibelinya sendiri, ada yang dihadiahkan oleh suaminya sempena hari jadi dan ulang tahun, serta ada juga pemberian rakan perniagaan suaminya.

“Saya ada beli beg-beg berjenama dengan menggunakan duit yang diberikan oleh suami saya. Selain itu suami saya ada juga membelikan beg tersebut kepada saya sebagai hadiah hari jadi, hari ulang tahun dan lain-lain. Saya juga pernah menerima beg-beg sebagai hadiah daripada rakan perniagaan suami saya tapi saya tidak ingat satu persatu mana hadiah dan mana yang saya beli,” katanya yang pernah bekerja sebagai Setiausaha di Ko-Nelayan dari 1985 hingga 2013 sebelum menjadi suri rumah sepenuh masa.

Mengenai barang kemas, ada yang beliau beli menggunakan duit gaji sendiri, ada yang dibeli dengan wang suami, selain hadiah hari lahir, ulang tahun, serta warisan keluarga.

“Ada yang memang menggunakan wang suami saya, ada yang warisan daripada ibu bapa, pemberian mertua dan warisan daripada arwah datuk dan nenek saya. Saya boleh tunjukkan mana satu barang-barang kemas ini yang merupakan warisan daripada ibu bapa, mertua, dan arwah datuk nenek sekiranya saya diberi peluang oleh Mahkamah yang mulia ini untuk mengenal pasti barang-barang tersebut. Saya yakin saya juga boleh tunjukkan mana yang saya beli sendiri dan mana yang merupakan hadiah dari suami saya,” tambahnya.

Menurut Fauziah beliau telah ditangkap pada 28 Disember 2016 dan hanya dibebaskan pada 26 Januari 2017.

“Dengan apa yang berlaku ke atas suami dan diri saya terutamanya publisiti yang luas di seluruh negara dan kerap disentuh atau diulang sejak sembilan tahun lalu, saya merasa amat sakit dan sedih.

“Saya berasa malu dan dipulaukan oleh keluarga dan kawan kerana kes ini. Yang Arif, saya tidak ada melakukan apa-apa kesalahan melainkan menerima wang dan hadiah daripada suami saya.

“Saya suku Brunei yang beragama Islam mempunyai adat resam dan fahaman agama bahawa suami adalah ketua keluarga dan apa juga pemberiannya kami terima dengan ikhlas tanpa menyoal dari manakah punca wang tersebut.

“Saya tidak pernah terlintas dalam fikiran atau hati saya ada wang atau hadiah pemberian suami saya adalah daripada sumber yang haram. Bagi saya, kesemuanya adalah sumber yang halal sama ada dari gaji atau pendapatan suami saya melalui perniagaannya,” katanya sambil menangis.

Ag Tahir, 63, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram, manakala Fauziah menghadapi 19 pertuduhan sama serta dua pertuduhan bersama suaminya, melibatkan sejumlah wang tunai, akaun bank, barangan kemas dan beg tangan berjenama.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pelbagai lokasi di Kota Kinabalu, Sembulan dan Kuala Lumpur antara Oktober hingga November 2016.

Turut dibicarakan bersama ialah bekas timbalan pengarah JANS, Lim Lam Beng @ Lim Chee Hong, 69, yang menghadapi empat pertuduhan berasingan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim, manakala Ag Tahir dan Fauziah diwakili peguam Datuk Ansari Abdullah bersama Erveana Ansari. Lim pula dibela oleh Datuk Tan Hock Chuan, Baldev Singh dan Kelvin Wong.

Perbicaraan bersambung 22 Oktober depan.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/27/isteri-bekas-pengarah-jans-saya-hanya-terima-nafkah-suami-tidak-pernah-soal-asal-usul-wang/feed/ 0 82064
Bekas Pengarah JANS nafi hubungan baik dengan timbalan, dakwa pernah terima ugutan https://sabahmedia.com/2025/09/25/bekas-pengarah-jans-nafi-hubungan-baik-dengan-timbalan-dakwa-pernah-terima-ugutan/ https://sabahmedia.com/2025/09/25/bekas-pengarah-jans-nafi-hubungan-baik-dengan-timbalan-dakwa-pernah-terima-ugutan/#respond Thu, 25 Sep 2025 13:43:35 +0000 https://sabahmedia.com/?p=82006
Read Time:2 Minute, 38 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Mahkamah dimaklumkan bahawa hubungan antara bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Ag Mohd Tahir Mohd Talib, dengan bekas timbalannya, Teo Chee Kong, tidak semestinya baik walaupun mereka telah berkhidmat bersama lebih 20 tahun.

Dalam keterangannya, Ag Tahir menolak cadangan pihak pendakwaan bahawa Teo sentiasa patuh kepada arahan pegawai atasan sepanjang tempoh tersebut.

Beliau turut mendedahkan bahawa dirinya pernah menerima kata-kata berunsur ugutan ketika bertugas di jabatan itu, namun tidak pernah membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Ag Tahir menyatakan perkara itu semasa pemeriksaan balas (cross examine) oleh Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Jumaat di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mahadi: setuju atau tidak, semasa Teo Chee Kong telah bekerja bersama kamu lebih 20 tahun, dia adalah seorang yang patuh kepada arahan pegawai atasan, setuju?
A: Tidak setuju

Mahadi: Sepanjang masa kamu menjadi Pengarah JANS, beliau hanya seorang Jurutera Daerah Kota Kinabalu sehinggalah dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah JANS pada tahun 2015. Betul?
A: Betul.

Mahadi: Lebih 10 tahun dia berada di bawah kawalan dan tertakluk kepada apa sahaja arahan kamu berdasarkan gred jawatan. Setuju?
A: Betul.

Mahadi: Dalam tempoh itu, hubungan kamu dan dia adalah baik, setuju?
A: Tidak semestinya

Mahadi: Dan dalam tempoh itu juga, tidak pernah pada bila-bila masa dia atau mana-mana pihak ketiga seperti gangster mengugut mencederakan kamu atau keluarga dalam tempoh 12 tahun. Betul?
A: Tidak betul.

Mahadi: Jadi, dari 2003 hingga 2015, kamu pernah dipukul atau diugut oleh Teo atau gengsternya?
A: Dipukul tidak, tetapi berunsur ugut ada.

Mahadi: Saya cadangkan, tiada apa-apa laporan polis kepada mana-mana pihak yang dapat dikemukakan untuk menyokong cerita ugutan kamu, betul?
A: Betul

Mahadi: Dalam tempoh 12 tahun ini juga kamu tidak pernah pada bila-bila masa Teo menggunakan hubungan baiknya dengan menteri dan pegawai kementerian untuk menakut-nakutkan kamu
A: Tidak betul

Mahadi: kalau ada sudah pasti ada apa-apa laporan yang dibuat oleh kamu.
A: Tidak setuju.

Mahadi: kamu sebagai pengarah JANS, memandangkan terdapat kawalan terhadap Teo kamu juga boleh mengambil Tindakan terhadap Teo termasuk memindahkanya ke headquaters JANS, Betul?
A: Tak betul

Mahadi: Kamu tidak mempunyai apa-apa sebab untuk gerun atau takut dengan Teo berdasarkan kenyataan saksi kamu, setuju?
A: Tidak setuju

Mahadi: Berdasarkan kenyataan saksi kamu… kamu tiada sebarang sebab untuk ‘play safe’ dengan Teo kerana dia hanya dilantik sebagai Timbalan selepas 12 tahun kamu menjadi pengarah, setuju
A: Tidak setuju

Sementara itu, semasa pemeriksaan semula (re-examine) oleh peguam Datuk Ansari Abdullah, Ag Tahir mengakui pernah menerima kata-kata berunsur ugutan seperti: “Kalau mahu jadi pengarah, ikut saja.”

Ditanya lanjut, Ag Mohd Tahir berkata beliau tidak pernah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Turut dibicarakan bersama Ag Tahir, 63, ialah isterinya Fauziah Piut, 60, dan bekas timbalan pengarah Lim Lam Beng, 66.

Mereka berdepan dengan sejumlah 37 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang tunai dan simpanan bank berjumlah RM61.57 juta serta pemilikan barang mewah secara tidak sah antara Oktober dan November 2016.

Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim turut mengendalikan perbicaraan ini.

Ag Tahir dan Fauziah turut diwakili oleh Erveana Ansari, manakala Lim diwakili oleh Datuk Tan Hock Chuan, Baldev Singh, Karpaljit Singh dan Kelvin Wong.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/25/bekas-pengarah-jans-nafi-hubungan-baik-dengan-timbalan-dakwa-pernah-terima-ugutan/feed/ 0 82006
Bekas Pengarah JANS tidak lapor penemuan RM20 juta kerana dakwa bukan miliknya https://sabahmedia.com/2025/09/24/bekas-pengarah-jans-tidak-lapor-penemuan-rm20-juta-kerana-dakwa-bukan-miliknya/ https://sabahmedia.com/2025/09/24/bekas-pengarah-jans-tidak-lapor-penemuan-rm20-juta-kerana-dakwa-bukan-miliknya/#respond Wed, 24 Sep 2025 13:49:10 +0000 https://sabahmedia.com/?p=81938
Read Time:3 Minute, 11 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Ag Mohd Tahir Mohd Talib, mengakui tidak pernah membuat laporan kepada pihak berkuasa walaupun wang tunai RM20 juta ditemui di pantri pejabatnya.

Ag Tahir, 63, berkata beliau tidak membuat sebarang laporan kerana wang berkenaan bukan miliknya.

Beliau menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Zander Lim ketika pemeriksaan balas di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat.

Zander: Adakah kamu membuat laporan kepada pihak berkuasa mengenai penemuan RM20 juta yang dijumpai di dalam pantry pejabat anda?
Ag Tahir: Tiada

Zander: Ini adalah satu jumlah yang besar, sekiranya wang tersebut bukan milik kamu mengapa kamu tidak membuat laporan kepada mana-mana pihak?
Ag Tahir: Kerana ia bukan milik saya.

Menjawab soalan lain, Ag Tahir bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa beliau mempunyai akses penuh terhadap bilik pejabatnya termasuk pantri.

Beliau juga mengakui ada mengira secara kasar jumlah wang yang disimpan di pantri tersebut. Namun, Ag Tahir tidak bersetuju dengan cadangan pihak pendakwaan bahawa tindakannya mengira wang berkenaan menunjukkan seolah-olah wang itu adalah miliknya.

Ditanya mengapa perlu mengira wang tersebut jika benar ia bukan miliknya, Ag Tahir menjawab bahawa beliau hanya mengira secara kasar untuk mengetahui anggaran jumlah wang itu.

Sementara itu, menjawab soalan TPR Mahadi Jumaat, Ag Tahir berkata beliau tidak pasti sama ada wang tunai RM20 juta yang ditemui di pejabatnya dimiliki oleh pengarah sebelum beliau.

Menurutnya, ketika beliau berkhidmat sebagai timbalan pengarah, terdapat dua pengarah terdahulu yang menggunakan pejabat sama sebelum beliau mengambil alih jawatan itu.

Mahadi: Siapa pengarah sebelum kamu?
Ag Tahir: Seingat saya masa saya jadi timbalan…. Dua orang pengarah iaitu Cosmas Abah dan seorang lagi saya tidak ingat.

Mahadi: Daripada zaman dua orang pengarah sebelum kamu, mereka menggunakan bilik yang sama dengan bilik yang kamu gunakan tempoh hari, setuju?
Ag Tahir: setuju

Mahadi: Bilik yang mereka gunakan ini adalah bilik peribadi pengarah, betul?
Ag Tahir: ya bilik pengarah

Mahadi: So, adakah today kamu ingin sahkan duit RM20 juta ditemui dalam adalah milik kedua pengarah ini?
Ag Tahir: Kurang pasti

Mahadi: Based on wang2 tersebut, setuju jika saya katakan duit-duit itu bukan duit Fund pengarah JANS mahupun duit belong to JANS.
Ag Tahir: Saya kurang pasti.

Mahadi: Daripada jawapan kamu sebelum ini dalam keadaan di mana orang biasa tiba-tiba menemui RM20 juta cash dalam bilik peribadinya ianya akan menimbulkan satu perasaan yang sangat mencurigakan, setuju?
Ag Tahir: mungkin

Mahadi: Dan perasan curiga itu ditambah lagi dengan fakta duit itu tiada kaitan dengan duit milik jabatan, setuju?
Ag Tahir: kurang faham soalan

Mahadi: dalam bahasa mudah, kamu masuk office menemui RM20 juta cash dalam bilik peribadi dan kamu juga tahu bahawa duit itu bukanlah duit milik jabatan atau mana-mana orang. Setuju ianya akan menimbulkan satu perasan pelik dan amat mencurigakan?
Ag Tahir: mungkin

Pada prosiding sebelum ini, Ag Tahir memberi keterangan bahawa sejumlah besar wang tunai yang ditemui semasa serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2016 adalah milik pihak lain.

Beliau mendakwa wang tersebut sudah ada ketika beliau mula bertugas di pejabat berkenaan, sambil menambah hanya sebahagian kecil adalah miliknya.

Beliau menganggarkan kira-kira RM20 juta telah sedia ada, manakala kira-kira RM3 juta adalah wang miliknya.

LINK BERITA TERDAHULU:
https://sabahmedia.com/2025/06/26/sejumlah-besar-wang-ditemui-di-pejabat-jans-milik-orang-lain-ag-mohd-tahir/

Turut dibicarakan bersama Ag Tahir, 63, ialah isterinya Fauziah Piut, 60, dan bekas timbalan pengarah Lim Lam Beng, 66.

Mereka berdepan dengan sejumlah 37 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang tunai dan simpanan bank berjumlah RM61.57 juta serta pemilikan barang mewah secara tidak sah antara Oktober dan November 2016.

Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah turut mengendalikan perbicaraan ini.

Ag Tahir dan Fauziah diwakili peguam Datuk Ansari Abdullah serta Erveana Ansari, manakala Lim diwakili oleh Datuk Tan Hock Chuan, Baldev Singh, Karpaljit Singh dan Kelvin Wong.

Perbicaraan bersambung.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/24/bekas-pengarah-jans-tidak-lapor-penemuan-rm20-juta-kerana-dakwa-bukan-miliknya/feed/ 0 81938
Sejumlah besar wang ditemui di pejabat JANS milik orang lain – Ag Mohd Tahir https://sabahmedia.com/2025/06/26/sejumlah-besar-wang-ditemui-di-pejabat-jans-milik-orang-lain-ag-mohd-tahir/ https://sabahmedia.com/2025/06/26/sejumlah-besar-wang-ditemui-di-pejabat-jans-milik-orang-lain-ag-mohd-tahir/#respond Thu, 26 Jun 2025 12:22:53 +0000 https://sabahmedia.com/?p=76222
Read Time:2 Minute, 23 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) memberitahu mahkamah bahawa sejumlah besar wang yang ditemui di pejabatnya semasa serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2016 adalah milik orang lain.

Ag Mohd Tahir Mohd Talib berkata wang tersebut sudah berada di pejabat itu ketika beliau mula bertugas.

“Sebahagian besar wang di ‘pantry’ itu bukanlah milik saya. Wang itu memang sudah ada di situ semasa saya mula masuk ke pejabat tersebut. Tapi selepas itu dari semasa ke semasa saya ada simpan duit saya sendiri sebab adik saya kadang-kadang datang untuk meminta sumbangan politik. Adik saya adalah Bendahari Umno.

“Saya anggarkan sekitar RM20 juta memang sudah ada di ‘pantry’ itu selebihnya adalah lebih kurang RM3 juta adalah milik saya sendiri,” katanya.

Ag Tahir memberi keterangan itu di hadapan hakim Abu Bakar Manat ketika perbicaraan pembelaan bersambung hari ini.

Mengenai tanda “Go Away” pada pintu yang terletak di sebelah tingkap di dinding bahagian belakang meja di pejabat beliau, Ag Tahir menjelaskan: “Sejak saya masuk di bilik pejabat pengarah, tanda itu memang memang sudah sedia ada.”

Sebelum ini, dilaporkan sejumlah besar wang ditemui di dalam sebuah bilik yang mempunyai tanda “Go Away” pada pintu di pejabat bekas pengarah JANS.

Menjawab satu soalan ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, beliau tidak bersetuju bahawa beliau satu-satunya individu yang memegang kunci ‘pantry’ tersebut.

Mahadi: Dalam bilik pantry itu ada barang milik orang lain?
Ag Tahir: Ada

Mahadi: Boleh ceritakan apa milik orang lain? Apa yang dimaksudkan?
Ag Tahir: Sejumlah wang yang besar

Mahadi: Pada sepanjang masa ketika pengeledahan, kamu ada di bilik pejabat kamu dan menyaksikan proses pengeledahan tersebut.
Ag Tahir: Saya hanya duduk disitu tetapi tidak menyaksikan

Menjawab soalan lain, Ag Tahir memberi keterangan bahawa beliau tidak tahu isterinya, Fauziah mempunyai 19 akaun bank dan beliau juga tidak tahu jumlah wang dalam akaun-akaun tersebut mencecah RM2.2 juta.

Ag Tahir turut tidak bersetuju bahawa selain wang tunai berjuta ringgit, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga didakwa menemui 900 barangan yang merupakan barang kemas.

Seterusnya, Ag Mohd Tahir menyatakan beliau tidak tahu bahawa nilai semua barang kemas itu berjumlah RM1.7 juta pada tahun 2016, dan pada tahun 2023 seorang saksi pakar telah memberi keterangan bahawa nilainya telah meningkat kepada RM4.1 juta.

Turut dibicarakan bersama Ag Tahir, 63, ialah isterinya Fauziah Piut, 60, dan bekas timbalan pengarah Lim Lam Beng, 66.

Ketiga-tiga mereka menghadapi 37 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang tunai dan simpanan bank berjumlah RM61.57 juta serta pemilikan barang mewah secara tidak sah antara Oktober dan November 2016.

Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim turut mengendalikan perbicaraan ini.

Ag Tahir dan Fauziah diwakili oleh peguam Datuk Ansari Abdullah dan Erveana Ansari, manakala Lim dibela oleh Datuk Tan Hock Chuan, Baldev Singh, Karpaljit Singh, dan Kelvin Wong.

Perbicaraan akan bersambung pada 23 Julai.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/06/26/sejumlah-besar-wang-ditemui-di-pejabat-jans-milik-orang-lain-ag-mohd-tahir/feed/ 0 76222
Wang yang disita adalah keuntungan niaga – bekas pengarah JANS https://sabahmedia.com/2025/06/25/wang-yang-disita-adalah-keuntungan-niaga-bekas-pengarah-jans/ https://sabahmedia.com/2025/06/25/wang-yang-disita-adalah-keuntungan-niaga-bekas-pengarah-jans/#respond Wed, 25 Jun 2025 13:03:50 +0000 https://sabahmedia.com/?p=76181
Read Time:2 Minute, 2 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Sejumlah besar wang tunai yang didakwa dijumpai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah keuntungan daripada perniagaan yang dijalankannya bersama rakan kongsi.

Bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 63, mendedahkan perkara itu dalam perbicaraan kes pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Ag Tahir yang memberi keterangan di hadapan hakim Abu Bakar Manat, telah menyebut tiga rakan niaga termasuk abangnya sendiri, yang merupakan kontraktor dan terlibat dalam perniagaan tersebut.

Dalam pernyataan saksi bertulis setebal 155 muka surat Ag Tahir antara lain menjelaskan bahawa beliau telah memberikan modal perniagaan kepada mereka menggunakan simpanan sendiri namun tidak mengingati jumlahnya kerana ia berlaku sudah lama.

Beliau juga berkata bahawa tiada sebarang perjanjian hitam putih antara mereka, hanya perjanjian lisan.

Ag Tahir turut memberi keterangan bahawa selain keuntungan, wang yang didakwa dijumpai itu juga termasuk gajinya.

Tambahnya, beliau telah menerima keuntungan mencecah jutaan ringgit iaitu masing-masing RM5 juta, RM30 juta dan RM12 juta daripada rakan-rakan kongsinya.

Menurutnya keuntungan itu diterima dalam bentuk tunai dan beliau mengetahui anggaran jumlahnya kerana beliau ada mengira secara kasar hasil yang diterima daripada rakan-rakan niaganya.

Ag Tahir turut berkata bahawa kenderaan mewah dan barangan lain yang didakwa dijumpai padanya telah dibeli menggunakan wang keuntungan dan gajinya.

Sementara itu Ag Tahir juga menafikan semua dakwaan yang dibuat terhadapnya dalam kenyataan saksi oleh bekas timbalannya, Teo Chee Kong.

Ini termasuk sistem kutipan berpusat di mana “sumbangan” dikutip daripada kontraktor serta formula yang didakwa dilaksanakan dengan pengetahuan Ag Tahir.

“Saya tidak terlibat dalam sistem kutipan berpusat seperti yang dinyatakan, malah sistem itu telah lama wujud sejak tahun 1989 seperti yang disebut oleh Teo Chee Kong dalam kenyataan saksinya,” katanya.

Ag Tahir turut menyatakan bahawa kenyataan Teo adalah rekaan, tidak berasas dan hanya menggunakan namanya.

Teo menjadi Timbalan Pengarah selepas
Timbalan Pengarah jabatan tersebut, Lim Lam Beng @ Lim Chee Hong bersara.

Ag Tahir dibicarakan bersama isterinya Fauziah Piut, 60, dan Lim, 69.

Ketiga-tiga mereka berdepan 37 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang tunai dan simpanan bank berjumlah RM61.57 juta, serta pemilikan barangan mewah secara tidak sah antara Oktober hingga November 2016.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim.

Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili oleh peguam Datuk Hj Ansari Abdullah dan Erveana Ansari. Manakala Lim diwakili oleh peguam Datuk Tan Hock Chuan, Baldev Singh, Karpaljit Singh dan Kelvin Wong.

Perbicaraan akan disambung esok.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/06/25/wang-yang-disita-adalah-keuntungan-niaga-bekas-pengarah-jans/feed/ 0 76181