jeffrey – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sat, 11 Oct 2025 10:10:09 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png jeffrey – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Abidin persoal tindakan Jeffrey keluar GRS pada saat akhir https://sabahmedia.com/2025/10/11/abidin-persoal-tindakan-jeffrey-keluar-grs-pada-saat-akhir/ https://sabahmedia.com/2025/10/11/abidin-persoal-tindakan-jeffrey-keluar-grs-pada-saat-akhir/#respond Sat, 11 Oct 2025 10:09:58 +0000 https://sabahmedia.com/?p=83022
Read Time:1 Minute, 12 Second

RANAU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan, Datuk Abidin Madingkir mempersoalkan tindakan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah), Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada saat akhir sebelum Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

“Kenapa kita (dalam STAR) tinggalkan GRS sedangkan kita sama-sama membinanya?” katanya, merujuk kepada usaha para pemimpin gabungan itu dalam membina kepercayaan rakyat terhadap GRS sepanjang tempoh lima tahun.

Menurutnya, jika ada niat untuk keluar daripada gabungan tersebut, STAR sepatutnya berbuat demikian lebih awal, misalnya pada tahun 2022, dan bukannya di ambang PRN17 pada Oktober 2025.

“Kenapa pula bila hampir pilihan raya kita keluar? Jadi, kita tidak dapat menyetujui keputusan yang dibuat secara terburu-buru.

“Kita bertekad kekal dalam GRS kerana kita bina rumah ini bersama-sama, dan kita akan jaga rumah kita bersama-sama, bukan meruntuhkannya.

“Apabila saya turun ke kampung, saya selalu menggesa penduduk untuk menyokong kerajaan masa kini iaitu kerajaan GRS. Bayangkan jika saya beralih daripada gabungan, maknanya saya melanggar prinsip asal saya sendiri,” katanya.

Abidin yakin GRS mampu mengekalkan kestabilan politik di Sabah, sekali gus membawa arus pembangunan dan kemakmuran kepada rakyat kini dan pada masa depan.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Kejohanan Bola Sepak Tertutup PDM Kepangian/Suminimpod di Padang Bola Sepak Kampung Kepangian, pada Sabtu.

Turut hadir Ketua Daerah, OKK Muhasip Rauman; Pegawai Khas kepada Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling; Ketua Pegawai Pembangunan (CDO) Jipili Sigal; pemimpin setempat serta penduduk kampung.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/10/11/abidin-persoal-tindakan-jeffrey-keluar-grs-pada-saat-akhir/feed/ 0 83022
Jeffrey selesai beri keterangan, kerjasama penuh kepada pihak SPRM https://sabahmedia.com/2025/09/26/jeffrey-selesai-beri-keterangan-kerjasama-penuh-kepada-pihak-sprm/ https://sabahmedia.com/2025/09/26/jeffrey-selesai-beri-keterangan-kerjasama-penuh-kepada-pihak-sprm/#respond Thu, 25 Sep 2025 23:52:07 +0000 https://sabahmedia.com/?p=82008
Read Time:55 Second

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Presiden Parti STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, selesai memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini semalam.

Menurut Setiausaha Politiknya, Anuar Ghani, Dr Jeffrey hadir ke pejabat SPRM Kota Kinabalu pada jam 5.30 petang dan selesai memberi keterangan sekitar jam 11 malam.

“Beliau memberi kerjasama penuh kepada pihak penyiasat dan proses rakaman keterangan telah selesai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anuar menasihatkan semua pihak agar membiarkan siasatan berjalan tanpa sebarang gangguan selain tidak membuat spekulasi.

“Orang ramai dan para ahli juga digesa supaya menghormati kedaulatan undang-undang. Pada masa sama, kita tidak harus mengalihkan perhatian daripada isu-isu besar yang sedang dihadapi Sabah seperti tuntutan 40 peratus hasil, hak wilayah minyak dan gas, mitigasi banjir, perubahan iklim, keselamatan makanan serta pelbagai isu sosial yang mendesak,” katanya.

Beliau turut menyatakan kebimbangan bahawa keadaan ini boleh dimanipulasi bagi menjejaskan reputasi serta kewibawaan kepimpinan Sabah, khususnya mereka yang tegas menentang dominasi politik dari Semenanjung.

“Akhirnya, kuasa menentukan siapa yang mentadbir Sabah terletak di tangan rakyat negeri ini sendiri. Biarlah peti undi yang menentukan,” tegasnya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/09/26/jeffrey-selesai-beri-keterangan-kerjasama-penuh-kepada-pihak-sprm/feed/ 0 82008
Hormati hasrat rakyat adakan himpunan aman – Jeffrey https://sabahmedia.com/2025/08/27/hormati-hasrat-rakyat-adakan-himpunan-aman-jeffrey/ https://sabahmedia.com/2025/08/27/hormati-hasrat-rakyat-adakan-himpunan-aman-jeffrey/#respond Wed, 27 Aug 2025 08:47:37 +0000 https://sabahmedia.com/?p=80154
Read Time:1 Minute, 4 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Mereka yang mahu mengadakan himpunan solidariti atau perhimpunan aman bagi memperingati Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir wajar diberi peluang berbuat demikian, walaupun ia dijadualkan pada sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, itu adalah hak mereka dan kerajaan negeri memahami mengapa penganjur mahu melaksanakan himpunan berkenaan.

“Secara peribadi, saya berpandangan kita benarkan mereka adakan himpunan itu dan pada masa sama kita akan sesuaikan program kita agar tidak berlaku sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan penganjuran himpunan bertemakan ‘No Justice No Merdeka’ di negeri ini pada 31 Ogos.

Jeffrey menegaskan apa yang lebih penting adalah memastikan keamanan terpelihara dan sekiranya penganjur mempunyai ruang serta platform untuk menyuarakan pendapat tanpa menimbulkan kekacauan, ia tidak seharusnya menjadi masalah.

“Kita menghormati hasrat mereka,” katanya sambil menambah bahawa beliau dimaklumkan himpunan seumpama itu turut dirancang di beberapa negeri lain.

Zara, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai lalu, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di sebuah asrama sekolah agama di Papar pada 16 Julai.

Himpunan aman yang dianjurkan di beberapa daerah dan negeri sejak kejadian itu antara lain menuntut keadilan, pendedahan punca sebenar kematian serta tindakan terhadap pihak yang terbabit dalam kes buli berkenaan.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/27/hormati-hasrat-rakyat-adakan-himpunan-aman-jeffrey/feed/ 0 80154
Sabah kekal harmoni dengan keunikan kepelbagaian – Jeffrey https://sabahmedia.com/2024/12/25/sabah-kekal-harmoni-dengan-keunikan-kepelbagaian-jeffrey/ https://sabahmedia.com/2024/12/25/sabah-kekal-harmoni-dengan-keunikan-kepelbagaian-jeffrey/#respond Wed, 25 Dec 2024 07:05:29 +0000 https://sabahmedia.com/?p=65964
Read Time:1 Minute, 11 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menegaskan bahawa keunikan Sabah yang membolehkan rakyatnya meraikan pelbagai perayaan bersama-sama merupakan ciri istimewa negeri tersebut yang perlu dipelihara.

“Ini adalah karakter kita di Sabah. Dalam satu keluarga pun, terdapat pelbagai agama dan kepercayaan. Dalam keluarga saya sendiri juga begitu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Krismas anjuran bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Parti Solidariti Tanah Airku Sabah (STAR) di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA di sini hari ini.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah turut menzahirkan harapan agar perpaduan seperti ini dapat diterjemahkan ke dalam politik negeri, dengan matlamat mewujudkan kesatuan di semua peringkat.

Orang ramai sekitar Penampang, Kota Kinabalu dan Putatan hadir memeriahkan majlis serta menjamu selera dengan pelbagai juadah yabg disajikan bermula jam 10 pagi hingga 1 petang.

Sementara itu, ketika menjawab pertanyaan mengenai langkah menghadapi musim tengkujuh, Jeffrey menyatakan bahawa kerajaan negeri dan pusat telah menyediakan peruntukan khas untuk menangani bencana seperti banjir.

“Selain peruntukan, langkah pencegahan seperti menjaga sungai, hutan, dan alam sekitar adalah penting untuk mengurangkan impak perubahan iklim.

“Rakyat juga perlu lebih berhati-hati, seperti mengelakkan pembinaan rumah berhampiran sungai yang melanggar peraturan tanah dan berisiko terhadap keselamatan,” jelasnya.

Beliau turut menekankan bahawa kawasan penampan atau buffer zone di tepi sungai perlu dipatuhi, dengan jarak sekitar 40 rantai (lebih kurang 200 meter) tidak dibenarkan untuk pembangunan.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/12/25/sabah-kekal-harmoni-dengan-keunikan-kepelbagaian-jeffrey/feed/ 0 65964
Jangan heret saya dalam permainan kamu, Jeffrey beritahu Umno Sabah https://sabahmedia.com/2024/12/07/jangan-heret-saya-dalam-permainan-kamu-jeffrey-beritahu-umno-sabah/ https://sabahmedia.com/2024/12/07/jangan-heret-saya-dalam-permainan-kamu-jeffrey-beritahu-umno-sabah/#respond Sat, 07 Dec 2024 06:38:01 +0000 https://sabahmedia.com/?p=65015
Read Time:1 Minute, 20 Second

PETALING JAYA: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kitingan, mengecam seorang pemimpin Pemuda Umno kerana mendesak Hajiji Noor meletakkan jawatan sebagai ketua menteri Sabah dan mencadangkan beliau mengambil alih sebagai pentadbiran interim.

Menerusi laporan media FMT hari ini, Jeffrey membalas kenyataan Bendahari Pemuda Umno, Naim Kurniawan Moktar, pada Khamis lalu yang berkata Hajiji perlu menunjukkan kepimpinan dengan berundur untuk ‘memberi laluan kepada Kitingan yang memiliki kredibiliti, integriti, dan reputasi positif’.

Jeffrey, yang juga timbalan ketua menteri, berkata tidak wajar Naim membuat kenyataan seperti itu berdasarkan tuduhan dan spekulasi yang tidak berasas.

“Tiada sesiapa yang didakwa atau diheret ke mahkamah (berhubung dakwaan skandal rasuah melibatkan beberapa Adun), tidak seperti beberapa pemimpin Umno.

“Adalah tidak adil untuk mengaitkan nama saya dan menimbulkan kekeliruan, perpecahan, dan spekulasi dalam kalangan ahli Gabungan Rakyat Sabah (gabungan memerintah) … atau mungkin ini atas nama satu permainan (politik)?” katanya kepada FMT.

Naim sebelum ini berkata terdapat ‘krisis integriti, reputasi, dan kredibiliti’ berhubung skandal yang melibatkan Sabah Mineral Management, yang dikaitkan dengan Hajiji, beberapa menteri negeri, dan pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC) di Sabah.

Ketua Pemuda Umno Sabah Sufian Abd Karim sebelum ini juga berkata, sebagai ketua menteri dan individu bertanggungjawab ke atas hal ehwal negeri, Hajiji mesti mengambil tanggungjawab penuh berhubung perkara itu.

Semalam, media melaporkan bahawa, STAR menyatakan sokongan penuh terhadap Hajiji, dengan timbalan ketua penerangan parti itu, Ardino Diris, menyifatkan desakan agar ketua menteri meletakkan jawatan sebagai bermotifkan politik.

Ardino turut menuduh Umno sebagai ‘tangan ghaib’ dalam politik negeri. Beliau berkata Hajiji telah membuktikan dirinya sebagai seorang pemimpin yang kuat dan inklusif, serta membawa kestabilan yang amat diperlukan di Sabah. – FMT

]]>
https://sabahmedia.com/2024/12/07/jangan-heret-saya-dalam-permainan-kamu-jeffrey-beritahu-umno-sabah/feed/ 0 65015
Rang Undang-undang Penangkapan Karbon baharu tidak terpakai untuk Sabah – Jeffrey https://sabahmedia.com/2024/06/18/rang-undang-undang-penangkapan-karbon-baharu-tidak-terpakai-untuk-sabah-jeffrey/ https://sabahmedia.com/2024/06/18/rang-undang-undang-penangkapan-karbon-baharu-tidak-terpakai-untuk-sabah-jeffrey/#respond Tue, 18 Jun 2024 13:53:19 +0000 https://sabahmedia.com/?p=56214
Read Time:2 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Sabah bersetuju dengan pendirian kerajaan Sarawak bahawa cadangan Rang Undang-undang Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) baharu yang akan dibentangkan di Parlimen akhir tahun ini tidak terpakai kepada Negeri Borneo dan tidak sepatutnya meliputi Sabah seperti Sarawak, kata Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

“Terdapat pemisahan yang jelas dalam bidang kuasa secara perlembagaan bahawa kedua-dua perkara tanah dan perhutanan adalah perkara negeri di bawah senarai negeri dan di bawah bidang kuasa kerajaan Sabah” kata Jeffrey, yang juga menteri bertanggungjawab dan Pengerusi Pemandu Karbon Negeri dan Jawatankuasa Kabinet Pemantauan dalam kenyataannya hari ini.

Jeffrey berkata, Sabah juga merupakan negeri penggerak pertama yang melihat hasil dan peluang sosio-ekonomi yang timbul daripada pasaran global untuk kredit karbon.

“Negeri Sabah sebenarnya telah menandatangani perjanjian yang diperlukan untuk menjana sumber pendapatan baharu bagi negeri untuk jualan kredit karbon daripada 2 juta hektar hutan tropika sekali gus memeliharanya.

“Ia bukan sahaja memelihara hutan hujan tetapi juga menyediakan dana dan peluang yang sangat diperlukan untuk orang asli di Sabah dan pada masa yang sama mematuhi banyak daripada 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu seperti tiada kemiskinan, kesaksamaan jantina, air bersih dan sanitasi, kerja yang baik dan pertumbuhan ekonomi, mengurangkan ketidaksamaan, melindungi dan menggalakkan ekosistem mampan hutan dan menghentikan kehilangan biodiversiti.

“Lebih-lebih lagi di Sabah yang banyak bergantung kepada industri pelancongan dengan penekanan kepada persekitaran semula jadi dan asli, matahari, laut serta kepelbagaian bio yang banyak,”jelasnya.

Justeru itu, katanya, dengan program penjanaan kredit karbonnya, Sabah walaupun sudah menjadi negeri negatif karbon, akan terus menyumbang kepada matlamat perubahan iklim Malaysia dan membantu negara dalam mencapai Sumbangan Yang Ditentukan Secara Nasional (NDC).

“Malaysia komited untuk mengurangkan pelepasan karbon seluruh ekonomi tanpa syarat sebanyak 45% dari segi KDNK berbanding tahap 2005nya.

“Dengan program pengurangan karbonnya sendiri, Sabah sudah maju dan berada pada kedudukan yang baik untuk bertanggungjawab ke atas potensi kredit karbonnya di bawah undang-undang tanah dan perhutanan Sabah sendiri dengan atau tanpa cadangan undang-undang CCUS baharu kerajaan Persekutuan.

“Seperti yang diiktiraf di bawah Perkara 1(3) Perlembagaan Persekutuan, tanah Sabah termasuk tanah di bawah air dan sempadannya menjangkau ke pelantar benua sejak 1954,” katanya.

Menurutnya, faedah sosio-ekonomi program kredit karbonnya adalah selaras dengan visi negeri untuk membangunkan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021-2025 dan dalam proses menggubal undang-undang penangkapan dan penggunaan karbonnya sendiri serta mengemas kini Enakmen Hutan 1968 termasuk menjadikan “karbon” sebagai hasil hutan.

“Justeru, tidak ada keperluan untuk CCUS diperluaskan ke Sarawak dan Sabah seperti yang dimaklumkan dalam mesyuarat Majlis Perubahan Iklim Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri di Putrajaya Jumaat lalu,” tegas Jeffrey.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/06/18/rang-undang-undang-penangkapan-karbon-baharu-tidak-terpakai-untuk-sabah-jeffrey/feed/ 0 56214
Kawal Harga Bahan Kimia Pertanian Untuk Meringankan Beban Petani – Jeffrey https://sabahmedia.com/2021/09/26/kawal-harga-bahan-kimia-pertanian-untuk-meringankan-beban-petani-jeffrey/ https://sabahmedia.com/2021/09/26/kawal-harga-bahan-kimia-pertanian-untuk-meringankan-beban-petani-jeffrey/#respond Sun, 26 Sep 2021 13:20:46 +0000 https://sabahmedia.com/?p=6890
Read Time:1 Minute, 19 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KUALA LUMPUR: Harga racun rumpai, baja, dan bahan kimia pertanian lain telah meningkat sehingga 20 peratus akibat dari bekalan yang terhad, permintaan yang tinggi, dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berterusan yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dalam kenyataanya hari ini, beliau mengharapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengambil tindakan dengan cepat untuk mengawal harga racun rumpai, baja, dan bahan kimia pertanian lain untuk meringankan beban petani.

Menurut Jeffrey, Sabah mendapat sebahagian besar racun rumpai dan baja dari negara India dan China.

“Masalahnya ialah, akibat dari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita lambat menerima bekalan bahan kimia pertanian, menyebabkan harga bagi bekalan tempatan naik. Kenaikan caj pengangkutan memburukkan lagi keadaan ini, ”katanya.

Jeffrey, yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan, menyatakan bahawa kos bahan mentah yang digunakan untuk pembuatan barang yang siap juga meningkat dengan pesat.

Sebilangan besar bahan mentah ini juga berasal dari China dan India.

“Pada masa ini, Malaysia mengalami kekurangan bekalan racun rumpai dan bekalan baja. Bagaimanapun permintaan, tidak menurun,” katanya.

Jeffrey berkata beliau telah menerima beberapa aduan daripada petani tempatan di Sabah, yang mengatakan kenaikan harga baja, racun rumpai dan bahan kimia pertanian jauh melebihi jangkaan.

Ramai pemain industri bimbang harga akan kekal pada tahap yang lebih tinggi daripada yang difikirkan sebelumnya kerana tidak ada petanda yang inventori sedang dibina semula.

“Pada masa yang sama, saya berharap kedai pertubuhan petani di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan persekutuan dapat membantu petani dengan menjual bahan kimia pertanian dan baja dengan harga yang lebih berpatutan,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/09/26/kawal-harga-bahan-kimia-pertanian-untuk-meringankan-beban-petani-jeffrey/feed/ 0 6890
Jeffrey Lawat Tapak Jalan Raya Runtuh Kota Kinabalu – Tambunan https://sabahmedia.com/2021/09/20/jeffrey-lawat-tapak-jalan-runtuh-kota-kinabalu-tambunan/ https://sabahmedia.com/2021/09/20/jeffrey-lawat-tapak-jalan-runtuh-kota-kinabalu-tambunan/#respond Mon, 20 Sep 2021 11:36:57 +0000 https://sabahmedia.com/?p=6644
Read Time:51 Second

TAMBUNAN: Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan melawat tapak jalan raya runtuh di Jalan Kota Kinabalu-Tambunan berhampiran Air Terjun Masakob di Tambunan disini petang tadi.

Beliau ditemani Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik, Pegawai Daerah Tambunan Jumain Abdul Ghani, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah (Tambunan) Ir Calvin Justin dan Renjer Hutan Harry Michael.

Jeffrey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan diberi taklimat mengenai sejauh mana kerosakan pada jalan tersebut dan anggaran masa yang diperlukan untuk membaikinya.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya akan memohon kelulusan daripada Jabatan Perhutanan Sabah untuk membenarkan pembukaan jalan alternatif di bawah reserve perhutanan berhampiran lokasi untuk pengguna kenderaan.

Jeffrey merakamkan penghargaan kepada pelbagai jabatan dan kakitangan yang bekerja tanpa lelah untuk memperbaiki keadaan itu dan beliau berharap pengguna jalanraya akan bersabar ketika jalan alternatif itu dibuat, yang mungkin mengambil masa tiga minggu.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tambunan Larry Robert, Pegawai Pembangunan Daerah Terrence Yong dan Penolong Pegawai Pembangunan Daerah Vitus Ikon.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/09/20/jeffrey-lawat-tapak-jalan-runtuh-kota-kinabalu-tambunan/feed/ 0 6644
Jeffrey Sokong Keputusan Kerajaan Sabah Melonggarkan SOP COVID-19 https://sabahmedia.com/2021/06/30/jeffrey-sokong-keputusan-kerajaan-sabah-melonggarkan-sop-covid-19/ https://sabahmedia.com/2021/06/30/jeffrey-sokong-keputusan-kerajaan-sabah-melonggarkan-sop-covid-19/#respond Wed, 30 Jun 2021 05:56:07 +0000 https://sabahmedia.com/?p=2279
Read Time:59 Second

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Jeffrey Kitingan menyokong penuh keputusan Kerajaan Sabah melonggarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19  seperti diumumkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor baru-baru ini.

Katanya, kabinet Sabah telah berbincang dan semua bersetuju untuk melonggarkan SOP COVID-19 antaranya dibenarkan makan dalam restoran mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ia dilihat lebih mudah dikawal mengikut SOP berbanding membuat majlis kenduri di kampung yang sukar dikawal.

“Kelonggaran SOP ini mengambil kira pengurusan situasi kes COVID-19 di negeri ini  yang berada pada tahap terkawal dan lebih baik dari tempat lain,”kata Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah.

Menurutnya lagi, setakat ini kerajaan negeri menangani kes COVID-19 di Sabah dengan sebaiknya.

Ditanya mengenai rentas daerah, Jeffrey berkata bahawa, zon hijau sepatutnya dibenarkan menjalankan aktiviti-aktiviti seperti biasa tetapi tidak membenarkan orang luar masuk ke kawasan zon hijau, manakala bukan zon hijau tidak dibenarkan menjalankan sebarang aktiviti biasa kerana untuk mengelakkan penularan kes COVID-19.

“Manakala pekerja yang hilang pekerjaan di negeri ini seharusnya dihantar balik ke negara asal mereka dan tidak ada makna mereka terus tinggal di sini jika tiada pekerjaan,” tambahnya.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/06/30/jeffrey-sokong-keputusan-kerajaan-sabah-melonggarkan-sop-covid-19/feed/ 0 2279
Jeffrey Menghadap Agong, Isu Darurat dan Covid-19 https://sabahmedia.com/2021/06/15/jeffrey-menghadap-agong-isu-darurat-dan-covid-19/ https://sabahmedia.com/2021/06/15/jeffrey-menghadap-agong-isu-darurat-dan-covid-19/#respond Tue, 15 Jun 2021 11:06:57 +0000 https://sabahmedia.com/?p=1298
Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan menerima menghadap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan secara maya pada pagi Isnin (14 Jun) untuk mendengar pandangan mengenai Covid-19 dan isu darurat.


Dalam satu kenyataan hari ini, Jeffrey berkata semasa pertemuannya dengan Yang Di-Pertuan Agong, beliau telah menyuarakan rekomendasi tentang bagaimana kerajaan dapat menyelesaikan krisis pandemik Covid-19.


“Saya mencadangkan kepada tuanku bahawa status ‘darurat’ harus dikekalkan buat sementara waktu sehinggalah situasi stabil dan isu-isu lain seperti isu keselamatan dan politik, akan selesai dengan sendirinya.


“Saya juga menekankan pengajaran yang kita semua harus ambil dari Sabah di mana pilihanraya pada September tahun lalu telah memicu gelombang ketiga Covid-19 di Malaysia.


“Bahkan setelah hampir sembilan bulan, gelombang ketiga ini masih belum menunjukkan tanda-tanda mereda,” katanya.


Timbalan Ketua Menteri itu juga berkata bahawa situasi pandemik Covid-19 di Malaysia tidak boleh dilihat secara terpisah melainkan dibandingkan dengan negara-negara lain.

Beliau berkata, Malaysia bukan satu-satunya negara di dunia yang telah mengisytiharkan darurat untuk menangani krisis ini malah lebih daripada 70 negara lain telah mengambil langkah yang sama untuk memerangi Covid-19.


Pada masa yang sama, Jeffrey berkata program vaksinasi di Sabah terlalu perlahan dan salah satu penyebabnya ialah infrastruktur yang kurang baik, terutama sistem telekomunikasi.


“Ada keperluan mendesak untuk meningkatkan program kesedaran vaksinasi, dan Kerajaan Sabah melakukan segala yang termampu untuk membantu rakyat, baik secara sosial mahupun ekonomi.

“Pada pendapat saya, pusat vaksinasi harus lebih mudah diakses, dan semua klinik kesihatan awam, swasta dan desa harus mempunyai akses ke vaksin,” katanya.


Beliau turut menyarankan agar Kementerian Kesihatan mencontohi negara lain, seperti India, dengan menyediakan perkhidmatan vaksinasi bergerak di kawasan luar bandar.

Jeffrey mengatakan selain isu-isu ini, Yang Di-Pertuan Agong menjelaskan bahawa baginda tidak berniat membincangkan soal politik pada pertemuan itu.

Dalam ucapan penutupnya, Yang Di-Pertuan Agong mengucapkan terima kasih kepada Jeffrey atas cadangan-cadangan beliau dan mendoakan yang terbaik bagi Sabah dalam memerangi pandemik COVID-19 di wilayah Sabah.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/06/15/jeffrey-menghadap-agong-isu-darurat-dan-covid-19/feed/ 0 1298