KOTA KINABALU : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Sabah telah membuka kaunter khas urusan Tukar Hak Milik (THM) Kenderaan Diesel bermula 4 Julai lalu dan beroperasi setiap Sabtu dan Ahad.
Pengarah JPJ Sabah Datuk Mohd Harris Ali berkata, kaunter khas yang dibuka bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang itu adalah bagi memudahkan orang ramai melaksanakan urusan pertukaran hak milik kenderaan diesel untuk tujuan permohonan BUDI Diesel.
Beliau berkata, kaunter yang dibuka sehingga 26 Julai depan selaras dengan pengumuman Kerajaan dalam memastikan pemilik dan pengguna sebenar kenderaan diesel yang layak dapat melengkapkan urusan pertukaran hak milik dengan lebih mudah, sekali gus melancarkan proses permohonan BUDI Diesel.
“Bagi memberikan kemudahan yang lebih menyeluruh kepada orang ramai, kaunter khas urusan THM Kenderaan Diesel akan dibuka di lokasi-lokasi seperti bahagian pelesenan kenderaan, Ibu Pejabat JPJ Negeri Sabah.
“Selain itu, urusan THM juga boleh dibuat di semua 16 pejabat JPJ Cawangan di seluruh Negeri Sabah; dan tiga pejabat JPJ UTC di Negeri Sabah. Kaunter Khas JPJ UTC Keningau akan beroeperasi mulai 12 Julai 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Mohd Harris berkata, sepanjang tempoh 1 Julai hingga 10 Julai 2026, JPJ Negeri Sabah telah berjaya memproses sebanyak 885 urusan THM kenderaan diesel.
Beliau berkata, dari jumlah itu sebanyak 733 melibatkan kenderaan jenis Pikap dan 152 melibatkan kenderaan jenis Jip.
Menurutnya, pencapaian itu membuktikan sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai terhadap inisiatif Kerajaan dan komitmen JPJ Negeri Sabah dalam memudah cara urusan pertukaran hak milik kenderaan diesel.
“Orang ramai dinasihatkan untuk menyemak syarat kelayakan serta maklumat berkaitan permohonan BUDI Diesel melalui portal rasmi BUDI MADANI menyediakan dokumen yang lengkap sebelum hadir ke kaunter bagi memastikan urusan dapat diproses dengan cepat dan lancar.
“JPJ Negeri Sabah akan terus komited dalam menyediakan penyampaian perkhidmatan yang cekap, efisien dan mesra pelanggan serta menyokong segala inisiatif Kerajaan demi kesejahteraan rakyat,’ katanya. – SABAH MEDIA
]]>KOTA KINABALU : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah menyita sebuah kenderaan mewah jenis Toyota Land Cruiser dalam satu operasi khas Ops Luxury di Jalan Lintas Kepayan, di sini, pada Selasa.
Pengarah JPJ Sabah Datuk Mohd Harris Ali berkata, kenderaan persendirian itu dikesan melakukan kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh selain tidak memiliki perlindungan insurans yang sah.
Beliau berkata, kesalahan tersebut melanggar peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) iaitu Seksyen 23(1) dan Seksyen 90(1).
“Kenderaan tersebut telah disita untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Mohd Harris berkata, operasi penguatkuasaan seperti Ops Luxury akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya dalam kalangan pengguna kenderaan.

Katanya, pihak jabatan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan yang berkuat kuasa.
Dalam pada itu, pihaknya turut mengingatkan semua pemilik kenderaan supaya memastikan Lesen Kenderaan Motor serta perlindungan insurans sentiasa aktif.
Menurutnya, langkah itu penting bukan sahaja untuk mematuhi undang-undang, tetapi juga bagi melindungi keselamatan semua pengguna jalan raya.- SABAH MEDIA / FOTO JPJ SABAH
]]>PAPAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah melaksanakan Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan di sepanjang Jalan Pan Borneo Papar–Jalan Bukit Manggis Benoni, termasuk kawasan berhampiran Hap Seng Quarry Sdn Bhd.

Operasi ini adalah susulan aduan orang awam mengenai pergerakan lori berat yang melanggar peraturan serta membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, operasi yang dijalankan dari 20 hingga 23 Januari 2026 itu akan diteruskan secara berterusan dan bersasar terhadap pemandu serta pemilik kenderaan perdagangan yang melanggar undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334).
“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan serius dan berisiko tinggi telah dilakukan. Tindakan penguatkuasaan diambil termasuk pengeluaran saman, sitaan kenderaan dan tindakan mahkamah,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut beliau, fokus pemeriksaan meliputi kesalahan utama seperti lebih muatan, muatan panjang dan berbahaya, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, insurans tamat tempoh atau tidak sah, Lesen Memandu Malaysia (LMM) tamat tempoh atau tiada, ketiadaan Lesen Vokasional (GDL) serta sijil perakuan pemeriksaan berkala yang tamat tempoh.
Beliau berkata, sepanjang tempoh operasi tersebut, sebanyak 627 kenderaan diperiksa, 10 kenderaan ditimbang, 59 kenderaan diambil tindakan, 88 notis saman dikeluarkan dan dua kenderaan disita.
“Jumlah kompaun yang dikenakan adalah sebanyak RM12,150, manakala satu kes lebih muatan telah dibawa ke mahkamah,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Harris menegaskan JPJ Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengusaha atau pemandu yang mengutamakan keuntungan sehingga mengabaikan aspek keselamatan jalan raya.
“Operasi ini akan diteruskan dan JPJ tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan undang-undang sedia ada,” tegasnya.
]]>Kota Kinabalu : Sebanyak 665 kenderaan telah diperiksa dalam Operasi Khas Bersepadu JPJ Negeri Sabah yang dijalankan di Jalan UMS di sini Sabtu lalu.
Pengarah JPJ Negeri Sabah, Mohd Harris Ali berkata, daripada jumlah tersebut, 155 kenderaan dikenakan tindakan melalui saman Notis manakala bagi kesalahan P22, 145 saman telah dikeluarkan.
“Tiada lesen memandu kompetensi (CDL) merupakan kesalahan paling tinggi yang direkodkan manakala enam buah motosikal dan tiga kenderaan telah disita” katanya pada sidang media semasa Operasi Khas Bersepadu JPJ Negeri Sabah.

Harris berkata, operasi tersebut dijayakan dengan penglibatan 111 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi antaranya JPJ, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan PDRM Sabah, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sabah.
Dalam sidang media yang sama, Harris turut berkongsi sebanyak 28,183 kenderaan telah diperiksa dalam Operasi Khas Gempur Teknikal di Sabah yang telah berlangsung pada 25 Disember 2024 hingga 20 Februari.
“Sebanyak 5,225 notis saman dikeluarkan yang melibatkan 1,931 kenderaan manakala 16 kenderaan telah disita atas kesalahan melanggar undang-undang jalan raya.
“Antara kesalahan utama yang dikesan adalah, Memandu tanpa lesen vokasional 620 kes, Tiada lesen memandu kompetensi (CDL) 442 kes, Lesen kenderaan tamat tempoh (459 kes), Tiada perlindungan insurans sah (212 kes), Membawa muatan berlebihan (210 kes) dan Membawa muatan berbahaya (200 kes)” katanya.
Selain itu, JPJ Sabah turut berkongsi perkembangan berkaitan tindakan mahkamah terhadap kesalahan di bawah Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) 1987 (Akta 334), khususnya membabitkan kesalahan membawa lebih muatan.
“Pada tahun 2024, sebanyak 701 kes LPKP telah direkodkan, dengan 139 kes telah selesai manakala 562 kes lagi masih dalam proses mahkamah dan RM487 700 jumlah denda mahkamah yang telah dikutip bagi kes yang selesai” katanya.
Bagi tahun 2025 pula, sebanyak 12 kes telah selesai dengan jumlah denda terkumpul sebanyak RM22,500 setakat 17 Februari tahun ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa di bawah Seksyen 19(3) Akta LPKP 1987, kesalahan membawa lebih muatan boleh dikenakan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Harris berkata, JPJ Sabah akan terus memperketatkan penguatkuasaan terutama menjelang bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
“Unit Keselamatan Jalan Raya akan melaksanakan program advokasi keselamatan bersama pelbagai pihak bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau berharap semua pemandu mematuhi peraturan dan mengamalkan pemanduan berhemah bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya.
]]>Kuala Lumpur : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diseru untuk melaksanakan Pemantauan serta Penguatkuasaan (2Ps) yang lebih tegas terhadap pergerakan kenderaan logistik yang menggunakan jalan raya Persekutuan mahupun negeri di setiap daerah di Sabah.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Ahli Parlimen Putatan Datuk Ir Shahelmey Yahya ketika berucap menyampaikan perbahasan menjunjung kasih Yang Di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada Selasa.
Katanya, penguatkuasaan tersebut perlu dilaksanakan secara berkala bagi memastikan kekerapan aktiviti pengangkutan industri yang menggunakan jalan raya dapat dikawal mengikut had muatan yang munasabah.
“Seperti Menteri Pengangkutan sedia maklum, masalah kerosakan jalan raya yang belum sempat diselenggara disebabkan oleh kekangan peruntukan ditambah lagi dengan banyak jalan-jalan yang sudah melebihi tempoh jangka hayat reka bentuk berisiko besar mengalami kerosakan akibat beban muatan yang berlebihan.
“Justeru, saya minta perhatian Menteri Pengangkutan untuk sentiasa melaksanakan ‘tall order’ kepada JPJ negeri Sabah agar aspek 2Ps yang saya nyatakan tadi benar-benar dipergiatkan.
“Keseriusan pelaksanaan 2Ps tersebut akan mendisiplinkan setiap syarikat yang mengendalikan operasi logistik untuk tidak sewenang- wenangnya melanggar pematuhan had muatan yang diwartakan bagi satu-satu jalan raya Persekutuan di negeri tersebut.
“Selain berupaya menjadikan jalan raya benar-benar kondusif dan selamat untuk digunakan oleh rakyat secara rutin, penegasan JPJ dalam soal penguatkuasaan mampu mengurangkan beban kewangan tambahan JKR untuk menyelenggara jalan raya yang terdedah kepada kerosakan,” katanya.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, pihaknya turut memohon kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) Malaysia untuk menimbangkan pertambahan wakil ahli dari Sabah didalam Lembaga Jurutera Malaysia (LJM).
Katanya, pada masa ini, hanya ada seorang wakil negeri Sabah didalam LJM yang bersifat daripada Pengarah Jabatan Kerajaan.
“Adalah dicadangkan agar ada pertambahan seorang lagi ahli yang mewakili pengamal industri dari negeri Sabah.
“Dengan pertambahan itu, adalh diharapkan input yang lebih luas dan relevan dalam industri dapat dimanfaatkan oleh LJM,” katanya. – SABAH MEDIA
]]>Kota Kinabalu : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah mengambil tindakan terhadap 635 kenderaan setakat empat hari operasi khas penguatkuasaan sempena Tahun Baru Cina bermula 20 Januari lalu.
Pengarah JPJ Sabah Mohd Harris Ali berkata, dalam tempoh itu, sebanyak 7,263 kenderaan telah diperiksa di seluruh Sabah dan 1,256 Notis Saman JPJ(P)22 telah dikeluarkan.

“Ini merangkumi tiga kesalahan tertinggi iaitu 259 kes tiada Lesen Memandu (CDL), 299 kes Lesen kenderaan tamat tempoh dan tiada perlindungan insuran sebanyak 214 keping.
“Selain itu, JPJ turut mengeluarkan 51 Notis Saman JPJ(P)23, 114 Notis Arah Periksa, dua Notis Temu Siasat, dua Notis Penahanan Kenderaan, tujuh Notis Arah Timbang dan 79 keping PG.1,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Pemeriksaan Bas Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2025, di sini Jumaat lalu.
Mohd Harris berkata, melalui operasi khas sehingga 9 Februari depan, JPJ memfokuskan kepada sembilan kesalahan utama Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan kaedah-kaedah di bawahnya.
“Kesalahan-kesalahan itu merangkumi memandu melebihi had laju, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan dan memotong barisan, menggunakan telefon bimbit, tidak memakai tali pinggang kalendar, memandu kenderaan berat di lorong laju serta lebih muatan.

“JPJ juga melaksanakan sekatan pemanduan kenderaan perkhidmatan barangan selama empat hari, sebelum dan selepas perayaan Tahun Baru Cina iaitu pada 27 dan 28 Januari serta satu hingga 2 Februari 2025.
“JPJ Negeri Sabah menyeru kepada semua rakyat Malaysia khasnya di Sabah agar menggunakan aplikasi MyJPJ sebagai platform utama e-aduan selain SISPAA, [email protected] dan [email protected] bagi membantu pihak JPJ mengambil tindakan pantas kepada pemandu yang tidak mematuhi undang-undang lalu lintas yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau juga memohon agar pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan, memastikan kenderaan masing-masing diselenggara dengan baik dan selamat serta merancang perjalanan ke destinasi yang dituju.
]]>Kota Kinabalu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah semalam menerima lima Unit Kenderaan Operasi (Penguatkuasa) bagi memantapkan lagi aspek penguatkuasaan.
Penyerahan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah di Ibu Pejabat JPJ:Sabah bersempena dengan lawatan kerjanya ke negeri ini.
Tiga unit tersebut akan ditempatkan di bahagian Ibu pejabat JPJ Sabah manakala JPJ Cawangan Tawau dan Sandakan masing-masing menerima satu unit.

Hasbi bersama pengurusan tertinggi JPJ Sabah turut menghadiri sesi townhall tertutup di Bilik Mesyuarat Rafflesia sebelum menyantuni warga jabatan penguatkuasaan berkenaan.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Jana Santhiran Muniayan, Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli dan Pengarah JPJ Sabah, Harris Ali.
]]>Kota Kinabalu : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah berjaya mengeluarkan sebanyak 7,988 keping notis saman kepada 3,865 kenderaan atas pelbagai kesalahan dalam operasi khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) yang dilaksanakan selama 20 hari berakhir 30 Jun lalu.
Pengarah JPJ Sabah Mohd Harris Ali berkata, notis saman yang dikeluarkan itu adalah melibatkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 serta Kaedah-Kaedah di bawah Pengangkutan Jalan.
Katanya, secara keseluruhan sebanyak 34,652 buah kenderaan telah diperiksa sepanjang tempoh operasi itu diadakan.
“Sebanyak 156 buah kenderaan telah disita manakala kesalahan tertinggi yang dicatatkan sepanjang operasi itu adalah tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) iaitu sebanyak 2,579.
“Selain itu, kesalahan kedua tertinggi direkodkan adalah Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh dengan jumlah 1,668, diikuti dengan kesalahan tiada Insuran dengan jumlah 1,199,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Harris berkata, pihaknya turut mengeluarkan 120 notis saman atas pelbagai kesalahan menerusi pemeriksaan terhadap 2,439 kenderaan perkhidmatan awam (KPA).
Selain itu katanya, hasil penyamaran penumpang terhadap bas ekspres yang beroperasi sepanjang tempoh operasi turut berjaya mengeluarkan sebanyak lima notis saman.
“Ia melibatkan kesalahan memotong di garisan berkembar, menurunkan dan mengambil penumpang ditempat tidak dibenarkan dan tatakelakuan pemandu (merokok).
“JPJ Negeri Sabah akan meneruskan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan semua pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JPJ SABAH
]]>KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah menyambut baik cadangan memasang iklan di bas sekolah, bagi membantu pengusaha mempunyai sumber pendapatan lain, kata Pengarah JPJ Sabah Dato Abdul Rahman Mohd Zakaria.
Selepas pertemuan dengan Gee Tien Siong, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Luyang, Abdul Rahman meminta contoh pelekat yang akan digunakan bagi tujuan semakan dan pertimbangan.
Abdul Rahman berkata, jika pelekat tersebut memenuhi kriteria yang ditetapkan, ia akan diseragam dan boleh digunakan untuk semua iklan bas sekolah.
Sementara itu, menurut Ketua Kejuruteraan JPJ Sabah, Mohammad Rashid Ibrahim, pada masa kini, terdapat satu set undang-undang dan peraturan yang terpakai untuk pengiklanan di bas sekolah dan teksi.
“Pelekat iklan tidak boleh menutupi lebih daripada 40 peratus badan kenderaan dan dilarang sama sekali pada cermin depan.
“Selain itu, iklan mesti ditapis untuk sebarang kandungan sensitif,” jelasnya.
Terdahulu, Gee mengadakan kunjungan hormat kepada Abdul Rahman berhubung cadangan itu, memandangkan kesulitan dan kesusahan yang dialami pengusaha bas sekolah dalam norma baharu pasca Covid, dimana para ibu bapa cenderung memilih menghantar anak mereka ke sekolah dengan kereta persendirian untuk mengelakkan Covid.
“Ini menyebabkan pengendali bas sekolah menghadapi dilema kekurangan penumpang dan dalam masa yang sama mereka juga perlukan pendapatan untuk menampung rutin harian mereka, saya berharap dengan usaha ini sedikit sebanyak mereka dapat memperoleh pendapatan tambahan daripada pengiklanan,” kata Gee.
]]>