KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah akan mengemukakan cadangan penambahbaikan kemudahan dan keselamatan di Jalan Sepanggar susulan kemalangan yang mengorbankan dua beranak selepas dihempap kontena pada 18 Oktober lalu.
Pengarahnya, Datuk Mohd Harris Ali berkata, tinjauan ke lokasi kejadian semalam dilakukan bagi menilai keadaan sebenar, mengenal pasti isu keselamatan serta meneliti langkah penambahbaikan bagi mengurangkan risiko kejadian seumpama itu berulang.
Kemalangan itu berlaku apabila muatan kontena terbalik ketika proses pemindahan kontena ke atas sebuah treler sebelum menghempap Toyota Avanza yang dinaiki mangsa bersama anak perempuannya.
Tinjauan itu turut disertai Timbalan Pengarah JPJ Negeri Sabah, Erick Anak Jusiang, Ketua Bahagian Penguat Kuasa, Misnan Tamimi serta 27 pegawai dan anggota JPJ Sabah.
Menurut Mohd Harris, hasil pemerhatian mendapati kawasan jalan raya berkenaan tidak sesuai dijadikan lokasi pemunggahan atau pemindahan kontena kerana keadaan jalan yang sempit.
“Aktiviti berkenaan sepatutnya dilakukan di dalam kawasan pelabuhan atau depot kontena yang diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“JPJ Sabah turut mendapati terdapat pengusaha yang meletakkan kontena di bahu jalan, termasuk di atas longkang, sehingga menimbulkan ancaman keselamatan kepada pengguna jalan raya selain berpotensi merosakkan infrastruktur jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, dalam operasi khas yang dijalankan pada pada Isnin (19 Oktober) Mohd Harris betkata, sebanyak 65 kenderaan dikenakan tindakan, manakala 109 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Katanya, kesalahan tertinggi membabitkan Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memberhentikan atau membiarkan kenderaan berhenti di jalan dalam keadaan yang boleh membahayakan, menghalang atau menyusahkan pengguna jalan raya lain.
“Kesalahan itu boleh membawa hukuman denda antara RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara antara satu hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan,” tegasnya.
Menurutnya, statistik penguatkuasaan JPJ Sabah di sekitar Jalan Sepanggar turut menunjukkan peningkatan jumlah notis daripada 397 pada 2025 kepada 486 pada 2026 setakat ini.
“Tindakan berterusan itu bertujuan menangani kesalahan parkir dan pemberhentian kenderaan yang boleh menjejaskan keselamatan serta kelancaran lalu lintas di kawasan berkenaan.
“JPJ Sabah akan membangkitkan kepada pihak berwajib keperluan mendesak menyediakan kawasan bersesuaian sebagai depot penyimpanan kontena, ruang menunggu kenderaan perdagangan serta lokasi pemunggahan muatan yang selamat,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, cadangan pemasangan bonggol jalan, pembaikan permukaan jalan, penambahbaikan pencahayaan dan pelebaran bahu jalan menuju ke Pelabuhan Sepanggar turut perlu dipertimbangkan bagi mengurangkan risiko kemalangan, khususnya pada waktu malam.
“JPJ Sabah merakamkan ucapan takziah atas kehilangan dua nyawa dalam kejadian berkenaan dan berharap tragedi itu menjadi peringatan kepada semua pihak supaya sentiasa mengutamakan keselamatan, mematuhi peraturan serta mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang,” katanya.
]]>Oleh Erdie Ab Wahid
PENAMPANG: Sebuah Perodua Myvi yang tular di media sosial selepas terlibat dalam kejadian dikejar sepasukan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah baru-baru ini adalah antara 13 kenderaan yang disita dalam Ops Ekstrem.
Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali, berkata operasi yang dilaksanakan sejak 6 September lalu itu memberi fokus kepada kesalahan teknikal serta pengubahsuaian kenderaan secara ekstrem yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan.

Katanya, sebanyak 24 kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi berkenaan, manakala 81 notis dikeluarkan.
“Sebanyak 24 kenderaan telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan dalam Ops Ekstrem ini.
“JPJ telah mengeluarkan 81 notis merangkumi 34 notis JPJ 22 (saman), 19 notis Seksyen 61(1) iaitu arahan periksa, 15 notis PG1 bagi larangan penggunaan kenderaan dan 13 notis di bawah Seksyen 64(1) iaitu kenderaan yang disita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat JPJ Sabah, di sini, hari ini.
Mohd Harris berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk pengubahsuaian bentuk dan peralatan kenderaan secara ekstrem, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, kesalahan berkaitan sistem ekzos, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans serta penggunaan cermin gelap.
Menurutnya, kesalahan berkaitan ekzos antara yang banyak dikesan dalam operasi berkenaan sehingga menimbulkan gangguan bunyi dan ketenteraman awam.
“Kesalahan ekzos ini adalah antara kesalahan yang banyak kita dapati hingga menimbulkan masalah bunyi bising kepada orang ramai,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pengubahsuaian kenderaan dikawal selia di bawah Seksyen 12 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, katanya, pemilik kenderaan perlu memastikan sebarang pengubahsuaian yang dilakukan mematuhi ketetapan dan spesifikasi teknikal ditetapkan.
“Dalam hal ini, kita telah menyita 13 kenderaan iaitu 12 kereta dan satu motosikal bagi tindakan lanjut di bawah peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Harris berkata, tindakan penguatkuasaan turut dilaksanakan susulan aduan orang ramai selain hasil pemerhatian JPJ terhadap kesalahan pengubahsuaian kenderaan yang semakin ketara di jalan raya.
Katanya, kesalahan berkenaan bukan sahaja boleh mengganggu ketenteraman awam, malah berpotensi menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.
“Kesalahan ini telah menimbulkan kegusaran orang ramai kerana ia menyebabkan gangguan bunyi dan juga ketenteraman masyarakat.
“Jika kita tidak ambil tindakan, ia akan berlarutan dan kesalahan ini akan bertambah,” katanya. SABAH MEDIA
]]>KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah menyita sebuah kenderaan mewah milik seorang ahli perniagaan dalam Ops Khas Luxury yang dijalankan di Jalan Tuaran, di sini, semalam.

Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, tindakan sitaan diambil selepas kenderaan jenis Toyota Supra 3.0L itu dikesan melakukan beberapa kesalahan lalu lintas.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) kenderaan berkenaan telah tamat tempoh selain tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah.
“Kenderaan itu juga didapati tidak mematuhi spesifikasi nombor pendaftaran yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesalahan berkenaan melanggar peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) di bawah Seksyen 23(1) dan Seksyen 90(1).
Tambahnya, kenderaan tersebut telah disita untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan operasi seumpama itu akan diteruskan secara berterusan.
“JPJ tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang jalan raya,” katanya.
]]>Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan pengurangan kompaun saman sebanyak 50 peratus kepada orang awam bagi tempoh dua bulan bermula 1 November hingga 31 Disember 2025.
Pengarah JPJ, Datuk Mohd Harris Ali, berkata inisiatif itu bertujuan memberi peluang kepada orang ramai untuk menyelesaikan tunggakan saman mereka dengan kadar lebih rendah.
“Kita menggesa semua rakyat Sabah supaya mengambil peluang ini dalam tempoh dua bulan ini untuk menjelaskan saman masing-masing bagi semua jenis kesalahan, kecuali saman yang tidak boleh dikompaun iaitu kes yang perlu dibawa ke mahkamah,” katanya dalam sidang media selepas mengetuai Operasi Khas Bersepadu JPJ bersama agensi penguatkuasaan yang lain di Jalan UMS -Indah Permai pada malam Khamis.
Sementara itu, beliau berkata JPJ turut melaksanakan Kempen Keselamatan Jalan Raya ‘Pandu Cermat, Sampai Selamat’ sebagai usaha berterusan meningkatkan kesedaran keselamatan di jalan raya.
Menurutnya, lebih 50 program advokasi keselamatan jalan raya akan diadakan sepanjang kempen itu, termasuk pameran, ceramah kesedaran, pengedaran kit keselamatan, program advokasi serta kempen bersama Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Sabah (MKJR) dan beberapa rakan strategik termasuk pihak media.
JPJ turut menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi MyJPJ sebagai platform utama e-aduan selain SISPAA, [email protected], dan [email protected] bagi membantu pihaknya mengambil tindakan segera terhadap pemandu yang melanggar undang-undang jalan raya.
]]>Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Sebanyak 904 kenderaan diperiksa dalam Operasi Khas Bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah malam Khamis bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya serta keselamatan pengguna.
Pengarah JPJ, Datuk Mohd Harris Ali, berkata operasi yang bermula dari jam 7.30 malam hingga 12 tengah malam itu dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Daripada jumlah kenderaan yang diperiksa, sebanyak 136 notis saman JPJ P22 telah dikeluarkan, tujuh saman kesalahan teknikal, manakala satu kenderaan disita dan satu lagi dikesan tiada perlindungan insurans.
“ PDRM mengeluarkan 18 saman, JIM mengambil tindakan terhadap tiga kesalahan, JAS terhadap lapan kesalahan, dan LPKP terhadap satu kesalahan, manakala JPN tidak mengeluarkan sebarang saman,” katanya dalam sidang media selepas mengetaui operasi tersebut di Jalan UMS-Indah Permai di sini pada malam Khamis.
Beliau berkata, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang dalam kalangan pengguna jalan raya sentiasa berada di tahap tertinggi.
Dalam perkembangan lain, Mohd Harris berkata JPJ turut komited memastikan keselamatan pengguna jalan raya melalui pelaksanaan penguatkuasaan Speed Limitation Device (SLD) terhadap kenderaan perdagangan yang bermula 1 Oktober 2025.
Bagi tempoh 1 hingga 27 Oktober 2025, JPJ Negeri Sabah telah memeriksa 5,993 kenderaan perdagangan dan daripada jumlah itu, 567 kenderaan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pelaksanaan SLD dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu Fasa 1 melibatkan pengesahan kefungsian SLD bermula 1 Oktober 2025, Fasa 2 pengaktifan SLD dalam Electronic Control Unit (ECU) bermula 1 Januari 2026, dan Fasa 3 pemasangan peranti SLD secara retrofit yang mendapat pengesahan JPJ bermula 1 Julai 2026.
Beliau berkata, inisiatif ini merupakan langkah proaktif bagi menangani peningkatan insiden kemalangan jalan raya membabitkan lori dan bas. Statistik menunjukkan sebahagian besar kemalangan maut di jalan raya melibatkan kenderaan perdagangan yang bergerak melebihi had laju. Oleh itu, pematuhan terhadap penggunaan SLD amat penting bagi mengawal kelajuan serta memastikan pemandu mematuhi had yang dibenarkan.
JPJ akan terus bekerjasama dengan pihak industri dan pengusaha logistik bagi memastikan pelaksanaan SLD dijalankan secara menyeluruh dan berkesan ke arah mencapai sasaran sifar kemalangan maut di Malaysia.
Sementara itu, Mohd Harris berkata Operasi Khas Perang Lebih Muatan yang dilancarkan sejak 14 Oktober 2025 turut diperhebat bagi membanteras kesalahan membawa muatan berlebihan oleh kenderaan perdagangan.
Sehingga kini, sebanyak 3,045 kenderaan perdagangan telah diperiksa, dengan 374 kenderaan diimbang dan 428 notis dikeluarkan. Daripada jumlah itu, 383 kes melibatkan kompaun, manakala 45 kes lagi dibawa ke mahkamah.
Beliau menegaskan JPJ akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan di seluruh Sabah bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta mengurangkan kerosakan infrastruktur akibat kenderaan membawa muatan berlebihan.
]]>Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah telah memeriksa sebanyak 409,233 kenderaan dalam tempoh Januari hingga September lalu menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh negeri.
Pengarah JPJ Negeri Sabah, Datuk Mohd Harris Ali, berkata daripada jumlah itu, 39,730 kenderaan telah diambil tindakan, manakala 88,636 notis saman dikeluarkan. Sebanyak 198 kenderaan turut disita atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Antara kesalahan utama yang direkodkan termasuk tidak mematuhi had laju, melanggar isyarat lalu lintas, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, menghalang kenderaan lain memotong, memotong barisan serta menggunakan telefon bimbit semasa memandu,” katanya dalam sidang media selepas Sesi Libat Urus Pengarah JPJ Sabah Bersama Media 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Beliau berkata, kesalahan tertinggi melibatkan lesen memandu tiada atau tamat tempoh sebanyak 14,724 kes, diikuti lesen vokasional tamat tempoh (2,748 kes), lesen kenderaan motor tamat tempoh (12,689 kes) dan tiada insurans sah (9,375 kes).
Katanya, penguatkuasaan dijalankan secara berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta meningkatkan tahap pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan trafik di negeri ini.
Selain itu, JPJ Sabah turut melaksanakan penguatkuasaan Speed Limitation Device (SLD) bagi kenderaan perdagangan bermula 1 Oktober lepas, selaras dengan usaha jabatan itu memastikan keselamatan pengguna jalan raya dipertingkatkan.
Sehingga 4 Oktober, sebanyak 614 kenderaan perdagangan telah diperiksa, dengan 49 kenderaan dikesan tidak memasang peranti SLD seperti yang diwajibkan. JPJ akan mengeluarkan notis kepada 114 kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan berkenaan.
Pelaksanaan SLD dilaksanakan dalam tiga fasa bermula dengan pengesahan kefungsian peranti pada 1 Oktober, pengaktifan SLD dalam sistem Electronic Control Unit (ECU) pada 1 Januari 2026, dan pemasangan peranti SLD secara retrofit yang disahkan JPJ bermula 1 Julai 2026.
Mohd Harris menjelaskan bahawa langkah itu merupakan antara tindakan proaktif JPJ bagi menangani peningkatan kes kemalangan maut yang membabitkan kenderaan berat seperti lori dan bas.
“Sebahagian besar kemalangan maut di jalan raya melibatkan kenderaan perdagangan yang bergerak melebihi had laju. Dengan pelaksanaan SLD, JPJ dapat memastikan kenderaan ini tidak dipandu secara berbahaya sekali gus mengurangkan risiko nahas jalan raya,” katanya.
Dalam masa yang sama, JPJ Sabah turut melaksanakan Operasi Khas (OPS LUXURY) bagi mengesan serta mengambil tindakan terhadap kenderaan mewah yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, khususnya melibatkan lesen kenderaan motor tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans sah.
Setakat 5 September lalu, sebanyak 17 kenderaan mewah pelbagai jenama dan model termasuk Bentley Continental, Lexus, Range Rover, Mercedes-Benz, Ford Mustang, Nissan Skyline, Land Rover Defender, Toyota Vellfire dan BMW 320i telah dikenakan tindakan, termasuk disita di bawah Seksyen 64(1) akta berkenaan.
]]>Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menegaskan bahawa kenderaan mewah tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati melanggar peraturan jalan raya, termasuk berkaitan cukai jalan dan insurans.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik kenderaan termasuk kenderaan mewah yang dikesan melanggar peraturan.
“Saya ingin mengingatkan semua pemilik kenderaan mewah supaya tidak mengambil mudah soal insurans dan cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM), kerana pihak JPJ tidak akan memberi peluang atau memberi muka hanya kerana ia sebuah kenderaan mewah.
“Kita melihat kepada semua kenderaan yang melakukan kesalahan. Malah kenderaan mewah juga tidak terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya ketika ditemui media pada Sabtu sempena Majlis Penyerahan Lesen Memandu MyLesen (B2) Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025 di ITCC.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung pelaksanaan Ops Luxury 2.0 selama tiga hari di sekitar Lembah Klang yang menyaksikan 53 kenderaan mewah disita kerana tidak memiliki insurans dan LKM yang sah.
Aedy menjelaskan bahawa Ops Luxury merupakan operasi berkala JPJ yang menyasarkan pemilik kenderaan mewah yang cuai atau sengaja mengabaikan tanggungjawab.
“Mana-mana kenderaan mewah yang melakukan kesalahan, kita akan tahan dan kenakan tindakan berdasarkan Akta-Akta atau Seksyen yang berkaitan.
“Kita terpaksa tahan dahulu untuk mengambil tindakan ke atas pemandu atau pemilik kenderaan. Kenderaan tanpa insurans dan LKM tidak boleh berada di atas jalan raya, sebab itu kita sita,” katanya.
Tambahnya, JPJ akan melepaskan semula kenderaan yang disita selepas semua kes diselesaikan mengikut prosedur.
]]>Oleh FLORIETA DIET
KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah akan melaksanakan Operasi Khas Hari Raya di semua daerah dengan penekanan khusus di kawasan-kawasan yang sering terlibat dalam kemalangan.
Pengarah JPJ Sabah, Mohd Harris Ali, berkata operasi ini akan melibatkan pemeriksaan statik di kawasan tumpuan kenderaan laju serta penyamaran dalam pengangkutan awam, terutama bas, bagi memantau pemandu agar mematuhi peraturan jalan raya dan juga larangan kenderaan berat di berada jalan ketika perayaan.
Mohd Harris menambah, pihak JPJ merancang untuk menempatkan antara 200 hingga 300 anggota di seluruh Sabah sepanjang operasi ini.
Anggota-anggota akan ditempatkan di terminal-terminal utama untuk memeriksa bas sebelum mereka bergerak, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang diterapkan.
“Langkah ini bertujuan untuk mengurangkan risiko kemalangan, terutamanya yang melibatkan ramai mangsa. Oleh itu, saya juga mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berhati-hati di jalan raya, mematuhi peraturan, serta memastikan keselamatan diri dan orang lain sepanjang perjalanan.
“Dalam masa yang sama, pihak berkuasa menasihatkan agar pemandu tidak memandu dalam keadaan tidak sihat atau kurang tidur kerana ia boleh meningkatkan risiko kemalangan,” katanya pada sidang media di sini, Rabu.
Selain itu, JPJ juga memberi penekanan terhadap kesedaran keselamatan jalan raya, dengan memberi peringatan agar semua pengguna jalan raya memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum bergerak.
Operasi ini dijangka memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan yang sering terlibat dengan kemalangan, serta memastikan perjalanan Hari Raya Aidilfitri berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
]]>Oleh FLORIETA DIET
KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah bersama Masjid Baiturrahman telah melaksanakan Program Jelajah Ramadan 2025 dengan tujuan menyampaikan bakul sumbangan kepada golongan asnaf dan mualaf di sekitar daerah Penampang.
Pengarah JPJ Sabah Mohd Harris Ali berkata, program ini menyasarkan 20 penerima terdiri daripada golongan asnaf mualaf yang berada di lapan kampung terpilih di daerah Penampang.
“Pemberian sumbangan ini adalah orang ramai dan juga warga JPJ sendiri dan kita akan menyatuni, berjumpa dan menyerahkan sendiri sumbangan di rumah penerima masing-masing,” katanya sebelum bergerak secara konvoi menyerahkan sumbangan itu.
Kampung-kampung yang terlibat termasuk Kg. Nosoob, Kg. Tuavon, Kg. Kasigui, Kg. Sugud, Kg. Kolopis, Kg. Kakahangan Babagon, Kg. Limbanak, dan Kg. Maang.
Program yang berlangsung selama dua hari bermula 12 Mac melibatkan 31 pegawai dan kakitangan JPJ Sabah dengan menggunakan enam buah kenderaan.
Program ini bukan sahaja memperlihatkan keprihatinan pihak JPJ Sabah terhadap masyarakat, tetapi juga memberi peluang kepada kakitangan untuk berbakti dalam bulan Ramadan.
]]>Cyberjaya — Membatal permit IM dan tarik balik sijil tenaga pengajar kerana rekod kemalangan jalan raya bukan polisi MOT ulas Menterinya, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong hari ini.
Menurutnya Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) ingin menegaskan bahawa tindakan untuk membatalkan permit institut memandu (IM) dan menarik balik sijil tenaga pengajar yang mempunyai rekod ramai pemegang lesen dari institut berkenaan terbabit dalam kemalangan jalan raya hanyalah merupakan satu pandangan peribadi Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan bukan merupakan satu ketetapan dasar oleh MOT pada masa ini.
“ Dimaklumkan juga bahawa sebarang hala tuju dasar atau apa jua cadangan penambahbaikan sudah tentunya akan dikaji secara holistik dan saintifik terlebih dahulu oleh MOT dengan mengambil kira pelbagai aspek berkaitan termasuk keberkesanannya, kebolehlaksanaanya dan keupayaannya untuk mencapai objektif yang ditetapkan.
Sebelum ini, Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membatalkan atau menggantung permit institut memandu (IM) sekiranya ramai pemegang lesen yang dilatih mereka didapati melakukan kesalahan trafik dan terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Katanya langkah itu akan dilaksanakan dengan meletakkan kod pada lesen yang dikeluarkan ini bagi mengesan daripada institut memandu mana pesalah trafik itu menerima latihan.
Kenyataan Ketua Pengarah JPJ itu turut mengundang komen netizen yang dilihat negatif tentang kenyataan berkenaan memandangkan ujian akhir dan proses meluluskan lesen adalah dibawah bidang kuasa JPJ, bukannya sekolah memandu.
Mengulas lanjut, Wee berkata , MOT tidak mahu menuding jari secara melulu terhadap pihak tertentu dan seterusnya mempersalahkannya semata-mata berdasarkan andaian atau hipotesis yang tidak berasas.
“ Kajian terperinci ini juga akan turut melibatkan sesi libat urus bersama semua pihak yang berkepentingan bagi mendapatkan pandangan serta cadangan penambahbaikan.
“ Dalam masa sama, MOT bersama agensi-agensi di bawahnya akan meneruskan aktiviti advokasi dan penguatkuasaan sedia ada bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai pematuhan kepada peraturan jalan raya dan aspek keselamatan jalan raya di seluruh negara. MOT serius dan komited dalam memastikan jalan raya kekal selamat digunakan oleh semua pihak katanya.
]]>