Julita – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sat, 03 Oct 2026 00:18:28 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Julita – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Lepasan Tingkatan 5 mampu bawa perubahan dalam komuniti – Julita https://sabahmedia.com/2026/10/03/lepasan-tingkatan-5-mampu-bawa-perubahan-dalam-komuniti-julita/ https://sabahmedia.com/2026/10/03/lepasan-tingkatan-5-mampu-bawa-perubahan-dalam-komuniti-julita/#respond Sat, 03 Oct 2026 00:18:22 +0000 https://sabahmedia.com/?p=104662
Read Time:1 Minute, 44 Second

MATUNGGONG: Lepasan Tingkatan 5 digalakkan untuk terus memberi sumbangan kepada komuniti masing-masing selepas menamatkan persekolahan.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Julita Majungki berkata, tempoh sementara menunggu untuk melanjutkan pengajian atau memasuki alam pekerjaan boleh dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada diri sendiri dan masyarakat.

Katanya, selain mengikuti kursus dan mempelajari kemahiran baharu, golongan muda boleh mengisi masa dengan menyertai aktiviti belia, gotong-royong serta membantu murid sekolah rendah di kampung masing-masing.

“Sekiranya kamu mempunyai kemahiran dalam sesuatu mata pelajaran, gunakan kemahiran itu untuk membantu orang lain.

“Sebagai contoh, kamu boleh membantu memberi tunjuk ajar kepada murid sekolah rendah di kampung, termasuk dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

“Mungkin perkara itu kelihatan kecil, tetapi bagi seorang murid sekolah rendah, seorang abang atau kakak yang sanggup meluangkan masa untuk mengajar dan membimbing mereka boleh menjadi sumber inspirasi yang besar,” katanya ketika merasmikan Majlis Graduasi Tingkatan 5 di SMK Matunggong di sini, pada Khamis.

Julita berkata, golongan muda tidak perlu menunggu sehingga mempunyai pekerjaan atau jawatan untuk mula menyumbang kepada masyarakat.

“Gunakan apa yang ada pada kamu sekarang, sama ada masa, tenaga atau kemahiran. Sumbangan itu mungkin kecil pada pandangan kita, tetapi boleh memberi makna kepada orang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Julita menggalakkan pelajar supaya berani keluar dari daerah masing-masing untuk menimba ilmu dan pengalaman, sama ada melalui pengajian tinggi, latihan kemahiran, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau alam pekerjaan.

“Pergilah sejauh mana peluang membawa kamu. Timbalah ilmu, bina kemahiran dan kenali dunia yang lebih luas, tetapi jangan lupa dari mana kamu bermula.

“Saya berharap suatu hari nanti, ada antara kamu yang kembali ke daerah masing-masing untuk berkhidmat kepada masyarakat sebagai guru, doktor, jururawat, pegawai kerajaan, jurutera, usahawan atau dalam apa jua bidang yang kamu pilih,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pelajar supaya menggunakan masa dengan sebaik-baiknya, menjaga diri dan memilih persekitaran yang baik, selain menjauhi perkara yang boleh menjejaskan kesihatan, pendidikan dan masa depan.

Turut hadir Pengetua SMK Matunggong Sharif Azad Sharif Attar dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Epson Kawahui.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/10/03/lepasan-tingkatan-5-mampu-bawa-perubahan-dalam-komuniti-julita/feed/ 0 104662
Pengesanan awal penting elak penyakit vaskular tidak disedari – Julita https://sabahmedia.com/2026/09/22/pengesanan-awal-penting-elak-penyakit-vaskular-tidak-disedari-julita/ https://sabahmedia.com/2026/09/22/pengesanan-awal-penting-elak-penyakit-vaskular-tidak-disedari-julita/#respond Tue, 22 Sep 2026 07:36:32 +0000 https://sabahmedia.com/?p=103923
Read Time:1 Minute, 52 Second

KOTA KINABALU: Orang ramai, khususnya golongan berisiko, digesa menjalani saringan awal bagi mengesan penyakit vaskular kerana sebahagian daripada penyakit berkenaan boleh berlaku tanpa menunjukkan gejala yang jelas sehingga menjadi serius atau mengancam nyawa.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, pengesanan awal penting bagi membolehkan sebarang masalah vaskular dikenal pasti dan dirawat pada peringkat awal.

Katanya, antara tanda amaran yang tidak wajar diabaikan termasuk sakit atau kekejangan pada kaki ketika berjalan, kaki terasa sejuk atau kebas, perubahan warna kulit, bengkak serta luka yang mengambil masa lama untuk sembuh.

“Jangan menganggap tanda-tanda ini sebagai sesuatu yang normal hanya kerana faktor usia. Sekiranya terdapat perubahan yang luar biasa, dapatkan pemeriksaan perubatan lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kempen Kesedaran Penyakit Vaskular di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), di sini, pada Isnin.

Menurut Julita, antara keadaan yang diberi perhatian menerusi kempen berkenaan ialah aneurisma aorta abdominal (AAA), iaitu keadaan apabila bahagian dinding aorta yang lemah, iaitu salur darah utama yang membawa darah dari jantung ke seluruh tubuh, menjadi membesar atau mengembung.

Katanya, AAA boleh berlaku tanpa menunjukkan gejala yang jelas, namun keadaan itu boleh mengancam nyawa sekiranya aneurisma berkenaan pecah dan menyebabkan pendarahan dalaman yang serius.

“Justeru, kesedaran mengenai penyakit vaskular dan kepentingan saringan awal perlu dipertingkatkan supaya individu berisiko dapat mengambil tindakan sebelum keadaan menjadi lebih serius,” katanya.

Kempen berkenaan turut menyediakan aktiviti saringan bagi AAA dan penyakit arteri periferi (PAD) sebagai sebahagian usaha menggalakkan pengesanan awal dalam kalangan masyarakat.

Julita berkata PAD berlaku apabila saluran darah yang membekalkan anggota badan, khususnya kaki, menjadi sempit atau tersumbat.

Antara gejala PAD termasuk sakit pada kaki ketika berjalan, kaki terasa sejuk atau kebas, perubahan warna kulit serta luka yang lambat sembuh.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko penyakit vaskular, termasuk berhenti merokok, mengawal tekanan darah, paras gula dalam darah dan tahap kolesterol.

Katanya, masyarakat juga perlu mengekalkan berat badan yang sihat, mengamalkan pemakanan seimbang serta kekal aktif secara fizikal.

“Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi serius. Kenali tubuh anda, kenal pasti tanda-tanda amaran dan ambil tindakan lebih awal,” katanya.

Julita berkata Kerajaan Sabah akan terus menyokong usaha menyediakan maklumat kesihatan yang tepat, saringan yang bersesuaian serta perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti kepada rakyat.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/09/22/pengesanan-awal-penting-elak-penyakit-vaskular-tidak-disedari-julita/feed/ 0 103923
Kota Kinabalu berpotensi jadi bandar mesra warga emas Sabah https://sabahmedia.com/2026/09/15/kota-kinabalu-berpotensi-jadi-bandar-mesra-warga-emas-sabah/ https://sabahmedia.com/2026/09/15/kota-kinabalu-berpotensi-jadi-bandar-mesra-warga-emas-sabah/#respond Tue, 15 Sep 2026 01:59:07 +0000 https://sabahmedia.com/?p=103424
Read Time:1 Minute, 50 Second

KOTA KINABALU: Kota Kinabalu berpotensi menjadi bandar peneraju dalam usaha mewujudkan komuniti mesra warga emas di Sabah, kata Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki.

Beliau berkata usaha berkenaan memerlukan penglibatan menyeluruh pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, penyedia perkhidmatan kesihatan, keluarga, sektor perniagaan dan pertubuhan masyarakat.

Menurutnya, visi yang diketengahkan melalui Malaysian Conference on Healthy Ageing (MCHA) amat bertepatan dengan perkembangan demografi negara yang sedang menuju ke arah masyarakat menua.

Katanya, komuniti perlu membuat persediaan lebih awal bagi memastikan keperluan warga emas dapat dipenuhi, khususnya dari aspek kesihatan, kebajikan, sosial dan persekitaran kehidupan.

“Penuaan sihat tidak seharusnya dilihat dari sudut penjagaan kesihatan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi keterangkuman sosial, sokongan komuniti, kebebasan serta kualiti hidup.

“Mewujudkan bandar mesra warga emas memerlukan pendekatan melibatkan seluruh komuniti supaya warga emas dapat menjalani kehidupan dengan bermaruah, kekal berdikari dan terus mengambil bahagian secara bermakna dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Malaysian Conference on Healthy Ageing (MCHA) Ke-11 di sini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri, Datuk Rina Jainal.

Julita berkata perubahan profil demografi negara turut menuntut perhatian lebih besar terhadap keupayaan komuniti, ruang awam dan perkhidmatan dalam memenuhi keperluan golongan warga emas.

Katanya, berdasarkan anggaran penduduk 2025 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penduduk berusia 60 tahun dan ke atas kini merangkumi kira-kira 12.6 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia.

“Angka ini dijangka mencapai 15 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Di bawah Dasar Warga Emas Negara, pencapaian ambang 15 peratus akan meletakkan Malaysia dalam kalangan negara menua,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata persediaan awal perlu dilaksanakan bagi memastikan perubahan demografi berkenaan dapat diurus secara berkesan dan tidak hanya ditangani apabila penuaan penduduk sudah menjadi cabaran yang lebih ketara.

Menurutnya, pendekatan tersebut penting bagi membolehkan warga emas terus menikmati kehidupan yang sihat, aktif dan berkualiti, selain mengekalkan hubungan erat dengan keluarga serta komuniti.

“Matlamatnya adalah untuk memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih panjang, sihat dan aktif, di samping terus mempunyai hubungan yang erat dengan keluarga dan komuniti,” katanya.

Beliau berkata konsep bandar mesra warga emas juga perlu mengambil kira aspek persekitaran fizikal dan sosial yang membolehkan golongan berkenaan bergerak, berinteraksi dan menjalani kehidupan harian secara lebih selamat serta berdikari.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/09/15/kota-kinabalu-berpotensi-jadi-bandar-mesra-warga-emas-sabah/feed/ 0 103424
Agenda pembangunan wanita perlu diperluas ke daerah https://sabahmedia.com/2026/09/14/agenda-pembangunan-wanita-perlu-diperluas-ke-daerah/ https://sabahmedia.com/2026/09/14/agenda-pembangunan-wanita-perlu-diperluas-ke-daerah/#respond Mon, 14 Sep 2026 01:28:06 +0000 https://sabahmedia.com/?p=103359
Read Time:1 Minute, 37 Second

SANDAKAN: Agenda pembangunan wanita dan kesejahteraan rakyat Sabah perlu diperluaskan hingga ke peringkat daerah dan komuniti supaya manfaatnya dapat dinikmati masyarakat secara lebih menyeluruh.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata usaha berkenaan penting bagi memastikan perkhidmatan, maklumat dan sokongan kerajaan dapat diakses masyarakat tanpa mengira lokasi.

Katanya, penganjuran Karnival Persona Wanita peringkat Daerah Sandakan membuktikan kepentingan membawa inisiatif pembangunan wanita lebih dekat kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

“Agenda pembangunan wanita dan kesejahteraan rakyat tidak seharusnya tertumpu di ibu negeri, sebaliknya perlu dibawa lebih dekat kepada masyarakat di peringkat daerah,” katanya ketika merasmikan karnival berkenaan di sini, semalam.

Julita berkata, jabatan dan agensi berkaitan perlu meneruskan pendekatan turun padang bagi memperluaskan akses kepada perkhidmatan, khususnya kepada golongan yang memerlukan perhatian dan sokongan.

Katanya, ia termasuk wanita luar bandar, ibu tunggal, wanita daripada keluarga berpendapatan rendah, wanita kurang upaya, warga emas serta golongan penjaga.

“Setiap golongan mempunyai cabaran dan keperluan yang berbeza. Oleh itu, suara dan maklum balas masyarakat perlu diambil kira dalam menentukan program yang benar-benar diperlukan,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama antara agensi kebajikan dan kesihatan, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan masyarakat serta pemimpin setempat bagi memastikan bantuan dapat disampaikan secara lebih tersusun dan berkesan.

Dalam pada itu, Julita menggesa pertubuhan wanita dan pemimpin komuniti memainkan peranan lebih aktif dalam mengenal pasti isu yang dihadapi masyarakat di peringkat akar umbi.

Katanya, golongan berkenaan juga boleh membantu menghubungkan individu yang memerlukan sokongan dengan agensi atau saluran bantuan yang bersesuaian.

“Pertubuhan wanita dan pemimpin komuniti boleh menjadi mata dan telinga kerajaan dengan mengenal pasti isu di lapangan serta menghubungkan mereka yang memerlukan bantuan kepada saluran yang betul,” katanya.

Menurut Julita, agenda pemerkasaan wanita juga perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan memberi perhatian seimbang kepada aspek ekonomi, pendidikan, kesihatan, keselamatan dan perlindungan.

Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan usaha meningkatkan kesejahteraan wanita tidak hanya tertumpu kepada satu aspek, sebaliknya merangkumi keperluan mereka dalam kehidupan seharian.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/09/14/agenda-pembangunan-wanita-perlu-diperluas-ke-daerah/feed/ 0 103359
Sokongan kesihatan mental di peringkat keluarga, sekolah dan komuniti diperkukuh https://sabahmedia.com/2026/08/29/sokongan-kesihatan-mental-di-peringkat-keluarga-sekolah-dan-komuniti-diperkukuh/ https://sabahmedia.com/2026/08/29/sokongan-kesihatan-mental-di-peringkat-keluarga-sekolah-dan-komuniti-diperkukuh/#respond Sat, 29 Aug 2026 08:50:56 +0000 https://sabahmedia.com/?p=102447
Read Time:2 Minute, 48 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited memperkukuh sokongan kesihatan mental khususnya di peringkat keluarga, sekolah dan komuniti bagi menangani peningkatan isu kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, Sabah berdepan beberapa cabaran kependudukan yang memerlukan perhatian bersama, termasuk isu kesihatan mental dan penuaan penduduk.

Katanya, berdasarkan dapatan National Health and Morbidity Survey (NHMS), prevalens kemurungan dalam kalangan remaja di Malaysia meningkat daripada 17.7 peratus pada 2012 kepada 26.9 peratus pada 2022.

“Peratus remaja yang melaporkan berasa kesunyian turut meningkat daripada 8.1 peratus kepada 16.2 peratus dalam tempoh yang sama.

“Perkembangan ini menunjukkan kita perlu memperkukuh sokongan kesihatan mental di peringkat keluarga, sekolah dan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Kependudukan Peringkat Negeri Sabah sempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 di Dewan Rafflesia, Politeknik Kota Kinabalu, di sini, semalam.

Julita berkata, dalam usaha memperkukuh sokongan kesihatan mental, Pasukan Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Mental dan Psikososial (MHPSS) diperkasa bagi menyediakan rawatan kepada individu yang mengalami kecelaruan mental selain khidmat kaunseling.

Katanya, program saringan kesihatan mental dan fizikal turut diselaraskan di peringkat sekolah dan komuniti, termasuk menerusi kempen kesedaran, saringan di kawasan luar bandar serta Program Sabah Sihat.

“Usaha ini bertujuan mendekatkan khidmat psikologi kepada rakyat, khususnya mereka yang memerlukan sokongan.

“Usaha ini juga terus diperkasa melalui kerjasama strategik dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat-Sabah Maju Jaya (ANMS-SMJ), yang bertujuan mempromosi kesihatan dan kesejahteraan serta membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Julita berkata, Sabah turut berdepan fenomena penuaan penduduk yang memerlukan perancangan rapi dan menyeluruh bagi memastikan kebajikan golongan berusia terus terpelihara.

“Peralihan demografi memerlukan sistem sokongan yang mesra usia, termasuk penjagaan kesihatan, persekitaran komuniti dan sokongan keluarga yang mampan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap pengukuhan institusi keluarga serta kesejahteraan rakyat menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, khususnya di bawah pemacu Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat.

Katanya, SMJ 2.0 memberi perhatian kepada aspek akses kesihatan, pembangunan sosial dan kesejahteraan rakyat secara inklusif.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan aspek kesihatan mental, sokongan keluarga dan keperluan masyarakat di seluruh Sabah diberi perhatian.

“Institusi keluarga juga penting dalam membentuk keperibadian anak-anak kerana dalam era digital, media sosial dan kecerdasan buatan (AI), ibu bapa berdepan cabaran yang semakin kompleks.

“Oleh itu, sokongan seperti bimbingan keibubapaan dan sokongan psikososial perlu terus diperkukuh,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya sentiasa mendengar suara anak muda, mengurangkan stigma terhadap kesihatan mental serta membina persekitaran yang menyokong sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan.

Katanya, usaha berkenaan penting dalam membentuk keluarga yang stabil, adil dan penuh harapan, sekali gus mewujudkan komuniti yang lebih prihatin terhadap kesejahteraan mental.

Terdahulu, seminar berkenaan turut diisi dengan Forum Kependudukan bertajuk “Kesihatan Mental: Dari Stigma ke Sokongan – Mengintegrasi Sistem Sokongan Komuniti”.

Forum itu menampilkan Pensyarah dan Ketua Editor Jurnal Psikologi Southeast Asia, Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Aminuddin Ibrahim; Pakar Psikiatri Hospital Mesra Bukit Padang, Dr Koh Yunn Min; Kaunselor UCSF, Suhaifah Irna Musalim; serta moderator daripada FPKS, Norhamidah Jarimal @ Safri.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR), Datuk Maria Chong; Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Shahriah Saharom; Pensyarah Kanan UMS, Dr Maine Suadik; dan Ketua Pentadbiran, Perkhidmatan Korporat dan Perhubungan Awam Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Corina Emily Claudius.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/29/sokongan-kesihatan-mental-di-peringkat-keluarga-sekolah-dan-komuniti-diperkukuh/feed/ 0 102447
DUN Sabah : Kerajaan komited bina Pusat Pemulihan Kebajikan di Putatan https://sabahmedia.com/2026/07/23/dun-sabah-kerajaan-komited-bina-pusat-pemulihan-kebajikan-di-putatan/ https://sabahmedia.com/2026/07/23/dun-sabah-kerajaan-komited-bina-pusat-pemulihan-kebajikan-di-putatan/#respond Thu, 23 Jul 2026 06:10:18 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100410
Read Time:1 Minute, 10 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah kekal komited untuk merealisasikan pembinaan Pusat Pemulihan Kebajikan di daerah Putatan sebagai sebahagian usaha memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kebajikan kepada rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki berkata, kementeriannya melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) sentiasa memberi perhatian terhadap penyediaan infrastruktur yang kondusif bagi tujuan pemulihan dan perlindungan golongan sasar.

Beliau berkata, cadangan pembinaan pusat berkenaan masih diteruskan dengan Pejabat Kebajikan Putatan telah mengemukakan permohonan tapak baharu kepada agensi berkaitan.

“Tapak yang dicadangkan sebelum ini didapati tidak sesuai kerana memerlukan kos penimbusan tanah yang tinggi, justeru permohonan bagi mendapatkan tapak baharu telah dikemukakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Shah Alfie Yahya Ahmad Shah (Tanjung Keramat-GRS) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini.

Julita berkata, kerajaan tetap komited memastikan kemudahan kebajikan yang lebih lengkap dapat diwujudkan bagi memenuhi keperluan masyarakat di daerah Putatan.

Mengulas soalan tambahan berhubung pelan tindakan interim sementara projek itu belum dapat dilaksanakan, beliau berkata kementerian menerusi JPKA terus menjalankan pelbagai program kebajikan secara berterusan bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Memang kementerian melalui jabatan mempunyai program-program yang berterusan untuk membantu rakyat.

“Jika terdapat keperluan yang lebih spesifik, pihak berkaitan boleh datang berunding dan mendapatkan khidmat nasihat daripada kementerian,” katanya.

Beliau menegaskan, walaupun pembinaan pusat berkenaan masih belum dapat diteruskan, usaha membantu golongan sasar tidak terjejas dan akan terus dilaksanakan menerusi pelbagai inisiatif kebajikan sedia ada.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/23/dun-sabah-kerajaan-komited-bina-pusat-pemulihan-kebajikan-di-putatan/feed/ 0 100410
Julita santuni mangsa kebakaran, salur bantuan kepada 11 keluarga https://sabahmedia.com/2026/07/17/julita-santuni-mangsa-kebakaran-salur-bantuan-kepada-11-keluarga/ https://sabahmedia.com/2026/07/17/julita-santuni-mangsa-kebakaran-salur-bantuan-kepada-11-keluarga/#respond Fri, 17 Jul 2026 07:26:59 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100012
Read Time:1 Minute, 26 Second

KOTA MARUDU: Seramai 11 ketua isi rumah yang terjejas dalam kebakaran di Kampung Telupid Baru menerima bantuan semasa lawatan Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, di Dewan Kampung Talantang 1 di sini, hari ini.

Julita melawat mangsa kebakaran di Dewan Kampung Talantang 1.

Setiap ketua isi rumah menerima bantuan tunai RM500 bagi membantu pembelian keperluan persekolahan, selain pakaian dan kasut sekolah disalurkan kepada 10 keluarga yang mempunyai anak bersekolah.

Bantuan itu melengkapkan bantuan awal yang telah disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada mangsa susulan kejadian kebakaran yang berlaku baru-baru ini.

Julita berkata, bantuan berkenaan diharap dapat meringankan beban keluarga yang sedang melalui saat sukar serta membantu mereka memulakan semula kehidupan selepas kehilangan tempat tinggal.

“Kerajaan mungkin tidak dapat menggantikan segala yang hilang, namun kita akan terus membantu setakat yang termampu agar keluarga yang terjejas dapat bangkit semula dan menyusun kembali kehidupan mereka,” katanya.

Beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan mangsa tidak berasa bersendirian dan terus menerima perhatian serta bantuan sewajarnya sepanjang proses pemulihan.

“Kehilangan tempat tinggal bukan sesuatu yang mudah untuk dihadapi. Namun saya percaya dengan semangat setiap keluarga serta sokongan daripada pelbagai pihak, mereka mampu melalui tempoh ini dan bangkit semula sedikit demi sedikit,” katanya.

Julita turut merakamkan penghargaan kepada JKM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), serta semua pihak yang menghulurkan bantuan sejak hari pertama kejadian.

Beliau turut menegaskan kerajaan akan terus memantau kebajikan semua mangsa sehingga proses pemulihan selesai.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Henry Idol; Pemimpin Pembangunan Masyarakat Bandau, Julita Dalinsi; Pegawai Pembangunan Masyarakat Tandek, Joseh Vung Nyuk Chin; Pegawai Kebajikan Daerah Kota Marudu, Mizan Ahmad; dan Ketua Daerah Tandek, OKK Elui Majingkin.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/17/julita-santuni-mangsa-kebakaran-salur-bantuan-kepada-11-keluarga/feed/ 0 100012
Perkahwinan awal kanak-kanak jejaskan masa depan generasi, pembangunan Sabah https://sabahmedia.com/2026/07/05/perkahwinan-awal-kanak-kanak-jejaskan-masa-depan-generasi-pembangunan-sabah/ https://sabahmedia.com/2026/07/05/perkahwinan-awal-kanak-kanak-jejaskan-masa-depan-generasi-pembangunan-sabah/#respond Sun, 05 Jul 2026 02:34:38 +0000 https://sabahmedia.com/?p=99349
Read Time:1 Minute, 45 Second

MATUNGGONG: Usaha membendung perkahwinan awal kanak-kanak perlu terus diperkukuhkan kerana isu itu bukan sahaja memberi kesan kepada individu dan keluarga, malah turut menjejaskan pembangunan modal insan serta masa depan negeri.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata setiap kanak-kanak berhak menikmati peluang untuk belajar, membina kemahiran dan mengembangkan potensi diri sebelum memikul tanggungjawab berkeluarga.

Menurutnya, perkahwinan awal bukan sekadar isu angka atau statistik, sebaliknya melibatkan masa depan anak-anak yang sepatutnya diberi ruang untuk meneruskan pendidikan dan membina kehidupan yang lebih baik.

“Perkahwinan awal bukan sekadar soal angka atau statistik. Apa yang lebih penting ialah memastikan anak-anak kita mempunyai peluang untuk meneruskan pendidikan, membina masa depan yang lebih baik dan menjadi modal insan yang mampu menyumbang kepada pembangunan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kesedaran Menangani Isu Perkahwinan Awal Kanak-Kanak (MIPA) Daerah Matunggong di sini, baru-baru ini.

Julita berkata, anak-anak yang diberi peluang untuk terus belajar dan membangunkan kemahiran diri berpotensi menjadi generasi yang lebih berdaya saing, berilmu dan mampu menyumbang dalam pelbagai sektor pembangunan negeri.

Katanya, usaha membendung perkahwinan awal juga selari dengan agenda pemerkasaan wanita, khususnya dalam memastikan lebih ramai kanak-kanak perempuan dapat meneruskan pendidikan, membina keyakinan diri serta meningkatkan peluang dalam bidang ekonomi, kepimpinan dan keusahawanan pada masa hadapan.

“Apabila kanak-kanak perempuan diberi peluang untuk belajar dan membina potensi diri, mereka bukan sahaja mampu mengubah kehidupan sendiri, malah berupaya menjadi pemimpin, usahawan dan penyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negeri,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha menangani isu berkenaan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan komuniti setempat.

Menurutnya, melindungi kanak-kanak dan memastikan mereka dapat mengejar cita-cita serta membina masa depan yang lebih cerah adalah tanggungjawab bersama, manakala pelaburan terhadap anak-anak hari ini merupakan pelaburan kepada masa depan Sabah.

Program MIPA merupakan inisiatif berterusan Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah yang memberi tumpuan kepada pendidikan dan advokasi berkaitan implikasi perkahwinan awal kanak-kanak melalui komponen psikologi asas, literasi perundangan serta kesihatan diri dan sistem reproduktif.

Turut hadir, Pengarah JHEWA Sabah, Haslina Ismail.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/05/perkahwinan-awal-kanak-kanak-jejaskan-masa-depan-generasi-pembangunan-sabah/feed/ 0 99349
Sabah Sihat 2.0 galak rakyat amalkan gaya hidup sihat https://sabahmedia.com/2026/06/27/sabah-sihat-2-0-galak-rakyat-amalkan-gaya-hidup-sihat/ https://sabahmedia.com/2026/06/27/sabah-sihat-2-0-galak-rakyat-amalkan-gaya-hidup-sihat/#respond Sat, 27 Jun 2026 02:41:37 +0000 https://sabahmedia.com/?p=98960
Read Time:1 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Program Sabah Sihat 2.0 menjadi platform penting dalam menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat sebagai langkah memperkasakan kesihatan awam serta mencegah penyakit tidak berjangkit.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraam Rakyat Sabah Datuk Julita Majungki berkata, program itu dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan melalui amalan hidup aktif dan pemilihan gaya hidup yang sihat.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti disediakan sepanjang program berkenaan termasuk pameran kesihatan, pemeriksaan kesihatan asas serta Jualan Rahmah yang memberi manfaat kepada pengunjung.

“Program Sabah Sihat 2.0 bertujuan membawa kesedaran kepada komuniti supaya mengamalkan kehidupan yang sihat, aktif dan sentiasa menjaga gaya hidup sihat.

“Kita turut menyediakan pelbagai pengisian termasuk pameran, pemeriksaan kesihatan asas dan Jualan Rahmah bagi memberi manfaat kepada peserta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sepepas merasmikan program itu di sini pada Sabtu.

Julita berkata, kira-kira 1,000 peserta daripada pelbagai kementerian dan agensi menyertai program berkenaan, sekali gus menunjukkan sambutan menggalakkan terhadap usaha membudayakan amalan hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, penyertaan yang memberangsangkan itu mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan, selain memperkukuh kerjasama pelbagai pihak dalam menjayakan agenda kesihatan awam di Sabah.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pendekatan pencegahan perlu diberi keutamaan kerana ia lebih berkesan dalam mengurangkan risiko penyakit berbanding hanya bergantung kepada rawatan selepas seseorang jatuh sakit.

Katanya, amalan gaya hidup sihat seperti pemakanan seimbang, aktiviti fizikal yang konsisten dan pemeriksaan kesihatan secara berkala mampu membantu mengurangkan beban penyakit dalam kalangan rakyat serta memperkukuh sistem kesihatan negeri.

“Matlamat kita ialah melahirkan masyarakat yang lebih sihat, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada rawatan melalui budaya pencegahan yang berterusan,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/27/sabah-sihat-2-0-galak-rakyat-amalkan-gaya-hidup-sihat/feed/ 0 98960
Keluarga moden berdepan cabaran semakin kompleks – Julita https://sabahmedia.com/2026/05/23/keluarga-moden-berdepan-cabaran-semakin-kompleks-julita/ https://sabahmedia.com/2026/05/23/keluarga-moden-berdepan-cabaran-semakin-kompleks-julita/#respond Sat, 23 May 2026 09:17:10 +0000 https://sabahmedia.com/?p=97198
Read Time:2 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU: Keluarga masa kini berdepan cabaran yang semakin kompleks akibat tekanan kos sara hidup, tuntutan kerjaya, perubahan gaya hidup serta pengaruh dunia digital.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, meskipun Indeks Kesejahteraan Malaysia 2024 meningkat kepada 120.6 mata berbanding 119.4 mata pada tahun sebelumnya, cabaran kesejahteraan keluarga masih memerlukan perhatian serius.

“Walaupun indikator menunjukkan peningkatan, ramai keluarga masih berdepan tekanan kos sara hidup, cabaran kesihatan mental dan kesukaran mengimbangi tuntutan kerja serta kehidupan harian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri di Sabah Oriental Hotel, di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, purata saiz isi rumah di Sabah kekal sekitar 4.6 orang, sekali gus mencerminkan kekuatan institusi keluarga.

Bagaimanapun katanya, tekanan kehidupan moden terus memberi cabaran kepada keluarga masa kini.

“Saiz isi rumah yang stabil tidak semestinya bermaksud tekanan dalam keluarga turut berkurang kerana cabaran hari ini semakin kompleks melibatkan kos sara hidup, tuntutan kerjaya dan perubahan gaya hidup,” katanya.

Julita berkata, purata umur ibu yang melahirkan anak pertama di Sabah meningkat kepada 27.5 peratus pada 2023, menunjukkan perubahan struktur keluarga moden.

Katanya, keadaan itu mencerminkan perubahan gaya hidup dan keutamaan wanita hari ini yang lebih memberi fokus kepada kestabilan kerjaya, persediaan ekonomi dan perancangan keluarga.

Beliau berkata, tema Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan, “Seteguh Kasih Ibu”, amat bertepatan dengan peranan ibu sebagai benteng keluarga dan pembentuk generasi dalam mendepani cabaran dunia moden.

“Ibu hari ini bukan sahaja mendidik anak-anak, tetapi turut menjadi tunjang kestabilan emosi, nilai dan hala tuju keluarga,” katanya.

Menurutnya, cabaran mendidik anak-anak kini semakin besar akibat pengaruh digital dan media sosial yang mewujudkan pelbagai tekanan baharu terhadap institusi keluarga.

Justeru katanya, ibu perlu terus memperkukuhkan ilmu dan pendekatan keibubapaan bagi memastikan nilai positif dalam keluarga dapat dipertahankan.

Dalam pada itu, Julita berkata wanita masa kini turut berdepan cabaran besar dalam mengimbangi kerjaya dan keluarga, selaras dapatan kajian “Life Satisfaction among Women in Sabah, Malaysia: A Quantitative Study” tahun 2025.

“Keadaan ini menunjukkan perlunya sokongan lebih menyeluruh kepada wanita termasuk persekitaran kerja mesra keluarga, akses kesihatan berkualiti dan perlindungan sosial yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut menegaskan sokongan terhadap kesihatan mental wanita dan ibu perlu terus diperkukuhkan terutama dalam menghadapi cabaran selepas bersalin, tekanan emosi dan tuntutan kehidupan moden.

Pada majlis itu, Faineh Modirim diumumkan sebagai penerima Anugerah Inspirasi Ibu 2026 sebagai penghargaan terhadap ketabahan dan pengorbanannya sebagai ibu tunggal dalam membesarkan anak-anak sehingga berjaya.

Beliau yang aktif dalam bidang pendidikan dan keusahawanan menerima wang tunai RM1,000, sijil penghargaan serta selempang penghormatan yang disampaikan Julita.

Turut hadir Setiausaha Tetap KWKKR, Maria Chong; Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sabah mewakili Ketua Pengarah LPPKN, Halil Omar; Timbalan Setiausaha Tetap KWKKR, Alijah Ismail; Pengerusi Majlis Wanita KDCA, Joanna Kitingan; Pengarah LPPKN Sabah, Shahriah Saharom serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), Haslina Ismail.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/23/keluarga-moden-berdepan-cabaran-semakin-kompleks-julita/feed/ 0 97198