jururawat – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sat, 15 Aug 2026 11:16:34 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png jururawat – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 KKM perkukuh tenaga jururawat menerusi tiga strategi utama https://sabahmedia.com/2026/08/15/kkm-perkukuh-tenaga-jururawat-menerusi-tiga-strategi-utama/ https://sabahmedia.com/2026/08/15/kkm-perkukuh-tenaga-jururawat-menerusi-tiga-strategi-utama/#respond Sat, 15 Aug 2026 11:15:36 +0000 https://sabahmedia.com/?p=101635
Read Time:2 Minute, 51 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkukuh tenaga kerja kejururawatan menerusi tiga strategi utama bagi menangani kekurangan 10,557 jururawat di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu merangkumi peningkatan pengeluaran graduan, perluasan laluan kerjaya serta pengambilan terus dan autonomi dalam pengurusan perjawatan.

Katanya, pendekatan bersepadu itu penting bagi memastikan keperluan tenaga kerja kejururawatan dapat dipenuhi secara berperingkat, selain mengurangkan beban petugas kesihatan di fasiliti seluruh negara.

“Daripada 73,281 perjawatan Jururawat Gred U5, terdapat kekosongan sebanyak 10,557 ketika ini.

“Kita sedar dan insaf mengenai beban kerja yang ditanggung petugas kesihatan akibat kekurangan kakitangan. Namun isu ini tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat kerana melibatkan pelbagai faktor dan memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) 2026 Zon Sabah di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.

Menurut Dzulkefly, bagi meningkatkan pengeluaran tenaga baharu, pengambilan jururawat pelatih telah ditingkatkan kepada 3,000 orang setahun bermula 2025.

KKM turut menyasarkan untuk menyumberluarkan sehingga 2,000 pelatih setahun ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Selain itu, empat cawangan ILKKM di Kuantan, Kuala Terengganu, Muar dan Pulau Pinang akan dibuka semula menjelang Oktober 2027, dengan tambahan kapasiti kira-kira 500 pelatih.

Langkah itu akan menjadikan kapasiti keseluruhan program Diploma Kejururawatan meningkat kepada 5,500 pelatih setahun.

Bagi strategi memperluas laluan kerjaya, KKM akan memulakan 15 Program On-The-Job Training (OJT) pada September ini bagi membolehkan petugas meningkatkan kepakaran tanpa perlu meninggalkan tempat bertugas untuk tempoh yang lama.

KKM turut memperluas laluan Jururawat Masyarakat untuk menjadi jururawat menerusi Diploma Peralihan.

Sementara itu, strategi pengambilan terus diperkukuh selepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan pengecualian Lantikan Kontrak Interim.

Dzulkefly berkata, langkah itu membolehkan semua graduan Diploma Kejururawatan ILKKM yang lulus dan berdaftar dengan Lembaga Jururawat Malaysia diserap terus ke jawatan tetap.

“Sejak 9 Julai 2026, KKM juga telah diberikan kuasa autonomi untuk menguruskan perjawatan bagi mengelakkan birokrasi, sekali gus memastikan graduan ditempatkan terus di lapangan,” katanya.

Dalam masa sama, KKM melaksanakan pendekatan Integrated Clinical Management Care yang melibatkan perkongsian kepakaran dan tenaga jururawat antara klinik kesihatan dan hospital.

Menurutnya, pendekatan itu membantu mengoptimumkan tenaga kerja sedia ada sementara usaha meningkatkan jumlah jururawat dilaksanakan.

KKM turut memberi perhatian terhadap kebajikan petugas kesihatan, termasuk cadangan menyediakan kemudahan taska di fasiliti kesihatan bagi membantu petugas yang mempunyai anak kecil menjalankan tugas dengan lebih tenang dan produktif.

Sementara itu, ILKKM berjaya melahirkan 6,987 graduan pada 2026, termasuk 924 graduan Zon Sabah yang menerima skrol pada istiadat konvokesyen hari ini.

Istiadat itu turut dihubungkan secara langsung dengan 5,117 graduan di Zon Semenanjung dan 946 graduan di Zon Sarawak.

Pada istiadat berkenaan, graduan terbaik diraikan menerusi Anugerah Perdana yang diterima Alden Ker Ming Vui, graduan Diploma Sains Perubatan dan Kesihatan yang kini bertugas di Hospital Sungai Buloh.

Turut disampaikan Anugerah Emas Cemerlang Akademik dan Anugerah Emas Cemerlang Kokurikulum, selain dua anugerah baharu iaitu Anugerah Khas Penyelidik Terbaik dan Anugerah Khas Kepimpinan Terbaik.

Bertemakan “Graduan ILKKM Tonggak Reformasi Kesihatan MADANI”, konvokesyen itu mencerminkan komitmen KKM untuk melahirkan tenaga profesional kesihatan yang berkualiti, berkemahiran dan mampu menyokong keperluan sistem kesihatan negara.

Dzulkefly turut menyeru semua graduan supaya menjaga maruah profesion dan melaksanakan amanah dengan penuh ihsan ketika memulakan perkhidmatan.

Beliau berkata, KKM akan terus memperkukuh sumber tenaga kesihatan bagi memastikan masyarakat mendapat perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, terbaik dan inklusif.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/15/kkm-perkukuh-tenaga-jururawat-menerusi-tiga-strategi-utama/feed/ 0 101635
Lebih 1,500 kekosongan Jururawat di Sabah, KKM diharap ambil tindakan segera https://sabahmedia.com/2025/05/14/lebih-1500-kekosongan-jururawat-di-sabah-kkm-diharap-ambil-tindakan-segera/ https://sabahmedia.com/2025/05/14/lebih-1500-kekosongan-jururawat-di-sabah-kkm-diharap-ambil-tindakan-segera/#respond Wed, 14 May 2025 02:48:47 +0000 https://sabahmedia.com/?p=73780
Read Time:43 Second

Kota Kinabalu : Seramai 1,554 jururawat diperlukan di negeri ini bagi mengisi kekosongan jawatan di fasiliti kesihatan di Sabah.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Dr Maria Suleiman berkata, meskipun menghadapi kekurangan kakitangan namun perkhidmatan kesihatan pada ketika ini dapat dioptimumkan dengan perjawatan sedia ada.

“Melihat kepada Jururawat di Sabah, setakat ini jawatan adalah sebanyak 11,741 jawatan. Daripada jawatan tersebut 10,210 telah diisi dengan kekosongan 1,554 jawatan.

“Untuk ini kami berharap dalam masa terdekat ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat mengisi jawatan yang kosong ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Hari Jururawat peringkat negeri Sabah di Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2 di sini semalam.

Dr Maria berkata, sebanyak tiga institut latihan di bawah KKM di Sabah antara di Kota Kinabalu; Sandakan dan Tawau.
“Setiap tahun, kita melahirkan antara 300 hingga 400 graduan jururawat,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/05/14/lebih-1500-kekosongan-jururawat-di-sabah-kkm-diharap-ambil-tindakan-segera/feed/ 0 73780
Kesedaran derma darah perlu dipertingkatkan https://sabahmedia.com/2025/05/13/kesedaran-derma-darah-perlu-dipertingkatkan/ https://sabahmedia.com/2025/05/13/kesedaran-derma-darah-perlu-dipertingkatkan/#respond Tue, 13 May 2025 05:12:44 +0000 https://sabahmedia.com/?p=73737
Read Time:1 Minute, 52 Second

Kota Kinabalu: Penganjuran program berkaitan kesedaran mengenai kepentingan menderma darah khususnya di negeri ini perlu terus ditingkatkan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keperluan darah harian di Sabah adalah sebanyak 300 unit, dan setiap tahun, negeri ini memerlukan kira-kira 110,000 hingga 120,000 unit darah untuk memenuhi keperluan pesakit. 

“Namun, sehingga kini, hanya 75,000 unit berjaya dikumpulkan setiap tahun,” katanya semasa sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri 2025 dan program derma darah yang diadakan di lobi utama Hospital Queen Elizabeth II, di sini pada Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Hajiji berkata, kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan sektor awam mampu meningkatkan kesedaran tentang pendermaan darah dan menarik lebih ramai orang awam untuk menjadi penderma tetap.

“Sesungguhnya, menderma darah secara sukarela membantu menyelamatkan nyawa pesakit,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, memandangkan kualiti sistem penjagaan kesihatan sangat bergantung kepada kualiti tenaga kerja kejururawatan, pelaburan dalam latihan, kebajikan dan pembangunan kerjaya jururawat adalah penting bagi menjamin kelestarian sistem kesihatan negara.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri sentiasa menghargai dan menyokong para jururawat yang berkhidmat di Sabah yang sanggup berkorban masa dan tenaga demi menjaga kesihatan rakyat. Saya berharap semua jururawat akan terus berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan, khususnya di negeri ini,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada jururawat yang disifatkan sebagai tulang belakang sistem kesihatan negara.

“Sambutan Hari Jururawat bukan sekadar acara simbolik tetapi satu pengiktirafan besar terhadap golongan yang menjadi tunjang kepada sistem penjagaan kesihatan negara iaitu jururawat kita.

“Selaras dengan tema tahun ini, ‘Jururawat Kita Masa Depan Kita: Prihatin Terhadap Jururawat Mengukuhkan Ekonomi’, peranan jururawat bukan sekadar sebagai ‘penjaga pesakit’ di hospital, malah mereka adalah pemangkin kesejahteraan komuniti, pendidik kesihatan dan petugas barisan hadapan dalam menangani krisis kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut mengimbas kembali peranan luar biasa jururawat semasa pandemik COVID-19 beberapa tahun lalu, bukan sahaja dari aspek rawatan dan pemantauan, malah turut memberi sokongan emosi dan moral kepada pesakit dan ahli keluarga mereka.

“Ada yang terpaksa berpisah dengan keluarga, pasangan dan anak-anak demi menjalankan tanggungjawab ketika itu.

“Sesungguhnya, mereka adalah wira yang tidak didendangkan, yang tetap tabah dan cekal bekerja dalam pelbagai keadaan mencabar, sama ada di wad, unit kecemasan, klinik kesihatan luar bandar mahupun di kawasan bencana,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/05/13/kesedaran-derma-darah-perlu-dipertingkatkan/feed/ 0 73737
((VIDEO)) – Pesakit Sembuh COVID-19 Jadi Kenangan Manis Berharga Buat Jururawat https://sabahmedia.com/2021/08/31/video-pesakit-sembuh-covid-19-jadi-kenangan-manis-berharga-buat-jururawat/ https://sabahmedia.com/2021/08/31/video-pesakit-sembuh-covid-19-jadi-kenangan-manis-berharga-buat-jururawat/#respond Tue, 31 Aug 2021 05:25:27 +0000 https://sabahmedia.com/?p=5590
Read Time:1 Minute, 19 Second

KLANG : “Pesakit sembuh dari COVID-19, itu kenangan manis paling berharga buat diri saya dan semua petugas barisan hadapan,” kata Jururawat Rosiani Paulus.

Dia yang bertugas sebagai Jururawat disalah sebuah hospital swasta disini mengakui meskipun berasa keletihan membantu merawat pesakit COVID-19 namun ia memerlukan ketahanan fizikal dan mental.

Katanya, pengalaman menjaga pesakit COVID-19 juga sukar digambarkan dengan kata-kata kerana hampir setiap hari mereka menerima pesakit yang memerlukan oksigen selain perlu ditidurkan.

“Sebagai Jururawat, pengalaman menjaga pesakit COVID-19 memang sukar digambarkan namun ini merupakan satu amanah untuk kami laksanakan bagi memastikan pesakit itu akan kembali sembuh seperti biasa.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal dahulu,keberangkalian untuk kami  dijangkiti amat tinggi.  Pada kali ini, tugas kami amat mencabar dimana kita diserang dengan virus varian baru mahu itu bukan halangan untuk kami mengalah, kami akan terus berjuang untuk pesakit kami,” katanya kepada Sabah Media disini baru-baru ini.

Rosiani yang berasal dari Tambunan Sabah itu berkata, bekerja selama lapan jam dengan menggunakan  Pakaian Perlindungan Diri (PPE) juga menjadi satu cabaran buat dirinya.

“Menggunakan PPE dalam tempoh yang lama sememangnya memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang tinggi kerana baju itu amat panas dan akan membuatkan kami berpeluh.

“Apa yang penting bagi kami, apabila pesakit sembuh sepenuhnya itu adalah kenangan manis bagi kami yang menjalankan tugas dan ucapan terima kasih dari pesakit juga menjadi kenangan manis buat kami,” katanya.

Dalam pada itu, Rosiani turut mengajak rakyat di Malaysia untuk berganding bahu menyahut cabaran melawan COVID-19 seperti mana pejuang terdahulu melawan penjajah bagi mencapai kemerdekaan negara ini.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/08/31/video-pesakit-sembuh-covid-19-jadi-kenangan-manis-berharga-buat-jururawat/feed/ 0 5590