Kaamatan – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Fri, 29 May 2026 04:56:12 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Kaamatan – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Harga 12 barangan Kaamatan dikawal hingga 4 Jun https://sabahmedia.com/2026/05/29/harga-12-barangan-kaamatan-dikawal-hingga-4-jun/ https://sabahmedia.com/2026/05/29/harga-12-barangan-kaamatan-dikawal-hingga-4-jun/#respond Fri, 29 May 2026 04:56:07 +0000 https://sabahmedia.com/?p=97462
Read Time:2 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan 2026 bermula 27 Mei hingga 4 Jun ini bagi memastikan harga barangan keperluan kekal terkawal sepanjang musim perayaan.

Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, pelaksanaan skim itu dipantau menerusi pemeriksaan dan walkabout yang dijalankan di beberapa premis perniagaan termasuk di Servay Hypermarket Jalan Penampang, Pekan Koidupan, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan diketuai Timbalan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Sabah, Fredeck Kantod bersama sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN Sabah bagi menilai tahap pematuhan peniaga di peringkat runcit dan borong.

“Tempoh pelaksanaan skim ini adalah selama sembilan hari iaitu tiga hari sebelum perayaan, sehari pada hari perayaan dan lima hari selepas perayaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 12 jenis barangan telah diwartakan di bawah SHMMP Pesta Kaamatan 2026 iaitu kepak ayam, daging kerbau import dari India, cili kering kerinting, bawang merah kecil India, bawang merah besar, bawang kuning besar, bawang putih dari China, halia tua import, ubi kentang dari China, babi hidup peringkat ladang, daging babi bahagian perut serta daging dan lemak babi.

Katanya, skim berkenaan dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bagi membolehkan penentuan harga dibuat di peringkat pemborong dan peruncit.

“Pelaksanaan skim ini bertujuan menstabilkan harga dan memastikan bekalan barangan mencukupi sepanjang musim perayaan selain membantu pengguna mendapatkan keperluan pada harga berpatutan,” katanya.

Beliau berkata, semakan harga terkawal boleh dibuat menerusi laman sesawang rasmi KPDN.

Dalam pada itu, KPDN Sabah menggerakkan 204 pegawai penguat kuasa dan 72 pegawai pemantau harga di seluruh negeri bagi memantau bekalan serta pematuhan harga di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah.

Sejak 1 Januari hingga 24 Mei lalu, sebanyak 3,620 premis telah diperiksa dengan 40 kes direkodkan membabitkan nilai kompaun RM4,900.

Shahril berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim berkenaan.

Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000.

Peniaga yang gagal meletakkan tanda harga merah jambu pula boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 bagi individu dan RM20,000 bagi syarikat.

Orang ramai boleh menyalurkan aduan melalui WhatsApp di talian 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, Call Centre 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/29/harga-12-barangan-kaamatan-dikawal-hingga-4-jun/feed/ 0 97462
17 barangan terlibat dalam Skim Harga Maksimum Kaamatan dan Gawai 2026 https://sabahmedia.com/2026/05/22/17-barangan-terlibat-dalam-skim-harga-maksimum-kaamatan-dan-gawai-2026/ https://sabahmedia.com/2026/05/22/17-barangan-terlibat-dalam-skim-harga-maksimum-kaamatan-dan-gawai-2026/#respond Fri, 22 May 2026 08:47:31 +0000 https://sabahmedia.com/?p=97141
Read Time:2 Minute, 32 Second

KUNDASANG: Sebanyak 17 jenis barangan akan terlibat dalam pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, skim berkenaan akan dilaksanakan bermula 27 Mei hingga 4 Jun ini membabitkan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut beliau, pelaksanaan selama sembilan hari itu mengambil kira kepentingan pengguna dan peniaga bagi memastikan harga barangan keperluan kekal berpatutan sepanjang musim perayaan.

“Pengguna dapat menikmati barangan keperluan pada harga yang munasabah manakala peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh pelaksanaan yang terlalu panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman SHMMP Kaamatan dan Gawai 2026 di Kampung Mesilau, di sini, pada Jumaat.

Bagi SHMMP Pesta Kaamatan 2026 di Sabah, sebanyak 12 jenis barangan disenaraikan berbanding 10 jenis pada tahun lalu dengan tambahan dua barangan baharu iaitu halia tua import dan ubi kentang dari China.

Barangan yang terlibat ialah babi hidup, daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), daging kerbau import dari India, kepak ayam, cili kering keriting, bawang merah kecil import dari India, bawang putih dari China, bawang kuning besar, bawang merah besar, halia tua import dan ubi kentang dari China.

Bagi WP Labuan pula, sebanyak 11 jenis barangan disenaraikan melibatkan daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), daging kerbau import dari India, kepak ayam, cili kering keriting, bawang merah kecil import dari India, bawang putih dari China, bawang kuning besar, bawang merah besar, halia tua import dan ubi kentang dari China.

Armizan berkata, perbandingan harga antara pelaksanaan SHMMP Kaamatan 2025 dan 2026 menunjukkan trend harga lebih stabil di Sabah dan Labuan.

“Di Sabah, enam barangan mencatatkan penurunan harga, tiga kekal dan dua barangan baharu diperkenalkan.

“Trend sama turut direkodkan di Labuan dengan enam barangan mengalami penurunan harga, dua kekal dan dua barangan baharu diperkenalkan,” katanya.

Sementara itu, bagi SHMMP Hari Gawai 2026 di Sarawak, sebanyak 12 jenis barangan disenaraikan berbanding 11 jenis tahun lalu dengan tambahan satu barangan baharu iaitu daging kerbau import dari India.

Antara barangan terlibat ialah babi hidup, daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), ayam tua hidup, kepak ayam, kubis bulat import, bawang putih dari China, cili kering keriting, kelapa biji, kelapa parut dan santan.

Menurut beliau, analisis harga bagi sambutan Hari Gawai tahun ini menunjukkan lima barangan mengalami penurunan harga manakala tiga lagi kekal pada harga semasa.

Katanya, skim berkenaan akan dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] dengan pegawai penguat kuasa KPDN ditempatkan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani, pasar tamu dan pusat membeli-belah.

“Peniaga diwajibkan menggunakan label merah jambu bagi barangan harga terkawal dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, KPDN turut bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta pemain industri bagi memastikan bekalan mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim.

Selain SHMMP, katanya, kementerian juga meneruskan pelaksanaan inisiatif Payung RAHMAH termasuk Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) dan Program Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert (SIM@PAX) bagi membantu menangani kos sara hidup rakyat.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/22/17-barangan-terlibat-dalam-skim-harga-maksimum-kaamatan-dan-gawai-2026/feed/ 0 97141
Hargai tanah dan hasil pertanian demi kelangsungan warisan Sabah – Joachim https://sabahmedia.com/2026/05/18/hargai-tanah-dan-hasil-pertanian-demi-kelangsungan-warisan-sabah-joachim/ https://sabahmedia.com/2026/05/18/hargai-tanah-dan-hasil-pertanian-demi-kelangsungan-warisan-sabah-joachim/#respond Mon, 18 May 2026 04:20:49 +0000 https://sabahmedia.com/?p=96886
Read Time:1 Minute, 44 Second

KOTA KINABALU: Masyarakat di negeri ini diseru agar sentiasa menghargai tanah serta hasil pertanian yang menjadi sumber kehidupan kepada ramai rakyat Sabah, khususnya komuniti luar bandar yang bergantung kepada sektor itu untuk meneruskan kehidupan.

Timbalan Ketua Menteri  Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata walaupun tidak semua rakyat terlibat secara langsung dalam bidang pertanian, sektor berkenaan tetap memainkan peranan penting dalam menjamin kelangsungan hidup masyarakat dan kestabilan ekonomi negeri.

“Mungkin kita tidak bertani, tetapi ada dalam kalangan masyarakat kita yang hidup bertani demi kelangsungan hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Kadazandusun Cultural Association (KDCA) Kapayan 2026 di Monstera Hall, De Borneo Waterpark, Kepayan, di sini.

Turut hadir Pengerusi Penyelaras KDCA Kapayan merangkap Ahli Majlis Tertinggi KDCA Pusat, Prof Ts. Jude Abel Logijin; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Thomas Logijin; Setiausaha Agung KDCA Pusat, Datuk Suman Yasambun; serta Naib Presiden KDCA Pusat, Datuk John Chrysto Masabal.

Joachim berkata, semangat menghargai budaya, perpaduan dan hasil bumi negeri perlu terus dipupuk agar Sabah kekal sebagai negeri yang harmoni, makmur dan kaya dengan warisan tradisi.

Beliau turut mengajak masyarakat supaya mengambil peluang sempena sambutan Pesta Kaamatan untuk terus menghormati dan menghargai kepelbagaian budaya, bangsa dan agama yang menjadi identiti unik Sabah.

“Hormatilah kepelbagaian yang menjadi keunikan kita di Sabah. Kita sebenarnya mempunyai banyak persamaan dengan mana-mana kaum lain, termasuk mereka yang bukan dalam kalangan kaum KDMR,” katanya.

Menurut beliau, persamaan antara kaum di Sabah dapat dilihat menerusi pelbagai aspek budaya dan tradisi, termasuk penggunaan alat muzik tradisional seperti gong yang sinonim dalam kebanyakan masyarakat di negeri ini.

“Contohnya dari segi peralatan muziknya, rata-rata kaum menggunakan alat muzik gong,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kekayaan budaya yang dimiliki Sabah mempunyai potensi besar untuk memperkukuh industri pelancongan negeri, khususnya sepanjang sambutan Pesta Kaamatan yang menjadi antara acara tahunan utama di Sabah.

“Kaamatan merupakan acara utama yang mampu menarik lebih ramai pelancong datang ke Sabah,” katanya.

Pesta Kaamatan merupakan sambutan tahunan yang diraikan bagi menghargai hasil tuaian serta memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sabah. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/18/hargai-tanah-dan-hasil-pertanian-demi-kelangsungan-warisan-sabah-joachim/feed/ 0 96886
Pesta Kaamatan tarik pelancong ke ibu negeri – Datuk Bandar https://sabahmedia.com/2026/05/10/pesta-kaamatan-tarik-pelancong-ke-ibu-negeri-datuk-bandar/ https://sabahmedia.com/2026/05/10/pesta-kaamatan-tarik-pelancong-ke-ibu-negeri-datuk-bandar/#respond Sun, 10 May 2026 12:53:14 +0000 https://sabahmedia.com/?p=96472
Read Time:49 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Sambutan Pesta Kaamatan yang diraikan setiap tahun khususnya di negeri ini berupaya menyumbang kepada perkembangan sektor pelancongan serta ekonomi bandaraya Kota Kinabalu.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, sambutan tahunan itu memainkan peranan penting dalam memperkukuh identiti budaya negeri di samping menarik kehadiran pengunjung tempatan dan luar ke ibu negeri Sabah.

“Sambutan seperti ini amat penting bagi Bandaraya Kota Kinabalu kerana ia memperkukuh warisan budaya, mengeratkan hubungan masyarakat, serta menyumbang kepada kemeriahan pelancongan dan ekonomi bandaraya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu di sini pada Ahad.

Majlis itu dirasmikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai bagi mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Sabin turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dalam menjayakan sambutan itu.

Beliau turut berharap penganjuran program seumpama itu dapat terus memperkukuhkan perpaduan rakyat selain mempromosikan Kota Kinabalu sebagai destinasi pelancongan budaya yang unik di Sabah. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/10/pesta-kaamatan-tarik-pelancong-ke-ibu-negeri-datuk-bandar/feed/ 0 96472
Kaamatan platform perkukuh perpaduan, pelihara warisan budaya Sabah https://sabahmedia.com/2026/05/10/kaamatan-platform-perkukuh-perpaduan-pelihara-warisan-budaya-sabah/ https://sabahmedia.com/2026/05/10/kaamatan-platform-perkukuh-perpaduan-pelihara-warisan-budaya-sabah/#respond Sun, 10 May 2026 07:53:23 +0000 https://sabahmedia.com/?p=96436
Read Time:1 Minute, 29 Second

NABAWAN : Sambutan Pesta Kaamatan terus menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan, keharmonian serta memelihara warisan budaya masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, sambutan itu bukan sekadar perayaan tradisi masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) sebaliknya mencerminkan semangat kebersamaan selain menjadi medium penyatuan masyarakat.

“Kaamatan membawa makna yang lebih besar daripada sekadar perayaan tahunan kerana ia melambangkan kekuatan perpaduan, identiti budaya dan keharmonian masyarakat.

“Ia bukan sahaja sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian dan rezeki yang dikurniakan malah menjadi simbol penyatuan masyarakat serta medium memperkukuh semangat gotong-royong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Nabawan dan Daerah Kecil Pagalungan Tahun 2026 di sini, pada Sabtu.

Abdul Ghani berkata, tema sambutan tahun ini, “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, mencerminkan semangat kebersamaan masyarakat dalam mengekalkan warisan budaya yang diwarisi turun-temurun.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembangunan daerah Nabawan dan Pagalungan akan terus diberi perhatian bagi memastikan kawasan berkenaan tidak ketinggalan daripada arus pembangunan semasa.

“Antara isu utama yang terus menjadi keutamaan ialah pemilikan tanah penduduk kampung, penyediaan infrastruktur asas, kebajikan masyarakat serta akses pendidikan berkualiti kepada anak-anak di kawasan luar bandar.

“Usaha berterusan akan dilaksanakan supaya pembangunan dapat dinikmati rakyat secara inklusif, khususnya masyarakat di kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa sambutan Kaamatan perlu dijadikan platform untuk mendekatkan generasi muda dengan warisan budaya, di samping membuka peluang pembangunan ekonomi melalui sektor pelancongan.

“Daerah Nabawan dan Pagalungan mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan budaya yang boleh dimanfaatkan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat.

“Semoga masyarakat supaya terus memelihara perpaduan dan keharmonian sebagai asas kestabilan sosial serta pembangunan mampan untuk generasi akan datang,” tambahnya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sambutan tersebut.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/10/kaamatan-platform-perkukuh-perpaduan-pelihara-warisan-budaya-sabah/feed/ 0 96436
Pesta Kaamatan Penampang tampil pelbagai acara menarik 16 Mei ini https://sabahmedia.com/2026/05/08/pesta-kaamatan-penampang-tampil-pelbagai-acara-menarik-16-mei-ini/ https://sabahmedia.com/2026/05/08/pesta-kaamatan-penampang-tampil-pelbagai-acara-menarik-16-mei-ini/#respond Fri, 08 May 2026 00:55:46 +0000 https://sabahmedia.com/?p=96315
Read Time:1 Minute, 30 Second

PENAMPANG: Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang yang akan berlangsung 16 Mei ini di Buhavan Square, di sini.

Presiden Majlis Perbandaran Penampang, Noemi Dyena John Tren berkata, sambutan berkenaan akan bermula seawal jam 8 pagi hingga 6 petang dengan pelbagai pengisian menarik untuk pengunjung.

Beliau berkata, pihak penganjur telah melakukan persiapan rapi termasuk penyelarasan logistik bagi memastikan kelancaran perjalanan program sepanjang sambutan berlangsung.

“Bagi memastikan keselesaan dan keselamatan orang awam, pihak Majlis Perbandaran Penampang melakukan penyelarasan logistik secara menyeluruh antaranya menyediakan kawasan parkir yang mencukupi untuk tetamu kehormat serta orang awam.

“Dari segi keselamatan dan kawalan lalu lintas, pihak kami bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta Jabatan Kesihatan yang sentiasa bersiap sedia di tapak acara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi temu bual Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang, pada Selasa.

Noemi berkata, sambutan tahun ini membawa tema “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian” yang diharap mampu memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di daerah itu.

“Saya berharap agar nilai-nilai keharmonian ini terus terpelihara melalui sambutan perayaan yang penuh bermakna ini,” katanya.

Pelbagai acara menarik turut disusun sepanjang sambutan termasuk sukan tradisional, pameran reruai agensi kerajaan, jualan produk tempatan, cabutan bertuah, persembahan artis dan pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Daerah Penampang.

Majlis perasmian sambutan itu akan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick.

Sebelum sambutan utama berlangsung, beberapa acara sampingan turut diadakan termasuk Pertandingan Sugandoi pada 7 Mei 2026 di MSGR Wachter Hall, St Michael’s Parish Penampang.

Ia akan disusuli dengan Pertandingan Randawi Tavantang Kaamatan Daerah Penampang pada 9 Mei 2026 di Ming Garden Hotel.

Sambutan Pesta Kaamatan saban tahun menjadi platform penting dalam memelihara warisan budaya masyarakat Kadazandusun selain mengeratkan hubungan silaturahim dan perpaduan rakyat berbilang kaum di Sabah.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/08/pesta-kaamatan-penampang-tampil-pelbagai-acara-menarik-16-mei-ini/feed/ 0 96315
Kaamatan medium perkukuh persaudaraan dan identiti budaya – Matbali https://sabahmedia.com/2026/05/05/kaamatan-medium-perkukuh-persaudaraan-dan-identiti-budaya-matbali/ https://sabahmedia.com/2026/05/05/kaamatan-medium-perkukuh-persaudaraan-dan-identiti-budaya-matbali/#respond Tue, 05 May 2026 00:32:07 +0000 https://sabahmedia.com/?p=96120
Read Time:57 Second

SIPITANG : Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Sipitang 2026 terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh nilai kebersamaan masyarakat serta mengangkat martabat budaya tempatan.

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berkata, penganjuran program itu bukan sahaja menjadi wadah memperkenalkan keindahan budaya, malah turut mempromosikan keunikan sambutan Kaamatan di daerah berkenaan.

“Program ini melambangkan keharmonian dan semangat muhibah yang perlu terus dipelihara selaras dengan tema tahun ini.

“Penghormatan kepada semangat padi juga penting kerana ia merupakan sebahagian daripada identiti budaya masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan sambutan itu di Dewan Serbaguna Sipitang, di sini.

Menurut beliau, program seumpama itu turut berperanan mendidik generasi muda agar terus menghargai dan memelihara tradisi warisan agar tidak luput ditelan zaman.

Katanya, usaha berterusan perlu dilakukan bagi menarik minat golongan muda untuk mengenali serta mempromosikan kepelbagaian budaya dan adat resam di Sabah.

“Sambutan ini juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan serta memperkukuh ukhuwah antara kaum, sekali gus menjadi pelengkap kepada penyatuan masyarakat pelbagai latar belakang di daerah ini,” katanya.

Beliau berharap sambutan Kaamatan di Sipitang akan terus mendapat sokongan padu masyarakat setempat serta agensi berkaitan bagi memastikan kelangsungan budaya tersebut.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/05/kaamatan-medium-perkukuh-persaudaraan-dan-identiti-budaya-matbali/feed/ 0 96120
KDCA Semenanjung digesa perkasa promosi pelancongan domestik Sabah https://sabahmedia.com/2026/05/04/kdca-semenanjung-digesa-perkasa-promosi-pelancongan-domestik-sabah/ https://sabahmedia.com/2026/05/04/kdca-semenanjung-digesa-perkasa-promosi-pelancongan-domestik-sabah/#respond Mon, 04 May 2026 09:43:19 +0000 https://sabahmedia.com/?p=96103
Read Time:1 Minute, 42 Second

MELAKA :  Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) di Semenanjung digesa untuk memainkan peranan lebih proaktif dalam menyokong usaha agresif Sabah melalui Lembaga Pelancongan Sabah (STB) bagi mempromosikan pelancongan domestik.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai berkata, ia khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan global termasuk konflik di Timur Tengah.

Beliau yang juga Pengerusi STB berkata, pendekatan itu penting dengan memanfaatkan keunikan budaya, tradisi dan warisan sebagai tarikan utama negeri Sabah.

“Dalam situasi ini, kita perlu memperkukuh pelancongan domestik dengan mengetengahkan kekuatan Sabah yang berasaskan kepelbagaian budaya, tradisi serta warisan kulinari kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Kaamatan anjuran KDCA Melaka, di sini.

Selain masyarakat Sabah di Melaka, sambutan Kaamatan yang menampilkan pelbagai acara kebudayaan itu turut disertai masyarakat tempatan pelbagai kaum.

Menurut Joniston, Sabah mempunyai kelebihan tersendiri yang mampu menarik pelancong dari seluruh negara, termasuk kepelbagaian etnik, keindahan alam semula jadi serta pengalaman budaya yang autentik.

Beliau turut memaklumkan bahawa Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, telah merakamkan klip video khas bagi mempromosikan Pesta Kaamatan ke peringkat antarabangsa, selari dengan usaha memperkenalkan perayaan itu sebagai acara budaya unik kepada dunia.

Katanya, STB akan terus bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak termasuk komuniti budaya bagi memastikan sektor pelancongan Sabah kekal berdaya tahan dan kompetitif.

Sehubungan itu, beliau menyeru tujuh cawangan KDCA di Semenanjung termasuk Putrajaya, Lembah Klang, Johor, Perak, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan agar memainkan peranan sebagai duta kecil dalam memperluaskan promosi Sabah.

“Jaringan komuniti ini boleh membantu memperluaskan capaian promosi dan menarik lebih ramai pelancong domestik ke Sabah,” katanya.

Joniston turut menekankan bahawa tema Kaamatan tahun ini, “Kaamatan Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, selari dengan usaha merapatkan hubungan antara komuniti pelbagai kaum melalui platform budaya.

Beliau menggalakkan KDCA di Semenanjung agar terus memperluaskan jemputan kepada masyarakat setempat daripada pelbagai latar belakang untuk turut serta dalam sambutan Kaamatan.

“Pendekatan ini bukan sahaja memperkenalkan budaya Sabah dengan lebih meluas, tetapi juga memperkukuhkan semangat perpaduan dan keharmonian,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat Sabah di perantauan agar terus menyokong dan menghadiri acara kebudayaan anjuran komuniti lain sebagai tanda hormat, keterbukaan dan semangat kebersamaan.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/04/kdca-semenanjung-digesa-perkasa-promosi-pelancongan-domestik-sabah/feed/ 0 96103
Peningkatan keterjaminan makanan dan SSR keutamaan Kerajaan Negeri https://sabahmedia.com/2026/05/01/peningkatan-keterjaminan-makanan-dan-ssr-keutamaan-kerajaan-negeri/ https://sabahmedia.com/2026/05/01/peningkatan-keterjaminan-makanan-dan-ssr-keutamaan-kerajaan-negeri/#respond Fri, 01 May 2026 04:20:06 +0000 https://sabahmedia.com/?p=95906
Read Time:2 Minute, 53 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

PAPAR: Kerajaan Sabah memperuntukkan sejumlah RM559.85 juta kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) tahun ini bagi meningkatkan keterjaminan makanan dan Kadar Sara Diri (SSR) negeri Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelbagai usaha juga telah dan sedang dilaksanakan kerajaan bagi memastikan keterjaminan makanan di negeri ini seperti melalui penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah serta pembangunan jelapang padi di seluruh negeri.

Beliau berkata, ia termasuklah di Papar dan daerah sekitarnya seperti Membakut, Beaufort dan Kuala Penyu.

“Sesuai dengan semangat Pesta Kaamatan yang menghargai hasil tuaian, sektor pertanian kekal sebagai salah satu daripada tiga tonggak utama yang memacu pertumbuhan ekonomi negeri, di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0).

“Ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan sekuriti makanan kekal kukuh, khususnya dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia pada hari ini,” katanya pada majlis pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Masyarakat di sini pada Jumaat.

Pada masa yang sama, Hajiji turut menggalakkan rakyat untuk menyokong produk tempatan, khususnya hasil pertanian negeri Sabah sendiri sebagai langkah memperkukuh ekonomi domestik.

“Kemajuan yang kita kecapi hari ini tidak akan bermakna tanpa perpaduan dan kerjasama yang utuh dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

“Oleh itu, saya menyeru seluruh rakyat Sabah untuk terus berganding bahu bersama kerajaan dalam menjayakan setiap agenda khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.

Hajiji berkata Kerajaan juga akan terus melaksanakan pelbagai lagi inisiatif bantuan bagi meningkatkan taraf hidup dan sosio ekonomi rakyat, termasuk meneruskan bantuan sedia ada dalam aspek pendidikan, modal insan dan kesejahteraan rakyat.

Kerajaan Negeri, katanya komited dalam memastikan pembangunan yang inklusif dan seimbang di seluruh negeri ini, agar setiap lapisan masyarakat dapat menikmati kemakmuran yang dikecapi.

“Kita lihat sendiri di Papar, daerah ini menampilkan perubahan yang amat membanggakan dengan beberapa projek pembangunan infrastruktur dan komersial yang telah dan sedang giat dilaksanakan, termasuklah di Benoni dan kawasan sekitar Kinarut,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, selepas projek Lebuhraya Pan Bomeo siap sepenuhnya, Papar juga mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai lokasi persinggahan utama pelawat dari Brunei dan Sarawak.

Selain itu, Hajiji berkata, Papar turut mempunyai pusat kebudayaan Borneo Cultural Village dan Sekolah Adat Anak Negeri Sabah dan mampu menjadi sebuah daerah yang progresif dan berdaya saing. katanya.

Beliau menambah pemilihan Papar sebagai tuan rumah pelancaran Pesta Kaamatan pada tahun ini amat bertepatan kerana Papar terkenal sebagai antara kawasan jelapang padi yang subur di negeri Sabah.

“Daerah Papar bukan sahaja kaya dengan hasilnya, tetapi juga kaya dengan nilai budaya dan semangat kekitaan masyarakatnya yang berbilang kaum, yang hidup dalam suasana aman dan harmoni. Inilah cerminan sebenar wajah cerminan sebenar wajah Sabah yang kita banggakan,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, keunikan ini amat bertepatan dengan tema Pesta Kaamatan tahun ini iaitu “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian yang menzahirkan kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat Sabah yang berbilang kaum dan etnik.

Beliau merasa gembira dengan kehadiran dan semangat yang ditunjukkan oleh semua yang hadir pada majlis pelancaran Pesta Kaamatan ini tanpa mengira agama dan bangsa.

“Ini memperlihatkan tanggungjawab kita bersama untuk memastikan warisan seperti perayaan ini terus dipelihara, diperkasa dan diwariskan kepada generasi akan datang.

“Untuk itu, generasi muda harus dididik untuk memahami, menghormati dan menerima kepelbagaian sebagai satu landasan keharmonian dan kekuatan perpaduan, terutama dalam dunia yang semakin moden dan mencabar ini.

“Marilah kita terus memperkukuh perpaduan, memelihara keharmonian dan bersama-sama membina masa depan yang lebih gemilang untuk negeri Sabah yang kita cintai ini,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/01/peningkatan-keterjaminan-makanan-dan-ssr-keutamaan-kerajaan-negeri/feed/ 0 95906
10,000 pengunjung dijangka meriahkan pelancaran Pesta Kaamatan 2026 di Papar https://sabahmedia.com/2026/04/29/10000-pengunjung-dijangka-meriahkan-pelancaran-pesta-kaamatan-2026-di-papar/ https://sabahmedia.com/2026/04/29/10000-pengunjung-dijangka-meriahkan-pelancaran-pesta-kaamatan-2026-di-papar/#respond Wed, 29 Apr 2026 04:20:15 +0000 https://sabahmedia.com/?p=95776
Read Time:54 Second

KOTA KINABALU: Kira-kira 10,000 pengunjung dijangka menghadiri Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan 2026 peringkat negeri yang akan berlangsung di Papar pada 1 Mei ini.

Pegawai Daerah Papar, Muhammad Mohd Ali berkata, sambutan itu dijangka menerima kehadiran orang ramai dari pelbagai daerah, sekali gus memeriahkan acara tahunan yang sinonim dengan masyarakat Sabah.

Beliau berkata, persiapan penganjuran kini berada pada tahap memuaskan selepas dilaksanakan secara rapi sejak awal April oleh jawatankuasa pelaksana.

“Segala persiapan termasuk pengisian program di dalam dan luar Dewan Masyarakat Papar berjalan lancar menjelang hari pelancaran,” katanya.

Majlis pelancaran itu akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, selain turut dihadiri barisan pemimpin negeri, ketua jabatan serta jemputan khas dari Kalimantan Utara.

Muhammad berkata, penganjuran Kaamatan bukan sahaja bertujuan memartabatkan budaya tradisi, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

Dalam pada itu, Papar turut mencatat sejarah apabila dipilih sebagai tuan rumah majlis pelancaran peringkat negeri buat pertama kali.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput untuk hadir bagi memeriahkan sambutan serta bersama-sama mengekalkan warisan budaya yang menjadi identiti Sabah.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/04/29/10000-pengunjung-dijangka-meriahkan-pelancaran-pesta-kaamatan-2026-di-papar/feed/ 0 95776