Oleh Sitti Nor Azizah Talata
KALABAKAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk membawa Kalabakan ke arah pembangunan pesat dan seimbang seiring aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ).
Hajiji berkata Kalabakan mempunyai kelebihan geografi, sumber alam dan kekayaan budaya yang mampu mh enjadikannya sebuah daerah progresif, makmur dan berdaya saing.
“Ekonomi rakyat adalah keutamaan dalam dasar kerajaan negeri. Di Kalabakan, sektor pertanian, perikanan, perladangan, dan pelancongan merupakan tonggak utama yang akan terus diperkukuh,” katanya ketika berucap pada majlis `Kalabakan Laju Untuk Maju’ yang diadakan di Dewan Terbuka Pejabat Daerah Kalabakan, di sini semalam.
Pada majlis itu, Hajiji diwakili Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib. Majlis tersebut turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan A. Gani Pg Amir serta pimpinan masyarakat setempat.
Dalam majlis tersebut, turut diadakan penyerahan geran tanah, penyerahan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya serta Anugerah Pelajar Cemerlang sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan pendidikan anak-anak tempatan.
Antara tanaman bernilai tinggi yang berpotensi diusahakan di daerah itu ialah kelapa sawit, koko, getah dan buah-buahan tropika yang bukan sahaja memenuhi pasaran tempatan malah berpotensi besar untuk eksport.
Dalam masa sama, Hajiji yakin pelancongan berasaskan alam semula jadi, hutan tropika serta budaya masyarakat setempat mampu membuka peluang pekerjaan baharu kepada penduduk.
Menurutnya, kerajaan negeri sedang melaksanakan pelbagai projek infrastruktur termasuk menaiktaraf jalan raya utama dan luar bandar, meningkatkan bekalan air serta liputan elektrik, selain memperkukuh sektor pendidikan agar sekolah-sekolah dilengkapi kemudahan moden dan kondusif.
Hajiji turut menekankan peluang strategik Kalabakan susulan pemindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara di Kalimantan.
Katanya, kerajaan negeri telah merangka pelbagai strategi termasuk cadangan pembinaan jalan raya baharu yang menghubungkan Simanggaris (Kalimantan) dan Serudong (Kalabakan) bagi merancakkan sosioekonomi.
“Apabila jalan ini siap kelak, ia akan memberi impak besar kepada pembangunan bukan sahaja di Kalabakan malah seluruh Sabah,” ujarnya.
Hajiji menyeru agar rakyat Kalabakan tidak mudah terpengaruh dengan dakyah negatif pihak tertentu, sebaliknya terus memberi sokongan agar setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Pilihan raya negeri akan datang sangat penting kerana ia akan menentukan kesinambungan pembangunan negeri Sabah di bawah GRS. Masa depan Sabah terletak di tangan kita, maka buatlah pilihan terbaik yang menjamin kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik,” katanya.
]]>KALABAKAN: Daerah Kalabakan mempunyai potensi besar untuk menjadi destinasi pelancongan yang mampu menarik pelancong asing, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew.
Beliau berkata ini terutamanya dengan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan.
“Manakala Gajah Borneo juga menjadi tarikan utama dalam industri pelancongan di Sabah melalui pelbagai produk pelancongan yang menumpukan kepada hidupan liar.
“Justeru, terdapat beberapa tempat pelancongan yang menawarkan pengalaman unik di Sabah seperti Santuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan, Rezab Hidupan Liar Tabin, Kawasan Konservasi Lembah Danum, dan Lembangan Maliau.
“Bagaimanapun, saya dimaklumkan di Kalabakan juga kita boleh melihat gajah bebas berkeliaran di sana. Jika kita semua bersatu hati dalam menjaga dan melindungi Gajah Borneo di kawasan ini, tidak mustahil Kalabakan akan menjadi antara destinasi pelancongan yang menarik di mana pelawat boleh melihat spesies ini dan sekali gus meningkatkan eko-pelancongan di sini. Ini adalah warisan berharga yang boleh kita wariskan kepada generasi akan datang,” kata Christina dalam ucapannya sempena Sambutan Hari Gajah Sedunia 2023 peringkat Negeri di Dewan Terbuka, Pejabat Daerah Kalabakan, di sini, pada Jumaat.
Ia dianjurkan bersama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dan Pejabat Daerah Kalabakan.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kementerian Murad Abdul Rashid.
Hari Gajah Sedunia jatuh pada 12 Ogos setiap tahun. Ia diasaskan dan dimulakan oleh mendiang Patricia Sims seorang pembuat filem Kanada yang menghasilkan dokumentari tentang alam semula jadi dan pemuliharaan, dan hubungan antara manusia dan haiwan, bersama-sama dengan Raja dan Ratu Thailand.
Program Jelajah Kesedaran Hari Gajah Sedunia 2023 telah bermula pada 24 Julai lalu dengan tumpuan kepada pelajar sekolah dan guru di Daerah Tawau; pertemuan dengan masyarakat di Tongod; dan Pesta Hari Gajah di Daerah Beluran.
Dianggarkan lebih 2,640 peserta telah menghadiri dan mengikuti program tersebut.
Penyertaan besar ini, kata Christina, memenuhi objektif sambutan tahun ini, iaitu menyebarkan mesej kesedaran orang ramai berhubung perlindungan gajah terhadap ancaman kritikal, dan memberi penghargaan kepada semua rakan pemuliharaan yang aktif dalam pemuliharaan Gajah Borneo.
Di Sabah, Gajah Borneo (nama saintifik Elephas maximus borneensis) adalah mamalia yang dikategorikan sebagai hidupan liar terancam dalam Red List, International Union for Conservation of Nature (IUCN).
Bagi menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri terhadap perlindungan spesies ini, Christina berkata status perlindungan Gajah Borneo dinaikkan daripada Haiwan Dilindungi kepada Haiwan Dilindungi Sepenuhnya pada 2013 di bawah Enakmen Pemerliharaan Hidupan Liar, 1997.
Memetik statistik, katanya di Sabah, dianggarkan terdapat kira-kira 1500 ekor gajah yang terdapat di kawasan habitat hutan di Pantai Tengah dan Timur Sabah.
“Populasi Gajah Borneo sangat terancam kepupusan disebabkan beberapa faktor. Antara faktor utama ialah kawasan habitat yang sesuai untuk gajah semakin berkurangan akibat perubahan guna tanah di Sabah.
Dijelaskan bahawa banyak kes kematian gajah yang berlaku di Sabah berkait rapat dengan masalah
konflik antara gajah dan manusia terutama di kawasan ladang dan penempatan manusia.
Pada ketika ini, Christina berkata Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) melalui Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL), telah melaksanakan pelan pengurusan jangka pendek dan jangka panjang selaras dengan Pelan Tindakan Gajah Borneo (2020-2029) untuk menjaga kelestarian populasi Gajah Borneo dan kesejahteraan rakyat.
“Ini kerana gajah adalah haiwan yang memerlukan kawasan pergerakan yang luas untuk mencari makanan dan menjalani kehidupan ekologi mereka,” tambahnya.
Menurutnya, pada tahun ini, pelbagai usaha dan program telah dilaksanakan seiring dengan Pelan Tindakan Gajah Borneo. Antara usaha tersebut ialah : Mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk kawasan liar gajah dan koridor gajah; Penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) untuk aktiviti mitigasi konflik manusia-gajah; Latihan menyeluruh kepada masyarakat tempatan untuk menangani konflik gajah-manusia; Penubuhan kumpulan sukarelawan dalam kalangan masyarakat tempatan untuk membantu mengiringi gajah keluar dari kawasan yang menghadapi konflik tersebut; Penambahbaikan kemudahan kandang gajah di Taman Hidupan Liar Lok Kawi; Latihan teknikal penjaga gajah untuk gajah dalam kurungan, di Indonesia; dan program pendidikan pemuliharaan Gajah.
Selaras dengan tema Hari Gajah Sedunia 2023 “SAFEGUARDING ELEPHANT HABITATS FOR A SUSTAINABLE TOMORROW”, Christina menegaskan adalah wajar untuk mengambil kira kepentingan laluan pergerakan gajah ini untuk mengurangkan ancaman kepada tanaman pertanian dan perladangan dengan mewujudkan korridor hidupan liar serta cara mitigasi konflik yang berkesan.
Menurutnya, pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengurangkan kesan gangguan gajah dan mencegahnya
gajah daripada memasuki ladang dan kawasan pertanian. Ini termasuk mewujudkan koridor gajah, membina dan menyelenggara pagar elektrik, dan menanam sumber makanan untuk gajah di kawasan yang sesuai.
“Kementerian saya melalui Jabatan Hidupan Liar Sabah sentiasa mengambil tindakan terhadap aduan mengenai serangan gajah yang merosakkan tanaman, dan memberi khidmat nasihat berhubung pendekatan yang boleh diambil pihak terbabit bagi mengurangkan kerosakan yang dialami.
“Tahun ini sahaja, kami menerima lebih 142 aduan mengenai konflik gajah, dengan majoriti berlaku di kawasan Pantai Timur Sabah, di mana 77 aduan datang dari Daerah Tawau,” katanya.
Sementara itu, beliau melahirkan harapan agar populasi Gajah Borneo di Sabah akan menjadi stabil, dan lebih ramai rakan pemuliharaan daripada masyarakat setempat dapat membantu dalam mengurangkan konflik gajah-manusia.
Mengakui pelbagai bentuk bantuan dan sokongan daripada rakan pemuliharaan yang terdiri daripada NGO, pihak perladangan, dan juga masyarakat setempat yang telah menawarkan diri dan dilantik sebagai Warden Kehormat Hidupan Liar khususnya dalam menangani konflik gajah-manusia.
“Terima kasih kepada semua rakan pemuliharaan kami yang terlibat dalam
pemuliharaan Gajah Borneo, khususnya kepada masyarakat tempatan, seperti Aki Karamuak, industri perladangan di Kalabakan, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Semoga kerjasama padu ini akan terus berkekalan,” katanya.
Turut hadir Timbalan Pengarah JHL Sabah Roland Oliver Niun.
]]>5 Jun 2021
Erdie Ab Wahid
[email protected]
KOTA KINABALU : Operasi perniagaan di daerah Tawau dan Kalabakan dihadkan serta merta susulan situasi semasa penularan wabak COVID-19 yang amat membimbangkan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, masa operasi perniagaan yang dibenarkan adalah bermula 9 pagi sehingga 5 petang.
“Susulan dengan situasi semasa penularan wabak COVID-19 di Tawau, kerajaan negeri memutuskan untuk mengehadkan masa operasi bagi semua operasi perniagaan.
“Dengan mengambilkira juga situasi yang sedang berlaku di daerah ini, maka masa operasi bagi semua operasi perniagaan di daerah Kalabakan turut dihadkan,”katanya dalam kenyataan disini malam ini.
Masidi yang juga Jurucakap Rasmi COVID-19 Sabah berkata, masyarakat di dua daerah ini adalah dikehendaki mematuhi masa operasi yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Hari ini Sabah mencatatkan kes COVID-19 sebanyak 259 kes dimana Tawau mencatatkan 58 kes manakala Kalabakan merekodkan dua kes jangkitan virus berkenaan.
]]>