kawang – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Fri, 16 Jan 2026 12:37:43 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png kawang – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Penyambungan silang paip atasi gangguan air Kinarut, Kawang https://sabahmedia.com/2026/01/16/penyambungan-silang-paip-atasi-gangguan-air-kinarut-kawang/ https://sabahmedia.com/2026/01/16/penyambungan-silang-paip-atasi-gangguan-air-kinarut-kawang/#respond Fri, 16 Jan 2026 12:32:02 +0000 https://sabahmedia.com/?p=89849
Read Time:2 Minute, 17 Second

PAPAR: Kerja-kerja penyambungan silang (inter-connection) antara rangkaian paip dari tangki utama P1 LRA Kogopon ke rangkaian paip tangki utama P3 di Kawang dilaksanakan sebagai langkah mitigasi segera bagi menangani gangguan serius bekalan air yang berlarutan sejak penghujung Disember tahun lalu.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, ADUN Limbahau dan Pegawai Daerah Papar turun meninjau status kemajuan kerja penyambungan silang tersebut, petang tadi.

Semasa tinjauan itu, taklimat berhubung pelaksanaan projek itu telah disampaikan oleh Jurutera Air Papar serta pihak kontraktor yang terlibat.

Menurut Armizan, pelaksanaan penyambungan silang paip P1 ke P3 itu adalah susulan keputusan mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri pada 8 Januari lalu, bagi membincangkan isu gangguan serius bekalan air di Mukim Kinarut/Kawang.

“Penyambungan silang ini merupakan antara langkah mitigasi serta-merta yang diambil sementara menunggu projek jangka panjang disiapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Armizan menjelaskan, projek naik taraf LRA Kogopon yang melibatkan kapasiti tambahan sebanyak 40 juta liter sehari (JLH) atau dikenali sebagai Kogopon 2 telah bermula pada Ogos 2023 dan dijadualkan siap pada Ogos 2026 selepas tempoh pelaksanaan selama tiga tahun.

Mengambil kira projek tersebut masih berjalan dan gangguan bekalan air semakin kritikal, beliau berkata, mesyuarat pada 8 Januari lalu memutuskan agar kapasiti rawatan air di LRA Kogopon sedia ada yang berkapasiti 40 JLH ditingkatkan secara sementara sebanyak 10 peratus, bersamaan antara 3.5 hingga 4 JLH.

“Kapasiti tambahan ini akan disalurkan terus dari P1 ke P3 bagi menampung keperluan kritikal di Mukim Kinarut/ Kawang,” katanya.

Tambah beliau, penyambungan silang itu turut membolehkan jarak pembekalan air dari P1 di LRA Kogopon ke P3 di Mukim Kinarut/Kawang dipendekkan daripada 33 kilometer kepada 10.3 kilometer.

“Bagi melaksanakan peningkatan kapasiti rawatan sementara tersebut, kerja-kerja terlibat merangkumi penyambungan silang rangkaian paip sedia ada di dua lokasi, penggantian injap di bahagian pengambilan LRA Kogopon sedia ada serta penggantian pam air di loji berkenaan.

“Kerja-kerja di lapangan telah bermula pada 9 Januari 2026 dan dijalankan secara berterusan 24 jam sehari kecuali ketika hujan lebat, dengan sasaran keseluruhan proses siap pada 24 Januari ini,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan proses penggantian injap akan memerlukan penutupan sementara loji selama kira-kira 10 jam bermula lewat malam 20 Januari 2026, tertakluk kepada keadaan cuaca.

“Kita mengharapkan langkah mitigasi segera ini dapat mengurangkan gangguan bekalan air serius di Mukim Kinarut dan Kawang, sekali gus menyelesaikan isu catuan yang telah lama dihadapi penduduk sehingga penyelesaian jangka panjang dicapai melalui siapnya LRA Kogopon 2 pada suku keempat 2026,” katanya.

Beliau menambah, pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan memaklumkan secara rasmi kawasan terlibat dengan penutupan sementara loji tersebut dalam masa terdekat.

“Kita ikhtiarkan sehabis baik untuk menghentikan kesusahan yang dihadapi penduduk setempat sejak sekian lama,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/01/16/penyambungan-silang-paip-atasi-gangguan-air-kinarut-kawang/feed/ 0 89849
Color Light Aidilfitri tarik minat pengunjung dalam dan luar negara ke DUN Kawang https://sabahmedia.com/2025/04/14/color-light-aidilfitri-tarik-minat-pengunjung-dalam-dan-luar-negara-ke-dun-kawang/ https://sabahmedia.com/2025/04/14/color-light-aidilfitri-tarik-minat-pengunjung-dalam-dan-luar-negara-ke-dun-kawang/#respond Mon, 14 Apr 2025 07:38:16 +0000 https://sabahmedia.com/?p=71938
Read Time:2 Minute, 29 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PAPAR: Pertandingan Color Light Tertutup Bahagian Kawang Sempena Aidilfitri 2025 yang berlangsung selama dua malam pada 12 dan 13 April bukan sahaja menceriakan suasana perayaan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang di sini, malah berjaya menarik kehadiran pengunjung dari luar negeri termasuk Sarawak, Semenanjung Malaysia dan negara Brunei Darussalam.

Johan… Hiasan lampu rumah Azizul Ramli di Kg Beringis.

Dengan tema Kemeriahan Aidilfitri, program anjuran Pemuda Gagasan Rakyat DUN Kawang bersama komuniti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia ini memasuki edisi kedua selepas penganjuran sulungnya di peringkat mukim dan kampung pada tahun lalu. Tahun ini, pertandingan diperluas ke seluruh DUN Kawang dengan penyertaan 35 buah rumah dari Kampung Beringis, Kawang, Kinarut, Pengalat Besar dan Pengalat Kecil.

Azrul (tengah) pada sidang media semasa mengadakan lawatan rumah-rumah yang menyertai pertandingan Color Light Aidilfitri 2025 di Kg Beringis.

Naib Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Pusat merangkap Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Jabatan Ketua Menteri Sabah, Azrul Ibrahim, berkata pertandingan kali ini menampilkan kelainan apabila peserta mengetengahkan suasana simulasi Aidilfitri dalam hiasan mereka.

“Antara elemen yang dipaparkan termasuk suasana malam raya, pagi 1 Syawal dan pelbagai tema kreatif lain. Program ini bukan sahaja menyerikan perayaan, malah menggalakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

“Menariknya, masyarakat bukan Islam turut serta membantu menghias rumah dan memasang lampu, menjadikan pertandingan ini sebagai platform untuk mengeratkan hubungan sesama komuniti,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, malam tadi.

Azrul turut memaklumkan bahawa keunikan pertandingan itu berjaya menarik perhatian pelawat dari luar daerah termasuk Sarawak, Semenanjung Malaysia dan juga dari negara Brunei yang hadir untuk menyaksikan kemeriahan Aidilfitri di Kawang.

“Secara tidak langsung, ia turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat melalui peningkatan aktiviti pelancongan dan peruncitan,” tambah beliau.

Azrul berkata, inisiatif seperti ini berperanan sebagai medium mendidik generasi muda agar terus menghargai budaya serta tradisi tempatan.

“Kami menyasarkan agar pertandingan ini dijadikan acara tahunan dan dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri Sabah. Ia bukan sahaja memperkenalkan DUN Kawang di peringkat nasional, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk luar bandar seperti di Papar,” jelasnya.

Kampung Beringis menjadi antara lokasi tumpuan pada tahun ini dengan penyertaan sebanyak 16 buah rumah, manakala selebihnya datang dari kampung-kampung lain sekitar DUN Kawang.

Dalam pertandingan itu, johan membawa pulang wang tunai RM3,000, naib johan RM2,000 dan tempat ketiga RM1,500. Enam peserta lain menerima saguhati RM500 setiap seorang, dan kesemua peserta turut diberi penghargaan sebagai tanda sokongan dan penghormatan atas penyertaan mereka.

Sehubungan dengan itu, Azrul turut menegaskan bahawa pihaknya komited untuk meneruskan penganjuran program ini dengan penambahbaikan setiap tahun.

“Melihat sambutan positif tahun ini, kami juga bersedia membantu mana-mana pihak yang berminat untuk menganjurkan pertandingan seumpama ini di tempat lain. Usaha seperti ini penting bagi memperkukuh semangat perpaduan dan menyatukan rakyat pelbagai latar belakang di Sabah,” ujar beliau lagi.

Johan pertandingan Color Light itu dinobatkan kepada Azizul Ramli dari Kg Beringis, manakala naib johan Saiful Wasli dari Kg Sri Tanjung Pengalat Kecil dan tempat ketiga Norazlinah Jeli dari Kg Beringis.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/04/14/color-light-aidilfitri-tarik-minat-pengunjung-dalam-dan-luar-negara-ke-dun-kawang/feed/ 0 71938