BELURAN: Enam buah pertubuhan kebajikan di Beluran masing-masing menerima sumbangan RM5000 daripada Isteri Yang di Pertua Negeri, Toh Puan Norlidah Tan Sri R.M. Jasni sempena Majlis Lawatan Amal ke Institusi Kebajikan Sempena Ulang Tahun Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Peringkat Negeri Sabah di Dewan Serbaguna Beluran.
Pertubuhan itu ialah Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), Pertubuhan Warga Emas Labuk & Sugut (PAWE), Pasukan Kebajikan Kanak-kanak (PKKK), Pasukan Pelindung Kanak-kanak (PPKK), Pertubuhan Sukarelawan & Kebajikan (SJKM) dan Penasihat Mahkamah Kanak-Kanak (PMKK).
Norlidah diiringi oleh Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag dan Isteri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datin Seri Nuinda Alias yang juga Pengerusi PUSPANITA Cawangan Sabah.
Norlidah dan Juliah turut menyampaikan saguhati dan sumbangan kepada seramai 70
orang kanak-kanak di majlis itu.
Hadir sama ialah Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Samad
Jamri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Jonnybone J Kurum, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat,
Datuk Sr.Lee Chun Khiong, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri, Jais Asri dan Pegawai Daerah Beluran, Roger Appolonius.
Terdahulu Norlidah dan Juliah mengadakan ziarah amal ke rumah-rumah orang kelainan upaya (OKU) di Taman Sungai Labuk dan menyantuni kanak-kanak istimewa di Kelas Program Pendidikan Khas Integerasi, Sekolah Kebangsaan Pekan Beluran.
Menyertai rombongan Juliah ialah Naib Yang Di-Pertua I MUTIARA GRS, Datin Seri Cecilia Edwin Kitingan, Naib Yang Di-Pertua II, Datin Linda Ewin, Naib Yang Di-Pertua III/ Setiausaha Kehormat MUTIARA GRS, Datin Dg Siti Noor Hayyat Ag Mohd Saufi dan Pengerusi Biro Rumah MUTIARA GRS, Datin Noriah Pg Ahmad.
Sementara itu, Juliah yang juga Yang Di-Pertua MUTIARA GRS menghadiri Malam
Mesra “Kelibatnya Anggun Kelihatan” di Amadeus Sabah Hotel pada Rabu.
Beliau turut menyampaikan sumbangan daripada MUTIARA GRS sebanyak RM1000
masing-masing kepada Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sandakan dan
Rumah Warga Tua Sri Harapan Sandakan.
Manakala Tabung Kasih PUSPANITA Negeri Sabah turut memberi sumbangan RM500
kepada Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sandakan dan Rumah Warga Tua
Sri Harapan Sandakan.
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah sentiasa menjadikan kebajikan pegawai sebagai salah satu keutamaan apabila menerima laporan pegawai yang jatuh sakit dan menjalani rawatan perubatan.
Perkara ini merujuk isu yang sedang tular di media sosial mengenai dakwaan seorang Pegawai Imigresen yang bertugas di JIM Negeri Sabah bahawa kebajikannya terabai setelah mendapat kecederaan ketika bertugas.
Pengarah JIM Sabah
Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, berhubung isu tular tersebut, jabatan telah bertindak sewajarnya dengan meluluskan permohonan rayuan daripada pegawai yang memohon untuk bertukar tempat bertugas bagi memudahkannya dijaga oleh ahli keluarganya.
“Atas keperihatinan jabatan beberapa sesi lawatan ke rumah kediaman pegawai juga telah dilakukan pada 13 Jun 2022 dan 23 September 2022 dan sumbangan turut diserahkan kepada pegawai pada masa itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sh Sitti Saleha juga memaklumkan bahawa pegawai tersebut telah diberi penghargaan atas perkhidmatan di JIM Sabah dan dianugerahkan Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021.
“Sijil ini turut diserahkan kepada pegawai dalam sesi lawatan tersebut. Jabatan turut mengambil maklum akan kesihatan pegawai dan telah membantu menguruskan permohonan kemudahan rawatan perubatan bagi tujuan membiayai pembelian alat perubatannya,” ujarnya.
Menurutnya, pegawai tersebut telah dimasukkan ke hospital pada 22 Jun 2023 untuk tujuan pembedahan dan telah selesai menjalani pembedahan pada 23 Jun 2023.
“Pegawai dibenarkan pulang daripada hospital pada 25 Jun 2023 dan telah diberi cuti sakit sehingga 17 Julai 2023,” jelasnya.
Beliau berkata, dalam isu ini jabatan telah mengambil tindakan yang sewajarnya dan tetap akan memberi khidmat sokongan moral kepada pegawai.
“Oleh itu dinasihatkan agar orang awam tidak membuat sebarang
spekulasi bagi mengelakkan kekeliruan khususnya kepada jabatan dan masyarakat secara amnya.
“Jabatan turut mendoakan kesejahteraan kesihatan pegawai dan semoga beransur sembuh serta dapat kembali menjalankan tugas,” katanya.
]]>KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), menyokong usaha-usaha murni Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim (KDMRS Muslim) dalam usaha outreach kebajikan dan pendidikan di kalangan asnaf mualaf khususnya dan masyarakat di Sabah amnya.
Yang Di-pertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin mengucapkan tahniah dan syabas kepada penganjur atas kejayaan menganjurkan Grand Iftar Perdana Amal, yang buat julung kalinya diadakan bagi meraih sumbangan untuk pelaksanaan Program Iftar Pedalaman KDMRS Muslim yang akan dilaksanakan di 12 daerah negeri Sabah.
“Iftar Pedalaman KDMRS Muslim merupakan program tahunan yang bertujuan untuk menyantuni masyarakat asnaf, mualaf dan keluarga mereka yang bukan Islam melalui program berbuka puasa bersama di Kampung-Kampung Pedalaman Sabah.
“Inilah keharmonian yang kita mahu tonjolkan dan raikan di Negeri Sabah kita yang tercinta ini. Ianya juga bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat Islam bahawa juga emosi dan spiritual.
“Dalam kita menjalankan ibadat puasa dan membuat persiapan untuk menyambut kemunculan bulan Syawal, kita wajar memikir tentang kepahitan sebahagian daripada masyarakat kita yang kurang bernasib baik dan mencari rezeki untuk menampung kos sara hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Grand Iftar Perdana Amal Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim SeMalaysia pada tahun 2023 yang diadakan di Dewan Tun Sakaran, Raia Hotel di sini pada Ahad.
Sementara itu, selain acara berbuka puasa, solat Maghrib berjemaah, persembahan orkestra bambu, forum Islam dan bacaan Al-Quran, majlis turut meraikan tajaan yang diterima daripada Bahagian Zakat dan Fitrah, MUIS dengan acara penyerahan replika cek bernilai RM130,000 daripada Datuk Seri Yahya Hussin mewakili MUIS kepada Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, KDMRS Muslim, Nicholas Sylvester.
]]>KOTA KINABALU: Penubuhan persatuan khusus untuk bekas pemain bola sepak ataupun atlet sukan lain telah memudahkan Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) bagi menyalurkan bantuan-bantuan yang sewajarnya untuk menjaga kebajikan ahli.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin berkata, The Sabah Ex-State Footballers Association merupakan salah satu persatuan bekas atlet sukan yang ditubuhkan pada tahun 2016 untuk tujuan menjaga kebajikan ahli-ahlinya yang suatu ketika dulu pernah menjadi bualan masyarakat dalam arena sukan Bola Sepak.
“Persatuan ini mempunyai sejumlah 137 ahli yang berdaftar dan berumur 45 tahun ke atas.
“Bekas-bekas pemain bola yang pernah mewarnai arena sukan bolasepak negeri sehingga mengharumkan nama Sabah ke persada antarabangsa dan kebangsaan wajar mendapat pengiktirafan menerusi bantuan-bantuan yang disalurkan,” katanya.
Ellron berkata demikian semasa berucap di Majlis 3rd Reunion Jasamu Dikenang The Sabah Ex- State Footballers Association, di Hotel Shangri-La di sini semalam.
Menurut Ellron, atas jasa-jasa dan penglibatan dalam sukan bolasepak, mereka wajar diberikan penghargaan kerana telah memberikan prestasi terbaik semasa mereka mewakili Sabah ke peringkat yang lebih tinggi.
“Sebagai salah seorang bekas atlet juga, saya amat memahami apa yang dihadapi oleh bekas atlet lain sekiranya sudah bersara dan tidak aktif lagi dalam dunia sukan, justeru itu saya menerusi KBSS akan sedaya upaya membantu mereka yang terkesan dengan bantuan-bantuan yang disalurkan,” kata Ellron yang juga merupakan atlet kebangsaan pada tahun 80’an.
Tambah beliau, selain itu atas keprihatinan kepada warga atlet yang bakal bersara mahupun tidak lagi aktif dalam dunia Sukan, Kerajaan Negeri akan melaksanakan Program Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk atlet Sabah bermula pada tahun ini.
“Caruman ini juga memberikan satu batu loncatan untuk warga sukan untuk berlatih lebih gigih dan pastinya menjadi kesinambungan caruman apabila sudah beralih ke fasa alam pekerjaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ellron bersama-sama pegawai tertinggi KBSS dijangkakan akan bertolak pada ke Kuala Lumpur hari ini, dijadualkan akan bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh isnin ini di Menara KBS, Putrajaya.
]]>KOTA KINABALU: Penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) mampu meningkatkan budaya sihat di kalangan warga-warga emas di negeri ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, penubuhan pusat berkenaan turut dilihat memberi peluang kepada golongan itu aktif dalam aktiviti komuniti dan kualiti hidup.
Katanya, pelbagai program dan aktiviti yang dijalankan perlu dimanfaat sepenuhnya bagi memastikan warga emas yang menjalani kehidupan lebih baik dan cergas.
“Kita menyeru kepada semua ahli-ahli PAWE yang ada di UTC ataupun daerah-daerah yang lain di negeri Sabah untuk mengaktifkan dan melibatkan diri dalam apa juga aktiviti-aktiviti yang dianjurkan agar kekal sihat, aktif dan produktif.
“Saya berharap program-program yang dianjurkan oleh PAWE seperti program keagamaan, rekreasi, terapi dan pemulihan, kursus dan latihan serta ceramah-ceramah akan memberi manfaat yang berguna kepada semua ahli-ahli PAWE” katanya.
Shahelmey berkata demikian ketika berucap merasmikan program Sambutan Tahun Baru Cina PAWE UTC di Wisma UTC Kota Kinabalu, disini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut berharap PAWE dapat menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada warga emas dalam memastikan kesejahteraan dan pembangunan mereka.
“Saya berharap bahawa semua pengurusan PAWE akan dapat memberi perkhidmatan yang baik kepada ahli masing-masing dan yang paling penting adalah sambutan dan kerjasama daripada ahli-ahli PAWE yang ada” katanya.
]]>KOTA KINABALU: Isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag, yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), menerima kunjungan hormat daripada rombongan Yayasan Kebajikan Sabah di Rumah Yayasan, di sini pada Selasa.
Rombongan Yayasan Kebajikan Sabah itu diketuai oleh Pengarahnya, Rugayah Ag Besar.
Juliah berharap lebih banyak program kebajikan akan dapat dilaksanakan bersama Yayasan Kebajikan Sabah, dalam usaha membantu rakyat yang memerlukan bantuan di negeri ini.
Sementara itu, Rugayah berkata antara tujuan kunjungan hormat adalah untuk membincangkan program yang boleh dikolaborasikan bersama antara Yayasan Kebajikan Sabah dengan MUTIARA GRS.
Ini katanya sejajar dengan penubuhan yayasan iaitu untuk membantu kumpulan sasar dalam aspek kebajikan, bersama dengan MUTIARA GRS.
“Tidak salah jika bersama-sama membantu agar program lebih mantap selain membantu kerajaan negeri memantapkan pelaksanaan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Yayasan akan mula bergerak aktif pada tahun depan. Pada tahun ini kita susah mengadakan program disebabkan pandemik COVID-19,” katanya.
Yayasan Kebajikan Sabah ditubuhkan pada Julai lalu.
]]>KOTA KINABALU: Kerjasama berterusan daripada syarikat kerajaan dan swasta adalah penting dalam menjaga kesejahteraan golongan kanak-kanak di negeri ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, ia sekaligus memberi rangsangan terbaik kepada pihak kerajaan untuk mendokong perkembangan kanak-kanak, terutamanya mereka yang datang daripada keluarga rentan.
“Pihak kementerian melalui Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) menyokong perkembangan kanak-kanak dengan memberi bantuan berbentuk pakej makanan berzat kepada kanak-kanak seperti susu, milo, dan keperluan seperti lampin pakai buang.
“Bantuan ini akan diberikan untuk tempoh 3 bulan kepada kanak-kanak yang layak menerima bantuan ini.
“Saya menyeru jasa baik syarikat berkaitan kerajaan dan badan-badan korporat untuk menghulurkan sumbangan bagi menjayakan kelangsungan program ini bagi memastikan usaha baik ini memanfaatkan lebih ramai kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebajikan 2021 dan merasmikan Program Kasih dan Kongsi di Dewan Rumah MPMS, Kota Kinabalu, disini hari ini.
Hadir sama, Pembantu-Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki dan Flovia Ng serta Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri Sabah, Jais Asri.
Terdahulu, dalam majlis berkenaan pihak Syarikat MBSB Bank Berhad telah tampil memberikan sumbangan RM100,000 kepada MPMS untuk membantu menjayakan program tersebut.
Program Kasih dan Kongsi anjuran MPMS merupakan program bantuan bakul makanan kepada kanak-kanak dari keluarga rentan. Setakat ini program ini dilaksanakan di daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.
Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Shahelmey berkata, tema tersebut diangkat oleh MPMS pada tahun ini iaitu Pemulihan Pandemik Covid-19: Inovasi Digital dalam Perkhidmatan Sosial amat relevan dan mengorak langkah untuk mengatasi cabaran pandemik tersebut.
Tambah beliau, ia sekaligus menambah baik sistem perkhidmatan sukarela kebajikan dan pihaknya turut menggesa pertubuhan sukarela kebajikan seperti MPMS untuk mengubah cara kerja dan penyampaian sosial dengan menggunakan teknologi digital.
“Malah, semua pihak diminta memanfaatkan penerokaan pendekatan inovatif dalam pengurusan dan operasi agar masyarakat yang dibela dan pengguna perkhidmatan boleh terus menerima sokongan diperlukan,” katanya.
]]>Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Ahli-ahli politik di negara ini perlu bersatu hati dalam memastikan pandemik COVID-19 yang melanda negara dapat dikawal dengan baik.
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Haryati Abdul Karim berkata, pemimpin politik juga perlu mengutamakan kebajikan rakyat yang kini terjejas teruk ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
“Ketika pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini, sebarang perbalahan antara ahli politik perlu dielakkan dan seharusnya memberi fokus utama kepada isu kebajikan rakyat yang kini ramai terkesan termasuk kehilangan sumber pendapatan.
“Kita semua sedia maklum, yang kurang berkemampuan akan bertambah miskin, dibuang kerja dan yang bekerja sendiri pula seperti peniaga kecil amat terkesan akibat pandemik ini,” katanya kepada Sabah Media disini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Penyelidik Geopes (Kajian Elektoral Geo-Politik Borneo) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS berkata, langkah pengawalan bagi mengatasi pandemik COVID-19 ini juga perlu terus dibincangkan dan ditangani bersama.
Ketika ditanya mengenai situasi politik semasa, Dr Haryati berkata, keadaan politik negara kini dilihat tidak stabil selain rapuh disebabkan tidak ada parti politik dominan yang mampu menerajui kerajaan.
Katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang merupakan ‘serpihan’ dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah bergabung bersama parti lain bagi menubuhkan kerajaan PN pada Februari 2020 yang lalu.
“Kerajaan PN yang diketuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebelum ini telah bergabung dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS); Barisan Nasional (BN) dan menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).
“Kerajaan gabungan seperti ini dilihat tidak akan ‘kukuh’ dimana tidak terdapat satu parti yang mempunyai kerusi yang besar menyebabkan hubungan kerjasama itu boleh retak bila-bila masa sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Haryati berkata pembubaran Parlimen bagi melaksanakan Pilihan Raya Umum (PRU) ketika ini dilihat belum bersesuaian ekoran jumlah kes positif COVID-19 masih berada pada tahap tinggi.
Katanya, Malaysia juga ini masih belum mencapai tahap imuniti kelompok yang tinggi selain masih belum mencapai 60 peratus penduduk di negara ini di vaksinasi penuh.
“Di Sabah, misalnya peratusan yang menerima vaksin lengkap masih rendah. Banyak lagi kawasan luar bandar yang belum menerima vaksin.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut mengumumkan sebanyak 484 kawasan di Malaysia atau 79 peratus adalah zon merah COVID-19. Ini terlalu merbahaya buat semua jika PRU diadakan sekarang,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar kaedah pelaksanaan e-Undi diperkenalkan sebagai satu cara pengundian yang lebih selamat ketika mendepani pandemik COVID-19.
]]>11 Jun 2021
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa menitikberatkan kebajikan pelajar termasuk ketika pelaksanaan Total Lockdown yang sedang berkuatkuasa sehingga 14 Jun ini.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, seperti beberapa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, universiti melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) akan memantau situasi dan keperluan pelajar dari masa ke semasa.
“Satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan JHEP bersama barisan kepimpinan pelajar bagi tujuan ini.
“Mereka bertanggungjawab menguruskan segala sumbangan atau bantuan yang diberikan oleh organisasi, agensi kerajaan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) selain sumbangan daripada UMS sendiri.
“Antaranya, penyediaan Food Bank pada setiap Isnin hingga Khamis bagi memastikan kesemua pelajar di Kolej Kediaman dalam kampus dan pelajar Non Residen atau yang menyewa di sekitar Kota Kinabalu, mendapat bekalan makanan yang mencukupi ” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Taufiq berkata, UMS juga memantau rapat tahap kesihatan fizikal para pelajar sekiranya ada yang bergejala, mereka akan segera dirujuk ke Hospital UMS untuk menjalani saringan ujian Covid-19.
“Inisiatif lain yang turut dijalankan termasuklah tinjauan berkala oleh Kaunselor JHEP bagi memastikan tahap kesihatan mental para pelajar sepanjang tempoh Lockdown.
“Sehubungan itu, ibu bapa atau penjaga pelajar di seluruh kampus UMS sama ada di Kota Kinabalu, Sandakan atau di Labuan, usah bimbang, saya memberi jaminan bahawa UMS akan sentiasa memantau dan menjaga kebajikan anak-anak anda di sini,” katanya.
Mengenai aktiviti akademik, Taufiq memaklumkan sesi kelas kuliah berjalan seperti biasa melalui budaya norma baharu yang kesemuanya diadakan secara atas talian membabitkan pelajar di dalam kampus dan yang tinggal di luar.
Seramai 4,589 pelajar UMS berada di kampus Kota Kinabalu, Sandakan dan Labuan pada ketika ini.
Sebarang saluran sumbangan atau pertanyaan mengenai anak-anak yang menuntut di universiti itu boleh menghubungi talian hotline Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS di nombor 088-320060.