Keharmonian kaum – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sun, 22 Nov 2026 06:38:00 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Keharmonian kaum – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Keharmonian kaum dan agama jadi tarikan pelancongan Sabah https://sabahmedia.com/2026/11/22/keharmonian-kaum-dan-agama-jadi-tarikan-pelancongan-sabah/ https://sabahmedia.com/2026/11/22/keharmonian-kaum-dan-agama-jadi-tarikan-pelancongan-sabah/#respond Sun, 22 Nov 2026 06:37:53 +0000 https://sabahmedia.com/?p=107230
Read Time:1 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU: Keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah perlu diketengahkan sebagai antara keunikan dan tarikan pelancongan negeri ini, selain keindahan alam semula jadi, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.

Beliau berkata, kepelbagaian etnik, agama dan budaya di Sabah yang hidup dalam suasana aman serta saling menghormati merupakan keistimewaan yang mampu menarik perhatian pelancong antarabangsa.

“Sabah merupakan sebuah negeri yang cukup istimewa. Kita terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya, namun tetap hidup bersama dalam suasana aman dan saling menghormati.

“Inilah keindahan Sabah. Perbezaan bukan penghalang kepada perpaduan, sebaliknya menjadi kekuatan yang menyatukan kita.

“Saya yakin apabila masyarakat dunia mengetahui bahawa kita hidup bersama dalam suasana aman dan harmoni walaupun berbeza etnik, kaum dan agama, Sabah akan menarik lebih banyak perhatian daripada bakal pelancong,” katanya.

Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berkata demikian ketika menyempurnakan pelepasan Larian Harmoni 3.0 di Padang Merdeka, di sini, pagi tadi.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas kehadiran Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Awang Juri Awang Tahir, serta wakil komuniti Kristian, Sikh dan Buddha pada acara berkenaan.

Katanya, kehadiran wakil pelbagai agama itu mencerminkan semangat perpaduan yang bukan sekadar dizahirkan melalui kata-kata, tetapi turut diamalkan dalam kehidupan masyarakat.

“Larian Harmoni membawa mesej yang amat bermakna. Di garisan permulaan, kita mungkin datang daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang, tetapi kita semua berlari dengan satu semangat yang sama, iaitu semangat kebersamaan,” katanya.

Joniston turut mencadangkan agar acara berkenaan dijenamakan semula sebagai Larian Harmoni Antarabangsa Sabah, susulan penyertaannya pelari antarabangsa dari Eropah, Kanada dan Singapura.

Larian Harmoni 3.0 anjuran KSRUN Athletic Club itu menarik penyertaan seramai 2,650 pelari.

Sementara itu, Pengerusi penganjur, Wendy John berkata, persiapan bagi edisi tahun hadapan akan dimulakan lebih awal bagi menarik lebih ramai peserta antarabangsa.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/11/22/keharmonian-kaum-dan-agama-jadi-tarikan-pelancongan-sabah/feed/ 0 107230