Kembara merdeka – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Tue, 11 Aug 2026 01:15:24 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Kembara merdeka – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 KMJG platform APMM dekati masyarakat, perkenal peranan maritim https://sabahmedia.com/2026/08/11/kmjg-platform-apmm-dekati-masyarakat-perkenal-peranan-maritim/ https://sabahmedia.com/2026/08/11/kmjg-platform-apmm-dekati-masyarakat-perkenal-peranan-maritim/#respond Tue, 11 Aug 2026 01:15:18 +0000 https://sabahmedia.com/?p=101355
Read Time:1 Minute, 51 Second

TUARAN: Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) menjadi platform strategik bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mendekati masyarakat setempat, khususnya dalam memperkenalkan peranan serta tanggungjawab agensi itu dalam menjaga keselamatan dan menguatkuasakan undang-undang di perairan negara.

Pegawai Jurutera Marin, KM Bendahara, Lt Kdr (M) Ahmad Syafiq Abdul Hamid berkata, penyertaan APMM dalam program berkenaan memberi peluang kepada anggotanya berinteraksi secara langsung dengan masyarakat di setiap lokasi persinggahan konvoi.

Menurutnya, pendekatan berkenaan penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai fungsi dan peranan APMM, terutama dalam kalangan komuniti di kawasan pedalaman serta mereka yang bergantung kepada sektor maritim dan perikanan.

“Penglibatan APMM dalam KMJG ini membolehkan kita memperkenalkan dan mempromosikan peranan maritim kepada rakyat, terutamanya di kawasan pedalaman dan komuniti setempat.

“Kita juga dapat mendengar luahan serta masalah yang dihadapi masyarakat setempat, khususnya berkaitan maritim dan perikanan,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Daerah Tuaran, di sini.

Ahmad Syafiq berkata, penglibatan APMM dalam KMJG turut meliputi beberapa lokasi lain di Sabah termasuk Tawau dan Sandakan, sekali gus menyediakan ruang lebih luas untuk agensi itu berinteraksi dengan masyarakat di negeri ini.

Katanya, interaksi secara bersemuka dengan komuniti, khususnya ketika program berlangsung di Kuala Penyu, membolehkan APMM menyampaikan visi dan misinya selain mendapatkan maklum balas berkaitan isu yang dihadapi masyarakat.

“Interaksi secara bersemuka bersama komuniti, khususnya ketika program berlangsung di Kuala Penyu, membolehkan kami menyampaikan visi dan misi APMM serta mendapatkan maklum balas berhubung isu yang dihadapi masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KMJG turut menyediakan pelbagai pengisian menerusi kluster industri, sukan dan komuniti yang memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan pendedahan serta maklumat secara lebih dekat.

Menurutnya, penerapan elemen sejarah dan semangat kemerdekaan sepanjang program berkenaan juga mampu menyemai jati diri serta meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat setempat.

“Sejarah telah diwar-warkan dan semangat diterapkan dalam jiwa di setiap peringkat. Ini dapat meningkatkan lagi jati diri dan semangat kemerdekaan warga setempat,” katanya.

Beliau berharap penglibatan APMM dalam KMJG dapat diteruskan sebagai usaha memperkukuh hubungan antara agensi penguat kuasa itu dengan masyarakat, selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga keselamatan perairan negara.

Katanya, kefahaman masyarakat terhadap peranan APMM juga penting bagi memastikan sebarang isu berkaitan keselamatan, maritim dan perikanan dapat disalurkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/11/kmjg-platform-apmm-dekati-masyarakat-perkenal-peranan-maritim/feed/ 0 101355
Konvoi KMJG Sabah naik Injin Puput ke Kampung Pangi https://sabahmedia.com/2024/08/14/konvoi-kmjg-sabah-naik-injin-puput-ke-kampung-pangi/ https://sabahmedia.com/2024/08/14/konvoi-kmjg-sabah-naik-injin-puput-ke-kampung-pangi/#respond Wed, 14 Aug 2024 02:21:24 +0000 https://sabahmedia.com/?p=59009
Read Time:2 Minute, 5 Second

Tenom:   Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Sabah mencipta sejarah buat kali pertama apabila peserta rombongan menaiki Injin Puput dari Pekan Tenom ke Pangi.

Penjelajahan hari keenam KMJG Sabah itu bermula dari Stesen Keretapi Tenom dengan dua perjalanan masing-masing pada jam 7.30 pagi dan 8.30 pagi sebelum kembali semula ke Pekan Tenom kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Selain menjayakan program KMJG Sabah 2024, turut diadakan di Pangi adalah Khidmat Masyarakat yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Pangi.

Pegawai Daerah, Mas Syazwan Masood berkata program dengan kerjasama Jabatan Penerangan Sabah dan Pejabat Daerah itu dirangka bagi mempromosi Tenom khususnya Kampung Pangi sebagai destinasi yang berpotensi besar dalam sektor pelancongan.

 “Pada hari ini, kita akan ke Pangi iaitu salah satu kampung di Tenom yang tidak boleh diakses dari dunia luar kecuali menggunakan pengangkutan keretapi.

 “Di Pangi, kita akan mengadakan Program KMJG di SK Pangi yang akan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin. Jarak ke Pangi menggunakan keretapi lebih kurang 10km dengan menggunakan keretapi mengambil masa 10 minit untuk sampai ke sana.

“Selain acara di sekolah, kita bersama-sama dengan Pengarah Penerangan Sabah, Puan Jainisah Mohd Noor akan mengedarkan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah kepada penduduk di Kg Pangi,” katanya.

Mas Syazwan berkata, aktiviti ekonomi di Pangi kebanyakannya adalah pertanian selain pengeluaran getah berskala besar serta beberapa produk buah-buahan. 

Katanya, pihaknya kini sedang berusaha untuk mengembangkan sosioekonomi penduduk Kg Pangi sekaligus menjadikannya sebagai destinasi pelancongan di Sabah.

 “Baru-baru ini kita ada berkunjung ke Kg Pangi untuk melihat bagaimana untuk kita mengembangkan ekonomi di sana di mana kita dengan Jabatan Keretapi Negeri Sabah merancang beberapa program pelancongan, setelah Covid-19 kita ingin mengembalikan Pangi sebagai salah satu destinasi pelancongan menarik.

 “Pada ketika ini, memang ramai pengunjung daripada luar Sabah dan yang datang ke Tenom untuk mencuba water rafting kerana di sana kita ada Sungai Padas yang menjanjikan pengalaman yang menarik,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, jumlah penduduk di daerah berkenaan kini dianggarkan seramai 52,000 orang termasuk di Daerah Kecil Kemabong yang terdiri daripada suku kaum Murut merangkumi 65 peratus diikuti dengan suku kaum Dusun dan lain-lain.

Tambahnya, lebih 70 peratus aktiviti ekonomi di Tenom melibatkan pertanian, pelancongan dan perindustrian.

Terdahulu, Injin Puput amat sinonim dengan masyarakat Sabah khususnya di daerah yang mempunyai rangkaian landasan keretapi sejak  zaman British North Borneo Chartered Company.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/08/14/konvoi-kmjg-sabah-naik-injin-puput-ke-kampung-pangi/feed/ 0 59009
15 kenderaan sertai KMKM 2022, jelajah seluruh Sabah https://sabahmedia.com/2022/07/31/15-kenderaan-sertai-kmkm-2022-jelajah-seluruh-sabah/ https://sabahmedia.com/2022/07/31/15-kenderaan-sertai-kmkm-2022-jelajah-seluruh-sabah/#respond Sun, 31 Jul 2022 10:25:42 +0000 https://sabahmedia.com/?p=19411
Read Time:1 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU : Sebanyak 15 buah kenderaan Jabatan Penerangan (JaPEN) Sabah dan beberapa jabatan serta agensi Kerajaan lain menyertai Konvoi Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) 2022.

Pelepasan Konvoi KMKM 2022 telah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di sekitar perkarangan Padang Merdeka yang bermula kira-kira jam 10 pagi tadi.

Tun Juhar turut diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Sr Safar Untong dan Datuk Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip.

Konvoi yang diiringi kenderaan pelbagai guna (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai kenderaan pengiring akan menjelajah ke seluruh daerah di Sabah bagi menguar-uarkan sambutan Bulan Kebangsaan serta Kempen Kibar Jalur Gemilang dengan tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’.

Dalam pada itu, Masidi berkata, program tersebut mengisi ruang sambutan bulan kebangsaan dan kemerdekaan sekaligus menggalakkan kempen kibar jalur gemilang.

“Sambutan yang dibuat bersekali dengan Sambutan Hari Pahlawan menambah seri dengan menyuntik semangat nasionalisme yang lebih berkobar dalam diri rakyat dengan mengingati pengorbanan para tentera.

“Diharapkan rakyat menyambut baik usaha mengibarkan bendera kebangsaan bukan hanya di tempat kerja, bahkan di premis kediaman dan sebagainya.

“Walaupun kita berhadapan dengan kegawatan ekonomi, demi mempamerkan rasa cinta kepada negara dan negeri, diharapkan rakyat dapat membeli sekurang-kurangnya bendera kecil untuk dikibarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Pahlawan dan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah.

Selain Sabah, Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri juga dilaksanakan serentak di Perak dan Selangor.

Terdahulu, Tun Juhar menyerahkan Jalur Gemilang kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Setiausaha Persekutuan Sabah, Panglima 5 Divisyen, Panglima Armada Timur, Panglima Udara 2, Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sabah, Laksamana Muda Maritim, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Majlis Belia Sabah, Renjer Taman-Taman Sabah dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Kota Kinabalu yang mewakili semua Dewan Perniagaan.

]]>
https://sabahmedia.com/2022/07/31/15-kenderaan-sertai-kmkm-2022-jelajah-seluruh-sabah/feed/ 0 19411