Kepelbagaian kaum – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sun, 04 Oct 2026 14:37:11 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Kepelbagaian kaum – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Kepelbagaian Sabah adalah kekuatan, bukan ancaman keselamatan – Nurchaya https://sabahmedia.com/2026/10/04/kepelbagaian-sabah-adalah-kekuatan-bukan-ancaman-keselamatan-nurchaya/ https://sabahmedia.com/2026/10/04/kepelbagaian-sabah-adalah-kekuatan-bukan-ancaman-keselamatan-nurchaya/#respond Sun, 04 Oct 2026 14:37:04 +0000 https://sabahmedia.com/?p=104749
Read Time:4 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Kepelbagaian kaum, agama dan budaya di Sabah merupakan kekuatan masyarakat negeri ini dan tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman keselamatan, kata bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nurchaya Arshad.

Beliau berkata, kebimbangan yang dibangkitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung cadangan penampilan penyanyi gospel Amerika Syarikat, Israel Houghton, di Sabah perlu dipertimbangkan dengan berhati-hati supaya sensitiviti, bantahan atau perbezaan pandangan masyarakat tidak disamakan dengan ancaman sebenar terhadap keselamatan.

“Saya mengambil maklum kebimbangan yang dibangkitkan oleh Polis Diraja Malaysia berhubung cadangan penampilan penyanyi gospel Amerika, Israel Houghton, di Sabah.

“Pihak Polis mempunyai tanggungjawab yang amat penting dalam memelihara ketenteraman awam dan keselamatan negara, dan sebarang ancaman keselamatan yang benar-benar wujud serta berasaskan maklumat yang sahih sudah tentu perlu dipandang serius.

“Namun demikian, dalam mempertimbangkan perkara ini, kita harus berhati-hati agar sensitiviti, bantahan atau perbezaan pandangan dalam kalangan masyarakat tidak disamakan dengan suatu ancaman sebenar terhadap keselamatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Nurchaya, Sabah mempunyai komposisi sosial, budaya dan agama yang tersendiri serta dalam banyak aspek berbeza daripada keadaan di Semenanjung Malaysia.

Katanya, sejak turun-temurun, rakyat Sabah daripada pelbagai kaum, etnik dan agama telah hidup bersama secara aman dan harmoni, malah kepelbagaian itu turut wujud dalam keluarga sendiri.

“Perkahwinan antara kaum serta keluarga yang terdiri daripada ahli-ahli berlainan latar belakang agama merupakan suatu perkara yang biasa dan diterima dalam kehidupan masyarakat Sabah.

“Dalam sebuah keluarga besar yang sama, bukan sesuatu yang luar biasa untuk mempunyai ahli keluarga beragama Islam, Kristian dan penganut agama lain yang mempunyai hubungan kekeluargaan melalui perkahwinan mahupun pertalian darah,” katanya.

Beliau berkata, kehidupan masyarakat Sabah dibentuk melalui hubungan kekeluargaan dan sikap saling menghormati walaupun berbeza agama.

“Kita duduk semeja sebagai sebuah keluarga. Kita menghadiri majlis perkahwinan dan acara penting antara satu sama lain. Kita meraikan kegembiraan bersama, berkongsi kesedihan bersama, dan kita tetap sebuah keluarga walaupun menganut agama yang berbeza.

“Ini bukan sesuatu yang baru dipelajari oleh rakyat Sabah atas nama toleransi. Inilah cara hidup kita sejak turun-temurun,” katanya.

Nurchaya berkata, seorang Muslim di Sabah tidak akan berhenti menghormati saudara-mara yang beragama Kristian hanya kerana mereka beribadat mengikut kepercayaan berbeza, begitu juga seorang Kristian boleh menghormati pegangan agama ahli keluarganya yang beragama Islam tanpa menjejaskan kepercayaan sendiri.

Katanya, realiti kehidupan dalam keluarga-keluarga Sabah itu membantu membentuk masyarakat yang berteraskan kesederhanaan, persefahaman dan sikap saling menghormati.

Dalam konteks itu, beliau berkata, cadangan penampilan Israel Houghton sewajarnya dipertimbangkan dengan mengambil kira keunikan masyarakat Sabah.

Menurutnya, terdapat sensitiviti berhubung nama penyanyi berkenaan, iaitu “Israel”, khususnya kerana Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Negara Israel dan secara konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin.

“Pendirian negara dalam perkara tersebut sudah tentu perlu dihormati.

“Namun demikian, satu perbezaan yang penting perlu dibuat antara Negara Israel dengan seorang individu yang kebetulan mempunyai nama ‘Israel’,” katanya.

Nurchaya berkata, Israel Houghton ialah seorang penyanyi gospel warga Amerika Syarikat dan namanya tidak menjadikan beliau wakil kepada Kerajaan Israel.

“Namanya semata-mata tidak seharusnya menjadikan kehadirannya di Sabah sebagai suatu isu keselamatan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya terdapat kebimbangan yang sah berdasarkan pandangan politik, kenyataan atau tindakan yang pernah dikaitkan dengan penyanyi berkenaan berhubung konflik Israel-Palestin, perkara itu sewajarnya dinilai secara objektif berdasarkan fakta sebenar.

“Nama seseorang, pegangan agamanya sebagai seorang Kristian atau persembahan muzik gospel tidak seharusnya secara automatik dikaitkan dengan dasar atau tindakan sebuah kerajaan asing.

“Begitu juga, perbezaan atau ketidaksetujuan terhadap pandangan politik seseorang tidak dengan sendirinya membuktikan bahawa kehadiran individu tersebut merupakan ancaman terhadap ketenteraman awam,” katanya.

Nurchaya berkata, sekiranya PDRM mempunyai maklumat risikan yang boleh dipercayai yang menunjukkan kewujudan ancaman keselamatan sebenar berkaitan acara itu, langkah keselamatan yang perlu dan bersesuaian hendaklah diambil.

“Keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah hendaklah sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Namun, katanya, jika kebimbangan itu pada asasnya timbul kerana terdapat pihak tertentu yang mungkin membantah penyanyi berkenaan, namanya, latar belakang agama atau sifat muzik yang dipersembahkan, perkara itu perlu dipertimbangkan dengan berhati-hati.

“Bantahan sedemikian tidak dengan sendirinya menentukan sama ada sesuatu acara yang sah dan aman boleh diteruskan atau tidak.

“Jika tidak, kita mungkin mewujudkan suatu duluan yang kurang sihat, di mana ancaman untuk mengadakan bantahan atau protes sahaja sudah memadai untuk menafikan hak satu lagi kelompok masyarakat daripada menghadiri suatu perhimpunan keagamaan, kebudayaan atau persembahan muzik yang aman,” katanya.

Menurutnya, keadaan sedemikian bukan gambaran Sabah yang telah dibina bersama oleh generasi demi generasi rakyat negeri ini.

“Rakyat Sabah telah berkali-kali membuktikan bahawa kita cukup matang untuk hidup bersama walaupun mempunyai perbezaan agama, kaum dan pandangan.

“Keharmonian beragama di Sabah tidak tercapai dengan memisahkan masyarakat yang berbeza antara satu sama lain.

“Sebaliknya, keharmonian itu terbina kerana masyarakat yang berbeza ini menjadi jiran, menjadi sahabat dan, dalam banyak keadaan, menjadi anggota dalam keluarga yang sama,” katanya.

Nurchaya berkata, perkara itu merupakan antara bukti paling jelas mengenai cara hidup masyarakat Sabah.

Justeru, beliau berharap sebarang keputusan berhubung cadangan persembahan berkenaan dibuat secara objektif dan berkadar dengan keadaan sebenar, berdasarkan pertimbangan keselamatan yang tulen serta dapat dibuktikan.

Pada masa sama, katanya, keunikan struktur sosial Sabah dan tradisi hidup bersama antara agama yang telah lama menjadi sebahagian daripada identiti negeri ini perlu diberikan pengiktirafan sewajarnya.

“Kita tidak seharusnya membenarkan nama seseorang, agamanya atau perbezaan pandangannya — tanpa adanya faktor lain yang benar-benar menimbulkan ancaman — menjadi sebab untuk memecahbelahkan sebuah masyarakat yang telah membuktikan selama beberapa generasi bahawa kepelbagaian tidak semestinya membawa kepada perpecahan.

“Di Sabah, kepelbagaian itu bermula dari dalam keluarga kita sendiri.

“Ia bukan kelemahan atau ancaman kepada kita. Ia adalah kekuatan kita dan kekuatan inilah yang harus terus kita lindungi dan pelihara,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/10/04/kepelbagaian-sabah-adalah-kekuatan-bukan-ancaman-keselamatan-nurchaya/feed/ 0 104749