kerajaan – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sat, 06 Apr 2024 02:44:13 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png kerajaan – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Pembangkang sengaja butakan mata, enggan akui usaha kerajaan – Redonah https://sabahmedia.com/2024/04/06/pembangkang-sengaja-butakan-mata-enggan-akui-usaha-kerajaan-redonah/ https://sabahmedia.com/2024/04/06/pembangkang-sengaja-butakan-mata-enggan-akui-usaha-kerajaan-redonah/#respond Sat, 06 Apr 2024 02:37:59 +0000 https://sabahmedia.com/?p=52269
Read Time:3 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU: Pembangkang sengaja membutakan mata dan menutup telinga bagi menidakkan usaha kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda, berkata mustahil kerajaan negeri hanya mendiamkan diri apabila melihat rakyat berdepan masalah, terutamanya keperluan asas seperti air bersih, elektrik dan jalan raya.

Katanya, pihak yang suka mengkritik, khususnya pembangkang hanya tahu menghentam kerajaan dengan tuduhan tidak berasas bagi menarik perhatian rakyat, lebih-lebih lagi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah semakin dekat.

“Semua pun tahu PRN sudah semakin dekat dan ada yang meramalkan kemungkinan ia diadakan pada tahun ini, jadi tidak hairanlah jika makin banyak suara pembangkang menuduh kerajaan dengan pelbagai dakwaan tidak berasas, kononnya membiarkan rakyat menderita.

“Tiada kerajaan akan membiarkan rakyat menderita, pasti ada tindakan yang dilakukan. Cuma mungkin tiada publisiti atau hebahan untuk menjelaskan setiap tindakan yang diambil oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Cathress Brea Allan Yuen, 1 tahun 3 bulan peminat tegar Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di KPJ Specialist Hospital pada Sabtu.

Redonah ditemani Aziah (kiri) melawat Cathress berusia 1 tahun 3 bulan di KPJ Specialist Hospital, peminat tegar Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau mengulas tuduhan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, baru-baru ini yang antara lain mendakwa tiada tindakan diambil Ketua Menteri untuk membantu rakyat berikutan masalah air dan kekerapan gangguan bekalan elektrik, selain isu jalan raya.

Redonah memberi contoh, bekalan air di sekitar Kota Kinabalu kini semakin baik dengan siapnya kerja menyalurkan air bersih dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 2 Fasa 2 pada bulan lalu seperti dijelaskan Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya sebelum ini.

“Kita difahamkan sebanyak 30 juta liter sehari (MLD) sudah ditambah dalam sistem paip, selain usaha masih diteruskan untuk menyelesaikan masalah tekanan rendah dan air tidak berhasil (NRW) tetapi ramai yang tidak menyedari perkara ini.

“Menteri juga ada menyebut sebanyak 50 MLD lagi air bersih dari LRA Telibong 2 Fasa 2 akan dinikmati pengguna di Kota Kinabalu dan sekitarnya apabila paip utama dari loji itu siap dipasang menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Jelasnya, ketika Bung Moktar menjadi Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya negeri dari 2020 hingga 2022, isu air di Kota Kinabalu sudah mula meruncing, namun tiada kejayaan yang dapat dilihat bagi mengatasinya selain hanya banyak bercakap.

Redonah berkata, kerajaan juga mengambil ikhtiar membantu rakyat yang berdepan bencana kemarau ketika ini, termasuk melaksanakan operasi pembenihan awan bagi menurunkan hujan, khususnya di Papar, Lahad Datu dan Tawau, baru-baru ini.

Redonah yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri, berkata kerajaan juga tidak berdiam diri dalam isu gangguan bekalan elektrik terutama usaha menambah janaan tenaga, antaranya menerusi projek janakuasa hidro Ulu Padas bernilai RM4 bilion di Tenom yang dijangka beroperasi pada 2029.

Tambahnya, menerusi Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS) yang mengambil alih kuasa kawal selia elektrik mulai Januari lalu, pelbagai langkah turut dirancang untuk menambah bekalan tenaga termasuk menerusi galakan penggunaan sumber boleh baharu seperti tenaga solar.

“Mulai Januari lalu, kuasa kawal selia sudah ada di bawah negeri, bermakna kerajaan negeri boleh merancang dengan lebih baik pembekalan elektrik dan ia akan bertambah baik lagi apabila Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) diambil alih kerajaan negeri nanti.

“Cuma, perubahan yang kita mahukan itu bukanlah boleh berlaku sekelip mata, tapi apa yang jelas kerajaan tidak berdiam diri melaksanakan penyelesaian jangka pendek, sederhana atau panjang dan memastikan tiada lagi catuan bekalan elektrik,” katanya.

Dalam isu perhubungan, katanya semua pihak bersetuju pentingnya projek Lebuhraya Pan Borneo disegerakan setelah berlaku kelewatan yang menjejaskan sistem perhubungan jalan raya di sepanjang laluannya.

Katanya, Bung Moktar juga pernah mengakui kebanyakan laluan jalan persekutuan di Sabah sekarang, termasuk di Kinabatangan yang diwakilinya sebagai Ahli Parlimen sejak 1999 sudah tamat jangka hayat menyebabkan kerosakan mudah berlaku walaupun sudah dibaiki.

“Jadi, tidak adil hanya menyalahkan kerajaan mengenai jalan rosak, terutama di laluan dari Kota Kinabalu ke Sandakan dan Kinabatangan sedangkan sebelum ini beliau sendiri mengakui fakta berhubung keadaan jalan raya kita dan gagal menyelesaikannya.

“Sebab itu kerajaan negeri mahu kerajaan pusat menyegerakan pelaksanaan pakej projek Lebuhraya Pan Borneo dan menterinya sudah mengesahkan pakej yang belum bermula akan dilaksanakan tahun ini,” katanya.

Mengiringi Redonah ialah Naib Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Aziah Atoh.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/04/06/pembangkang-sengaja-butakan-mata-enggan-akui-usaha-kerajaan-redonah/feed/ 0 52269
Bantuan subsidi tiket penerbangan pelajar IPTA / Swasta bukti keprihatinan kerajaan – Fairuz https://sabahmedia.com/2024/03/26/bantuan-subsidi-tiket-penerbangan-pelajar-ipta-bukti-keprihatinan-kerajaan-fairuz/ https://sabahmedia.com/2024/03/26/bantuan-subsidi-tiket-penerbangan-pelajar-ipta-bukti-keprihatinan-kerajaan-fairuz/#respond Tue, 26 Mar 2024 09:00:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=51660
Read Time:2 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan berkata bantuan subsidi tiket penerbangan kepada semua pelajar dari Sabah yang belajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan Swasta di seluruh negara adalah bukti keprihatinan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Peruntukan sebanyak RM10 juta yang diumumkan oleh Ketua Menteri kita bagi tujuan bantuan subsidi tiket penerbangan untuk anak Sabah yang menuntut di IPTA seluruh negara, ini bukti dan kasih sayang Ketua Menteri dan pentadbiran kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk anak-anak pelajar kita.

“Saya yakin, bantuan ‘one off’ yang diberikan secara terus kepada pelajar itu, pastinya akan dimanfaatkan sebaiknya oleh anak-anak Sabah kita yang menuntut di IPTA seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Fairuz lagi, bantuan seumpama itu sememangnya memberi makna besar kepada anak-anak Sabah yang merantau mencari ilmu, jauh dari keluarga.

“Dengan nilai RM600 untuk seorang pelajar anak Sabah, pasti ini sesuatu yang amat menggembirakan, dan insyaAllah dapat membantu meringankan beban anak-anak pelajar kita untuk pulang ke Sabah.

“Dana ini merupakan dana peruntukan khas Ketua Menteri dan saya sendiri secara peribadi amat bersyukur kerana usaha ini adalah usaha yang amat baik, dan mudah-mudahan akan terus dipanjangkan lagi pada masa akan datang, demi anak-anak Sabah yang merantau mencari ilmu.

“Di Kementerian Belia dan Sukan Negeri, saya bersama yang lain juga amat menyokong segala usaha positif untuk membantu golongan belia dan anak-anak muda, tanpa memandang perbezaan bangsa atau agama.

“Asalkan anak kita anak Sabah, kita mahu berusaha sebaiknya membantu sebolehnya dari segala aspek yang boleh kita bantu,” katanya lagi.

Pengumuman bantuan ‘one off’ itu dibuat oleh Hajiji semasa lawatannya ke Pulau Pinang untuk Majlis Berbuka Puasa Bersama Mahasiswa Mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi di Semenanjung pada Isnin.

Dalam pada itu, Fairuz turut menyeru semua syarikat penerbangan untuk bertimbang rasa dan tidak mengambil kesempatan dalam kesempitan dan keadaan semasa khasnya berkenaan kos dan harga tiket penerbangan untuk anak-anak perantau Sabah pulang berhari raya.

“Kepada syarikat penerbangan yang beroperasi, saya harap dan saya minta, janganlah terlampau mahal dan harga tiket penerbangan yang dicas itu tidak lah sampai buat menitis air mata anak-anak kita di perantauan, kerana terlalu mahal hingga tidak dapat dibeli dan akhirnya tidak dapat pulang beraya.

“Wajar untuk syarikat penerbangan mempunyai sedikit nilai ihsan dan empati kepada keadaan semasa, walaupun berbisnes, berurus niaga dan mencari pendapatan, namun, dalam sesetengah keadaan, perlu juga ada pertimbangan logik moral.

“Semoga menjelang hari raya nanti, tidak ada kejadian anak-anak perantau kita yang tertinggal kapal terbang kerana jadual penerbangan diubah tanpa notifikasi awal, harga tiket dicas terlalu ekstrem dan lain-lain masalah lagi, insyaAllah,” ujar Fairuz lagi.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/03/26/bantuan-subsidi-tiket-penerbangan-pelajar-ipta-bukti-keprihatinan-kerajaan-fairuz/feed/ 0 51660
Kerajaan pandang serius kes pelajar ditemui mati di asrama kolej – Fairuz https://sabahmedia.com/2024/03/24/kerajaan-pandang-serius-kes-pelajar-ditemui-mati-di-asrama-kolej-fairuz/ https://sabahmedia.com/2024/03/24/kerajaan-pandang-serius-kes-pelajar-ditemui-mati-di-asrama-kolej-fairuz/#respond Sun, 24 Mar 2024 03:56:35 +0000 https://sabahmedia.com/?p=51529
Read Time:1 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memandang serius kes seorang pelajar lelaki ditemui mati di bilik asrama Kolej Vokasional di Lahad Datu awal pagi Jumaat.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan berkata, perkara itu amat serius dan kerajaan negeri memandang berat kes keganasan melibatkan pelajar sekolah.

“Insiden ini berlaku dalam asrama kolej dan dilaporkan melibatkan ramai penghuni asrama. Kita meminta pihak polis dan Kementerian Pengajian Tinggi menjalankan siasatan menyeluruh dan terperinci agar tindakan yang sewajarnya dapat diambil terhadap mereka yang terlibat.

“Perkara seumpama ini dapat dielakkan sekiranya pelajar dan penghuni di asrama mempunyai disiplin dan semangat toleransi yang tinggi.

“Sebarang perselisihan faham yang berlaku dikalangan penghuni asrama hendaklah segera dilaporkan kepada warden asrama. Ini penting agar Insiden yang tidak diingini seperti yang berlaku di Lahad Datu tidak berulang di masa akan datang” , katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas insiden seorang pelajar lelaki ditemui mati di bilik asrama, didakwa telah dipukul oleh rakan-rakan dalam satu kejadian di sebuah Kolej Vokasional di Lahad Datu pada Jumaat.

Mangsa, Mohammad Nazmie Aizzat Muhd Narul Azwan, 17 tahun, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh warden asrama pada pukul 6.50 pagi.

Media melaporkan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad, mengesahkan kejadian bahawa pihaknya telah menerima laporan dari pengarah kolej berkaitan dan sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai kes tersebut.

Fairuz berkata, pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan juga perlu memberi perhatian terhadap kes buli secara fizikal yang dilaporkan berlaku di sekolah-sekolah menengah negeri ini.

“Pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan juga diminta memastikan tindakan disiplin diambil ke atas murid yang bersalah dan tidak berkompromi dengan salah laku buli dan keganasan yang melibatkan pelajar sekolah”, tegasnya.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/03/24/kerajaan-pandang-serius-kes-pelajar-ditemui-mati-di-asrama-kolej-fairuz/feed/ 0 51529
Kerajaan sasar kurangkan 80 peratus rakyat miskin tegar di Sabah https://sabahmedia.com/2024/01/25/kerajaan-sasar-kurangkan-80-peratus-rakyat-miskin-tegar-di-sabah/ https://sabahmedia.com/2024/01/25/kerajaan-sasar-kurangkan-80-peratus-rakyat-miskin-tegar-di-sabah/#respond Thu, 25 Jan 2024 08:21:04 +0000 https://sabahmedia.com/?p=48491
Read Time:2 Minute, 52 Second

TUARAN: Kerajaan Negeri menyasarkan mengurangkan bilangan isi rumah miskin
tegar di Sabah diantara 70 hingga 80 peratus dalam tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, berdasarkan statistik, Sabah mempunyai lebih 22 ribu Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar.

Beliau berkata, menerusi pelbagai usaha dan inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan
termasuk Program Menoktahkan Miskin Tegar Di Negeri Sabah, kerajaan yakin dapat mengurangkan kadar KIR miskin tegar di Sabah.

“Dengan pengembelingan semua pihak melibatkan Kerajaan Negeri dan Persekutuan menerusi jabatan dan agensinya serta GLC Kerajaan dan sektor swasta yang menyediakan pelbagai jenis bantuan dan inisiatif, insyaallah dalam tahun ini atau
mungkin tahun hadapan, kita berharap boleh mengurangkan sekurang-kurangnya 70 hingga 80 peratus rakyat miskin tegar di Sabah”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Penyertaan Agensi Pemberi Bantuan Bagi Program Menoktahkan Miskin Tegar Di Negeri Sabah dan Penyerahan Surat Pelantikan Inisiatif MYSMJA Kerja di Shangri- La Rasa Ria Tuaran pada Khamis.

Katanya, bantuan yang diberikan termasuklah bantuan pekerjaan, pendidikan, kebajikan, perumahan dan keusahawanan.

“Kita bagi keutamaan kepada anak-anak dari KIR miskin tegar supaya diambil bekerja di jabatan-jabatan dan agensi kerajaan, syarikat milik kerajaan dan juga pelabur-pelabur yang datang melabur dan membuka kilang di Sabah diwajibkan untuk mengambil anak -anak dari senarai eKasih miskin tegar bekerja.

“Kita telah minta kepada mereka supaya memastikan peluang pekerjaan ini dapat dinikmati oleh mereka yang dalam kategori miskin tegar.

“Nama-nama KIR miskin tegar ini telah diselaraskan oleh Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) dan dihantar kepada syarikat-syarikat, jabatan dan agensi kerajaan serta GLC kerajaan, supaya mereka diberi peluang untuk bekerja”, katanya.

“Itulah sasaran kita. Kalau boleh semua kita bagi peluang, pekerjaan dan juga berniaga disamping bantuan lain terus daripada kerajaan. Kita kena buat ini. Bagi kita, inilah antara cara untuk menyelesaikan dan menoktahkan miskin tegar”, tegasnya.

Menyentuh Majlis Penyerahan Surat Penyertaan Agensi Pemberi Bantuan Bagi
Program Menoktahkan Miskin Tegar Di Negeri Sabah dan Penyerahan Surat Pelantikan Inisiatif MYSMJA Kerja, Hajiji berkata, ia merupakan manifestasi kerjasama semua agensi kerajaan khususnya agensi pemberi bantuan dalam penyaluran bantuan kepada golongan miskin tegar, untuk memastikan tahap ekonomi mereka dapat ditingkatkan dan seterusnya mengeluarkan mereka dari golongan miskin tegar.

Pada majlis itu, Hajiji menyerahkan surat penyertaan kepada 27 agensi pemberi
bantuan terdiri daripada 10 buah Kementerian Negeri Sabah, sembilan Agensi Kerajaan Negeri, tujuh Agensi Kerajaan Persekutuan dan satu pemain industri.

Menurut Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), Program Rintis Menoktahkan Miskin Tegar di Daerah Tuaran yang melibatkan sebanyak 974 KIR miskin tegar telah diprofilkan, bagi fasa awal program MySMJ Kerja: Industri, Syarikat SBH Kibing Solar Sdn Bhd telah memberikan komitmen untuk melantik seramai 200 Ketua Ahli Isi Rumah dan ahli-ahli isi rumah untuk bekerja di daerah Kota Kinabalu dan Kudat.

Sebagai permulaan kepada kerjasama ini, setakat ini seramai 71 orang pekerja baharu
dari kalangan miskin tegar telah dilantik oleh SBH Kibing Solar Sdn Bhd dan proses pelantikan pekerja ini masih berjalan.

Selain itu, pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) juga komited memberikan pekerjaan kepada 12 golongan miskin tegar untuk ditempatkan di enam sekolah agama negeri di daerah Tuaran.

Untuk bantuan kebajikan, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) juga telah memberikan komitmen dalam penyaluran bantuan kebajikan kepada 263 KIR.

Bagi bantuan perumahan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan
Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) telah memberikan komitmen dalam bantuan perumahan iaitu Program Rumah Mesra SMJ dan Program Baik Pulih Rumah kepada 377 ketua isi rumah.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/01/25/kerajaan-sasar-kurangkan-80-peratus-rakyat-miskin-tegar-di-sabah/feed/ 0 48491
Kerajaan pertimbangkan tanah negeri untuk Shareda bina rumah mampu milik https://sabahmedia.com/2023/11/03/kerajaan-pertimbangkan-tanah-negeri-untuk-shareda-bina-rumah-mampu-milik/ https://sabahmedia.com/2023/11/03/kerajaan-pertimbangkan-tanah-negeri-untuk-shareda-bina-rumah-mampu-milik/#respond Fri, 03 Nov 2023 14:25:25 +0000 https://sabahmedia.com/?p=44689
Read Time:2 Minute, 4 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk memperuntukkan tanah negeri kepada Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda) untuk membina rumah mampu milik bagi kategori B40 dan M40 di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menggesa Shareda bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat.

“Di pihak kami, kami sedia mempertimbangkan untuk memperuntukkan tanah kerajaan di Sepanggar dekat sini untuk dibangunkan oleh Shareda dengan syarat harga rumah-rumah ini diturunkan supaya berada dalam jangkauan kumpulan B40 dan M40 yang akan mendapat manfaat paling besar daripada pembangunan ini.

“Ini juga komitmen kerajaan negeri untuk memajukan industri hartanah,”
katanya pada Majlis Shareda Nite di sini hari ini.

Teks ucapan Metua Menteri disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II/Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Menurutnya, penyediaan rumah kepada mereka yang berpendapatan rendah adalah keutamaan kerajaan negeri pada masa ini, sejajar dengan RM125.6 juta Rumah Mesra SMJ di semua 73 DUN di Sabah.

Ketua Menteri juga gembira memaklumkan bahawa Shareda telah proaktif dalam membangkitkan isu berkaitan industri, antaranya mengenai perimeter dan pelarasan untuk MM2H Sabah, cadangan untuk pegangan pajakan selama 99 tahun diperbaharui pada bila-bila masa dalam tempoh perkhidmatan dan; pelaksanaan i-Miliki, satu lagi langkah bantuan kemampuan yang serupa dengan Kempen Pemilikan Rumah (HOC).

Mengenai Sabah Malaysia Rumah Keduaku (SMM2H), beliau berkata enakmen berkaitan dalam SMM2H yang disemak itu akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri tidak lama lagi.

“Saya ulangi bahawa apabila SMM2H bermula, kami menjangkakan kemasukan bakat, kepakaran dan pelaburan, yang akan memanfaatkan Sabah. Program SMM2H, dengan input daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk Shareda, telah diperhalusi untuk menjadikan Sabah lebih menarik kepada warga asing yang ingin berpindah dan tinggal di negeri ini,” katanya.

Hajiji juga pada dasarnya bersetuju membenarkan pembeli lot bumiputera mencairkan hartanah mereka tanpa berlengah-lengah dan membolehkan mereka mendapat manfaat daripada penjualan hartanah kepada pembeli tempatan dan asing.

Beliau berkata beliau telah membincangkan perkara itu dengan Presiden Shareda Datuk Chua Soon Ping untuk membuka kunci mekanisme pelepasan lot Bumiputera dari lima hingga sifar tahun untuk semua pembangunan baharu di Sabah.

“Saya sudah maklumkan kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan untuk meneliti perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya. Pemilik bumiputera akan terus menikmati diskaun istimewa lima peratus untuk lot Bumiputera,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri komited untuk menyokong teknologi Bangunan Hijau bagi menggalakkan lebih ramai pemaju di Sabah membina projek yang mematuhi inisiatif hijau.

“Di sinilah keseluruhan industri bergerak ke arah global, dan kerajaan negeri mahu memastikan ini juga diterima pakai di dalam negara,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/11/03/kerajaan-pertimbangkan-tanah-negeri-untuk-shareda-bina-rumah-mampu-milik/feed/ 0 44689
Kerajaan ambil berat keperluan tanah perkuburan masyarakat Islam dan bukan Islam https://sabahmedia.com/2023/10/29/kerajaan-ambil-berat-keperluan-tanah-perkuburan-masyarakat-islam-dan-bukan-islam/ https://sabahmedia.com/2023/10/29/kerajaan-ambil-berat-keperluan-tanah-perkuburan-masyarakat-islam-dan-bukan-islam/#respond Sun, 29 Oct 2023 04:29:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=44354
Read Time:2 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan memastikan keperluan tanah perkuburan untuk masyarakat Islam dan bukan Islam di bandar raya ini diberikan perhatian yang sebaik mungkin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan menyedari
wujud keperluan untuk mendapatkan tapak baharu tanah perkuburan berikutan tapak sedia ada sekarang semakin penuh.

Katanya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) sudah diminta untuk mengenal pasti tanah kosong yang sesuai termasuk di Inanam, Menggatal dan Kepayan.

“Tanah perkuburan sedia ada semakin hari semakin penuh, penduduk pun makin bertambah. Jadi kita perlu tanah perkuburan baharu di bandar raya ini untuk
menampung keperluan sehingga 30 tahun atau 40 tahun akan datang.

“Saya juga minta JTU supaya melihat perkara ini sebagai satu keperluan dan perlu diberi keutamaan. Mana-mana tanah kosong di bandar raya ini, di Inanam, Menggatal, Kepayan mesti ada satu tanah untuk perkuburan.

“Ini bukan saja untuk perkuburan Islam tetapi juga perkuburan bukan Islam kerana mereka juga perlukan tanah perkuburan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Pewartaan Tapak Tanah Perkuburan Islam Taman Sempelang daripada JTU kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), di Taman Sempelang, Sembulan pada Ahad.

Pada majlis itu, Hajiji turut mengumumkan kelulusan kawasan tanah di sebelah tanah perkuburan Islam Taman Sempelang yang dimiliki oleh DBKK sebagai tanah
perkuburan bagi menambah keluasan tanah perkuburan sedia ada.

Katanya, penambahan keluasan tanah perkuburan itu penting memandangkan tapak perkuburan sedia ada sudah penuh hingga merisaukan penduduk setempat untuk mencari lokasi pengkebumian ahli keluarga mereka.

“Soalnya di Sembulan dan Tanjung Aru serta sekitar Kota Kinabalu kekurangan tempat atau tanah perkuburan Islam.

Saya telah nyatakan kepada Mayor DBKK dulu lagi dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAINS) sebelum ini supaya fikir satu kawasan tanah perkuburan untuk warga bandar raya Kota Kinabalu.

“Jadi hari ini, selain penyerahan pewartaan tanah perkuburan Islam Kampung Sembulan, saya ingin maklumkan kepada warga Sembulan dan Tanjung Aru bahawa tanah lapang yang dulu untuk DBKK di Taman Sempelang dijadikan tanah perkuburan Islam Kampung Sembulan dan Tanjung Aru,” katanya.

Ketua Menteri juga berharap tiada lagi persoalan mengenai tanah lapang di Taman Sempelang, Sembulan itu setelah kerajaan memutuskan untuk menjadikannya tanah perkuburan baharu.

Beliau berkata, kerajaan turut memberi perhatian yang sama terhadap keperluan tanah perkuburan untuk orang bukan Islam, khususnya di bandar raya Kota Kinabalu.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab terhadap kepentingan masyarakat Islam
dan bukan Islam, kita mesti fikir keperluan asas tanah perkuburan ini dengan sebaiknya,” katanya.

Sementara itu, Hajiji turut mengulas mengenai status tanah perkampungan atas air
Kampung Sembulan yang terletak bersebelahan Harbour City.

Katanya, kerajaan mempunyai cadangan untuk membangunkan tanah itu jika dipersetujui oleh pemilik asalnya, termasuk dibangunkan dengan perumahan khusus untuk mereka.

“Kita ada satu cadangan dan kalau dipersetujui pemilik asal tanah, kita akan bangunkan kawasan di belakang Harbour City itu dan kita akan beri keutamaan kepada penduduk asal yang tiada rumah sekarang dan kita akan beri rumah untuk mereka,” katanya.

Katanya, jika dipersetujui pembangunan kawasan seluas kira-kira 30 ekar itu akan diberikan kepada pemaju yang sanggup membina terlebih dahulu rumah untuk penduduk berpindah dan setelah selesai baru membangunkan kawasan tanah
selebihnya.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/10/29/kerajaan-ambil-berat-keperluan-tanah-perkuburan-masyarakat-islam-dan-bukan-islam/feed/ 0 44354