kerajaan – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Fri, 30 Jan 2026 08:08:17 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png kerajaan – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 SMJ 2.0 bukti kesediaan kerajaan pimpin lonjakan ekonomi Sabah https://sabahmedia.com/2026/01/30/smj-2-0-bukti-kesediaan-kerajaan-pimpin-lonjakan-ekonomi-sabah/ https://sabahmedia.com/2026/01/30/smj-2-0-bukti-kesediaan-kerajaan-pimpin-lonjakan-ekonomi-sabah/#respond Fri, 30 Jan 2026 07:39:24 +0000 https://sabahmedia.com/?p=90674
Read Time:3 Minute, 24 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melancarkan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 dengan sasaran melonjakkan daya saing, produktiviti serta nilai ekonomi negeri secara menyeluruh.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata SMJ 2.0 merupakan kesinambungan kepada SMJ 1.0 yang memberi tumpuan kepada usaha pemulihan, penstabilan dan penyusunan semula pasca pandemik Covid-19 serta selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

“SMJ 2.0 bukan sekadar pelan pembangunan. Ia bukti komitmen kerajaan memimpin perubahan dalam dunia yang bergerak pantas, dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, perdagangan rentas sempadan dan persaingan global.

“SMJ 2.0 dirangka melalui libat urus menyeluruh melibatkan Kabinet Negeri, kementerian, pemain industri, golongan belia dan seluruh lapisan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sabah dan Pelancaran SMJ 2.0 di Sabah, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Jumaat.

Hajiji berkata, Belanjawan Negeri 2026 memperuntukkan RM12.02 bilion bagi membiayai 1,173 program dan projek pembangunan, jumlah tertinggi dalam sejarah Sabah, sejajar dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) serta aspirasi Malaysia MADANI.

Menurutnya, SMJ 2.0 turut dirangka selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi memastikan pembangunan yang mampan serta kesejahteraan sosial jangka panjang.

“Pelan tersebut mengangkat komitmen dan manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN ke-17, berpaksikan empat tonggak utama iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United. Lima objektif utama SMJ 2.0 adalah membina masyarakat yang bersatu dan aman, mengoptimumkan hasil negeri, mempelbagaikan ekonomi, meningkatkan ekonomi rakyat serta membangunkan modal insan,” katanya.

Ketua Menteri menjelaskan, pelaksanaan SMJ 2.0 digerakkan melalui tiga teras utama iaitu Sektor Pertumbuhan Ekonomi yang memfokuskan perindustrian, pelancongan dan pertanian; Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat merangkumi pendidikan, TVET, STEM serta latihan pertanian dan digital; serta Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau meliputi infrastruktur asas, tenaga lestari dan pemeliharaan alam sekitar.

Menurutnya, ketiga-tiga teras berkenaan disokong oleh tumpuan kepada Ekonomi Biru, pendigitalan AI dan pembangunan inklusif, selain dipacu oleh lima pemboleh daya utama iaitu kemampanan fiskal, kemudahan kewangan, keberkesanan perkhidmatan, tadbir urus berintegriti dan Kerajaan digital.

Dalam sektor perindustrian, Hajiji berkata Sabah berjaya menarik pelaburan bernilai puluhan bilion ringgit, termasuk projek Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd. bernilai RM31 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah (SOGIP), Sipitang, yang dijangka mewujudkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta memperkukuh rantaian bekalan industri keluli negeri.

“Selain itu, kerajaan akan mempercepatkan pembangunan dan naik taraf taman perindustrian strategik di KKIP, SOGIP dan POIC Lahad Datu, di samping merangka Pelan Induk Perindustrian Kudat berteraskan Ekonomi Biru. Dua taman perindustrian baharu turut dirancang di Kota Belud–Kota Marudu serta Beaufort–Kimanis bagi memperluas peluang pembangunan wilayah,”ujarnya.

Tambah beliau, Inisiatif SME-UP menyasarkan 600 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), termasuk pembangunan sistem data perkilangan dan Program Sabah Ready to Eat (RTE) bagi memperluas pasaran produk tempatan.

Hajiji turut memaklumkan sektor pelancongan Sabah menunjukkan pemulihan yang amat memberangsangkan dengan hampir 10 juta pelancong direkodkan dalam tempoh lima tahun.

“Selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Visit Sabah Year 2027, kerajaan memberi penekanan kepada pelancongan berkualiti tinggi, produk premium, penganjuran acara antarabangsa serta pematuhan piawaian perkhidmatan global termasuk ASEAN Tourism Standard menjelang 2030.

“Manakala dalam usaha pemeliharaan warisan, budaya dan alam sekitar diperkukuh melalui pembangunan Pusat Kebudayaan Kinarut, Majlis Seni Negeri Sabah, tapak Warisan Dunia UNESCO dan Taman Teluk Darvel, dengan peruntukan RM444.69 juta di bawah RMK-13,” katanya.

Hajiji berkata, sektor pertanian kekal sebagai teras strategik SMJ 2.0 merangkumi subsektor tanaman, ternakan dan perikanan, dengan peruntukan RM580.45 juta di bawah RMK-13.

“Sasaran tahap sara diri (SSL) beras meningkat daripada 30 peratus kepada 60 peratus menjelang 2030 melalui Program Revolusi Padi di enam daerah, penyediaan jentera moden bernilai RM15 juta serta pembangunan Sabah Agricultural Biotechnology Centre (SABTeC) di Tuaran.

“Subsektor ternakan pula menyasarkan 25 peratus SSL ruminan menjelang 2030 melalui Program Perladangan Kontrak, manakala sektor perikanan dipacu menerusi Ekonomi Biru Sabah dengan peningkatan pendaratan ikan, kemudahan pelabuhan serta pembangunan rantaian hiliran,” jelasnya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/01/30/smj-2-0-bukti-kesediaan-kerajaan-pimpin-lonjakan-ekonomi-sabah/feed/ 0 90674
Kerajaan perlu sediakan insentif baharu perkasakan sektor ekonomi  https://sabahmedia.com/2025/03/17/kerajaan-perlu-sediakan-insentif-baharu-perkasakan-sektor-ekonomi/ https://sabahmedia.com/2025/03/17/kerajaan-perlu-sediakan-insentif-baharu-perkasakan-sektor-ekonomi/#respond Sun, 16 Mar 2025 22:45:24 +0000 https://sabahmedia.com/?p=70525
Read Time:2 Minute, 18 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan perlu menyediakan insentif baharu bagi membolehkan sektor perniagaan terus memperkasakan aktiviti ekonomi di negeri ini.

Presiden Dewan Usahawan Melayu Sabah (DEUMESA) Datuk Ag. Buhtamam Ag. Mahmun berkata peranan kerajaan amat penting dalam memastikan perniagaan dapat diperluaskan lagi seterusnya memberi pulangan terbaik kepada pembangunan  ekonomi negeri.

“Sebagai badan dan pertubuhan perniagaan, kita berdoa agar lebih banyak peluang perniagaan yang bakal dicipta dan diungkayahkan oleh semua lapisan pengusaha dan peniaga membuka lebih banyak ruang dan peluang. 

“Pada masa yang sama, kita juga berharap kerajaan akan menawarkan insentif dan tawaran baru bagi memulihkan perniagaan melebarkan dan meluaskan perniagaan yang pada akhirnya akan membantu meningkatkan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah khususnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar dan Solat Tarawih Berjemaah Bersama Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Negeri Sabah Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif,  Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Seri Yahya Husin dan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS) Datuk Hasnul Datu Ayub.

Turut hadir, Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Kassim Mansur dan Timbalan Pengarah JHEAINS Awang Juri Awang Tahir.

Mengenai majlis tersebut, Ag Buhtamam berharap agar majlis seumpama akan dijadikan program tahunan untuk merapatkan silaturahim dalam kalangan ahli-ahli dewan perniagaan.

“Kesempatan untuk ahli-ahli dan warga perniagaan bertemu dalam majlis serupa ini amat dinantikan dan mudah-mudahan tali silaturahim yang sekian lama terpisah akan kembali semerbak dan terpaut rapi. 

“Adalah menjadi hasrat dan harapan kami agar majlis berbuka puasa ini dan solat terawih bersama Tuan Yang Terutama Tun akan terus menjadi majlis dan acara tahunan di wanjuan perniagaan di negeri Sabah di masa akan datang. 

“Majlis ini adalah majlis tahunan yang kita ungkayahkan dan hidupkan kembali setelah terhenti sejak tahun 2016 lagi. Malah, majlis ini mula kita adakan pada tahun 2006 sebelum terhenti pada tahun 2016. 

“Asalnya, majlis ini dibuat secara bergilir setiap tahun di antara di DEUMESA, DPBS, DUBNS dan PERDASAMA. Dalam tempoh selama 10 tahun itu, majlis ini dihadiri dan disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri pada ketika itu iaitu Tun Datuk Seri Panglima Dr. Musa Aman.

“Majlis pada hari ini juga akan disulami  dengan penyampaian sumbangan kepada beberapa badan amal dan semoga sumbangan yang kecil ini akan dapat memberi kegembiraan menjelang syawal yang akan datang nanti,” katanya.

Pada majlis itu, beliau dan Arifin mengiringi Tun Musa menyampaikan sumbangan daripada gabungan dewan perniagaan masing-masing berjumlah RM10,000 kepada Rumah Anak Yatim Al-Aman Beaufort, Tahfiz Sepanggar Prihatin Kg. Boronuon Telipok dan Kompleks Latihan dan Pemulihan Orang Kurang Upaya Kimanis.

Selain berbuka puasa, Tun Musa turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Terawih bersama kira-kira 500 jemaah.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/03/17/kerajaan-perlu-sediakan-insentif-baharu-perkasakan-sektor-ekonomi/feed/ 0 70525
Kerajaan alu-alukan penglibatan swasta bantu laksana projek pembangunan https://sabahmedia.com/2024/08/10/kerajaan-alu-alukan-penglibatan-swasta-bantu-laksana-projek-pembangunan/ https://sabahmedia.com/2024/08/10/kerajaan-alu-alukan-penglibatan-swasta-bantu-laksana-projek-pembangunan/#respond Sat, 10 Aug 2024 10:32:38 +0000 https://sabahmedia.com/?p=58832
Read Time:3 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan penglibatan pihak swasta untuk turut sama membantu kerajaan melaksanakan projek-projek pembangunan.

Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, dengan adanya penglibatan pihak swasta, beban kewangan kerajaan dapat dikurangkan dan sumber-sumber kewangan yang ada dapat digunakan untuk membiayai pembangunan sosioekonomi dan infrastruktur lain demi kesejahteraan rakyat.

Selain itu, katanya, ia juga merupakan kaedah bagi membantu agensi kerajaan seperti Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) memperkukuhkan sumber kewangan sekaligus membuka peluang untuk melebarkan kepakaran dalam bidang pembangunan hartanah.

“Kerajaan negeri berusaha untuk memacu pembangunan negeri ke tahap yang lebih tinggi sejajar dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Dalam konteks ini, kita yakin bahawa dengan kerjasama yang jitu di antara Kerajaan Negeri dan agensi-agensi kerajaan khususnya LPPB serta dengan sokongan sektor swasta, kita berupaya untuk melaksanakan pelbagai agenda pembangunan untuk kepentingan negeri dan rakyat.

“Fokus dan pendekatan yang strategik adalah amat penting untuk melonjakkan pembangunan dan kedudukan Sabah,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah bagi Projek Pembangunan Bercampur LPPB – 88 Avenue di Kepayan Ridge, di sini, hari ini.

Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yakin pembangunan projek 88 Avenue ini akan menjadi mercu tanda masyarakat Kepayan dan sekitar Bandaraya Kota Kinabalu kelak.

“Ini menjadi lambang kerjasama baik antara pihak kerajaan dan swasta dalam merealisasi pembangunan Sabah,” katanya.

Projek pembangunan bercampur ini melibatkan pembinaan lima blok apartment berkos tinggi dan mampu milik.

Pembangunan ini juga akan melibatkan pembinaan sebuah pasaraya yang lengkap dengan kemudahan dan perkhidmatan, memudahkan para pemilik rumah dan masyarakat sekitar untuk mendapat keperluan dan perkhidmatan yang terbaik.

“Berdasarkan perincian ini, pembangunan seumpama ini sudah pasti berupaya menyediakan pelbagai kategori perumahan kepada masyarakat di sini mengikut keperluan dan kemampuan. Bagi yang mencari rumah tidak perlu pergi jauh di sini Market 88 Kepayan Ridge sudah ada, dekat lagi dengan KK.

“Projek ini akan dibangunkan secara usaha sama di antara pihak swasta dan LPPB. Konsep ini diamalkan bagi mewujudkan kerjasama positif yang bermotifkan pembangunan holistik yang membawa faedah dan kebaikan kepada semua pihak.

“Contoh yang jelas ialah majlis kita pada hari ini adalah satu pakatan strategik antara LPPB, sebagai agensi kerajaan di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, dengan Megacity Builder Sdn. Bhd. selaku badan swasta dan korporat di Sabah. Dalam pakatan strategik ini LPPB bertindak sebagai pemilik tanah, manakala Megacity Builder pula berperanan sebagai kontraktor pembiaya.

“Antara peranan kontraktor pembiaya di sini adalah untuk mereka bentuk dan membina projek perumahan ini dengan kewangan mereka sendiri. Usahasama yang ditunjukkan antara pihak LPPB dengan Megacity Builder merupakan sesuatu yang amat membanggakan kerana ia menjadi landasan memenuhi visi untuk menjadikan Kepayan Ridge sebuah kawasan yang maju bercirikan pembangunan fizikal terancang, moden dan seimbang,” ujarnya.

Dr. Joachim turut mengingatkan LPPB dan Megacity Builder agar sentiasa menjaga kualiti pembinaan rumah dan kedai agar bangunan yang ditawarkan kepada para pembeli boleh menjadi aset idaman yang berkualiti dan dapat memenuhi keperluan mereka, sejajar dengan pendekatan Malaysia Madani agar keperluan dan hak-hak rakyat dapat dipenuhi secara optimum.

“Segala perancangan dan perjanjian yang telah dimeterai mestilah dilaksanakan dengan teratur dan mengikut masa yang ditetapkan. Menjadi harapan saya dan kita semua pembangunan di 88 Avenue ini akan berjalan dengan mulus tanpa sebarang masalah dan disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

“Aspek lain perlu juga diberi perhatian khususnya aspek alam sekitar. Pengekalan dan pelestarian alam sekitar harus dijadikan wacana utama pembangunan ini. Keseimbangan pemeliharaan alam haruslah selari dengan pembangunan fizikal agar pembangunan kita hari ini boleh kita wariskan kepada generasi akan datang dengan keadaan yang baik,” katanya.

Turut hadir, Pembantu Menteri I dan II Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih dan Datuk Mohamad Hamsan Awang Supain; Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPBB), Datuk Masiung Banah; Pembantu Menteri Kewangan II merangkap ADUN Likas, Tan Lee Fatt; Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin; Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Dato’ Sri Dr. Sabin Samitah; Pengarah-pengarah Mega City Builder Sdn. Bhd, Datuk George Yong bersama Michael Chin; Pengarah Urusan WSG Group, Datuk Susan Wong Siew Guen; wakil Ketua Polis Daerah IPD Kota Kinabalu, DSP Janeve Sindih dan Pengarah Urusan LPBB, Rosemary AhPing.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/08/10/kerajaan-alu-alukan-penglibatan-swasta-bantu-laksana-projek-pembangunan/feed/ 0 58832
Kerajaan peruntukkan RM14 juta pembangunan budaya di Sabah https://sabahmedia.com/2023/10/08/kerajaan-peruntukkan-rm14-juta-pembangunan-budaya-di-sabah/ https://sabahmedia.com/2023/10/08/kerajaan-peruntukkan-rm14-juta-pembangunan-budaya-di-sabah/#respond Sun, 08 Oct 2023 14:37:45 +0000 https://sabahmedia.com/?p=43325
Read Time:1 Minute, 44 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM14 juta bagi tujuan pembangunan budaya di negeri Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, daripada jumlah tersebut sebanyak RM4.5 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Rancangan Malaysia Ke-12, manakala RM9.5 juta lagi diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri kepada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS).

Beliau berkata, Kerajaan Negeri telah menetapkan tujuh keutamaan dalam
membangunkan bidang kebudayaan di Sabah yang telah dimulakan sejak 2021 hingga 2030.

“Tujuh keutamaan itu ialah pendigitalan seni budaya (eCulture), pelancongan budaya bersepadu, pemuliharaan budaya, pengukuhan hubungan etnik, penyelidikan dan dokumentasi budaya, pengembangan seni budaya dan perlindungan harta intelek.

“Tujuh keutamaan itu adalah sejajar dengan inisiatif Sabah Maju Jaya dalam pembangunan budaya pelbagai etnik di negeri ini, dan peranan tersebut dipertanggungjawabkan kepada LKNS.

“Menerusi tujuh keutamaan ini, kita mahu semua badan kebudayaan dan komuniti membangun bersama, menghayati dan menjiwai nilai kebudayaan yang diwarisi, seterusnya diwariskan kepada generasi akan datang”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pesta Kebudayaan Cina Kebangsaan Ke-38 anjuran Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Ahad.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II/Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Katanya, FCAS pernah menganjurkan Pesta Kebudayaan Cina Kebangsaan 12 tahun lalu dan tahun ini giliran Sabah menjadi tuan rumah semula.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri menyokong dan mengalu-alukan penganjuran aktiviti kebudayaan etnik negeri ini, termasuk usaha FCAS menganjurkan Pesta Kebudayaan Cina Kebangsaan.

Menurutnya, pelbagai aktiviti diadakan sepanjang tiga hari pesta itu termasuklah persembahan kebudayaan, pesta makanan, pameran kebudayaan dan kraftangan, perkampungan budaya, perarakan tanglung dan kereta berhias.

Katanya, perarakan Obor turut diadakan di 12 station seluruh negeri Sabah dan berjaya sampai ke Pulau Mataking dan Gunung Kinabalu yang merupakan tempat tarikan pelancong, yang akan membantu mempromosikan industri pelancongan negeri ini.

Hajiji berharap pesta itu berjaya menyebarkan kesedaran dikalangan generasi muda berkaitan warisan dan kebudayaan Tionghua dan juga membantu mengeratkan hubungan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Kita juga berharap pesta ini dapat mempromosikan kepelbagaian budaya Tionghua bukan sahaja kepada rakyat tempatan malah juga pelancong dari luar negara”, tegasnya.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/10/08/kerajaan-peruntukkan-rm14-juta-pembangunan-budaya-di-sabah/feed/ 0 43325
Kerajaan tekad perhebat pembangunan negeri Sabah https://sabahmedia.com/2023/10/07/kerajaan-tekad-perhebat-pembangunan-negeri-sabah/ https://sabahmedia.com/2023/10/07/kerajaan-tekad-perhebat-pembangunan-negeri-sabah/#respond Sat, 07 Oct 2023 06:04:43 +0000 https://sabahmedia.com/?p=43257
Read Time:2 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri bertekad memperhebatkan lagi pembangunan negeri Sabah disamping menambah baik kualiti hidup rakyat menerusi pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif yang meliputi pelbagai sektor pembangunan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Seiring dengan komitmen itu, katanya Kerajaan negeri akan menubuhkan dua lagi taman perindustrian baharu iaitu di Kimanis bagi minyak dan gas dan taman perindustrian biasa di kawasan antara Kota Marudu dan Kota Belud.

Beliau berkata, penubuhan taman perindustrian baharu itu dilakukan susulan dua taman perindustrian sedia ada iaitu Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (Sogip) dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) telah hampir penuh.

“Usaha ini juga sejajar dengan pendekatan mesra pelabur yang diamalkan kerajaan untuk merancakkan lagi pertumbuhan industri di negeri ini”, katanya dalam ucapan menjunjung kasih pada Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat Negeri Sabah Sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-70 Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri pada Sabtu.

Hajiji berkata, dalam tempoh baharu tiga tahun menerajui negeri ini, agenda pembangunan negeri khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kini berada di landasan yang betul dan mula menampakkan hasil positif.

Menurutnya, kejayaan turut dicapai dalam pelbagai sektor yang diberi keutamaan menerusi SMJ seperti perindustrian, pertanian dan pelancongan termasuk pembangunan modal insan bagi memastikan anak-anak tidak tercicir dalam aspek
pendidikan dan peluang pekerjaan.

Katanya, menurut laporan Statistik Perdagangan Luar Negeri Sabah, negeri ini telah mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak RM118.1 billion pada tahun 2022, yang
merangkumi eksport sebanyak RM77.2 billion dan import RM40.9 billion, dengan lebihan dagangan sebanyak RM36.2 billion.

“Dari segi eksport ia membabitkan produk perdagangan utama antaranya petroleum mentah, minyak kelapa Sawit dan gas asli cecair manakala import kita ialah jentera dan kelengkapan pengangkutan, makanan serta barangan keluaran kilang.

“Walaupun pencapaian ini amat memberangsangkan, namun banyak lagi yang perlu kita lakukan untuk tahun-tahun mendatang, khususnya membabitkan tiga teras utama Hala Tuju Sabah Maju Jaya iaitu sektor perindustrian, pertanian dan pelancongan,” tambahnya.

Hajiji berkata, dalam aspek pelancongan, jumlah ketibaan pelancong ke Sabah semakin
meningkat iaitu seramai 1.4 juta pengunjung dalam tempoh Januari hingga Julai 2023, dengan pelancong tempatan seramai 999,129 dan antarabangsa 424,052 orang.

Menurutnya, perkembangan itu jelas bahawa sektor pelancongan di Sabah terus menunjukkan pertumbuhan kukuh untuk tahun ini dan masa-masa akan datang.

“Sesungguhnya, kerajaan negeri adalah kerajaan yang bertanggungjawab, bukan saja memikirkan dan merancang, malah lebih penting ialah melaksanakan agenda pembangunan. Kerajaan negeri komited dan akan berusaha untuk menyelesaikan masalah-masalah legasi yang kita warisi seperti bekalan air dan eletrik demi kesejahteraan rakyat”, tegasnya.

Sementara itu, Hajiji dan isteri Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag menghadiri Istidat Perbarisan sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-70 Yang Di-Pertua Negeri
di Padang Merdeka.

Istiadat perbarisan itu disertai oleh jabatan kerajaan tidak berpakaian seragam rasmi, agensi swasta, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan etnik Sabah, IPTA, IPTS, sekolah menengah dan sekolah rendah.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/10/07/kerajaan-tekad-perhebat-pembangunan-negeri-sabah/feed/ 0 43257
Kerajaan teliti syor pindaan Akta Kawalselia Padi dan Beras, Perintah Beras (Kawalan Gred dan Harga) – Armizan https://sabahmedia.com/2023/09/09/kerajaan-teliti-syor-pindaan-akta-kawalselia-padi-dan-beras-perintah-beras-kawalan-gred-dan-harga-armizan/ https://sabahmedia.com/2023/09/09/kerajaan-teliti-syor-pindaan-akta-kawalselia-padi-dan-beras-perintah-beras-kawalan-gred-dan-harga-armizan/#respond Sat, 09 Sep 2023 09:07:28 +0000 https://sabahmedia.com/?p=41522
Read Time:2 Minute, 33 Second

PAPAR: Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali mencadangkan kepada kerajaan untuk meneliti semula syor pindaan ke atas Akta Kawalselia Padi dan Beras (Akta 522) 1994, Perintah Beras (Kawalan Gred dan Harga) (Pindaan) (No.5) 2008.

Katanya, cadangan itu telah dikemukakan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam mesyuarat Kabinet yang juga diambil maklum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Beliau juga telah menghubungi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung cadangan pindaan akta tersebut untuk mengadakan perbincangan segera antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.

“kita berharap supaya kedua-dua pihak dapat berunding dan dapat mencapai kata putus mengenai pindaan itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir melancarkan Program Jualan Rahmah Kampung Kawang di perkarangan Masjid Nurul Iman, Kampung Kawang di sini, hari ini.

Menurut Armizan, Kawalan harga beras tempatan terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan melalui Kawal Selia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

“Kita mengetahui bahawa harga beras import di negara kita ini meningkat, disebabkan dengan faktor di luar bidang kawalan kita, kenaikan ini melibatkan pelbagai faktor geopolitik keputusan kerajaan-kerajaan negara pengeksport tertentu yang mengurangkan bekalan eksport dan sebagainya, namun di peringkat persekutuan kita menjaga kepentingan dan juga nasib rakyat itu melalui satu kaedah antaranya kita meneruskan apa yang kita sebutkan barangan kawalan harga untuk beras putih tempatan iaitu pada kadar RM2. 60 sekilogram.

“Di peringkat persekutuan dan sekarang kita tahu ada isu aduan bekalan di sana sini dan ini kita pantau bersama KPDN dan juga Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan yang merupakan agensi Kawal Selia utama berkaitan dengan isu bekalan beras ini,” jelasnya.

Jelas beliau lagi, pihak agensi kawal selia turut memantau dua aspek memastikan bekalan beras putih tempatan itu ada di pasaran dan harga tersebut ditawarkan mematuhi harga yang ditetapkan RM2.60, itu yang kita laksanakan, kita pastikan ada bekalan untuk rakyat kita sebagai alternatif kepada beras import.

“Mereka boleh memilih kepada beras tempatan yang ditawarkan namun di Sabah ini isunya sedikit mencabar kerana di Sabah ini kita tahu Tahap Sara Diri (SSL) padi dan beras hanya kadar 5 peratus, bekalan beras putih tempatan di Sabah itu jauh lebih rendah berbanding pada kadar beras nasional,” katanya.

Menurut Armizan lagi, apa yang lebih mencabar sejak tahun 2008 bila dikeluarkan satu yang dinamakan Perintah Beras (Kawalan Gred dan Harga) (Pindaan) (No.5) 2008 di bawah akta kawal selia beras dibawah Akta Kawalselia Padi dan Beras (Akta 522) 1994, dalam perintah beras tersebut disenaraikan perintah untuk dikawal harga beras putih tempatan namun Sabah tidak termasuk dalam senarai tersebut.

“Ini bermaksud pengawalan beras putih tempatan RM2.60 tersebut tidak terpakai untuk Negeri Sabah, perintah ini dikeluarkan pada tahun 2008 dan kita difahamkan bahawa tindakan tersebut dibuat adalah mengambil kira kadar SSL (5%) yang rendah di Sabah dan juga kos pengeluaran padi yang tinggi di Sabah berbanding di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau berharap perbincangan mengenai pindaan akta dan perintah kawalan gred dan harga beras ini dapat disegerakan supaya rakyat Sabah khususnya golongan yang berpendapatan rendah dapat menikmati bekalan beras tempatan ini pada kadar RM2.60 sekilogram.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/09/09/kerajaan-teliti-syor-pindaan-akta-kawalselia-padi-dan-beras-perintah-beras-kawalan-gred-dan-harga-armizan/feed/ 0 41522
Kerajaan tidak pernah abaikan kepentingan wanita https://sabahmedia.com/2023/08/30/kerajaan-tidak-pernah-abaikan-kepentingan-wanita/ https://sabahmedia.com/2023/08/30/kerajaan-tidak-pernah-abaikan-kepentingan-wanita/#respond Wed, 30 Aug 2023 06:18:27 +0000 https://sabahmedia.com/?p=41006
Read Time:1 Minute, 57 Second

KOTA KINABALU: Wanita di negara ini begitu bertuah kerana kerajaan tidak pernah mengabaikan kepentingan mereka termasuk yang hanya menjadi suri rumah sehingga yang berkerjaya, kata Isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag.

Katanya, wanita berhak mendapat pendidikan yang sewajarnya malah turut diberi peluang untuk menjadi usahawan selain pelbagai bantuan turut diberikan kerajaan.

Beliau berkata, ini kerana semua wanita memainkan peranan dan tangungjawab yang sama penting dalam membangunkan masyarakat.

“Wanita yang memilih sebagai suri rumah dan tidak bekerjaya juga memainkan peranan yang besar dalam memastikan kebajikan keluarga, pendidikan anak-anak dan sebagainya. Justeru suri rumah perlu memiliki ilmu pengetahuan, ilmu kewangan dan kekeluargaan serta menjadi contoh kepada anak-anak”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Anjung Mutiara sempena Sambutan Maal Hijrah 1445H Peringkat Negeri Sabah di Dewan Saadah Wisma Majlis Agama Islam Sabah (MUIS) pada Rabu.

Juliah berkata, di Sabah sendiri saban tahun berlaku perubahan wanita sebagai pembuat keputusan terutamanya dalam sektor penjawat awam.

Menurutnya, setakat bulan Ogos 2023, statistik dan data wanita pembuat keputusan dalam kerajaan negeri bagi jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN) berjumlah 33.3 % iaitu seorang wanita daripada tiga orang TSKN.

Katanya, bagi jawatan Setiausaha Tetap mencatat 9.09% iaitu seorang wanita daripada 11 Setiausaha Tetap Kementerian. Peratusan Timbalan Setiausaha Tetap (TSUT) sebanyak 40% iaitu lapan wanita daripada 20 TSUT, manakala Ketua Jabatan pula sebanyak 30.23% iaitu 13 wanita daripada 43 Ketua Jabatan.

“Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan negeri sentiasa berpegang kepada prinsip pemerkasaan wanita kerana wanita merupakan salah satu tonggak pembangunan negara yang paling penting, bukan sahaja dalam aspek sosial, politik dan ekonomi, malah merangkumi segala aspek pembangunan negara.

“Justeru, sebagai wanita yang turut memainkan peranan penting kepada pembangunan negara dan bangsa, marilah kita terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran serta
mendalami ilmu agama sebanyak mungkin”, tegasnya.

Juliah berkata, isu berkaitan wanita merupakan sesuatu yang ‘malar segar’ dan perlu ditangani dari masa ke semasa.

Menurutnya, perkara-perkara wanita yang menyentuh soal ibadah banyak
dibincangkan oleh para Fuqaha dan cendekiawan Islam dari awal perkembangan Islam hingga kini.

Katanya, agama Islam sangat mengambil perhatian kepada perkara hukum yang berkaitan wanita, kerana kedudukan dan peranan mereka dilihat sebagai sangat besar dalam membentuk generasi masa depan.yang lebih cemerlang di dunia dan akhirat.

Justeru katanya, Program Anjung Mutiara yang diadakan amat tepat pada masanya kerana yang dibincangkan oleh penceramah lebih menjurus kepada peranan dan
perkara-perkara yang berkaitan wanita dalam Islam.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/08/30/kerajaan-tidak-pernah-abaikan-kepentingan-wanita/feed/ 0 41006
Kerajaan melalui MAFFI akan wujudkan semula Lembaga Padi Sabah https://sabahmedia.com/2023/07/27/kerajaan-melalui-maffi-akan-wujudkan-semula-lembaga-padi-sabah/ https://sabahmedia.com/2023/07/27/kerajaan-melalui-maffi-akan-wujudkan-semula-lembaga-padi-sabah/#respond Thu, 27 Jul 2023 04:31:53 +0000 https://sabahmedia.com/?p=39015
Read Time:1 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri (MAFFI) kini dalam proses mewujudkan semula Lembaga Padi Sabah bagi membangunkan industri padi dan beras di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pengwujudan semula Lembaga Padi Sabah itu dijangka dapat meningkatkan paras tahap Sara diri (SSL) beras negeri Sabah kepada 60 peratus menjelang tahun 2030.

“Pada ketika ini, SSL beras negeri Sabah berada pada paras 22 peratus manakala 78 peratus keperluan beras di negeri ini ditampung melalui beras import daripada negara- negara seperti China, Vietnam, Thailand dan Pakistan.

“Kita berharap dengan pengwujudan semula Lembaga Padi Sabah dijangka akan dapat
meningkatkan paras tahap SSL beras negeri sekali gus dapat mengurangkan beras import,” katanya ketika merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat
negeri Sabah 2023 di Wisma Pertanian di sini pada Khamis.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan.

Dalam pada itu, Hajiji berkata peladang, penternak dan nelayan adalah golongan yang penting dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri dan seterusnya negara.

Justeru katanya, peladang, penternak dan nelayan harus peka dan bersedia menerima
serta membuat perubahan dalam pertanian termasuk pengurusan ladang secara moden.

“Peladang, penternak dan nelayan harus lebih inovatif, meningkatkan kepakaran dan berusaha dengan lebih gigih dalam merebut peluang-peluang pelaburan dalam sektor pertanian yang kian berkembang.

“Untuk mencapai hasrat ini, kita harus terbuka kepada idea-idea dan maklumat-maklumat yang baru dan mutakhir serta dapat menyesuaikannya mengikut keadaan dan masa. Kita mesti menjadi seorang peladang, penternak dan nelayan yang serba mengetahui,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/07/27/kerajaan-melalui-maffi-akan-wujudkan-semula-lembaga-padi-sabah/feed/ 0 39015
Sindiket penyamaran pegawai kanan kerajaan tumpas https://sabahmedia.com/2023/07/23/sindiket-penyamaran-pegawai-kanan-kerajaan-tumpas/ https://sabahmedia.com/2023/07/23/sindiket-penyamaran-pegawai-kanan-kerajaan-tumpas/#respond Sun, 23 Jul 2023 09:47:02 +0000 https://sabahmedia.com/?p=38813
Read Time:1 Minute, 1 Second

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket penyamaran sebagai pegawai kanan SPRM dan pegawai kanan Menteri Dalam Negeri yang dipercayai menggunakan modus operandi bagi menyelesaikan kes yang disiasat oleh agensi penguat kuasa.

Sumber berkata, kegiatan sindiket itu dipercayai telah menipu mangsa yang mengakibatkan kerugian sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.

Menurut sumber, serbuan yang dijalankan di beberapa lokasi oleh pihak SPRM Sabah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah di sekitar Kota Kinabalu, sejak beberapa hari lalu adalah berdasarkan hasil risikan yang telah dibuat sebelum ini.

“Hasil serbuan ini, seramai tujuh individu warganegara Malaysia yang berusia di antara 20 hingga 30 tahun telah ditahan.

“Proses permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan akan dibuat terhadap mereka di Mahkamah Khas Rasuah, Kota Kinabalu esok,” kata sumber itu lagi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau juga menyeru agar orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sindiket ini agar tampil memberikan kerjasama kepada pihak SPRM dan orang ramai tidak meminjamkan akaun bank kepada orang lain .

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya sekiranya ada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan awam.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/07/23/sindiket-penyamaran-pegawai-kanan-kerajaan-tumpas/feed/ 0 38813
Kerajaan tidak mewajibkan pasangan ikut kursus pra perkahwinan https://sabahmedia.com/2023/06/21/kerajaan-tidak-mewajibkan-pasangan-ikut-kursus-pra-perkahwinan/ https://sabahmedia.com/2023/06/21/kerajaan-tidak-mewajibkan-pasangan-ikut-kursus-pra-perkahwinan/#respond Wed, 21 Jun 2023 04:56:01 +0000 https://sabahmedia.com/?p=36774
Read Time:1 Minute, 30 Second

Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan mewajibkan pasangan yang ingin berkahwin di negara ini mengikuti kursus pra perkahwinan yang dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata kursus itu boleh dihadiri secara sukarela oleh pasangan daripada semua kaum dan dengan itu, terpulang kepada mereka sama ada untuk menghadiri atau tidak.

“Ia adalah program yang baik, bukan hanya untuk satu kaum atau agama tertentu, ia untuk semua. Ia akan membimbing mereka dalam pengurusan perkahwinan, keluarga dan kewangan.

“Sebenarnya ia (kursus) sudah lama ada dan maklum balas sentiasa sangat baik tetapi kami tidak terfikir untuk mewajibkannya tetapi menggalakkannya (pasangan untuk menghadiri kursus), ya,” kata Nancy.

Beliau menjawab soalan sama ada kerajaan mempunyai rancangan untuk mewajibkan kursus pra-perkahwinan.

Nancy ditemui media selepas merasmikan bengkel Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) mengenai Kepimpinan Wanita dan Kesejahteraan Negara (Kepimpinan Politik) di sini, semalam.

Ketika ditanya sama ada langkah mewajibkan kursus itu boleh membantu menangani peningkatan kadar perceraian dalam kalangan pasangan Malaysia, Nancy berkata: “Saya tidak fikir formula itu berkesan.

“Walaupun anda mewajibkannya tetapi jika mereka mahu bercerai, anda tidak boleh mengawal mereka, kerana perkaranya, sepanjang perkahwinan banyak perkara mungkin berlaku, jadi ia adalah perkara yang sangat subjektif,” katanya.

Mengulas mengenai program semalam, Nancy berkata beliau berharap wanita yang dipilih sebagai calon untuk bertanding pada enam pilihan raya negeri akan datang dapat menyusun strategi kempen yang berbeza bagi memastikan mereka mampu memenangi lebih banyak kerusi.

“Kalau kita nak tengok ramai wanita jadi ADUN, kita kena ada sistem (strategi) yang kukuh. Fahami senario pengundi dan bersopan-santun dengan mereka.

“Jangan asyik mengutuk satu sama lain (wanita) dengan kelemahan masing-masing, tetapi cuba tawarkan yang terbaik untuk masa depan pengundi. Ini peluang terbaik untuk membuktikan rakyat boleh bergantung harap kepada pemimpin wanita,” katanya. — Bernama

]]>
https://sabahmedia.com/2023/06/21/kerajaan-tidak-mewajibkan-pasangan-ikut-kursus-pra-perkahwinan/feed/ 0 36774