Kesihatan – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Mon, 17 Aug 2026 06:33:32 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Kesihatan – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 RM1.57 bilion untuk 53 projek kesihatan Sabah https://sabahmedia.com/2026/08/17/rm1-57-bilion-untuk-53-projek-kesihatan-sabah/ https://sabahmedia.com/2026/08/17/rm1-57-bilion-untuk-53-projek-kesihatan-sabah/#respond Mon, 17 Aug 2026 06:33:26 +0000 https://sabahmedia.com/?p=101762
Read Time:2 Minute, 7 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM1.57 bilion bagi pelaksanaan 53 projek pembangunan kesihatan di Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sekali gus memperkukuh usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan di negeri ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, peruntukan itu melibatkan 46 projek sambungan dan tujuh projek baharu yang akan memberi manfaat kepada rakyat Sabah melalui peningkatan kemudahan serta akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti.

Menurut beliau, antara projek baharu yang mendapat perhatian utama ialah pembinaan Pusat Jantung Sabah bernilai RM125 juta serta Klinik Kesihatan Jenis 5 Sapulut, Nabawan berserta kuarters dengan kos RM81.95 juta.

“Bagi mengimbangi keperluan rakyat Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merangka perancangan strategik yang merangkumi pembangunan fasiliti kesihatan berimpak tinggi, pemerkasaan perjawatan dan sumber manusia serta lonjakan peruntukan kewangan.

“Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan besar sebanyak RM1.57 bilion di bawah RMK13 RP1 yang melibatkan 53 projek pembangunan kesihatan di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sabah Bilangan 1 Tahun 2026 di sini pada Isnin.

Hadir sama Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, Pusat Jantung Sabah akan menjadi antara projek paling penting dalam pembangunan sektor kesihatan negeri kerana ia bakal meningkatkan kapasiti rawatan penyakit jantung serta mengurangkan kebergantungan pesakit Sabah mendapatkan rawatan di Semenanjung.

Katanya, projek berkenaan kini berada dalam fasa awal pelaksanaan termasuk proses ujian bahan yang dijangka selesai pada Ogos 2026 sebelum diteruskan dengan pelaksanaan Makmal Kejuruteraan Nilai pada suku pertama 2027.

“Pusat Jantung Sabah ini merupakan keutamaan KKM dan antara projek yang diberikan perhatian khusus oleh Kerajaan Persekutuan.

“Sekiranya semua proses berjalan lancar, pembinaannya dijangka bermula pada suku ketiga 2027 dan beroperasi sepenuhnya menjelang suku keempat 2029,” katanya.

Selain pembangunan infrastruktur, beliau turut mengumumkan bahawa sebanyak 607 jawatan baharu berjaya diwujudkan di Sabah setakat 1 Ogos 2026.

Katanya, daripada jumlah itu, 355 jawatan melibatkan kumpulan pengurusan dan profesional termasuk 77 jawatan pakar serta 203 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi, manakala 252 lagi jawatan melibatkan kumpulan pelaksana.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan operasi fasiliti kesihatan di Sabah dapat berfungsi secara optimum dan memenuhi keperluan rakyat yang semakin meningkat.

Pada masa sama, Dzulkefly berkata, kementeriannya turut menetapkan sasaran peningkatan peruntukan tahunan sebanyak lima peratus kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) yang dijangka mampu meningkatkan jumlah keseluruhan peruntukan kepada RM4 bilion menjelang tahun 2030.

“Ini adalah komitmen berterusan KKM untuk memastikan rakyat Sabah menikmati kemudahan dan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/17/rm1-57-bilion-untuk-53-projek-kesihatan-sabah/feed/ 0 101762
30 anak Sabah dipilih sertai program pembangunan bakat sektor kesihatan https://sabahmedia.com/2026/07/30/30-anak-sabah-dipilih-sertai-program-pembangunan-bakat-sektor-kesihatan/ https://sabahmedia.com/2026/07/30/30-anak-sabah-dipilih-sertai-program-pembangunan-bakat-sektor-kesihatan/#respond Thu, 30 Jul 2026 05:01:22 +0000 https://sabahmedia.com/?p=100795
Read Time:1 Minute, 31 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Seramai 30 anak Sabah bakal mengikuti program pembangunan bakat dalam bidang penjagaan kesihatan menerusi kerjasama strategik antara Kumpulan Yayasan Sabah, Institut Jantung Negara (IJN) dan IJN University College bagi memperkukuh penyediaan tenaga kerja mahir sektor kesihatan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, program itu melibatkan pengajian dalam Diploma Sains Perubatan dan Kesihatan, Diploma Fisioterapi serta Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Kardiovaskular.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan hasil memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Kumpulan Yayasan Sabah, IJN dan IJN University College pada April lalu.

“Program ini selaras dengan keperluan Sabah untuk menambah tenaga mahir dalam sektor kesihatan, selain membuka lebih banyak peluang kepada anak Sabah mengikuti latihan profesional dalam bidang kritikal yang mempunyai permintaan tinggi pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-37 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis.

Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, kerajaan negeri komited memperluaskan akses pendidikan dalam bidang strategik bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan pembangunan Sabah.

Katanya, usaha itu turut melengkapkan pelbagai inisiatif pendidikan yang dilaksanakan kerajaan negeri menerusi Yayasan Sabah bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada anak negeri memperoleh latihan berkualiti.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, seramai 15 anak Sabah kini sedang mengikuti Program Pembantu Perawatan Pesakit di IJN University College menerusi inisiatif yang diselaraskan Yayasan Sabah melalui University College Sabah Foundation (UCSF).

Menurutnya, program berkenaan bukan sahaja meningkatkan akses kepada latihan kemahiran kesihatan yang berkualiti, malah menjadi platform melahirkan tenaga kerja profesional tempatan bagi memenuhi permintaan sektor kesihatan yang semakin berkembang.

Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus memberi penekanan kepada pembangunan modal insan melalui pelbagai program pendidikan dan latihan yang memenuhi keperluan industri serta menyokong pembangunan ekonomi Sabah pada masa hadapan. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/30/30-anak-sabah-dipilih-sertai-program-pembangunan-bakat-sektor-kesihatan/feed/ 0 100795
Sabah teliti reformasi sektor kesihatan, perkukuh autonomi negeri https://sabahmedia.com/2026/05/21/sabah-teliti-reformasi-sektor-kesihatan-perkukuh-autonomi-negeri/ https://sabahmedia.com/2026/05/21/sabah-teliti-reformasi-sektor-kesihatan-perkukuh-autonomi-negeri/#respond Thu, 21 May 2026 07:34:58 +0000 https://sabahmedia.com/?p=97088
Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang memperhalusi beberapa pembaharuan penting dalam sektor kesihatan negeri termasuk cadangan pindaan Ordinan Kesihatan Awam (PHO), penerimaan Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 (Akta 371) serta penubuhan Majlis Penasihat Kesihatan Negeri Sabah.

Usaha itu dilihat sebagai langkah memperkukuh tadbir urus dan autonomi kesihatan negeri selaras dengan keperluan semasa rakyat Sabah.

Perkara berkenaan menjadi fokus utama Bengkel Kesihatan anjuran Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR) yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan sektor kesihatan di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Rabu.

Menteri KWKKR, Datuk Julita Majungki berkata, bengkel itu diadakan bagi mendapatkan pandangan menyeluruh daripada semua pihak sebelum sebarang cadangan dibawa ke peringkat Kabinet Negeri serta platform berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurutnya, pendekatan “team government” perlu dijadikan asas dalam memperkukuh sistem kesihatan Sabah tanpa menjejaskan peranan mana-mana agensi sedia ada.

“Kita bukan mahu mengambil alih tugas sesiapa, tetapi mahu memastikan perkara yang masih perlu diperbaiki dapat dilaksanakan bersama sebagai satu pasukan.

“Pandangan yang dikumpulkan hari ini akan diperhalusi sebelum dibawa ke peringkat pembuat dasar termasuk Kabinet Negeri dan jawatankuasa berkaitan,” katanya ketika merasmikan bengkel itu di sini, hari ini.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk status pindaan PHO, penerimaan Akta 371 di Sabah serta cadangan mewujudkan Majlis atau Jawatankuasa Khas Kesihatan Negeri Sabah.

Julita berkata, Sabah juga perlu melihat keperluan memperkukuh beberapa aspek perundangan kesihatan awam termasuk isu fluoridasi dan pengurusan pembentungan yang mempunyai implikasi langsung terhadap kesejahteraan rakyat.

Beliau turut memaklumkan beberapa cadangan berkaitan PHO dijangka dibawa untuk perbincangan lanjut bersama kementerian serta jawatankuasa teknikal MA63 dalam masa terdekat sebelum dimuktamadkan di peringkat lebih tinggi.

“Kalau kita perlu pergi ke Kabinet, kita pergi ke Kabinet. Kalau perlu ke Dewan Undangan Negeri untuk meluluskan enakmen tertentu, kita akan lakukan demi kepentingan Sabah,” katanya.

Bengkel sehari itu turut disertai Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Persatuan Farmaseutikal Sabah (SPS), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR), Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah serta wakil sektor kesihatan lain.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/21/sabah-teliti-reformasi-sektor-kesihatan-perkukuh-autonomi-negeri/feed/ 0 97088
Sumbangan mesin hemodialisis kepada hospital, komitmen Kerajaan Negeri terhadap kesejahteraan rakyat https://sabahmedia.com/2025/08/23/sumbangan-mesin-hemodialisis-kepada-hospital-komitmen-kerajaan-negeri-terhadap-kesejahteraan-rakyat/ https://sabahmedia.com/2025/08/23/sumbangan-mesin-hemodialisis-kepada-hospital-komitmen-kerajaan-negeri-terhadap-kesejahteraan-rakyat/#respond Sat, 23 Aug 2025 07:22:22 +0000 https://sabahmedia.com/?p=79891
Read Time:1 Minute, 21 Second

Sipitang: Sumbangan empat unit mesin hemodialisis kepada Hospital Sipitang merupakan usaha berterusan Kerajaan Negeri meningkatkan kemudahan rawatan kepada pesakit buah pinggang.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob berkata, Kerajaan Negeri dibawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyedari akan kekurangan mesin hemodialisis di hospital di negeri ini yang memerlukan tambahan atau menggantikan mesin hemodialisis yang rosak.

Justeru itu, katanya, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat menerusi Menterinya Datuk James Ratib memperjuangkan masalah rakyat ini dan Kerajaan Negeri memberikan komitmen untuk pembelian mesin hemodialisis agar rakyat mendapat kemudahan rawatan kesihatan yang terbaik.

“Ini dilaksanakan menerusi Skim Bantuan Kesihatan Sabah Maju Jaya ‘Sabah Sejahtera’ bagi meningkatkan akses rawatan kepada pesakit buah pinggang khususnya golongan kurang berkemampuan,” katanya pada Majlis Penyerahan Empat Mesin Hemodialisis kepada Hospital Sipitang oleh Datuk James Ratib, semalam.

Hadir sama, Pengarah Hospital Sipitang Dr Christopher Raj, Pengarah Hospital Beaufort Dr Sutharsan A/L Kannan dan Pengarah Hospital Kuala Penyu Dr Mohamad Sobri Saupi.

James turut menyampaikan sumbangan empat mesin hemodialisis masing-masing kepada Hospital Beaufort dan Hospital Sipitang. 

Ini merupakan antara 100 mesin hemodalisis yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri kepada hospital-hospital di Sabah menerusi Skim Bantuan Kesihatan Sabah Maju Jaya ‘Sabah Sejahtera’.

Dr Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad (QSB) berkata, menerusi skim bantuan itu juga, pesakit dialisis juga dikecualikan bayaran setiap sesi yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri.

Menurutnya, jumlah pesakit buah pinggang tahap akhir yang fasiliti Kerajaan terus meningkat kepada 2.133 orang pada tahun ini.

Beliau berkata, QSB menerusi Yayasan Qhazanah turut memberi komitmen meringankan beban pesakit buah pinggang dengan menaja kos rawatan sesi dialisis dua pesakit di Hospital Universiti Malaysia Sabah.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/23/sumbangan-mesin-hemodialisis-kepada-hospital-komitmen-kerajaan-negeri-terhadap-kesejahteraan-rakyat/feed/ 0 79891
Sabah komited tingkatkan kualiti penjagaan kesihatan pergigian https://sabahmedia.com/2025/05/03/sabah-komited-tingkatkan-kualiti-penjagaan-kesihatan-pergigian/ https://sabahmedia.com/2025/05/03/sabah-komited-tingkatkan-kualiti-penjagaan-kesihatan-pergigian/#respond Sat, 03 May 2025 14:27:46 +0000 https://sabahmedia.com/?p=73131
Read Time:1 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus komited dalam menyokong inisiatif yang memperkukuh perkhidmatan penjagaan kesihatan untuk rakyat, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Profesional pergigian memainkan peranan penting dalam kesihatan menyeluruh rakyat, dan kerajaan sentiasa mencari pendekatan untuk memperluas akses kepada rawatan pergigian yang berkualiti tinggi.

“Kongres ini menjadi platform penting untuk kita bertukar pandangan mengenai bagaimana kita semua dapat bekerjasama memastikan perkhidmatan pergigian terus berkembang dan maju di negeri serta rantau ini,” katanya dalam ucapan sempena Kongres Borneo Ke-13 dan Pameran Perdagangan yang berlangsung di Magellan Sutera Harbour Resort, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Datuk Dr Roland Chia.

Haijiji berkata, tema kongres kali ini, “Beam Forward, Illuminate Progress” sangat bertepatan kerana mencerminkan kemajuan dan inovasi berterusan dalam bidang pergigian.

“Bidang pergigian telah menyaksikan pelbagai pencapaian luar biasa sepanjang tahun, dan kongres ini menyediakan peluang unik kepada para pengamal pergigian untuk berkongsi ilmu, bertukar maklumat terkini mengenai teknologi dan kemajuan, serta bekerjasama dalam idea-idea yang akan mencorakkan masa depan penjagaan pergigian.

“Kita semua sedar akan kepentingan kesihatan mulut dalam menjaga kesejahteraan keseluruhan. Hubungan antara kesihatan mulut dan kesihatan umum tidak dapat dinafikan, dan ketika kita berdepan pelbagai cabaran baharu dalam sistem kesihatan, adalah penting untuk kita terus berinovasi dan mencapai kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan pergigian,” katanya.

Hajiji turut berharap agar kongres ini membuka jalan kepada idea-idea baharu, penyelesaian dan inovasi yang akan memberi manfaat bukan sahaja kepada profesion pergigian, tetapi juga kepada komuniti yang mereka berkhidmat.

“Saya berharap kongres ini akan memberi inspirasi kepada anda untuk terus meneroka sempadan baharu dalam bidang pergigian serta membina jaringan kerjasama yang berkekalan demi masa depan pergigian. Selamat maju jaya saya ucapkan kepada semua peserta dalam menjayakan kongres dan pameran ini,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/05/03/sabah-komited-tingkatkan-kualiti-penjagaan-kesihatan-pergigian/feed/ 0 73131
PETRONAS menyumbang untuk kesihatan dan pendidikan di Sabah https://sabahmedia.com/2024/04/29/petronas-menyumbang-untuk-kesihatan-dan-pendidikan-di-sabah/ https://sabahmedia.com/2024/04/29/petronas-menyumbang-untuk-kesihatan-dan-pendidikan-di-sabah/#respond Mon, 29 Apr 2024 08:34:08 +0000 https://sabahmedia.com/?p=53685
Read Time:1 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU: PETRONAS melalui cabang impak sosialnya Yayasan PETRONAS, telah menyampaikan sumbangan 250 unit pam infusi desferal kepada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) yang akan digunakan bagi merawat pesakit talasemia.

Pada masa yang sama, PETRONAS melalui anak syarikatnya PETRONAS Floating LNG turut menyampaikan tajaan pendidikan kepada 24 pelajar Tingkatan 4 di Sabah.

Menerusi kenyataan Komunikasi Media, Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS hari ini, tajaan ini merupakan kesinambungan kepada program Memperkasakan Ilmu yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Sabah serta Yayasan Sabah sejak tahun lepas, dan bertujuan memupuk bakat tempatan bagi menyokong pertumbuhan dan pembangunan tenaga kerja jangka panjang di Sabah.

Penyampaian sumbangan serta tajaan berkenaan berlangsung sempena Majlis Ramah Mesra Hari Raya PETRONAS Sabah di sini, hari ini, disaksikan Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun, diiringi Pengerusi PETRONAS Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS Shariah Nelly Francis menyerahkan sumbangan peranti perubatan berkenaan kepada Pengarah YKS Dayang Rugayah Awang Besar manakala Naib Presiden Kanan Aset LNG PETRONAS Abang Yusuf Abang Puteh menyampaikan tajaan kepada pelajar.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS Shariah Nelly Francis (kiri) menyerahkan sumbangan peranti perubatan berkenaan kepada Pengarah YKS Dayang Rugayah Awang Besar sambil disaksikan Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun (barisan belakang, empat kiri) dan Pengerusi PETRONAS Tan Sri Mohd Bakke Salleh (barisan belakang, dua kiri) serta dif-dif jemputan lain. – Foto ihsan PETRONAS

Sumbangan peranti perubatan itu adalah sebahagian daripada program Memacu Kehidupan oleh Yayasan PETRONAS yang dilaksanakan dengan kerjasama YKS dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah bagi membantu meringankan beban penghidap talasemia dalam mendapatkan rawatan.

YKS akan meminjamkan pam infusi berkenaan kepada pesakit talasemia di seluruh negeri terutamanya mereka yang tidak mampu membeli peranti mereka sendiri, bagi membolehkan mereka menjalani infusi desferal di rumah.

Turut hadir Pengurus Besar Kanan, Komunikasi Strategik, Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Siti Azlina Abdul Latif, Pengurus Besar, Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab dan Pengurus Besar Komunikasi Media, Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Jalina Joheng.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/04/29/petronas-menyumbang-untuk-kesihatan-dan-pendidikan-di-sabah/feed/ 0 53685
OHIDAS Wellness Toolkit bantu warga Sabah dapat khidmat nasihat kesihatan https://sabahmedia.com/2022/04/08/ohidas-wellness-toolkit-bantu-warga-sabah-dapat-khidmat-nasihat-kesihatan/ https://sabahmedia.com/2022/04/08/ohidas-wellness-toolkit-bantu-warga-sabah-dapat-khidmat-nasihat-kesihatan/#respond Fri, 08 Apr 2022 01:11:02 +0000 https://sabahmedia.com/?p=14046
Read Time:2 Minute, 4 Second

KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Hospital UMS berjaya membangunkan sebuah aplikasi iaitu ‘OHIDAS Wellness Toolkit’ yang merupakan inovasi berasaskan konsultasi kesihatan bagi membantu warga Sabah mendapat nasihat kesihatan.

Naib Cancelor UMS Profesor Datuk Chm. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, khidmat nasihat kesihatan melalui ‘telemedicine’ itu boleh dibuat terus daripada pakar perubatan dalam kalangan Pegawai Perubatan di Hospital UMS.

Katanya, aplikasi itu juga dihasilkan bertujuan untuk mendekatkan komuniti penduduk negeri khasnya luar bandar dengan perkhidmatan serta nasihat kesihatan.

“Usaha ini dilihat mampu untuk meningkatkan kualiti kesihatan kepada penduduk luar bandar di Sabah.

“Objektif utama penghasilan aplikasi ini adalah untuk mempromosikan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti serta membantu usaha saringan awal kesihatan kepada komuniti dalam mendepani masalah kesihatan khususnya berkaitan ‘non-communicable disease’ seperti kencing manis, darah tinggi, barah dan lain-lain lagi.

“Penghasilannya juga bertunjangkan lima nilai teras utama yang diamalkan oleh Hospital UMS iaitu innovative, compassionate, collaborative, empowering dan sustainable,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Aplikasi OHIDAS Wellness Toolkit di Galeri Majlis Aras Tiga, Bangunan Canselori UMS disini semalam.

Hadir sama Pengarah Hospital UMS Profesor Dr. Helen Benedict Lasimbang.

Taufiq berkata, pendekatan utama yang diterapkan dalam aplikasi ini adalah promosi kesihatan dan pencegahan penyakit, penjagaan kesihatan secara berterusan dan konsisten serta penjagaan kesihatan dari rumah di peringkat komuniti.

“Saya yakin dalam jangka masa yang singkat, penduduk luar bandar akan menerima pelbagai manfaat melalui penggunaan aktif dan konsistensi aplikasi ini.

“Saya percaya interaksi yang wujud dalam kalangan warga Hospital UMS  dengan komuniti setempat melalui Program KPT Prihatin (KRISS) akan menjadi wadah dan penghubung di antara masyarakat dengan UMS,” katanya.

Sementara itu, Taufiq berharap usaha murni menerusi aplikasi itu akan membuahkan hasil dan memberi impak positif kepada seluruh komuniti luar bandar serta secara tidak langsung mampu menaikkan nama Hospital UMS ke seluruh negara.

“Saya berdoa semoga warga Hospital UMS dilapangkan fikiran dan dipermudahkan segala urusan agar dapat menghasilkan lebih banyak inovasi yang mampu membantu komuniti khususnya di Sabah,” katanya.

OHIDAS Wellness Toolkit tersedia untuk peranti Android dan iOS. Perkataan ‘ohidas’ merupakan bahasa Kadazan, yang memberi maksud “kesihatan”.

Nama tersebut turut mewakili fungsi aplikasi yang membolehkan pengguna merekod kesihatan, ubatan dan alergi.

OHIDAS juga menyediakan diari untuk menjejak data kesihatan peribadi, selain boleh merekod pelan penjagaan diri dari segi kesihatan fizikal dan mental.

Sekiranya berlaku kecemasan, OHIDAS dapat digunakan untuk mencari alamat hospital terdekat melalui perkhidmatan GPS. Idea pelaksanaan aplikasi ini adalah untuk memudahkan pengguna untuk berhubung dengan doktor atau keluarga mereka dalam memantau kesihatan mereka.

]]>
https://sabahmedia.com/2022/04/08/ohidas-wellness-toolkit-bantu-warga-sabah-dapat-khidmat-nasihat-kesihatan/feed/ 0 14046
Individu Yang Layak Digalakkan Ambil Dos Penggalak Bertujuan Memberi Perlindungan Kesihatan – Shahelmey https://sabahmedia.com/2022/04/01/individu-yang-layak-digalakkan-ambil-dos-penggalak-bertujuan-memberi-perlindungan-kesihatan-shahelmey/ https://sabahmedia.com/2022/04/01/individu-yang-layak-digalakkan-ambil-dos-penggalak-bertujuan-memberi-perlindungan-kesihatan-shahelmey/#respond Fri, 01 Apr 2022 10:21:12 +0000 https://sabahmedia.com/?p=13761
Read Time:1 Minute, 26 Second

PUTATAN: Orang ramai atau individu yang layak digalakkan mengambil suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 bertujuan memberi perlindungan kesihatan tertinggi dikalangan rakyat di negara ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, setakat ini tidak ada kesesakan mana-mana pusat penerimaan vaksin di Sabah untuk mengambil dos penggalak, namun bagi mereka yang hanya mendapat dua dos vaksin COVID-19 jenis Sinovac dan yang berumur 60 tahun ke atas, status mereka adalah tidak lengkap divaksin tertera di aplikasi MySejahtera, bagaimanapun tidak ada penalti atau sebagainya dikenakan.

“kita menggalakkan mereka untuk mendapatkan dos penggalak bertujuan untuk menjaga kesihatan mereka kerana kita dapat makluman dan kajian daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa bagi dos vaksin COVID-19 jenis Sinovac selepas beberapa bulan, tempoh ketahanan badan akan berkurang.

“Oleh yang demikian, kita menggalakkan mereka untuk mendapatkan dos penggalak bukannya untuk menafikan hak mereka bergerak tetapi untuk menjaga kesihatan mereka,” jelas Shahelmey semasa ditemubual pemberita selepas melancarkan program Kempen Bersih Putatan di perkarangan Pejabat Daerah Putatan pada Jumaat.

Ini adalah berikutan kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, lebih dua juta penerima vaksin Sinovac bakal kehilangan status vaksinasi lengkap menjelang 1 April ini kerana masih belum menerima dos penggalak.

Namun menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM) KKM menerusi hantaran di Facebook pada Isnin, memaklumkan bahawa status digital vaksinasi hanya akan bertukar tidak lengkap di aplikasi MySejahtera bagi penerima vaksin primer Sinovac yang belum mendapatkan suntikan dos penggalak.

“Untuk makluman, status vaksinasi COVID-19 kepada semua penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas dan penerima semua jenis vaksin dos primer berusia 60 tahun ke atas yang masih belum mendapatkan dos penggalak hanya akan bertukar menjadi tidak lengkap.

“Ia bukan dihilangkan seperti yang dinyatakan dalam mesej tersebut,” kata kenyataan itu.

]]>
https://sabahmedia.com/2022/04/01/individu-yang-layak-digalakkan-ambil-dos-penggalak-bertujuan-memberi-perlindungan-kesihatan-shahelmey/feed/ 0 13761
DBKK Raih Dua Anugerah Sempena Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 https://sabahmedia.com/2021/11/19/dbkk-raih-dua-anugerah-sempena-hari-kesihatan-persekitaran-sedunia-peringkat-kebangsaan-tahun-2021/ https://sabahmedia.com/2021/11/19/dbkk-raih-dua-anugerah-sempena-hari-kesihatan-persekitaran-sedunia-peringkat-kebangsaan-tahun-2021/#respond Fri, 19 Nov 2021 04:10:35 +0000 https://sabahmedia.com/?p=8604
Read Time:1 Minute, 47 Second

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menerima Pengiktirafan Cemerlang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui Program Kesihatan Persekitaran Tahun 2021 bagi dua kategori iaitu Program Premis Makanan Bersih (Anjung Senja) dan Program Pasar Awam Bersih (Pasar Besar Kota Kinabalu).

Mayor DBKK Datuk Noorliza Awang Alip berkata, pengiktirafan berkenaan telah disampaikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican sempena Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 yang berlangsung pada 12 November 2021 yang lalu di Dewan Kristal, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Katanya, sejumlah 105 Pihak Berkuasa Tempatan dari seluruh negara telah menyertai program ini, yang berlangsung dari bulan Mac hingga Ogos 2021, iaitu melibatkan empat kategori telah dipertandingkan dan tiga pemenang dari setiap kategori diberi pengiktirafan cemerlang.

Menurut Noorliza, Program Premis Makanan Bersih PBT 2021 dilaksanakan bertujuan untuk meningkatkan tahap kebersihan premis makanan medan selera terpilih kepada gred B dan ke atas.

“Ini mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan pemilik premis makanan untuk meningkatkan tahap kebersihan premis mereka serta meningkatkan nilai estetika medan selera yang terlibat”,katanya.

Manakala, objektif Program Pasar Awam Bersih PBT 2021 adalah untuk meningkatka kualiti pengurusan pasar awam dan status sanitasi pasar awam di seluruh negara, mendapatkan komitmen dan kebertanggungjawaban PBT dalam program dan perkhidmatan pembersihan pasar.

Selain memperkenal serta mempromosikan konsep ‘Pasar Sejahtera’ serta mewujudkan satu sistem pengurusan pasar yang seragam, bersistematik dan efektif dalam program pengurusan pasar awam di kawasan PBT.

Sementara itu, Noorliza telah berbesar hati menerima anugerah berkenaan dan merakamkan gambar kenangan bersama ahli-ahli Jawatankuasa Program Kesihatan Persekitaran DBKK yang diketuai oleh Tuan Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK.

Hadir sama ialah ketua-ketua jabatan yang terlibat, Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB), Syron A. Tunggolou, Pengarah Jabatan Pelesenan, Lizawana Matin, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Leong Tze Fui, Pengarah Jabatan Landskap, Rozie Khan, Pengarah Jabatan Pengurusan Data dan Pendigitalan, Rusli Nurdin serta pegawai-pegawai JKPB.

“DBKK mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan atas penganjuran program tersebut.

“Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah atas pencalonan DBKK menyertai program berkenaan,” tambah Noorliza.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/11/19/dbkk-raih-dua-anugerah-sempena-hari-kesihatan-persekitaran-sedunia-peringkat-kebangsaan-tahun-2021/feed/ 0 8604
Berfikiran Positif Bantu Tangani Kesihatan Mental Pelajar Pada Era Pandemik https://sabahmedia.com/2021/10/09/berfikiran-positif-bantu-tangani-kesihatan-mental-pelajar-pada-era-pandemik/ https://sabahmedia.com/2021/10/09/berfikiran-positif-bantu-tangani-kesihatan-mental-pelajar-pada-era-pandemik/#respond Sat, 09 Oct 2021 09:54:30 +0000 https://sabahmedia.com/?p=7361
Read Time:1 Minute, 36 Second

KOTA KINABALU: Pemikiran, perasaan dan perlakuan merupakan komponen yang membantu dalam menangani stress dalam pembelajaran.

Pakar Psikologi Belia dan Pembangunan Komuniti, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS, Prof. Madya Dr Balan Rathakrishnan berkata, setiap orang perlu sentiasa berfikiran positif kerana tekanan negatif yang berpanjangan tidak memiliki faedah terhadap diri terutamanya dari segi kesihatan mental.

“Pemikiran yang positif akan mempengaruhi emosi dan seterusnya tingkah laku seseorang termasuk pelajar.

“Sekiranya seseorang itu dapat belajar mengamalkan pemikiran dan perasaan yang baik sudah pasti tindakan mereka juga akan menjadi lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Forum bertajuk ‘Using STEM in Learning Mental Health Among Youth’ anjuran Persatuan MySTEM Ambassador UMS, baru-baru ini.

Menurut Balan, kesihatan mental adalah ‘sains dan matematik’ yang perlu difahami oleh anak muda.

“Ia sangat penting dan seharusnya tidak dikendalikan secara bersendirian. Individu yang mempunyai gejala perlu mendapatkan intervensi dan rawatan yang sesuai agar gejala masalah kesihatan mental dapat dikurangkan.

“Berdasarkan kajian, seorang daripada tiga pelajar kolej berpotensi mengalami depresi berpanjangan.

“Seorang daripada empat pelajar didapati berfikiran untuk membunuh diri, manakala seorang daripada tujuh pelajar melibatkan diri dalam kegiatan tidak berfaedah akibat tekanan,” jelasnya.

Ujar Balan, ada yang cuba menghilangkan tekanan dengan mengambil alkohol atau menonton filem pornografi.

“Bagi pelajar perempuan, ada yang mengurangkan tekanan dengan mengambil makanan yang banyak namun memuntahkannya semula (bulimia) kerana bimbang akan menjadi gemuk.

“Tabiat ini tidak menyelesaikan masalah tekanan yang dihadapi, malah boleh memudaratkan dan menyebabkan mereka menjadi ketagih dengan sesuatu tingkah laku yang tidak berfaedah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mengajak orang ramai termasuk para pelajar untuk mengunjungi laman web c19psychcare.com sekiranya memerlukan bimbingan akibat tekanan disebabkan impak pandemik COVID-19.

“Melalui laman web ini, orang awam boleh mendapatkan rawatan yang efektif dalam menangani masalah mental seperti tekanan, depresi, kebimbangan, dan kurang keyakinan diri daripada pakar-pakar dalam bidang psikologi,” tambah Balan.

Bersiaran langsung melalui YouTube MySTEM Ambassador, forum secara dalam talian itu dianjurkan dengan kerjasama U-Science dan FPP UMS.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/10/09/berfikiran-positif-bantu-tangani-kesihatan-mental-pelajar-pada-era-pandemik/feed/ 0 7361