Oleh NORMIMIE DIUN
BEAUFORT: Keadaan banjir di daerah ini memasuki hari ketiga dengan paras air terus meningkat, menyebabkan penduduk Kampung Luagan Sanginan kira-kira 5 kilometer dari Pekan Beaufort terpaksa mencari alternatif bagi mendapatkan keperluan harian.

Ketua Kampung, Roslee Alias, berkata hujan lebat yang berterusan mengakibatkan kawasan itu hampir lumpuh, mendorong pihaknya mengambil inisiatif meminjam sebuah lori treler milik Abdul Syahri Abdul Rahim bagi membawa penduduk ke pekan berhampiran.

“Jalan raya utama kampung ini yang menghala keluar ke pekan tidak dapat dilalui oleh kenderaan kecil kerana air sudah melimpah naik dan deras atas jalan. Saya dan pemimpin kampung lain mengambil inisiatif hanya lori treler sahaja yang boleh meredah banjir buat masa ini.
“Alhamdulillah, Syahri dengan senang hati meminjamkan lori beliau. Kami berusaha memastikan penduduk dapat keluar membeli barangan keperluan,” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.
Beliau bersama beberapa pemimpin kampung lain telah mengatur empat perjalanan ulang-alik menggunakan lori berkenaan, bermula jam 10 pagi hingga 5 petang, bagi memastikan penduduk mendapat bekalan mencukupi.
“Walau bagaimanapun, keselamatan penumpang (penduduk) yang menaiki lori ini adalah keutamaan kami. Kami hanya membenarkan setiap keluarga seorang wakil sahaja untuk menaikinya dan tidak terlalu ramai,” katanya.
Dalam pada itu, Roslee berkata paras air yang terus meningkat turut menimbulkan kebimbangan kerana ia boleh menyebabkan talian komunikasi dan bekalan elektrik terputus pada bila-bila masa.


Roslee turut memaklumkan pihak penduduk kampung mengambil langkah awal dengan memindahkan empat keluarga ke Masjid Al-Ghafar Kg Luagan sebagai langkah keselamatan.
“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang terlibat, terutama penduduk kampung, belia dan sukarelawan yang membantu meringankan beban dalam keadaan sukar ini.
“Kami hanya mampu berdoa agar banjir segera surut. Ini adalah ujian besar buat kami, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.
Kg Luagan Sanginan merupakan antara kawasan paling terjejas teruk, dengan paras air mencecah sehingga lima kaki, menyebabkan rumah penduduk di kawasan rendah ditenggelami banjir.
Bagaimanapun, semangat gotong-royong dan keprihatinan masyarakat setempat menjadi penyelamat dalam menghadapi musibah ini.
]]>TAMPARULI: Pemimpin masyarakat dinasihati untuk mengamalkan sikap berhemah dan integriti tinggi dalam melaksanakan tugas harian.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, pemimpin masyarakat perlu menjaga kredibiliti, kejujuran, kemuliaan diri, dan mengekalkan kebolehpercayaan masyarakat terhadap mereka sebagai pemimpin.
“Bila kita telah diberi tanggungjawab, ingatlah bahawa itu merupakan satu amanah besar yang perlu dipikul.
“Beri contoh kepada masyarakat, jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kemuliaan martabat institusi adat dan istiadat itu harus dijaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua Kampung Topokon, di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, disini semalam.
Hadir sama, Penolong Pegawai Pembangunan Daerah Tamparuli, Jefferson Jonathan, Ketua Daerah Tamparuli, OKK Jular Harung dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Topokon, Mary Martin.
Terdahulu, Jefferson berkata, tugas seorang Ketua Kampung selain menjaga keharmonian dan keamanan di kampung, adalah bagi memelihara dan menjalankan perkara berkaitan adat kampung.
]]>12 Jun 2021
Erdie Ab Wahid
[email protected]
MEMBAKUT : Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif mencadangkan agar Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Ketua Kampung dinegeri ini memainkan peranan bagi membantu dan memastikan penduduk dikawasan jagaan mendaftar bagi menerima vaksin COVID-19.
Katanya, kerjasama antara JPKK dan Ketua Kampung selain pemimpin setempat itu boleh diselaraskan bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.
“Peranan itu dilihat boleh membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melancarkan lagi proses pemberian vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang sudah diselaraskan diseluruh negara.
“Saya yakin pimpinan JPKK dan Ketua Kampung di kawasan lain juga sudah melakukan perkara ini namun jika ia dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negeri, sudah pasti usaha ini boleh menyumbang kepada usaha mempercepatkan tercapainya imuniti kelompok selain boleh mengenalpasti mereka yang terlibat turun menerima vaksin di PPV mengikut jadual yang ditetapkan,”katanya ketika dihubungi Sabah Media disini hari ini.
Mohd Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut berkata, UPPM Dun Membakut khususnya telah diberi peluang untuk mendaftarkan penerima vaksin dikalangan warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) setiap hari.
“Sehingga kini, saya melihat proses pendaftaran bagi warga emas hampir 100 orang setiap hari berjaya dilaksanakan hasil kerjasama JPKK, Ketua Kampung dan pemimpin masyarakat setempat disini.
“Saya yakin dibeberapa daerah lain juga turut melaksanakan program sebegini untuk kita membantu kerajaan mencapai sasaran imuniti kelompok sebanyak 80 peratus,”katanya.
Mohd Arifin berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas termasuk sukarelawan yang terlibat dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dedikasi dalam melaksanakan tugas.
“Sebagai pemimpin di kawasan ini, saya berpuas hati dengan proses pemberian vaksin di PPV dan semua berjalan dengan lancar.
“Selain itu saya juga ingin menyeru kepada rakyat di negeri ini khususnya untuk segera mendaftar sebagai penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera ataupun laman sesawang yang disediakan,”katanya.
]]>