Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Kemahiran asas literasi membaca, menulis dan mengira (3M) adalah menjadi fokus utama dalam sistem pendidikan seawal usia kanak-kanak di negeri ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.
Ini berikutan baru-baru ini media melaporkan satu laporan baharu Bank Dunia bertajuk ‘Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills’ iaitu sistem pendidikan di Malaysia digambarkan berada pada tahap yang membimbangkan.
Menurut laporan tersebut, walaupun perbelanjaan yang besar diperuntukkan dalam pendidikan iaitu 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) namun pembelajaran pelajar masih ketinggalan berbanding jangkaan.
Ia adalah berpunca daripada akses terhad kepada pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti, kesediaan guru, dan kekurangan sistem penjejakan prestasi yang mantap.
Mengulas lanjut, Arifin yang juga Exco Agama dan Exco Pendidikan Sabah berkata, mengenai perkara itu, pihaknya masih menunggu laporan dan kajian secara menyeluruh dari pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan barulah ke peringkat negeri.
“”Kita akan menunggu komen daripada peringkat atasan, peringkat pusat iaitu laporan sebenar daripada kementerian (KPM), selepas itu kita akan cerna di peringkat negeri.
“Dan ini juga akan menjadi fokus kita di peringkat negeri bagaimana menulis, membaca dan mengira ini menjadi keutamaan kita. Kita ingin memastikan anak-anak kita sifar untuk kegagalan dalam 3M.
“InsyaAllah kita akan mencari jalan (resolusinya) tapi apapun kita akan dapatkan juga laporan hasil daripada kajian dan laporan secara menyeluruh di peringkat federal dan saya juga akan dapatkan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah,” jelasnya ketika ditemui pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KSTI di sini, hari ini.
Lebih 300 tetamu dari pelbagai agensi di bawah KSTI hadir memeriahkan majlis itu.
Majlis mengeratkan silaturrahim itu turut diserikan dengan acara gerai makanan terbaik, busana raya lelaki dan perempuan terbaik serta dendangan lagu-lagu Hari Raya oleh para tetamu.
]]>KOTA KINABALU: Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) diarah untuk meneruskan projek pembangunan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di Serudong, Kalabakan dan Bantul, Pagalongan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau sekali lagi mengulangi bahawa pembangunan CIQS menjadi keutamaan bagi Sabah dan tidak harus ditangguhkan.
Hajiji mengarahkan Pihak Berkuasa SEDIA yang merupakan pihak berkuasa negeri bagi pembangunan bandar sempadan ini, untuk meneruskan perkara itu berikutan laporan bahawa projek CIQS Kalabakan terpaksa ditangguhkan kerana pembiayaan tidak mencukupi daripada Kementerian Kewangan Persekutuan.
Ketua Menteri mengeluarkan arahan itu ketika mempengerusikan mesyuarat SEDIA di Menara Kinabalu dekat sini pada Isnin.
Pada mesyuarat itu, Hajiji yang juga Pengerusi SEDIA dimaklumkan bahawa jumlah kos pembangunan CIQS Kalabakan ialah RM815 juta di mana RM600 juta adalah untuk pembinaan jalan sepanjang 39km dan RM215 juta untuk pusat CIQS. Pembangunan CIQS di Pagalongan termasuk pembinaan jalan raya akan menelan belanja sebanyak RM509.4 juta.
Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Pejabat Perdana Menteri memberitahu mesyuarat itu bahawa EPU tidak mempunyai bantahan terhadap projek yang telah diumumkan dalam Bajet Persekutuan 2020 tetapi menasihati SEDIA untuk meneruskan perkara ini dengan kementerian-kementerian berkaitan.
]]>KOTA KINABALU: Sejajar dengan Dasar Negeri Sabah mengenai alam sekitar serta aspirasi negara terutamanya dalam proses mitigasi dan adaptasi iklim, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan bahawa mengurangkan kesan perubahan iklim menjadi agenda utama kerajaan negeri ini.
“Sebagai komitmen bagi mengurangkan kesan perubahan iklim, kerajaan negeri menyasarkan untuk menanam kira-kira 36 juta pokok sebagai sebahagian daripada Program Penghijauan Malaysia seluruh negara bertemakan “Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita” yang akan berlangsung selama lima tahun sehingga 2025,” katanya.
Setakat ini, katanya hampir 4.5 juta pokok telah pun ditanam di seluruh negeri. Selain itu, Ketua Menteri berkata Sabah juga telah menubuhkan Majlis Tindakan Perubahan Iklim di bawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan Sabah untuk membincangkan dasar dan tindakan perubahan iklim, memacu pertumbuhan ekonomi hijau, memangkin teknologi hijau serta pertumbuhan rendah karbon.
“Perubahan iklim adalah salah satu aspek utama di dalam Dasar dan kami komited untuk mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan kualiti udara Sabah tidak akan merosot akibat aktiviti pembangunan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Perubahan Iklim Sabah 2021 di sini pada Selasa.
Persidangan dua hari secara hibrid yang diadakan di Shangri-La’s Tanjung Aru Resort, melalui Zoom serta YouTube itu dianjurkan bersama oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah, Program Penyelidikan Hutan Hutan Asia Tenggara (SEARRP) bersama PETRONAS sebagai penaja utama.
Katanya, persidangan itu tepat pada masanya kerana kesan perubahan iklim seperti peningkatan suhu, kemarau yang semakin teruk, kebakaran dan jerebu, kekerapan hujan lebat dan ribut hingga menyebabkan banjir di kawasan pedalaman dan pantai, serta ancaman yang semakin meningkat terhadap keselamatan makanan, kini dirasai secara global.
“Sabah tidak terkecuali,” katanya sambil menambah bahawa persidangan itu bukan sahaja akan meningkatkan kesedaran mengenai kesan perubahan iklim kepada masyarakat tetapi berkongsi pengetahuan serta kemudahan rangkaian.
“Saya berharap persidangan ini juga akan meningkatkan kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan untuk menggalakkan penyertaan orang ramai dalam kedua-dua agenda iaitu perubahan iklim dan pemuliharaan.
“Saya juga berhasrat untuk melihat penyertaan lebih ramai belia supaya mereka juga boleh menyuarakan tindakan terhadap perubahan iklim,” katanya.
Hajiji berkata, Malaysia juga sedang berusaha secara aktif untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan dan mempergiatkan usahanya melalui pelbagai kementerian serta agensi dalam inisiatif mitigasi dan adaptasi perubahan iklim.
Malaysia juga mengambil bahagian dalam kerjasama dan perjanjian antarabangsa, seperti Perjanjian Paris yang berkuat kuasa pada 2016.
Beliau berkata pada Persidangan Perubahan Iklim (COP26) Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu di Glasgow, Scotland, baru-baru ini, Malaysia telah mengulangi komitmennya untuk mencapai pengurangan pelepasan gas rumah kaca melalui pengemaskinian Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) dan aspirasi untuk mencapai pelepasan bersih sifar pada tahun 2050.
Sambil merakamkan penghargaan kerajaan negeri atas komitmen semua untuk menjayakan persidangan itu, Hajiji berharap ia akan menjadi platform untuk tindakan yang lebih jauh dalam menangani isu perubahan iklim bersama.
Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arifin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong; Ketua Penasihat Kerajaan dan Pengawal Selia PETRONAS, Anuar Ismail; Pengarah SEARRP, Datuk Dr Glen Reynolds dan Penasihat Teknikal kepada Ketua Menteri Berkaitan Perubahan Iklim, Datuk Darrel Webber.
]]>KOTA MARUDU: Rakyat Sabah diminta untuk tetap tenang dalam kemelut politik yang mengganggu dari pihak pembangkang di peringkat persekutuan.
Presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengatakan pengumuman khas baru-baru ini oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan bahawa pemerintah yang berkuasa “berada di tempat yang selamat”.
“Perdana Menteri telah mengatakan bahawa untuk menentukan keabsahannya melalui undi percaya di persidangan parlimen pada 6 September, dan kita semua akan memilih.
“Seluruh menteri kabinet berada di belakangnya dan kita yakin PM akan terus mendapat majoriti,” kata Maximus semasa menjayakan Program Jangkauan Vaksinasi di pusat inokulasi di Marak-Parak, dekat sini.
Maximus berkata, bahawa pembangkang sengaja menimbulkan kekecohan dalam persidangan parlimen baru-baru ini untuk mengganggu usaha pemerintah yang berterusan bagi memerangi penularan Covid-19.
“Sudah jelas bahawa meletakkan Covid-19 adalah perkara kedua bagi pihak pembangkang. Mereka hanya dahaga akan kekuasaan dan terus menimbulkan kekacauan, mereka tidak hanya mengganggu sidang parlimen, tetapi juga menghentam usaha pemerintah untuk memerangi virus maut ini, ”katanya.
Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), mengatakan bahawa PBS akan terus berdiri teguh di belakang Muhyiddin dan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional dan bahawa tujuh ADUNnya akan terus bekerja keras dan menyokong pemimpin, baik peringkat persekutuan dan negeri.
“PBS akan terus menyokong Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. Bagi kami, keutamaan adalah memerangi Covid-19. Dan agar pemerintah berfungsi dengan baik, ia memerlukan kestabilan untuk terus bekerja dan meningkatkan ekonomi negara, serta kesejahteraan rakyat, ”tambah Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu.
Beliau juga mengatakan bahawa maklum balas dari lapangan juga menunjukkan bahawa rakyat sudah bosan dengan muslihat politik pembangkang dan ingin negara kembali normal.
]]>11 Jun 2021
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa menitikberatkan kebajikan pelajar termasuk ketika pelaksanaan Total Lockdown yang sedang berkuatkuasa sehingga 14 Jun ini.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, seperti beberapa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, universiti melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) akan memantau situasi dan keperluan pelajar dari masa ke semasa.
“Satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan JHEP bersama barisan kepimpinan pelajar bagi tujuan ini.
“Mereka bertanggungjawab menguruskan segala sumbangan atau bantuan yang diberikan oleh organisasi, agensi kerajaan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) selain sumbangan daripada UMS sendiri.
“Antaranya, penyediaan Food Bank pada setiap Isnin hingga Khamis bagi memastikan kesemua pelajar di Kolej Kediaman dalam kampus dan pelajar Non Residen atau yang menyewa di sekitar Kota Kinabalu, mendapat bekalan makanan yang mencukupi ” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Taufiq berkata, UMS juga memantau rapat tahap kesihatan fizikal para pelajar sekiranya ada yang bergejala, mereka akan segera dirujuk ke Hospital UMS untuk menjalani saringan ujian Covid-19.
“Inisiatif lain yang turut dijalankan termasuklah tinjauan berkala oleh Kaunselor JHEP bagi memastikan tahap kesihatan mental para pelajar sepanjang tempoh Lockdown.
“Sehubungan itu, ibu bapa atau penjaga pelajar di seluruh kampus UMS sama ada di Kota Kinabalu, Sandakan atau di Labuan, usah bimbang, saya memberi jaminan bahawa UMS akan sentiasa memantau dan menjaga kebajikan anak-anak anda di sini,” katanya.
Mengenai aktiviti akademik, Taufiq memaklumkan sesi kelas kuliah berjalan seperti biasa melalui budaya norma baharu yang kesemuanya diadakan secara atas talian membabitkan pelajar di dalam kampus dan yang tinggal di luar.
Seramai 4,589 pelajar UMS berada di kampus Kota Kinabalu, Sandakan dan Labuan pada ketika ini.
Sebarang saluran sumbangan atau pertanyaan mengenai anak-anak yang menuntut di universiti itu boleh menghubungi talian hotline Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS di nombor 088-320060.