KUALA LUMPUR : Kes harian COVID-19 dijangka mampu melonjak sehingga angka 15,000 dalam masa terdekat, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Menurut beliau, situasi itu boleh dihadapi oleh negara berikutan jumlah warga emas yang masih belum mendapatkan dos penggalak agak tinggi.
Kata Khairy, sejumlah sejuta golongan berkenaan masih belum mengambil dos penggalak.
“Kes akan mencecah 15,000 tidak lama lagi. Masih ada 1 juta warga emas yang tiada dos penggalak.
“Tolong maklum kepada ibu bapa kesayangan anda untuk mendapatkan dos penggalak dengan segera,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Ahad.
Malaysia juga, jelas Khairy, sudah sepenuhnya berhadapan dengan gelombang varian Omicron.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham turut menyatakan kebimbangan sama sekiranya kadar R-Naught kekal kepada 1.2.
Situasi itu secara tidak langsung, jelas beliau, akan membawa kepada unjuran kes harian sebanyak 22,000 menjelang hujung Mac ini.
Dr Noor Hisham dalam pada itu menegaskan, risiko tersebut dapat diatasi sekiranya liputan dos penggalak dapat diperluas bagi memastikan penurunan kadar R-Naught.
Jumlah kes harian yang dilaporkan hari ini menunjukkan angka yang kembali melonjak seperti yang diramalkan sebelum ini dengan sebanyak 10,089 kes.
]]>KOTA KINABALU – Lima bangunan berisiko di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini, terletak berhampiran kawasan tanah runtuh yang memusnahkan stor simpanan ubat-ubatan Kementerian Kesihatan (KKM) malam tadi, telah dikosongkan sebagai langkah keselamatan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, lima bangunan itu terletak di Kompleks C hospital tersebut iaitu Stor Ubat dan Consumable, Wad Perubatan Kronik, Wad Rehab, Klinik Tibi dan Sleep Lab.
Beliau berkata, runtuhan seluas 20 meter lebar itu juga telah menyebabkan kerosakan struktur bangunan Sleep Lab dan stor Hospital Support Services (HSS).
“Pihak HQE juga telah mengambil tindakan menutup perimeter kawasan runtuhan dan tapak runtuhan ditutup menggunakan kanvas. Beberapa langkah akan diambil termasuklah baik pulih segera oleh Jabatan Kerja Raya dan bantuan kebajikan khas kepada kakitangan yang terkesan akibat kejadian ini.
“Saya sendiri akan ke Kota Kinabalu Isnin ini bagi melihat sendiri keadaan di sana dan akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kerajaan Negeri Sabah bagi memperincikan tindakan seterusnya yang perlu diambil,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebooknya hari ini.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tanah runtuh yang memusnahkan stor simpanan ubat-ubatan KKM di Kampung Kopungit di sini malam tadi, yang turut menyebabkan tiga kenderaan dan sebuah motosikal kakitangan KKM, serta tiga kenderaan orang awam tertimbus.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini berkata semua langkah keselamatan telah diambil bagi memastikan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku di kawasan tersebut.

“Bangunan berisko telah dikosongkan, manakala kami juga telah meminta pihak pengurusan utiliti mengalihkan tiang dan wayar di kawasan itu, pada masa ini keadaan terkawal dan operasi HQE berjalan seperti biasa,” katanya.
Mengulas mengenai kejadian banjir di negeri ini, Shahelmey berkata pihak berkuasa tempatan diminta memastikan semua parit dan sungai di negeri ini berfungsi dengan baik bagi memastikan kejadian banjir tidak menjadi lebih buruk.
“Kita mengalami kesan perubahan cuaca dengan intensiti hujan yang tinggi menyebabkan banjir kilat di banyak kawasan. Parit dan sungai penting untuk diselenggara agar air daripada hujan lebat itu dapat disalurkan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata, rakyat diminta supaya bersabar menghadapi bencana banjir yang berlaku dan kerajaan negeri kini sedang berusaha sedaya upaya bagi membantu mereka yang terlibat. – BERNAMA
]]>