KKM JEREBU – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Wed, 26 Aug 2026 11:11:10 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png KKM JEREBU – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Jerebu: KKM tingkat kesiapsiagaan pasukan hadapi peningkatan kes kesihatan – Dzulkefly https://sabahmedia.com/2026/08/26/jerebu-kkm-tingkat-kesiapsiagaan-pasukan-hadapi-peningkatan-kes-kesihatan-dzulkefly/ https://sabahmedia.com/2026/08/26/jerebu-kkm-tingkat-kesiapsiagaan-pasukan-hadapi-peningkatan-kes-kesihatan-dzulkefly/#respond Wed, 26 Aug 2026 11:11:03 +0000 https://sabahmedia.com/?p=102291
Read Time:2 Minute, 6 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR : Kementerian Kesihatan (KKM) akan melipatgandakan persediaan pasukan, pemantauan dan keperluan fasiliti kesihatan dalam menangani peningkatan kes kesihatan susulan situasi jerebu yang melanda negara ketika ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kesiapsiagaan itu antara lain memberi penumpuan terhadap peningkatan mendadak kes-kes kesihatan seperti asma dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI), susulan kualiti udara yang tidak baik.

“Hal ini penting kerana laporan terkini menunjukkan kira-kira 30 kawasan telah merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat di dalam negara. Jadi ini memberi isyarat untuk bersiap sedia dan perkara ini juga telah saya maklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Kita juga menasihati kanak-kanak, wanita hamil, warga emas dan golongan berisiko supaya memakai pelitup muka kalau bergejala, mengelak aktiviti luar dan pastikan minum air secukupnya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pembukaan Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa 2026 di sini hari ini.

Dzulkefly berkata KKM sentiasa bekerjasama rapat dengan kementerian lain termasuk Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam menangani isu berkaitan jerebu di negara ini.

Sementara itu, Dzulkefly berkata beliau akan mengadakan satu sesi khas bersama media pada minggu depan bagi memberi penjelasan menyeluruh berkaitan keputusan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada Mei lepas yang membatalkan tindakan mengeluarkan nikotin cecair daripada senarai racun berjadual.

Beliau juga telah membentangkan Nota Jemaah Menteri pada Mesyuarat Kabinet hari ini, antara lain menjelaskan posisi dan pendirian KKM terhadap keputusan untuk tidak merayu atas penghakiman Mahkamah Tinggi berkenaan.

Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis itu, Dzulkefly berkata sektor peranti perubatan Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM57.17 bilion menerusi 648 projek antara 2015 hingga tahun lepas, sekali gus mewujudkan 131,994 peluang pekerjaan bernilai tinggi.

Beliau berkata industri berkenaan kekal berorientasikan eksport, dengan eksport menyumbang purata 80 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan.

“Eksport peranti perubatan mencecah RM21.1 bilion setakat suku kedua 2025, didorong oleh eksport sarung tangan pembedahan, jarum, kateter, peralatan elektrodiagnostik serta implan ortopedik,” katanya.

Dzulkefly berkata penguatkuasaan terhadap peranti perubatan tidak berdaftar juga telah dipertingkatkan dengan kementerian melaksanakan kira-kira 15 serbuan antara 2023 hingga 2025, sekali gus menyita 1.3 juta unit peranti bernilai RM1.68 juta.

“Pada masa sama, lebih 4,000 serbuan penguatkuasaan dijalankan melibatkan produk kesihatan tidak berdaftar, dengan lebih 43,000 kes sitaan.

“Seiring dengan pengembangan perdagangan dan inovasi, perlindungan kesihatan awam serta memastikan integriti rantaian bekalan daripada ancaman barangan tiruan terus menjadi keutamaan,” katanya.  BERNAMA

]]>
https://sabahmedia.com/2026/08/26/jerebu-kkm-tingkat-kesiapsiagaan-pasukan-hadapi-peningkatan-kes-kesihatan-dzulkefly/feed/ 0 102291