Klinik Kesihatan Tangkarason – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sat, 07 Mar 2026 09:11:21 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Klinik Kesihatan Tangkarason – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Kerosakan Klinik Kesihatan Tangkarason akibat banjir dibawa ke perhatian pihak berkaitan https://sabahmedia.com/2026/03/07/kerosakan-klinik-kesihatan-tangkarason-akibat-banjir-dibawa-ke-perhatian-pihak-berkaitan/ https://sabahmedia.com/2026/03/07/kerosakan-klinik-kesihatan-tangkarason-akibat-banjir-dibawa-ke-perhatian-pihak-berkaitan/#respond Sat, 07 Mar 2026 09:11:15 +0000 https://sabahmedia.com/?p=92809
Read Time:1 Minute, 50 Second

PAITAN: Keperluan membaik pulih Klinik Kesihatan Tangkarason yang mengalami kerosakan akibat banjir baru-baru ini akan dibawa ke perhatian pihak berkaitan bagi tindakan lanjut.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, kerosakan yang berlaku menunjukkan keperluan mendesak untuk menambah baik kemudahan kesihatan yang memberi perkhidmatan kepada komuniti luar bandar.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke klinik berkenaan yang terletak di kawasan pedalaman pada Jumaat.

“Saya telah berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengenai kerosakan di sini, dan keperluan klinik ini akan dibawa ke perhatian pihak berkaitan supaya bantuan sewajarnya dapat disalurkan,” katanya.

Menurutnya, bantuan yang disampaikan semasa kunjungan tersebut bertujuan membantu memenuhi keperluan paling mendesak klinik berkenaan selepas kejadian banjir.

“Sumbangan yang disampaikan hari ini adalah untuk membantu memenuhi keperluan segera di sini sementara usaha mendapatkan bantuan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Dalam lawatan itu, beliau turut menyampaikan pek makanan, bekalan perubatan serta keperluan asas lain kepada Pegawai Kesihatan Kawasan Beluran, Dr Nafsah Dulajis.

Sumbangan tersebut termasuk barangan yang disalurkan melalui Kelab Kebajikan dan Sosial Hospital Queen Elizabeth.

Lawatan kerja itu turut disertai Pengarah JKNS, Dr William Gotulis, pegawai dari ibu pejabat jabatan berkenaan serta wakil Pejabat Kesihatan Daerah Beluran.

Julita turut memuji dedikasi petugas kesihatan di klinik tersebut yang terus berkhidmat kepada masyarakat walaupun laluan ke klinik berkenaan terjejas akibat banjir.

“Saya dimaklumkan laluan ke klinik ini terjejas ketika banjir, namun kakitangan di sini saling membantu dan terus menjalankan tugas masing-masing. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua atas ketabahan dan komitmen yang ditunjukkan,” katanya.

Beliau juga memuji usaha Dr Nafsah yang mengendalikan kawasan perkhidmatan yang luas dan mencabar.

“Untuk seorang doktor mengendalikan kawasan yang begitu luas sememangnya mencabar, lebih-lebih lagi di kawasan pedalaman seperti ini,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri akan terus membangkitkan keperluan sektor kesihatan di Sabah di pelbagai platform peringkat Persekutuan, termasuk Jawatankuasa Kesihatan Kabinet serta perbincangan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kerajaan Sabah akan terus memperjuangkan penambahbaikan supaya kemudahan yang ada di sini dapat ditingkatkan dan setanding dengan kemudahan di kawasan lain di negara ini,” katanya.

Klinik Kesihatan Tangkarason memberi perkhidmatan kepada kawasan luar bandar yang luas di utara Sabah, dengan pekan utama terdekat hanya boleh diakses selepas beberapa jam perjalanan melalui jalan darat.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/03/07/kerosakan-klinik-kesihatan-tangkarason-akibat-banjir-dibawa-ke-perhatian-pihak-berkaitan/feed/ 0 92809
Bina semula Klinik Kesihatan Tangkarason terhalang, status tanah belum dimohon KKM melalui PTP https://sabahmedia.com/2024/02/19/bina-semula-klinik-kesihatan-tangkarason-terhalang-status-tanah-belum-dimohon-kkm-melalui-ptp/ https://sabahmedia.com/2024/02/19/bina-semula-klinik-kesihatan-tangkarason-terhalang-status-tanah-belum-dimohon-kkm-melalui-ptp/#respond Mon, 19 Feb 2024 07:45:53 +0000 https://sabahmedia.com/?p=49732
Read Time:2 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU: Pembinaan semula Klinik Kesihatan Kampung Tangkarason di Beluran yang musnah dalam kebakaran baru-baru ini terhalang apabila dimaklumkan tapak tanah tersebut belum lagi dimohon oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) mengikut rekod daripada Jabatan Tanah Negeri Sabah, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.

Pada Khamis lalu, Klinik Kesihatan Kampung Tangkarason dan kuarters kakitangan musnah terbakar dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi.

Sehubungan dengan itu, James baru-baru ini telah mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Kampung Tangkarason yang terbakar itu dan telahpun mengambil tindakan akan terus membina klinik baharu (konkrit) untuk menggantikan klinik kayu yang terbakar di tapak yang sama.

“Namun demikian apa yang menjadi penghalang kepada kita, tanah tersebut belum lagi dipohon oleh KKM iaitu belum lagi dimohon oleh PTP mengikut rekod daripada Jabatan Tanah.

“Ini merupakan satu perkara yang amat menyedihkan bayangkan klinik berusia 30 tahun lebih dibina tetapi status tanahnya belumpun dimohon oleh KKM melalui PTP di Sabah.

“Apa peranan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan di Sabah? Adakah mereka ini makan gaji buta? Adakah mereka ini hanya mengambil gaji atau tidak mahu bekerja?,” tegas James.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan sidang media khas di pejabat kementeriannya di sini hari ini.

Menurut James, masalah sama juga pernah berlaku apabila Klinik Kesihatan Mansiat di Sook musnah terbakar pada Jun 2022, pembinaan semula klinik tersebut juga terhalang disebabkan status tanah belum diwartakan walaupun permohonan telah dibuat sejak tahun 1979.

“Tetapi apabila kita bawa mesyuarat baru-baru ini bersama dengan Jabatan Tanah, barulah tanah tersebut dikeluarkan tawaran untuk membina Klinik Kesihatan Mansiat yang baharu di Sook,” katanya.

James turut mendedahkan sebanyak 23 projek Klinik Kesihatan di Sabah mengalami masalah status tanah belum diwartakan sejak bertahun lama.

“Dua minggu lalu, saya telah mengadakan perbincangan dengan PTP dan Jabatan Tanah mengenai masalah status tanah 23 projek Klinik Kesihatan tersebut, masalah itu telah selesai dalam masa satu hari,” katanya.

Bagaimanapun, James berkata, selain masalah tanah ada juga masalah-masalah kecil lain seperti bekalan air, letrik, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga masalah teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam melaksanakan projek-projek Klinik Kesihatan tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran kepada pengarah-pengarah dan ketua-ketua jabatan berkaitan memastikan mereka menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sewajarnya.

“Saya minta kepada semua pengarah-pengarah arahkan pegawai-pegawai mereka supaya selesaikan masalah tanah di negeri Sabah ini.

“Saya minta kepada YAB Ketua Menteri supaya mengambil tindakan sewajarnya kepada mana-mana pengarah dan pegawai yang tidak menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dalam jabatan-jabatan mereka,” tegas beliau lagi.

Untuk rekod, status terkini projek klinik daif tahun 2023 iaitu sebanyak 23 buah Projek Klinik Daif (23), 12 buah Klinik telah siap (November 2023), 11 buah Klinik Daif masih dalam fasa pelaksanaan.

Manakala terdapat tiga buah klinik dikhuatiri tidak sempat siap kerana penutupan akaun tahunan pada 15 Disember 2023 iaitu Klinik Daerah (KD) Sepagaya, Lahad Datu, KD Kaniogan, Beluran dan Klinik Kesihatan (KK) Sungai-Sungai, Beluran.

Jumlah peruntukan projek klinik daif bagi tahun 2023 iaitu sebanyak RM10,807,125.50.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/02/19/bina-semula-klinik-kesihatan-tangkarason-terhalang-status-tanah-belum-dimohon-kkm-melalui-ptp/feed/ 0 49732