Koroner – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Mon, 18 Aug 2025 04:53:23 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Koroner – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Prosiding inkues kematian Zara bermula bulan hadapan https://sabahmedia.com/2025/08/18/prosiding-inkues-kematian-zara-bermula-bulan-hadapan/ https://sabahmedia.com/2025/08/18/prosiding-inkues-kematian-zara-bermula-bulan-hadapan/#respond Mon, 18 Aug 2025 02:21:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=79521
Read Time:2 Minute, 15 Second

Oleh J. Evachel John

Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner di sini menetapkan 19 hari untuk prosiding inkues berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Tarikh perbicaraan itu ditetapkan pada 3 dan 4 September; 8 hingga 12 September; 17 hingga 19 September; serta 22 hingga 30 September.

Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz, yang bersidang sebagai Koroner, menetapkan tarikh berkenaan ketika sebutan kes hari ini.

Terdahulu, Pegawai pengendali inkues berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairus Johari memaklumkan kepada mahkamah bahawa permohonan inkues difailkan pada 17 Ogos di bawah Seksyen 339 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

Beliau memaklumkan bahawa seramai 195 saksi telah disenaraikan, namun senarai itu mungkin akan dipendekkan. Fairus kemudian memohon tarikh perbicaraan ditetapkan bagi inkues tersebut.

Peguam pemerhati, Hamid Ismail, memohon secara lisan agar pasukannya dibenarkan terlibat secara langsung dalam inkues untuk menyoal balas saksi.

Beliau turut memohon agar semua dokumen berkaitan diserahkan kepada mereka secepat mungkin supaya pasukan guaman dapat menyediakan soalan relevan bagi membantu Koroner membuat keputusan.

Hamid turut meminta Koroner menggunakan budi bicara untuk memutuskan permohonan itu hari ini, tanpa perlu menunggu permohonan rasmi.

Seorang lagi peguam pemerhati, Shahlan Jufri, berkata pasukan guaman yang mewakili ahli keluarga tidak hadir untuk berdebat atau bersaing dengan pendakwaan, sebaliknya hanya mahu mengetahui punca kematian Zara.

“Adalah jelas kami merupakan pihak berkepentingan dalam inkues ini dan mempunyai hak untuk menyoal saksi serta mendapat akses kepada semua dokumen berkaitan,” katanya.

Namun begitu, Fairus menegaskan pasukan guaman keluarga perlu membuat permohonan rasmi.

Koroner kemudian mengarahkan pasukan guaman membuat permohonan rasmi dan memaklumkan bahawa keputusan mengenainya akan dibuat sebelum 3 September.

Koroner juga mengarahkan pihak pendakwaan menyerahkan senarai muktamad saksi sebelum inkues bermula.

Fairus dibantu oleh Dana Arabi Wazani, Afiq Agoes, dan Dacia Jane Romanus.

Sementara itu, peguam pemerhati lain, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser, turut mewakili ibu Zara, Noraidah Lamat.

Presiden Sabah Law Society (SLS), Datuk Mohamed Nazim Maduarin, turut hadir sebagai peguam pemerhati bagi prosiding berkenaan.

Ibu Zara tidak hadir di mahkamah hari ini.

Pada Rabu lalu (13 Ogos), Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk mengadakan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Zara, termasuk menentukan sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya.

Keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan penuh siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 12 Ogos lalu.

Menurut kenyataan AGC, inkues tersebut akan dijalankan selaras dengan subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Zara, pelajar di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (QEH) pada jam 1.07 petang keesokan harinya.

Kes Zara telah mencetuskan gelombang solidariti masyarakat, dengan pelbagai pihak termasuk pemimpin negeri, aktivis, dan badan bukan kerajaan mendesak siasatan menyeluruh demi keadilan. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/18/prosiding-inkues-kematian-zara-bermula-bulan-hadapan/feed/ 0 79521
Petugas media mula berkumpul di Mahkamah Koroner KK https://sabahmedia.com/2025/08/18/petugas-media-mula-berkumpul-di-mahkamah-koroner-kk/ https://sabahmedia.com/2025/08/18/petugas-media-mula-berkumpul-di-mahkamah-koroner-kk/#respond Mon, 18 Aug 2025 00:49:13 +0000 https://sabahmedia.com/?p=79509
Read Time:44 Second

Oleh SABAH MEDIA TEAM

Kota Kinabalu : Mahkamah Koroner Kota Kinabalu di sini menjadi tumpuan petugas media bagi mendengar sebutan prosiding inkues untuk menentukan punca dan sebab kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir,13.

Seawal jam 7.30 pagi, petugas media mula berkumpul di bangunan mahkamah bagi membuat liputan sebutan inkues yang dijangka akan berlangsung pada jam 9 pagi.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat menugaskan pegawai dan anggotanya untuk membuat kawalan dan memantau keadaan berhampiran bangunan mahkamah.

Petugas media perlu mendaftar sebelum dibenarkan masuk ke Mahkamah Koroner.

Sabah Media semalam melaporkan sebutan inkues berhubung kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, dijangka berlangsung pagi ini di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.

Peguam keluarga, Hamid Ismail, berkata prosiding itu dijadualkan pada jam 9 pagi, namun Koroner yang akan mendengar prosiding itu masih belum dipastikan.

Hamid mengesahkan perkembangan itu selepas dimaklumkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) cawangan Sabah, pada Ahad. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/18/petugas-media-mula-berkumpul-di-mahkamah-koroner-kk/feed/ 0 79509