Kpdn beaufort – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Fri, 05 Jun 2026 03:31:33 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Kpdn beaufort – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Helah ubah suai kenderaan untuk simpan diesel terbongkar https://sabahmedia.com/2026/06/05/helah-ubah-suai-kenderaan-untuk-simpan-diesel-terbongkar/ https://sabahmedia.com/2026/06/05/helah-ubah-suai-kenderaan-untuk-simpan-diesel-terbongkar/#respond Fri, 05 Jun 2026 03:31:29 +0000 https://sabahmedia.com/?p=97726
Read Time:2 Minute, 7 Second

BEAUFORT: Taktik menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang diubah suai sebagai tempat simpanan diesel dipercayai untuk tujuan penyelewengan berjaya dibongkar dalam satu operasi penguatkuasaan di sebuah stesen minyak di Pekan Beaufort.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam pada Rabu lalu, sebuah kenderaan jenis Isuzu Invader Double Cabin dikesan membawa diesel yang dianggarkan berjumlah 1,000 liter yang disimpan di dalam tangki khas yang dipercayai telah diubah suai.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Beaufort, Jamiah Bakar berkata, kenderaan tersebut diperiksa oleh anggota Task Force Perisikan Batalion 16 Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum tiga individu ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kes bersama barang rampasan kemudiannya diserahkan KPDN Cawangan Beaufort untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan itu bukan sahaja dilengkapi dengan tangki simpanan berkapasiti besar, malah turut mempunyai peralatan yang dipercayai digunakan untuk memindahkan diesel.

“Antara barang yang dirampas ialah satu gelung hos, sebuah pam minyak elektrik serta dokumen-dokumen berkaitan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti berkenaan. Pegawai penguat kuasa KPDN turut melaksanakan sitaan semula terhadap semua barang kes bagi melengkapkan siasatan.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk diesel, kenderaan dan peralatan yang digunakan dianggarkan berjumlah RM23,320,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Jamiah berkata, pihaknya memandang serius sebarang cubaan menyeleweng barang kawalan bersubsidi kerana perbuatan itu boleh menyebabkan ketirisan subsidi kerajaan dan menjejaskan bekalan kepada pengguna yang layak.

Menurut beliau, kegiatan mengubah suai kenderaan bagi tujuan menyimpan dan mengangkut diesel dalam jumlah besar merupakan satu daripada kaedah yang sering digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Pihak KPDN akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik bersama agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Beliau berkata, operasi bersepadu menerusi Ops Tiris 4.0 akan terus dipergiatkan bagi memastikan sebarang bentuk penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan dapat dikesan serta dibanteras dengan lebih berkesan.

Tambahnya, kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan peraturan-peraturan berkaitan, manakala tiga individu yang ditahan sedang melalui proses siasatan lanjut.

Menurutnya lagi, KPDN turut menggesa orang ramai supaya terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan yang melibatkan barang kawalan bersubsidi di kawasan masing-masing.

KPDN akan terus mempergiatkan pelaksanaan Ops Tiris 4.0 Bersepadu secara berterusan melalui pendekatan risikan, pemeriksaan dan penguatkuasaan bersepadu bagi memastikan aktiviti penyelewengan barang kawalan dapat dibanteras secara menyeluruh.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/05/helah-ubah-suai-kenderaan-untuk-simpan-diesel-terbongkar/feed/ 0 97726
Tiga peniaga dikompaun dalam operasi bersepadu KPDN Beaufort https://sabahmedia.com/2026/01/28/tiga-peniaga-dikompaun-dalam-operasi-bersepadu-kpdn-beaufort/ https://sabahmedia.com/2026/01/28/tiga-peniaga-dikompaun-dalam-operasi-bersepadu-kpdn-beaufort/#respond Tue, 27 Jan 2026 20:44:53 +0000 https://sabahmedia.com/?p=90499
Read Time:1 Minute, 8 Second

BEAUFORT : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Beaufort mengeluarkan tiga kompaun serta-merta terhadap peniaga yang didapati melanggar peruntukan undang-undang dalam operasi bersepadu yang dijalankan di sekitar daerah ini, pada Selasa.

Operasi berkenaan melibatkan seramai tujuh pegawai penguat kuasa KPDN Beaufort dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Beaufort, bagi menjalankan pemeriksaan harga, bekalan barangan keperluan asas serta pematuhan akta-akta di bawah seliaan KPDN.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah Beaufort Julie Julhani berkata, tiga tindakan kompaun itu dikeluarkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) serta Akta Timbang dan Sukat 1972 (ATS 1972) hasil kesalahan yang dikesan semasa pemeriksaan dijalankan.

Menurutnya, secara keseluruhan, pemeriksaan mendapati kebanyakan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan khususnya berkaitan penandaan harga barangan serta penggunaan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan bagi tujuan perdagangan.

“Operasi ini bertujuan memastikan pematuhan undang-undang, melindungi hak pengguna serta mengelakkan sebarang bentuk pencatutan dan penyelewengan dalam urus niaga,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam operasi sama, PKK Beaufort turut mengeluarkan lapan notis kompaun terhadap premis yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah peruntukan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Julie berkata, pihaknya akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berkala bagi memastikan persekitaran perniagaan yang adil dan teratur.

Selain itu katanya, operasi itu turut memberi kesedaran kepada peniaga agar sentiasa mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa. – SABAH MEDIA / FOTO KPDN BEAUFORT

]]>
https://sabahmedia.com/2026/01/28/tiga-peniaga-dikompaun-dalam-operasi-bersepadu-kpdn-beaufort/feed/ 0 90499