KPDN Sabah – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Wed, 15 Jul 2026 02:55:02 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png KPDN Sabah – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Dua premis di Kalabakan dikompaun gagal pamer tanda harga https://sabahmedia.com/2026/07/15/dua-premis-di-kalabakan-dikompaun-gagal-pamer-tanda-harga/ https://sabahmedia.com/2026/07/15/dua-premis-di-kalabakan-dikompaun-gagal-pamer-tanda-harga/#respond Wed, 15 Jul 2026 02:54:58 +0000 https://sabahmedia.com/?p=99898
Read Time:1 Minute, 27 Second

TAWAU : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau mengeluarkan kompaun terhadap dua premis perniagaan di kawasan Kalabakan, di sini, selepas didapati gagal mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan penandaan harga.

Tindakan itu diambil hasil pemeriksaan yang dijalankan penguat kuasa KPDN pada Selasa apabila didapati barangan yang dipamerkan untuk jualan tidak disertakan tanda harga jualan tunai sebagaimana diwajibkan di bawah undang-undang.

KPDN Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 yang dibuat menurut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].

Menurut kenyataan itu, setiap barangan yang ditawarkan kepada pengguna hendaklah dipamerkan dengan tanda harga yang jelas dan mudah dilihat, khususnya bagi barangan kawalan berjadual seperti minyak masak, gula dan keperluan asas lain, bagi menjamin ketelusan urus niaga.

“Kegagalan mematuhi peruntukan berkenaan boleh dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang,” menurut kenyataan itu di sini.

Bagi kesalahan berkenaan, individu yang disabitkan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan berulang, hukuman boleh ditingkatkan kepada denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM250,000 bagi kesalahan berikutnya.

Dalam operasi sama, sebanyak 15 Kenyataan Pemeriksaan Premis (KPP) turut dikeluarkan terhadap premis-premis yang diperiksa.

KPDN Tawau menegaskan pihaknya akan terus mempertingkatkan pemantauan dari semasa ke semasa, khususnya menjelang musim perayaan, bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang serta mengamalkan urus niaga yang beretika demi melindungi kepentingan pengguna.

Orang ramai yang mempunyai aduan atau pertanyaan berkaitan boleh mengemukakannya menerusi sistem e-Aduan KPDN, menghubungi KPDN Tawau atau menggunakan saluran WhatsApp Aduan Pengguna.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/15/dua-premis-di-kalabakan-dikompaun-gagal-pamer-tanda-harga/feed/ 0 99898
Premis pasar raya, ‘car wash’ di Tawau dikompaun gagal pamer tanda harga https://sabahmedia.com/2026/07/08/premis-pasar-raya-car-wash-di-tawau-dikompaun-gagal-pamer-tanda-harga/ https://sabahmedia.com/2026/07/08/premis-pasar-raya-car-wash-di-tawau-dikompaun-gagal-pamer-tanda-harga/#respond Wed, 08 Jul 2026 00:36:03 +0000 https://sabahmedia.com/?p=99531
Read Time:1 Minute, 36 Second

KOTA KINABALU : Dua premis perniagaan di kawasan bandar Tawau dikenakan tindakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau selepas didapati gagal mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan penandaan harga.

Tindakan itu diambil dalam satu operasi pemeriksaan yang dijalankan penguat kuasa KPDN pada Selasa lalu bagi memantau aktiviti perdagangan serta memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan.

KPDN Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati sebuah premis pasar raya dan sebuah premis perkhidmatan mencuci kereta gagal mempamerkan tanda harga jualan tunai bagi barangan serta caj perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna.

Katanya, perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 yang dibuat menurut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].

“KPDN menegaskan bahawa setiap barangan yang ditawarkan kepada pengguna hendaklah dipamerkan dengan tanda harga yang jelas dan mudah dilihat.

“Perkara ini amat penting khususnya bagi barangan kawalan berjadual seperti minyak masak, gula dan lain-lain bagi menjamin ketelusan dalam urus niaga serta melindungi hak pengguna,” menurut kenyataan itu.

KPDN turut mengingatkan bahawa sekiranya disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan berulang, penalti boleh meningkat sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, bagi syarikat yang melakukan kesalahan, denda sehingga RM100,000 boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM250,000 bagi kesalahan seterusnya.

Dalam operasi sama, sebanyak 35 Kenyataan Pemeriksaan Premis (KPP) turut dikeluarkan ke atas premis-premis perniagaan yang diperiksa.

KPDN Sabah memaklumkan pihaknya akan terus mempertingkatkan pemantauan dari semasa ke semasa, khususnya menjelang musim perayaan, bagi memastikan aktiviti perniagaan berjalan secara beretika dan mematuhi undang-undang demi melindungi kepentingan pengguna.

Orang ramai yang mempunyai aduan atau pertanyaan berkaitan isu kepenggunaan boleh menyalurkannya melalui saluran rasmi KPDN termasuk e-Aduan KPDN, talian pejabat KPDN Tawau atau WhatsApp Aduan Pengguna.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/08/premis-pasar-raya-car-wash-di-tawau-dikompaun-gagal-pamer-tanda-harga/feed/ 0 99531
Lelaki ditahan dalam kes penyelewengan barang kawalan bersubsidi di Semporna https://sabahmedia.com/2026/06/12/lelaki-ditahan-dalam-kes-penyelewengan-barang-kawalan-bersubsidi-di-semporna/ https://sabahmedia.com/2026/06/12/lelaki-ditahan-dalam-kes-penyelewengan-barang-kawalan-bersubsidi-di-semporna/#respond Fri, 12 Jun 2026 01:20:39 +0000 https://sabahmedia.com/?p=98084
Read Time:1 Minute, 22 Second

SEMPORNA: Seorang lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes disyaki melibatkan penyelewengan barang kawalan bersubsidi dalam operasi penguatkuasaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di sekitar Pekan Semporna di sini pada Rabu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkam, penahanan itu dibuat selepas pihaknya menerima serahan kes daripada BN 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak hasil satu operasi yang dijalankan.

Dalam operasi berkenaan, pihak berkuasa telah menemukan sejumlah barang kawalan yang dipercayai disimpan di sebuah premis yang tidak dilesenkan atau tidak mendapat kebenaran daripada Pengawal Bekalan.

Menurut KPDN Sabah, rampasan melibatkan 59 kotak tepung gandum cap kuda seberat 590 kilogram, 249 kotak tepung gandum cap lili seberat 2,539.80 kilogram, 34 karung tepung gandum cap kuda seberat 850 kilogram serta 47 bundle gula pasir kasar jenama prai seberat 1,128 kilogram.

Tambahnya, keseluruhan nilai rampasan barang kawalan dan kes dianggarkan berjumlah RM13,137.28.

KPDN Sabah berkata, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi tindakan lanjut.

Pihaknya turut memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat supaya tidak terlibat dalam aktiviti penyelewengan atau penyalahgunaan barang kawalan bersubsidi kerana tindakan tegas boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang.

“Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, selain hukuman penjara atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, hukuman denda boleh mencecah sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan berikutnya,” menurut kenyataan itu.

KPDN turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan melalui saluran rasmi jabatan bagi membantu usaha membanteras kegiatan tersebut.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/12/lelaki-ditahan-dalam-kes-penyelewengan-barang-kawalan-bersubsidi-di-semporna/feed/ 0 98084
Orang ramai dijemput meriahkan Program Inspirasi Beli Barangan Malaysia di SICC https://sabahmedia.com/2026/05/15/orang-ramai-dijemput-meriahkan-program-inspirasi-beli-barangan-malaysia-di-sicc/ https://sabahmedia.com/2026/05/15/orang-ramai-dijemput-meriahkan-program-inspirasi-beli-barangan-malaysia-di-sicc/#respond Fri, 15 May 2026 14:46:17 +0000 https://sabahmedia.com/?p=96753
Read Time:2 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU : Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Program Inspirasi Beli Barangan Malaysia yang akan berlangsung selama dua hari bermula pada Sabtu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, program yang berlangsung bermula jam 9 pagi itu terbuka kepada semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata, pelbagai pengisian menarik disediakan sepanjang dua hari program berlangsung termasuk jualan produk tempatan, Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM), reruai agensi kerajaan, sesi advokasi kepenggunaan serta aktiviti interaktif untuk seisi keluarga.

“Kita mahu program ini bukan sekadar tempat membeli-belah, tetapi menjadi platform santai untuk rakyat datang bersama keluarga, mengenali produk tempatan dan pada masa sama mendapatkan pelbagai manfaat daripada inisiatif KPDN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sembang Inspirasi Beli Barangan Malaysia bersama Sabah FM di sini baru-baru ini.

Shahril berkata, sebanyak 60 reruai melibatkan usahawan dari Sabah dan seluruh negara akan mengambil bahagian dengan mengetengahkan pelbagai kategori produk termasuk makanan dan minuman, produk kesihatan dan kecantikan, kraftangan, fesyen serta produk gaya hidup.

Katanya, program tersebut juga bertujuan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap produk buatan Malaysia yang kini semakin berkembang dari segi kualiti, pembungkusan, penjenamaan dan kreativiti.

“Produk tempatan kita hari ini memang mampu bersaing dan setanding produk luar negara. Kita mahu rakyat Sabah sendiri berasa bangga dan yakin dengan produk buatan Malaysia, khususnya produk tempatan Sabah yang mempunyai identiti tersendiri,” katanya.

Menurut beliau, antara segmen utama yang dijangka menjadi tumpuan pengunjung ialah Program Jualan Rahmah MADANI yang menawarkan kira-kira 200 jenis unit simpanan stok (SKU) pada harga 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran.

Tiga pasar raya utama iaitu Bataras, Big Bag Borneo dan Servay Evergreen akan mengambil bahagian dalam jualan tersebut.

Antara barangan dijual termasuk beras, minyak masak, telur, barang dapur, makanan basah dan produk penjagaan diri.

Pengunjung juga berpeluang menikmati sesi “Happy Hour” yang menawarkan potongan harga sehingga 60 peratus bagi barangan terpilih.

Selain itu, pelbagai reruai agensi dan rakan strategik KPDN turut disediakan bagi memberi maklumat berkaitan hak pengguna, perlindungan pengguna, penjenamaan produk, harta intelek, peluang perniagaan dan pembangunan usahawan.

Antara agensi yang akan terlibat termasuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS).

Majlis perasmian Program Inspirasi Beli Barangan Malaysia dijadual disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada 16 Mei.

Turut dijangka hadir ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Shahril Nizam berkata, penganjuran program itu diharap dapat menjadi platform yang lebih dekat dengan rakyat selain memperkukuh kesedaran serta semangat menyokong produk tempatan.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/15/orang-ramai-dijemput-meriahkan-program-inspirasi-beli-barangan-malaysia-di-sicc/feed/ 0 96753
Ops Tiris 4.0 : KPDN Semporna tahan lelaki, rampas diesel dan minyak masak bersubsidi https://sabahmedia.com/2026/05/14/ops-tiris-4-0-kpdn-semporna-tahan-lelaki-rampas-diesel-dan-minyak-masak-bersubsidi/ https://sabahmedia.com/2026/05/14/ops-tiris-4-0-kpdn-semporna-tahan-lelaki-rampas-diesel-dan-minyak-masak-bersubsidi/#respond Thu, 14 May 2026 03:48:25 +0000 https://sabahmedia.com/?p=96644
Read Time:1 Minute, 47 Second

SEMPORNA: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai memiliki 150 liter minyak diesel tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan dalam satu operasi penguatkuasaan di daerah ini.

Rampasan itu merupakan sebahagian daripada tindakan di bawah Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

Kes berkenaan diserahkan kepada KPDN Semporna oleh Batalion N22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak pada 13 Mei lalu.

Menurut KPDN Sabah, pihak PGA menahan suspek bersama sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna hitam dan enam jeriken yang mengandungi 150 liter minyak diesel.

Pemeriksaan mendapati individu terbabit gagal mengemukakan sebarang kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan untuk memiliki atau menyimpan barang kawalan tersebut.

Nilai rampasan minyak diesel dianggarkan sebanyak RM322.50, manakala jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan berkenaan dianggarkan bernilai RM50,822.50.

Susulan itu, KPDN Semporna membuka kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam pada itu, KPDN cawangan Semporna turut merampas 425 kilogram minyak masak paket bersama sebuah pump bot tanpa nombor pendaftaran dalam satu operasi penguatkuasaan di kawasan perairan Pulau Larapan, di sini.

Rampasan itu juta merupakan hasil serahan daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna kepada KPDN pada 13 Mei lalu di bawah Ops Tiris 4.0 (Bersepadu).

Menurut KPDN, kes tersebut melibatkan rampasan tanpa tuan selepas pasukan penguat kuasa menemui sejumlah minyak masak paket yang dipercayai cuba diseleweng untuk tujuan tertentu.

Turut disita ialah sebuah pump bot tanpa nombor pendaftaran, sebuah enjin 18 kuasa kuda jenama Pro Quip serta satu unit shaft propeller.

Nilai rampasan minyak masak paket dianggarkan sebanyak RM1,062.50, manakala jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot dan peralatan dianggarkan bernilai RM2,165.50.

Susulan itu, KPDN Semporna membuka kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

KPDN menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan penguatkuasaan di kawasan darat dan perairan Semporna bagi memastikan barang kawalan bersubsidi tidak disalahgunakan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi digalakkan menyalurkan aduan melalui WhatsApp 019-848 8000, talian bebas tol 1-800-886-800, e-mel [email protected] atau aplikasi Ez ADU KPDN.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/14/ops-tiris-4-0-kpdn-semporna-tahan-lelaki-rampas-diesel-dan-minyak-masak-bersubsidi/feed/ 0 96644
Operasi Bersepadu di Kunak: Tiga peniaga diambil tindakan, KKM keluar empat notis https://sabahmedia.com/2026/02/18/operasi-bersepadu-di-kunak-tiga-peniaga-diambil-tindakan-kkm-keluar-empat-notis/ https://sabahmedia.com/2026/02/18/operasi-bersepadu-di-kunak-tiga-peniaga-diambil-tindakan-kkm-keluar-empat-notis/#respond Wed, 18 Feb 2026 01:14:17 +0000 https://sabahmedia.com/?p=91854
Read Time:1 Minute, 15 Second

KUNAK :  Tiga peniaga dikenakan tindakan undang-undang dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna.

Operasi itu turut dijalankan bersama Bahagian Penguatkuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Daerah Kunak.

Ketua Cawangan KPDN Semporna, Satunlucy Lamioh @ Lamidah berkata, operasi itu dilaksanakan susulan aduan pengguna yang diterima pihaknya dengan objektif memastikan pematuhan undang-undang perdagangan serta peraturan kesihatan di premis sekitar daerah Kunak.

Katanya, seramai lima pegawai KPDN, sembilan pegawai KKM dan enam pegawai Majlis Daerah Kunak terlibat dalam operasi berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan tertumpu kepada pasar raya, kedai runcit, restoran dan stesen minyak di sekitar kawasan tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiga peniaga melakukan kesalahan di bawah Akta Timbang Sukat 1972, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Perihal Dagangan 2011, dan tindakan undang-undang telah diambil oleh pihak KPDN.

“Dalam operasi sama, KKM turut mengeluarkan empat  notis atas pelbagai kesalahan berkaitan peraturan kesihatan, manakala dua kompaun telah dikeluarkan oleh Majlis Daerah Kunak atas kesalahan di bawah undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa serta melindungi hak pengguna.

Selain itu, pihaknya turut mengingatkan para peniaga supaya tidak melakukan sebarang penyelewengan terhadap barangan kawalan atau manipulasi harga yang boleh menjejaskan kepentingan pengguna.

“KPDN kekal komited dalam memastikan kestabilan bekalan, pematuhan harga dan mewujudkan persekitaran perdagangan yang adil demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO KPDN SABAH

]]>
https://sabahmedia.com/2026/02/18/operasi-bersepadu-di-kunak-tiga-peniaga-diambil-tindakan-kkm-keluar-empat-notis/feed/ 0 91854
KPDN Sabah rampas 16,180 liter diesel bersubsidi dalam serbuan di Kepayan https://sabahmedia.com/2025/08/08/kpdn-sabah-rampas-16180-liter-diesel-bersubsidi-dalam-serbuan-di-kepayan/ https://sabahmedia.com/2025/08/08/kpdn-sabah-rampas-16180-liter-diesel-bersubsidi-dalam-serbuan-di-kepayan/#respond Fri, 08 Aug 2025 03:34:35 +0000 https://sabahmedia.com/?p=78785
Read Time:1 Minute, 28 Second

Kota Kinabalu : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah berjaya menumpaskan satu kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di Jalan Bunga Raya, Kepayan di sini pada Khamis.

Operasi yang dijalankan oleh lima pegawai penguat kuasa di bawah Ops Tiris itu membuahkan hasil apabila pihak KPDN menemui anggaran 16,180 liter minyak diesel, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser, serta peralatan berkaitan, dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM34,650.

Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an yang dipercayai bertanggungjawab berada di lokasi serbuan turut ditahan bagi tujuan membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Peter J. Berinus Agang, berkata, serbuan tersebut adalah hasil risikan selama dua minggu serta maklumat awam yang diterima oleh Pejabat KPDN Sabah.

Katanya, premis yang diserbu didapati tidak mempunyai lesen sah atau kebenaran untuk menyimpan barang kawalan.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, yang membawa hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya bagi individu. Bagi syarikat, denda boleh mencecah RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.

“Peringatan kepada pengusaha stesen minyak, agar tidak menjual petrol RON95 dan diesel bersubsidi kepada pembeli tanpa kebenaran bertulis KPDN.

“Pemilik stesen minyak boleh disiasat di bawah Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 jika gagal mematuhi arahan pengawal,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Peter berkata, KPDN Sabah menegaskan komitmen untuk terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan rapi bagi membanteras aktiviti ketirisan barang kawalan bersubsidi di seluruh negeri.

“Orang awam digesa menjadi mata dan telinga kerajaan dengan menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan subsidi melalui saluran rasmi yang disediakan,” katanya. SABAH MEDIA / FOTO KPDN SABAH

]]>
https://sabahmedia.com/2025/08/08/kpdn-sabah-rampas-16180-liter-diesel-bersubsidi-dalam-serbuan-di-kepayan/feed/ 0 78785
Jelajah karnival KPDN, KBBM zon Sabah ke Ranau hujung minggu ini https://sabahmedia.com/2025/07/23/jelajah-karnival-kpdn-kbbm-zon-sabah-ke-ranau-hujung-minggu-ini/ https://sabahmedia.com/2025/07/23/jelajah-karnival-kpdn-kbbm-zon-sabah-ke-ranau-hujung-minggu-ini/#respond Wed, 23 Jul 2025 05:38:24 +0000 https://sabahmedia.com/?p=77785
Read Time:1 Minute, 28 Second

Kota Kinabalu : Orang ramai dipelawa untuk hadir memeriahkan program Jelajah Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) 2025 dan Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Sabah yang akan berlangsung di daerah Ranau.

Program selama tiga hari bermula 25 Julai ini akan diadakan bertempat di perkarangan Kompleks Sukan Ranau.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Sabah Peter J Berinus Agang berkata, pelbagai acara akan diadakan sepanjang berlangsungnya siri kedua program itu pada tahun ini.

“Sepanjang tiga hari pelaksanaan Jelajah Karnival KPDN ini, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai aktiviti dan pengisian. Antaranya adalah,  advokasi kepenggunaan, khidmat nasihat dan pendaftaran pelbagai perkhidmatan Kementerian dan agensi seperti ReDI, Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH, aplikasi Price Catcher, pendaftaran perniagaan SSM dan macam-macam lagi.

“Selain itu, turut diadakan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang merupakan satu inisiatif yang akan membantu pengusaha tempatan dalam memasarkan produk dan perkhidmatan mereka dan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara. 

“Turut diadakan program jualan RAHMAH MADANI yang menawarkan barangan keperluan harian dengan 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual bersama Sabah FM di sini pada Selasa.

Peter berkata, semua fungsi dan peranan KPDN akan diterjemahkan melalui aktiviti-aktiviti dan pengisian yang akan dijalankan sepanjang Jelajah Karnival ini berlangsung.

Katanya, pengunjung akan didedahkan mengenai pelbagai perkara berhubung kepenggunaan,  KBBM, Inisiatif Payung RAHMAH yang merangkumi Jualan RAHMAH MADANI dan Menu RAHMAH serta penguatkuasaan, perdagangan dalam negeri yang dijalankan oleh Kementerian ini.  

Sementara itu, Peter berkata, pihaknya berharap agar Jelajah Karnival KPDN itu dapat mencapai objektifnya dalam memberi kefahaman kepada rakyat Malaysia berkaitan fungsi dan peranan serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh KPDN.

Selain itu katanya, program itu turut menerapkan ilmu kepenggunaan demi melahirkan masyarakat pengguna yang berdaya upaya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/07/23/jelajah-karnival-kpdn-kbbm-zon-sabah-ke-ranau-hujung-minggu-ini/feed/ 0 77785
KPDN Sabah gempur stesen minyak, dua ditahan & kenderaan disita https://sabahmedia.com/2025/04/08/kpdn-sabah-gempur-stesen-minyak-dua-ditahan-kenderaan-disita/ https://sabahmedia.com/2025/04/08/kpdn-sabah-gempur-stesen-minyak-dua-ditahan-kenderaan-disita/#respond Tue, 08 Apr 2025 13:44:11 +0000 https://sabahmedia.com/?p=71643
Read Time:1 Minute, 11 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah menerusi inisiatif KITA GEMPUR telah menggempur beberapa stesen minyak di kawasan Inanam dan Luyang dalam satu operasi penguatkuasaan baru-baru ini.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, pasukan pegawai Penguat Kuasa dari Seksyen Penguat Kuasa KPDN Sabah telah menjalankan pemeriksaan yang membawa kepada tiga kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Hasil operasi itu, dua individu tempatan telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Turut disita ialah dua buah kenderaan yang dipercayai telah diubah suai dengan anggaran nilai rampasan mencecah RM45,752.50. Selain itu, pemilik stesen minyak yang terlibat juga dikenakan tindakan kerana disyaki melanggar peruntukan di bawah akta yang sama.

KPDN Sabah menegaskan komitmen mereka untuk terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang ketirisan, terutamanya membabitkan barang kawalan bersubsidi yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat.

Individu yang disabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan berulang, hukuman boleh meningkat kepada denda sehingga RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun.

Bagi syarikat pula, kesalahan pertama boleh membawa denda maksimum RM2 juta, manakala kesalahan berulang boleh dikenakan denda hingga RM5 juta.

Sehubungan itu, orang ramai diseru untuk menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat lengkap mengenai sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi melalui WhatsApp, e-mel, panggilan ke pusat aduan, atau aplikasi Ez ADU KPDN.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/04/08/kpdn-sabah-gempur-stesen-minyak-dua-ditahan-kenderaan-disita/feed/ 0 71643
KPDN Sabah seru pengguna guna saluran rasmi buat aduan https://sabahmedia.com/2025/02/01/kpdn-sabah-seru-pengguna-guna-saluran-rasmi-buat-aduan/ https://sabahmedia.com/2025/02/01/kpdn-sabah-seru-pengguna-guna-saluran-rasmi-buat-aduan/#respond Sat, 01 Feb 2025 09:09:12 +0000 https://sabahmedia.com/?p=67830
Read Time:2 Minute, 31 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah menggesa pengguna agar menggunakan saluran rasmi bagi membuat aduan berkaitan bekalan barangan keperluan dan isu kepenggunaan.

Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, sebarang kemusykilan atau aduan harus disertakan dengan data yang tepat dan sahih, termasuk maklumat lengkap seperti lokasi, tarikh, dan masa kejadian, bagi memudahkan pihaknya mengambil tindakan lanjut.

“Aduan boleh dibuat melalui aplikasi Ez ADU, laman sesawang KPDN, atau Biro Pengaduan Awam. Kerjasama pengguna amat diperlukan bagi memudahkan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) & Advokasi Kepenggunaan di Gelanggang Futsal Taman Keramat, Likas, hari ini.

Perasmian PJRM disempurnakan oleh Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali.

Hadir sama Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin dan Pembantu Menteri Kewangan II Datuk Tan Lee Fat.

Menurut Shahril antara aduan yang sering diterima termasuklah kegagalan peniaga mempamerkan tanda harga serta harga yang mengelirukan.

“Sebagai contoh, harga dalam menu restoran berbeza dengan harga yang dipaparkan di dinding. Peniaga perlu mengemas kini harga dengan jelas kerana pengguna berhak mendapatkan maklumat yang tepat,” katanya.

Tambah Shahril, pengadu perlu memahami bidang kuasa KPDN sebelum membuat aduan. Lesen premis perniagaan, misalnya, bukan di bawah KPDN tetapi di bawah agensi lain. KPDN hanya menguatkuasakan akta berkaitan barangan kawalan seperti gula, minyak dan tepung, serta Skim Harga Maksimum Musim Perayaan.

“Namun, KPDN turut bekerjasama dengan agensi lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. Jika terdapat kes di bawah bidang kuasa KPDN yang disalurkan melalui jabatan lain, ia akan dirujuk kepada pihak KPDN untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Mengulas mengenai kaedah membuat aduan, beliau menjelaskan bahawa pengguna boleh melaporkan isu secara dalam talian tanpa perlu hadir ke pejabat KPDN.

“Selepas aduan diterima, siasatan dan risikan akan dijalankan sebelum tindakan diambil, sama ada dalam bentuk kompaun atau membawa kes ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Menurut Shahril lagi, jika pengguna masih tidak berpuas hati dengan penyelesaian yang diberikan, mereka boleh memanjangkan kes ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dengan kos serendah RM20 bagi membuka fail kes.

“Tribunal ini diwujudkan bagi memudahkan pengguna mendapatkan keadilan dalam urusan jual beli tanpa perlu melalui proses mahkamah yang rumit,” jelasnya.

Beliau turut menyeru agar para peniaga menjalankan perniagaan secara beretika bagi mengelakkan tekanan kepada pengguna akibat penjualan tidak beretika.

Untuk rekod, KPDN Sabah mempunyai 205 anggota penguatkuasa di seluruh negeri yang bertanggungjawab dalam aspek penguatkuasaan.

Mengenai PJRM, Shahril berkata program berkenaan adalah program khusus untuk memberi kemudahan dan juga memberi peluang kepada rakyat untuk menikmati pembelian dalam kadar harga yang berpatutan dan lebih murah daripada biasa.

Setakat 30 Januari 2025, sebanyak 149 penganjuran PJRM telah dilaksanakan di negeri ini iaitu 119 secara dalam premis, bergerak (27) dan premium (tiga).

“KPDN Sabah sangat berharap semoga PJRM di Sabah akan dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat. Para pengguna diharap lebih cakna dalam menghadapi suasana ekonomi yang sangat mencabar masa kini.

“Masyarakat mesti lebih sedar bahawa berbelanja secara berhemah sangat penting dan mengamalkan disiplin menyusun keutamaan perbelanjaan bulanan,” kata Shahril.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/02/01/kpdn-sabah-seru-pengguna-guna-saluran-rasmi-buat-aduan/feed/ 0 67830