kudat – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Thu, 22 Oct 2026 05:25:49 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png kudat – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Sabah mahu kawalan keselamatan maritim Kudat diperkukuh https://sabahmedia.com/2026/10/22/sabah-mahu-kawalan-keselamatan-maritim-kudat-diperkukuh/ https://sabahmedia.com/2026/10/22/sabah-mahu-kawalan-keselamatan-maritim-kudat-diperkukuh/#respond Thu, 22 Oct 2026 05:25:43 +0000 https://sabahmedia.com/?p=105760
Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mahu kawalan keselamatan sempadan maritim di Kudat, khususnya perairan Pulau Banggi dan Pulau Balambangan, diperkukuh susulan perkembangan aktiviti ketenteraan di kawasan berhampiran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata perkembangan itu menuntut semua pihak sentiasa peka terhadap perubahan persekitaran strategik bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri menyambut baik penekanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terhadap pengukuhan kawalan sempadan, termasuk perancangan perolehan radar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan kamera jarak jauh di Kudat pada 2028.

“Saya sendiri telah membincangkan perkara ini dengan Perdana Menteri mengenai keperluan menambah anggota keselamatan di perairan Kudat dan beliau memberikan respons yang baik.

“Keselamatan merupakan asas penting yang menjamin kestabilan negara, kelangsungan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri di Menara Kinabalu di sini, hari ini.

Hajiji berkata, keutamaan keselamatan dan pertahanan yang digariskan dalam Belanjawan 2027 turut merangkumi usaha memperkukuh kawalan sempadan negara.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta agensi berkaitan meningkatkan pemantauan terhadap fenomena jerebu rentas sempadan yang melanda beberapa kawasan di Sabah, khususnya berhampiran sempadan Indonesia.

Katanya, keadaan itu berpotensi menjejaskan kesihatan awam, aktiviti ekonomi serta kelancaran operasi keselamatan sekiranya tidak dipantau dan ditangani dengan berkesan.

“Situasi kini memerlukan pemantauan berterusan, khususnya di kawasan berhampiran sempadan Indonesia.

“Saya meminta agensi berkaitan menyelaraskan perkongsian maklumat mengenai kualiti udara dan amaran cuaca, selain memantau perkembangan jerebu serta menilai kesannya terhadap kehidupan harian dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agensi keselamatan supaya sentiasa berwaspada terhadap perkembangan sosiopolitik global dan serantau yang dinamik serta kemungkinan kesannya terhadap ketenteraman awam di Sabah.

Hajiji merujuk kepada situasi ketidakpuasan awam dan ketegangan politik di Perancis serta protes di Indonesia berkaitan pengurusan isu jerebu yang mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, perkembangan itu menjadi peringatan bahawa isu berkaitan kesejahteraan rakyat dan kepimpinan kerajaan boleh mempengaruhi sentimen masyarakat serta kestabilan sosial.

Sehubungan itu, beliau meminta agensi berkaitan terus memantau perkembangan semasa, termasuk penularan maklumat dan sentimen di media sosial, bagi mengenal pasti perkara yang berpotensi menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat di Sabah.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/10/22/sabah-mahu-kawalan-keselamatan-maritim-kudat-diperkukuh/feed/ 0 105760
Kudat berpotensi jadi Hab Ekonomi Biru serantau https://sabahmedia.com/2026/10/18/kudat-berpotensi-jadi-hab-ekonomi-biru-serantau/ https://sabahmedia.com/2026/10/18/kudat-berpotensi-jadi-hab-ekonomi-biru-serantau/#respond Sun, 18 Oct 2026 00:48:59 +0000 https://sabahmedia.com/?p=105545
Read Time:2 Minute, 48 Second

KUDAT: Kudat berpotensi dibangunkan sebagai Hab Ekonomi Biru serantau berasaskan kedudukan strategik dan kekayaan sumber marinnya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, aspirasi itu sedang digerakkan menerusi cadangan pembangunan Taman Perindustrian Ekonomi Biru (BEIP) yang diterajui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Katanya, sebagai langkah awal pelan induk bagi kawasan seluas 1,205 ekar milik SEDCO di Kampung Limau-Limauan dan Perapat Laut sedang disediakan, manakala 3,129 ekar lagi di Matunggung, Banggi dan Tanjong Kapor dikenal pasti sebagai kawasan rizab pembangunan projek berkenaan.

“Berkonsepkan pembangunan maritim dan teknologi hijau, projek ini memberi tumpuan kepada industri makanan laut, logistik perdagangan serta kegiatan ekonomi berasaskan laut, termasuk cadangan pembinaan pelabuhan sebagai zon perdagangan serantau.

“Kedudukan Kudat memberikan kelebihan untuk memperluas hubungan perdagangan dengan pasaran China, Korea Selatan, Jepun dan Filipina,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sentuhan Kasih Rakyat, Karnival Jom Malaysia, Jualan Rahmah MADANI dan Perkhidmatan Komuniti Bergerak (MCS) Edisi DUN Tanjong Kapor di Dataran Tomborungus, di sini, malam tadi.

Hajiji berkata, pengukuhan industri perikanan laut dalam serta penaiktarafan bagang di pesisir pantai turut diberi perhatian supaya masyarakat setempat dapat mengambil bahagian dalam perkembangan ekonomi berkenaan.

Katanya, pembangunan itu memerlukan dukungan dasar, peruntukan serta infrastruktur yang kukuh menerusi kerjasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan, dengan kelestarian alam sekitar serta pemuliharaan marin terus menjadi asas pelaksanaannya.

Beliau berkata, Kudat kaya dengan keindahan alam, khazanah budaya serta kreativiti masyarakat yang diterjemahkan melalui produk tempatan, termasuk kraf tangan, hasil pertanian, perikanan dan kegiatan pelancongan.

“Berlandaskan kekuatan ini, kita mahu masyarakat Kudat memperoleh akses yang lebih luas kepada perkhidmatan kerajaan, sokongan keusahawanan dan peluang pemasaran bagi meningkatkan kesejahteraan serta pendapatan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyambut baik Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 9 Oktober lalu, dengan Sabah menerima peruntukan Persekutuan RM18.7 bilion bagi tahun depan berbanding RM17.6 bilion tahun ini.

Katanya, peningkatan peruntukan itu memberi dukungan penting kepada usaha memperkukuh kemudahan asas, meningkatkan penyampaian perkhidmatan dan menyediakan landasan bagi pertumbuhan ekonomi negeri.

Beliau berkata, Belanjawan 2027 menyediakan RM3.3 bilion bagi pembangunan jalan raya di Sabah dan Sarawak, selain RM350 juta untuk penyelenggaraan jalan Persekutuan, bagi melengkapi usaha menangani isu legasi kemudahan asas, khususnya jalan raya, air dan elektrik.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri sedang meneliti keperluan semasa rakyat, kemampuan kewangan negeri serta kesinambungan pembangunan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Katanya, hasil Sabah kekal kukuh dengan kutipan RM6.96 bilion pada 2022, RM6.97 bilion pada 2023, RM6.87 bilion pada 2024 dan RM6.76 bilion pada 2025, berbanding sekitar RM4 bilion pada 2019.

“Justeru, kita akan terus memperkemas kutipan, mempelbagaikan sumber hasil dan mengurus perbelanjaan secara berhemah bagi memastikan kedudukan kewangan negeri kekal kukuh. Saya optimis hasil negeri bagi tahun 2026 mampu melepasi paras RM7 bilion,” katanya.

Sementara itu Hajiji berkata, program yang menggabungkan empat komponen yang saling melengkapi, iaitu Sentuhan Kasih Rakyat, Karnival Jom Malaysia, Jualan Rahmah MADANI dan MCS.

Katanya, Program itu menyantuni kebajikan masyarakat, memperluas promosi dan pemasaran produk tempatan, meringankan kos sara hidup serta mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Beliau turut menyeru usahawan memanfaatkan peluang yang tersedia untuk meningkatkan daya saing, memperkukuh penjenamaan dan memperluas pasaran produk masing-masing, selain mengajak masyarakat menyokong produk tempatan bagi membantu mengembangkan perniagaan, menjana pendapatan dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/10/18/kudat-berpotensi-jadi-hab-ekonomi-biru-serantau/feed/ 0 105545
Konvensyen GRS 2026 berlangsung di Kudat Ahad ini https://sabahmedia.com/2026/10/16/konvensyen-grs-2026-berlangsung-di-kudat-ahad-ini/ https://sabahmedia.com/2026/10/16/konvensyen-grs-2026-berlangsung-di-kudat-ahad-ini/#respond Fri, 16 Oct 2026 06:48:20 +0000 https://sabahmedia.com/?p=105468
Read Time:1 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menganjurkan Konvensyen GRS 2026 di Dewan Tun Mustapha, Kudat, pada Ahad ini.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata konvensyen tahunan yang julung kali dianjurkan pada 18 Oktober itu diadakan selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS supaya penganjuran konvensyen tidak tertumpu di Kota Kinabalu sahaja, sebaliknya dilaksanakan secara bergilir di daerah lain, tertakluk kepada kesesuaian logistik.

Beliau berkata, konvensyen itu dijangka menghimpunkan hampir 3,000 peserta dan pemerhati yang mewakili kesemua 26 kawasan Parlimen di Sabah termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

“Konvensyen berkenaan akan menampilkan ucaptama Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, selain sesi perkongsian oleh enam Timbalan Pengerusi GRS yang mewakili kepimpinan utama setiap parti komponen gabungan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Armizan, konvensyen itu menjadi platform untuk menghimpunkan kepimpinan pusat dan pimpinan utama bahagian bagi membincangkan strategi politik serta perkembangan agenda pembangunan negeri.

Beliau berkata, perbincangan akan memberi tumpuan kepada dua agenda utama, iaitu memperkukuh kesiapsiagaan parti, khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), serta menilai kemajuan agenda pembangunan rakyat dan negeri berdasarkan manifesto GRS.

“Penilaian itu turut memberi penekanan kepada pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi memastikan agenda pembangunan negeri terus digerakkan,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata, kepimpinan parti di peringkat akar umbi yang tidak dapat menghadiri konvensyen secara fizikal turut berpeluang mengemukakan pandangan dan maklum balas secara dalam talian menerusi platform yang disediakan oleh Sekretariat Ibu Pejabat GRS.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/10/16/konvensyen-grs-2026-berlangsung-di-kudat-ahad-ini/feed/ 0 105468
Konvensyen GRS 2026 di Kudat 18 Oktober ini https://sabahmedia.com/2026/10/06/konvensyen-grs-2026-di-kudat-18-oktober-ini/ https://sabahmedia.com/2026/10/06/konvensyen-grs-2026-di-kudat-18-oktober-ini/#respond Tue, 06 Oct 2026 07:06:10 +0000 https://sabahmedia.com/?p=104832
Read Time:1 Minute, 29 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Konvensyen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 2026 akan berlangsung di Dewan Tun Mustapha, Kudat pada 18 Oktober ini, dengan penyertaan kira-kira 2,500 peserta daripada enam parti gabungan berkenaan.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, konvensyen itu akan menjadi platform untuk membincangkan hala tuju politik gabungan selain menilai pencapaian manifesto selepas hampir setahun GRS memperoleh mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.

Katanya, konvensyen itu turut memberi ruang kepada menteri-menteri dalam kerajaan negeri untuk membentangkan hala tuju kementerian masing-masing, selain mendapatkan maklum balas daripada kepimpinan GRS di peringkat akar umbi.

“Konvensyen ini terasnya serampang dua mata, bukan hanya agenda politik tetapi juga agenda pembangunan negeri dan rakyat secara keseluruhannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.

Menurut Armizan, pemilihan Kudat sebagai lokasi konvensyen tahun ini selaras dengan pendekatan baharu GRS untuk tidak lagi memusatkan penganjuran konvensyen di Kota Kinabalu, sebaliknya diadakan secara bergilir mengikut zon.

Beliau berkata, seluruh pimpinan GRS termasuk anggota Kabinet negeri akan turut mengadakan pelbagai program bersama rakyat sepanjang berada di Kudat, termasuk di Pulau Banggi.

“Jadi kita pimpinan, seluruh pimpinan akan turun ke Kudat bukan hanya untuk agenda politik tetapi setiap kementerian juga akan ada program masing-masing.

“Kita ingin meriahkan Kudat termasuk Pulau Banggi dengan program-program yang memberikan impak kepada rakyat,” katanya.

Armizan berkata, mesyuarat Majlis Tertinggi GRS kali ini turut menjadi yang pertama dengan kehadiran UPKO sebagai anggota gabungan keenam.

Katanya, penyertaan UPKO secara rasmi dalam GRS akan memperkukuhkan gabungan itu sebagai wadah parti-parti tempatan Sabah, bukan sahaja dari segi kekuatan politik tetapi juga dalam memperkukuh suara Sabah di peringkat Persekutuan.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/10/06/konvensyen-grs-2026-di-kudat-18-oktober-ini/feed/ 0 104832
Kanak-kanak lelaki lemas ketika memancing di Kudat https://sabahmedia.com/2026/05/28/kanak-kanak-lelaki-lemas-ketika-memancing-di-kudat/ https://sabahmedia.com/2026/05/28/kanak-kanak-lelaki-lemas-ketika-memancing-di-kudat/#respond Thu, 28 May 2026 12:47:07 +0000 https://sabahmedia.com/?p=97433
Read Time:59 Second

KUDAT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemukan lemas ketika menjalankan aktiviti memancing bersama rakannya di Kampung Masankong, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.59 petang itu, mangsa dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam tali air berhampiran lokasi kejadian.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian mangsa lemas pada jam 5.59 petang sebelum sepasukan 10 anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 6.23 petang yang terletak kira-kira 14 kilometer dari balai.

“Menurut maklumat pengadu, mangsa sedang menjalankan aktiviti memancing ikan di tali air bersama rakannya sebelum dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam tali air berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun berjaya ditemukan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I Mohd Najib Jasri itu turut dibantu lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga petugas KKM.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.12 malam.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/28/kanak-kanak-lelaki-lemas-ketika-memancing-di-kudat/feed/ 0 97433
50 belia sertai konvoi antidadah di Kudat https://sabahmedia.com/2026/05/24/50-belia-sertai-konvoi-antidadah-di-kudat/ https://sabahmedia.com/2026/05/24/50-belia-sertai-konvoi-antidadah-di-kudat/#respond Sat, 23 May 2026 20:56:56 +0000 https://sabahmedia.com/?p=97210
Read Time:1 Minute, 2 Second

KUDAT: Hampir 50 belia menyertai Program Konvoi Bermotor bersama Skuad Antidadah Dua Roda di sekitar pekan Kudat, malam tadi.

Program itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Kapor, Datuk Ben Chong Chen Bin dan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Dato’ Ruslin Jusoh bagi menyampaikan kempen Pesanan Antidadah (PESADA) kepada masyarakat.

Ruslin berkata, aktiviti itu adalah sebahagian daripada pengisian Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) yang bertujuan memperkasakan mesej pencegahan dadah secara santai di samping mendekati komuniti setempat secara bersemuka.

“Program komuniti seperti ini merupakan salah satu pendekatan proaktif bagi menarik minat golongan muda agar menjauhi gejala negatif, terutama penyalahgunaan dadah.

“Kami mahu menunjukkan bahawa aktiviti permotoran boleh diisi dengan pengisian sihat, bermanfaat dan mampu menjadi ejen perubahan dalam masyarakat,” katanya.

Sepanjang konvoi berlangsung, peserta turut singgah di beberapa lokasi tumpuan awam bagi mengedarkan risalah berkaitan bahaya dadah serta maklumat mengenai kempen PESADA.

Menurutnya, penyertaan hampir 50 belia termasuk ahli Skuad Antidadah dari daerah itu membuktikan komitmen berterusan masyarakat setempat dalam menyokong usaha kerajaan mewujudkan persekitaran selamat selaras misi Dadah Terkawal 2030.

“Program ini berjaya dilaksanakan dan dijangka diteruskan ke daerah lain bagi memperluaskan lagi jaringan Skuad Antidadah,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Skuad Antidadah Sabah, Datuk Mazlan Joehari Manan dan Pengarah AADK Sabah, Elmariah Chung.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/24/50-belia-sertai-konvoi-antidadah-di-kudat/feed/ 0 97210
Dua kes kebakaran di Sabah, mangsa rentung di Kudat dan Semporna https://sabahmedia.com/2026/01/24/dua-kes-kebakaran-di-sabah-mangsa-rentung-di-kudat-dan-semporna/ https://sabahmedia.com/2026/01/24/dua-kes-kebakaran-di-sabah-mangsa-rentung-di-kudat-dan-semporna/#respond Sat, 24 Jan 2026 10:44:06 +0000 https://sabahmedia.com/?p=90328
Read Time:1 Minute, 26 Second

KUDAT: Sepasang suami isteri warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran rumah dua tingkat di Kampung Lausan, Batu 4, dekat sini, semalam (23 Jan).

Mangsa lelaki berusia 74 tahun manakala isterinya 73 tahun ditemui di bilik tidur selepas kediaman mereka terbakar sepenuhnya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.58 malam sebelum jentera bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 12.36 tengah malam.

Katanya, pasukan bomba berdepan kesukaran memasuki kawasan kejadian berikutan laluan jambatan sempit serta halangan wayar elektrik rendah.

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan sumber air daripada tangki jentera bomba.

Mangsa pertama berjaya dikeluarkan jam 2.00 pagi manakala mangsa kedua jam 3.50 pagi.

Operasi melibatkan seramai 18 anggota JBPM daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat serta Pasukan Bomba Sukarela Kampung Ayer, dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan RELA. Operasi dikawal pada jam 1.30 pagi dan tamat sepenuhnya jam 4.47 pagi.

Sementara itu, di lokasi berasingan di Semporna, seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, Munairaya Baluan, 58 tahun, ditemukan rentung dalam kebakaran yang melibatkan tujuh buah rumah setinggan di Kampung Perigi pada Sabtu (24 Jan).

Mangsa ditemui di ruang bilik rumah pertama yang terbakar.

Pasukan bomba menemui mayat mangsa rentung merupakan seorang wanita OKU penglihatan terlibat dalam kebakaran membabitkan tujuh buah rumah di Kg Perigi, Semporna pagi tadi. – Foto ihsan JBPM Sabah
Tujuh buah rumah musnah dalam kebakaran di Kg Perigi, Semporna pagi tadi.

Operasi pemadaman dikawal pada jam 11.57 pagi dan tamat sepenuhnya jam 2.05 petang, melibatkan sembilan anggota BBP Semporna dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) serta Jabatan Air.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/01/24/dua-kes-kebakaran-di-sabah-mangsa-rentung-di-kudat-dan-semporna/feed/ 0 90328
OHSC UMS anjur kem hackathon perubatan, teknologi di Kudat https://sabahmedia.com/2025/06/21/ohsc-ums-anjur-kem-hackathon-perubatan-teknologi-di-kudat/ https://sabahmedia.com/2025/06/21/ohsc-ums-anjur-kem-hackathon-perubatan-teknologi-di-kudat/#respond Sat, 21 Jun 2025 03:31:14 +0000 https://sabahmedia.com/?p=75906
Read Time:1 Minute, 58 Second

Kudat : One Health Student Club (OHSC), Universiti Malaysia Sabah (UMS), dengan kerjasama Pusat U-Science UMS, Pusat Sains Negara, dan Pejabat Pendidikan Daerah Kudat telah menganjurkan program ‘Science & Art Camp: Future Doctor in Tech’.

Program bertemakan “Empowering Rural Sabah Students on Science, Technology, Engineering, Mathematics (STEM) and Artificial Intelligence Through Hackathon Camp” berlangsung selama dua hari, di sini, baru-baru ini.

Program ini turut ditaja oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI), sebagai sebahagian daripada usaha memupuk minat dalam bidang STEM dan teknologi dalam kalangan pelajar luar bandar, khususnya di kawasan pedalaman Sabah.

Menurut Penasihat OHSC UMS, Dr. Zulkhairul Naim Sidek Ahmad, pendekatan berkonsepkan hackathon digunakan untuk menggabungkan aktiviti praktikal dan kerja berpasukan.

“Fokus utama adalah memperkenalkan pelajar kepada aplikasi AI dalam bidang kesihatan, di samping membimbing mereka melalui tugasan berkumpulan dan sesi bimbingan mentor.

“Ini bukan sahaja memberikan mereka kemahiran asas tetapi juga motivasi untuk meneroka kerjaya masa depan dalam bidang STEM, khususnya dalam profesion perubatan,” jelas beliau.

Seramai 120 orang pelajar daripada 12 buah sekolah menengah di Kudat telah menyertai program ini. Majlis Perasmian Penutupan rasmi telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Sains Perubatan), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS, Dr. Mohammad Firdaus Bolong.

Menurut Mohammad Firdaus, adalah penting untuk menekankan kepentingan pendidikan STEM dalam kepada para pelajar sekolah khususnya di luar bandar untuk membina masa depan negara.

“Pendedahan awal kepada STEM bukan sekadar membina ilmu, tetapi membentuk cara berfikir generasi muda melalai cara berfikir yang kritikal, kreatif dan inovatif.

“Program seperti ini penting untuk memastikan anak-anak Sabah tidak ketinggalan dalam gelombang teknologi dan sains kesihatan masa depan.

“Program ini juga menjadi bukti bahawa pendedahan awal terhadap bidang teknologi dan sains dalam konteks kesihatan mampu menyemai cita-cita besar dalam kalangan pelajar luar bandar, seterusnya menyumbang kepada pembangunan modal insan negara yang seimbang dan inklusif,” ujar beliau.

Peserta program, Vivilleahlyn Majiman dari SMK Pinawantai ketika ditemui berasa teruja berkongsi kegembiraannya menyertai program tersebut.

“Saya sangat gembira dan seronok hari ini. Kami belajar banyak perkara baru, terutama tentang bagaimana teknologi boleh digunakan dalam bidang kesihatan.

“Ia membuka mata saya tentang kerjaya doktor yang lebih moden dan canggih,” katanya.

Turut hadir dalam program tersebut, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kudat, Sektor Pembangunan Murid, Amiluddin bin Majuki dan Penceramah merangkap Pensyarah Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr. Aimi Shazwani Ghazali.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/06/21/ohsc-ums-anjur-kem-hackathon-perubatan-teknologi-di-kudat/feed/ 0 75906
Peranan 70 PIBG sekolah di Kudat diiktiraf, terima sumbangan BAGUS https://sabahmedia.com/2024/07/28/peranan-70-pibg-di-kudat-diiktiraf-terima-sumbangan-bagus/ https://sabahmedia.com/2024/07/28/peranan-70-pibg-di-kudat-diiktiraf-terima-sumbangan-bagus/#respond Sun, 28 Jul 2024 10:56:39 +0000 https://sabahmedia.com/?p=58204
Read Time:2 Minute, 27 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KUDAT: Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM140,000 menerusi inisiatif Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS) untuk 70 Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) di Daerah Kudat.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) merangkap Exco Agama dan Exco Pendidikan, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, Pengetua-Pengetua, Guru Besar dan PIBG sekolah di Daerah Kudat akan menerima sumbangan Pendidikan melalui inisiatif BAGUS sebanyak RM 2,000 setiap sekolah.

“Sumbangan ini juga adalah sebagai mengiktiraf peranan PIBG dalam memperkasakan sektor pendidikan di setiap sekolah.

“Bantuan ini dijangka akan melibatkan sebanyak 1,600 sekolah di seluruh negeri Sabah dengan peruntukan sebanyak RM 3 juta pada tahun ini.

“Bagi Daerah Kudat saja peruntukan disediakan sebanyak RM140,000 untuk 70 PIBG.

“Pada tahun ini, permohonan BAGUS telah diselaraskan oleh Pejabat Pendidikan Daerah untuk dikemukakan kepada Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian WAM-2Care Peringkat Daerah Kudat Tahun 2024.

Bantuan sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada jelajah Program Wadah dan Amal (WAM- 2Care) selama dua hari bermula 27 hingga 28 Julai hari ini untuk daerah Kudat dan Pitas.

Program tersebut dijayakan bersama Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas), Pejabat Daerah Kudat, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Perbadanan Baitumal Negeri Sabah (PBNS) serta KSTI.

Pada program itu, seramai 98 pelajar tingkatan 6 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Kudat dan SMK Abdul Rahim menerima sumbangan saguhati daripada MUIS.

Arifin berkata, jelajah program WAM-2Care ini selain menyampaikan maklumat mengenai inisiatif-inisiatif kerajaan untuk bantuan pendidikan dan bantuan dakwah ia juga adalah sebagai wadah mengeratkan silaturrahim bersama pemimpin dan anak-anak tingkatan 6 di daerah Kudat.

“Pada program ini apa yang penting kita dapat bersama-sama mengeratkan silaturahim bersama pemimpin di kawasan ini serta anak-anak tingkatan 6 di daerah Kudat.

“Mudah-mudahan akan memberikan semangat kepada mereka apabila kita lihat inisiatif yang banyak disediakan dan diluluskan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, jadi tidak ada alasan untuk kita tidak maju dalam pendidikan.

“sekurang-kurangnya pada setiap tahun RM500 juta peruntukan disediakan oleh Ketua Menteri (Hajiji) melalui inisiatif pendidikan termasuk biasiswapun kita tambah daripada RM50 juta kepada RM100 juta.

“Seterusnya ada tabung pendidikan dilancarkan oleh Ketua Menteri, sekarangpun sudah bertambah tabung berkenaan dan dapat membantu anak-anak kita,” katanya.

Pada program ini juga, Arifin turut menyaksikan penyampaian bantuan bulanan zakat MUIS 2024 berjumlah RM934,200 kepada 237 ketua isi rumah (KIR) asnaf fakir daerah Kudat.

Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Ramlan Awang Ali (kiri) menyampaikan replika cek bantuan bulanan zakat MUIS 2024 berjumlah RM934,200 kepada Pegawai Daerah Kudat Alexander Yong untuk diserahkan kepada 237 ketua isi rumah (KIR) asnaf fakir daerah Kudat .

Selain bantuan pendidikan, turut disampaikan bantuan dakwah melibatkan sebanyak empat buah masjid dan Balai Polis di Pitas manakala bagi daerah Kudat sebanyak tiga buah masjid dan dua buah sekolah tahfiz serta Balai Polis Kudat turut menerima sumbangan menerusi Program WAM-2Care ini.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/07/28/peranan-70-pibg-di-kudat-diiktiraf-terima-sumbangan-bagus/feed/ 0 58204
Sabah cadang wujudkan hubungan laut antara Kudat dan Palawan https://sabahmedia.com/2024/05/29/sabah-cadang-wujudkan-hubungan-laut-antara-kudat-dan-palawan/ https://sabahmedia.com/2024/05/29/sabah-cadang-wujudkan-hubungan-laut-antara-kudat-dan-palawan/#respond Wed, 29 May 2024 13:15:38 +0000 https://sabahmedia.com/?p=55252
Read Time:1 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mencadangkan untuk mewujudkan hubungan laut antara Kudat dan Palawan, Filipina bagi memulihkan ekonomi Kudat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang kemudiannya melawat Kudat bersama Ahli Parlimen Kudat Datuk Verdon Bahanda.

“Dengan mewujudkan perkhidmatan feri, perdagangan tukar barang di Kudat dapat dihidupkan semula,” katanya pada mesyuarat pasca kabinet Jabatan Ketua Menteri di Menara Kinabalu di sini, hari ini.

Hajiji berkata, perdagangan tukar barang akan membantu memulihkan ekonomi di Kudat.

Katanya, pembukaan pelabuhan Kudat juga mungkin menjadi tempat berlabuh bagi kapal-kapal yang belayar dari selatan Mindanao ke Labuan.

“Pada masa ini, kapal laut yang membawa barangan dari Selatan Mindanao akan terus ke Labuan. Jika kita membuka pelabuhan Kudat, kita boleh masuk ke laluan perkapalan Mindanao Selatan-Labuan,” jelasnya.

Menurut Hajiji, pelabuhan Kudat akan mempunyai semua kemudahan yang diperlukan, terutamanya pusat pemeriksaan Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan.

Sehubungan dengan itu, beliau juga telah membincangkan perkara itu dengan Pesuruhjaya Polis Negeri untuk melihat aspek keselamatan untuk perbincangan di Majlis Keselamatan Negeri.

Sementara itu, Hajiji berkata semua pegawai Kerajaan Negeri mesti memahami sepenuhnya maksud dasar “Sabah First”.

“Sabah First bermakna kita mesti mengutamakan kepentingan Sabah dalam semua usaha kita.

“Pelabur asing dan bukan Sabah yang ingin menubuhkan usaha niaga di sini mesti mempunyai minat tempatan Sabah yang memegang 30 peratus kepentingan dalam usaha niaga itu,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata Kabinet Negeri juga telah meluluskan semakan semula Skim Pembaharuan Bandar Sembulan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

Beliau turut mengumumkan Sabah akan menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia tahun ini pada 16 Sept.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Christina Liew akan mempengerusikan jawatankuasa penganjur bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/05/29/sabah-cadang-wujudkan-hubungan-laut-antara-kudat-dan-palawan/feed/ 0 55252