Kurangkan – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Wed, 04 Oct 2023 07:18:42 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Kurangkan – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Juruukur diseru bekerjasama dengan pemain industri, kurangkan kos perumahan di Sabah – Hajiji https://sabahmedia.com/2023/10/04/juruukur-diseru-bekerjasama-dengan-pemain-industri-kurangkan-kos-perumahan-di-sabah-hajiji/ https://sabahmedia.com/2023/10/04/juruukur-diseru-bekerjasama-dengan-pemain-industri-kurangkan-kos-perumahan-di-sabah-hajiji/#respond Wed, 04 Oct 2023 07:18:42 +0000 https://sabahmedia.com/?p=43043
Read Time:1 Minute, 56 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyeru juruukur supaya bekerjasama dengan semua pemain industri lain untuk mencari jalan mengurangkan kos pembinaan dan hartanah di Sabah.

“Saya perhatikan bahawa juruukur telah memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan Sabah, terutamanya dalam industri hartanah dan pembinaan.

“Saya menggalakkan juruukur bersama semua pemain dalam industri untuk bekerjasama mencari penyelesaian bagi mewujudkan rantaian bekalan dan sistem penyampaian perumahan yang lebih cekap bagi mengurangkan kos pembinaan dan harga hartanah supaya golongan berpendapatan rendah mendapat manfaat. Justeru, kerajaan akan sentiasa berusaha memastikan lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat di negeri ini, katanya pada Kongres Juruukur Antarabangsa ke-7, di sini, hari ini.

Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Phoong Jin Zhe.

Sehubungan itu, Hajiji menyeru Institusi Juruukur Diraja Malaysia (RISM) Cawangan Sabah, yang mahir dalam pentadbiran tanah dan perancangan pembangunan untuk menyahut cabaran menggubal dasar perumahan yang mampan dan mampu milik, untuk
melengkapkan usaha kerajaan dalam bidang ini.

“Matlamat saya sebagai Ketua Menteri Sabah bukan sahaja untuk mengemudi laluan pembangunan kita yang menggariskan aspirasi dan strategi kita untuk tahun-tahun akan datang tetapi juga untuk memupuk Sabah yang bersatu, makmur dan inklusif. Mencapai wawasan ini memerlukan usaha gabungan semua ,” katanya.

Hajiji berkata tema untuk Kongres RISM tahun ini ““Navigating the Future: Embracing Change and Transformation” adalah sesuai dalam dunia di mana satu-satunya kepastian ialah perubahan.

“Dalam dunia yang cepat berubah ini, kita tidak boleh leka. Jalan ke hadapan adalah untuk kita kekal berdaya saing, menerima perubahan dan transformasi untuk mengemudi masa depan.
Saya pasti, RISM mempunyai kapasiti untuk memimpin perkara ini dengan kepakaran dan sumber anda,” katanya.

Menurutnya, dunia tidak kekal statik dan perubahan tidak dapat dielakkan dengan banyak penemuan baharu yang membawa kepada kemajuan dan inovasi teknologi.

“Kebanyakan perubahan ini akan memberi kesan dalam mengubah gaya hidup, memodulasi citarasa dan pilihan peribadi, meningkatkan taraf hidup demografi dan cara semua orang bekerja.

“Oleh itu, untuk terus bertahan dalam persekitaran perniagaan yang sangat kompetitif, kita mesti belajar menyesuaikan diri, menambah baik dan berubah supaya kita boleh menangani cabaran yang dihadapi dan memanfaatkan peluang yang datang,” katanya.

Ketua Menteri berkata, Kongres adalah platform terbaik untuk juruukur membincangkan cabaran dan peluang dalam tinjauan secara bermakna.

“Gunakan peluang ini untuk belajar daripada penceramah terpelajar melalui kekayaan pengetahuan dan strategi perniagaan mereka untuk menerima pakai penyelesaian dan pandangan yang inovatif,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/10/04/juruukur-diseru-bekerjasama-dengan-pemain-industri-kurangkan-kos-perumahan-di-sabah-hajiji/feed/ 0 43043
Peruntukan RM320 juta, kurangkan ketirisan air di Sabah https://sabahmedia.com/2023/06/02/peruntukan-rm320-juta-kurangkan-ketirisan-air-di-sabah/ https://sabahmedia.com/2023/06/02/peruntukan-rm320-juta-kurangkan-ketirisan-air-di-sabah/#respond Fri, 02 Jun 2023 04:31:49 +0000 https://sabahmedia.com/?p=35610
Read Time:1 Minute, 36 Second

KOTA KINABALU: Peruntukan sebanyak RM320,250,000 daripada Kerajaan Persekutuan akan digunakan dalam usaha menumpukan pengurangan ketirisan air atau Air Tidak Berhasil (NRW) di negeri Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah III yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, semalam satu mesyuarat telah diadakan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan juga Menteri Besar Kelantan di Putrajaya berkenaan kaedah penyelesaian isu bekalan air di Sabah dan juga Kelantan.

“Pada mesyuarat tersebut Kerajaan Sabah telah mengemukakan langkah-langkah jangka pendek dan panjang bagi tangani isu air Sabah.

“Untuk jangka pendek, kita mempunyai 20 program yang akan kita akan laksanakan serta merta dan masa terdekat enam hingga 12 bulan untuk memulihkan keadaan air yang kita sedang hadapi di Sabah.

“Jadi bagi tempoh jangka pendek ini kita menumpukan usaha mengurangkan NRW iaitu ketirisan air dan menjadikan loji rawatan air dalam keadaan yang lebih efisien, ini telah mendapat persetujuan Perdana Menteri, itulah kita mendapat kelulusan peruntukan RM320,250,000 itu untuk dilakukan serta merta.

“Antara inisiatif kita mengurangkan NRW ialah dengan melakukan pemotongan sambungan paip haram (kecurian air), membaiki paip bocor yang usang di sekitar Pantai Barat Selatan serta menggantikan pam air yang sudah rosak yang perlu diperbaiki dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan set kelengkapan pengurusan jenazah bagi masjid-masjid dan surau-surau dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru di Dewan Terbuka Kampung Tanjung Aru Lama di sini hari ini.

Shahelmey berkata, dalam mesyuarat yang sama Ketua Menteri telah membentangkan perancangan Kerajaan Negeri untuk tanggani masalah air jangka masa panjang yang mana akan melibatkan dua empangan iaitu Ulu Padas dan empangan Papar ini akan dilaksanakan.

“Dalam tempoh perancangan pembinaan dua empangan tersebut, Perdana Menteri telah mengarahkan satu jawatankuasa antara Persekutuan dengan Sabah bagi kita melihat kaedah pelaksanaan, pembiayaan dan sebagainya. Terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana membantu menyelesaikan masalah air di Sabah,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2023/06/02/peruntukan-rm320-juta-kurangkan-ketirisan-air-di-sabah/feed/ 0 35610
CBT Bantu Kurangkan Penghijraan Belia Luar Bandar https://sabahmedia.com/2022/01/13/cbt-bantu-kurangkan-penghijraan-belia-luar-bandar/ https://sabahmedia.com/2022/01/13/cbt-bantu-kurangkan-penghijraan-belia-luar-bandar/#respond Thu, 13 Jan 2022 08:54:57 +0000 https://sabahmedia.com/?p=11056
Read Time:1 Minute, 44 Second

KOTA KINABALU: Pelancongan berasaskan komuniti (CBT) boleh mengelak masalah penghijrahan penduduk desa ke bandar dengan menyediakan sumber pendapatan yang mampan kepada belia di kampung.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Noredah Othman, berkata kawasan luar bandar mempunyai peluang ekonomi yang luas untuk dimanfaatkan oleh golongan muda.

“Salah satu objektif STB adalah untuk menggalakkan orang-orang muda bekerja dalam masyarakat dan mereka tidak seharusnya keluar dari kampung untuk mencari pendapatan.

“Pekerjaan ada di mana-mana, dan yang penting ialah usaha. Kawasan luar bandar kaya dengan sumber semula jadi dan persekitaran yang mempesonakan. Justeru, golongan muda boleh mencari pekerjaan dan peluang dalam program CBT,” katanya.

Noredah berkata demikian dalam sesi perkongsian anjuran Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat, Universiti Malaysia Sabah, di sini, pada Khamis.

Sesi itu memfokuskan kepada peluang komuniti luar bandar dalam industri eko-pelancongan. Ia dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat, Dr Elia Godoong.

Perkongsian itu juga membincangkan tentang penghijrahan golongan muda dari luar bandar ke bandar, justeru meninggalkan golongan tua untuk menguruskan kehidupan di kampung.

Noredah berkata golongan belia harus mengekalkan warisan dan terus menetap di kampung bagi membantu mempromosikan perkampungan mereka sebagai destinasi luar bandar dan negeri secara keseluruhannya.

“Kawasan luar bandar adalah destinasi pelancongan yang menarik, dan eko-pelancongan sering dikaitkan dengan alam semula jadi dan komuniti. Maka itu, CBT adalah penting kerana ia menggalakkan orang-orang muda untuk terus memulihara dan memelihara alam sekitar serta menghargai kampung mereka,” katanya.

Tegasnya, pihak STB sentiasa bersedia untuk membantu masyarakat luar bandar yang berhasrat untuk menceburi bidang CBT dengan menyediakan sokongan, latihan dan dana yang diperlukan.

Beliau berkata pihak lembaga turut bekerjasama dengan persatuan pelancongan daerah untuk membangunkan CBT, sambil menambah 26 daerah di Sabah telah menubuhkan jawatankuasa pelancongan untuk membantu melestarikan aktiviti pelancongan di kawasan masing-masing.

Sementara itu, Noredah juga berkata pihak STB terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana universiti bagi inisiatif penyelidikan khususnya pelancongan luar bandar.

“Baru-baru ini, kami menyediakan geran untuk mereka yang ingin dan berminat menjalankan penyelidikan untuk pihak lembaga. Kerjasama sedemikian penting kerana ia membolehkan pihak kami menggunakan data mereka untuk melakukan perancangan strategik,” tambahnya.

]]>
https://sabahmedia.com/2022/01/13/cbt-bantu-kurangkan-penghijraan-belia-luar-bandar/feed/ 0 11056
Sabah Beri Keutamaan Kurangkan Kesan Perubahan Iklim https://sabahmedia.com/2021/12/14/sabah-beri-keutamaan-kurangkan-kesan-perubahan-iklim/ https://sabahmedia.com/2021/12/14/sabah-beri-keutamaan-kurangkan-kesan-perubahan-iklim/#respond Tue, 14 Dec 2021 05:32:46 +0000 https://sabahmedia.com/?p=9855
Read Time:2 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU: Sejajar dengan Dasar Negeri Sabah mengenai alam sekitar serta aspirasi negara terutamanya dalam proses mitigasi dan adaptasi iklim, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan bahawa mengurangkan kesan perubahan iklim menjadi agenda utama kerajaan negeri ini.

“Sebagai komitmen bagi mengurangkan kesan perubahan iklim, kerajaan negeri menyasarkan untuk menanam kira-kira 36 juta pokok sebagai sebahagian daripada Program Penghijauan Malaysia seluruh negara bertemakan “Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita” yang akan berlangsung selama lima tahun sehingga 2025,” katanya.

Setakat ini, katanya hampir 4.5 juta pokok telah pun ditanam di seluruh negeri. Selain itu, Ketua Menteri berkata Sabah juga telah menubuhkan Majlis Tindakan Perubahan Iklim di bawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan Sabah untuk membincangkan dasar dan tindakan perubahan iklim, memacu pertumbuhan ekonomi hijau, memangkin teknologi hijau serta pertumbuhan rendah karbon.

“Perubahan iklim adalah salah satu aspek utama di dalam Dasar dan kami komited untuk mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan kualiti udara Sabah tidak akan merosot akibat aktiviti pembangunan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Perubahan Iklim Sabah 2021 di sini pada Selasa.

Persidangan dua hari secara hibrid yang diadakan di Shangri-La’s Tanjung Aru Resort, melalui Zoom serta YouTube itu dianjurkan bersama oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah, Program Penyelidikan Hutan Hutan Asia Tenggara (SEARRP) bersama PETRONAS sebagai penaja utama.

Katanya, persidangan itu tepat pada masanya kerana kesan perubahan iklim seperti peningkatan suhu, kemarau yang semakin teruk, kebakaran dan jerebu, kekerapan hujan lebat dan ribut hingga menyebabkan banjir di kawasan pedalaman dan pantai, serta ancaman yang semakin meningkat terhadap keselamatan makanan, kini dirasai secara global.

“Sabah tidak terkecuali,” katanya sambil menambah bahawa persidangan itu bukan sahaja akan meningkatkan kesedaran mengenai kesan perubahan iklim kepada masyarakat tetapi berkongsi pengetahuan serta kemudahan rangkaian.

“Saya berharap persidangan ini juga akan meningkatkan kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan untuk menggalakkan penyertaan orang ramai dalam kedua-dua agenda iaitu perubahan iklim dan pemuliharaan.

“Saya juga berhasrat untuk melihat penyertaan lebih ramai belia supaya mereka juga boleh menyuarakan tindakan terhadap perubahan iklim,” katanya.

Hajiji berkata, Malaysia juga sedang berusaha secara aktif untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan dan mempergiatkan usahanya melalui pelbagai kementerian serta agensi dalam inisiatif mitigasi dan adaptasi perubahan iklim.

Malaysia juga mengambil bahagian dalam kerjasama dan perjanjian antarabangsa, seperti Perjanjian Paris yang berkuat kuasa pada 2016.

Beliau berkata pada Persidangan Perubahan Iklim (COP26) Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu di Glasgow, Scotland, baru-baru ini, Malaysia telah mengulangi komitmennya untuk mencapai pengurangan pelepasan gas rumah kaca melalui pengemaskinian Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) dan aspirasi untuk mencapai pelepasan bersih sifar pada tahun 2050.

Sambil merakamkan penghargaan kerajaan negeri atas komitmen semua untuk menjayakan persidangan itu, Hajiji berharap ia akan menjadi platform untuk tindakan yang lebih jauh dalam menangani isu perubahan iklim bersama.

Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arifin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong; Ketua Penasihat Kerajaan dan Pengawal Selia PETRONAS, Anuar Ismail; Pengarah SEARRP, Datuk Dr Glen Reynolds dan Penasihat Teknikal kepada Ketua Menteri Berkaitan Perubahan Iklim, Datuk Darrel Webber.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/12/14/sabah-beri-keutamaan-kurangkan-kesan-perubahan-iklim/feed/ 0 9855
SESB Laksana Inisiatif Kurangkan Risiko Gangguan Ketika Bencana Alam https://sabahmedia.com/2021/09/24/sesb-laksana-inisiatif-kurangkan-risiko-gangguan-ketika-bencana-alam/ https://sabahmedia.com/2021/09/24/sesb-laksana-inisiatif-kurangkan-risiko-gangguan-ketika-bencana-alam/#respond Fri, 24 Sep 2021 10:11:05 +0000 https://sabahmedia.com/?p=6803
Read Time:2 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU: Pelbagai inisiatif serta mitigasi untuk mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik ketika berlaku bencana alam telah dilaksanakan oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Penambahbaikan berterusan juga akan terus diusahakan memandangkan terdapat kawasan-kawasan baharu banjir beserta kaedah baharu yang boleh dilaksanakan untuk mengurangkan impak kepada pengguna.

Antara inisiatif yang telah dilaksanakan ialah kerja-kerja pemantauan serta penyelenggaraan berkala disamping penyediaan janakuasa bergerak khasnya di kawasan-kawasan yang sering dilanda banjir.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ir. Abdul Nasser Bin Abdul Wahid berkata demikian ketika melakukan lawatan susulan ke tapak banjir di Kampung Sugud dan tapak menara penghantaran di Kampung Minintod Penampang pada Jumaat.

SESB menganggarkan kerugian jutaan ringgit berikutan kerosakan-kerosakan yang dialami akibat banjir dan hujan lebat berterusan yang menyebabkan pelbagai kerosakan pada cerun tapak tiang menara talian penghantaran serta kerosakan pada tiang- tiang elektrik talian pembahagian dan pencawang elektrik di kampung-kampung terlibat.

Walaubagaimanapun, SESB telah berjaya melaksanakan tindakan-tindakan mitigasi interim awal ke atas lebih 50 menara talian yang terlibat serta telah berjaya membekalkan elektrik semula kepada hampir semua pengguna di kampung-kampung terlibat pada tempoh secepat yang mungkin.

“Tidak dinafikan ada terdapat tempat yang memerlukan lebih masa untuk dibaikpulih
disebabkan oleh kekangan-kekangan yang tidak dapat dielak antaranya kesukaran pasukan teknikal untuk masuk ke dalam lokasi disebabkan jalan tidak dapat dilalui dan keadaan yang tidak selamat untuk melakukan kerja kerja pembaikan,” katanya.

Abdul Nasser memaklumkan tiang elektrik dan pencawang kecil yang kebanyakannya berada di bahu jalanraya adalah dua pepasangan yang sering terjejas apabila berlaku bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.

Pokok-pokok yang rebah akibat tanah runtuh akan menimpa tiang dan kabel.

Manakala pokok-pokok yang dibawa arus banjir yang deras akan juga boleh merosakkan struktur pencawang kecil serta peralatan di dalamnya.

Beliau menjelaskan lebih 100 talian Pembahagian dan 2 pencawang elektrik kecil di bahu jalanraya tersebut telah rosak teruk.

Disamping itu lebih 50 menara talian penghantaran juga telah terjejas oleh hakisan tanah runtuh akibat cuaca buruk melanda beberapa kawasan di Pantai Barat Negeri Sabah sejak dua minggu ini.

Mengulas mengenai kedudukan menara penghantaraan milik SESB di Kampung Maang, Penampang, beliau berkata SESB telah melaksanakan langkah interim yang sepatutnya bagi mengurangkan hakisan akibat hujan yang berpanjangan.

Abdul Nasser juga berkata untuk tiang menara yang berisiko, SESB bersama konsultan dan kontraktor yang dilantik telah mula melaksanakan kerja-kerja rehabilitasi dan penstabilan cerun secara kekal dengan dipantau oleh pasukan teknikal SESB sendiri.

“SESB juga memohon kerjasama masyarakat untuk tidak menularkan berita tidak benar berkaitan SESB seperti dakwaan kita akan memutuskan bekalan elektrik secara besar-besaran, kerana berita seperti ini tidak betul kerana SESB sentiasa ada pelan mitigasi operasi untuk meneruskan pembekalan elektrik.

Berita palsu sebegini akan hanya menimbulkan panik dan tidak akan membantu keadaan,” katanya lagi.

Pengguna dinasihatkan untuk terus melaporkan segera aduan kecemasan seperti wayar elektrik putus, tiang tumbang dan pokok tumbang ke atas talian elektrik kepada SESB Careline 15454 atau 088-515000 atau whatsapp 019-8525427.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/09/24/sesb-laksana-inisiatif-kurangkan-risiko-gangguan-ketika-bencana-alam/feed/ 0 6803
Bentuk kabinet baharu, kurangkan karenah birokrasi dalam usaha bantu rakyat terkesan akibat COVID-19 – Azizah https://sabahmedia.com/2021/08/22/bentuk-kabinet-baharu-kurangkan-karenah-birokrasi-dalam-usaha-bantu-rakyat-terkesan-akibat-covid-19-azizah/ https://sabahmedia.com/2021/08/22/bentuk-kabinet-baharu-kurangkan-karenah-birokrasi-dalam-usaha-bantu-rakyat-terkesan-akibat-covid-19-azizah/#respond Sun, 22 Aug 2021 02:56:14 +0000 https://sabahmedia.com/?p=5047
Read Time:1 Minute, 22 Second

KUALA LUMPUR: Pembentukan kabinet baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa untuk mencari strategi mengurangkan karenah birokrasi dalam usaha membantu rakyat yang terkesan akibat COVID-19.

Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun berkata proses birokrasi hanya akan menyusahkan rakyat yang memerlukan bantuan dengan segera.

“Ini adalah satu keadaan yang tidak pernah berlaku dan disebabkan itu juga, tindakan dan mekanisma yang dirancang mestilah berbeza daripada cara yang normal.

‘’Dengan ini proses menyampaikan bantuan kepada golongan sasar yang memerlukan akan lebih tersusun.

“Jadi penting untuk merancang dan mencari jalan untuk mempermudahkan bantuan dan pinjaman yang boleh mengembalikan rakyat yang terjejas,’’ katanya.

Selain itu, Azizah juga menggesa semua Ahli Parlimen termasuk dari blok pembangkang untuk berlapang dada dan menyokong segala dasar kerajaan.

Ini kerana kerjasama rentas parti adalah elemen penting dalam usaha membantu kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

‘’Saya rasa kita (ahli parlimen) perlu menjadi lebih matang kerana setakat ini kalau bercakap soal kerjasama bipartisan masih belum tercapai di negara ini.

‘’Ini kerana bila (ahli parlimen) bercakap, mereka tidakpun berbincang tentang bagaimana kita boleh bersama-sama memastikan segala usaha kerajaan untuk memastikan rakyat kita selamat dan sejahtera dijayakan sekali gus memulihkan ekonomi,’’ tambahnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kesembilan di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di ibu negara sekitar jam 2.30 petang, pada Sabtu.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu, disempurnakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/08/22/bentuk-kabinet-baharu-kurangkan-karenah-birokrasi-dalam-usaha-bantu-rakyat-terkesan-akibat-covid-19-azizah/feed/ 0 5047