SANDAKAN: Kesedaran terhadap kualiti dan tahap kebersihan dalam penyediaan makanan perlu diberi perhatian serius, khususnya kepada bakal peniaga yang akan berniaga sepanjang bulan Ramadan.
Perkara itu ditegaskan oleh isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Merdiline Albaris ketika merasmikan Kursus Latihan Pengendali Makanan melibatkan 100 wanita peniaga dan penjaja Ramadan di Sungai Manila, baru-baru ini.
Menurut beliau, keenakan sesuatu makanan bukan sahaja bergantung kepada rasa semata-mata, sebaliknya turut ditentukan oleh kualiti makanan yang dihasilkan.

“Kualiti sesuatu makanan merupakan pelengkap kepada rasa makanan yang dihidangkan. Makanan yang berkualiti itu penting dan sewajarnya diutamakan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kualiti makanan akan meningkatkan daya tarikan terhadap sesuatu hidangan, sekali gus memberi keyakinan kepada pengguna.
Bagaimanapun katanya, aspek kualiti tidak hanya tertumpu kepada kebersihan premis atau gerai makanan semata-mata, malah turut melibatkan pemilihan bahan mentah yang digunakan.
“Premis atau gerai makanan sememangnya menarik jika bersih, namun ia akan bertambah nilai dan ‘seri’ sekiranya makanan yang dihasilkan juga berkualiti,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Merdiline berharap para peserta kursus dapat memanfaatkan sepenuhnya ilmu dan pendedahan yang diperoleh bagi menghasilkan makanan yang berkualiti serta selamat untuk pengguna.
“Saya yakin pengetahuan yang diperoleh melalui kursus ini amat berguna kepada semua peserta,” katanya.
Untuk rekod, Kursus Latihan Pengendali Makanan anjuran FB Training Academy itu telah berjaya dilaksanakan selama dua hari, iaitu pada 7 dan 8 Februari 2026, dengan penyertaan seramai 100 orang peserta.
Program tersebut dijalankan secara bersiri, di mana Siri Pertama berlangsung pada 7 Februari 2026 melibatkan dua sesi iaitu sesi pagi (25 peserta) dan sesi petang (25 peserta).
Siri Kedua pula diteruskan pada 8 Februari 2026 dengan majlis penyampaian sijil kepada para peserta.
Program berkenaan berlangsung dengan lancar hasil kerjasama Persatuan Senilis Sandakan, semua pihak terlibat serta komitmen tinggi daripada para peserta.
]]>Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Penganjuran kursus Kepimpinan Komunikasi Krisis Sabah memberi penekanan kepada pembinaan kebersamaan dan semangat pasukan dalam kalangan pegawai-pegawai politik kementerian di negeri ini.
Kursus yang dianjurkan Pejabat Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri itu turut dihadiri lebih 50 peserta terdiri dari semua pegawai politik dari pelbagai kementerian.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Azrul Ibrahim berkata, program itu bertujuan memastikan pegawai politik dapat bekerja sebagai satu pasukan yang cekap dan berkesan.
“Ini sekali gus menyokong kementerian masing-masing dalam menangani isu rakyat dengan lebih teratur dan profesional.
“Kursus ini bukan sahaja untuk memperkasakan peranan pegawai politik, tetapi juga mewujudkan suasana kekeluargaan yang penting bagi membina pasukan kerja yang cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan kursus Kepimpinan Komunikasi Krisis Sabah di sini pada Selasa.
Azrul berkata, pendekatan berpasukan itu membolehkan setiap isu yang timbul di kementerian dapat diurus dan diselesaikan secara tersusun.
Katanya, ia juga dapat meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian program dan bantuan kerajaan kepada rakyat.
Menurutnya, kursus itu juga memberi peluang kepada pegawai politik untuk memahami peranan mereka dalam menyokong dasar kerajaan serta membantu kementerian menangani isu-isu kritikal yang wujud, memastikan rakyat tidak tercicir daripada manfaat inisiatif kerajaan.
Terdahulu, ketika berucap, Azrul berkata, kerajaan negeri berdepan pelbagai cabaran sepanjang tempoh lima tahun akan datang, termasuk keputusan tidak popular yang perlu dibuat demi kepentingan jangka panjang Sabah.
Justeru katanya, kesiapsiagaan dalam pengurusan krisis dan komunikasi awam amat diperlukan.
“Mengambil contoh isu kenaikan tarif elektrik baru-baru ini, gerak kerja awal yang melibatkan pertemuan bersama Sabah Electricity, wakil rakyat kerajaan serta penyediaan bahan penerangan telah membantu kerajaan mengurus persepsi awam dengan lebih tersusun.
Katanya, pendekatan ‘menjuarai isu’ dengan memberi penjelasan awal kepada rakyat merupakan antara strategi penting bagi mengelakkan kekeliruan serta salah faham terhadap dasar kerajaan.
Selain itu, beliau turut menekankan keperluan penyelarasan erat antara kementerian kritikal seperti kerja raya, utiliti, bekalan air dan tenaga, bagi memastikan mesej yang disampaikan kepada rakyat adalah jelas, konsisten dan tidak bercanggah.
Dalam pada itu, beliau turut menggariskan peranan pegawai politik kementerian sebagai barisan hadapan komunikasi kerajaan, termasuk menterjemahkan dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 secara tepat kepada rakyat serta mengurus sensitiviti politik dan sentimen awam secara berfakta dan berhemah. – SABAH MEDIA
]]>Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) terus komited terhadap usaha meningkatkan pendapatan komuniti setempat menerusi penganjuran Kursus Penternakan Akuakultur Pesisiran Pantai Bersama Komuniti Daerah Kudat baru-baru ini.
Menurut kenyataan dari IPMB, program tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) yang dianugerahkan kepada IPMB oleh Kementerian Pendidikan Tinggi pada tahun 2024.

“Kursus sehari anjuran Rakan Akuakultur IPMB dengan kerjasama erat bersama Jabatan Perikanan Sabah telah berjaya menarik seramai 35 orang peserta yang berasal dari daerah Kudat, Kota Marudu dan Pitas.
“Kursus ini antara lain bertujuan untuk mendedahkan komuniti di sekitar daerah Kudat kepada kepentingan dan pelbagai jenis aktiviti akuakultur yang boleh dilaksanakan di kawasan pesisiran pantai.
“Aktiviti ini bukan sahaja memberi peluang untuk meningkatkan pendapatan komuniti setempat tetapi juga berpotensi menjadi sumber pendapatan utama atau sampingan yang dapat meningkatkan ekonomi sara hidup keluarga,” demikian menurut kenyataan tersebut.
IPMB turut memaklumkan, menerusi kursus tersebut, peserta berpeluang untuk memahami lebih mendalam tentang cabaran yang dihadapi oleh penternak dan nelayan, serta mencari pendekatan yang lebih mampan dan berkesan dalam meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi mereka.
“Program ini turut berperanan dalam menyokong penyelidikan bertajuk “Sosio-Ekonomi: Menilai Impak Pemindahan Teknologi Akuakultur Kepada Komuniti” yang dijalankan oleh IPMB bagi menganalisis impak pemindahan teknologi akuakultur dalam meningkatkan kehidupan masyarakat di pesisiran pantai.
“Program ini diharap dapat memperkasakan kemahiran dan pengetahuan masyarakat setempat dalam bidang akuakultur, serta menyediakan peluang latihan yang relevan dengan keperluan semasa.
“IPMB khususnya, dan UMS secara amnya akan terus komited dalam memperkukuhkan pendidikan dan penyelidikan di negeri Sabah dengan memberikan sokongan yang padu kepada komuniti tempatan, terutamanya dalam usaha-usaha meningkatkan kualiti hidup mereka melalui pendekatan yang lebih inovatif dan mampan,” menurut kenyataan IPMB.
Dalam perkembangan lain, selain kursus tersebut, IPMB telah melaksanakan pelbagai program ke arah usaha memajukan kemahiran dan pengetahuan para peserta khususnya dalam industri akuakultur sepanjang tahun ini, antaranya Basic Aquaculture Management, Characterization and Immunology Profiling of Fish Blood dan Basic Fish Parasite Identification.
“Dengan penekanan terhadap teknologi akuakultur yang lebih efisien, mampan, dan berdaya saing, IPMB komited untuk membantu mengatasi cabaran yang dihadapi dalam industri perikanan dan meningkatkan daya saing produk akuakultur tempatan di pasaran global.
“Melalui pendidikan dan penyelidikan yang terus diperbaharui, IPMB berharap dapat melahirkan lebih banyak inovasi dan inisiatif yang memberi manfaat kepada komuniti dan industri akuakultur secara keseluruhan.
“Ini merupakan langkah penting dalam mencapai pembangunan yang lebih mampan dan berdaya tahan dalam sektor perikanan di Malaysia.
IPMB telah diiktiraf sebagai salah sebuah HiCoE pada tahun 2024 atas pencapaian besar dalam bidang penyelidikan dan pendidikan tinggi negara, yang memberi pengiktirafan kepada usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan dalam bidang akuakultur khususnya berkaitan ikan kerapu hibrid dan ikan mameng.
]]>PUTATAN: Seramai 59 peserta berjaya menamatkan kursus Kejurulatihan Badminton Kebangsaan tahap satu, yang diadakan di Juara Badminton Arena, di sini, semalam.
Kursus anjuran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan kerjasama Persatuan Badminton Sabah (SBA) yang membabitkan dua sesi itu diadakan secara teori dan praktikal, bermula 18 Februari lalu.
Presiden SBA, Janih Bangud berkata, kursus kejurulatihan yang dianjurkan kali ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran ramai peserta.
Katanya, menerusi usaha yang dirangka itu, ia akan mampu membantu dalam mengesan pemain berbakat untuk diketengahkan dari semasa ke semasa.
“Kita mahu melahirkan lebih ramai pemain muda yang bukan saja mampu bersaing di peringkat negeri tetapi juga di kejohanan kebangsaan.
“Oleh itu, bidang kejurulatihan bertauliah dan berkelayakan perlu diteruskan kerana ia semestinya mampu memberi satu nilai tambah kepada perkembangan sukan badminton di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan kursus yang berakhir, semalam.
Janih berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada BAM kerana memberi peluang kepada SBA untuk menganjurkan kursus ini di Sabah.
Katanya, ia memberikan ruang dan peluang kepada peserta bagi menambah ilmu selain pengiktirafan sebagai jurulatih untuk pasukan kelab, daerah ataupun negeri khususnya.
“Ia juga memastikan para peserta mempunyai pengetahuan dan pengalaman bagi mendalami ilmu kejurulatihan secara dekat sebelum mengembangkan karier dalam kejurulatihan,” katanya.
Sementara itu, Janih berkata, kursus kejurulatihan itu dikendalikan ketua jurulatih Mohamed Zambri Bahari dan bekas ketua jurulatih remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) yang juga lagenda pemain negara, Kwan Yoke Ming.
Katanya, ia turut dibantu jurulatih tempatan selaku pengerusi Biro Kejurulatihan dan Kepengadilan SBA, Bakri Burahima bersama jurulatih Datuk Steven Joker, Sudirman Abas dan Mathilda Simon.
]]>TUARAN: Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag merasmikan penutupan Kursus Ilmu Keluarga@LPPKN yang disertai lebih 70 peserta daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini, di sini pada Selasa.
Program anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) negeri Sabah itu memberi fokus kepada Pengurusan Kewangan Keluarga dan juga penglibatan pusat keluarga bergerak yang memberikan perkhidmatan seperti pendaftaran mamogram, HPV DNA dan pemeriksaan kesihatan kepada masyarakat di daerah Tuaran.
Sambil menegaskan program ini adalah satu titik permulaan yang baik dan wajar diteruskan agar masyarakat sentiasa mendapat perkhidmatan yang ditawarkan oleh LPPKN.
Juliah berharap semua peserta ini juga akan berkongsi ilmu yang diperoleh bersama keluarga serta penduduk di peringkat akar umbi.
]]>KOTA KINABALU: Seramai 30 orang penduduk menyertai Kursus Kesedaran Pelancongan anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bertempat di Dewan Kampung Kokol, Menggatal dekat sini baru-baru ini.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip berkata, Kursus Kesedaran Pelancongan yang dianjurkan adalah bersempena dengan Acara Sambutan Ulang Tahun Ke-22 Bandaraya Kota Kinabalu dan para peserta adalah terdiri dari komuniti Kampung Kokol, Menggatal.
“Objektif kursus ini diadakan adalah untuk meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan kepimpinan peserta-peserta melalui kursus yang dianjurkan selain dapat merapatkan hubungan, kerjasama dan kesepakatan komuniti itu sendiri mahupun dengan agensi luar,” katanya.


Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh wakil Pemimpin Pembangunan Masyarakat Dun Inanam, Albert Jumitih pada 8 Januari 2022.
Seramai empat orang penceramah kursus telah dijemput untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan kepakaran mereka semasa kursus ini berlangsung.
Mereka adalah Pengurus Produk, Lembaga Pelancongan Sabah Daniel Roman yang telah menyampaikan Taklimat ‘Kesedaran Pelancongan’, perkongsian ‘Pembangunan Program Homestay’ bersama Penyelaras Homestay Desa Cinta Kobuni, Emalia Rabin manakala perkongsian ‘Penubuhan Koperasi Homestay’ oleh Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Data, Suruhanjaya Koperasi Malaysia Anasty Majus, dan penceramah terakhir AJK Tertinggi PEMADAM Bandaraya Kota Kinabalu Muhammad Uthman Sarimal yang telah memberi taklimat berkenaan ‘Isu Penyalahgunaan Dadah Di Pusat Pelancongan’.
Noorliza berkata, hasil daripada kursus ini, komuniti Kampung Kokol sepakat untuk menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan di peringkat kampung yang mana Jawatankuasa ini akan menjadi penggerak untuk mengenalpasti produk pelancongan yang berpotensi untuk dibangunkan di kampung tersebut.
Dalam pada itu, pameran PEMADAM Bandaraya Kota Kinabalu serta pembukaan Kaunter Aduan Awam turut diadakan bagi memupuk kesedaran komuniti tentang bahayanya najis dadah dan bagi kemudahan komuniti menyalurkan aduan.
]]>KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) menganjurkan kursus pengendalian dron dalam sektor pertanian bagi melatih graduan lepasan ijazah pelbagai bidang, baru-baru ini.
Pengarah PKPKP UMS, Dr. Soon Singh Bikar Singh berkata, kursus yang dikenali sebagai Certified Drone Precision Agriculture Proficient itu diadakan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).


“PENJANA KPT-CAP ini merupakan inisiatif kerajaan dalam menangani cabaran kebolehpasaran graduan dan mengurangkan pengangguran akibat wabak COVID-19.
“Kita adakan kursus dron secara hibrid iaitu dalam talian dan secara fizikal dengan penyertaan seramai 33 peserta dari seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Menurut Soon, kursus itu melatih para peserta dalam operasi dron, pengumpulan data, pemprosesan data dan analisis data.
“Di samping itu, ia bagi melatih kemahiran penggunaan dron dalam sektor pertanian seperti penyemburan racun menggunakan dron, dan data analisis bagi ladang kelapa sawit dan sawah padi.
“Kursus tersebut dibentuk mengikut keperluan industri dan mendapat persijilan daripada The Institute for Drone Technology Australia serta mendapat sokongan oleh persijilan City & Guilds United Kingdom (UK).
“Kandungan program ini juga selari dengan program modular Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2: Pengendalian Dron (H512-001-2:2019),” jelasnya.
Mengulas lanjut, Soon yang juga merupakan pensyarah kanan di Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS memaklumkan, teknologi dron pada masa kini terutamanya penggunaan drone sprayer semakin mendapat tempat dalam sektor pertanian kerana dapat meningkatkan tahap kecekapan operasi dalam penyemburan racun perosak.
“Penggunaan drone sprayer mampu menjalankan proses penyemburan yang lebih efektif meliputi kawasan yang besar dalam masa yang singkat.
”Proses pemetaan menggunakan teknologi dron di ladang kelapa sawit dan sawah padi juga mampu memberikan analisa yang lebih tepat.
“Analisa yang lebih tepat ini mampu memacu para peladang untuk membuat perancangan dan tindakan yang lebih sesuai dan proaktif untuk meningkatkan hasil tanaman,” kata Soon lagi.
Sehubungan itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi memastikan kelancaran program berkenaan.
”Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih khususnya kepada PENJANA KPT-CAP, UMS, pihak industri iaitu SG Academy atas usaha dan kerjasama yang cukup komited dalam memastikan pelaksanaan program ini berjalan dengan jayanya.
“Kerjasama dan komitmen yang erat seumpama ini diharap diteruskan lagi pada masa akan datang ke arah melahirkan generasi yang berkebolehan seiring dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0),” katanya.
]]>KOTA KINABALU: Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama Jabatan Pembangunan Pelancongan Bandar, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), menganjurkan Kursus Pembangunan Pakej Pelancongan dan e-Pemasaran kepada komuniti Kampung Darau, Inanam baru-baru ini.
Perasmiannya disempurnakan Pengarah Jabatan Kemajuan Pelancongan Bandaraya, DBKK Fauziahton Ag. Samad.
Dalam ucapannya Fauziahton berkata, kursus itu sebahagian daripada inisiatif DBKK ke arah pembangunan kapasiti komuniti dalam mempersiapkan mereka untuk memulakan aktiviti pelancongan.
“Kampung Darau didapati telah menjadi tumpuan orang ramai sebagai sebuah destinasi pelancongan berasaskan komuniti semasa pihak DBKK membuat Audit Potensi Produk Pelancongan secara rasmi pada tahun lalu.
“Oleh yang demikian, sebanyak enam lagi kursus akan diadakan dalam tempoh tiga bulan akan datang melalui kerjasama antara DBKK dan UMS bagi menyokong pembangunan pelancongan berasaskan komuniti di sini,” katanya.
Pada kursus tersebut, seramai dua pensyarah UMS telah dijemput mengongsikan pengetahuan dan pengalaman kepada 32 peserta yang hadir.
Ketua Program Pengurusan Pelancongan FPEP UMS, Profesor Madya Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul memberi tunjuk ajar kepada peserta tatacara mengembangkan pakej pelancongan serta membuat e-pemasaran berdasarkan pelan pembangunan program pelancongan mereka.
Beliau memberi bimbingan dengan mengenal pasti dan membincangkan potensi tarikan pelancongan, aktiviti, akses, penginapan, dan kemudahan di kampung itu..
Seorang lagi penceramah jemputan, Dr. Kelvin Yong, memberi taklimat tentang medium e-pemasaran secara berkesan yang bersesuaian dengan pelancongan berasaskan komuniti. Beliau turut memberi tunjuk ajar teknik penggunaan media sosial bagi mengiklankan produk pelancongan ke pasaran pada masa hadapan.
Kursus sehari itu menerima reaksi positif daripada komuniti Kampung Darau.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Anan Usoh berkata, pelbagai input dan idea telah diperoleh oleh para peserta termasuk mengenal pasti produk pelancongan dan kraf tangan sedia ada yang memerlukan lebih banyak inovasi dan promosi.
“Selain itu, ahli komuniti juga memperoleh pengetahuan baharu mengenai kaedah berkesan untuk e-pemasaran memandangkan dunia hari ini hanya berada di hujung jari sahaja.
“Platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan Tik Tok adalah sangat berguna untuk mempromosikan Kampung Darau sebagai sebuah destinasi pelancongan akan datang.
“Terima kasih diucapkan kepada pihak yang terlibat dalam kursus Kampung Darau iaitu pihak DBKK dan UMS.
“Tidak lupa juga setinggi penghargaan kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau dan semua peserta yang hadir,” katanya.
Sementara itu, Awangku Hassanal dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa FPEP UMS sebelum ini juga telah bekerjasama dengan DBKK dalam membangunkan pelancongan berasaskan komuniti bagi kawasan pinggir Bandar Raya Kota Kinabalu, khususnya Kampung Kobuni di Inanam.
“Justeru, saya berharap agar kursus kali ini juga dapat membantu komuniti Kampung Darau menjadi lebih yakin dalam menjalankan aktiviti pelancongan di kampung mereka.
“Kampung ini mempunyai potensi yang besar untuk menjadi satu destinasi pelancongan berasaskan komuniti kerana mempunyai sungai yang menarik, bakau dan hidupan liar seperti memerang dan beberapa jenis burung.
“Budaya masyarakat tempatan juga amat menarik terutamanya pasar dagangan barter dan gastronomi,” katanya.
]]>KOTA KINABALU: Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Kursus Berteknologi Tinggi Augmented Reality (AR) bagi memberi latihan para guru menghasilkan bahan pengajaran dan pembelajaran (PnP) yang berinovatif dan berimpak tinggi.
Dekan FPP, Prof. Madya Dr. Sabariah Sharif berkata, ia sebagai usaha untuk membantu mencipta suasana PnP yang kreatif dan interaktif sekali gus menarik perhatian murid sepanjang sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Antara cabaran yang dihadapi golongan pendidik semasa pandemik Covid-19 ialah bagaimana mengekalkan minat pelajar agar sentiasa bersemangat mengikut sesi PdPR dalam setiap mata pelajaran.
“Justeru, kursus ini memperkenalkan peserta kepada asas-asas teknologi AR yang boleh diterapkan dalam PnP atas talian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kursus bertajuk “Dunia Sebenar Pembelajaran Menerusi AR” itu diadakan secara maya bermula 23 Ogos sehingga 4 September 2021 melalui gabungan kerjasama Program Pendidikan Awal Kanak-kanak FPP, Pusat E-Pembelajaran UMS dan MySTEM Ambassador UMS.
Menurut Sabariah, pengenalan teknologi AR merangkumi rekabentuk sistem, teknik interaksi, animasi 3D objek, dan penggunaan sistem AR.
Beliau berkata, kesemua peserta turut diperkenalkan dengan UNITY 3D iaitu himpunan aplikasi untuk memudahkan penghasilan aplikasi AR secara kendiri.
“Setelah lima hari menghadiri kursus, peserta kemjudiannya diminta menghasilkan inovasi bahan PnP melalui aplikasi AR yang seterusnya dipertandingkan menerusi platform webinar.
”Misi melahirkan guru berinovatif ini diharapkan mampu mewujudkan elemen dunia pembelajaran sebenar semasa Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPC),” jelas Sabariah.
Dalam pada itu, Sabariah memaklumkan penganjuran kursus tersebut juga bagi memenuhi hasrat kemenjadian STEM Ambassador UMS iaitu memperkasa mahasiswa secara holistik.
“Pada kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengarah Pusat E-Pembelajaran UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Edmund Ng Giap Weng selaku penceramah kursus; Ketua Program Pendididikan Awal Kanak-kanak, Dr. Connie Cassy Ompok selaku urusetia; Dr. Nur Suhaidah Sukor selaku Setiausaha dan semua pihak yang terlibat menjayakan program ini,” katanya.
Kursus tersebut disertai 98 peserta daripada guru Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pusat Perkembangan Kanak-kanak Yayasan Sabah, Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Institut Pendidikan Guru Malaysia, pelajar Program Pendidikan Awal Kanak-kanak FPP dan MyStem Ambassador UMS.
]]>KOTA KINABALU: Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersedia membimbing usahawan yang ingin menceburkan diri dalam bidang industri makanan halal.
Dekan FSMP, Prof. Madya Dr. Patricia Matanjun berkata, segala latihan dan bimbingan itu disediakan melalui sebuah unit yang dikenali sebagai Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan.
“Dengan visi untuk mempromosikan keselamatan dan kualiti makanan melalui penyelidikan dan perkhidmatan, unit ini menawarkan pelbagai latihan, kursus, dan khidmat rundingan kepada pelbagai pihak termasuk mereka yang ingin melibatkan diri dalam industri halal.
“Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia sesungguhnya mempunyai potensi besar sebagai peneraju hub halal dunia yang menyaksikan sebanyak RM31 bilion eksport halal negara telah direkodkan pada tahun 2020.
“Unit ini yang beroperasi sejak 28 Mei 2013 sekali gus dilihat seiring dengan hasrat kerajaan yang mahu mengangkat industri halal sebagai industri strategik untuk menjayakan objektif Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, latihan dan khidmat rundingan di Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan telah disesuaikan dengan keadaan pekerjaan dan budaya sesebuah organisasi.
“Antara Kursus Latihan Halal yang ditawarkan ialah kursus Kesedaran Halal kepada Industri Halal, Amalan Baik bagi Industri Halal, dan Sistem Pengurusan Jaminan Halal.
“Kursus lain adalah tentang Audit Halal Dalaman, Latihan Eksekutif Halal dan Program Auditor Halal Global yang Diperakui.
“Kesemua kursus dikendalikan pakar-pakar Teknologi Makanan, Sains Makanan dan Pemakanan UMS untuk memastikan usahawan atau individu mempunyai pengetahuan mendalam terhadap pengurusan keselamatan dan kualiti makanan seterusnya memahami konsep makanan halal,” katanya yang juga Pengerusi unit berkenaan.
Ujar Patricia, unit tersebut yang buat masa ini dikendalikan Timbalan Ketua Unit, Ts. Dr. Nor Qhairul Izzreen Mohd Noor turut menyediakan Perkhidmatan Makmal Analisis Makanan bagi tujuan menganalisis makanan halal.
“Makmal ini mempunyai keupayaan untuk membuat Analisis DNA babi (porcine) dalam produk makanan (ISO 17025:2017) serta lain-lain analisis makanan berdasarkan permintaan.
“Bagi yang memerlukan khidmat rundingan halal, kita di Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan ini sentiasa bersedia untuk memberi perkhidmatan terbaik.
“Kita ada menawarkan khidmat rundingan untuk Permohonan Pensijilan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pembangunan Sistem Jaminan Halal dan khidmat Audit Halal Dalaman,” tambah Patricia.
Dalam pada itu, Patricia juga menjelaskan bahawa terdapat beberapa latihan lain turut ditawarkan oleh unit tersebut.
“Antaranya Kursus Latihan Pengendali Makanan (SLPM), Amalan Pengilangan Baik (GMP), Analisis Bahaya Titik Kawalan Kritikal (HACCP), Kursus Makanan Pendek, serta Keselamatan dan Kebersihan Makanan.
“Kita juga menawarkan khidmat rundingan Konsep Produk Baharu, Pembangunan Produk Makanan, Penambahbaikan Nutrisi Makanan, Teknologi daripada konsep produk kepada konsep rintis, selain khidmat rundingan untuk Pensijilan MeSTI dan Pensijilan BeSS.
“Penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan merangkumi kebolehlaksanaan penyelidikan, kajian penilaian/pentaksiran impak, carian fakta dan kaji selidik, pemantauan dan penilain, serta pembangunan produk,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, Patricia mengajak orang ramai untuk mengikuti perkembangan semasa unit tersebut dengan menekan sukaan pada laman facebook Food Safety and Quality Unit UMS.
“Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat dengan melayari laman web www.ums.edu.my/fsquv2.
“Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Pegawai Teknologi Makanan, Puan Nurshada Ramdin melalui emel [email protected],” katanya.
]]>