kuskop – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Wed, 13 May 2026 06:40:30 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png kuskop – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 UMS perkasa agenda keusahawanan mahasiswa bersama KUSKOP https://sabahmedia.com/2026/05/13/ums-perkasa-agenda-keusahawanan-mahasiswa-bersama-kuskop/ https://sabahmedia.com/2026/05/13/ums-perkasa-agenda-keusahawanan-mahasiswa-bersama-kuskop/#respond Wed, 13 May 2026 06:38:58 +0000 https://sabahmedia.com/?p=96600
Read Time:2 Minute, 11 Second

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkasa agenda pembangunan keusahawanan mahasiswa menerusi penganjuran Program Siri Bicara Usahawan bersama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi anjuran Pusat Pembangunan Kerjaya dan Keusahawanan (CEDeC) UMS, baru-baru ini.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin, program tersebut merupakan manifestasi kerjasama strategik antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan institusi pengajian tinggi dalam memperkasa budaya keusahawanan mahasiswa.

“Mahasiswa perlu dibentuk bukan sahaja sebagai pencari pekerjaan tetapi juga pencipta peluang pekerjaan yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita mahu melahirkan usahawan yang berilmu, berinovasi dan mampu bersaing dalam era globalisasi dan transformasi digital yang berkembang pantas ketika ini.

“KUSKOP melalui pelbagai agensinya turut menyediakan latihan, bimbingan dan pembiayaan kepada mahasiswa menerusi program seperti PROTÉGÉ, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), TEKUN Nasional dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM),” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program berkenaan yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat (DKP) 23, UMS.

Tambah Alamin, kerajaan juga menyediakan pelbagai platform digital termasuk MyMall dan ‘TEKUN TikTok Studio’ bagi membantu usahawan muda memperkukuh pemasaran produk secara digital.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, UMS sentiasa komited dalam memperkasa pembangunan keusahawanan mahasiswa selaras dengan aspirasi universiti sebagai The Brain of Borneo, di samping mendukung usaha memacu pembentukan masyarakat yang inovatif dan berdaya saing.

“Budaya keusahawanan di UMS diterapkan secara menyeluruh kepada pelajar daripada pelbagai bidang pengajian termasuk sains, teknologi, perubatan, perhutanan, pertanian dan sains sosial.

“Antara pendekatan utama yang dilaksanakan ialah menerusi Kursus Asas Pembudayaan Keusahawanan yang merupakan kursus wajib universiti dan perlu diambil oleh pelajar pada tahun kedua pengajian.

“Melalui kursus ini, mahasiswa bukan sahaja mempelajari teori asas perniagaan tetapi turut menjalankan aktiviti perniagaan sebenar secara praktikal dan digital termasuk pemasaran menerusi media sosial serta platform e-dagang,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Datuk Dr. Rossita Shapawi.

Tambah Kasim, UMS berjaya menjadi antara universiti yang mencatat pencapaian tertinggi di Malaysia dalam melahirkan graduan usahawan bagi tahun 2022, 2023 dan 2024, hasil usaha berterusan universiti dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan.

“Pada tahun 2022, UMS turut merekodkan kadar graduan bekerja sendiri tertinggi dalam kalangan universiti awam di Malaysia.

“Pada tahun 2025 pula, lebih 3,500 pelajar UMS direkodkan aktif menjalankan perniagaan semasa dalam pengajian melibatkan pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, teknologi digital, pertanian moden serta produk inovasi.

“UMS turut berjaya disenaraikan sebagai finalis Top 5 Anugerah Universiti Terbaik dalam Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi (AKKPT),” kata beliau.

Hadir sama Pengarah Pusat Pembanguan Kerjaya dan Keusahawanan (CEDeC) UMS, Profesor Madya Ts. Dr. Sidah Idris dan Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Rusman Dulamit.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/05/13/ums-perkasa-agenda-keusahawanan-mahasiswa-bersama-kuskop/feed/ 0 96600
Ehsan@KUSKOP: Inisiatif Kerajaan Madani tangani kemiskinan di tiga daerah di Sabah https://sabahmedia.com/2025/03/06/ehsankuskop-inisiatif-kerajaan-madani-tangani-kemiskinan-di-tiga-daerah-di-sabah/ https://sabahmedia.com/2025/03/06/ehsankuskop-inisiatif-kerajaan-madani-tangani-kemiskinan-di-tiga-daerah-di-sabah/#respond Thu, 06 Mar 2025 04:13:06 +0000 https://sabahmedia.com/?p=69888
Read Time:1 Minute, 16 Second

Oleh FLORIETA DIET

KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melaksanakan program Ehsan@KUSKOP, sebagai langkah bersasar dan bersepadu membasmi kemiskinan di tiga daerah yang telah dikenalpasti di Sabah, tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, projek rintis akan dilaksanakan di kawasan utara Parlimen Sabah iaitu di Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat, yang merekodkan insiden kemiskinan tegar tertinggi berdasarkan daftar eKasih.

Beliau berkata, inisiatif itu selaras dengan agenda menokhtahkan kemiskinan tegar yang menjadi keutamaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam usaha menangani insiden kemiskinan tegar di negara ini.

“Selaras dengan agenda menokhtahkan kemiskinan tegar dan amanat Perdana Menteri dalam memberi tumpuan besar ke atas agenda menangani insiden kemiskinan tegar, pada tahun ini, KUSKOP sedang melaksanakan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara.

“Dasar ini memberi fokus tambahan kepada keperluan tambahan di Sabah dan Sarawak khususnya dalam menangani insiden kemiskinan.

“Justeru, pada tahun ini, KUSKOP dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat (YBR) yang menerima dana daripada Bank Rakyat, melaksanakan program Ehsan@KUSKOP,” katanya, di Dewan Negara semalam.

Ewon berkata, program itu adalah satu inisiatif secara bersasar dan bersepadu dalam membantu membasmi kemiskinan di Sabah melalui pelbagai komponen antaranya keusahawanan dan peluang pendidikan.

“Bagi fasa pertama, Kementerian melalui YBR sedang menyelaras penyaluran bantuan Program Pembangunan Pendidikan kepada Ahli Isi Rumah (AIR) eKasih kategori Miskin Tegar dan Miskin di tiga kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan bantuan disalurkan secara efektif dan menyeluruh, pelaksanaan program itu akan dijalankan dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Pejabat Pendidikan Daerah di kawasan berkenaan.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/03/06/ehsankuskop-inisiatif-kerajaan-madani-tangani-kemiskinan-di-tiga-daerah-di-sabah/feed/ 0 69888
KUSKOP salur RM813.4 juta kepada 53,395 PMKS dan Koperasi di Sabah sepanjang 2024 https://sabahmedia.com/2025/02/11/kuskop-salur-rm813-4-juta-kepada-53395-pmks-dan-koperasi-di-sabah-sepanjang-2024/ https://sabahmedia.com/2025/02/11/kuskop-salur-rm813-4-juta-kepada-53395-pmks-dan-koperasi-di-sabah-sepanjang-2024/#respond Tue, 11 Feb 2025 03:31:32 +0000 https://sabahmedia.com/?p=68419
Read Time:2 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan sejumlah RM813.4 juta kepada 53,395 perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dan koperasi di Sabah sepanjang tahun 2024.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, pembiayaan itu disalurkan melalui agensi-agensi KUSKOP termasuk Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp, Pernas dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Selain itu katanya, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) juga telah melaksanakan 41 program latihan dan bimbingan keusahawanan di Sabah sepanjang tahun lalu yang memberi manfaat kepada seramai 1,585 usahawan.
 
“KUSKOP juga telah memperkenalkan program khas Ehsan@KUSKOP untuk membantu usaha menoktahkan kemiskinan di Sabah.

“Bagi tujuan ini, Yayasan Bank Rakyat telah menyalurkan peruntukan sejumlah RM3 juta untuk melaksanakan program ini bermula tahun ini di tiga daerah yang dikenalpasti mempunyai daftar kemiskinan tinggi iaitu Kudat, Kota Marudu dan Kota Belud.

“Usaha sedang digerakkan untuk menyediakan bantuan pendidikan kepada pelajar sekolah dalam kalangan eKasih terutama di tiga daerah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Malam Apresiasi Media Sabah 2025 di salah sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, daripada jumlah keseluruhan pembiayaan yang disalurkan di Sabah sepanjang tahun lalu, jumlah pembiayaan di Parlimen Penampang sebanyak RM20.95 juta yang memberi manfaat kepada 478 usahawan PMKS dan Koperasi.

“Manakala bagi kawasan DUN Kadamaian pula, sebanyak RM16.58 juta telah disalurkan kepada 1,683 usahawan dan PMKS, sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara: Perspektif KUSKOP juga telah diperkenalkan untuk memberi fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak.
 
“Tanpa menjejaskan fokus sedia ada kementerian ini di seluruh negara, KUSKOP telah menggariskan fokus tambahan untuk Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak terutamanya dalam konteks pembangunan keusahawanan.
 
“Oleh itu, antara inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh KUSKOP khususnya untuk usahawan PMKS di Sabah ialah Projek Premis Tamu Desa, Skim Pembiayaan Usahawan Tamu dan Geran Usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak di bawah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) PLUS,” katanya.

Ewon berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 54 tapak Tamu Desa dibina baharu dan dinaiktaraf di seluruh Sabah dengan jumlah peruntukan sebanyak RM10,286,998.36.

“BEEP PLUS RM8.39 juta yang memberi manfaat kepada 113 syarikat dan SPUT sebanyak RM3,563,000 dengan 893 usahawan menerima pembiayaan daripada skim itu.

“Daripada aspek mekanisme penyelarasan, KUSKOP telah mengukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Sabah melalui pembentukan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Sabah dan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Daerah.

“Di samping itu, bagi meningkatkan capaian maklumat, agensi-agensi KUSKOP seperti INSKEN, Pernas, Bank Rakyat, TEKUN Nasional dan SKM telah membuka dan meningkatkan bilangan cawangan agensi masing-masing di Sabah. Ini termasuk cadangan pembukaan hab PMKS di Sabah oleh SME Corp,” katanya.
 
Mengenai majlis itu Ewon menghargai peranan media menghebahkan semua inisiatif kerajaan khususnya KUSKOP kepada masyarakat.
 
“Komuniti PMKS adalah tonggak kepada ekonomi negara, dengan menyumbang kepada 39.1 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan menggaji seramai 7.86 juta pekerja.
 
“Oleh itu, selaras dengan statistik ini, KUSKOP adalah kementerian yang penting dan para usahawan dan koperasi meletakkan harapan tinggi kepadanya.
 
“Justeru, saya melihat kerjasama kementerian ini dengan para pengamal media sangat penting dalam membantu meningkatkan hebahan dan penyampaian perkhidmatan KUSKOP,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2025/02/11/kuskop-salur-rm813-4-juta-kepada-53395-pmks-dan-koperasi-di-sabah-sepanjang-2024/feed/ 0 68419