Lepasan Tingkatan 5 – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sat, 03 Oct 2026 00:18:28 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Lepasan Tingkatan 5 – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Lepasan Tingkatan 5 mampu bawa perubahan dalam komuniti – Julita https://sabahmedia.com/2026/10/03/lepasan-tingkatan-5-mampu-bawa-perubahan-dalam-komuniti-julita/ https://sabahmedia.com/2026/10/03/lepasan-tingkatan-5-mampu-bawa-perubahan-dalam-komuniti-julita/#respond Sat, 03 Oct 2026 00:18:22 +0000 https://sabahmedia.com/?p=104662
Read Time:1 Minute, 44 Second

MATUNGGONG: Lepasan Tingkatan 5 digalakkan untuk terus memberi sumbangan kepada komuniti masing-masing selepas menamatkan persekolahan.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Julita Majungki berkata, tempoh sementara menunggu untuk melanjutkan pengajian atau memasuki alam pekerjaan boleh dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada diri sendiri dan masyarakat.

Katanya, selain mengikuti kursus dan mempelajari kemahiran baharu, golongan muda boleh mengisi masa dengan menyertai aktiviti belia, gotong-royong serta membantu murid sekolah rendah di kampung masing-masing.

“Sekiranya kamu mempunyai kemahiran dalam sesuatu mata pelajaran, gunakan kemahiran itu untuk membantu orang lain.

“Sebagai contoh, kamu boleh membantu memberi tunjuk ajar kepada murid sekolah rendah di kampung, termasuk dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

“Mungkin perkara itu kelihatan kecil, tetapi bagi seorang murid sekolah rendah, seorang abang atau kakak yang sanggup meluangkan masa untuk mengajar dan membimbing mereka boleh menjadi sumber inspirasi yang besar,” katanya ketika merasmikan Majlis Graduasi Tingkatan 5 di SMK Matunggong di sini, pada Khamis.

Julita berkata, golongan muda tidak perlu menunggu sehingga mempunyai pekerjaan atau jawatan untuk mula menyumbang kepada masyarakat.

“Gunakan apa yang ada pada kamu sekarang, sama ada masa, tenaga atau kemahiran. Sumbangan itu mungkin kecil pada pandangan kita, tetapi boleh memberi makna kepada orang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Julita menggalakkan pelajar supaya berani keluar dari daerah masing-masing untuk menimba ilmu dan pengalaman, sama ada melalui pengajian tinggi, latihan kemahiran, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau alam pekerjaan.

“Pergilah sejauh mana peluang membawa kamu. Timbalah ilmu, bina kemahiran dan kenali dunia yang lebih luas, tetapi jangan lupa dari mana kamu bermula.

“Saya berharap suatu hari nanti, ada antara kamu yang kembali ke daerah masing-masing untuk berkhidmat kepada masyarakat sebagai guru, doktor, jururawat, pegawai kerajaan, jurutera, usahawan atau dalam apa jua bidang yang kamu pilih,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pelajar supaya menggunakan masa dengan sebaik-baiknya, menjaga diri dan memilih persekitaran yang baik, selain menjauhi perkara yang boleh menjejaskan kesihatan, pendidikan dan masa depan.

Turut hadir Pengetua SMK Matunggong Sharif Azad Sharif Attar dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Epson Kawahui.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/10/03/lepasan-tingkatan-5-mampu-bawa-perubahan-dalam-komuniti-julita/feed/ 0 104662