Liga wanita nasional – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Sun, 01 Nov 2026 22:40:22 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.1 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png Liga wanita nasional – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Gol minit akhir Enzi bantu Sabah FA pertahan kejuaraan LWN 2026 https://sabahmedia.com/2026/11/02/gol-minit-akhir-enzi-bantu-sabah-fa-pertahan-kejuaraan-lwn-2026/ https://sabahmedia.com/2026/11/02/gol-minit-akhir-enzi-bantu-sabah-fa-pertahan-kejuaraan-lwn-2026/#respond Sun, 01 Nov 2026 22:40:17 +0000 https://sabahmedia.com/?p=106217
Read Time:4 Minute, 4 Second

KUALA LUMPUR: Sabah FA mempertahankan kejuaraan Liga Wanita Nasional (LWN) 2026 selepas menewaskan Selangor FC 1-0 dalam aksi final di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, malam tadi.

Penyerang import dari Amerika Syarikat, Enzi Hekima Starks Broussard muncul wira Sabah apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-89, sekali gus membantu skuad kendalian Bobby Gonzales merangkul gelaran LWN buat kali ketiga selepas turut muncul juara pada edisi 2023 dan 2025.

Sabah yang menguasai babak pertama hampir membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma Enzi pada minit ke-21, namun percubaannya berjaya ditepis penjaga gol Selangor, Nurdiana Syafiqah Mohd Rostam.

Nurdiana Syafiqah sekali lagi bertindak cemerlang apabila menafikan percubaan jarak dekat pemain pertahanan Sabah, Juliana Barek pada minit ke-38 untuk memastikan kedudukan kekal tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Selangor meningkatkan tempo permainan dan hampir memecah kebuntuan menerusi pemain gantian Yeo Menji pada minit ke-69, namun percubaannya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Sabah.

Ketika perlawanan semakin menghampiri masa tambahan, Enzi muncul pemecah kebuntuan apabila rembatan jarak jauhnya pada minit ke-89 gagal ditangkap kemas Nurdiana Syafiqah, sekali gus memastikan kemenangan dan kejuaraan buat Sabah.

Kejayaan itu turut membolehkan Sabah FA sekali lagi mewakili Malaysia ke pentas AFC Women’s Champions League (AWCL) musim depan.

Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Sabah, Muhd Arziz Afizy, berkata kejayaan mempertahankan kejuaraan itu adalah hasil perancangan jangka panjang serta komitmen semua pihak yang terlibat dengan pasukan.

Menurutnya, gabungan pemain berpengalaman dan muka baharu, selain bimbingan barisan kejurulatihan, menjadi antara faktor utama yang membolehkan Sabah terus mengekalkan prestasi cemerlang dalam LWN.

“Alhamdulillah, hari ini kita sekali lagi dinobatkan sebagai juara Liga Wanita Nasional dan ini hasil usaha daripada semua pihak, terutama pemain-pemain wanita Sabah yang telah berusaha selama ini.

“Terima kasih juga kepada semua jurulatih yang telah melatih pemain-pemain kita sehingga kita boleh mengekalkan kejuaraan LWN 2026,” katanya.

Mengulas mengenai faktor kejayaan Sabah, Muhd Arziz berkata pasukan itu dibangunkan menerusi perancangan jangka panjang dengan menekankan aspek pembangunan pemain dan kualiti kejurulatihan.

Katanya, pendekatan menggabungkan pemain berpengalaman dengan pemain baharu turut membantu membentuk pasukan yang lebih kompetitif.

“Perancangan kita adalah perancangan jangka masa panjang. Kita berada di kedudukan sekarang apabila kali ketiga menjadi juara dan ini adalah hasil daripada perancangan, bimbingan jurulatih serta kualiti pemain yang kita ada.

“Kita gabungkan pemain lama dan pemain baharu dan sehingga hari ini kita masih boleh menjadi juara sekali lagi,” katanya.

Mengulas mengenai misi di pentas Asia musim depan, Muhd Arziz berkata Sabah akan menggunakan pengalaman dua penampilan terdahulu untuk memperbaiki kelemahan pasukan dan memburu kemajuan lebih baik dalam AWCL.

“Tahun hadapan kita sekali lagi mewakili Malaysia ke peringkat AWCL dan ini adalah kali ketiga.

“Kita mempunyai pengalaman dua tahun sebelum ini. Pada tahun pertama kita layak ke peringkat kumpulan, manakala tahun lalu kita tidak layak selepas tewas kepada pasukan dari Bengal.

“Kita mengharapkan pada 2027 kita cuba sedaya upaya untuk layak ke peringkat kumpulan AWCL dengan pengalaman yang ada bagi memperbaiki kelemahan kita,” katanya.

Sementara itu, Bobby menyifatkan semangat juang tinggi pemain menjadi antara faktor utama kejayaan Sabah mempertahankan kejuaraan.

Katanya, pemain Sabah berjuang sepanjang 90 minit dan tidak pernah berputus asa sehingga berjaya mendapatkan gol kemenangan pada penghujung perlawanan.

“Alhamdulillah, kita berjaya mengekalkan kejuaraan untuk kali kedua dan saya sangat bangga dengan semua pemain saya di atas padang.

“Mereka berjuang sehabis-habisan daripada awal perlawanan sehingga tamat dan dengan semangat juang yang tidak pernah padam, mereka layak untuk menang malam ini,” katanya.

Bobby berkata semangat berpasukan menjadi kunci utama kejayaan Sabah sepanjang musim ini, selain menyifatkan rekod tanpa kekalahan sebagai sesuatu yang positif buat pasukan.

“Teamwork. Itulah semangat pasukan dan itu salah satu kunci untuk pasukan kita berjaya pada tahun ini.

“Saya rasa dalam tahun ini kita tidak pernah kalah lagi dan ini adalah salah satu perkara yang baik untuk pasukan,” katanya.

Bobby yang turut dinobatkan sebagai jurulatih terbaik untuk tahun kedua berturut-turut berkata pengiktirafan itu tidak akan dicapai tanpa sokongan barisan kejurulatihan dan pemain.

“Saya amat berterima kasih kepada semua coaching staff dan semua pemain kerana mereka cukup menyokong dan sangat membantu dalam membimbing saya,” katanya.

Mengenai misi Sabah pada kempen AWCL musim depan, Bobby berkata sekiranya beliau dikekalkan sebagai ketua jurulatih, beliau akan berusaha memperbaiki kelemahan pasukan berdasarkan pengalaman yang dilalui musim ini.

“Kalau saya masih diteruskan, kita akan cuba memperbaiki apa yang kita lalui tahun ini untuk cuba layak ke pusingan 12 terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Muhd Arziz merakamkan penghargaan kepada Presiden dan Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA), Ahli Majlis Tertinggi SAFA, penaja utama serta Kerajaan Negeri Sabah atas sokongan berterusan terhadap pasukan bola sepak wanita.

Beliau turut memberi penghargaan kepada barisan kejurulatihan, pengurus pasukan serta semua pemain yang terus berusaha memburu kemenangan.

Muhd Arziz turut memuji Selangor FC yang memberikan saingan sengit dalam aksi final dan menyifatkan pasukan itu memiliki barisan pemain muda berkualiti, termasuk pemain yang mewakili negara. – SABAH MEDIA / FOTO FAM

]]>
https://sabahmedia.com/2026/11/02/gol-minit-akhir-enzi-bantu-sabah-fa-pertahan-kejuaraan-lwn-2026/feed/ 0 106217
Jersi ‘MyHome,MyTeam’ suntik semangat baharu skuad wanita Sabah FA hadapi LWN 2025 https://sabahmedia.com/2025/07/12/jersi-myhomemyteam-suntik-semangat-baharu-skuad-wanita-sabah-fa-hadapi-lwn-2025/ https://sabahmedia.com/2025/07/12/jersi-myhomemyteam-suntik-semangat-baharu-skuad-wanita-sabah-fa-hadapi-lwn-2025/#respond Fri, 11 Jul 2025 16:00:18 +0000 https://sabahmedia.com/?p=77132
Read Time:1 Minute, 20 Second

Kota Kinabalu : Pasukan bola sepak wanita Sabah FA secara rasmi memperkenalkan jersi baharu dinamakan sebagai ‘MyHome’ dan ‘MyTeam’ yang akan digunakan bagi menghadapi saingan Liga Wanita Nasional (LWN) musim 2025.

Pelancaran jersi baharu itu disempurnakan Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Ir Shahelmey Yahya di Fut8 Padang Kontena di sini pada Jumaat.

Pengurus pasukan bola sepak wanita Sabah Muhd Arziz Afizy Rumsani berkata, pelancaran jersi itu merupakan simbolik kepada permulaan baharu yang lebih bersemangat menjelang sepak mula LWN pada 19 Julai ini.

Shahelmey ketika melancarkan jersi ‘MyHome’ pasukan skuad wanita SabahFA – Foto Persatuan Bola Sepak Wanita Sabah

Katanya, pasukan Sabah bakal menentang Kelana United dalam aksi pertama di gelanggang lawan.

“Pelancaran jersi hari ini adalah satu langkah penting bagi menaikkan semangat pasukan. Jersi baharu ini bukan sahaja memberikan keselesaan kepada pemain, malah menjadi identiti dan kebanggaan untuk membawa nama Sabah di pentas kebangsaan,” katanya.

Beliau berharap dengan suntikan semangat melalui jersi baharu ini, para pemain akan tampil lebih yakin, bersedia dan berdisiplin dalam misi menawan kejuaraan musim ini.

Terdahulu, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, pelancaran jersi baharu ini membawa mesej yang amat besar kepada semua pihak khususnya di Sabah.

“Setiap warna, jalur, dan corak pada jersi ini melambangkan identiti, keberanian, dan kesatuan kita sebagai rakyat Sabah yang cintakan sukan bola sepak.

“Jersi ini bukan sekadar pakaian di atas padang, tetapi simbol kesungguhan, semangat juang, dan kebersamaan kita dalam mengangkat bola sepak wanita Sabah ke mercu kejayaan.

Sabah sebelum ini pernah muncul juara sulung LWN pada 2003 dan naib juara pada tahun lalu kini bersedia mengorak langkah lebih mantap dalam musim 2025. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/07/12/jersi-myhomemyteam-suntik-semangat-baharu-skuad-wanita-sabah-fa-hadapi-lwn-2025/feed/ 0 77132
Sabah mahu kekalkan kejuaraan Liga Wanita Nasional https://sabahmedia.com/2024/05/07/sabah-mahu-kekalkan-kejuaraan-liga-wanita-nasional/ https://sabahmedia.com/2024/05/07/sabah-mahu-kekalkan-kejuaraan-liga-wanita-nasional/#respond Tue, 07 May 2024 06:32:02 +0000 https://sabahmedia.com/?p=54061
Read Time:1 Minute, 30 Second

Kota Kinabalu : Pasukan bola sepak wanita Sabah mahu mengekalkan kejuaraan Liga Wanita Nasional (LWN) pada tahun ini selepas berjaya menjuarai LWN yang julung kali diadakan pada tahun lalu.

Pengendali Sabah, Justin Ganai bagaimanapun berkata, sasaran itu dilihat bukan mudah tanpa ada kerjasama pelbagai pihak khususnya para pemain.

“Untuk LWN, kita sudah tentulah mensasarkan untuk juara dan mahu mengekalkan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.

“Tapi itu bukanlah mudah, jadi kita akan berusaha keras untuk mempertahankan kejuaraan dan begitu juga dengan pasukan yang akan menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak,” katanya.

Justin (kiri) dan Arziz Afizy (kanan)

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani kontrak pegawai dan pemain pasukan bola sepak wanita Sabah bagi tahun 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.

Majlis itu disaksikan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Awang Kadin Tang dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Muhd Arziz Afizy Rusmani.

Justin berkata, beliau turut berharap agar pasukan SUKMA dapat manfaat menerusi latihan bersama pasukan LWN.

“Biarpun bukan saya jurulatih SUKMA, tapi saya berlatih bersama-sama pasukan SUKMA dan kita harapkan pasukan SUKMA akan dapat manfaat untuk berlatih bersama-sama dan harap mereka juga akan jadi juara,” katanya.

Dalam pada itu, Arziz Afizy berkata, beliau juga turut yakin pasukan Sabah akan dapat mengekalkan kejuaraan LWN pada tahun ini.

“Saya yakin dan percaya kepada jurulatih kita Justin Ganai dan juga pemain-pemain kita boleh mengekalkan kejuaraan untuk kali kedua.

“Dan untuk menjadi juara, pasukan bola sepak wanita ini kenalah berlatih lebih, jaga momentum untuk menghadapi saingan LWN 2024,” katanya.

Tahun lalu, Sabah berjaya menjuarai LWN buat julung kalinya dan saingan pada tahun ini akan bermula awal Julai ini.

Pada majlis itu, seramai 25 pemain menandatangi kontrak bagi pasukan LWN dan 23 pemain lagi akan mewakili Sabah pada SUKMA di Sarawak. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2024/05/07/sabah-mahu-kekalkan-kejuaraan-liga-wanita-nasional/feed/ 0 54061
Kejohanan Liga Wanita Tempatan mampu lahirkan bakat baru bola sepak di Sabah https://sabahmedia.com/2024/01/06/kejohanan-liga-wanita-tempatan-mampu-lahirkan-bakat-baru-bola-sepak-di-sabah/ https://sabahmedia.com/2024/01/06/kejohanan-liga-wanita-tempatan-mampu-lahirkan-bakat-baru-bola-sepak-di-sabah/#respond Fri, 05 Jan 2024 16:04:25 +0000 https://sabahmedia.com/?p=47539
Read Time:1 Minute, 40 Second

Kota Kinabalu : Penganjuran Liga Wanita Tempatan Piala Datin Seri Panglima Datuk Hajah Julia Salag yang bermula hari ini mampu mencari bakat baru dalam arena bola sepak wanita khususnya di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, kejohanan yang dianjurkan julung-julung kali itu turut diyakini mampu melahirkan lebih ramai pemain-pemain wanita bagi mewakili Sabah dan pasukan Kebangsaan.

“Dengan adanya usaha-usaha pencarian bakat ini, saya berharap kita akan dapat mempertingkatkan lagi kualiti serta mempertahankan lagi kejuaraan Liga Wanita Nasional 2024.

“Semoga dapat meraih pingat Emas di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) pada bulan Ogos nanti yang akan berlangsung di negeri Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Piala Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.

Majlis itu disempurnakan isteri Ketua Menteri Datin Seri Juliah Salag.

Shahelmey yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) turut menyeru kepada presiden-presiden Persatuan Bola Sepak daerah agar dapat mengambil inisiatif mengadakan kejohanan bola sepak di peringkat daerah.

Katanya, ia adalah untuk memastikan Sabah tidak ketandusan pemain-pemain wanita yang berkebolehan.

Kejohanan yang akan turut disertai 17 pasukan itu akan diadakan selama dua hari bermula hari ini sehingga esok.

Dalam pada itu, Shahelmey turut berbangga dengan perkembangan dan pencapaian Bola Sepak Wanita Sabah yang telah mencipta sejarah menjuarai Edisi Pertama Liga Wanita Nasional Tahun 2023 yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Selain itu katanya, pencapaian Pasukan Bola Sepak Wanita Bawah 15 Tahun yang baru-baru ini menyertai Liga Puteri FAM juga mencipta kejayaan mendapat tempat yang ketiga.

“Rentetan kejayaan demi kejayaan ini membuktikan kualiti pemain dan pengurusan bola sepak di negeri Sabah berada pada tahap yang baik.

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah sekaligus menghargai perjuangan dan pengorbanan pengurusan, jurulatih-jurulatih dan para pemain yang telah mengharumkan nama negeri Sabah di peringkat kebangsaan.

“Terima kasih juga kepada Sekolah Sukan Malaysia Sabah atas kerjasama yang baik dalam membentuk pasukan bawah 15 tahun untuk mewakili pasukan negeri Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2024/01/06/kejohanan-liga-wanita-tempatan-mampu-lahirkan-bakat-baru-bola-sepak-di-sabah/feed/ 0 47539