lkim – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Mon, 02 Dec 2024 08:59:41 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.4 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png lkim – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Sandakan perlu ada kompleks labuhan perikanan LKIM untuk manfaat 1,135 nelayan – Vivian https://sabahmedia.com/2024/12/02/sandakan-perlu-ada-kompleks-labuhan-perikanan-lkim-untuk-manfaat-1135-nelayan-vivian/ https://sabahmedia.com/2024/12/02/sandakan-perlu-ada-kompleks-labuhan-perikanan-lkim-untuk-manfaat-1135-nelayan-vivian/#respond Mon, 02 Dec 2024 08:59:40 +0000 https://sabahmedia.com/?p=64772
Read Time:1 Minute, 6 Second

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, mahu Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan apakah status terkini bagi Projek Kompleks Pendaratan Ikan di Sandakan.

Menerusi sesi Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat, Parlimen secara lisan, Vivian juga bertanya bilakah projek ini akan disiapkan untuk menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh nelayan sekian lama.

Menerusi jawapan yang diterima, KPKM melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bertanggungjawab dalam menyediakan kemudahan pendaratan, pengendalian, penyimpanan dan pemasaran ikan.

Pada masa kini, terdapat 48 buah kompleks labuhan perikanan di bawah seliaan LKIM di seluruh negara.

Bagaimanapun, buat masa ini, negeri Sabah masih belum mempunyai kompleks labuhan perikanan LKIM.

Sehubungan itu, cadangan pembinaan Kompleks Perikanan LKIM di Batu 2, Jalan Leila, Sandakan antara lain bertujuan untuk menyediakan kemudahan pendaratan ikan kepada nelayan setempat dan dijangka memberi manfaat kepada seramai 1,135 orang nelayan.

LKIM juga telah menjalankan kajian kesesuaian tapak bagi tujuan melengkapkan laporan Kajian Impak Alam Sekitar selain telah mengemukakan data kerja ukur dan cadangan pelan susun atur komponen Kompleks Pendaratan Ikan Sandakan kepada perunding bagi tujuan penyediaan pelan pembangunan dan pelan-pelan lain yang berkaitan bagi mendapatkan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Keseluruhan proses sehingga kelulusan PBT dijangka selesai pada pertengahan tahun 2026.

Seterusnya, cadangan projek pembinaan kompleks ini akan dimohon di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13).

]]>
https://sabahmedia.com/2024/12/02/sandakan-perlu-ada-kompleks-labuhan-perikanan-lkim-untuk-manfaat-1135-nelayan-vivian/feed/ 0 64772
LKIM minta nelayan berdaftar dengan persatuan https://sabahmedia.com/2022/12/26/lkim-minta-nelayan-berdaftar-dengan-persatuan/ https://sabahmedia.com/2022/12/26/lkim-minta-nelayan-berdaftar-dengan-persatuan/#respond Mon, 26 Dec 2022 12:04:46 +0000 https://sabahmedia.com/?p=26960
Read Time:1 Minute, 12 Second

BERNAMA

TUMPAT: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) meminta agar nelayan di seluruh negara mendaftar dengan persatuan bagi memudahkan proses bantuan sekiranya mereka ditimpa musibah.

Ketua Pengarah LKIM Yusoff Othman berkata pihaknya hanya dapat membantu nelayan yang menjadi ahli sahaja selain banyak faedah boleh diterima.

“Nelayan hendaklah berdaftar dengan persatuan nelayan kerana hendak dapatkan data supaya kita dapat pastikan kaum nelayan terbela dan tiada yang tercicir daripada bantuan. Data menunjukkan setakat ini ada dalam 20,000 hingga 30,000 lagi nelayan masih belum berdaftar di seluruh negara.

“Rugi sekiranya mereka tidak berdaftar kerana banyak faedah yang kerajaan salurkan seperti elaun sara hidup, subsidi diesel, pinjaman tanpa faedah dan banyak lagi termasuklah bantuan sekiranya berlaku bencana seperti banjir,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada nelayan dari daerah ini yang terjejas banjir.

Yusoff berkata walaupun terdapat 1,250 nelayan terlibat dengan banjir di Pahang, Terengganu dan Kelantan, namun ia tidak menjejaskan bekalan stok ikan di ketiga-tiga negeri tersebut.

“Untuk pendaratan di tiga negeri ini ada sedikit pengurangan tapi tidak signifikan. Tapi sekiranya ada pengurangan yang signifikan, LKIM akan mengeluarkan stok ikan segar beku (QFish) bagi menstabilkan bekalan,” katanya.

Sebanyak 36 ketua isi rumah nelayan dari daerah Tumpat yang terlibat dalam bencana banjir minggu lepas menerima sumbangan wang tunai RM500 dan kit makanan.

Yusoff turut meminta nelayan yang mengalami kerosakan bot dan peralatan menangkap ikan supaya membuat laporan polis bagi memudahkan proses permohonan bantuan peralatan baharu agar aktiviti mereka tidak terjejas.– BERNAMA

]]>
https://sabahmedia.com/2022/12/26/lkim-minta-nelayan-berdaftar-dengan-persatuan/feed/ 0 26960
PKPN Bantu Tingkat Taraf Hidup Isi Rumah Nelayan https://sabahmedia.com/2022/01/25/pkpn-bantu-tingkat-taraf-hidup-isi-rumah-nelayan/ https://sabahmedia.com/2022/01/25/pkpn-bantu-tingkat-taraf-hidup-isi-rumah-nelayan/#respond Tue, 25 Jan 2022 02:25:17 +0000 https://sabahmedia.com/?p=11518
Read Time:1 Minute, 54 Second

BESUT : Pelaksanaan Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) merupakan usaha Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan taraf hidup isi rumah nelayan berpendapatan rendah.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia termasuklah membaik pulih rumah, membina rumah baharu dan mewujudkan penempatan semula nelayan dengan prasarana asas.

Katanya, ia bagi memastikan golongan nelayan di seluruh negara menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan selesa. 

“Projek PKPN ini merangkumi Bina Baru Rumah Nelayan, Baik Pulih Rumah Nelayan serta Penempatan Perumahan Semula Nelayan dimana Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jawatankuasa Induk PKPN dipertanggungjawabkan untuk menimbang dan meluluskan permohonan PKPN.

“Bagi Program Projek Perumahan Penempatan Semula Nelayan (PSN) pula, Unit Perancang Ekonomi Negeri merupakan agensi pelaksana yang dipertanggungjawabkan untuk memantau pelaksanaan projek dan memastikan projek siap mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan PSN Benting Lintang Besut disini semalam.

Dr Ronald berkata, sehingga kini Kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah menerima peruntukan bagi PKPN sebanyak RM460 juta.

Katanya, Kerajaan telah memperuntukkan RM197 juta bagi program PSN di seluruh malaysia di mana sebanyak 1,772 buah rumah telah diluluskan oleh jawatankuasa untuk program ini sehingga 30 November 2021.

“Manakala, sebanyak RM247 juta untuk kategori baik pulih rumah nelayan melibatkan 23,511 buah rumah nelayan dan RM14 juta untuk kategori bina rumah baharu melibatkan 253 buah rumah nelayan.

“Bagi Negeri Terengganu pula, sebanyak 150 buah rumah nelayan telah diluluskan untuk program PSN di tiga buah lokasi iaitu Pulau Sekepeng di Daerah Kemaman, Kampung Seberang Penarik di Daerah Setiu dan Kampung Benting Lintang di Daerah Besut melibatkan peruntukan sebanyak RM13 juta.

“Saya berharap projek ini dapat dijalankan dengan segera demi kesejahteraan dan keselesaan keluarga nelayan di Negeri Terengganu ini,” katanya,

Sementara itu, Dr Ronald berkata, menerusi Bajet 2022, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM4.82 bilion kepada MAFI.

Katanya, secara khususnya, MAFI akan menerima 1.7 bilion ringgit bagi pemberian subsidi dan insentif bagi industri pertanian serta perikanan untuk tahun 2022. 

“Untuk perancangan masa hadapan, seandainya ada permintaan daripada nelayan dan Kerajaan Negeri Terengganu, tentu sekali MAFI akan mempertimbangkan untuk menambah bilangan rumah di tapak Penempatan PSN di Benting Lintang, Besut.

“Ini adalah bagi memastikan Keluarga nelayan dapat terus meningkatkan hasil tangkapan selain meningkatkan sumber pendapatan keluarga serta bekalan sumber protein negara kita,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2022/01/25/pkpn-bantu-tingkat-taraf-hidup-isi-rumah-nelayan/feed/ 0 11518
LKIM Peruntuk RM6.43 Juta Bagi Baik Pulih Rumah Nelayan https://sabahmedia.com/2021/10/10/lkim-peruntuk-rm6-43-juta-bagi-baik-pulih-rumah-nelayan/ https://sabahmedia.com/2021/10/10/lkim-peruntuk-rm6-43-juta-bagi-baik-pulih-rumah-nelayan/#respond Sun, 10 Oct 2021 10:32:44 +0000 https://sabahmedia.com/?p=7375
Read Time:2 Minute, 27 Second

BELURAN : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukkan sebanyak RM6.43 juta bagi tujuan baik pulih rumah nelayan dan pembinaan rumah baharu nelayan bagi tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, peruntukkan itu adalah di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) yang dilaksanakan diseluruh negara.

“Sebanyak RM3.45 juta pula telah diperuntukkan setakat ini bagi negeri Sabah sahaja untuk bantuan baik pulih rumah nelayan.

“Projek PKPN dilaksanakan oleh LKIM bagi membantu nelayan yang berpendapatan rendah untuk membaikpulih rumah dan membina rumah baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mengadakan program Walkabout ke Rumah Peserta PKPN di Kampung Kolapis Beluran.

Ini adalah sebahagian daripada 200 buah rumah nelayan yang sedang dibaikpulih di kawasan ini di bawah tanggungjawab LKIM.

Selain mengadakan Walkabout, beliau turut mengadakan lawatan ke tapak kilang ais batu Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Beluran di Kampung Keramat dan Penyerahan Bakul Makanan Nelayan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, Datuk Badrul Hisham Mohd, Ketua Pengarah LKIM Yusoff Othman, Pengarah LKIM Sabah Sundralingam A/L Nagaiah dan Pengerusi PNK Beluran Uting Rahmat.

Dr Ronald berkata, program itu juga bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat nelayan khususnya yang kurang berkemampuan.

Katanya, secara keseluruhan, selain PKPN, MAFI melalui LKIM telah memperuntukkan lebih RM 150 juta pada tahun ini bagi bantuan dan insentif kepada masyarakat nelayan seluruh negara.

“Ia merangkumi Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) sebanyak RM300 setiap bulan, Subsidi Minyak Diesel dan Petrol, Dana Nelayan, Tabung Bencana dan Kebajikan Nelayan, Projek Tanaman Kotan, bantuan Projek Ekonomi Kumpulan Nelayan dan Program Food Basket Nelayan.

“Tahun ini juga, LKIM telah menyalurkan peruntukkan sebanyak RM 500,000 untuk pembelian bangunan pejabat PNK Beluran dan RM 300,000 untuk pembinaan kilang ais batu di Kampung Keramat, Beluran bagi tujuan penyimpanan hasil tangkapan perikanan dan pemasaran ikan yang akan memberi manfaat kepada 2783 orang nelayan di kawasan ini.

“PNK Beluran turut menerima peruntukan sebanyak RM100,000 di bawah Dana Khas PNK yang merupakan antara inisiatif dibawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bagi menjalankan perniagaan jualan ais batu.

“Manakala, seramai 50 orang peserta nelayan di kawasan Beluran telah mendapat bantuan dan insentif secara ‘one-off’ di bawah Projek Tanaman Kontan dengan peruntukan berjumlah RM 100,000,” katanya.

Dr Ronald berkata, LKIM turut melaksanakan Program Pembangunan Pelan Peningkatan Pendapatan Golongan B40 Nelayan melalui Projek Tanaman Kontan bertujuan untuk memberi pendapatan sampingan kepada golongan nelayan melalui bantuan input pertanian yang melibatkan peruntukan sebanyak RM4 juta dengan sasaran peserta sejumlah 3,006 orang nelayan.

Dalam pada itu, Dr Ronald turut menyerahkan sumbangan bakul makanan (Food Basket) kepada 100 orang ahli nelayan PNK Beluran. Ianya sebagai sebahagian sumbangan MAFI Prihatin menerusi LKIM bersama-sama PNK bagi mengurangkan beban para nelayan yang terkesan dengan wabak COVID-19.

LKIM akan terus memainkan peranan sebagai agensi Kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan dan memajukan perusahaan perikanan negara serta memastikan bekalan ikan negara mencukupi sepanjang masa termasuk dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

]]>
https://sabahmedia.com/2021/10/10/lkim-peruntuk-rm6-43-juta-bagi-baik-pulih-rumah-nelayan/feed/ 0 7375
Pasar Nelayan Kampung Pasir Putih Dinaiktaraf Sebagai ‘One Stop Centre’ Laksana Aktiviti Pemasaran Ikan https://sabahmedia.com/2021/07/18/pasar-nelayan-kampung-pasir-putih-dinaiktaraf-sebagai-one-stop-centre-laksana-aktiviti-pemasaran-ikan/ https://sabahmedia.com/2021/07/18/pasar-nelayan-kampung-pasir-putih-dinaiktaraf-sebagai-one-stop-centre-laksana-aktiviti-pemasaran-ikan/#respond Sun, 18 Jul 2021 04:08:03 +0000 https://sabahmedia.com/?p=3186
Read Time:1 Minute, 50 Second

PUTATAN : Kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan menaiktaraf pasar nelayan Kampung Pasir Putih yang akan dijadikan sebagai ‘One Stop Centre’ bagi menjalankan aktiviti pemasaran ikan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, LKIM telah memperuntukkan dana sebanyak RM450,000 bagi tujuan menaiktaraf pasar berkenaan.

“Selain menjadi pusat sehenti, pasar nelayan ini juga akan menjalankan aktiviti pendaratan ikan dan agropelancongan kerana lokasi ini sangat strategik dan berpotensi untuk dimajukan bagi manfaat nelayan dan masyarakat setempat.

“LKIM juga telah memperuntukkan sebanyak RM4.32 juta bagi negeri Sabah setakat ini bagi tahun semasa untuk bantuan baik pulih rumah di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan ke Pasar Nelayan Kampung Pasir Putih Putatan disini pagi tadi.

Katanya, peruntukkan bagi negeri Sabah itu juga meliputi naiktaraf pasar nelayan dan pembinaan pusat pengumpulan dan pengedaran ikan serta pembinaan dan baik pulih jeti-jeti nelayan.

Hadir sama, Pengarah LKIM Negeri Sabah, Sundralingam A/L Nagaiah dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PKK) Kota Kinabalu Datuk Arsit Sedi.

Sementara itu, Dr Ronald berkata, pendaratan ikan di seluruh Sabah bagi enam bulan pertama tahun ini telah merekodkan sebanyak 107,000 tan metrik dengan nilai sebanyak RM643 juta.

Katanya, bagi rekod pendaratan ikan di Pasar Nelayan Kampung Pasir Putih, Putatan pula adalah sebanyak 7,000 tan metrik dengan nilai RM35,000 bagi tempoh yang sama.

“Meskipun sektor perikanan berdepan dengan pelbagai cabaran ketika ini, bekalan ikan adalah mencukupi dan stabil bagi memenuhi keperluan negara.

“Purata bulanan bekalan ikan untuk tahun ini dijangka kekal stabil iaitu pada 169,000 tan metrik berbanding dengan keperluan negara sebanyak 125,000 tan metrik sebulan,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, Dr Ronald turut menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada 100 orang ahli nelayan PNK Kota Kinabalu.

Katanya, bantuan itu adalah sebagai sebahagian sumbangan MAFI Prihatin menerusi LKIM bersama-sama PNK bagi mengurangkan beban para nelayan yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

“Kebajikan semua golongan sasar termasuk nelayan serta jaminan rantaian bekalan makanan adalah keutamaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sepanjang masa.

“Jabatan Perikanan Negara (DOF) dan LKIM akan terus memainkan peranan untuk memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan, membangunkan industri perikanan negara serta memastikan bekalan ikan negara mencukupi sepanjang masa,” katanya

]]>
https://sabahmedia.com/2021/07/18/pasar-nelayan-kampung-pasir-putih-dinaiktaraf-sebagai-one-stop-centre-laksana-aktiviti-pemasaran-ikan/feed/ 0 3186