maal hijrah – Sabah Media https://sabahmedia.com The Voice of Sabah Wed, 08 Jul 2026 07:36:51 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=7.0.2 https://sabahmedia.com/wp-content/uploads/2024/04/cropped-s_icon-32x32.png maal hijrah – Sabah Media https://sabahmedia.com 32 32 189073890 Ustazah Mariah Tasip dinobat Tokoh Maal Hijrah Kuala Penyu https://sabahmedia.com/2026/07/08/ustazah-mariah-tasip-dinobat-tokoh-maal-hijrah-kuala-penyu/ https://sabahmedia.com/2026/07/08/ustazah-mariah-tasip-dinobat-tokoh-maal-hijrah-kuala-penyu/#respond Wed, 08 Jul 2026 07:36:45 +0000 https://sabahmedia.com/?p=99549
Read Time:1 Minute, 24 Second

KUALA PENYU: Anak kelahiran Kampung Kerukan, Ustazah Mariah Tasip dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah sempena Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Daerah Kuala Penyu yang berlangsung di Dewan Dato’ Shahbandar Makang, di sini, pada Selasa.

Pengiktirafan itu diberikan sebagai menghargai sumbangan besar beliau dalam bidang dakwah, pendidikan al-Quran, pengajian Fardhu Ain serta nasyid selama hampir tiga dekad.

Mariah berkata, anugerah berkenaan merupakan satu penghormatan besar bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada golongan pendidik yang terus berbakti menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat.

Katanya, pengiktirafan tersebut menjadi pemangkin semangat untuk beliau terus menyumbang kepada agama dan masyarakat walaupun telah bersara daripada perkhidmatan rasmi beberapa tahun lalu.

“Pengiktirafan ini adalah anugerah daripada Allah SWT. Saya berharap ia menjadi inspirasi dan galakan kepada generasi muda untuk terus mendalami ilmu agama, selain mendorong para pendidik supaya terus berbakti kepada masyarakat agar dapat melahirkan insan yang kukuh imannya serta dekat hatinya dengan agama.

“Saya juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada jawatankuasa induk sambutan atas kepercayaan yang diberikan serta pemilihan saya sebagai Tokoh Maal Hijrah pada tahun ini.

“Anugerah ini merupakan tanggungjawab besar yang perlu saya pikul untuk terus berbakti kepada masyarakat, khususnya penduduk di Kuala Penyu,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Penyampaian anugerah Tokoh Maal Hijrah itu disempurnakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Isnin Aliasnih yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias.

Sambutan Maal Hijrah peringkat daerah itu turut diisi dengan ceramah khas yang disampaikan penceramah jemputan, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, selain persembahan nasyid oleh Kumpulan Waiz.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, Ag. Damit Talip; wakil Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Roslan Daud; serta Pegawai Tadbir Agama Daerah, Ahmad Sulaiman yang juga Setiausaha Majlis Sambutan.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/07/08/ustazah-mariah-tasip-dinobat-tokoh-maal-hijrah-kuala-penyu/feed/ 0 99549
Jamdin Buyong dinobat Tokoh Maal Hijrah daerah Putatan 2026 https://sabahmedia.com/2026/06/20/jamdin-buyong-dinobat-tokoh-maal-hijrah-daerah-putatan-2026/ https://sabahmedia.com/2026/06/20/jamdin-buyong-dinobat-tokoh-maal-hijrah-daerah-putatan-2026/#respond Sat, 20 Jun 2026 06:40:00 +0000 https://sabahmedia.com/?p=98508
Read Time:2 Minute, 31 Second

PUTATAN: Tokoh bahasa dan budayawan Sabah, Datuk Jamdin Buyong dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Daerah Putatan 1448H/2026M sebagai penghargaan terhadap sumbangan besarnya dalam bidang bahasa, sastera, sejarah, penyiaran, kebudayaan, pentadbiran awam serta pembangunan masyarakat Islam di negeri ini.

Pengiktirafan itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya sempena Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Daerah Putatan yang berlangsung di Dewan Sri Putatan, pada Jumaat.

Ketika ditemui, Jamdin melahirkan rasa syukur dan terharu kerana penghargaan itu diberikan oleh masyarakat di daerah kelahirannya sendiri.

Menurut beliau, walaupun pernah menerima Anugerah Khas Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah pada tahun 2016, pengiktirafan daripada daerah asalnya mempunyai nilai yang amat bermakna.

“Alhamdulillah, saya bersyukur atas penghargaan ini. Walaupun sebelum ini saya pernah menerima Anugerah Khas Maal Hijrah Peringkat Negeri, namun pengiktirafan daripada masyarakat daerah kelahiran sendiri amat saya hargai dan kenang,” katanya ketika ditemui media selepas majlis berkenaan.

Mengulas mengenai sambutan Maal Hijrah, beliau berkata peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah bukan sekadar peristiwa sejarah, sebaliknya membawa mesej perubahan yang relevan dalam kehidupan masyarakat masa kini.

Katanya, konsep hijrah perlu diterjemahkan dalam bentuk perubahan pemikiran, nilai kehidupan dan pembangunan masyarakat ke arah yang lebih baik.

“Pada hari ini, hijrah bukan lagi semata-mata berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain, tetapi bagaimana kita melakukan perubahan dari segi pemikiran, sikap, nilai kehidupan dan pembangunan masyarakat secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata, semangat hijrah juga berkait rapat dengan usaha membina masyarakat madani yang seimbang dari aspek pembangunan material dan rohani.

Menurutnya, pembangunan sesebuah masyarakat tidak hanya diukur melalui kemajuan fizikal, tetapi turut merangkumi kesejahteraan hidup, kemudahan asas dan pembentukan nilai murni dalam kalangan rakyat.

“Apabila masyarakat luar bandar turut menikmati kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air bersih dan infrastruktur yang baik, ia merupakan antara ciri masyarakat yang bertamadun dan selaras dengan aspirasi pembinaan masyarakat madani,” katanya.

Sepanjang kerjaya perkhidmatannya, Jamdin pernah menyandang pelbagai jawatan penting termasuk Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Pengarah Muzium Sabah serta Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia.

Selain cemerlang dalam pentadbiran awam, beliau turut dikenali sebagai penulis prolifik yang menghasilkan pelbagai karya berkaitan sejarah, bahasa dan kesusasteraan Sabah.

Antara karya beliau yang mendapat perhatian ialah Perjuangan Peribumi Menentang Penjajah, Perjuangan Kemerdekaan di Sabah: Satu Kesinambungan Cetusan, Dayang Masniah dan Rona-Rona Bahasa, yang menerima Anugerah Buku Umum Terbaik pada tahun 2017.

Atas sumbangan dan dedikasinya dalam bidang bahasa, sastera serta pembangunan masyarakat, beliau turut menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Khas Maal Hijrah Sabah 1438H, Anugerah Bakti Sastera GAPENA 2023 dan Anugerah Tokoh Pejuang Sastera Negeri Sabah 2024.

Terdahulu, majlis sambutan Maal Hijrah yang bermula seawal jam 8 pagi itu dihadiri kira-kira 3,000 penduduk dari sekitar daerah Putatan.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan ceramah khas Maal Hijrah yang disampaikan pendakwah terkenal, Ustaz Nabil Ahmad, serta persembahan nasyid oleh Kumpulan Infaq.

Turut hadir Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya dan Pegawai Daerah Putatan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sambutan Maal Hijrah 1448H Peringkat Daerah Putatan, Masawi Salleh.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/20/jamdin-buyong-dinobat-tokoh-maal-hijrah-daerah-putatan-2026/feed/ 0 98508
Umat Islam diseru hayati semangat hijrah https://sabahmedia.com/2026/06/17/umat-islam-diseru-hayati-semangat-hijrah/ https://sabahmedia.com/2026/06/17/umat-islam-diseru-hayati-semangat-hijrah/#respond Wed, 17 Jun 2026 06:51:25 +0000 https://sabahmedia.com/?p=98361
Read Time:1 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU: Umat Islam di negeri ini diseru menghayati semangat hijrah untuk bermuhasabah, memperbaiki kelemahan meningkatkan ilmu pengetahuan, memperkukuhkan akhlak dan mempererat hubungan sesama insan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perhimpunan ini diharap dapat menjadi sinergi yang mampu mengeratkan jalinan ukhuwah sekali gus memacu iltazam dan tekad baharu untuk memperkukuhkan lagi kesatuan dan perpaduan ummah.

“Sambutan Ma’al Hijrah yang menjadi amalan kita setiap tahun ini, bukan sekadar memperingati perpindahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah, tetapi juga menjadi simbol transformasi, pengorbanan dan pembaharuan ke arah kehidupan yang lebih baik.

“Sebagai umat Islam, kita perlu mengambil ibrah dari peristiwa Hijrah Rasulullah SAW, iaitu kejayaan baginda mengembangkan syiar Islam, pada masa sama menubuhkan Kerajaan Islam yang pertama di kota Madinah.

“Baginda menitikberatkan kepimpinan yang seimbang antara kemajuan material dengan pembangunan insan,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 2026M/1448H di sini pada Rabu.

Majlis itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan turut dihadiri isteri Toh Puan Faridah Tussin.

Hajiji berkata, sejajar dengan tema Maal Hijrah tahun ini iaitu Madani Dihayati, Ummah Diberkati, ia menepati usaha kerajaan mengajak rakyat untuk hidup bersatu padu dan saling hormat menghormati.

“Konsep umat Madani lahir daripasa ikhtiar untuk meneladani kejayaan Rasulullah SAW menyatupadukan kaum Ansar dengan kaum Muhajirin; hidup dalam kesatuan dan membangun dengan cemerlang dalam persaudaraan Islam.

“Saya percaya dengan menjadikan nilai-nilai Islam sebagai inspirasi moral dan etika dalam kehidupan bernegara, saya yakin kita mampu menjadi contoh masyarakat Madani yang lahir dari peradaban yang, berilmu, berintegriti dan berjiwa besar,” katanya.

Beliau turut berharap tanun baharu 1448H membawa harapan dan tuah kepada umat Islam walapun situasi dunia pada hari ini penuh dengan pelbagai cabaran dan pergolakkan.

“Krisis di Timur Tengah, misalnya, yang melibatkan kuasa-kuasa besar, amat menggusarkan kita. Lebih menyedihkan, peperangan yang berlaku itu melibatkan saudara seagama dengan kita.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita berharap perjanjian damai antara Amerika Syarikat dengan negara Iran, yang bakal dimeterai pada hari Jumaat ini, akan menghentikan pergolakan dan peperangan di rantau berkenaan demi keamanan dan keselamatan yang berkekalan,” katanya.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/17/umat-islam-diseru-hayati-semangat-hijrah/feed/ 0 98361
Sambutan Ma’al Hijrah Sabah bakal dimeriahkan pelbagai program https://sabahmedia.com/2026/06/12/sambutan-maal-hijrah-sabah-bakal-dimeriahkan-pelbagai-program/ https://sabahmedia.com/2026/06/12/sambutan-maal-hijrah-sabah-bakal-dimeriahkan-pelbagai-program/#respond Fri, 12 Jun 2026 02:44:05 +0000 https://sabahmedia.com/?p=98102
Read Time:1 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Sambutan Ma’al Hijrah 1448H/2026M di Istana Negeri Sabah, di sini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr. Mohd Ariffin Mohd Arif berkata, beberapa pengisian sempena sambutan Ma’al Hijrah tahun ini telah dilaksanakan, manakala beberapa lagi program akan berlangsung dalam masa terdekat.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Ma’al Hijrah 1448H/2026M berkata, antara program yang bakal dianjurkan ialah ceramah khas bersama tokoh penceramah dan pendakwah terkenal, Datuk Dr. Badli Shah Alauddin.

“Kita akan mengundang Datuk Dr. Badli Shah Alauddin untuk menyampaikan ceramah khas sempena sambutan Ma’al Hijrah pada minggu hadapan.

“Selain itu, program Anjung At Takwa anjuran RTM Sabah turut mengimarahkan lagi sambutan pada tahun ini,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat tersebut pada Rabu.

Menurut Mohd Ariffin, kunjungan itu turut bertujuan menjemput Tun Musa menghadiri Majlis Tahlil sempena doa akhir tahun dan awal tahun Hijrah yang akan berlangsung pada 16 Jun 2026 bertempat di Masjid Negeri Sabah.

Beliau berkata, sambutan Ma’al Hijrah bukan sahaja menjadi medan memperingati peristiwa penting dalam sejarah Islam, malah menjadi platform untuk memperkukuhkan penghayatan nilai murni serta semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Pelbagai program yang disusun diharap dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan meningkatkan penghayatan terhadap bulan serta peristiwa bersejarah dalam kalendar Islam,” katanya.

Turut hadir dalam kunjungan berkenaan ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS), Datuk Awang Juri Ag. Tahir dan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Seri  Yahya Hussin.

]]>
https://sabahmedia.com/2026/06/12/sambutan-maal-hijrah-sabah-bakal-dimeriahkan-pelbagai-program/feed/ 0 98102
Semangat hijrah pacu perpaduan dan pembangunan ummah https://sabahmedia.com/2025/07/07/semangat-hijrah-pacu-perpaduan-dan-pembangunan-ummah/ https://sabahmedia.com/2025/07/07/semangat-hijrah-pacu-perpaduan-dan-pembangunan-ummah/#respond Mon, 07 Jul 2025 00:39:33 +0000 https://sabahmedia.com/?p=76816
Read Time:1 Minute, 34 Second

Tamparuli: Umat Islam diseru untuk terus memperkukuh perpaduan ke arah kecemerlangan ummah, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Seri Jahid Jahim.

Katanya, peristiwa hijrah Rasulullah SAW bukan sekadar satu perpindahan fizikal tetapi membawa makna besar dalam membentuk jati diri, pengorbanan, persaudaraan dan kemajuan dalam masyarakat.

“Hijrah mengajar kita untuk melakukan perubahan bukan hanya secara individu tetapi juga secara kolektif sebagai satu komuniti dan umat. Ia menjadi titik tolak transformasi yang perlu dipelopori oleh seluruh lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Kecil Tamparuli di Dewan Masjid Kampung Damat, Tamparuli, di sini, pada Ahad.

Katanya, usaha membina modal insan berakhlak dan berdaya saing khususnya dalam kalangan remaja dan belia perlu digiatkan kerana golongan itu merupakan aset terpenting negara.

“Ulama tersohor, Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi menyatakan bahawa remaja lebih berharga daripada emas putih, emas kuning mahupun emas hitam. Maka menjadi amanah kita bersama untuk membentuk dan membimbing golongan ini ke arah kejayaan,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Maal Hijrah kepada pelajar-pelajar cemerlang daerah Tamparuli sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik dan sahsiah mereka.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Masjid Kampung Damat yang kini telah dinaik taraf daripada surau kepada masjid hasil keprihatinan isteri Ketua Menteri, dan menyifatkannya sebagai satu pencapaian hasil keprihatinan pemimpin negeri dan sokongan masyarakat setempat.

“Saya ucapkan terima kasih kepada isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Juliah Salag atas keprihatinan beliau terhadap pembangunan institusi masjid dan masyarakat di daerah Tamparuli khususnya dan di negeri Sabah amnya,” katanya.

Beliau juga menghargai sumbangan Majlis Agama Islam Sabah (MUIS) yang sentiasa membantu dalam memperkasa aktiviti masjid dan program kemasyarakatan di negeri ini.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; Pegawai Daerah Tuaran, Herman Tunggiging; Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad, dan Pegawai Tadbir Agama Daerah Kecil Tamparuli merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana program, Suffian Kundu.-

]]>
https://sabahmedia.com/2025/07/07/semangat-hijrah-pacu-perpaduan-dan-pembangunan-ummah/feed/ 0 76816
Hijrah tuntut ummah bersatu, berani berubah hadapi cabaran dunia https://sabahmedia.com/2025/06/27/hijrah-tuntut-ummah-bersatu-berani-berubah-hadapi-cabaran-dunia/ https://sabahmedia.com/2025/06/27/hijrah-tuntut-ummah-bersatu-berani-berubah-hadapi-cabaran-dunia/#respond Fri, 27 Jun 2025 04:24:41 +0000 https://sabahmedia.com/?p=76243
Read Time:2 Minute, 8 Second

Kota Kinabalu: Umat Islam diseru agar menjadikan semangat hijrah sebagai asas memperkukuh perpaduan dan keazaman untuk menghadapi cabaran baharu yang semakin kompleks dalam dunia serba mencabar hari ini, khususnya ancaman ketidakstabilan global dan kemelut geopolitik antarabangsa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kemelut yang sedang melanda beberapa wilayah di Timur Tengah termasuk Gaza, Iran, Lubnan dan Syria bukan sekadar isu serantau, tetapi memberi kesan besar terhadap kestabilan politik antarabangsa dan kesejahteraan ummah sejagat.

“Peperangan berterusan dan serangan tentera Zionis Israel ke atas wilayah Islam bukan saja melanggar undang-undang antarabangsa, malah mencabuli hak asasi manusia secara terang-terangan.

“Ini bukan isu kecil. Ia mampu mengubah sejarah dan geopolitik dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1447H/2025M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Jumaat.

Hajiji Noor

Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya; Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Sains, Teknologi dam Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam.

Hajiji berkata, umat Islam tidak boleh berpeluk tubuh dalam menghadapi cabaran baharu seperti ancaman Islamofobia, krisis kemanusiaan serta tekanan ekonomi dunia yang semakin memburuk akibat agenda ‘Order Baharu Dunia’ (New World Order) yang didorong kuasa besar barat.

“Kita sedang berhadapan dengan cabaran terhadap tamadun ummah yang menuntut kesatuan, keimanan yang jitu, kekuatan dalaman dan iltizam kolektif. Kita tidak boleh lemah, berpecah atau hanya memandang dari jauh,” katanya.

Beliau berkata, semangat hijrah yang dibawa Rasulullah SAW perlu dijadikan pedoman dalam membina masyarakat Madani – masyarakat yang berteraskan keimanan, ilmu, akhlak, keadilan dan kemanusiaan.

Menurutnya, membangun Ummah Madani tidak akan berjaya tanpa perubahan sikap dan kesanggupan melakukan penghijrahan nilai – daripada lemah kepada kuat, daripada mundur kepada maju, daripada berpecah kepada bersatu.

“Hijrah itu perjuangan. Dan setiap perjuangan perlu ada pengorbanan. Sama ada dari sudut sikap, masa, tenaga, wang ringgit atau prinsip. Inilah semangat yang harus dihayati dalam menelusuri tahun baharu Hijrah 1447 ini,” katanya.

Hajiji turut menyeru seluruh rakyat agar berhijrah menguasai ilmu dan teknologi, membudayakan inovasi serta memperkukuh perpaduan dan amal kebajikan demi kesejahteraan ummah secara menyeluruh.

Beliau juga mengajak rakyat memperteguh tekad dan azam tahun baharu Hijrah dengan menjadikan perubahan sebagai satu budaya yang mendasari kejayaan diri, keluarga, masyarakat dan negeri.

“Sambutan Maal Hijrah bukan sekadar memperingati sejarah, tetapi harus menjadi pemangkin perubahan dan pembaharuan menuju kecemerlangan. 

“Bersama kita hayati semangat hijrah dan jayakan pembangunan ummah secara inklusif dan menyeluruh,” katanya. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2025/06/27/hijrah-tuntut-ummah-bersatu-berani-berubah-hadapi-cabaran-dunia/feed/ 0 76243
Syed Abas dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Sabah https://sabahmedia.com/2024/07/07/syed-abas-dianugerahkan-tokoh-maal-hijrah-sabah/ https://sabahmedia.com/2024/07/07/syed-abas-dianugerahkan-tokoh-maal-hijrah-sabah/#respond Sun, 07 Jul 2024 05:09:52 +0000 https://sabahmedia.com/?p=57168
Read Time:1 Minute, 25 Second

Papar : Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Seri Syed Abas Syed Ali diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Tahun 1446H/2024M.

Syed Abas yang juga bekas Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menerima sijil penghargaan;wang tunai RM20,000 dan beberapa hadiah lain yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Dewan Masyarakat Papar di sini hari ini.

Beliau ketika ditemui merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua jawatankuasa sambutan yang telah memilih beliau sebagai Tokoh Maal Hijrah pada tahun ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Allah S.W.T dan juga jawatankuasa sambutan yang memilih saya.  Ini adalah pengiktirafan pertama tertinggi pernah saya terima.

“Bagi saya syiah Islam di Sabah khususnya cukup baik.  Sekarang ini MUIS pun saya tada cukup kerja keras untuk majukan agama selain kutipan zakat dan banyak lagi perkara berkaitan agensi berkenaan,” katanya.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam.

Syed Abas,76, mendapat pendidikan peringkat ‘A Levels’ Oxford Board di Greenmore Collage  dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian dalam Bidang Applied Economics daripada East London University.

Antara pencapaian yang cukup membanggakan apabila beliau menerajui sebuah badan berkanun dengan kejayaan peningkatan jumlah kutipan kasar daripada 7.7 juta pada 2004 sehingga mencapai 32.8 juta pada 2010.

Ketokogan beliau kembali menyinar apabila dilantik semula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada 2013.

Atas pencapaian serta sumbangan khidmat bakti terhadap Sabah, beliau telah dianugerahkan pingat kebesaran negeri ‘Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima. – SABAH MEDIA

]]>
https://sabahmedia.com/2024/07/07/syed-abas-dianugerahkan-tokoh-maal-hijrah-sabah/feed/ 0 57168
Umat Islam dipelawa hadir meriahkan sambutan Ma’al Hijrah peringkat negeri Ahad ini https://sabahmedia.com/2024/07/04/umat-islam-dipelawa-hadir-meriahkan-sambutan-maal-hijrah-peringkat-negeri-ahad-ini/ https://sabahmedia.com/2024/07/04/umat-islam-dipelawa-hadir-meriahkan-sambutan-maal-hijrah-peringkat-negeri-ahad-ini/#respond Thu, 04 Jul 2024 01:22:30 +0000 https://sabahmedia.com/?p=57007
Read Time:1 Minute, 21 Second

Kota Kinabalu: Umat Islam dipelawa hadir bagi mengimarahkan Majlis Perhimpunan dan Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1446H/2024 yang akan diadakan di Dewan Masyarakat Papar, Ahad ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jumain Abdul Ghani berkata pelbagai program lain telah disusun sempena sambutan tahun baharu Islam itu.

Katanya, antara program yang akan dilaksanakan termasuklah Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun 1445H dan Awal Tahun Baharu Hijrah 1446H di Masjid Negeri Sabtu ini disusuli dengan ceramah yang akan disampaikan oleh Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.

“Manakala, di peringkat sambutan pada hari Ahad, ceramah akan disampaikan oleh Timbalan Mufti Negeri Pahang, Datuk Badli Shah.

“Pada sambutan di Papar nanti, beberapa anugerah akan disampaikan antaranya Tokoh Ma’al Hijrah, Anugerah Khalid Ibn al-Walid, Anugerah Abdul Rahman Auf dan dua anugerah khas iaitu anugerah Pengurusan Cemerlang Ar-raudah (Taman Perkuburan Islam) dan Anugerah Pengurusan Cemerlang Surau Agensi.

“Selain itu, Isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni juga akan ke Hospital Papar dalam Program Ziarah Hospital Kelahiran Bayi Hijrah dan program ini merupakan acara yang diadakan setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi kunjungan hormat terhadap yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, di sini semalam.

Jumain yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pelaksana Sambutan memaklumkan dianggarkan sekitar 4,000 umat Islam akan hadir memeriahkan sambutan berkenaan.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Seri Yahya Hussin, Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Ramlan Awang Ali dan Timbalan Pengarah Hal Ehwal Islam JHEAINS, Ag. Juri Ag. Tahir.

]]>
https://sabahmedia.com/2024/07/04/umat-islam-dipelawa-hadir-meriahkan-sambutan-maal-hijrah-peringkat-negeri-ahad-ini/feed/ 0 57007
Tan Sri Ampong Puyon Tokoh Maal Hijrah Sabah https://sabahmedia.com/2021/08/10/tan-sri-ampong-puyon-tokoh-maal-hijrah-sabah/ https://sabahmedia.com/2021/08/10/tan-sri-ampong-puyon-tokoh-maal-hijrah-sabah/#respond Tue, 10 Aug 2021 04:02:30 +0000 https://sabahmedia.com/?p=4394
Read Time:2 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU : Penerima Anugerah Tokoh 1Malaysia sempena Perayaan Hari Malaysia 2009 Tan Sri Ampong Puyon dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah negeri Sabah sempena sambutan Maal Hijrah 1443 peringkat negeri disini hari ini.

Anugerah disampaikan Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif yang disiarkan secara maya menerusi laman Facebook Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Ampong,82, menerima wang tunai RM25,000 disamping sijil penghargaan daripada kerajaan negeri Sabah.

Beliau sebelum ini bergiat aktif dalam bidang politik dengan memegang jawatan penting dalam kepartian  semenjak 1978 sehingga 2018 khususnya dalam parti USNO dan UMNO di negeri ini.

Selain itu, beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut pada tahun 1985 sehingga 1986; Ahli Parlimen Labuk-Sugut (1978-1982) dan ADUN yang dilantik pada tahun 1964 hingga 1972 dan 1999 hingga 2004.

Beliau juga turut bergiat aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), United Sabah Islamic Association (USIA) Sabah, Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS), Sabah National Youth Assoc. (SANYA), Persatuan Ibubapa dan Guru.

Selain Anugerah Tokoh 1Malaysia sempena ‘Perayaan Hari Malaysia 2009, beliau juga pernah menerima pingat penghargaan dari Kerajaan Persekutuan seperti pingat Panglima Setia Mahkota (PSM) (2009) yang membawa gelaran “Tan Sri” dan Kesatria Mangku Negara (KMN) (1992).

Terdahulu, sambutan Maal Hijrah 1443 peringkat negeri Sabah itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin secara maya dan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Dalam perutusannya, Juhar berkata, sambutan yang bertemakan ‘Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti’ menuntut umat Islam untuk mengamalkan ajaran agama dengan bersungguh-sungguh.

Katanya, tema itu turut mengajak masyarakat agar menjadi hamba Allah yang sentiasa taat melakukan segala amalan yang diperintahkan. 

“Sebagai umat Islam, kita dituntut supaya bermuhasabah, bertaubat dan kembali menghayati serta mengamalkan ajaran Islam dengan sesungguhnya kerana ia merupakan kaedah dan peraturan yang diturunkan Allah SWT bagi mesejahterakan kehidupan ummah di dunia dan akhirat.

“Tahun baharu hijrah yang menjelang ini,  kita warnai dengan keazaman untuk menjadi hamba Allah SWT yang cemerlang dengan melakukan segala amalan yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang ditegah-Nya.

“Ini penting untuk kita jadikan tekad serta azam dan menginsafi bahawa kelalaian manusia untuk tunduk kepada ajaran agama merupakan antara sebab-munasabah berlakunya bencana bersilih ganti sejak akhir-akhir ini sebagai peringatan dan pengajaran,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang mewakili kerajaan negeri merakamkan ucapan tahniah secara maya kepada Tan Sri Ampong Puyon, 82 yang dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1443H  tahun ini.

Kerajaan negeri turut merakamkan terima kasih atas sumbangan Ampong dalam kemajuan dan kemakmuran negeri ini, khususnya dalam pembangunan modal insan serta syiar Islam, di samping khidmat bakti dalam aktiviti kemasyarakatan dan kemanusiaan.

]]>
https://sabahmedia.com/2021/08/10/tan-sri-ampong-puyon-tokoh-maal-hijrah-sabah/feed/ 0 4394
Umat Islam Dituntut Untuk Sentiasa Amal Ajaran Agama Bersunguh-Sungguh https://sabahmedia.com/2021/08/09/umat-islam-dituntut-untuk-sentiasa-amal-ajaran-agama-bersunguh-sungguh/ https://sabahmedia.com/2021/08/09/umat-islam-dituntut-untuk-sentiasa-amal-ajaran-agama-bersunguh-sungguh/#respond Mon, 09 Aug 2021 10:43:22 +0000 https://sabahmedia.com/?p=4359
Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Sambutan Maal Hijrah 1443H/2021 yang bertemakan ‘Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti’ menuntut umat Islam untuk mengamalkan ajaran agama dengan bersungguh-sungguh.

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata,  tema itu turut mengajak masyarakat agar menjadi hamba Allah yang sentiasa taat melakukan segala amalan yang diperintahkan. 

“Sebagai umat Islam, kita dituntut supaya bermuhasabah, bertaubat dan kembali menghayati serta mengamalkan ajaran Islam dengan sesungguhnya kerana ia merupakan kaedah dan peraturan yang diturunkan Allah SWT bagi mesejahterakan kehidupan ummah di dunia dan akhirat.

“Tahun baharu hijrah yang menjelang ini,  kita warnai dengan keazaman untuk menjadi hamba Allah SWT yang cemerlang dengan melakukan segala amalan yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang ditegah-Nya.

“Ini penting untuk kita jadikan tekad serta azam dan menginsafi bahawa kelalaian manusia untuk tunduk kepada ajaran agama merupakan antara sebab-munasabah berlakunya bencana bersilih ganti sejak akhir-akhir ini sebagai peringatan dan pengajaran,” katanya dalam  Perutusan Sambutan Ma’al Hijrah 1443H/ 2021M di Istana Negeri, hari ini.

Dalam pada itu, Tun Juhar juga menyeru umat Islam agar memasang azam dan menjadikan tema tersebut sebagai topik utama kerangka masa depan yang lebih gemilang.

“Sewajarnya, kita mensyukuri dengan memperbaiki segala bentuk kelemahan dan kekurangan pada masa lalu di samping memasang azam serta iltizam baharu, mewacana kerangka masa depan yang lebih gemilang berpaksikan kepada Manhaj Rabbani. 

“Langkah ini berupaya membentuk negara aman damai dengan umat yang bersatu padu, maju dan berkualiti dengan setiap individu menjaga akidah, ibadah dan akhlak masing-masing,” katanya. 

Dalam perutusannya, Tun Juhar turut menyentuh gagasan ‘Sabah Maju Jaya’ yang diasaskan oleh Ketua Menteri Sabah sebagai tuntutan hijrah masa kini untuk kemajuan negeri ini.

Tambahnya,  hala tuju tersebut sebagai garis panduan, visi dan misi membangun serta memakmurkan Sabah sesuai dengan tuntutan hijrah dan seiring dengan usaha melahirkan umat yang berkualiti./PENERANGAN

]]>
https://sabahmedia.com/2021/08/09/umat-islam-dituntut-untuk-sentiasa-amal-ajaran-agama-bersunguh-sungguh/feed/ 0 4359