HULU LANGAT : Lebih 200 ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Hulu Langat yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini menerima bantuan MAFI Prihatin.
Bantuan itu disampaikan sendiri Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ketika mengadakan lawatan ke PPK Hulu Langat semalam.
Dr. Ronald berkata, kementeriannya sedang membuat penilaian bagi mengenal pasti kerosakan dan jumlah kerugian sebenar yang dialami oleh golongan sasar yang terkesan bagi menyediakan bantuan yang sewajarnya termasuk kepada PPK seluruh negara serta ahli-ahli peladang.
Katanya, kementeriannya melalui Jabatan dan Agensi di bawah juga telah menyediakan pelbagai bantuan bagi meringankan bebanan yang dihadapi oleh mangsa musibah banjir ini.
“Ini termasuk Bantuan Bekalan Makanan yang meliputi bantuan barangan makanan keperluan asas seperti beras, tepung, tin sardin, susu, minyak, telur dan sebagainya.
“Bantuan Kilat juga diberikan kepada keluarga para nelayan yang terkesan bagi meringankan beban mereka,” katanya dalam kenyataan disini semalam.
Tambah Dr. Ronald, Kerajaan sememangnya amat prihatin dengan mangsa banjir di seluruh negara dan setakat ini telah menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM200 juta sebagaimana yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan dalam usaha menangani impak banjir.
“Di bawah MAFI juga terdapat bantuan yang diberikan mengikut jenis tanaman iaitu tanaman padi dan tanaman agromakanan bertujuan membantu meringankan beban yang dialami oleh petani yang terkesan akibat bencana alam,” katanya.
Sementara itu, Dr Ronald berkata, kerajaan telah menyediakan peruntukan berjumlah RM80 juta bagi tempoh RMKe-12 di bawah Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA).
Katanya, PPSPA ini adalah bertujuan membantu meringankan bebanan kumpulan sasar yang terkesan akibat daripada bencana alam di mana bantuan meliputi input pertanian, peralatan, mesin dan bantuan lain yang bersesuaian.
“Manakala, di bawah Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) peruntukan sebanyak RM 12 juta diperuntukkan untuk membantu para petani yang mengalami kerosakan akibat bencana alam.
“RM 10 juta daripadanya disumbangkan oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) manakala Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) juga menyumbangkan dana sebanyak RM2 juta.
Sementara itu, MAFI bersama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) juga telah mengadakan aktiviti pembersihan bersama Kelab Sukan Dan Rekreasi (KSR) Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Selangor dan skuad AKRAB MAFI.
MAFI juga telah membuka Bilik Gerakan Banjir dan menggerakkan operasi di semua peringkat bagi membantu warga petani, peladang, penternak dan nelayan yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.
Bilik Gerakan Banjir MAFI boleh di hubungi di talian 03-8870 1664/1491 atau emel [email protected] untuk mendapatkan maklumat berkaitan pembukaan dan pengoperasian bilik gerakan bantuan banjir untuk sektor pertanian dan industri makanan.
]]>PUTRAJAYA:Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) terus komited dalam menyokong Pelan Pemulihan Negara (PPN) melalui pelaksanaan Program MAFI Prihatin.
Program yang dirancang khusus bagi membantu golongan sasar yang terkesan akibat pandemik COVID-19 di samping menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi pandemik tersebut.
Pelaksanaan program itu melibatkan semua jabatan dan agensi di bawah MAFI dan telah diperkasakan lagi dengan penglibatan pihak swasta dan pemain industri sebagai rakan strategik selaras dengan pendekatan whole-of-nation yang menggembleng kerjasama seluruh anggota masyarakat dan kerajaan dalam usaha memerangi pandemik COVID-19.
Hari ini, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee telah menyempurnakan simbolik penyerahan Program MAFI Prihatin ‘CSR Rakan Strategik Jabatan Perikanan Malaysia’ di perkarangan Wisma Tani, Putrajaya.
Seramai enam wakil daripada 11 Rakan Strategik Jabatan Perikanan Malaysia hadir menyerahkan bakul makanan sebagai simbolik sumbangan kepada Program MAFI Prihatin.
Hadir sama, Timbalan Menteri MAFI 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI Datuk Badrul Hisham Mohd dan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Ahmad Tarmidizi Ramly.
Penglibatan rakan strategik dalam kalangan usahawan dan projek bimbingan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) yang berminat untuk menyumbang adalah sebagai program Corporate Social Responsibility (CSR) syarikat.
Bakul makanan ini akan diserahkan kepada sebahagian kumpulan sasar sektor perikanan di seluruh negara.
Lokasi pertama program penyerahan bakul makanan MAFI Prihatin DOF akan diadakan di Pulau Tioman, Pahang yang melibatkan golongan sasar di pulau tersebut.
Program seterusnya akan dijalankan di Port Dickson, Negeri Sembilan; Gugusan Kepulauan Lima; Johor; Pulau Pinang; Pulau Redang dan Pulau Perhentian, Terengganu, Melaka dan Selangor.
Secara keseluruhan, sebanyak 630 bakul makanan akan diserahkan kepada kumpulan sasar sektor perikanan bagi pelaksanaan program MAFI Prihatin melalui DOF.
Sehingga kini, sebanyak 11 Rakan Strategik yang terdiri daripada 10 Agropreneur Perikanan dan satu Persatuan telah menyampaikan sumbangan bernilai RM34,500.00.
Program MAFI Prihatin yang dilancarkan sejak bulan Januari 2021 akan diteruskan melalui semua jabatan dan agensi di bawah MAFI serta dengan kerjasama strategik bersama pihak swasta khususnya pemain-pemain industri agromakanan bagi membolehkan lebih ramai lagi golongan sasar yang memerlukan mendapat manfaat dan menerima bantuan bagi meringankan beban.
Bantuan melalui MAFI Prihatin juga diberikan kepada golongan yang terkesan akibat banjir dan bencana alam yang lain serta kepada badan kebajikan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang memerlukan.
Secara keseluruhannya, sejak 1 Jun 2021 hingga 8 Ogos 2021 sahaja, seramai 71,491 orang penerima di 400 buah lokasi seluruh negara telah menerima manfaat daripada bantuan MAFI Prihatin yang disampaikan melalui pelbagai jabatan dan agensi di bawah MAFI dengan nilai bantuan mencecah lebih RM5.4 juta.
]]>PUTRAJAYA : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) terus memperkasa program MAFI Prihatin dengan penglibatan pihak swasta selaras dengan pendekatan ‘whole-of-nation’ dalam usaha negara memerangi pandemik COVID-19.
Menerusi pendekatan itu, sebanyak 13 syarikat swasta dan korporat dalam industri padi beras negara tampil memberi sumbangan ‘in-kind’ dalam bentuk barangan keperluan harian dan makanan kepada MAFI untuk disalurkan kepada golongan sasar.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pelbagai barangan keperluan harian disumbangkan termasuk beras, minyak, gula dan lain-lain serta pelitup muka dengan nilai keseluruhan sebanyak RM205,400.
“Program MAFI Prihatin yang dilancarkan sejak Januari lalu adalah bertujuan membantu golongan sasar yang terkesan akibat pandemik COVID-19 disamping menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi pandemik COVID- 19.
“Bantuan melalui MAFI Prihatin juga telah diberikan kepada golongan yang terkesan akibat banjir dan bencana alam yang lain serta kepada badan kebajikan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata selepas menerima sumbangan secara simbolik daripada 13 syarikat swasta dan korporat dalam industri padi beras negara di Wisma Tani disini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri MAFI I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri MAFI II, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi dan Ketua Setiausaha MAFI, Dato’ Haslina Abdul Hamid.
Antara pihak syarikat dan korporat yang terlibat ialah PadiBeras Nasional Berhad (BERNAS), Serba Wangi Sdn. Bhd, OEL Distribution (KL) Sdn. Bhd, Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd, Syarikat Faiza Sdn. Bhd, YHL Holdings Sdn Bhd, FGV Sdn. Bhd, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Eco Agro Pentagon Sdn. Bhd, Yayasan Kebajikan Pelajar Malaysia, Edaran Padi Sdn. Bhd. (Best Sekinchan) dan Vfive Group Sdn. Bhd.
Sementara itu, Dr Ronald berkata, sejak 1 Jun hingga 18 Julai sahaja, sebanyak 59,816 orang penerima mendapat manfaat daripada MAFI Prihatin melalui 264 program anjuran MAFI di seluruh negara yang telah melibatkan nilai bantuan sebanyak RM 5.2 juta.
Katanya, bantuan MAFI Prihatin disalurkan melalui pelbagai Jabatan dan Agensi di bawah MAFI.
Antaranya Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
“MAFI akan meneruskan program MAFI Prihatin melalui Jabatan dan Agensi di bawah MAFI serta dengan kerjasama strategik bersama pihak swasta khususnya pemain industri agromakanan yang pastinya akan membolehkan lebih ramai lagi golongan yang memerlukan mendapat manfaat dan menerima bantuan,” katanya.
]]>